Penternakan Lembu Di Ladang Kelapa Sawit Sediakan Dwi Pendapatan Kepada Peladang

Bernama, 27 Dis 2007

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) — Rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk menyepadukan penternakan lembu di ladang kelapa sawit akan menyediakan dwi pendapatan kepada peladang kelapa sawit dan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan baru di wilayah tersebut, kata ketua pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Mohd Basri Wahid, hari ini.

Daripada 6,000 peluang pekerjaan itu, kira-kira 4,000 pekerjaan boleh diwujudkan dalam aktiviti huluan seperti persamakan, pemprosesan daging dan perkilangan makanan ternakan, katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, projek tersebut juga membantu membangunkan industri kecil dan sederhana dan meningkatkan pengeluaran daging tempatan yang ketika ini hanya menghasilkan 23 peratus daripada permintaan domestik.

Sasaran utama ialah meningkatkan jumlah lembu kepada 1.49 juta ekor menjelang 2010.

Dengan menternak lembu di ladang kelapa sawit, pelaksanaannya juga boleh dipercepatkan kerana kawasan meragut berada di tanah pertanian sedia ada tanpa perlu membuka kawasan baru, kata Mohd Basri.

Beliau berkata sekawanan 100 lembu betina dan lima lembu jantan yang disepadukan secara sistematik di kawasan seluas 400 hektar di ladang kelapa sawit berpotensi meningkatkan jumlah lembu kepada 263 ekor.

Mohd Basri berkata kira-kira 51 peratus daripada 1.08 juta hektar tanah yang ditanam dengan kelapa sawit di wilayah itu yang berjumlah 542,000 hektar sesuai bagi projek penyepaduan lembu dan kelapa sawit.

Berdasarkan kepada kaji selidik MPOB bagi nisbah optimum seekor lembu kepada empat hektar tanah, maksimum bilangan lembu yang boleh disepadukan dengan kelapa sawit dalam ECER ialah kira-kira 135,000 ekor, katanya, sambil menambah kawasan ragut bergilir secara bersistematik penting bagi mengoptimumkan tanah tanpa menjejaskan pengeluaran kelapa sawit.

“Pekebun kecil kelapa sawit menerima dengan positif idea penyepaduan lembu ini. Ia jelas ditunjukkan oleh peneroka Felda yang ketika ini menternak kira-kira 168,000 ekor lembu di ladang kelapa sawit mereka,” kata Mohd Basri.

“Pekebun kecil tidak tersusun yang memiliki tanah kurang daripada tiga hektar mungkin perlu bersatu untuk mencapai saiz minimum ekonomi 100 ekor lembu betina di kawasan kawasan penternakan seluas 400 hektar,” katanya.

Penyelidik dan pakar lembu Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Johari Jiken Abdullah berkata penyepaduan lembu itu merupakan satu-satunya kaedah penternakan lembu berdaya maju yang menjimatkan kos di Malaysia.

“Kaedah penyepaduan kelapa sawit menggunakan sayuran semulajadi merupakan kaedah sifar kos di mana pekebun kecil hanya perlu menanggung kos minimum pengurusan lembu. Kaedah ini diamalkan dengan meluas oleh pekebun kecil Felda dan terbukti mencapai kejayaan yang baik,” katanya.

— BERNAMA

* Ternakan lembu memang menguntungkan…

One thought on “Penternakan Lembu Di Ladang Kelapa Sawit Sediakan Dwi Pendapatan Kepada Peladang

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s