Industri sarang burung walit berpotensi

BATU PAHAT: Industri sarang burung walit bukan saja memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya, malah mampu membantu menjana ekonomi negeri ini jika ia diusahakan secara bersistematik.

Agak merugikan jika peluang untuk meningkatkan ekonomi negeri dengan memantapkan industri sarang burung walit yang bernilai tinggi di pasaran antarabangsa tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil, berkata setiap pengusaha sedia ada perlu diberi pendedahan sebaik mungkin bagi meningkatkan pengeluaran.

Pada masa yang sama, beliau mahu pengusaha mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya perusahaan mereka tidak menjejaskan kesejahteraan dan kualiti kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran premis sarang burung walit yang mereka usahakan.

“Harga sarang burung walit kini cukup tinggi di pasaran antarabangsa dan pengeluar utama ketika ini adalah Indonesia. Johor juga sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pengeluar utama sarang burung ini yang akhirnya akan memberi pulangan yang lumayan kepada pendapatan negeri.

“Jika kita tidak mencari kaedah berkesan untuk menjana industri ini kita akan kerugian, sebab itu sesuatu harus dilakukan untuk memantapkan industri ini yang kini sudah diusahakan di seluruh negeri ini,” katanya.

Dianggarkan hampir 600 premis sarang burung walit diusahakan di seluruh negeri ini dengan 130 daripadanya di Segamat, Muar (124), Mersing (109), Kota Tinggi (58), Batu Pahat (54), Johor Bahru (52), Pontian (30) dan Kluang (9).

Ahmad Zahri berkata, beliau sudah berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan berbincang mengenai pendekatan untuk menjana industri sarang burung walit di negeri ini.

Maran jadi bandar ayam kampung

PEKAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang akan terus meningkatkan usaha menjadikan Maran sebagai bandar ayam kampung yang pertama di negara ini, terutama selepas majlis pelancarannya dilakukan hari ini.

Berikutan itu, pelbagai rancangan disusun dengan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pejabat Daerah Maran (PDM) bagi memastikan matlamat itu berjaya dicapai.

Pengarah Fama, Manon Jali, berkata majlis pelancaran menjadikan Maran sebagai bandar ayam kampung akan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda, Datuk Tan Aminuddin Ishak di Pasar Tani bandar Maran.

Beliau berkata, promosi ayam kampung akan diadakan selama sebulan membabitkan penyertaan beberapa pihak seperti pemilik restoran, penternak dan agensi kerajaan berkaitan.

Katanya, Fama akan menyediakan gerai di pasar tani Maran bagi kemudahan penternak menjual ayam kampung dan telurnya, selain produk berasaskan ayam kampung.

“Usaha menjadikan Maran bandar ayam kampung diharap dapat membantu menambah pendapatan penternak ayam kampung yang sebelum ini terpinggir walaupun permintaannya menggalakkan.

“Harga ayam kampung kini mencecah RM12.50 sekilogram dan ini mampu memberi pulangan lumayan kepada penternak terutama di kawasan kampung,” katanya kepada Berita Harian selepas melawat ke pasar tani Peramu Jaya, di sini, semalam.

Manon berkata, terdapat lebih 20 penternak ayam kampung di Maran terutama di Chenor dan beberapa kampung tradisional lain.

“Pelbagai acara akan diadakan pada majlis pelancaran termasuk pertandingan memasak ayam kampung, jualan ayam kampung, gerai tercantik dan jualan produk berasaskan ayam kampung.

“Fama berharap masyarakat setempat dapat bersama menjayakan program yang julung kali diadakan ini,” katanya.

Usahawan Melayu tak boleh bermanja lagi

“MACAM mana orang Melayu nak memerintah sendiri… nak buat sebatang jarum pun tak tahu.” Itu adalah satu ungkapan popular ditujukan kepada orang Melayu sendiri sebelum merdeka dulu. Ungkapan itu cuba untuk menidakkan kemampuan orang Melayu memerintah tanah air tercinta.

Terbukti memang kita mampu memerintah di negara sendiri. Lebih 50 tahun mentadbir, banyak kemajuan dicapai. Negara juga sudah berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas untuk membuat penyelidikan dan pencapaian ini amat membanggakan rakyat.

Tetapi mengapa ‘kemampuan membuat sebatang jarum’ menjadi satu anologi menentukan kemampuan memerintah? Ia hanya satu anologi. Tetapi jika dikaitkan antara kemampuan memerintah dengan pembangunan ekonomi, sudah pasti ia berjalan seiring.

Kemampuan untuk membuat jarum adalah berkaitan dengan kemampuan dari sudut pembuatan dan perkilangan iaitu bidang perniagaan atau ekonomi. Seperti dimaklumkan, dunia keusahawanan bukanlah sesuatu yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Jika dibandingkan dengan masyarakat Cina, jumlah orang Melayu yang terbabit dengan keusahawanan memang kurang.

Ini menjadikan usahawan Melayu setakat ini belum lagi dapat menandingi kemahiran dan kecekapan orang Cina dalam menjalankan perniagaan. Ini adalah hakikat yang harus terima.

Memang harus diakui bahawa banyak produk dikeluarkan orang Melayu mempunyai kualiti setanding dengan bangsa lain. Ini dari sudut perkilangan. Tetapi sesuatu yang masih lagi belum berubah ialah perniagaan berkaitan kemahiran seperti pembinaan, pertukangan, kerja besi, kerja paip dan pemasangan elektrik.

Penulis percaya ramai antara kita berhadapan dengan hasil kerja kurang memuaskan jika pendawaian elektrik contohnya dilakukan syarikat milik orang Melayu. Begitu juga apabila ingin membina rumah.

Jika mengambil kontraktor Melayu bererti kita berhadapan risiko lambat siap, kontraktor lari atau hasil kerja teruk. Kerana itu satu ungkapan yang sinonim juga ialah apabila melihat hasil kerja yang kurang memuaskan, akan ada yang kata ‘ini buatan Melayu ni’.

Ramai rakan penulis terbabit dalam perniagaan yang lebih senang memilih perunding hiasan dalaman dan kontraktor Cina untuk mengubah suai premis perniagaan mereka. Begitu juga dengan mereka yang ingin mengubah suai rumah. Mereka tidak mahu mengambil risiko sekiranya hasil kerja yang mereka peroleh tidak mencapai kualiti seperti diinginkan.

Memang diakui ada antara mereka yang boleh menunjukkan hasil kerja berkualiti. Tetapi cerita mengenai masalah hasil kerja yang teruk di kalangan kontraktor Melayu masih kedengaran.

Mengapa jadi begini? Adakah kerana orang Melayu mempunyai jaminan dan keutamaan untuk mendapatkan tender kerajaan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadikan mereka kurang peka terhadap kualiti dan hasil kerja.

Jadi apa pilihan usahawan Melayu pada masa akan datang? Adakah kita akan terus membiarkan persepsi ini membunuh perniagaan dan masa depan usahawan Melayu?

Penulis sebenarnya tertarik dengan komen peguam Sulaiman Abdullah dalam Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa sesuatu yang pelik apabila masyarakat Melayu sebagai masyarakat majoriti tetapi tindak-tanduk kita seperti masyarakat minoriti.

Ini mungkin berkaitan hak istimewa orang Melayu, tanah rizab Melayu dan kuota terutama dalam mendapatkan tender dan kontrak kerajaan. Biasanya perlindungan seperti ini adalah untuk melindungi masyarakat minoriti. Ini dilihat dari undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan Australia untuk melindungi masyarakat pribumi negara itu.

Begitu juga dengan undang-undang yang melindungi hak golongan Red Indian di Amerika Syarikat. Mengapa jadi begini? Adakah ini bermaksud kita masih lemah walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka? Ini adalah satu cabaran kepada usahawan Melayu dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan supaya mereka sentiasa menambah ilmu dan kemahiran untuk bersaing.

Kadangkala masalah timbul bukan hanya dari sudut kemahiran tetapi sikap. Jika usahawan Melayu mengatakan bahawa mereka tidak mampu melakukan sebaik usahawan bangsa lain kerana mereka sudah lama dan mahir, mungkin boleh kita terima. Tetapi jika mereka mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan kerja mereka, ini adalah masalah sikap.

Usahawan Melayu harus membuang sikap negatif seperti malas, mengambil masa lama untuk menyiapkan kerja dan hasil kerja yang tidak sempurna.

Usahawan yang melakukan kerja sambil lewa ini sebenarnya menyumbang kepada persepsi negatif terhadap keseluruhan usahawan Melayu. Untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai cerita begini mestilah tidak lagi kedengaran.

Semoga satu hari nanti bukan saja bangsa Melayu akan percaya kepada barangan buatan orang Melayu, malah orang bukan Melayu juga akan memilih barangan buatan Melayu kerana kualiti dan hasil kerja yang cemerlang.

Teknik penyukuan tingkat kualiti nanas Maspine


JAGA TANAMAN: Yaakob melakukan semburan baja ke daun anak nanas.

MENYEDARI benih hibrid nanas Maspine terhad dan sukar diperoleh di Sarawak, Yaakob Mohd Miniandi, 54, bertekad menjadi pengusaha tempatan pertama menggunakan teknik penyukuan dan keratan batang bagi menghasilkan hibrid nanas Maspine.

Maspine berasal dari kumpulan nanas Manzanah yang mempunyai ciri-ciri daun tidak berduri dengan hibrid kacukan antara kultivar Cayenne, Perolera, Pernambuco, Spanish dan Queen.

Berbanding benih hibrid Josapine yang mudah didapati di Sarawak, Maspine dianggap terbaik berbanding hibrid lain serta kultivar tempatan kerana buahnya boleh dimakan segar, ditinkan dan dieksport.

Sebelum ini pada 2003, beliau menjalankan teknik penyukuan dan keratan batang hibrid Josapine di ladang nanas di Kampung Sungai Mata, Samarahan, sebelum beralih ke hibrid Maspine kerana mendapati benihnya lebih baik dan sukar diperoleh di Sarawak.

Yaakob berkata, teknik penyukuan dan keratan batang hibrid Maspine diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 2006.

Beliau berkata, Mardi membekalkan 250 sulur nanas dan kemudian beliau melakukan teknik penyukuan dan keratan batang bagi menghasilkan lebih banyak benih.

TANAM BILA-BILA MASA: Yaakob menunjukkan sulur nanas yang disiap dibahagikan empat.

“Sulur nanas itu dikerat empat menjadikan 1,000 sulur nanas untuk ditanam di ladang saya sekarang,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, dalam tempoh empat bulan ladangnya akan menghasilkan 1,000 nanas Maspine pada Mac lalu dan menerusi teknik penyukuan dan keratan batang nanti mampu menghasilkan 10,000 sulur nanas.

“Kebaikan teknik penyukuan ini, buah nanas boleh kita jual, manakala batang dan jambul boleh dijadikan sulur nanas untuk ditanam semula. Namun demikian buat masa ini sulur nanas hibrid Maspine yang dihasilkan adalah untuk keperluan sendiri,” katanya.

Dalam tempoh lima tahun, beliau menjangkakan ladang nanasnya seluas dua hektar mampu menghasilkan 200,000 sulur nanas Maspine dan berhasrat menjadi pembekal utama sulur nanas Maspine dengan harga pasaran anak benih Maspine adalah 50 sen.

Katanya, penggunaan sistem plot di ladangnya banyak membantu dengan pembahagian kepada 20 plot dan setiap plot nanti akan ditanam 40,000 sulur nanas membabitkan 800,000 sulur secara keseluruhan.

“Sistem plot adalah bagi memastikan tidak semua sulur nanas yang ditanam diusahakan serentak. Selepas selesai satu plot akan berpindah ke plot lain supaya tanaman dapat dikawal dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha yang terbabit dalam teknik penyukuan dan keratan batang mampu mendatangkan pulangan lumayan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

“Pembiakan benih nanas secara penyukuan dan keratan antara penyelesaian jangka panjang terhadap masalah bekalan benih nanas terutama hibrid Maspine,” katanya

Yaakob berkata, pelbagai bahagian pokok iaitu jambul, sulur udara, tangkai, buah, batang dan slip daun, boleh digunakan untuk tujuan teknik penyukuan dan keratan batang.

Katanya, ada tiga kaedah disyorkan Mardi iaitu kaedah dan teknik pembiakan penyukuan, keratan batang dan mata tunas.

“Penyukuan dan keratan batang lebih sesuai digunakan dan memberi peratus hidup yang tinggi serta mudah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, bagi teknik penyukuan, bahagian jambul akan dibahagikan empat dan keratan batang pula mampu menghasilkan 20 keratan.

Katanya, proses teknik penyukuan dan keratan batang akan melalui proses tertentu dengan batang dan sulur akan dibelah dan dipotong sebanyak lima sentimeter.

“Keratan batang dan sulur nanas akan direndam dalam larutan racun dan kulat selama 10 hingga 15 minit sebelum kerja membaris dan menugal dilakukan. Ia kemudian dicelup bahan penggalak akar dan disemai serta anak benih yang berumur enam bulan sedia ditanam dan dibiak semula,” katanya.

Yaakob berkata, teknik penyukuan dan keratan batang sulur nanas memerlukan penjagaan teliti dan bagi memastikan anak benih tumbuh dengan baik, baja semburan daun pada umur empat bulan perlu dilakukan.

“Penyemburan daun dua kali semusim perlu bagi memastikan kita memberi unsur pekit dengan menambah zat supaya anak benih sihat dan bermutu,” katanya.

Beliau berkata, anak benih yang cepat membesar boleh dicabut dan dibuat penyukuan semula, manakala selepas enam bulan anak benih boleh dituai untuk ditanam dan sebahagiannya perlu dibuat penyukuan semula. Batas bekas semaian perlu disisir, digemburkan dan dirawat sebelum ditanam semula.

Rumput ternakan bawa pulangan lumayan


SEBAHAGIAN daripada pemandangan rumput Napier Taiwan yang ditanam oleh Mustafa Ahmad di Kampong Senawar, Kuala Kangsar subur menghijau.


KUALA KANGSAR 2 Julai – Keberanian seorang bekas ketua kampung, Mustafa Ahmad, 41, memajukan tanah terbiar seluas 4.5 hektar dengan tanaman rumput jenis Napier Taiwan kini mula berbaloi dan membuahkan hasil lumayan.

Walaupun tanah yang terletak di ‘pulau jadian’ di Sungai Perak di Kampung Senawar itu mengandungi 80 peratus pasir, tetapi ia tidak menghalang hasrat menebal usahawan ini untuk menjadikannya sebagai sebuah ladang yang subur.

Berbekalkan keyakinan tinggi terutama sekali selepas melupakan dunia kontraktor kelas F, beliau mengikuti pelbagai kursus pertanian dan haiwan termasuk tanaman rumput ini.

Menurut Mustafa, rumput Napier Taiwan yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu menunjukkan hasil memberangsangkan kerana tumbuhan itu cepat membesar dan boleh dituai dalam masa 30 hingga 40 hari sahaja.

Kata beliau, tanaman kontan berkenaan telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Kangsar bagi tujuan penghasilan makanan binatang ternakan.

”Dengan menggunakan teknologi Thailand serta baja berprotein tinggi, saya berjaya menghasilkan rumput Napier yang mempunyai daun selebar 2.5 sentimeter walaupun saiz biasa cuma 1.5 sentimeter.

”Melihat hasil tanaman yang begitu subur ini saya rasa cukup puas kerana pengorbanan menumpukan usaha ini sudah mula membawa pulangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Mustafa memberitahu, tanaman berkenaan kini sudah mula dijual di pasaran yang semakin meluas dengan batangnya dijual pada harga RM1.60 sekilogram dan daun hijaunya berharga 10 sen sekilogram.

Menurutnya, dengan harga tersebut beliau kini boleh tersenyum lebar apabila sudah mampu memperoleh pendapatan sekitar RM12,000 sebulan.

Kata beliau, rumput Napier yang ditanamnya itu mempunyai protein antara 13 hingga 14 peratus berbanding dengan rumput tempatan yang cuma mengandungi antara 9 hingga 10 peratus protein.

Jelas beliau, ia menjadikannya sebagai tanaman yang cukup sesuai untuk makanan binatang ternakan seperti kerbau, lembu, kambing, rusa, ayam belanda dan burung unta.

Katanya, benih dan daun Napier yang ditanamnya bukan sahaja mendapat pasaran di sekitar negeri Perak malahan juga mendapat tempahan dari Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Kelantan.

”Pada peringkat awal memang agak sukar bagi saya mengusahakan tanaman ini kerana keadaan tanah berpasir dan penuh dengan tumbuhan liar.

”Saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan agak besar iaitu sekitar RM20,000 untuk modal keseluruhan termasuk membersihkan tanah ini tetapi berbaloi kerana sekarang ia sudah jadi ladang rumput yang begitu menghijau,” katanya.

Mustafa berkata, oleh kerana projek tanamannya itu telah mula menunjukkan kejayaan maka beliau sedang berusaha memperkembangkan usaha penanaman rumput itu di satu lagi kawasan seluas 4.5 hektar di Kampong Jerlun tidak jauh dari projek pertamanya.

Katanya, ia bagi membolehkan beliau mencapai hasrat sebenarnya iaitu untuk menghasilkan palet makanan ternakan daripada rumput Napier.

”Saya guna bahan campuran terdiri daripada Napier Taiwan, sagu rumbia, hampas kacang soya, gula merah, garam galian, 20 jenis rumput tempatan, starbio, protein ikan dan beberapa campuran lain.

”Daripada kajian yang saya lakukan palet ini mampu mencegah penyakit kerana mempunyai daya tahan berprotein asli,” ujarnya yang mendapat bantuan kewangan sebanyak RM131,000 daripada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana bagi membina kilang tersebut di Talang.

Katanya, dengan menggunakan mesin yang diimport dari China, kilangnya itu nanti mampu menghasilkan palet bermutu tinggi dengan harga 35 sen sekilogram berbanding dengan palet lain berharga 55 sen.

Jelasnya, palet tersebut lebih istimewa kerana boleh juga digunakan untuk makanan ternakan ikan dan sesiapa yang berminat bagi mendapatkan bekalan palet itu rumput Napier boleh menghubunginya di talian 012-5049000.

Keli kanvas guna bioteknologi organik


Deretan kolam kanvas milik Active Surge Sdn Bhd. di Taman Desa Subang, Shah Alam.


Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sasaran pertumbuhan tahunan bagi perikanan akuakultur yang digariskan ialah 21.5 peratus manakala pengeluaran produk sebanyak 662,000 tan metrik.

RMK-9 yang akan tamat dalam tempoh lebih dua tahun lagi, masih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran dalam subsektor akuakultur termasuk menambah bilangan pengusaha.

Bidang akuakultur ini sebenarnya meliputi banyak aktiviti sama ada ternakan kolam, sangkar, tangki yang semuanya sesuai untuk ternakan ikan dan sebahagiannya untuk udang, selain kerang-kerangan dan rumpai laut.

Kemunculan teknologi baru merancakkan lagi industri akuakultur antaranya dengan pengenalan air kitar semula, dalam kanvas dan pembersihan air menggunakan penapis biologi atau mikroorganisme.

Terbaru dan paling mendapat sambutan ialah penggunaan teknologi ternakan ikan dalam kanvas khususnya untuk keli yang dikatakan sesuai kerana sifat tahan lasak.

Kini, konsep ternakan keli dalam kanvas menjadi popular dan diperkatakan oleh mereka yang mula berjinak-jinak dengan pertanian.

Mereka seakan lupa bahawa ternakan menggunakan kanvas sebenarnya satu teknologi tinggi yang memerlukan pengetahuan mendalam sebelum menceburkan diri.

Persoalannya, bagi yang berminat, di mana teknologi tersebut boleh diperoleh?

Bagi menampung permintaan tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Active Surge Sdn. Bhd. (ASSB) menawarkan teknologi yang dibangunkan bersama sistem pemakanan lengkap dan sistematik.

ASSB ditubuhkan pada 2005 untuk menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui akuakultur.

Syarikat yang beroperasi di Taman Desa Subang, Shah Alam Selangor ini pada awalnya terlibat dalam, bidang akuakultur secara kecil-kecilan.

Namun, ia menempa sejarah selepas kejayaan memperkenalkan teknologi ternakan ikan air tawar dalam kanvas dengan penggunaan makanan dan sistem rawatan organik.

Menurut Pengarah Teknikal ASSB, Izam Md. Nor, kajian yang dilakukan tertumpu kepada penggunaan kanvas dalam ternakan ikan air tawar dan pada masa sama, mengaplikasikan produk bioteknologi untuk pemakanan dan sistem rawatan organik.

Beliau berkata, teknologi itu dikenali sebagai Akuakultur Kitar Semula Dengan Penggunaan Sistem Bioteknologi (RAWBITE) yang terdiri daripada empat komponen utama.

Komponen-komponen terdiri daripada Activated Carbon (AC), BioMutiara Fish (BMF) Bio Mutiara Feed Additive Fish (BMFAF) dan Bio Mutiara Anti Odour (BMAO).

“Teknologi RAWBITE ini diaplikasikan serentak dalam sistem ternakan ikan air tawar dan setakat ini kita menggunakan pelbagai spesies ikan keli,” katanya ketika ditemui di pejabat syarikat itu di Shah Alam baru-baru ini.

Saiz kanvas yang disyorkan ialah 10 kaki x 4 kaki dalam bangunan, manakala 15 x 4 kaki di luar bangunan pada ketinggian air sehingga dua kaki.

Saiz tersebut boleh menampung kira-kira 1,500-1,800 ekor ikan keli manakala air yang digunakan bebas klorin.

Produk bioteknologi organik yang dihasilkan digunakan dalam sistem ternakan bagi menghilangkan bau, sebagai penapis selain makanan ikan dalam bentuk pelet.

Pada masa ini, syarikat memasang sistem tersebut 58 kolam kanvas di ibu pejabat dengan sistem penjagaan yang minimum.

Namun menurut Izam, selaras konsep Program Pembangunan Usahawan Akuakultur Air Tawar bersama agensi lain termasuk bank dan Projek Ternakan Ikan Air Tawar Organik Aplikasi Bioteknologi, ASSB menawarkan pakej kepada bakal pengusaha yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang akuakultur.

Pakej tersebut menawarkan 10 kolam kanvas, 18,000 ekor anak ikan dan empat produk bioteknologi serta kemudahan infrastruktur yang diperlukan.

Kemudahan infrastruktur termasuk kerangka kolam, kanvas, pam air dan turas, pam udara dan aksesori, pam penyelenggaraan, sistem penapisan RAWBITE, sistem saliran RAWBITE, pH meter dan upah pemasangan.

Menurut Pengerusi ASSB, Mohd. Nor Osman, pakej tersebut ditawarkan kepada mereka yang berminat dalam tempoh empat tahun menerusi konsep perladangan kontrak manakala ikan yang dihasilkan, akan dibeli semula oleh syarikatnya dengan harga RM4.50 sekilogram.

Menerusi teknologi tersebut ikan keli dapat dituai selepas tiga bulan dengan saiz lima atau enam ekor sekilogram.

Kontrak boleh diperbaharui berdasarkan kepada prestasi peserta.

Setakat ini, ASSB mampu memasang hampir 200 modul atau 2,000 kolam di Semenanjung Malaysia dan dijangka meningkat dari masa semasa.

“Syarikat menyasarkan 200 modul atau 2,000 kolam lagi, dalam masa terdekat bagi melengkapkan jumlah 4,000 kolam,” ujar Izam.

Syarikat terbabit juga menawarkan perkhidmatan pembekalan benih yang berkualiti dan kadar pertumbuhan yang baik supaya bekalan sentiasa diperoleh.

Pada masa ini, pengeluaran benih dihasilkan dengan kerjasama vendor di Melaka dan Pusat Pembenihan, di Salak Tinggi, Sepang manakala mereka yang berhasrat mempelajari teknik pembenihan aruhan dengan ASSB akan dilatih di Sepang, Selangor.

ASSB juga mempunyai kilang sejuk beku yang menjadi pusat operasi menyiang serta disejukbekukan untuk memproses ikan tersebut kepada serunding, sardin dan produk lain.

Bagi memenuhi permintaan makanan ternakan ikan yang tinggi, syarikat itu mengambil inisiatif membuka kilang memproses makanan ikan sendiri di Terengganu bersama Syarikat Nu Infra Mutiara Feedmill Sdn. Bhd.

Info

Kelebihan kaedah sangkar kanvas biotek

*Mudah alih

*Ekonomi dan tahan lama

*Mudah diselenggara

*Sistematik

*Hasil berkualiti

*Selamat daripada ancaman pemangsa.

*Menjimatkan ruang.

Pakej RAWBITE

Activated Carbon

*Produk yang dihasilkan daripada bahan-bahan tempatan seperti tempurung, buluh dan bahan buangan pokok yang tidak mengandungi unsur toksik dengan proses pemanasan 1200 darjah C.

*Mengurangkan gas ammonia yang beracun kepada ternakan.

*Meneutralkan bau dan warna kotoran seni

*Meneutralkan nitrik dan ammonia

*Membasmi bakteria

*Menghasilkan lebih mineral dan oksigen

*Menampung lebih banyak populasi ternakan

BMF

*Merupakan konsortium organisma yang dihasilkan daripada organisma tempatan terpilih.

*Mengandungi bakteria lacto yang bertindak sebagai probiotik

*Rawatan penyakit tanpa antibiotik

*Formulasi halal

*Menghasilkan persekitaran sihat

*Merawat ternakan daripada penyakit luaran dan dalaman.

*Mengurangkan kadar kematian ikan.

*Mencantikkan warna kulit ikan.

*lMerangsang tumbesaran.

BMFAF

*Merupakan matriks tumbuhan mengandungi organisma tempatan efektif.

*Merangsang persekitaran sihat dalam sistem penghadaman.

*Meningkatkan produktiviti

BMAO

*Matriks tumbuhan mengandungi organisma tempatan terpilih

*Menghilangkan bau

*Merangsang persekitaran sihat pada kawasan ternakan

*Membasmi bakteria .

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03-78456412 atau faksimile 03-78456461.

Bengkel berjaya buka minda

Peserta tekun mengisi media tanaman ke dalam polibeg pada bengkel di UPM, baru-baru ini.


Peserta Bengkel Lanjutan Usahawan Cendawan Mega-UPM dan Agrobank menyifatkan program tersebut mampu membuka minda mereka mengenai perusahaan tanaman itu yang mempunyai potensi untuk diusahakan.

Bagi Khizhir Mohamed, 54, dari Muar Johor, sebelum menyertainya, dia mengandaikan bahawa kaedah menanam cendawan agak rumit tetapi apabila mempelajari teknik yang betul, ia mudah dilakukan.

“Saya datang dari Kampung Kesang Laut dengan menaiki motosikal, semata-mata untuk mempelajari kaedah menanam cendawan dan puas hati kerana telah faham mengenainya,’’ ujarnya.

Khizhir berpendapat, program seumpama itu wajar diteruskan supaya lebih ramai mahir dan menguasai teknik penanaman cendawan dengan betul.

Bagi bekas pengetua, Mohd. Adnan Abdullah dari Besut Terengganu, selepas menyertai bengkel tersebut, dia akan membuka ladang cendawan sendiri bagi mencapai impiannya untuk menjadi usahawan cendawan.

“Bengkel ini amat baik dan banyak membuka minda mengenai perusahaan cendawan tiram kelabu,’’ ujarnya yang pernah bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (A), Nurul Ittifaq, Besut.

Dia juga semakin yakin untuk menceburi perusahaan cendawan dan akan mendapatkan bantuan lanjut daripada pihak berkaitan, khususnya Jabatan Pertanian.

Seorang lagi peserta, Stephanie Lim, 30, berkata, dia menyertai bengkel tersebut untuk mengetahui lebih lanjut kaedah-kaedah dan potensi tanaman cendawan di negara ini.

“Sebelum ini, saya selalu melihat di televisyen sahaja, tetapi dengan menyertai bengkel ini, saya sendiri dapat merasai pengalaman,’’ katanya.

Bagi graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Jamilah Kamarudin,26, dia berpendapat bengkel tersebut perlu diperkemaskan lagi dengan menambah aspek latihan amali untuk peserta.

“Lepas ini saya hendak berkecimpung dalam pertanian dan bengkel ini boleh membantu saya memahami teknik penanaman dan masa depan perusahaan cendawan,’’ ujarnya.

Keempat-empat peserta terbabit merupakan sebahagian daripada 36 peserta yang terpilih menyertai bengkel lanjutan tersebut daripada hampir 300 orang yang menghadiri bengkel pengenalan yang diadakan pada 18 Mei lalu.

Seorang lagi peserta, Mohamad Hashim Abdullah pula menyatakan penghargaan kepada sisipan Mega, Utusan Malaysia, kerana tidak jemu-jemu mempromosi bidang pertanian untuk faedah pembacanya.

“Saya tidak pernah ketinggalan membaca Mega, terutama setiap hari Jumaat untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pertanian.

“Terima kasih kepada Utusan Malaysia,’’ katanya yang dilantik sebagai Tok Penghulu di kalangan kumpulan tersebut.

Sementara itu menurut menurut Penolong Pegawai Pertanian, Bahagian Padi, Taman Industri dan Florikultur Jabatan Pertanian, Putrajaya, Normah Ibrahim, permintaan terhadap cendawan di negara ini pasti akan meningkat kerana beberapa sebab antaranya, pertukaran cita rasa pengguna, jumlah penduduk meningkat dan wujudkan kepekaan kepada kesihatan.

“Rakyat Malaysia telah mempunyai kesedaran dan pengetahuan mengenai khasiat cendawan dan ini mendorong mereka memakannya lebih kerap,’’ ujarnya.

Telinga kera

Kata beliau pada 2005, dengan jumlah penduduk sebanyak 25 juta, rakyat Malaysia memakan 8,100 tan cendawan setahun.

Namun pada 2020, jika rakyat negara ini mencapai 70 juta, penggunaan cendawan meningkat dari 324 gram setiap orang setahun kepada dua kilogram dan jumlah yang diperlukan ketika itu ialah 140,000 kilogram setahun.

Beliau menambah, selain spesies tiram kelabu, beberapa spesies lain juga berpotensi yang dikomersialkan antaranya Shiitake, telinga kera, jerami Ling zhi dan berangan.

Bengkel kali ini memberi peluang kepada peserta untuk melakukan sendiri cara-cara penyediaan polibeg dan media tanaman hingga, aspek penjagaan, pengukusan dan penyuntikan serta kaedah merangka pelan perniagaan untuk membuat pinjaman bank dari Agrobank.

Seperti mana pada bengkel pengenalan, ia turut melibatkan Agrobank dan Pusat Pengembangan ,Keusahawanan dan Pemaju Profesional (APEEC) Universiti Putra Malaysia.

Latihan amali dilakukan di Unit Taman Cendawan, Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti (TPU), UPM manakala ceramah dan bengkel lain di Institut Pembangunan Pertanian Agrobank (ABADI), Bangi, Selangor

Rock melon popularkan Kampung Telok Nipah


PENGUSAHA ladang rock melon, Rusli Bahari (kanan) dan Pengarah FAMA Selangor, Che Ghani Che Wan menunjukan buah rock melon atau tembikai wangi di Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.– Gambar MOHD. SHAHARANI SAIBI


PELABUHAN KLANG 3 Julai – Secara umumnya, Kampung Telok Nipah tidak ada bezanya dengan kampung-kampung lain di Pulau Indah dekat sini, malah lokasinya juga agak jauh dari pusat bandar.

Namun, sejak akhir-akhir ini, pasti ada sahaja pengunjung dari pelbagai daerah dan negeri termasuk Sabah dan Sarawak datang ke kampung tersebut.

Mereka bukan datang untuk berkelah kerana di Kampung Telok Nipah tiada kawasan air terjun atau tasik untuk bersantai.

Tetapi mereka datang untuk melihat sendiri ladang rock melon atau tembikai wangi milik Rusli Dahari, 56, yang merupakan salah seorang daripada 34 pengusaha rock melon berjaya di Selangor .

Selain menjamu mata, ada yang datang untuk membeli rock melon segar yang baru dipetik dari ladang dan ada juga yang bertujuan untuk menuntut ilmu cara menanam rock melon seterusnya menjadi pengusaha ladang buah tersebut.

Rusli ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, beliau yang sebelum ini bertugas sebagai kontraktor beralih arah mengusahakan ladang rock melon pada tahun 2005 selepas tertarik dengan dokumentari mengenai buah yang berasal dari negara Amerika Latin itu.

Selain itu, kata beliau, tanahnya di Kampung Teluk Nipah yang dekat dengan laut dan sesuai untuk tanaman rock melon juga salah satu faktor yang menyebabkan beliau berminat memulakan ladang buah tersebut yang harganya mencecah sehingga RM150 sekilogram di Korea Selatan dan Jepun.

Rusli yang berganding bahu dengan anak lelakinya, Eriq Faisal Rusli, 30, berkata, beliau memulakan ladang rock melonnya dengan modal sendiri sebanyak RM30,000 dan memulakan tanaman 2,000 anak pokok rock melon jenis ‘glamour’.

Ujarnya, beliau menggunakan kaedah tanaman secara fertigasi yang merupakan suatu kaedah moden yang mula mendapat perhatian di Malaysia.

“Di antara kebaikan kaedah fertigasi ialah penggunaan baja serta pengairan boleh dikawal mengikut kesesuaian tanaman.

“Pada peringkat permulaan, tanaman rock melon kami tidak begitu menjadi kerana kami tiada pengalaman dan kami kerugian.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan pengalaman yang ditimba, rock melon kami mula mengeluarkan hasil dan kini kami membekalkan buah ini ke beberapa pasar raya terkemuka sekitar Lembah Klang serta hotel-hotel,’’ katanya.

Rusli berkata, beliau kini sudah mempunyai kemahiran menghasilkan buah rock melon bermutu tinggi dan mampu menghasilkan sehingga melebihi 10 tan buah tersebut sebulan.

Katanya, jumlah itu akan ditingkatkan bagi memenuhi permintaan yang tinggi untuk pasaran tempatan dan juga eksport.

“Terima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian serta semua yang banyak membantu,” kata beliau.

Jelas Rusli, dengan menghasilkan buah yang bermutu tinggi, beliau boleh memperoleh pendapatan melebihi RM14,000 sebulan dan buah rock melon yang dihasilkannya dijual antara RM3.70 hingga RM12 sekilogram mengikut kualiti.

Ujar beliau lagi, oleh kerana pengusaha rock melon masih belum ramai di Malaysia, ladangnya menjadi tumpuan orang ramai termasuklah para pelancong yang sememangnya gemarkan buah yang harganya dianggap murah di sini.

Kata beliau, pihaknya turut menyediakan latihan dan pakej tanaman fertigasi kepada mana-mana pihak yang berminat.

“Disebabkan itu, Kampung Telok Nipah sentiasa menerima pengunjung dan ia secara tidak langsung membantu mempopularkan kampung ini kerana setiap minggu pasti ada rombongan yang datang termasuk sekolah dan rombongan persatuan.

“Kami berhasrat menjadikan Kampung Telok Nipah sebagai pusat kecemerlangan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus menanam atau mengusahakan rock melon boleh datang ke sini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan menyediakan kemudahan di Kampung Telok Nipah seperti menyediakan penginapan homestay agar pengunjung mempunyai tempat bermalam.

Kepada sesiapa yang berminat untuk berkunjung ke ladang rock melon Rusli boleh menghubungi beliau di talian 03-5541 7510.

Kursus kejenteraan pertanian

TANJONG KARANG Sebanyak 33 belia dari seluruh Selangor diberi peluang mengikuti Kursus Kejenteraan Pertanian selama empat bulan anjuran Pusat Latihan Kejuruteraan Pertanian Tanjong Karang, di sini.

Pengetua pusat latihan tersebut, Fauzi Md. Yatim berkata, kursus peringkat pertama akan bermula pada 7 Julai hingga 19 September dan disambung pada 13 Oktober hingga 28 November.

Menurut Fauzi, ini adalah kursus siri kedua anjuran pusat itu tahun ini setelah siri pertama berlangsung 17 Februari hingga 13 Jun lalu melibatkan belia sebanyak 28 orang.

Kursus kejenteraan ini dijalankan dengan pengambilan peserta dua kali setahun bagi mengikuti kursus selama 18 hingga 20 minggu. Setiap siri melibatkan 30 peserta.

Menjelaskan lebih lanjut, Fauzi berkata, dalam kursus itu peserta akan diberi latihan amali dan teori dalam bidang kejuruteraan pertanian, di samping mengikuti kursus jangka pendek seperti pengendalian dan pengurusan jentera pertanian serta sistem pengairan.

“Objektif utama kursus itu adalah untuk mendedahkan dan memberi latihan kemahiran kepada belia secara formal dalam bidang kejuruteraan pertanian. Kursus itu merangkumi aspek pengendalian, penyenggaraan jentera-jentera pertanian dan keselamatan,” katanya.

“Kursus ini diadakan bagi melahirkan tenaga kerja yang mahir dan berpengalaman dalam mengendalikan dan membaiki jentera pertanian dalam memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor pertanian.

“Adalah diharapkan kursus ini akan melahirkan pengendali jentera yang mahir serta mempunyai lesen memandu kelas H yang disahkan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.

Sawit hasilkan biokomposit

Contoh tandan sawit kosong dan produk hasilan. – Gambar hiasan


Kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang memiliki ladang sawit yang luas sehingga empat juga hektar sebenarnya menjanjikan produk bernilai, lebih daripada sekadar minyak pokok tersebut.

Ini telah terbukti dengan penyelidikan yang dijalankan oleh agensi tempatan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan institusi pengajian tinggi yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan sawit antaranya sabun, majerin, makanan ternakan, baja, santan dan kosmetik.

Seorang lagi saintis tempatan menyertai senarai penyelidikan seumpama itu dengan menghasilkan biokomposit daripada kelapa sawit.

Saintis terbabit, Dr. Khalina Abdan dari Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Fakulti Kejuruteraan, UPM menemui kaedah pemprosesan biokomposit daripada campuran plastik dan gentian kepala sawit melalui kaedah suntikan acuan atau injection moulding.

Menurut beliau yang juga Ketua, Laboratori Teknologi Biokomposit Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan UPM, biokomposit kelapa sawit merupakan campuran dua bahan utama iaitu plastik, dan gentian daripada tandan kelapa sawit yang telah dileraikan buahnya atau tandan kelapa sawit kosong.

Suntikan acuan bermaksud suatu proses yang menggunakan acuan tersendiri bagi satu-satu produk.

Teknologi ini amat luas digunakan dalam industri pembuatan plastik di Malaysia

Plastik biasanya digunakan sebagai medium penghasilan produk tersebut.

“Gentian dari tandan kelapa sawit yang kosong di hancurkan kemudian serbuk gentian yang terhasil tersebut akan dicampur dengan plastik untuk menghasilkan pelet biokomposit.

“Pelet biokomposit kemudiannya akan di gunakan di dalam mesin suntikan acuan untuk menghasilkan produk biokomposit,’’ katanya.

Di dalam mesin suntikan acuan, pelet biokomposit akan dilembutkan hingga likat dengan menggunakan tindakan haba.

Dengan menggunakan skru pemacu, bahan tersebut akan disuntik ke dalam acuan yang dikehendaki.

Produk tersebut kemudiannya dikeraskan untuk beberapa ketika.

Seterusnya produk biokomposit akan dikeluarkan setelah melalui proses penyejukan. Produk yang dihasilkan adalah sampel untuk ujian kekuatan.

Produk yang berpotensi untuk dihasilkan dari biokomposit kelapa sawit adalah tombol gear kereta, tombol cermin kereta, hand rest (tempat rehat tangan antara dua tempat duduk kereta), bingkai gambar, rak dokumen, bekas alat tulis serta pinggan dan sudu pakai buang.

Menurut Khalina, gentian dari tandan kelapa sawit kosong dipilih kerana bahan tersebut sentiasa ada di pasaran, stabil dari segi bekalan, harganya juga murah iaitu kira-kira RM 400 untuk satu tan.

“Selain itu, bahan ini juga mesra alam, boleh terurai dalam persekitaran lebih cepat berbanding plastik,’’ ujarnya lagi.

Di samping itu, kerajaan mempunya dasar untuk memanfaatkan bahan buangan kepada produk bernilai menggunakan apa juga jua teknologi.

Dalam penyelidikan saya gentian kelapa sawit yang digunakan adalah sehingga 50 peratus dari berat keseluruhan biokomposit.

Gentian yang digunakan juga mempunyai saiz yang tertentu untuk membolehkan ia diproses di dalam mesin suntikan acuan.

” Hasil dari penyelidikan ini menunjukkan bahawa produk yang dihasilkan mempunyai kekuatan yang hampir setara dengan penggunaan plastik sepenuhnya (bukan komposit)

” Justeru, biokomposit kelapa sawit telah membuktikan bahawa dengan penggunaannya secara optimum ia mampu memberi saingan kepada bahan yang sedia ada.

Selain kekuatannya yang disumbang melalui kekuatan mekanikal dan ketahanan fizikal, biokomposit kelapa sawit juga telah diuji berupaya menghadapi kadar kelikatan yang stabil bila diproses.

Katanya, mungkin ada yang berpendapat yang gentian kelapa sawit tidak mampu mengalir didalam acuan yang direka bentuk.

Hal ini tidak menjadi masalah kerana kajian ini menunjukkan bahawa taburan gentian di dalam plastik adalah sekata tanpa mengambil kira berapa banyak peratusan gentian yang digunakan.

Sumbangan penyelidikan ini antara lain adalah membuka ruang pengetahuan dan minda orang ramai bahawa gentian kelapa sawit juga boleh digunakan untuk bermacam-macam produk.

Pada kebiasaannya gentian tandan kelapa sawit kosong digunakan sebagai bahan pembakaran di dalam dandang (boiler) di kilang kelapa sawit.

Selain daripada itu dengan penyelidikan ini ia dapat menghasilkan nilai tambah terhadap bahan buangan dari kelapa sawit dengan menghasilkan pelbagai produk bagi kegunaan komersial dan domestik.

Ini sekali gus mengaplikasikan konsep from waste to wealth (dari bahan buangan kepada bahan berguna).

Hasil penyelidikan ini juga memberi manfaat kepada golongan industri kecil dan sederhana (IKS) yang tercari-cari bahan baru bagi produk yang murah, ringan, amat menjimatkan, mesra alam dan sihat.

Justeru, pengusaha IKS yang memiliki teknologi suntikan acuan supaya menerima penyelidikan seumpama itu secara positif dan bersama sama mengkomersialkan bahan mentah kelauaran tempatan .

Ini kerana, ia selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi di dalam pelan strategiknya antaranya ialah mempertingkatkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan membentuk rangkaian rakan kongsi bestari dengan agensi swasta akan meningkatkan produktiviti dan menambahkan kemakmuran negara.