Buah naga untuk juadah harian

TEMERLOH: Walaupun baru setahun dua diperkenalkan di negara ini buah naga yang dikatakan mempunyai asal usul dari Amerika Selatan kini bukan lagi sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia.

Populariti buah yang diakui oleh para pakar sebagai kaya dengan kandungan potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium kini terbukti daripada penanamannya yang kian meluas serta kegunaannya yang pelbagai, daripada buah dan jus hidangan meja kepada juadah istimewa harian dan musim perayaan.

Minat untuk mengusahakan ladang buah naga atau nama saintifiknya Epiphytes atau Pitaya yang tergolong dalam spesies kaktus dirangsangkan lagi oleh penemuan para pakar bahawa ia berkhasiat untuk mencegah pelbagai penyakit seperti kanser usus dan kencing manis.

Mengambil manfaat daripada penemuan itu sepasang suami isteri kini menumpukan sepenuh masa kepada penanaman pokok naga di ladang seluas 7 ekar di Taman Baru Kerdau, Temerloh dan penghasilan pelbagai produk hilirannya.

Ketika si suami, Show Lee Sin, 36, membanting tulang di ladang buah naga merah itu isterinya, Chow Kwai Sing, 35, pula giat menghasilkan pelbagai juadah daripada buah berkenaan termasuk ‘Crystal Jelly Moon Cake’ dan kuih bulan yang mendapat permintaan tinggi menjelang pesta tanglung masyarakat Cina.

Diproses untuk bahan kosmetik
Pasangan itu telah mengusahakan ladang tersebut sejak dua tahun lepas, pada asalnya sekadar untuk “suka-suka” sebagai menampung keperluan keluarga semata-mata. Mereka memilih pokok buah naga berisi merah kerana ia lebih menguntungkan berbanding yang berisi putih.

Peluang untuk mereka menceburi bidang perniagaan berasaskan buah naga secara komersil terbuka apabila rakan-rakan menunjukkan minat terhadap kuih bulan yang mereka hasilkan dan membuat tempahan secara besar-besaran pada kadar RM20 sekotak setiap kali menjelang pesta tanglung.

Menurut Chow oleh kerana buah naga merah mempunyai potensi untuk dikomersialkan sebagai produk makanan yang berkhasiat tinggi, beliau merasakan adalah amat rugi sekiranya produk hiliran tanaman itu tidak dipelbagaikan.

Beliau berkata kuihmuih yang dihasilkannya halal dimakan oleh semua orang dan tidak dibuat semata-mata untuk perayaan Pesta Tanglung.

“Kalau kita kreatif kita boleh buat duit daripada buah naga ini kerana selain untuk dijadikan makanan ia juga boleh diproses menjadi bahan kosmetik,” kata Chow.

Beberapa produk yang dihasilkan oleh pasangan suami isteri itu kini telah memasuki pasaran di sekitar Kuala Lumpur termasuk minuman jus dalam tin dengan jenama ‘Pittaberry dan Pinkberry, Teh bunga dan Enzim penambah tenaga yang dijual dengan harga RM30 sebotol.

Samsu buah naga
Show pula berkata selain tumpuan di ladang beliau turut membantu isterinya mengkomersialkan ‘Crystal Jelly Moon Cake’. Di samping itu mereka juga merancang untuk menghasilkan yogurt dan samsu daripada buah naga merah yang diusahanya.

“Kami berhasrat untuk mempelbagaikan lagi hasil keluaran kami. Untuk itu kami bercadang untuk menambah keluasan ladang sebanyak tiga ekar lagi bagi mendapat bekalan buah naga merah yang mencukupi untuk menghasilkan pelbagai produk dalam kuantiti yang banyak,” kata Show.

Mereka juga merancang untuk membina kilang sendiri untuk mengeluarkan produk makanan dan minuman tanpa perlu dihantar ke kilang lain untuk diproses.

Show berkata beliau membuka ladang buah naga merahnya dengan modal sebanyak RM140,000. Berkat kegigihannya, modal itu telah diperolehi balik hanya selepas dua tahun.

Kini ladang itu mampu menghasilkan dua tan buah sebulan. Menerusi jualan buah mentah dan produk hiliran, pasangan itu kini memperolehi pendapatan purata RM15,000 sebulan.

Menurut Show selain buahnya, keseluruhan tumbuhan itu juga boleh dimanfaatkan, dengan bunganya boleh dikering dan dijadikan daun teh, batangnya boleh dijadikan benih, manakala lendir batangnya juga berfungsi seperti aloe vera yang boleh digunakan untuk disapu pada kesan melecur.

Jangka hayat yang panjang
Yang paling istimewa tentang pokok buah naga ialah jangka hayatnya yang boleh mencecah sehingga 100 tahun jika dijaga dengan baik.

Buah naga merah dibahagikan kepada tiga gred iaitu A, B dan C, dan daripada keseluruhan hasil kutipan buah setelah masak, 60 peratus hasilnya adalah gred A yang boleh dijual pada kadar RM10 hingga RM12 sekilogram.

Show berkata gred buah ditentukan oleh beratnya. Bagi buah yang mencecah berat 450 gram ke atas ia dikategorikan sebagai gred A, manakala buah yang mencecah berat 300 gram hingga 450 gram gred B dan 300 gram ke bawah gred C.

Setiap rumpun tanaman di ladang itu mengandungi empat hingga lima batang pokok yang mengeluarkan kirakira 15 biji buah yang sedia untuk dipetik dalam tempoh enam bulan.

Show berkata beliau menggunakan baja organik untuk memastikan tanamannya bebas daripada racun, manakala air yang diguna untuk menyiram ialah air kolam yang bebas daripada klorin.

Selain mengusahakan ladang berkenaan, Show dan isterinya juga menjual peralatan menanam pokok itu seperti tiang sokongan, baja organik dan benih pokok.

Pasangan suami isteri yang mempunyai empat cahayamata itu kini dibantu dua orang pekerja.

Show berkata ladangnya sering menerima pelawat, termasuk peserta kursus pertanian anjuran Risda yang berminat untuk mengusahakan tanaman itu.

Di samping itu beliau sendiri sering mengikuti ekspo pertanian yang dianjurkan oleh agensiagensi tertentu seperti FAMA. Ekspo terbaru yang disertainya ialah Ekspo Industri Asas Tani 2006 (EIAT). Sepanjang empat hari ekspo itu berlangsung beliau memperolehi keuntungan RM10,000. BERNAMA

One thought on “Buah naga untuk juadah harian

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s