Sisa kambing sebagai sumber pendapatan

SELAMA ini ternakan kambing dan biri-biri hanya menghasilkan satu produk saja misalnya kambing pedaging hanya menghasilkan daging, manakala tenusu mengeluarkan susu saja. Sebelum ini penternak sedia maklum tinja atau najis ternakan sesuai dijadikan baja bagi pelbagai jenis tanaman, sama ada jangka pendek atau panjang. Kini dengan teknologi dan teknik pemprosesan tinja yang biasanya dibuang begitu saja dan menyumbang kepada pencemaran atau dijadikan baja boleh menghasilkan baja organik.

Baja organik atau popular sebagai emas hitam merupakan hasil tinja kambing yang diproses atau dikitar semula.Baja organik merupakan baja yang dihasilkan daripada punca tanaman atau ternakan yang tidak mempunyai sebarang bahan kimia atau hormon. Bermula dengan 50 ekor kambing, penternak sudah boleh mengusahakan baja organik justeru meningkatkan pendapatan dan menggantikan punca pendapatan utama asal.

Projek yang merupakan pelengkap kepada bidang penternakan menyemarakkan lagi potensi pendapatan sejajar dengan Dasar Pertanian Negara Ke-3. Kuantiti tinja kambing akan bertambah dari sehari ke sehari akan mewujudkan pencemaran bau jika tidak diuruskan dengan betul. Keadaan berkenaan akan menyebabkan penyakit seperti radang paru-paru terutama pada ternakan tua dan terlalu muda.

Longgokan yang bertambah banyak akan menyebabkan pencemaran alam sekitar apabila hari hujan. Setiap projek yang mengandungi 250 ekor ibu atau 750 ekor kambing mampu menghasilkan 9,000 kilogram (kg) atau sembilan tan tinja mentah sebulan. Jumlah tinja yang dihasilkan setiap bulan dalam kuantiti banyak dan boleh dijadikan sumber pendapatan yang lumayan sekiranya diurus secara sistematik.

Sistem penternakan insentif merupakan sistem paling sesuai bagi pengeluaran baja organik secara sistematik kerana ternakan bebas tidak akan memberikan tinja yang optimum. Kandang Penternak disaran membina kandang setinggi enam kaki (dua meter) dari permukaan tanah bagi memudahkan kerja memungut tinja mentah. Permukaan bawah kandang boleh di simen atau tidak mengikut kesesuaian keadaan tempat. Bagi kandang kecil usaha memungut tinja dilakukan menggunakan plastik kanvas di bawah lantai dengan curam ke tepi kandang. Tinja kambing merupakan 83 peratus bahan mentah baja organik bahan organik, bermakna sembilan tan metrik tinja mentah mampu menghasilkan 10.5 tan metrik baja organik.

Baja organik dapat dipasarkan pada harga RM800 setan dan ladang komersial yang berskala 250 ekor kambing mampu menghasilkan RM8,400 sebulan melalui kaedah pemasaran.Jika baja organik dijual dalam bungkusan kecil maka pendapatan meningkat kepada angka yang lebih lumayan.

Kaedah pemasaran yang strategik mampu menjadikan penghasilan baja kompos sebagai penjana pendapatan. Penternak yang menyertai program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani boleh menyertai kursus secara sangkut dan latihan amali di ladang swasta secara insentif.

Peralatan seperti bangsal (15 kaki x 28 kaki atau lebih besar) mesin pembancuh tinja, cangkul, jaring penapis, alat penimbang dan bekas plastik diperlukan bagi menghasilkan baja organik. Semua peralatan dianggarkan berharga kira-kira RM10,000. Baja organik tidak mengandungi sebarang bahan kimia, antibiotik atau hormon dan tidak mencemarkan alam sekitar atau kualiti air. Baja organik juga dapat mengurangkan serangan hama dan penyakit dan sesuai digunakan bagi semua jenis tanaman jangka panjang seperti durian, duku dan manggis serta jangka pendek seperti sawi, cili dan tomato.

TINJA atau najis kambing boleh diproses dan dijadikan baja yang mampu memberi pendapatan tambahan kepada penternak.

Baja organik Bio Komp ini dihasilkan daripada tinja kambing yang diternak. Antara kebaikan menggunakan baja ini adalah seperti berikut:

* Menyuburkan lapisan bawah permukaan tanah
* Meningkatkan populasi mikro organisma tanah
* Meningkatkan daya serap akar & daya serap air
* Meningkatkan ketersediaan unsur terutamanya N.P.K dalam jangkamasa panjang untuk membentuk unsure yang sangat diperlukan tanaman.
* Mengurangkan kos pertanian & MESRA ALAM.

Harga bagi 1 tan adalah RM 700.00.

MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI

Perfect Agro Sdn Bhd
Wisma Yahaya Ariffin
NO 34, Plaza Puchong
Jalan Puchong Mesra 1
58200 Kuala Lumpur

Tel: 03- 8075 7188
Faks: 03- 8075 5188

Emel: sales@perfectagro.com.my
website: http://www.perfectagro.com.my/

Dua beradik cekal ternak ikan dalam sangkar

PENGALAMAN tinggal di tepi Sungai Pahang dan bapanya yang menternak ikan kolam menjadikan dua beradik ini cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran menternak ikan dalam sangkar. Bermula secara kecil-kecilan pada tahun 1991, Zaid Hassan, 36 dan Che Hasanlim Hassan, 32 berkongsi modal sebanyak RM4,000 untuk membina tiga buah sangkar sepanjang Sungai Pahang. Dengan wang itu juga mereka bersama-sama adik-beradik lain membina sangkar, menjahit jala dan mencari benih ikan yang sesuai.

Pada mulanya dua-beradik ini hanya memelihara ikan patin dan tilapia dengan bekalan anak benih dari Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Zaid berkata, sebelum sampai ke tahap yang boleh dibanggakan, mereka terpaksamengharungi banyak cabaran. “Boleh dikatakan kami banyak membuat kajian sendiri mengenai ternakan air selain menghadiri kursuskursus yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan, katanya semasa ditemui di kolam ikannya di Kampung Sungai Kundang, Jalan Maran – Temerloh, Temerloh, Pahang.

Pada mulanya mereka meletakkan sehingga 2,000 ekor anak ikan dalam sangkar tetapi tumbesaran yang lambat menyebabkan hasil lambat dituai. Masalah makanan yang semakin bertambah apabila ikan berada lebih lama dalam sangkar menyebabkan mereka meletakkan hanya 1,500 ekor saja bagi mencapai tempoh pembesaran optimum. Perubahan cuaca juga merupakan satu lagi cabaran yang mampumenggugat kecekalan seorang penternakikan sangkar.

“Misalnya perubahan keadaan cuaca dan aras air amat penting bagi pertumbuhan ikan dalam sangkar. Aras air amat penting semasa meletakkan benih ikan di sangkar kerana anak ikan sensitif dengan perubahan aras air terutamanya semasa musim hujan,’’ kata Che Hasanlim pula. Hujan lebat tambah Che Hasanlim, akan membawa lumpur dan sampah sarap yang melekat di bahagian insang ikan dan menyebabkan kesukaran bernafas. “Benih ikan perlu diletakkan selepas musim monsun kerana hujan lebat akan menyebabkan anak ikan mati,’’ katanya Masalah berkenaan menyebabkan tidak ramai penternak yang mampu bertahan lama dalam industri ternakan ikan sangkar selain harga makanan ikan yang semakin meningkat. Che Hasanlim berkata, ikan memerlukan makanan seimbang yang terdiri daripada palet, kepala ikan dan baja ikan sebagai makanan tambahan.

Memandangkan keperluan dalam makanan ikan semakin meningkat, beliau bercadang membeli mesin bagi menghasilkannya sendiri. Walaupun masih belum berupaya menghasilkan makanan ikan sendiri, Che Hasanlim telah menambah lebih banyak jenis ikan seperti patin buah dan hitam, jelawat, baung dan jelawat bagi pasaran makanan dan bawal merah untuk kolam pancing. “Kami juga sedang meluaskan ternakan ikan sangkar dengan cuba memelihara beberapa jenis ikan hiasan seperti ikan kelah, kerai dan koi bagi mempelbagaikan perniagaan di masa akan datang,’’ katanya yang dibantu oleh adik-beradiknya seramai 15 orang.

Buat masa sekarang syarikat mereka, Perniagaan Kundang Maju mempunyai 47 buah sangkar ikan di tiga kawasan berasingan sepanjang Sungai Pahang. Kawasan penternakan yang berasingan, kata Che Hasanlim penting bagi mengelakkan perebakan penyakit selain pemilihan kawasan teluk yang agak terlindung daripada arus deras juga penting bagi melindungi ikan. Menyentuh mengenai pasaran, Che Hasanlim berkata, kebanyakan ikannya dijual di pasar-pasar sekitar Maran dan Temerloh. Setelah hampir 10 tahun menjalankan penternakan ikan sangkar barulah Zaid memberanikan diri bertemu dengan pegawai Bank Pertanian Malaysia (BPM) cawangan Temerloh bagi mengembangkan ternakan ikan dalam sangkar.

Melihat kepada ternakan ikan sangkar yang diusahakan dua beradik ini semakin berdaya maju, BPM telah meluluskan pinjaman di bawah skim 3F sebanyak RM75,000 bagi pembinaan sangkar dan bekalan benih ikan. Memandangkan permintaan ikan air tawar yang semakin meningkat bagi bekalan di restoran dan kolam pancing Zaid sekali lagi memohon pinjaman BPM sebanyak RM100,000. Pinjaman kali kedua tahun lepas juga telah diluluskan memandangkan mereka berupaya mengeluarkan sehingga satu tan ikan sekali musim tuaian mengikut jenis ikan. Misalnya ikan patin hitam boleh dituai semasa berusia enam hingga lapan bulan manakala patin bunga pula pada 12 hingga 18 bulan. Kedua-dua beradik ini bercadang untuk membesarkan lagi perniagaan ikan sangkar dengan mempelbagaikan jenis ikan misalnya ikan hiasan, memproses makanan ikan sendiri dan menghasilkan ikan pekasam.

 

 

Persediaan bagi menjadi penternak ikan sangkar:

1. Modal yang mencukupi
2. Sangkar ikan biasanya satu sangkar berukuran 10 kaki x 12 Kaki memakan belanja hampir RM3,000
3. Bekalan benih ikan
4. Bekalan makanan ikan
5. Pasaran ikan

Ikan yang biasa dipelihara dalam sangkar di sungai:

● Patin hitam
● Patin buah
● Baung
● Bawal merah
● Tilapia
● Jelawat
● Kerai

– Harga ikan yang dipelihara Patin hitam RM10 hingga RM12 sekilogram
– Patin buah RM20 hingga RM25 sekilogram

Fertigasi teknologi yang popular dan menguntungkan

TEKNOLOGI fertigasi membantu petani menjalankan aktiviti pertanian
secara sistematik seterusnya memastikan hasil pertanian bermutu tinggi.

SALAH satu teknologi pertanian yang kini semakin mendapat perhatian terutamanya di kalangan petani yang mengusahakan tanaman sayursayuran ialah teknik fertigasi (fertigation). Fertigasi berasal daripada perkataan “fertilizer” dan “irrigation” iaitu satu kaedah penanaman yang mana baja yang lengkap diberikan kepada tanaman dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis. Menerusi teknologi ini, bekalan air dan nutrien yang cukup serta seimbang mengikut peringkat pertumbuhan pokok dapat di kawal dengan lebih sistematik. Ini membolehkan tanaman membesar dengan sihat serta berupaya mengeluarkan hasil yang optimumdan berkualiti tinggi.

Sistem ini adalah salah satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro. Sistem ini sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah dan berdaun seperti tomato, timun jepun, cili merah, terung, limau, cili sayur, strawberi dan juga pokok hiasan atau lebih tepat untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran.

Tanaman Sistem Fertigasi bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan juga penyakit layu bakteria yang berpunca daripada tanah. Terdapat tiga komponen utama yang memainkan peranan penting dalam amalan pertanian secara fertigasi ini iaitu Rumah Perlindungan Hujan (RPH), tangki baja dan pengairan. RPH bertindak sebagai tempat perlindungan tanaman daripada hujan lebat yang boleh merosakkan kualiti buah kesan daripada titisan hujan. Ia juga berperanan mengawal penyakit yang biasanya merebak pada musim hujan selain menjadi pelindung kepada serangan serangga perosak. Di samping itu, RPH mampu meningkatkan keberkesanan penggunaan baja dan kawalan racun perosak serta mengurangkan kepanasan cahaya terik matahari pada kadar sehingga 20-30 peratus.

Ini kerana struktur bumbung RPHkebiasaannya dibina daripada bahan lutsinar seperti kepingan kaca, polikarbonat,akrilik atau filem polietilena. Bumbung ini mampu menapisgelombang cahaya yang tidak diperlukan daripada cahaya mataharisebaliknya bersifat lutsinar terhadap gelombang matahari yang sangatdiperlukan untuk pertumbuhan tanaman serta proses fotosintesis.Ia juga secara tidak langsung menjimatkan tenaga buruh di samping tidak memerlukan penggunaan ruang tanah yang luas memandangkan ia tidak menggunakan tanah. Beberapa media tanaman juga digunakan dalam amalan pertanian fertigasi ini bagi tujuan menggantikan fungsi tanah seperti cocopeat, sekam padi, rootwool, perlite, zeolite dan vermiculate. Cocopeat dan sekam padi digunakan secara meluas kerana harganya murah, ringan, berkualiti dan mudah digunakan .

Peralatan atau komponen yang diperlukan dalam sistem fertigasi pula termasuk tangki, tong stok nutrien, pam, paip poli atau PVC, dripper, mini tubing, tubing, timer dan peralatan kawalan air serta baja. Dalam sistem ini, air baja diberi mengikut masa iaitu antara tiga hingga enam kali sehari selama lima hingga 10 minit, bergantung kepada cuaca dan juga kawasan tanaman.
Pembinaan sistem fertigasi mengikut pakej pasang siap GM PELADANG misalnya berharga kirakira RM30,000 untuk keluasan 600 kaki persegi. Hasil pengeluarannya boleh mencapai empat hingga enam kali ganda dari tanaman di atas kawasan terbuka manakala pulangan modal dalam sistem tanaman ini mengambil masa di antara tiga hingga empat tahun.

Antara kebaikan fertigasi ialah:

● tidak memerlukan kawasan yang luas kerana ia tidak menggunakan tanah.
● masa tanaman yang singkat bermakna lebih banyak pusingan tanaman setahun.
● kerja berat yang membebankan dapat dikurangkan menerusi penggunaan teknologi.
● jimat penggunaan air.
● mengelakkan serangan penyakit dan serangga bawaan tanah.
● tiada masalah rumput di atas batas dan nutrien dapat dikitar kembali bermakna menjimatkan penggunaan baja.
● hasil tanaman yang lebih tinggi.
● tiada atau kurang kejutan kepada anak benih semasa proses mengubah.
● masa menanam sepanjang tahun iaitu tidak dipengaruhi oleh musim menanam.
● kualiti hasil yang tinggi dan seragam serta kesan sisa racun yang minimum.
● alam sekitar lebih bersih dan harmoni
● tanaman hidroponik hanya menyerap nutrien yang diberi bermakna masalah kedapatan logam berat dalam produk yang dihasilkan tidak timbul.