Terengganu tak toleh belakang maju pertanian

SEKTOR pertanian dan industri asas tani adalah antara bidang utama yang diberi penekanan kerajaan bagi memastikan golongan penternak, petani dan nelayan tempatan menambah pendapatan tambahan, sekali gus meningkatkan pulangan ekonomi kendiri dan negara.

Terengganu adalah antara negeri yang mengorak langkah pantas meningkatkan sektor industri asas tani, selaras hasrat pemimpin Perdana Menteri supaya memartabatkan sektor itu ke tahap lebih tinggi. Apatah lagi, negeri itu memiliki keistimewaan tersendiri dengan majoriti penduduknya cenderung membabitkan diri dalam bidang pertanian, selain memiliki banyak kawasan berpotensi untuk dibangunkan.

Lawatan sehari Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat ke beberapa lokasi projek pertanian dan ternakan kendalian Terengganu Agriculture Development Corporation Sdn Bhd (TADC) serta Perbadanan Memajukan Iktisad Terengganu (Permint) baru-baru ini memperlihatkan kesungguhan agensi itu memaju serta menjadikan bidang pertanian dan industri asas tani lebih moden.

Peranan utama TADC adalah untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Terengganu, menaikkan pendapatan penduduk dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat. Permint pula yang memiliki pengalaman luas dalam pelbagai industri berazam membangunkan sektor pertanian dengan memberi penekanan kepada sektor perikanan.

Lawatan turut disertai Pengurus Besar Permint, Datuk Zakaria Awang dan Pengarah Eksekutif TADC, Adnan Ghazali bermula di Kompleks Pengeluaran Barramundi fasa pertama di Tanjung Demong, Besut yang menempatkan operasi pengeluaran ikan siakap kendalian syarikat akuakultur antarabangsa yang beribu pejabat di Australia Barat, Cell Aquacultrue Limited (Cell).

TADC menguasai 70 peratus ekuiti dalam usaha sama dengan Cell menubuhkan Trg Cell Sdn Bhd (Trg Cell) bagi membangunkan sistem untuk industri akuakultur, termasuk mengeluar dan membekalkan ikan pelbagai spesies berkualiti, membekal dan memasang sistem pemasaran ikan, menguruskan operasi, jualan dan pemasaran produk.

Konsep ternakan ikan tertutup yang pertama seumpamanya di negara ini yang dimulakan tiga tahun lalu sudah mula menampakkan hasil dan diyakini mampu menjadi pemangkin pengeluaran hasil makanan bukan saja untuk pasaran tempatan, malah luar negara.

Fokus menjadikan Terengganu pengeluar utama industri akuakultur pada peringkat antarabangsa, pelan pembangunan Trg Cell meliputi pembangunan pusat penetasan pelbagai spesies ikan bertaraf dunia. Pelan pembangunan peringkat pertama sudah bermula dan akan mencapai kapasiti pengeluaran maksimum sehingga lapan juta anak benih ikan setahun, yang akan menjadikan Terengganu salah satu pusat penetasan ikan terbesar di dunia.

Rozi berkata, impak dan faedah program usaha sama itu mampu mewujudkan pulangan antara RM800 dan RM1,000 sebulan kepada graduan dan usahawan, selain peluang kerja kepada rakyat tempatan dengan pendapatan RM250 hingga RM300 sebulan dengan pengeluaran fasa pertama dianggarkan mencecah 100 hingga 120 tan metrik setahun.

“Melalui langkah mengubah corak penternakan tradisional dan kecil-kecilan kepada yang lebih moden dan berkembang bukan saja akan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan rakyat, malah mampu mengikis pemikiran lapuk bahawa bidang pertanian, penternakan dan nelayan yang sinonim dengan kemiskinan.

“Kita mahu keluar daripada kepompong itu dan membuktikan bahawa bidang akuakultur dan agrotani mampu melahirkan jutawan yang terkenal dalam dan luar negara dengan hasil produk lebih standard untuk pasaran antarabangsa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong.

Satu lagi projek seumpamanya ialah projek ternakan ikan kerapu harimau menggunakan sistem ‘flow through’ di Kampung Rhu Sepuluh, Setiu yang beroperasi dengan 72 tangki ternakan yang mengepam dan mengalirkan air laut terus ke dalam kolam takungan.

Menariknya, projek ini turut menyediakan enam kolam rawatan ikan berpenyakit yang ditempatkan dalam air laut ditakung bercampur ubatan untuk memulihkan ikan yang sakit sebelum dijual di pasaran.

Dua jenis kerapu utama diternak di situ ialah kerapu harimau dan kerapu tikus yang diletakkan dalam kolam fiber yang putaran airnya ditukar sebanyak tiga kali sehari dan setiap ekor ikan ini dijual di pasaran tempatan dan Hong Kong pada harga mencecah RM30 hingga RM35 seekor.

Setakat ini, dianggarkan sebanyak dua tan tuaian sudah dibuat dengan 16 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dilantik sehingga berupaya meraih pendapatan sebanyak lebih RM500 sebulan sebagai pendapatan sampingan.

Di Kampung Fikri, Setiu pula projek ternakan dalam kolam menggunakan teknologi ‘high density recirculation pond water cultured system’ yang dibangunkan di atas tanah seluas 200 hektar milik kerajaan negeri dengan operasi 16 kolam ternakan udang dan siakap yang terbahagi kepada dua fasa.

Projek usaha sama TADC dengan Fenomena Luas Sdn Bhd (FLSB) melalui anak syarikat TRG Aquaculture Sdn Bhd yang menumpukan pasaran produk ke Amerika Syarikat dan Eropah dalam bentuk filet, manakala ikan hidup lebih menjurus kepada pasaran Hong Kong dan Singapura.

Rozi berkata, empat peserta PPRT sudah dilantik sebagai peserta program dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM780 sebulan dan penambahan peserta akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan dan pengoperasian ternakan syarikat.

Aspek pertanian di negeri itu akan lebih cekap dan maju dengan pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Tani di Kampung Telaga Papan, Setiu yang akan menjadi hab masuk dan keluar hasil tani daripada seluruh negeri yang akan melalui proses pembungkusan menepati standard antarabangsa untuk pasaran negara luar dan tempatan.

“Di sinilah buah-buahan akan diproses sebelum dibungkus mengikut standard pasaran antarabangsa. Sebelum ini, hasil tani kita agak sukar menembusi pasaran antarabangsa kerana produk tidak menepati saiz dan standard pasaran di sana, tetapi kini dengan prasarana dan kemudahan serba moden, produk kita bakal bersaing dengan produk dari negara lain.

“Skim Kesejahteraan Petani (Sutratani) di sini juga sudah memulakan tiga modul dengan anggaran RM4 juta membabitkan lapan peserta dengan setiap inkubator. Untuk satu pusingan lengkap dengan anggaran masa 16 bulan, dua jenis tanaman akan ditanam dan menghasilkan jangkaan pengeluaran setiap modul pada purata 14,000 polibeg mentimun dan cili.

“Program ini memberi manfaat jangka panjang untuk meningkatkan pendapatan petani. Kita berharap dengan pendekatan pertanian secara moden membabitkan peserta inkubator secara terus dan terancang akan memberi rangsangan baru bagi sektor pertanian di negeri ini,” katanya.

Projek unjam tingkat pendapatan nelayan

SEMPORNA 27 Mei – Projek unjam yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberikan impak positif dalam meningkatkan hasil laut sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, menerusi projek tersebut didapati hasil tangkapan nelayan pesisir pantai semakin meningkat berbanding sebelum ini.

Katanya, berdasarkan kajian yang dilaksanakan LKIM bersama Universiti Putra Malaysia terbukti unjam-unjam ini memberi impak yang amat baik kepada peningkatan pendapatan nelayan iaitu antara 40 hingga 88 peratus.

“Kepadatan ikan di kawasan unjam-unjam juga menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding di kawasan terbuka,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Ladang Ikan di Laut (unjam) di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Datuk Harman Ahmad; Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad; Pengarah LKIM Negeri, Zainal Ali dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri, Jumahat Intang.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, program seperti itu bukan sahaja sukar dilaksanakan, malah turut melibatkan perbelanjaan serta peruntukan yang agak besar.

Jelasnya, sehingga kini LKIM telah membelanjakan lebih RM5 juta bagi melaksana projek unjam di perairan Sabah iaitu di Papar, Semporna, Tawau, Sandakan, Pulau Banggi, Kudat, Kota Belud, Tuaran dan Kuala Penyu.

Justeru itu katanya, semua nelayan perlu merebut peluang dan mengambil manfaat sepenuhnya daripada program tersebut selain sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan.

“Di sini jelas kepada kita bahawa program pembinaan unjam-unjam sama ada yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh LKIM dapat memberikan impak amat besar bukan sahaja kepada masyarakat nelayan setempat malah dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Justeru janganlah kita musnahkan atau sengaja melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti mengebom ikan di kawasan unjam kerana perbuatan ini bukan sahaja merosakkan struktur unjam, malahan mengakibatkan kematian ikan, seterusnya menjadikan kawasan unjam tersebut tidak produktif,” katanya,

Afrika Selatan Dan Taiwan Pertama Kali Sertai MAHA 2008

KUALA LUMPUR, 24 Mei  — Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2008 (MAHA 2008) yang bakal berlangsung pada 11 hingga 23 Ogos, akan menerima penyertaan buat pertama kalinya dari Afrika Selatan dan Taiwan.

MAHA 2008, aktiviti dwi-tahunan yang mengumpulkan agensi-agensi kerajaan dan komuniti industri pertanian tempatan dalam satu bumbung, turut menyaksikan penyertaan dari negara-negara luar seperti Eropah dan India, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz.

“MAHA merupakan pameran pertanian yang terbesar di Malaysia. Sambutan orang ramai terhadap MAHA pada pameran-pameran lepas begitu menggalakkan.

“Satu format baru telah dimulakan pada tahun 2002 di mana MAHA menerima penyertaan dari syarikat-syarikat antarabangsa. Negara-negara baru yang akan menyertai MAHA 2008 termasuk Afrika Selatan dan Taiwan,” katanya dalam sesi temubual Helo Malaysia di Bernama TV di sini, Sabtu malam.

Sehubungan itu, beliau yakin menerima 1,500 peserta untuk tahun ini berbanding hampir 1,000 peserta pada tahun 2006.

Pameran MAHA yang sebelum ini (MAHA 2006) telah dapat menarik lebih daripada satu juta pengunjung dan beliau menjangka MAHA tahun ini akan menjadi lebih hebat, terutama dengan tersedianya tapak pameran kekal di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), yang dianggarkan menelan belanja RM220 juta.

“Pameran terakhir menggunakan marquee tents, tetapi MAHA tahun ini ada struktur bangunan yang lebih selesa, besar dan hebat,” jelas Mohamed Shariff.

Beliau berkata MAHA 2008 juga menerima penyertaan daripada lebih 350 peniaga dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang akan mengetengah dan memasarkan produk tempatan dari hasil pertanian.

Apa yang lebih menarik, lebih daripada 100 makanan popular dan istimewa dari setiap negeri juga akan dipaparkan semasa pameran itu mee udang dari Pulau Pinang dan mee bandung dari Muar, Johor, katanya lagi.

MAHA 2008 yang dianjurkan oleh FAMA dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dijangka menjadi acara terbesar tahun ini untuk industri asas tani di mana ia telah dinamakan sebagai pameran terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed baru-baru ini mensasarkan MAHA 2008 mampu menarik 1.3 juta pengunjung dari luar dan dalam negara.

Mustapa berkata hampir 1,000 penyertaan telahpun diterima di mana 11 daripadanya adalah dari luar negara.

Tahun ini juga menyaksikan Australia dipilih sebagai “negara tetamu” kerana ia adalah sebuah negara yang paling berjaya dalam bidang pertanian.

— BERNAMA

Pameran ternakan besar-besaran

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu bercadang menganjurkan pameran haiwan ternakan secara besar-besaran tahun depan dalam usaha memperkenalkan pelbagai jenis baka yang dihasilkan oleh penternak di negeri ini ke pasaran terbuka.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, kertas cadangan mengenai program tersebut sedang disiapkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Terengganu.

“Terengganu sememangnya kaya dengan pelbagai baka haiwan ternakan tetapi ia tidak diketengahkan sehingga menjadi budaya penternak hanya sekadar menternak di kawasan rumah sahaja.

“Padahal ternakan mereka mempunyai nilai komersial yang tinggi, apatah lagi ramai penternak kita yang pakar dalam sistem permanian beradas,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Sukan dan Kebajikan Veterinar Terengganu (Kesuvet) di sini semalam.

Mengulas lanjut Rozi berkata, pihaknya yakin pameran itu akan mencetuskan proses jual beli haiwan ternakan secara berkesan sekali gus membuka ruang perniagaan lebih luas kepada penternak.

”Keunikan penternak Terengganu ialah ramai di kalangan mereka yang pakar dalam melaksanakan proses permanian beradas tanpa bergantung kepada pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

“Kepakaran ini jarang ada dan dilakukan oleh penternak di negeri lain dan ia juga dapat menjana pendapatan sampingan kepada mereka,” ujarnya.

Telaga ikan diwujud bantu nelayan

SUNGAI PETANI: Persatuan Nelayan Kedah Darulaman (Nekad) berjaya mewujudkan beberapa kawasan telaga ikan di kawasan perairan negeri itu bagi membantu kehidupan nelayan mencari rezeki. Pengerusi Nekad, Datuk Jusoh Awang berkata, projek usaha sama pihaknya dengan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan tersebut dijalankan baru-baru ini, dengan peruntukan khas kerajaan sebanyak RM10 juta.

Katanya, sebanyak 54 buat bot nelayan yang tidak digunakan lagi telah ditenggelamkan di dasar lautan bagi membentuk tukun dan telaga ikan tersebut.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada nelayan tidak lama lagi. Melalui kaedah ini, kita telah menjadikan kawasan tangkapan ikan bagi nelayan pantai lebih luas iaitu 12 batu nautika dari pesisir pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23 Nekad yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini, malam kelmarin.

Menurut Jusoh, kawasan telaga ikan tersebut juga merupakan usaha kerajaan dan pihaknya untuk membantu kehidupan kira-kira 8,000 nelayan pantai dan tradisi di seluruh Kedah.

“Berdasarkan situasi kini, hasil ikan dan laut yang ditangkap bagi setiap nelayan makin berkurangan.

“Keadaan ini disebabkan berlakunya persaingan hebat di kalangan nelayan tempatan dan juga pencerobohan nelayan asing,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Nekad sedang merancang satu program pemindahan nelayan laut ke darat melalui projek ternakan ikan air tawar di Tasik Pedu tidak lama lagi.

Menurutnya, melalui kaedah tersebut, sebahagian nelayan laut yang sebelum ini hidup dalam kedaifan akan diberikan peluang untuk menternak ikan dalam sangkar di Tasik Pedu.

“Projek ini telah dipersetujui Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Pusat. Kira-kira 1,000 sangkar ikan akan diwujudkan di situ.

“Selain membantu meningkatkan taraf hidup nelayan, program ini juga boleh mengurangkan persaingan di kalangan nelayan untuk turun ke laut ekoran kawasan tangkapan ikan makin terhad,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Jusoh berkata, Nekad berjaya memperoleh keuntungan kira-kira RM700,000 hasil pelbagai perniagaan yang dijalankan persatuan itu sepanjang tempoh tahun lalu.

Katanya, lebihan keuntungan tersebut akan digunakan persatuan untuk membantu kebajikan ahlinya yang dianggarkan kini lebih 8,000 orang.

Nelayan perlu bilik beku simpan stok ikan

ROSAK: Sebahagian daripada stok ikan yang rosak dan sukar untuk dipasarkan kerana masalah ketiadaan sistem penyimpanan bilik penyejuk beku yang sempurna di Jeti LKIM Kuala Perlis.

Kemudahan perlu disediakan LKIM bagi elak hasil tangkapan busuk atau dijual di negara jiran

KANGAR: Jumaat lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara menahan tujuh nelayan termasuk dua warga Thai bersama sebuah bot nelayan pukat hanyut sarat dengan muatan lebih 2,000 kilogram ikan pelbagai jenis di perairan Kuala Perlis.

Ketika kejadian, bot dengan tujuh awak-awak berusia antara 21 hingga 42 tahun itu dilihat sedang memecut laju di perairan terbabit menghala sempadan Malaysia-Thailand di sini, kira-kira jam 5.30 pagi.

Hasil pemeriksaan, mereka dikesan cuba menyeludup 2,225 kilogram ikan bernilai hampir RM5,000 ke negara jiran melalui perairan Kuala Perlis. Semua mereka kemudian ditahan, manakala bot serta ikan pula dirampas untuk tindakan lanjut.

Bagi sesetengah pihak, tindakan tujuh awak-awak terbabit terutama lima nelayan tempatan yang ditahan dilihat seolah-olah perbuatan pengkhianat yang cuba mengaut keuntungan cepat hasil daripada kegiatan jenayah penyeludupan.

Selain itu, tidak kurang pula yang menganggap kumpulan nelayan ini seperti penyangak yang cuba mencuri hasil laut negara demi kepentingan sendiri, tanpa mengambil kira sama ada tindakan diambil menyalahi undang-undang.

Namun, di sebalik senario itu, tidak ramai yang tahu golongan nelayan terutama di sekitar Kuala Perlis berdepan seribu satu masalah termasuk yang sudah bertahun lamanya dihadapi.

Malah, Berita Harian ketika menyusuri kehidupan kumpulan nelayan di sekitar Kuala Perlis, baru-baru ini, turut terkejut apabila ada antara mereka mengaku tidak pilihan kecuali membawa hasil ikan yang diperoleh ke negara jiran, bagi mengelak daripada rugi teruk.

Paling membimbangkan, ada kalangan mereka terpaksa berbuat demikian semata-mata untuk mengelak daripada kehilangan mata pencarian dan tindakan membawa keluar ikan terbabit diambil bukan bertujuan mengaut keuntungan cepat, tetapi lebih kepada menyelamatkan periuk nasi masing-masing, terutama untuk mengisi perut anak mereka yang kelaparan.

Difahamkan, kumpulan nelayan di sekitar Kuala Perlis menghadapi masalah penyimpanan stok sejak sekian lama sehingga menyebabkan hasil yang dibawa pulang cepat rosak.

Ini kerana, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) gagal menyediakan tempat penyimpanan stok yang sempurna di jeti pendaratan ikan, menyebabkan banyak ikan yang dibawa pulang cepat rosak kerana tidak dapat disimpan dalam keadaan baik.

Malah, pemborong juga enggan mengambil stok ikan yang sudah rosak, kecuali dengan harga yang rendah sehingga 40 sen atau 50 sen sekilogram dan nelayan tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menerima tawaran itu, bagi mengelak kerugian.

Seorang nelayan, Isnan Zubir, 21, berkata isu ketiadaan bilik penyejuk beku di LKIM sebenarnya bukan perkara baru, malah sudah lama dialami nelayan Kuala Perlis sejak 10 hingga 20 tahun lalu.

Katanya, ketiadaan bilik penyejuk beku menyebabkan ikan sukar dipasarkan dan atas sebab itu juga LKIM enggan menerima ikan dalam jumlah banyak, sedangkan stok berkenaan sudah mulai rosak sehingga sukar untuk dipasarkan.

Apabila ini berlaku, nelayan terpaksa mencari pemborong yang sanggup membeli ikan dalam kuantiti kecil iaitu antara 100 hingga 200 kilogram dan bayangkan berapa banyak pemborong yang perlu dicari bagi menghabiskan sejumlah lebih 2,000 kilogram ikan.

“Sudahlah kita berdepan masalah penyimpanan, kini terpaksa pula mencari pemborong sendiri untuk memasarkan stok sedangkan ikan semakin lama semakin reput. Justeru, ramai di kalangan nelayan memilih untuk membawa stok ikan ke negara jiran,” katanya.

Rakannya, Mohd Yazid Razi, 29, berkata ada di kalangan nelayan yang terpaksa menghantar stok ikan mereka ke negara jiran bagi mengelak daripada mengalami kerugian.

Katanya, ketiadaan sistem penyejuk beku yang sempurna menyebabkan nelayan berperang dengan masa apatah lagi semakin lama ikan di luar tanpa penyimpanan sempurna, semakin cepat ia rosak.

“Kita terpaksa membawa ikan ke negara jiran secara haram kerana tidak dapat menunggu waktu pejabat untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

“Bayangkan nelayan pulang ke jeti jam 4 atau 5 pagi dengan stok ikan yang banyak. Tanpa sistem penyimpanan sejuk beku yang baik, ikan akan busuk jika tidak dijual segera,” katanya yang sudah beberapa kali menanggung nasib sama.

Difahamkan, nelayan pukat hanyut di Kuala Perlis memerlukan modal antara RM400 hingga RM500 untuk setiap kali ke laut. Jika ikan yang dibawa pulang tidak dapat dipasarkan, maka modal mereka akan hilang dan kerja mereka seharian menjadi tidak berbaloi.

Justeru, nelayan di sini, meminta LKIM mencari jalan penyelesaian terutama menyediakan sebuah bilik penyimpanan sejuk beku yang sempurna, selain memikirkan alternatif pemasaran, bagi mengelak mereka menyeludup ikan ke negara jiran.

Ini kerana, mereka yang dikesan menyeludup ikan ke negara jiran boleh didakwa mengikut Peraturan 4A(3) Peraturan-peraturan Pemasaran Ikan 1973 (Pindaan 1988) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 17(1) Akta Lembaga Kemajuan Ikan. Selain itu, mereka juga boleh didakwa mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa barangan tanpa kelulusan Kastam Diraja Malaysia.

Nelayan buka industri keropok

TEKUN: Antara pekerja Roslan melakukan kerja harian menyiang ikan di Kampung Nenasi Pantai di Pekan, Pahang.

Perniagaan diusaha Roslan di Kampung Nenasi Pantai beri pendapatan lumayan, bantu jiran dapat pekerjaan sampingan

Keperitan hidup sebagai keluarga nelayan yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan harian untuk perbelanjaan keluarga menyebabkan seorang anak nelayan di Kampung Nenasi Pantai dekat sini, terbabit dalam industri pembuatan keropok ikan tamban.

Perniagaan dilakukan Roslan Awang, 44, dengan bantuan isterinya, Noreda Mustafa, 38, itu walaupun masih berkaitan kehidupan nelayan, memberi pendapatan lumayan kepada keluarga berkenaan dengan pendapatan kasar berjumlah kira-kira RM11,000 sebulan.

Pendapatan itu nyata bukan saja mampu mengubah hidup Roslan sekeluarga malah turut membantu keluarga nelayan lain di sekitar kampungnya meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

Roslan berkata, industri kecil-kecilan yang dilakukannya sejak 14 tahun lalu itu memberi pekerjaan kepada 12 penduduk kampung, khasnya isteri dan anak nelayan.

Beliau berkata, dia membeli ikan tamban segar seberat satu tan berharga RM2,000 setiap dua atau tiga hari sekali, bagi menghasilkan kira-kira 5,000 batang keropok lekor, selain 20 kilogram keropok kering sehari.

Katanya, produk makanan menggunakan jenama `Keropok Nenasi’ itu dihantar ke seluruh negara, termasuk Perlis, Johor dan Singapura.

“Saya tidak mahu mewarisi kerjaya keluarga menjadi nelayan, sebaliknya berusaha terbabit dalam perniagaan untuk mengubah ekonomi keluarga tetapi bidang diceburi ini masih berkait rapat dengan kehidupan nelayan.

“Saya bangga kerana perniagaan membuat Keropok Nenasi ini turut memberi peluang isteri dan anak nelayan di sekitar kampung ini menambah pendapatan dengan bekerja secara sambilan dengan saya.

“Mereka bekerja pada waktu petang untuk membersihkan ikan tamban dan bayaran diberi mengikut jumlah ikan dibersihkan iaitu 40 sen bagi setiap sekilogram. Secara purata, mereka mampu memperolehiRM15 sehari dalam tempoh kira-kira empat jam bekerja,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Proses pembuatan keropok ikan tamban bermula dengan menyiang dan membersihkan ikan sebelum isi ikan disimpan dalam peti sejuk.

Selepas disimpan selama 12 jam, isi ikan akan dimesin hancur dan digaul dengan tepung untuk dijadikan keropok lekor dan keropok kering.

Roslan yang mendapat sokongan Mardi, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memajukan industri itu, berkata permintaan terhadap produk keluarannya sangat membanggakan, malah adakalanya dia gagal memenuhi permintaan berikutan kekurangan bahan mentah.

“Bagaimanapun, saya terkilan kerana terpaksa menghasilkan keropok ini di bangsal milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang disewa RM400 setahun sejak 14 tahun lalu.

“Saya sudah memohon mendapatkan tempat lebih selesa untuk memperluaskan lagi perniagaan ini tetapi belum mendapat maklum balas sehingga sekarang.

“Sebenarnya, saya bercadang menghasilkan keropok beku untuk dipasarkan di seluruh negara tetapi terpaksa menyimpan hasrat itu kerana tiada tempat operasi yang luas,” katanya yang masih mengikuti kursus kemahiran dua kali sebulan.

Bagi Semek Muda, 44, dia mampu memperoleh pendapatan hampir RM500 sebulan sejak bekerja di situ, tujuh tahun lalu.

“Pendapatan ini boleh membantu keluarga kerana pendapatan suami sebagai nelayan tidak menentu.

“Pada waktu petang, saya menyiang dan membersihkan ikan dan pagi esoknya pula, akan membantu memesin ikan untuk dijadikan keropok,” katanya.

Rakannya, Habsah Muda, 54, berkata kerja sambilan membersihkan ikan tamban yang dilakukannya empat kali sebulan sejak dua tahun lalu, membolehkan dia memperoleh pendapatan tambahan bulanan kira-kira RM200.

“Saya tidak bekerja dan peluang membantu Roslan mengusahakan perniagaan keropok ikan tamban ini, sekurang-kurangnya dapat mengisi masa lapang dan menambah pendapatan keluarga.

“Biasanya, kami bekerja bermula jam 2 petang dan saya hanya bekerja empat kali sebulan,” katanya yang memiliki enam anak.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi, Kamaruzaman Nordin, berkata dia mula mengambil upah menyiang dan membersihkan ikan tamban di situ sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia bekerja sambilan selepas tamat waktu persekolahan iaitu bermula jam 3.30 petang hingga 6 petang dan setiap jam 8 pagi hingga 6 petang pada Sabtu serta Ahad.

“Saya tidak rasa jijik bergelumang dengan ikan setiap hari dan membuat kerja yang biasanya dilakukan wanita ini kerana saya anak nelayan.

“Lebih baik saya melakukan kerja berfaedah seperti ini daripada membuang masa, malah wang yang diperoleh di sini, digunakan untuk membeli buku dan disimpan untuk membiayai kursus `catering’ yang akan saya ikuti kelak,” katanya yang juga anak kelima daripada lapan beradik.

FAKTA: Keropok Lekor Nenasi

# Keropok lekor (basah) yang dikeluarkan Roslan dijual kepada peniaga dan kantin sekolah di sekitar Rompin dan Pekan setiap hari.

# Sering menerima jemputan mengadakan pameran produk berasaskan ikan daripada Jabatan Perikanan di seluruh Pahang.

# Dalam tempoh sehari, 20 kilogram keropok kering dihasilkan selain 5,000 batang keropok lekor.

# RM2,000 dibelanjakan untuk membeli satu tan ikan tamban segar untuk bahan asas Keropok Nenasi setiap dua atau tiga hari.