Kedah ‘Belanda Malaysia’

Alor Star – Ketika Pas menjadi pembangkang di Kedah sebelum 8 Mac lalu, mereka melihat sektor pertanian di negeri ini masih ketinggalan dan perlu diberi suntikan baru untuk membangunkannya.

Dari sudut pandangan parti itu, sektor pertanian Kedah perlu dimajukan sehingga menjadi sebuah industri yang berjaya menghasilkan produk pertanian untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Justeru, dalam manifesto pilihan rayanya, Pas Kedah berjanji akan menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri pertanian tersohor seperti Belanda.

Sebagai rekod, Belanda merupakan sebuah negara yang saiznya lebih kecil daripada Pahang tetapi mampu menjadi pengeluar dan pengeksport hasil pertanian kedua terbesar di dunia.

Azizan Abdul Razak yang memimpin Pas Kedah ketika melancarkan manifesto pilihan raya parti itu khusus untuk negeri tersebut pada 23 Februari lalu berkata, mereka akan melaksanakan lapan perkara pokok bagi menjadikan Kedah sebagai ‘Belanda Malaysia’ iaitu:

Membangunkan pertanian negeri dengan memberikan keutamaan kepada pengeluaran makanan secara komersial yang diterajui Lembaga Kemajuan Pertanian Kedah (LKPK) yang akan ditubuhkan.

Membangunkan Lembah Jerai sebagai hab pertanian (pangkalan hasil pertanian) negeri Kedah.

Mewujudkan Skim Perlindungan Takaful kepada golongan petani, penternak dan nelayan.

Memberikan insentif kepada mana-mana pihak yang mengusahakan tanah terbiar.

Mewujudkan industri pemprosesan buah-buahan yang diterajui LKPK.

Memberikan insentif khas kepada petani, penternak dan nelayan yang berjaya mencapai tahap pengeluaran yang ditetapkan.

Menyusun semula masyarakat nelayan pantai dengan memberi pekerjaan baru kepada sebahagian nelayan dalam industri akuakultur air masin dan payau serta mewujudkan peluang pekerjaan baru bagi keluarga nelayan dalam industri hiliran berasaskan perikanan di kawasan penempatan nelayan yang diterajui oleh Persatuan Nelayan Kawasan.

Mewujudkan mekanisme pemasaran yang berkesan untuk produk tempatan.

Pada masa pelancaran manifesto Pas Kedah tersebut, Menteri Besar Kedah ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan agenda Pas tersebut sebagai tidak relevan memandangkan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) telah melakukan pelbagai usaha untuk memajukan sektor pertanian sejak lebih 50 tahun lalu.

Menurut Mahdzir, agenda pembangunan pertanian yang dibuat oleh kerajaan BN tidak pernah putus sejak zaman selepas merdeka sehingga sekarang, bahkan rakyat sedang menikmati kemakmuran hasil daripada program pembangunan yang telah dijalankan.

Sebagai contoh, menurut beliau, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ditubuhkan pada tahun 1972 membuktikan betapa kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN berusaha untuk memajukan bidang pertanian dan meningkatkan taraf hidup petani.

“Apa yang perlu kita buat sekarang ialah menambah lagi infrastruktur moden yang dapat membantu petani-petani meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Melihat kebenaran di sebalik kata-kata Mahdzir itu, sememangnya sektor pertanian di negeri ini telah lama dimajukan dan mencapai tahap membanggakan di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Bagaimanapun, Pas Kedah menganggapnya ia masih ‘tidak cukup’ dan berjanji akan menjadikan negeri tersebut sebagai ‘Belanda Malaysia’ dalam bidang pertanian.

Kini Pas boleh mengotakan janjinya itu selepas parti itu dan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) membentuk kerajaan baru di Kedah apabila memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Meskipun Azizan yang kini memegang jawatan Menteri Besar menegaskan bahawa semua perkara yang terkandung dalam manifesto itu akan dilaksanakan satu persatu dari semasa ke semasa, namun janji untuk menjadikan Kedah sebagai ‘Belanda Malaysia’ perlu diutamakan.

Ini kerana ia berkaitan corak hidup penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada pertanian dan kini dijanjikan dengan kehidupan ‘yang lebih baik’ oleh kerajaan baru tersebut.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s