
dan insentif jabatan serta agensi kerajaan.
SEPERTI kebanyakan projek pertanian yang lain, projek pertanian berasaskan tanaman industri, florikultur dan tumbuh-tumbuhan herba juga mempunyai skop pembiayaan dan pinjaman tertentu. Bagi projek tanaman vanila misalnya, sumber kewangan boleh diperoleh sama ada menerusi pinjaman Bank Pertanian Malaysia (BPM) atau insentif Jabatan Pertanian.
Insentif Jabatan Pertanian misalnya diberikan menerusi bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur (PTIF) iaitu bahagian yang bertanggungjawab membangunkan industri herba, rempah ratus dan komoditi berpotensi lain seperti cendawan, lebah madu, roselle dan sebagainya sebagai bidang usaha atau tanaman selingan (jangka pendek).
Projek pertanian yang dijalankan secara komersial itu pula sekurang-kurangnya mampu memberi pendapatan bersih kepada keluarga petani sebanyak RM1,000 sebulan di bawah sistem jaminan harga, pasaran kontrak dan pinjaman mudah tanpa cagaran.
Di samping itu, PTIF juga berperanan memenuhi keperluan permintaan semasa bahan mentah yang berkualiti dan konsisten kepada pengilang atau pengusaha tempatan yang terlibat dalam industri pemprosesan di bawah pengurusan sistem rantaian bekalan yang efisien. Apa yang lebih penting, ia juga mampu membentuk satu pakatan kerjasama yang padu di antara mereka yang terlibat dalam industri dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, FAMA dan MARDI yang akan membantu usaha-usaha promosi. Tidak ketinggalan, kerjasama yang kukuh juga dapat digerakkan dengan institusi berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam membangunkan daya saing industri herba dan rempah ratus serta komoditi berpotensi lain.
Maklumat lanjut mengenai insentif PTIF yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian ini boleh diperoleh dengan menghubungi agensi berkenaan di talian 03-8870 3000 atau layari laman web www.doa.gov.my.
Dari sudut BPM pula, pelbagai kemudahan kredit turut disediakan sama ada melalui pembiayaan secara konvensional atau Perbankan Islam khusus untuk aktiviti pertanian seperti pengeluaran, pemprosesan dan pasaran komoditi pertanian.
Terdapat lima kemudahan pinjaman yang disediakan oleh BPM sama ada melalui dana bank atau dana kerajaan iaitu berjangka, modal pusingan, pembiayaan perdagangan, Perbankan Islam dan kemudahan lain. Bagi projek pertanian berkaitan aktiviti tanaman seperti vanila pula, pinjaman berjangka jenis Wawasan Tani merupakan salah satu jenis kemudahan kredit yang boleh dipohon oleh pengusaha.
Maklumat lanjut mengenai kemudahan kredit yang ditawarkan oleh BPM boleh didapati dengan menghubungi talian 03-2731 1600 atau melayari laman web www.bpm.com.my.
Insentif dari Jabatan Pertanian bagi pembangunan industri herba atau rempah ratus dan komoditi berpotensi seperti cendawan
● Pembiayaan Kerajaan Persekutuan untuk herba dan rempah ratus serta roselle adalah sebanyak RM5,000 setiap hektar bagi tujuan pembangunan ladang.
● pembiayaan kerajaan persekutuan sehingga RM10,000 setiap hektar bagi projek tanaman cendawan.
● RM30,000 seorang untuk peralatan dan bengkel bagi tujuan nilai tambah produk dan industri semaian industri herba dan rempah ratus serta tanaman berpotensi lain.
● Kos tambah dibiayai oleh kerajaan negeri dan pinjaman Bank Pertanian Malaysia (BPM) atau institusi kewangan lain.
● Sistem ladang kontrak.
● Memberi bantuan latihan dan bimbingan.
● Memberi khidmat nasihat teknikal dan kepakaran.
● Sokongan bagi mendapatkan pinjaman.
lebih maklumat tenteng penanaman vanila