Mengkudu banyak khasiat

Mengkudu Morinda citrifolia L.
Famili: Rubiaceae
Nama lain Noni

POKOK Mengkudu dikenali masyarakat Melayu sebagai ubat. Pucuk mudanya dikatakan dapat mengawal batuk, muntah, demam dan dijadikan tonik.

Masyarakat desa sering makan pucuk muda sebagai sayuran selepas dijadikan kerabu atau campuran nasi ulam. Buahnya juga dimakan segar yang dikatakan dapat melawaskan haid, diuretik dan laksatif.

Mengkudu kini dipasarkan sebagai ubat yang dapat merangsang sistem imun dan antioksidan.

Pucuk atau daun muda mengkudu mengandungi khasiat makanan tinggi. Dalam tiap-tiap bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 89.1 gram (g), protein 3.9 g, lemak 0.6 g, karbohidrat 2.2 g, serat 3.o g, kalsium 114 miligram (mg), fosforus 14 mg, ferum 2.8 mg, natrium 18 mg, kalium 234mg, karotena 3619 ug, vitamin A 603 ug, vitamin B1 1.5 mg, B2 0.32 mg niasin 1.0 mg vitamin C 115 mg. Di Malaysia Ada dua spesies mengkudu, iaitu mengkudu besar dan mengkudu kecil (Morinda elliptica )

Mengkudu besar, pokoknya kecil mencapai ketinggian 3 � 8 meter. Batang bengkang-bengkok, berwarna kelabu asap, berdahan banyak membentuk silara agak rimbun terbuka.

Daunnya berukuran 15 � 25 sentimeter (sm) panjang, 6 � 10 sm lebar dan berwarna hijau muda. Bunganya kecil, bentuk cerombong, berwarna putih, tumbuh di kepala bunga. Buahnya bujur, 5 � 10 sm panjang , 2 � 4 sm lebar berwarna putih kekuningan. Isinya lembik dan berjus apabila masak, mengandungi biji yang banyak.

Mengkudu kecil mempunyai daun yang runcing, berukuran 12 � 17 sm panjang dan 3 � 4 sm lebar. Buahnya kecil, berukuran 2 � 2.5 sm panjang dan 1 � 1.5 sm lebar, berwarna kehitaman apabila masak.

Pokok Mengkudu mudah ditemui di dusun, kampung dan sekitar pinggir hutan atau belukar. Kebanyakan pokok ini ditanam secara tak formal hasil daripada sebaran biji benih oleh burung.

Penemuan khasiat ubat, pokok mengkudu kini mula ditanam secara perladangan untuk tujuan komersial. Pokok mengkudu mudah dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Kios Citamas pasar produk pengusaha kecil

Kada utamakan aspek pembungkusan bagi menjamin mutu keluaran sebelum dipasar besar-besaran

KOTA BHARU: Pengusaha kecil Bumiputera sememangnya mampu menghasilkan produk makanan berkualiti dan enak, namun pada masa sama masih dibelenggu sistem pemasarannya yang lemah dalam usaha meningkatkan jualan masing-masing.

Selain kelemahan sistem pemasaran, produk Bumiputera juga berdepan dengan masalah imej kerana aspek pembungkusan yang kurang diberi perhatian sehingga tidak mampu menarik perhatian.

Menyedari kelemahan itu, demi membantu pengusaha industri asas tani dalam aspek pemasaran, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) mengambil inisiatif membuka pusat jualan yang menempatkan semua produk keluaran pengusaha terbabit di dalam kawasan pentadbirannya.

Pusat jualan atau kios yang dikenali sebagai Citamas itu memudahkan pengusaha kecil sekitar kawasan Kada memasarkan produk masing-masing dan pada masa sama membolehkan orang ramai mengenali produk itu yang sememangnya bermutu dan terjamin.

Ketua Cawangan Industri Asas Tani Kada, Zahari Ab Rahman, berkata ketika ini, ada 150 pengusaha kecil industri asas tani giat mengeluarkan produk masing-masing dalam kawasan Kada.

“Mereka adalah pengusaha Bumiputera yang diberi bantuan oleh Kada untuk mengembangkan perusahaan masing-masing menerusi kursus termasuk pengurusan jualan, pembungkusan dan pemasaran. Kita mensasarkan peningkatan jumlah sehingga 200 pengusaha.

“Bagaimanapun, ada antara mereka yang tidak mampu memasarkan produk mereka ke peringkat lebih luas termasuk memasuki pasar raya terutama bagi pasaran di luar negeri ini.

“Berikutan itu, Kada memperkenalkan kios Citamas yang membantu menghimpunkan pelbagai produk terbabit untuk dipasarkan secara lebih luas.

“Ketika ini, Kada sudah membuka tiga kios Citamas iaitu dua di Kota Bharu dan satu di Pasir Puteh. Kada merancang sekurang-kurangnya sebuah kios di setiap jajahan negeri ini,” katanya.

Perasmian kios Citamas dekat Kampung Padang Enggang, Jalan Pasir Hor di sini, dirasmikan Pengarah Bahagian Mekanikal dan Elektrikal Kada, Mohd Ridzuan Ismail, baru-baru ini.

Kios Citamas di situ menawarkan pelbagai produk untuk jualan termasuk produk sejuk beku dan makanan ringan seperti kerepek, serunding, ayam goreng serta pelbagai jenis kek.

Zahari berkata, Kada mensasarkan setiap usahawan yang menyertai kios Citamas mampu memperoleh pendapatan bersih antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan, malah seorang pengusaha kek kini mampu memperoleh sehingga kira-kira RM10,000 sebulan.

“Ini adalah usaha Kada dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sebagai langkah membantu pengusaha Bumiputera meningkatkan pasaran produk,” katanya.

Beliau berkata, Kada juga memastikan rangkaian produk keluaran 150 pengusaha itu saling berkaitan antara satu sama lain, bagi memudahkan mereka mendapat bekalan bahan asas, bergantung kepada produk yang dihasilkan.

“Langkah itu juga mampu menjimatkan kos bahan asas yang diperlukan setiap pengusaha kerana senarai produk dikeluarkan pengusaha itu dipantau, sekali gus memudahkan pertukaran bahan di antara satu sama lain,” katanya.

Zahari berkata, penubuhan kios yang pertama diwujudkan Kada dengan sasaran utamanya pelanggan pelbagai lapisan masyarakat kerana setiap produk dipastikan berkualiti baik.

“Kada juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan Sijil Halal Malaysia untuk setiap pengusaha khasnya mereka yang mengeluarkan produk makanan yang berasaskan ternakan ayam dan daging seperti serunding, karipap inti dan ayam goreng.

“Produk lain yang diusahakan mereka juga turut mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembungkusan makanan halal, bersih dan berkualiti,” katanya.

Pengusaha Kada, Ahmad Shukri Abd Rahman, 53, berkata beliau menjadi pengusaha di bawah bimbingan Kada sejak 1996 dan kini mampu membesarkan kilang serbuk kari yang mulanya dibuat secara kecil-kecilan.

“Kini saya mampu mengeluarkan produk berasaskan kari dan sup jenama, Hajri, dalam kuantiti besar hasil bantuan Kada yang memberi bimbingan dari segi pemasaran, pembungkusan dan pengurusan.

“Bermula dengan modal RM1,500 dan dua produk iaitu serbuk kari daging dan ayam, kini rangkaian produk Hajri sudah ditambah merangkumi pelbagai jenis sup, kari asam pedas, kuzi, kerutup dan kurma yang dipasarkan meluas ke seluruh negeri dan luar Kelantan selain kios kendalian Kada,” katanya.

Bagi pengusaha makanan ringan, Zainon Salleh, 44, berkata sebagai ahli Pertubuhan Peladang dan pengusaha industri kecil dan sederhana, beliau bersyukur kerana Kada banyak memberi bantuan kepadanya.

“Sebelum ini saya hanya mengusahakan makanan ringan seperti keropok bilis, jejari manis, kerepek bawang dan keropok sira dalam kuantiti kecil-kecilan hampir lima tahun.

“Setelah menjadi pengusaha di bawah bimbingan Kada sejak tiga tahun lalu, saya mampu membina kilang dengan keupayaan pengeluaran mencapai 2,000 bungkusan bagi setiap produk setiap hari. Selain memasarkan secara langsung menerusi saluran pemasaran yang dibina selama ini, saya turut meletakkan produk di kios Citamas,” katanya.

Usahawan berjaya Kada, Siti Noriah Mohamad, 30, yang mengusahakan jualan makanan segera, berkata mulanya beliau membuka gerai jualan ayam goreng di tepi jalan dekat Pasir Pekan di sini, selepas berhenti kerja kerana minat untuk berniaga.

Katanya, sebagai usahawan bimbingan Kada, beliau bukan saja dibawa melawat pelbagai kilang makanan di beberapa negeri lain, malah turut diberi bantuan lain seperti kelengkapan memasak.

“Minat saya menarik perhatian Kada untuk membantu hingga saya mampu memperoleh jualan sehingga RM1,000 sehari. Kini Kada memberi peluang kepada saya mengendalikan kios Citamas dengan menggunakan nama, TD Corner, dekat Kampung Padang Enggang untuk menjual pelbagai makan segera termasuk ayam goreng dan cendawan goreng di samping pelbagai jenis minuman buah-buah yang dikisar.

“Saya bertuah kerana terpilih menjadi usahawan Kada selain kini menjadi penceramah kepada usahawan yang baru menyertai agensi itu dalam bidang industri asas tani,” katanya.

FAKTA: Kios Citamas

# 3 kios Citamas sudah dibuka

# 150 usahawan seluruh kawasan Kada

# RM20,0000 kos pembangunan setiap kios.

# RM1,000 hingga RM3,000 sebulan

Anggur Perlis mampu bersaing

Projek diusahakan JPP di kawasan Bukit Bintang dalam proses keluar hasil pertama, jangka tembusi pasaran pertengahan tahun ini

KANGAR: Perlis yang sebelum ini terkenal unik sebagai satu-satunya negeri yang mampu menghasilkan produk mempelam harumanis, kini bakal menerima satu lagi mercu tanda baru dalam bidang pertanian melalui projek penanaman anggurnya.

Walaupun teknologi dan kepakaran asal penanaman produk tani terbabit diceduk daripada negara jiran iaitu Thailand, namun Perlis tetap berbangga kerana berupaya menghasilkan anggurnya sendiri, selepas bertahun-tahun penyelidikan dan percubaan dijalankan.

Malah, tidak mustahil dengan kualiti dan tahap kemanisan yang tinggi, anggur Perlis mampu menyaingi keunikan mempelam harumanisnya yang sekian lama menjadi tarikan utama pertanian di negeri ini.

Projek penanaman anggur Perlis yang diusahakan Jabatan Pertanian Perlis (JPP) di kawasan Bukit Bintang di sini, kini dalam proses mengeluarkan hasil pertamanya yang dijangka bakal menembusi pasaran selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

Projek itu dimulakan selepas penanaman percubaan di kawasan seluas 0.35 hektar di Kompleks Pertanian Bukit Temiang di sini, pada November 1981, dan mendapati ia sesuai untuk tanaman anggur dengan cuaca serta iklim negeri.

Difahamkan, bagi peringkat pertama, penanaman membabitkan anggur jenis Isabelle dan Cardinal dari Amerika Syarikat, New White Malaga (Thailand) dan IAC (Taiwan), sebelum diikuti peringkat kedua membabitkan jenis Black Opal, Kyoho dan Green Lose Perlete.

Bagaimanapun, pada 18 Jun 2005, JPP kemudian bertukar kepada penanaman anggur jenis IAC yang diusahakan di Pusat Pertanian Bukit Bintang II yang kemudian mengeluarkan hasil pertama dua tan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu, berkata Projek Ladang Anggur Perlis adalah hasil penyelidikan di bawah kelolaan JPP sejak 1987 dan projek perintisnya dimulakan di kawasan Bukit Bintang di sini, pada April 2006 lalu.

Melalui projek itu, katanya anggur pertama di ladang terbabit diusahakan di atas tapak seluas 0.8 hektar dengan jumlah 800 pokok daripada jenis IAC, selain lima hektar tanah lagi membabitkan empat jenis anggur iaitu White Malaga, Black Queen, Black Opal dan Loose Perlitte.

“Bagaimanapun, pada Ogos 2006, JPP mencuba empat jenis tanaman anggur iaitu White Malaga, Black Queen, Black Opal dan Loose Perlitte yang terkenal dengan kualitinya yang lebih tinggi di atas tapak seluas enam hektar, di kawasan sama.

“Namun, selepas beberapa tahun percubaan dan hasil yang dikeluarkan juga menepati piawaian ditetapkan, maka kerajaan negeri melalui JPP mula mengembangkan projek penanaman anggur terbabit untuk memenuhi permintaan yang tinggi baik di dalam atau luar negara,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melakukan lawatan kerja ke ladang itu. Baginda berkenan meluangkan masa selama sejam untuk meninjau ladang anggur itu sebelum mendengar taklimat disampaikan Pengarah Pertanian negeri, Abdul Razak Shafiai. Hadir sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri.

Berdasarkan perancangan awal, projek berkenaan diusahakan secara komersial sebagai memenuhi hasrat menjadikan Perlis pengeluar utama anggur di negara ini menjelang 2010.

Malah, kerajaan negeri turut mensasarkan mengeluarkan 10,400 tan anggur setahun berdasarkan tempoh perancangan lima tahun projek penanaman anggur di kawasan seluas 1,000 hektar melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),

Untuk itu, Md Isa berkata kerajaan negeri memperuntukkan kawasan seluas 9.5 hektar untuk projek ladang anggur di kawasan Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat, dekat sini, bermula April tahun lalu.

Beliau berkata, projek berkenaan menunjukkan hasil yang membanggakan apabila ladang anggur terbabit mula mengeluarkan hasil pertamanya, tahun lalu dan jika tiada masalah ia dijangka berada di pasaran tempatan pertengahan tahun ini.

Anggur negara ini terutama di Perlis mempunyai rasa yang begitu manis dan mampu menyaingi anggur dihasilkan negara pengeluar lain seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Itali. Antara jenis anggur yang popular termasuk New White Malaga, IAC, Black Opal, Green Loos Perlette, Black Queen dan Kyoho.

Bagaimanapun, New White Malaga dan IAC lebih mendapat perhatian atau digemari berbanding Black Opal, Green Loos Perlette, Black Queen dan Kyoho, kerana ia terdiri daripada spesies tanpa biji dan mempunyai beberapa kelebihan terutama rasanya yang masam manis.

New White Malaga mempunyai saiz buah yang lebih besar, manakala IAC pula lebih manis dan buahnya juga bujur dan besar.

Berdasarkan hasil kajian, tanaman anggur New White Malaga yang berusia empat atau lima tahun mampu mengeluarkan hasil sehingga 10 tan semusim atau kira-kira 20 tan setahun, manakala IAC pula sebanyak lapan tan semusim atau 16 tan metrik setahun.

Melalui perancangan, semua hasil anggur Perlis ini akan dijual dalam bentuk segar, selain diproses menjadi jus, jeruk dan jem. Selain buah, pokok anggur juga mempunyai nilai tambah kerana daunnya boleh diproses menjadi herba teh anggur, kulit buahnya pula dijadikan jus, manakala isinya pula dijadikan tepung dan bijinya untuk diproses menjadi minyak.

Malah, Pusat Pertanian Bukit Bintang II juga akan dijadikan Pusat Kecemerlangan Tanaman Anggur, manakala ladang anggur di pusat itu pula akan berfungsi sebagai pusat sumber rujukan bagi tujuan penyelidikan dan latihan berhubung tanaman anggur selain sebagai pusat pengeluaran benih.

Bank Pertanian Malaysia kini Agrobank

BANK Pertanian Malaysia (BPM) kini muncul dengan imej dan identiti korporat baru dengan dikenali sebagai Agrobank susulan pengkorporatannya pada 1 April lalu.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Salleh Bajuri, identiti baru itu menggambarkan keazaman dan hala tuju strategik bank itu dalam menerajui perkhidmatan kewangan secara kompetitif dengan memberi tumpuan kepada industri pertanian negara.

Beliau berkata, Agrobank juga kini bersedia mengembangkan operasinya ke peringkat global sejajar usaha meluaskan rangkaian produk dan perkhidmatannya bagi menjadikannya institusi kewangan perdana yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Namun, beliau berkata, bank itu akan terus mengekalkan peranan sebagai penyalur pembiayaan kepada golongan sasar dan berusaha menambah bilangan petani yang berjaya.

“Sehingga kini bank ini memberikan kemudahan pembiayaan kepada 1.5 juta pemohon sejak penubuhannya pada 1969,” katanya pada majlis pelancaran rasmi logo dan identiti korporat Agrobank di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

Sementara itu, Mustapa dalam ucapannya berkata, Agrobank sedang melalui satu transformasi positif yang akan merubah landskap sektor pertanian negara, sejajar perubahan dalam perkembangan ekonomi dunia yang semakin mencabar.

“Bank ini tidak boleh terus beroperasi mengikut kaedah tahun 70-an, sebaliknya ia perlu disesuaikan dengan suasana ekonomi global masa kini. Atas keperluan itulah, kerajaan mengambil keputusan menjadikannya sebagai entiti korporat.

“Wajah baru Agrobank dengan modal berbayar lebih tinggi akan memastikan sektor pertanian lebih maju. Ia mengambil contoh kejayaan bank pertanian terbesar dunia, Rabobank International yang berjaya meraih keuntungan secara komersial,” katanya.

Nor Mohamed pula berkata, Agrobank yang beroperasi sejak 39 tahun lalu sehingga kini mengeluarkan pembiayaan berjumlah RM3.9 bilion kepada 100,000 individu dan 8,000 syarikat .

“Tahun lalu, bank ini sudah meluluskan pembiayaan kepada 299,000 pemohon,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Agrobank memberi tumpuan utama kepada pertumbuhan domestik, bank itu boleh menawarkan pembiayaan kepada syarikat tempatan yang merancang mengembangkan operasi pertaniannya ke luar negara.

Potensi luas spesies buah-buahan nadir, liar

RAMBUTAN, pulasan dan mata kucing daripada famili Sapindaceae memang buah-buahan yang dikenali ramai. Bagaimanapun, banyak lagi spesies liar dalam famili Sapindaceae yang buahnya boleh dimakan, tetapi tidak begitu diketahui ramai.

Beberapa spesies menghasilkan buah yang enak dan digemari kanak-kanak, burung dan tupai. Pokok sebilangan spesies ini amat menarik dan boleh dijadikan unsur seni taman atau pohon teduhan.

Spesies yang wujud di Semenanjung Malaysia ialah redan, rambutan pacat, kelat layu, ceri Terengganu, gegelek, kasai, matua, lotong dan tengkuk biawak hidup liar di hutan. Pokok kasai kebanyakannya hidup liar, tetapi kini dimanfaatkan sebagai tanaman lebuh dan pohon teduhan bagi menghiasi dan menambah seri bandar raya Kuala Lumpur.

Beberapa spesies buah dalam famili ini wujud di Sabah dan Sarawak. Antara buah yang menarik di sana ialah tiga jenis mata kucing iaitu sau, isau dan kakus yang unik dan berbeza daripada yang ada di Semenanjung.

Bagi pokok redan, misalnya yang muda mempunyai kanopi berbentuk bulat diserikan dengan gugusan buah merah. Pokoknya sederhana tinggi dan berbanir kecil. Buah redan masam manis dan enak rasanya. Namun, potensinya belum diketahui. Daunnya jenis majmuk dan mempunyai satu hingga dua pasang anak daun. Tepi permukaan atas anak daun melengkung sedikit. Permukaan bawah daun berdebu halus. Buah redan kecil dan berbentuk bujur panjang.

Kulitnya merah cerah, menarik dan berkedut, tetapi tidak berbulu. Isinya putih dan lutsinar. Di Sabah dan Sarawak, wujud buah seakan-akan redan dan disebut serait, dijual di pasar tamu apabila tiba musimnya.

Pokok redan jarang ditanam dan kini jarang ditemui. Biasanya pokok ini hidup liar di pinggir hutan atau dalam hutan. Usaha perlu dilakukan bagi menanam pokok ini sebagai pokok teduhan, sekali gus menghalang kepupusannya.

Buah rambutan pacat pula seakan-akan buah redan, tetapi warnanya kuning. Kulit luarnya berbonggol-bonggol kecil. Walaupun nipis, isinya berwarna perang muda itu manis dan berjus. Pokoknya sederhana besar dan hidup liar di hutan.

Di Melaka dan Johor, pokok ini disebut kelat layu mungkin kerana rasa buahnya yang kelat manis dan daunnya melentur seakan-akan layu. Namun, di Utara Semenanjung dan Pantai Timur ia dinamakan mertajam.

Daya tarikan pokok ini terletak pada buah dan kanopinya. Buahnya didapati bergugus-gugus di hujung ranting. Jambak buah padat dengan buah yang kecil dan berwarna-warni apabila hampir matang. Warna ini terjadi apabila buah muda berwarna hijau bertukar menjadi jingga kemudian merah.

Buahnya berwarna ungu atau hitam apabila matang sepenuhnya. Setiap jambak mempunyai buah pada peringkat kematangan berbeza. Isi buah nipis, agak kering dan kelat-kelat manis rasanya.

Pokok kelat layu cukup menarik kerana kanopinya yang bulat, padat dan rendang. Pokok ini sering kali dimanfaatkan sebagai pokok teduhan, terutama di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Pokok ini juga sesuai dijadikan unsur seni tanam atau ditanam berbaris-baris di tepi jalan sebagai tanaman lebuh.

Ciri yang menarik pada pokok ceri terengganu ialah pokok dan buahnya. Kanopinya kecil, rendang dan bulat. Daunnya jenis majmuk pinat dengan beberapa pasang anak daun yang lancip dan bersayap. Kecantikan pokok ini diserikan lagi pucuknya yang lembut melentur dan berwarna ungu muda.

Buah ceri terengganu bergugus-gugus seperti buah anggur. Kulitnya amat menarik seperti buah ceri, merah cerah, licin dan berkilat. Buah ini bergantungan pada dahan dan ranting kecil. Walaupun rasa buahnya manis, isinya nipis dan bijinya besar.

Pokok ceri ini banyak ditanam di Terengganu dan Johor. Di Johor, buah ini disebut kelelek atau gegelek. Kedua-dua spesies ini sangat sesuai ditanam sebagai unsur seni taman dan pokok teduhan di taman, sekitar rumah, sekolah atau surau dan tempat awam yang lain.

Dua batang pokok ini wujud di pekarangan masjid Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi.

Bentuk pokok kasai pula cantik dan menarik, dihiasi pucuk berwarna merah cerah. Kini pokok ini banyak ditanam sebagai tanaman lebuh bagi menghiasi landskap sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan taman rekreasi.

Kanopinya sederhana besar, daunnya jenis majmuk pinat yang terdiri daripada tiga hingga lapan pasang anak daun. Buah kasai kecil dan berbentuk bujur panjang. Kulitnya rapuh dan berwarna hitam berdebu. Isinya nipis, lutsinar dan manis. Pokok kasai hidup liar di tepi sungai dan hutan. Ia mudah dikenali daripada jarak jauh kerana pucuknya merah.

Pokok yang seakan-akan kasai disebut matua. Pokok berasal dari Irian Barat (Indonesia) ini baru saja diperkenalkan di Malaysia. Buahnya seperti mata kucing atau longan. Isinya tebal dan rasanya manis. Di tempat asalnya, wujud beberapa jenis matua yang berbeza-beza, walaupun pokok ini masih hidup dalam keadaan liar.

Kebanyakan pokok lotong hidup liar di hutan. Pokoknya kira-kira 25 meter tinggi dengan kanopi yang sederhana besar. Anak daunnya besar dan melentur. Buahnya kira-kira lima sentimeter panjang. Kulitnya berwarna merah tua, diselaputi bulu tebal lembut yang melentur di hujung.

Isinya putih, lutsinar dan tidak lekang. Rasanya sangat manis dan berjus. Di Borneo, ada buah dalam spesies sama, dikenali rambutan gergasi.

Selain ditanam di Semenanjung Malaysia, pokok mata kucing juga wujud di Sarawak dan Sabah. Di Sarawak, pokok ini dikenali guring. Selain guring, ada tiga jenis mata kucing lagi yang agak berbeza daripada mata kucing yang wujud di Semenanjung.

Perbezaan utama ialah kulit buah yang mempunyai titik timbul yang lembut dan tumpul. Di kalangan penduduk tempatan, jenis buah ini disebut isau, sau dan kakus. Di Sarawak, semua jenis mata kucing ini wujud di sepanjang Sungai Rejang di Bahagian Sibu dan Kapit, iaitu dari Kanowit, Song, Kapit hingga ke Belaga.

Semua jenis mata kucing ini tergolong dalam spesies sama. Perbezaan utama ialah ciri buah. Isau – buah berbentuk bulat dan kulitnya berwarna hijau hingga buah masak. Sau – buah berbentuk bujur sedikit dan berwarna hijau hingga masak, manakala kakus, buah berbentuk bulat dan berwarna hijau, tetapi bertukar menjadi perang selepas masak.

Buah isau dan mata kucing umumnya lebih kecil daripada sau, manakala kakus mempunyai saiz yang pertengahan, iaitu antara isau dan sau. Isi buah isau lebih tebal dan manis daripada sau, kakus dan mata kucing.

Pokok tengkuk biawak hidup liar di hutan negeri Pahang, Perak dan Pulau Pinang. Buahnya lebih besar daripada rambutan pacat. Kulitnya berwarna ungu dan berbonggol-bonggol kecil. Isinya putih, lutsinar dan berjus. Rasanya masam manis dan harum baunya.

Kini usaha sedang dibuat untuk mengumpul semua spesies unik ini, iaitu khazanah yang tidak ternilai bagi negara ini. Usaha juga sedang dibuat untuk memperkenalkan spesies ini kepada orang ramai menerusi maklumat yang ditulis dan disebar.

‘Tak kenal maka tak cinta’, begitulah kata pepatah Melayu. Semua maklumat begini menambah kesedaran orang ramai mengenai kewujudan spesies buah-buahan nadir dan liar ini.

Limau Sunkist Blanja Dapat Permintaan


SUBUR… Harisal Kefli Harun menunjukkan buah Limau Sunkist Blanja iaitu limau sunkist benih tempatan yang diusahakan oleh syarikatnya di Lembah Pertanian Blanja, Kampung Bharu Atas dekat Parit, Perak.

PARIT, Perak, yang selama ini terkenal dengan limau Tambun, kini sedang mengorak langkah memperkenalkan pula “Limau Sunkist Blanja” sebagai satu lagi produk limau dari negeri ini.

Sekumpulan petani kini menerokai kawasan ladang limau seluas 100 hektar bagi mewujudkan Lembah Pertanian Belanja yang akan ditanami pelbagai jenis pokok buah sitrus termasuk limau madu, limau manis dan produk terbaru — limau sunkist tempatan yang digelar “Limau Sunkist Blanja”.

Empat sahabat dari Kampung Bharu Atas di sini telah mewujudkan Kampung Baru Sunkist Farm dengan mengusahakan kawasan seluas kira-kira 10 hektar bagi mengeluarkan anak-anak pokok limau tersebut.

Kumpulan yang diketuai Harisal Kefli Harun, 38, memulakan projek berkenaan tahun lepas dan mendapat sokongan serta khidmat nasihat dan infrastruktur daripada Jabatan Pertanian dan beberapa agensi kerajaan lain.

Harisal Kefli berkata mereka pada mulanya hanya berhasrat menanam pokok limau madu dan limau manis tetapi tidak menyangka usaha untuk menghasilkan anak pokok limau sunkist benih tempatan pula yang mendapat sambutan.

RASA ENAK

Beliau berkata limau sunkist Blanja mempunyai potensi dalam pasaran buah sitrus kerana rasanya enak dan isinya pula lebih lembut.

Harisal Kefli berkata beliau mula tertarik dengan projek tanaman limau Sunkist itu selepas mencuba di kawasan rumahnya.

“Timbul idea apabila melihat pokok limau Sunkist yang ditanam berbuah dengan baik,” katanya sambil menambah bahawa selepas itu, dia memohon bantuan Jabatan Pertanian Perak Tengah untuk mencari pendekatan terbaik bagi menghasilkan anak pokok limau bermutu dan tahan penyakit.

“Kami kemudian mencuba teknik cantuman tunas bagi menghasilkan anak-anak pokok yang sesuai dan selepas beberapa percubaan, akhirnya kami berjaya apabila menggunakan batang pokok limau yecel (Limau Jepun),” katanya.

Harisal Kefli berkata pihaknya kini memerlukan lebih banyak anak pokok limau yecel untuk menghasilkan lebih banyak anak pokok limau Sunkist Blanja dan limau madu yang bermutu serta tahan penyakit.

TAPAK SEMAIAN

Beliau berkata mereka kini telah berjaya menghasilkan kira-kira 10,000 anak pokok limau Sunkist dan madu di kawasan seluas 0.4 hektar yang dijadikan tapak semaian.

“Kami sedang berusaha memperluaskan lagi tapak semaian itu kerana permintaan daripada petani dan peniaga anak pokok terhadap anak limau Sunkist begitu menggalakkan … boleh dikatakan semua anak pokok yang disemai telah mendapat tempahan,” katanya.

Harisal Kefli berkata selain mempunyai tapak semaian, pihaknya turut menanam anak pokok limau Sunkist Blanja dan limau madu di kawasan ladang seluas 6.5 hektar dengan keluasan tanaman 350 pokok sehektar atau 145 pokok seekar.

Mengenai ladang berkenaan, beliau berkata pokok yang dijaga dengan baik akan mengeluarkan hasil selepas tiga tahun. Tetapi, selepas matang selama empat tahun baru hasilnya akan mencecah sehingga 100 kg setiap tuaian.

Katanya, limau Sunkist Blanja mempunyai berat purata sekilogram bagi setiap empat biji dan buahnya boleh dikutip sepanjang tahun tetapi hanya dua kali dalam setahun ia mengeluarkan buah yang lebat.

PROJEK KELOMPOK

Beliau berkata seramai 20 orang lagi petani telah menyertai projek berkenaan yang dibangunkan secara berkelompok di ladang seluas kira-kira 100 hektar di Lembah Pertanian Belanja tersebut.

Pada masa ini, ladang berkelompok itu mendapat bantuan Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah yang memberi khidmat nasihat dan bantuan peralatan asas termasuk pembinaan sistem perparitan dan baja.

Ladang berkenaan kini dipenuhi dengan limau Sunkist, limau madu dan limau manis.

“Kami mahu menjadi pembekal anak pokok limau Sunkist, limau madu dan buah limau yang berjaya. Impian kami adalah untuk memperkenalkan limau Sunkist Blanja sebagai produk buah sitrus Perak yang terkenal seperti limau Tambun,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Perak Tengah Shariful Anuar Sulaiman berkata limau Sunkist Blanja kini sudah ditanam dengan meluas di daerah ini — di Talang, Changkat Seleboh, Tanjung Blanja selain Kampung Bharu.

“Kami harap kawasan ini akan menjadi kawasan pengeluar benih limau terkemuka menjelang 2015,” katanya ketika melawat ladang berkenaan baru-baru ini.

Maklumat lanjut mengenai anak pokok limau Sunkist Blanja boleh didapati daripada Harisal Kefli di talian 017-5947172 atau Abd Kadir Yeob Manap (012-4131123).

— BERNAMA