Bersantai di Kebun Buah-buahan Tropika

Kita juga mungkin hanya mengenali buah epal, anggur, lai dan pic tetapi tidak tahu bagaimana rupa sebenar pokok-pokok itu.

Sebahagian daripada nama tumbuh-tumbuhan tempatan juga sudah tinggal nama sahaja kerana pupus dan sukar ditemui pada masa kini.

Bagaimanapun jangan terkejut, anda bukan sahaja dapat melihat rupa pokok-pokok sedemikian tetapi jika bernasib baik boleh menikmati keenakan buah-buahan tersebut yang disifatkan sebagai hampir pupus itu di Kebun Buah-buahan Tropika, Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Kewujudan satu-satunya kebun buah-buahan seumpama itu di Malaysia menambahkan lagi produk pelancongan negeri Pulau Pinang yang sememangnya sudah terkenal dengan pelbagai daya tarikan dari pantai, laut, bukit, bangunan warisan buah-buahan hingga ke pelbagai jenis makanan harian.

Tidak seperti sesetengah pelancongan agro di sesetengah negeri lain yang terhad kepada satu dua jenis pokok buah-buahan sahaja, Kebun Buah-buahan Tropika Teluk Bahang ini mempunyai kelainan dan keistimewaan tersendiri khususnya dari aspek kedudukan serta spesies tanamannya.

Terletak kira-kira 700 kaki dari paras laut, Kebun Buah-buahan Tropika itu menawarkan lebih 170 spesies tanaman buah-buahan tropika terutama spesies liar dan hampir pupus.

Selain itu juga terdapat spesies tanaman menarik seperti pokok buah naga atau dragon fruit (Hyiocereus undates) yang banyak ditanam di negara Vietnam dan Kemboja.

Apa yang menarik, dari jauh pokok buah naga itu kelihatan tidak ubah seperti pokok kaktus yang sedang menjalar dan dihiasi dengan bunga berwarna kuning dan buahnya berwarna merah jambu

Buahnya mempunyai isi yang enak dimakan manakala bunganya hanya kembang pada waktu malam dan setiap pokok boleh menghasilkan sehingga 50 biji buah.

Terdapat kira-kira 40 pokok buah naga ditanam di kebun ini dan kebanyakannya telah mula berbuah.

Sesuai dengan kedudukannya di puncak bukit di keliling hutan tropika, kebun ini turut ditanam dengan buah-buahan yang biasanya terdapat di negara beriklim sejuk seperti epal (Malus domestica), anggur (vitis vinifera), lai, pic (prunus persica) dan longan razil (nephelium spp).

Menurut pengurus kebun, Kenneth Khoo, tanah bukit seluas 26 ekar itu dimajukan menjadi ladang tanaman pelbagai jenis buah-buahan tempatan sebagai satu cara ‘memelihara’ spesies tanaman itu daripada terus hilang dan pupus dari negara ini.

Antara spesies pupus yang ditanam di situ termasuk asam embang (mangiferafoetida), asam gelugur (garcinia atrovirindis), binjai (mangifera caesia), kabung (arenga pinnata), jering (pithecellobium jiringa), kandis (garcinia cowa), kerdas (syzygium cumini), kembang semangkuk (scaphium macropodum), mertajam (leppisanthes rubiginosa), petai padi (parkia spp), salaksalacca eduils), durian belanda (annona muricata), tampoi (baccaurea griffithii) dan pelbagai jenis lagi.

Antara spesies tanaman dari negara luar pula ialah abui (pouteria caimito), feijoa (feijoa sellowiana) malberi (morus alba/Morus nigra), pic, longan razil, lai Korea, anggur, buah naga dari Vietnam.

Katanya, para pengunjung akan dibawa ‘melawat sambil mengenali’ lebih 170 spesies pokok buah-buahan yang boleh dikategorikan sukar untuk dilihat pada hari ini.

Menurut Kenneth, jika kena pada musimnya mereka turut berpeluang menikmati keenakan buah-buahan tersebut.

“Selepas penat melawat dan mendapat penerangan daripada pemandu pelancong kami, para pengunjung berpeluang menikmati keenakan pakej buah-buahan di puncak bukit dengan pemandangan indah Empangan Teluk Bahang dan Pantai Batu Feringghi,” katanya.

Kenneth berkata, waktu yang paling sesuai untuk mengunjungi kebun buah-buahan itu ialah pada bulan Mei hingga Ogos.

Kebun buah-buahan tropika menawarkan tiga pakej lawatan iaitu pakej melawat kebun (RM20 bagi dewasa dan RM12 bagi kanak-kanak), pakej rasa buah (RM7) dan pakej makan buah (RM20).

Katanya, para pengunjung tetap dapat menikmati buah-buahan tempatan sekalipun mereka datang bukan pada musimnya kerana pihak pengurusan akan memastikan bekalan buah-buahan sentiasa diperolehi dari negeri-negeri lain.

Mereka yang berminat bolehlah menghubungi Kebun Buah-buahan Tropika Teluk Bahang melalui nombor telefon 04-8665168

Keunikan ladang herba Muar

ANDA sering berasa tertekan kerana menghidap penyakit migrain? Selain mengambil ubat-ubatan moden dari klinik atau farmasi, adakah anda terfikir untuk merawatnya dengan meminum teh herba?

Atau, bersediakah anda mencuba teh atau sup cinnamon (kayu manis) bagi mengurangkan tekanan darah anda?

Sebenarnya, penggunaan atau amalan mengambil ubat-ubatan alternatif di samping perubatan cara moden semakin berkembang pesat di seluruh dunia.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 74 peratus penduduk dewasa United Kingdom dan satu pertiga rakyat Amerika Syarikat (AS) menggunakan rawatan berasaskan herba atau perubatan alternatif.

Sebanyak 1,400 jenis ubat-ubatan herba diguna dan dipasarkan secara meluas di Kesatuan Eropah (EU).

Di China, penggunaan dan pengeluaran ubat berasaskan herba yang bernilai lebih RM9.5 bilion (AS$2.5 bilion) merupakan 50 peratus daripada penggunaan ubat-ubatan keseluruhan di negara itu.

Di Malaysia, perkembangan sama juga berlaku apabila rakyat semakin cenderung menggunakan rawatan dan perubatan alternatif berasaskan herba.

Pada masa ini, Nasuha Enterprise Sdn. Bhd. merupakan pengusaha dan pengeluar herba terbesar di negara ini dengan memiliki ladang seluas kira-kira 1,000 hektar di Pagoh, Muar.

Sehingga kini, lebih sejuta pokok daripada 130 spesies herba telah ditanam di ladang tersebut yang mana hampir keseluruhan benih diimport dari luar negara, terutama Eropah, Afrika dan Asia.

Pengarah Urusan Nasuha Enterprise, Nasuha Kasian memberitahu, pada peringkat awal iaitu lebih 20 tahun lalu, pihaknya memulakan tanaman rempah ratus untuk bekalan bahan mentah produk jenama Mak Siti keluaran syarikat itu.

Katanya, antara rempah ratus yang ditanam termasuklah kayu manis, cengkih, serai, lengkuas, kantan, limau purut dan kesum.

Tetapi kini, menurut beliau, tumpuan diberi kepada tanaman herba yang diusahakan tanpa penggunaan racun atau baja kimia sebaliknya menggunakan teknologi pembiakan dan pembesaran secara organik.

“Selain pasaran tempatan, kita bercadang mengeksport teh dan sup serta pati minyak herba ke luar negara terutama Amerika Syarikat dan Eropah,” kata Nasuha dalam satu pertemuan dengan Mingguan di ladangnya baru-baru ini.

Mengunjungi ladang herba Nasuha Enterprise di Kilometer 21 Jalan Muar-Pagoh ini, anda tentunya terpukau dengan kehijauan dan kerimbunan jutaan herbanya di samping keindahan hutan tropika yang dikekalkan.

Setakat ini 11 buah bukit masing-masing telah ditanam dengan satu spesies herba utama yang kemudiannya dijadikan nama panggilan bukit tersebut.

Lebih 350,000 pokok mengkudu atau noni dengan nama saintifiknya Morinda citrifolia yang mana benihnya diimport dari Amerika Syarikat telah ditanam di Bukit Mengkudu iaitu tanaman herba terbesar di ladang itu.

Herba serico (Strobilantes crispus) atau juga dikenali sebagai pecah beling dari Indonesia pula ditanam sebanyak 150,000 pokok di salah sebuah bukit.

Ini diikuti kayu manis (Cinnamomum zeylanicum) kacukan Myanmar, India dan Sri Lanka, 100,000 pokok; kembang semangkuk atau scaphium (Scaphium macropodium), 60,000 pokok; dan gora (Cola nitida) dari Yaman, 40,000 pokok.

Buah keras dari Indonesia dan garcina atau asam gelugur (Garcinia atroviridis) dari Myanmar pula masing-masing ditanam sebanyak 15,000 pokok.

Herba gingko (Gingko biloba) dari Amerika Syarikat dan eucalyptus (Eucalyptus globulus) dari Tasmania masing-masing 10,000 pokok manakala allspice (Pimenta dioica) dari Casablanca, 5,000 pokok.

Turut ditanam ialah pokok egg fruits dari Amerika Syarikat, pegaga (Centella asiatica) dari Filipina, tee tree dan royal stevia dari Jepun.

Selain itu, pokok lain yang ditanam secara besar-besaran ialah kunyit atau turmeric (Cucurma longa), sambung nyawa (Gynura procumbeus), ginseng Korea, buah naga, minyak kayu putih dan salak pondoh (Salacca edulis) yang cukup terkenal dari Indonesia.

Sementara itu, anda tentunya tidak mendapat kepuasan jika sekadar meninjau atau melawat bukit-bukit herba tanpa mengetahui khasiat dan kelebihan pokok-pokok tersebut.

Anda tentu terkejut jika diberitahu oleh pegawai Nasuha Enterprise bahawa pokok gingko boleh hidup sehingga 35,000 tahun dan hanya mengeluarkan buah setiap 25 tahun.

Saintis dari Jepun yang melawat ladang tersebut bersama-sama lebih 20 saintis lain dari luar negara pada Ogos tahun lalu mendakwa, pokok gingko merupakan satu-satunya yang tidak musnah akibat letupan bom atom yang menghancurkan Hiroshima pada Perang Dunia Kedua.

Menurut kajian para saintis Jepun dan Barat, gingko boleh meningkatkan daya ingatan, membetulkan peredaran darah dan merangsang proses penurunan keupayaan otak manusia.

Jika tongkat ali terkenal di negara ini untuk menambah kekuatan dan tenaga, khususnya bagi kaum lelaki, herba gora dari Yaman pula setanding dengannya, malah memiliki banyak khasiat lain.

Selain menambah keperkasaan lelaki, gora membantu mengatasi keletihan dan kemurungan, menambah selera, mengubati cirit-birit dan membantu penghadaman.

Pokok garcinia (asam gelugur) terbukti berkesan sebagai diet mengurangkan berat badan dan membuang lemak, noni (mengkudu) pula untuk sakit-sakit sendi termasuk gout dan serico untuk mengubati buasir.

Sebenarnya di Spices and Herbs Paradise (Syurga Rempah Ratus dan Herba) Nasuha Enterprise, banyak lagi keistimewaan, kelebihan dan keunikan herba-herba boleh ditemui.

Kali ini, anda cuma didedahkan dengan khasiat beberapa jenis herba tersebut.

dalam rencana akan datang, anda berpeluang mengetahui lebih terperinci mengenai khasiat herba-herba utama yang ditanam di ladang itu.

Ikuti juga kelebihan teh dan sup daun pegaga Filipina, allspice, kayu manis, kembang semangkuk dan scaphium.

Ikan hiasan – Mengubah hidup Zarifah

Bermula dengan sebuah kedai kecil di Jambatan Kota, Klang, Selangor pada 1998, wanita ini mengorak langkah mengembangkan perniagaannya sehingga ke peringkat nasional.Mungkin pada mulanya beliau berniaga atas dasar minat membela ikan-ikan perhiasan, namun hasil usaha yang berterusan, Zarifah Abd. Aziz kini muncul pelopor usahawan wanita dan bumiputera pertama yang mempunyai dan menjadikan kedai akuarium miliknya sebagai pusat pengumpul dan pengedar ikan-ikan hiasan di seluruh negeri.

Menurut Zarifah, yang juga Pengarah Urusan Zarifah Akuarium, pihaknya bertindak sebagai pusat pengumpulan ikan daripada para penternak ikan, mengedarkan ikan kepada kepada orang ramai dan ahli-ahli persatuan serta pelanggan dengan harga borong.

Strategi pemasaran kata Zarifah juga ditukar ke Rumah Kedai Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, Selangor kerana permintaan yang tinggi terhadap ikan-ikan perhiasan ini.

Demi masa depan perniagaan, Zarifah nekad untuk menutup sementara rumah kedai ini dalam tempoh pengubahsuaian bagi memperbesar dan memodenkan pusat akuarium akuatik sesuai dengan perkembangan semasa.

Selain itu Zarifah Akuarium juga berharap lebih ramai usahawan bumiputera yang akan menceburi bidang ikan hiasan pada masa depan. Pada masa yang sama beliau berharap perniagaan itu dapat membantu kerajaan memperkenalkan ikan hiasan Malaysia kepada orang ramai.

Beliau juga merupakan antara individu terpenting di belakang Persatuan Ikan Hiasan Bumiputera Selangor yang ditubuhkan pada 2003.

Sempat bekerja di beberapa syarikat swasta untuk beberapa tahun, sebelum memilih berhenti untuk berniaga ikan-ikan hiasan, Zarifah mengakui seperti mana perniagaan lain, kerjaya ini juga sengit dengan persaingan.

“Sebenarnya berniaga ikan-ikan hiasan agak baru bagi bumiputera berbanding bangsa lain. Orang Melayu khususnya memang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang penternakan dan pembenihan ikan, tetapi kurang pengalaman dari segi pemasaran,” katanya.

Justeru, penubuhan Persatuan Ikan Hiasan Bumiputera Selangor bertujuan membantu bumiputera menyalurkan pengetahuan, pengalaman, mengedar dan mencari strategi baru dalam memasarkan ikan-ikan hiasan.

Menurutnya, sebagai seorang pengusaha dan peniaga ikan-ikan hiasan, strategi pemasaran kini tidak setakat hanya menunggu pelanggan datang ke kedai, tetapi ia memerlukan inisiatif lebih daripada itu.

Ini termasuk mengedar sendiri, memasuki pasar tani, menjual di pasar-pasar tertentu, berada di ekspo-ekspo dan sebagainya, yang bermakna penjual `datang’ kepada si pelanggan.

“Menerusi strategi pemasaran seperti ini juga kita dapat melihat apa yang orang lain mahu dan pendedahan daripada para peniaga lain,” katanya yang turut mendapatkan kursus dan menyertai program yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia di seluruh negeri.

Selain itu, Zarifah Akuarium juga merupakan pelopor kepada penubuhan Kelab Ikan Hiasan dan Tumbuhan Akuatik Sekolah-Sekolah Negeri Selangor (KIHTAS) yang diwujudkan pada 2001.

Sehingga kini, sejumlah 45 buah sekolah di negeri Selangor dan sekolah agama kerajaan telah menubuhkan kelab ini.

Dalam pada itu Zarifah akuarium juga membantu mengusahakan landskap, taman mini dan akuatik ikan hiasan di sekolah-sekolah sekiranya terdapat permintaan daripada pihak sekolah.

Malah beliau juga bersedia untuk berkongsi pengetahuan dalam perkara ini di samping panduan susun atur taman mini dan landskap percuma di dalam akuarium yang mana pelanggan hanya membayar kos peralatan sahaja.

Seperti orang lain yang telah berjaya Zarifah juga bercadang untuk membesarkan perniagaannya sehingga dapat mengeksport ikan-ikan hiasan ke luar negara pada masa depan.

“Terdapat kira-kira 1500 spesies ikan hiasan termasuk ikan emas, gapi dan gaya serta ikan air tawar seperti temoleh, lampam, jelawat, kelah, sebarau dan arowana yang popular di Malaysia,” katanya.

Mendapat galakan daripada suami, Sharifuddin Ismail, perniagaan Zarifah banyak dibantu oleh anak sulungnya yang merupakan graduan universiti dari institusi tempatan, Muhammad Shahfrin Sharifuddin, 25.

Kepada mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai perusahaan ikan hiasan boleh menghubungi Zarifah Akuarium di talian 012-3615424.

Minyak wangi daripada tumbuh-tumbuhan

 

NOR Azmira Jadid menunjukkan sebahagian daripada produk mandian yang dihasilkan di Loji Pandu Kejuruteraan Kimia, UTM, Skudai Johor.

 

Mereka sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit untuk mendapatkan minyak wangi tersebut demi kerana kepuasan dan prestij terutama minyak wangi dari Paris dan London.

Namun tahukah anda bahawa ramuan kandungan minyak wangi itu adalah pokok dan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di Asia Tenggara yang kemudiannya dibeli oleh pengeluar minyak wangi itu untuk dibawa ke negara mereka.

Dan setelah produk minyak wangi itu siap, ia akan kembali ke negara ini tetapi dijual dengan harga yang berkali-kali ganda tingginya.

Itulah antara situasi yang berlaku dalam industri pembuatan minyak wangi dan bagi mengatasinya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian minyak wangi dan berjaya mencipta haruman ‘aroma terapi’ daripada bahan tempatan.

Menurut Pengarah Loji Pandu Kejuruteraan Kimia UTM, Prof. Ramlan Abdul Aziz, antara tumbuhan herba yang menjadi ramuan itu ialah bunga cengkih, serai, daun limau purut, kayu gaharu, bunga ros, halia, ketumbar, sirih dan banyak lagi.

Prof. Ramlan berkata, penyelidikan itu dijalankan oleh kakitangannya di loji berkenaan dan hasil kajian itu akan dikomersialkan kepada orang ramai.

Katanya, terdapat lima jenis tema yang diketengahkan dalam penyelidikan dan pembuatan minyak wangi itu iaitu haruman romantik, rehat, rangsangan, kesegaran dan ketenangan.

“Lima jenis tema aroma terapi itu dicipta untuk wanita yang akan mengutamakan aroma lembut manakala bagi lelaki pula akan mengetengahkan aroma yang agak keras.

“Haruman aroma terafi dicipta untuk menaikkan mood yang difokuskan untuk kegunaan di rumah, pejabat dan di dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di UTM Skudai, Johor Bahru.

Menurut Prof. Ramlan, formula mencipta aroma terapi itu adalah ciptaan kakitangan logi itu sendiri dan bertujuan menggunakan sepenuhnya sumber tempatan selain memelihara alam sekitar.

“Negara kita mempunyai 12,000 pokok serta tumbuhan herba dan seharusnya kelebihan itu digunakan sepenuhnya untuk tujuan penyelidikan termasuk dalam bidang Cosmeceutical, Nutraceutical, Biopesticide’ dan Herba Medicine,” katanya.

Beliau memberitahu dalam penciptaan minyak wangi itu, peringkat pertamanya ialah dengan mengambil pati daripada mendapatkan pokok-pokok, herba dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di negara ini.

“Pati berkenaan kemudiannya akan diformulasikan dan dicampurkan dengan minyak zaiton sebelum proses trial and error dijalankan.

“Ia kemudiannya akan disimpan selama empat minggu dan akan disejukkan pada suhu sifar darjah celsius,” katanya.

Menurut Prof. Ramlan, pihaknya akan menyertai Pameran Penyelidikan Antarabangsa di Geneva pada 12 April depan dan akan membawa minyak wangi aroma terapi ke sana.

Prof. Ramlan berkata, kesemua proses itu dilakukan di Loji Pandu Kejuruteraan Kimia yang bernilai RM46 juta dan dilengkapi dengan beberapa peralatan canggih.

“Fungsi loji ini ialah untuk mengubah maklumat teknologi di makmal kepada maklumat kejuruteraan di sektor perindustrian selain menyediakan program Pembangunan & Penyelidikan (R&D), latihan, perkembangan teknologi dan pemasaran,” katanya.

Tambahnya, beberapa lagi projek penyelidikan akan dijalankan oleh loji berkenaan dan antaranya ialah pembuatan kicap serbuk.

Zubir Usahawan Cemerlang Tekun

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Zubir Mohd. Said dari Air Hitam, Johor diumumkan sebagai Usahawan Cemerlang Tekun Peringkat Nasional 2008.

Zubir, 43, memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan membuat cili giling, tempe dan tauhu kering pada 1995 dengan bermodalkan wang bonus yang diterimanya semasa bekerja dengan sebuah kilang di Johor kira-kira 12 tahun lalu.

Kini beliau boleh berbangga kerana telah berjaya membuka kilang sendiri – Zubir Food Sdn. Bhd. (Zubir Food) dengan mencatat perolehan jualan sehingga RM1.4 juta tahun lalu.

Zubir Food kini mempunyai misi untuk mencatat perolehan lebih tinggi pada tahun ini dengan sasaran sehingga RM5 juta, katanya.

Zubir menerima anugerah itu daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis pelancaran hala tuju dan penjenamaan semula Yayasan Tekun Nasional, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

”Kami telah membuat perancangan untuk mengembangkan dan mempelbagaikan lagi aktiviti perniagaan syarikat.

”Saya yakin sasaran syarikat untuk mencatat keuntungan yang lebih tinggi pada tahun ini akan dapat dicapai, memandangkan syarikat merancang menambah bilangan produk, selain membekalkan bahan kering seperti bawang serta cili kering kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan Malaysia (NEKMAT) dan juga pelbagai agensi lain,” katanya.

Menurut Zubir, beliau mula menceburi bidang perniagaan itu dengan modal sebanyak RM12,000 dan kemudian menambah modal tersebut dengan memohon pembiayaan daripada Tekun pada tahun 1999.

Zubir berkata, buat permulaan produk cili giling dan tempe yang dikeluarkannya hanya dipasarkan di negeri Johor, dan bermula tahun 1996, beliau mula memasarkan produk-produknya ke Singapura.

Kini, 90 peratus cili giling keluarannya di bawah jenama Noradin dan Sabas dieksport ke Singapura, manakala bakinya dipasarkan dalam negeri termasuk ke Lembah Klang dengan jenama yang berbeza.

”Purata kapasiti pengeluaran cili sehari kilang kami di Tanjung Puteri, Johor adalah antara 2.5 tan, manakala pengeluaran tempe pula sebanyak 10,000 keping sehari,” jelasnya.

Zubir berkata, beliau mengimport bahan mentah berupa cili merah dari India dan China.

Felda berjaya lahirkan usahawan peneroka

BANDAR JENGKA – Pembangunan di kawasan tanah rancangan Felda membuka banyak peluang kepada peneroka untuk meningkatkan sosioekonomi mereka sehingga mampu bergelar usahawan.

Perkara itu diakui sepasang suami isteri, Man Mihat, 62, dan Rokiah Bakar, 61, yang terlibat dalam bidang perniagaan membuat sos, kicap dan cili boh di Felda Puteri Malu Jengka 13, Bandar Tun Abd.Razak Jengka di sini.

Dengan modal asas sebanyak RM20,000, Rokiah berkata, produk Sri Emas Sos Cili yang dikeluarkan oleh syarikatnya, Semaju Jaya Enterprise (Semaju Jaya), menemui pelanggan di pasaran tempatan buat pertama kalinya pada 1997.

Katanya, produk sos cili dan kicap dengan jenama Sri Emas itu mendapat sambutan hebat daripada peneroka malah permintaannya kian bertambah dari semasa ke semasa.

”Bermula daripada sebuah bangunan kecil dengan peralatan yang terhad, kini Semaju Jaya mampu bersaing dengan syarikat bukan bumiputera.

”Suntikan modal berjumlah RM60,000 daripada pinjaman Mara, sebuah bangunan baru dibina serta tiga mesin moden pelbagai fungsi dibeli bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, ” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada peringkat awal, menurut Rokiah, pasaran produk Semaju Jaya hanya tertumpu kepada masyarakat peneroka di sini dan tanah rancangan berhampiran.

Bagaimanapun, maklum balas daripada pelanggan menjadikan pasaran produk Semaju Jaya semakin berkembang sehingga ke Temerloh, Jerantut, Kuantan, Bera dan Lembah Klang, ujarnya.

”Kita menerima permintaan sos cili, kicap dan cili boh secara purata sebanyak lebih 1,000 botol sehari,” katanya.

Pengurus Operasi Semaju Jaya, Noraslamiah Man berkata, pada masa ini seramai 10 pekerja terdiri daripada isteri dan anak peneroka bekerja sepenuh masa dalam bahagian pembuatan dan pembungkusan di kilang syarikat itu.

Menurut beliau, selain dihantar ke premis perniagaan runcit dan borong, ada peniaga yang datang sendiri ke kilang untuk mendapatkan bekalan.

”Kita mempunyai sebuah lori dan van untuk mengedarkan produk di pasar raya – pasar raya di Bandar Tun Abd.Razak Jengka, Temerloh, Jerantut, Kuantan, Bera, Keratong dan Kuala Lumpur,” katanya yang merupakan anak ketujuh pasangan itu.

Mengenai bekalan bahan mentah, Noraslamiah memberitahu, bahan-bahan seperti botol, tepung sos, air kacang soya, cili kering bermutu tinggi diperoleh secara kontrak daripada pembekal di Kuala Lumpur.

Mengenai prospek produk syarikat itu, menurut beliau, pihaknya mengunjurkan pengeluaran sehingga 5,000 botol sos dan kicap sehari kerana permintaan semakin bertambah setiap masa.

”Di samping itu pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat peneroka Felda yang setanding kelas menengah di bandar, turut mempengaruhi geraf jualan syarikat yang semakin meningkat,” katanya.

Noraslamiah mengakui sokongan Felda yang menggalakkan peneroka terlibat dalam kegiatan industri kecil dan sederhana (IKS), mempengaruhi minat keluarganya aktif dalam bidang perniagaan.

Katanya, penyediaan dana pinjaman untuk usahawan bumiputera oleh agensi kerajaan seperti Felda berupaya melonjakkan status ekonomi dan sosial peneroka.

Kerajaan, tambahnya, menyediakan tapak kukuh untuk usahawan bumiputera merebut peluang peniagaan seperti kewujudan koridor Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pada masa sama, jelasnya, Felda berusaha mendidik peneroka agar terus terlibat aktif dalam bidang keusahawanan yang mampu membina semangat berdikari dan berdaya saing.

”Hasil didikan pegawai Felda itu, minda peneroka lebih ‘celik’ dengan potensi besar dalam sektor perniagaan apabila kuasa beli penduduk semakin meningkat,” katanya.

Cendawan kawal kanser?

BUKAN satu rahsia. Cendawan merupakan sebahagian daripada diet atau pemakanan yang bukan sahaja enak dan pelbagai tetapi juga berkhasiat dan penting dalam kehidupan seharian.

Bayangkan sahaja sup cendawan keju dengan kruton atau dicampur bijirin yang lazat dan berkrim. Sungguh menyelerakan!

Kesan legendanya sebagai penawar herba kini turut meraih perhatian saintis Barat untuk melakukan penyelidikan demi penyelidikan.

Cendawan telah diamalkan di dalam perubatan herba tradisional di China dan Jepun sejak beribu tahun lampau.

Di Asia, cendawan biasa digunakan untuk melegakan kesakitan dan merawat penyakit-penyakit seperti artritis.

Tidak hairanlah jika spesies kulat yang sering diklasifikasikan dalam kumpulan yang sama dengan buah-buahan dan sayur-sayuran ini bakal muncul kelas seterusnya yang tersendiri dalam perubatan alami.

Pengamal perubatan tradisi Cina, Martin Powell dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini berkongsi maklumat bagaimana ‘sentuhan ajaib’ cendawan yang dakwanya, boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan kanser.

Menurutnya, cendawan mempunyai manfaat unik bagi mereka yang menjalani rawatan konvensional kanser kerana selamat digunakan bersama-sama dengan perubatan moden.

‘‘Terdapat banyak perubatan herba yang tidak diterima oleh doktor kerana berkemungkinan interaksi dengan ubat, tetapi penggunaan cendawan ini dianggap selamat dan telah digunakan oleh doktor sebagai rawatan tambahan di Barat.

‘‘Coriolus versicolor merupakan cendawan yang paling banyak dikaji untuk menyokong kegunaannya ke atas kanser dan telah digunakan untuk terapi kanser di China dan Jepun. Pada lewat 1980-an jualan Coriolus di Jepun dianggarkan berjumlah AS$600 juta (RM2.884 bilion),” ujar Powell.

Anak kelahiran United Kingdom (UK) ini turut menyampaikan ceramah bertajuk Khasiat Cendawan dalam Pengawalan Kanser kepada para pengamal perubatan tradisi Cina, anjuran Bio-Life, sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam penjagaan kesihatan secara semula jadi.

Powell merupakan seorang ahli biokimia yang juga berkemahiran dalam perubatan Cina setelah melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di Sekolah Akupuntur dan Perubatan Tradisional Cina London serta di Klinik Perubatan Tradisional Cina, Shanghai, China.

Kini, beliau merupakan pensyarah Perubatan Herba Cina dan Terapi Nutrisi di Universiti Westminister, London selain memberi syarahan tentang khasiat cendawan untuk Mycology Research Laboratories (MRL) di Portugal, Ireland dan England.

Powell telah menjadi tenaga pengajar sejak tahun 1997 dan mengajar mengenai perubatan Cina di Ireland dan Sweden.

Pemakanan berkhasiat cendawan adalah salah satu bidang pengkhususannya.

Mengulas lanjut, Powell berkata, dua ekstrak daripada Coriolus versicolor telah diuji secara mendalam di China dan Jepun dan didapati mampu meningkatkan jangka hayat penghidap kanser payudara, paru-paru, perut, usus dan nasofarinks.

‘‘Kini, cendawan ini digunakan secara meluas untuk menyokong sistem imuniti badan dalam pengawalan kanser.

‘‘Rawatan radioterapi dan kemoterapi akan melemahkan sistem imuniti badan dan pengambilan cendawan membantu keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan serta menyokong sistem imun.

Berulang

‘‘Pengambilan berterusan selepas rawatan membantu mengelak kanser daripada berulang. Selain itu, ia turut digunakan dalam beberapa masalah jangkitan virus yang kronik,” katanya.

Dalam perubatan Barat, apabila mereka menilai sesuatu penyakit, mereka tidak melihat seseorang itu secara keseluruhan walaupun ia penting terutamanya bagi penyakit tahap akut.

Powell tertarik dengan bagaimana masyarakat Cina membuat penilaian mengenai kesihatan dan penyakit.

‘‘Ia ada kaitan dengan ‘yin dan yang’, tujuh emosi. Contohnya jantung adalah keceriaan, limpa adalah kerisauan, ginjal adalah ketakutan, hati adalah kemarahan dan paru-paru adalah kesedihan.

‘‘Manakala konsep keharmonian dan keseimbangan juga dianggap sebagai sesuatu yang diperlukan dalam kehidupan,” jelas beliau.

Tambahnya, cendawan yang paling banyak digunakan adalah Coriolus, Cordyceps sinensis dan Reishi (Lingzhi).

Powell sendiri banyak menggunakan lingzhi untuk rawatan rinitis kerana ia bersifat antihistamin, antiradang dan bahan pemodulasi imun.

Ia membantu mereka yang kurang tenaga dan lelaki yang mempunyai fungsi seksual yang lemah. Beliau memberitahu:

‘‘Saya akan mengambil Coriolus apabila mendapat selesema, semasa mengembara dan apabila berada dalam stres. Pengambilan Coriolus dan vitamin C membantu mengelakkan jangkitan.

‘‘Dalam masalah kanser seperti payudara, perut, usus, prostat, hati dan juga leukemia, pengambilannya berupaya membantu menyokong sistem imun.

‘‘Di UK, ada doktor haiwan yang memberi Coriolus kepada anjing dan kucing yang menghidap kanser tahap akhir dan ia membantu meningkatkan selera makan dan kualiti kehidupan haiwan berkenaan.”

Produk cendawan yang dimaksudkan oleh Powell adalah daripada MRL di California, yang memfokuskan kepada perkembangan klinikal untuk menyokong sistem imun.

MRL mempunyai perpustakaan yang ekstensif mengenai jenis-jenis cendawan untuk memastikan spesies cendawan yang betul dan bioaktif digunakan.

Contohnya, spesies yang betul mengikut Chinese Pharmocopoeia adalah Cordyceps sinensis, tetapi dianggarkan 75 peratus produk di pasaran menggunakan Cordyceps militarium.

Kajian menunjukkan cendawan Shiitake, Maitake, Reishi, Cordyceps sinensis dan Coriolus versicolor bersifat antitumor.

Maitake, Coriolus dan Reishi juga bersifat antiradang manakala Coriolus dan Reishi bermanfaat untuk melindungi hati.

‘‘Coriolus, Maitake dan Reishi mempunyai bahan hipoglisemik (mengurangkan kandungan gula darah) manakala Cordyceps mempunyai aktiviti steroid.

‘‘Cendawan ini mengandungi polisakarida berantai panjang, beta glukan dan proteoglikan dan enzim-enzim untuk mengelakkan tekanan oksidatif, menghalang perkembangan sel tak terkawal dan merangsang detoksifikasi,” terang Powell.