Insentif RM213 juta bantu penternak

RAWANG 27 Julai – Kerajaan memperuntukkan RM213 juta dalam bentuk insentif pengeluaran kepada para penternak lembu, kambing dan ayam bagi membantu mereka menyerap kesan kenaikan harga minyak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengagihan insentif kepada penternak yang berdaftar dengan kementeriannya akan dilaksanakan bermula bulan depan hingga Disember ini.

Katanya, menjadi keutamaan untuk menerima insentif itu ialah penternak berskala kecil.

“Insentif ini adalah untuk menampung sebahagian daripada kos pengeluaran yang semakin meningkat seperti harga makanan palet.

“Semua penternak berdaftar akan menerimanya, sebagai contoh 21,000 penternak kambing di seluruh negara namun yang paling ramai ialah penternak ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat ladang ternakan kambing dan makmal bioteknologi milik Ar Raudhah Bio-Tech Farm Sdn. Bhd. (Ar Raudhah) di sini hari ini.

Syarikat berkenaan melaburkan RM1 juta untuk membangunkan makmal berkenaan dan ia merupakan satu-satunya ladang milik swasta yang mempunyai kepakaran melakukan permanian beradas dan pemindahan embrio kambing di negara ini.

Mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin dan Pengerusi Ar Raudhah, Datuk Bistamam Ramli.

Mustapa berkata, jumlah insentif yang akan diterima setiap penternak yang layak adalah berbeza berdasarkan jenis perusahaan dan kapasiti pengeluarannya.

Katanya, pengusaha ternakan ayam yang memiliki lebih 20,000 ekor ayam bagaimanapun tidak layak menerimanya manakala penternak lembu dan kambing tidak tertakluk kepada jumlah haiwan ternakan.

“Antara contoh jumlah insentif ialah penternak lembu susu yang menghasilkan 50 liter susu setiap hari akan menerima RM300 sebulan.

“Bagi penternak yang mengeluarkan daging 30 ekor lembu fidlot pada setiap tiga bulan, mereka layak menerima RM3,000,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta membuat pelaburan dalam bidang ternakan kambing untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap daging import.

Katanya, pada masa ini negara hanya memiliki 300,000 ekor kambing dan pada tahun 2015 kerajaan meletakkan sasaran untuk meningkatkannya kepada 1.1 juta ekor.

Cili fertigasi di Perlis dikaji

KANGAR 27 Julai – Kerajaan negeri akan mengkaji secara menyeluruh Projek Pertanian Satu Juta Polibeg Cili Fertigasi yang dirancang sebelum ini agar bersesuaian dengan kehendak pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri Perlis, Sabry Ahmad berkata, pelbagai faktor perlu dilihat semula sebelum melaksanakan projek itu termasuk kos operasi dan kaedah pemasaran.

Katanya, projek itu juga menghadapi ‘masalah’ apabila kerajaan negeri belum mendapat peruntukan sebanyak RM20 juta daripada Kerajaan Pusat seperti mana yang dipersetujui secara lisan sebelum ini.

“Perkara ini perlu dirancang secara halus supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak, sekarang peruntukan belum diperoleh kerana pada masa itu, kita hanya mendapat kelulusan secara lisan.

“Kita telah menghantar kertas kerja mengenai projek ini dan menunggu jawapan sebab pelaksanaannya tidak dapat diteruskan kerana tiada peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Projek Pertanian Satu Juta Cili Polibeg selepas Sambutan Hari Peladang, Petani dan Nelayan 2008 peringkat negeri Perlis, di Dewan Warisan, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Pada 13 Februari lalu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Projek Pertanian Satu Juta Cili Polibeg dan Ikan Keli Kanvas yang bakal menjadikan Perlis sebagai pengeluar terbesar cili dan ikan keli.

Projek itu yang menjadi sebahagian agenda Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) itu juga dikatakan bakal menjana pertumbuhan ekonomi baru kepada Perlis dan memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 5,000 penduduk.

Bagaimanapun projek yang dirancang semasa pentadbiran mantan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim itu menemui jalan buntu.

Sabry memberitahu, bagi mengenal pasti kejayaan projek itu mencapai sasaran seperti yang dinyatakan sebelum ini, latihan telah diberikan kepada dua usahawan tani untuk mengusahakan tanaman cili fertigasi di Sungai Batu Pahat, di sini.