Tasik Kenyir jadi pusat ikan air tawar

HULU TERENGGANU: Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) mensasarkan pengeluaran akuakultur iaitu ternakan ikan air tawar dalam sangkar sehingga 600,000 tan metrik bernilai RM3.8 bilion menjelang tahun 2010.

Malahan sektor itu dijangka mampu memberi pulangan yang tinggi melalui penglibatan swasta dengan penggunaan teknologi moden.

Bagi negeri Terengganu, sektor akuakultur meliputi kawasan seluas 162.95 hektar kolam dengan 1,206 unit sangkar melibatkan 1,209 penternak ikan.

Pengarah Perikanan Negeri Munir Mohd Nawi berkata bagi daerah Hulu Terengganu sahaja seramai 238 orang telah menceburi sektor akuakultur dengan pelbagai cara termasuk ternakan ikan air tawar dalam kolam, tangki konkrit selain sangkar sejak tahun 2004.

Katanya, bagi pembangunan akuakultur Sungai Como iaitu Kawasan Zon Eksklusif yang dikhaskan untuk ternakan ikan air tawar di Tasik Kenyir, pengusaha akan mematuhi garis panduan pembangunan akuakultur dan akan mengikut kod amalan akuakultur yang ditetapkan.

Beliau berkata tasik terbesar buatan manusia itu mempunyai kawasan permukaan air seluas 36,900 hektar dengan jumlah 2,800 hektar diperuntukkan untuk aktiviti ternakan ikan dalam sangkar.

Kawasan ini telah diwartakan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Katanya sehingga ini terdapat tiga pengusaha di tasik itu terdiri daripada dua penternak yang telah memulakan ternakan dengan 40 unit sangkar dan sebuah syarikat yang baru menceburi bidang ternakan ikan dalam sangkar secara komersil.

“Kita sasarkan Terengganu mampu mengeluarkan hasil akuakultur sebanyak 40,000 tan metrik setahun menjelang 2010,” katanya.

Amalan baik akuakultur

Bermula tahun ini, sebanyak 8,000 tan metrik dijangka dapat dihasilkan dari tasik itu daripada 10,000 tan metrik pengeluaran keseluruhan, katanya kepada Bernama di sini.

Munir berkata pelaksanaan projek akuakultur akan dijalankan secara sistem blok dan berkelompok.

Setiap blok mempunyai 200 sangkar dengan lapan orang peserta.

Menurutnya, setiap blok memerlukan kawasan seluas satu hektar iaitu 0.6 hektar digunakan sebagai kawasan ternakan manakala selebihnya sebagai ruang untuk pertukaran air bagi keselamatan ternakan.

Beliau berkata pelaburan untuk projek akuakultur di tasik itu dicadangkan bernilai kirakira RM70 juta manakala anggaran nilai hasil tahunan berjumlah RM50 juta setahun di mana pengurusan ternakan adalah berasaskan kepada amalan baik akuakultur.

Ini penting supaya hasilnya menepati tahap keselamatan dan kualiti makanan.

Katanya bagi tujuan pemuliharaan sumber perairan darat yang mapan, Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) turut dipraktikkan.

“Adalah diharapkan pelaksanaan projek yang mengambilkira kos amalan akuakultur dan garis panduan akuakultur akan dapat memastikan program yang dirancang berjalan dengan lancar,” katanya.

Tiada masalah pasaran

Pengurus Perhubungan Korporat syarikat Gabungan Saudagar Aquamarine (GSA) Sdn Bhd Manan Ngah berkata syarikatnya yang ditubuhkan setahun lalu giat menjalankan penyelidikan sebelum memulakan projek akuakultur di tasik itu.

“Buat permulaan syarikat 100 peratus bumiputera ini mengusahakan 10 sangkar dengan melepaskan sebanyak 20,000 benih ikan talapia.

“Saya jangka jumlah sangkar akan ditambah sehingga 50 buah sebelum akhir tahun ini dengan melibatkan peruntukan kira-kira RM300,000,” katanya ketika ditemui pada majlis perlepasan benih ikan di Tasik Kenyir awal bulan ini.

Manan berkata syarikat yang menggabungkan beberapa orang usahawan muda itu yakin industri akuakultur akan memberi pulangan yang baik jika diurus dengan betul.

“Perusahaan yang kita ceburi ini mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang memberi bimbingan, nasihat serta pemantauan,” kata Manan yang juga seorang komposer terkenal.

Beliau berkata 20,000 benih ikan, yang dilepaskan ke dalam 10 sangkar di Sungai Como tasik itu pada majlis tersebut, dijangka dapat dipasarkan Oktober depan.
Sasaran seterusnya ialah untuk mengeluarkan kirakira 50 tan metrik ikan talapia sebulan, buat permulaan untuk pasaran tempatan.

Manan berkata pasaran ikan talapia tidak menghadapi masalah kerana ikan itu sangat digemari.

Ikan kelas satu

Beliau berkata rancangan jangka panjang GSA ialah untuk menambah 1,000 sangkar dengan peruntukan kirakira RM1 juta bagi mengeksport ikanikan itu ke luar negara terutama di pasaran Amerika Syarikat, Eropah serta Asia Barat kerana ikanikan itu sangat digemari di sana.

“Di negaranegara berkenaan terutama Amerika Syarikat ikan ini sangat digemari dan dianggap sebagai ikan kelas pertama, berbeza di sini di mana ikan laut merupakan ikan kelas pertama.

Mengenai penglibatannya dalam industri akuakultur Manan berkata, beliau bukanlah beralih arah, tetapi ingin mengembangkan dan mempelbagaikan kerjayanya.

Menurutnya perusahaan memelihara ikan air tawar dalam sangkar tidak harus dipandang sebagai perusahaan orang kampung yang tidak mempunyai sistem pemeliharaan yang betul.

Sementara itu seorang pengusaha akuakultur persendirian di tasik itu Mohamad Chik, 73, berkata beliau mula menceburi bidang itu sejak beberapa bulan lepas dengan modal kirakira RM100,000.

“Saya bermula dengan 20 buah sangkar dengan menternak ikan talapia, patin, baung serta keli dan dalam beberapa bulan lagi ikan ini boleh dipasarkan,” katanya yang bercadang untuk menambah 20 sangkar lagi. BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s