Pusat sejuk beku buah durian

Kemudahan disediakan Fama mampu atasi lambakan raja buah, simpan isi untuk pasaran tempatan dan eksport

TANGKAK: Kawasan sekitar daerah Ledang dan Muar terkenal dengan pengeluaran pelbagai buah-buahan bermusim terutama durian sehingga menyebabkan sering berlaku masalah lambakan buah berkenaan di pasaran.

Menyedari keadaan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), membina sebuah bilik sejuk beku bagi tujuan memproses durian menjadi isi durian beku bagi pasaran tempatan dan eksport.

Pusat penyimpanan sejuk beku yang pertama di negara ini khusus untuk menyimpan durian dibina dengan kos RM400,000 dan mampu menyimpan 20 tan durian pada satu masa.

Masalah lambakan durian sehingga menyebabkan harganya jatuh teruk dan merugikan pekebun kini dapat diatasi dengan pembukaan pusat penyimpanan dan pemprosesan sejuk beku.

Pusat penyimpanan sejuk beku yang terletak di Jalan Solok, itu mula beroperasi sepenuhnya pada Jun tahun lalu menggunakan teknologi sejuk beku yang mampu mengekalkan jangka hayat buah durian iaitu sehingga enam bulan, manakala isi buah yang sudah dikeluarkan mampu bertahan sehingga dua tahun.

Melalui pusat penyimpanan sejuk beku itu, Fama kini mengeksport isi durian beku ini ke Australia, dalam usaha menambah nilai kepada raja buah ini di peringkat antarabangsa.

Pegawai Fama daerah, Abd Malek Ramli, berkata pada tahun lalu, Fama berjaya mengeksport satu kontena durian sejuk beku ke Australia dan pada musim durian tahun ini yang dijangka akhir Julai ini, Fama akan dapat mengeksport kira-kira 20 kontena durian ke negara berkenaan.

Katanya, pusat sejuk beku itu boleh menyimpan buah durian yang disejuk beku atau isi durian yang boleh dijadikan puri dan perasa durian.

“Kewujudan pusat sejuk beku itu dapat mengatasi masalah lambakan durian apabila setiap kali musim durian dengan Fama akan membeli durian di 17 pusat pengumpulan di daerah Ledang dan Muar.

“Jika durian di Ledang dan Muar tidak mencukupi, Fama biasanya akan membeli durian daripada negeri lain terutama di Kelantan dan Pahang bagi menampung keperluan pemprosesan durian di pusat berkenaan,” katanya.

Abdul Malek berkata, Fama akan membeli durian berkenaan mengikut harga pasaran semasa tetapi jika harga durian jatuh dengan teruk, Fama akan mengambil langkah membelinya dengan harga yang lebih mahal berbanding pasaran bagi membantu pekebun.

Beliau berkata, pusat penyimpanan sejuk beku itu mampu memproses 200 metrik tan durian yang boleh dijadikan kira-kira 20 metrik tan isi durian yang boleh disimpan dalam tempoh yang lama.

Katanya, pada masa ini, durian yang disejuk beku ialah durian klon D24 yang mempunyai hasil dan kualiti buah yang bermutu tinggi menyebabkannya diminati pembeli serta mudah untuk diproses dalam bentuk sejuk beku bagi pasaran dalam dan luar negara.

“Buah durian sejuk beku itu boleh dimakan selepas kira-kira dua jam dikeluarkan daripada bilik sejuk beku, manakala bagi puri dan isi durian ia boleh dimakan dalam tempoh kira-kira setengah jam selepas dikeluarkan.

“Rasa dan aroma bau durian itu tetap sama seperti durian biasa menyebabkan kita boleh merasai durian sepanjang tahun tanpa perlu menunggu musim durian gugur,” katanya.

Abd Malek berkata, pusat penyimpanan sejuk beku itu juga dijadikan sebagai pusat pembangunan penyelidikan buah yang sesuai menggunakan proses yang sama.

“Selain buah durian dan isinya yang dijadikan puri, pusat penyimpanan sejuk beku itu kini menjalankan penyelidikan mengenai buah cempedak untuk menjalani proses yang sama.

“Setakat ini hasil penyelidikan mendapati buah cempedak juga sesuai disejuk beku kerana isi dan rasanya tidak berubah, cuma kulitnya didapati yang berubah menyebabkan kita perlu menjalankan penyelidikan susulan,” katanya.

Beliau, kejayaan menghasilkan durian dan cempedak menggunakan pusat penyimpanan sejuk beku itu berjaya meningkatkan lagi nilai tambah buahan berkenaan, sekali gus memastikan harga yang lebih tinggi.

2 thoughts on “Pusat sejuk beku buah durian

  1. Call /Whatsapp: 0123153522. Sy berminat utk menjadi pengedar isi durian asli di kawasanBBBangi, Semenyeh, Beranang, Seri Kembangan, Ceras dan Kajang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s