Projek perintis Safed Musli

Felda tanam pokok herba dari India mampu rawat pelbagai penyakit, berpotensi beri pulangan lumayan kepada pengusaha

TEMERLOH: Safed Musli atau nama saintifiknya Chlorophytum Borivillanium adalah tanaman herba yang baru diperkenalkan di negara ini dan masih kurang dikenali di kalangan masyarakat.

Tindakan Felda menjadikan Safed Musli sebagai projek perintisnya dijangka membuka era baru kepada pengusaha industri herba negara untuk terus mengembangkan rangkaian industri ini hingga ke peringkat global.

Sebagai permulaan, Felda Herba Corporation (FHC) mengusahakan tanaman itu di kawasan seluas 10 hektar daripada sejumlah 200 hektar ladang yang diperuntukkan untuk pelbagai tanaman herba di tapak Projek Pertanian Moden, di Lanchang.

Pengurus ladang FHC, Azizam Ismail, 57, berkata 12.5 tan benih Safed Musli dari India berharga RM500,000 dibawa masuk hasil usaha sama pihaknya dengan syarikat pengeluar herba terkenal di Hyderabad, India iaitu Nandan Biometrics Ltd.

Beliau berkata, sebuah bangunan serba guna berharga hampir RM500,000 juga siap dibina di ladang herba itu untuk menjalankan kerja pengumpulan, pemprosesan dan pengeringan tanaman herba yang dijangka memulakan operasinya sebaik saja Safed Musli dituai.

Katanya, Felda tertarik dengan prospek dan potensi Safed Musli yang terkenal dalam perubatan dan kecantikan Ayurveda klasik di India sejak lebih 100 tahun lalu, selepas melihat hasil kajian dibuat di Felcra Ramuan China, Melaka, baru-baru ini.

“Felda bersedia menyalurkan maklumat dan memberi khidmat nasihat mengenai prospek dan potensi penanaman Safed Musli kepada orang ramai khasnya warga peneroka, agensi kerajaan dan swasta yang berminat kerana herba ini mudah dijaga, tidak berisiko serta tidak mempunyai musuh tanaman.

“Ubi Safed Musli sebesar jari kelingking tetapi berbentuk panjang itu mempunyai pelbagai khasiat termasuk mampu meningkatkan sistem pengaliran darah dan berupaya meningkatkan daya ingatan.

“Apabila sistem pengaliran darah berfungsi dengan betul, oksigen dapat mengalir sempurna ke seluruh tubuh terutama bahagian otak, sekali gus sistem ketahanan badan ditingkatkan dan memulihkan kembali tenaga yang sudah digunakan,” katanya ketika ditemui di ladang herba berkenaan.

Selain itu, Safed Musli juga tidak mengandungi kolesterol, meminimumkan tekanan dan menguatkan sistem buah pinggang dan hasil kajian pakar kesihatan dan perubatan India, mendapati herba ini mampu meningkatkan daya seksual lelaki lebih tinggi berbanding tongkat ali.

Kajian perubatan Nandan Biometrics itu sendiri mendapati, kandungan ubi Safed Musli boleh digunakan untuk pencegahan awal beberapa jenis penyakit kanser seperti barah pangkal rahim dan barah payu dara.

Azizam berkata, ubi Safed Musli dengan anggaran berat 15 gram ditanam dalam setiap lubang menggunakan kaedah penanaman secara batas.

Katanya, 500 kilogram benih diperlukan untuk kawasan 0.4 hektar yang boleh diisi antara 30,000 hingga 33,000 lubang dan dijangka menghasilkan pulangan sehingga tiga kali ganda daripada benih asalnya.

“Kerja pengairan, pembajaan dan penjagaan batas terutama proses pembuangan rumput di keliling batas perlu diberi tumpuan serius bagi menjamin hasil berkualiti.

“Proses membuang rumput perlu dilakukan setiap hari bagi mengelak tumbesaran pokok terjejas.

“Selepas dua minggu ditanam, ubi Safed Musli mengeluarkan daun seperti daun pandan, tidak mempunyai batang dan membesar dengan ketinggian antara lapan dan 12 inci dan dalam tempoh sebulan pula, akan berbunga putih yang perlu dipotong untuk mengelakkannya berbuah.

“Daun herba itu kemudian kering, layu dan mati secara semula jadi dan meninggalkan ubi dalam batas, sementara menunggu tempoh matang untuk dituai,” katanya.

Ubi Safed Musli yang mempunyai rasa seperti sengkuang tetapi sedikit berlendir dikira matang apabila warna asalnya yang kekuningan bertukar kepada coklat.

“Seorang penasihat khas dari India mengadakan lawatan ke ladang herba setiap bulan untuk memantau dan memberi bantuan teknikal serta khidmat nasihat bagi memastikan tanaman Safed Musli ini diselenggara dengan baik dan bersistematik untuk penghasilan tanaman berkualiti tinggi.

“Ini penting untuk tempoh jangka panjang kepada Felda terutama di segi pemindahan teknologi (TOT) kerana selepas ini, Felda boleh menguruskan sendiri proses penanamannya, sekali gus diperluaskan kepada peneroka atau penduduk kampung yang berminat kerana Safed Musli dijual dengan harga RM40 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata, hasil tuaian musim pertama pada hujung bulan depan atau awal Mei ini, dijangka meningkat sehingga 30 tan dan dijadikan benih untuk musim kedua yang ditanam pada Jun di kawasan seluas 25 hektar.

Selain itu, katanya, Felda bersedia menjual benih kepada agensi kerajaan dan swasta serta individu yang berminat mengusahakan tanaman ini.

“Syarikat Nandan yang membekalkan benih ini akan membeli semula Safed Musli pada musim seterusnya, berdasarkan perjanjian `jaminan belian semula’ yang dibuat sebelum ini.

“Felda juga menjalin kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai potensi tanaman Safed Musli tanpa musim dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai penyediaan sistem pengeringan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perladangan FHC, Wan Mohd Firdaus Wan Abdullah,25 , berkata tanaman Safed Musli diberi keutamaan kerana mendapat permintaan tinggi untuk kegunaan industri kecantikan, perubatan dan kesihatan pasaran antarabangsa terutama di Eropah dan India.

“Kita harap peneroka mengusahakan Safed Musli kerana ada nilai pasaran tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya,” katanya.

Bagi penyelia ladang, Muhazam Ismail,27, potensi Safed Musli menyebabkannya berminat mengusahakan tanaman itu secara komersial selepas ini.

“Industri herba di Malaysia masih baru terutama Safed Musli tetapi menjanjikan pulangan lumayan jika dikomersialkan bagi pasaran tempatan atau antarabangsa,” katanya.

FAKTA: Herba Safed Musli

# Ditanam atas batas dengan kelebaran antara satu meter hingga 1.2 meter

# Jarak tanaman antara pokok dalam batas pula ialah 0.3 meter, manakala jarak antara batas dengan batas lain adalah 0.4 meter.

# Kelembapan tanah perlu dikekalkan dalam anggaran 30 peratus bagi mengelak ubi rosak dan busuk.

# Bagi menjamin kelembapan tanah berada dalam keadaan stabil, sistem penyiraman menggunakan kaedah `drip’ disalurkan di setiap batas, manakala racun kulat digunakan untuk mencegah pembiakan kulat yang boleh merosakkan tanaman.

One thought on “Projek perintis Safed Musli

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s