Keistimewaan buah perah hutan Taman Negara

JERANTUT – Penduduk di pedalaman Hulu Tembeling dan Kuala Tahan di daerah ini begitu sinonim dengan makanan berasaskan tumbuhan dan herba yang diperoleh dari hutan Taman Negara di sini.

Terdapat sesetengah tumbuhan hanya menjadi makanan haiwan kerana rasanya pahit, mengandungi getah, meloyakan dan kadangkala boleh memabukkan jika dimakan manusia.

Antara tumbuhan popular di kalangan penduduk tempatan ialah buah perah, kepayang, kedondong, ara, mencepu, kerdas dan ubi gadong.

Sebahagian tumbuhan liar itu boleh didapati sepanjang masa dengan banyaknya dan ada jua yang bermusim.

Bagaimanapun, jika diproses menerusi cara tradisional dan mengikut petua yang betul, buah- buahan hutan itu boleh dimakan dan dikomersialkan.

Kemahiran penduduk berkenaan memproses cara tradisional boleh menghilangkan kesan getah dan pahit sehingga boleh dimakan tanpa menimbulkan komplikasi kesihatan kepada manusia.

Salah satu tumbuhan yang menjadi makanan harian penduduk tempatan ialah buah perah atau nama saintifiknya Elateriospermum tapos sebesar ibu jari orang dewasa itu banyak didapati tumbuh meliar berdekatan Sungai Tembeling di daerah Jerantut.

Buah perah yang siap diproses banyak didapati dijual di pekan sehari dan pasar tani Bandar Jerantut dan Kuala Tahan.

Penduduk terutama golongan tua memproses buah perah itu menjadi jeruk untuk menghilangkan getahnya yang dipercayai boleh memabukkan manusia.

Menurut beberapa penduduk Hulu Tembeling, buah perah memang memabukkan jika dimakan mentah-mentah, sebaliknya ia perlu diproses mengikut kaedah tertentu untuk menghilangkan getahnya sekali gus melenyapkan kesan sampingan lain.

Seorang penduduk Kampung Pengau di sini, Muji Mohamed, 65, berkata, ada dua cara memproses buah perah untuk menghilangkan getahnya iaitu dengan cara merendam ke dalam air dicampur garam dan asam gelugur diperap selama lebih dua minggu yang dikenali sebagai ‘jeruk.’

Katanya, selain jeruk, buah perah mentah sebesar ibu jari itu boleh direbus lebih sejam untuk menghilangkan getahnya sehingga warna asal kulitnya iaitu coklat tua berubah menjadi kehitaman.

”Namun demikian cara menjeruk buah perah ini sehingga dua minggu adalah lebih selamat untuk dimakan, malah rasanya lebih rangup dan lemak seperti kacang rebus,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Muji berkata, buah perah juga boleh dijadikan ‘Asam Rom Perah’ yang boleh dijadikan perencah bagi melazatkan masakan ikan patin.

Menurutnya, di kawasan Hulu Tembeling, buah perah yang dijeruk serta ditumbuk menjadi ‘Asam Rom’ hanya untuk makanan keluarga dan juga dihidangkan kepada tetamu.

”Buah perah boleh dimakan tidak kira masa seperti kita menjamah kacang rebus atau ketika bersama hidangan tengah hari,” katanya.

Katanya, generasi hari ini semakin tidak tahu untuk memproses buah perah kerana kerjanya agak rumit bermula dari mencari bijinya yang bertaburan selepas meletup dari kelopaknya seakan-akan buah getah dari dalam hutan sehinggalah memprosesnya.

Jika cara memproses tidak mengikut peraturan, kesan mabuk akan terasa serta meloyakan jika memakannya begitu sahaja.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini, di pasar tani dan pekan sehari Bandar Jerantut mendapati buah perah yang siap dijeruk itu dijual antara RM2 hingga RM4 selonggok dan sangat laris di kalangan penduduk tempatan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s