Bersantai di Kebun Buah-buahan Tropika

Kita juga mungkin hanya mengenali buah epal, anggur, lai dan pic tetapi tidak tahu bagaimana rupa sebenar pokok-pokok itu.

Sebahagian daripada nama tumbuh-tumbuhan tempatan juga sudah tinggal nama sahaja kerana pupus dan sukar ditemui pada masa kini.

Bagaimanapun jangan terkejut, anda bukan sahaja dapat melihat rupa pokok-pokok sedemikian tetapi jika bernasib baik boleh menikmati keenakan buah-buahan tersebut yang disifatkan sebagai hampir pupus itu di Kebun Buah-buahan Tropika, Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Kewujudan satu-satunya kebun buah-buahan seumpama itu di Malaysia menambahkan lagi produk pelancongan negeri Pulau Pinang yang sememangnya sudah terkenal dengan pelbagai daya tarikan dari pantai, laut, bukit, bangunan warisan buah-buahan hingga ke pelbagai jenis makanan harian.

Tidak seperti sesetengah pelancongan agro di sesetengah negeri lain yang terhad kepada satu dua jenis pokok buah-buahan sahaja, Kebun Buah-buahan Tropika Teluk Bahang ini mempunyai kelainan dan keistimewaan tersendiri khususnya dari aspek kedudukan serta spesies tanamannya.

Terletak kira-kira 700 kaki dari paras laut, Kebun Buah-buahan Tropika itu menawarkan lebih 170 spesies tanaman buah-buahan tropika terutama spesies liar dan hampir pupus.

Selain itu juga terdapat spesies tanaman menarik seperti pokok buah naga atau dragon fruit (Hyiocereus undates) yang banyak ditanam di negara Vietnam dan Kemboja.

Apa yang menarik, dari jauh pokok buah naga itu kelihatan tidak ubah seperti pokok kaktus yang sedang menjalar dan dihiasi dengan bunga berwarna kuning dan buahnya berwarna merah jambu

Buahnya mempunyai isi yang enak dimakan manakala bunganya hanya kembang pada waktu malam dan setiap pokok boleh menghasilkan sehingga 50 biji buah.

Terdapat kira-kira 40 pokok buah naga ditanam di kebun ini dan kebanyakannya telah mula berbuah.

Sesuai dengan kedudukannya di puncak bukit di keliling hutan tropika, kebun ini turut ditanam dengan buah-buahan yang biasanya terdapat di negara beriklim sejuk seperti epal (Malus domestica), anggur (vitis vinifera), lai, pic (prunus persica) dan longan razil (nephelium spp).

Menurut pengurus kebun, Kenneth Khoo, tanah bukit seluas 26 ekar itu dimajukan menjadi ladang tanaman pelbagai jenis buah-buahan tempatan sebagai satu cara ‘memelihara’ spesies tanaman itu daripada terus hilang dan pupus dari negara ini.

Antara spesies pupus yang ditanam di situ termasuk asam embang (mangiferafoetida), asam gelugur (garcinia atrovirindis), binjai (mangifera caesia), kabung (arenga pinnata), jering (pithecellobium jiringa), kandis (garcinia cowa), kerdas (syzygium cumini), kembang semangkuk (scaphium macropodum), mertajam (leppisanthes rubiginosa), petai padi (parkia spp), salaksalacca eduils), durian belanda (annona muricata), tampoi (baccaurea griffithii) dan pelbagai jenis lagi.

Antara spesies tanaman dari negara luar pula ialah abui (pouteria caimito), feijoa (feijoa sellowiana) malberi (morus alba/Morus nigra), pic, longan razil, lai Korea, anggur, buah naga dari Vietnam.

Katanya, para pengunjung akan dibawa ‘melawat sambil mengenali’ lebih 170 spesies pokok buah-buahan yang boleh dikategorikan sukar untuk dilihat pada hari ini.

Menurut Kenneth, jika kena pada musimnya mereka turut berpeluang menikmati keenakan buah-buahan tersebut.

“Selepas penat melawat dan mendapat penerangan daripada pemandu pelancong kami, para pengunjung berpeluang menikmati keenakan pakej buah-buahan di puncak bukit dengan pemandangan indah Empangan Teluk Bahang dan Pantai Batu Feringghi,” katanya.

Kenneth berkata, waktu yang paling sesuai untuk mengunjungi kebun buah-buahan itu ialah pada bulan Mei hingga Ogos.

Kebun buah-buahan tropika menawarkan tiga pakej lawatan iaitu pakej melawat kebun (RM20 bagi dewasa dan RM12 bagi kanak-kanak), pakej rasa buah (RM7) dan pakej makan buah (RM20).

Katanya, para pengunjung tetap dapat menikmati buah-buahan tempatan sekalipun mereka datang bukan pada musimnya kerana pihak pengurusan akan memastikan bekalan buah-buahan sentiasa diperolehi dari negeri-negeri lain.

Mereka yang berminat bolehlah menghubungi Kebun Buah-buahan Tropika Teluk Bahang melalui nombor telefon 04-8665168

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s