Harian Metro, 3 Jan 2008
HADHARI Cattle Industry Sdn Bhd (HCISB), syarikat tempatan yang mengusahakan penternakan serta pengeluaran daging dan produk lembu halal memperuntukkan kira-kira RM70 juta bagi membangunkan pusat penyembelihan dan pemprosesan daging yang akan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.
Pusat yang akan dibangunkan di Maran, Pahang itu mempunyai keluasan 107.2 hektar dan berupaya memproses kira-kira 1,000 ekor lembu dalam satu masa dan mampu mengeluarkan kira-kira 30,000 tan daging setahun.
Timbalan Presiden Kanan HCISB, Dr Rashid Tang Abdullah, berkata bila pusat itu beroperasi, ia sekali gus berperanan untuk memproses bekalan daging lembu bagi keperluan industri kecil dan sederhana (IKS) yang dikendalikan syarikat kini.
Menurutnya, tujuh program bersepadu utamanya membabitkan ladang pembiakan, ternakan secara ‘feedlot, pengedar utama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ejen pemasaran setiap daerah, kedai daging dan burger bergerak akan mula beroperasi suku tahun pertama ini.
“Kami mensasar melahirkan 3,640 usahawan menerusi tujuh program itu menjelang Oktober depan yang akan dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).
“Sehingga kini, kami mengenal pasti tujuh usahawan untuk ladang pembiakan, ternakan secara feedlot (120), pengedar utama (12), perusahaan kecil dan sederhana (60), ejen pemasaran setiap daerah (70), kedai daging (200) dan burger bergerak (120),” katanya di Kuala Lumpur semalam.
Rashid berkata, setakat 1 Disember lalu, pihaknya menerima permohonan 2,678 usahawan yang berminat menyertai program itu.
Selain itu, katanya, HCISB turut menerima kelulusan kerajaan negeri Pahang untuk menguruskan ternakan dan pembiakan di kawasan seluas 2,000 hektar di sekitar negeri itu.
Beliau berkata, HCISB sudah diberi lesen untuk mengimport 200,000 ekor lembu setahun dari Inner Mongolia, China, selain mengimport lembu dari Thailand dan Australia untuk memenuhi keperluannya dan menjayakan program bersama MeCD itu.
“Kami juga masih berbincang dengan kerajaan Sudan untuk membawa kira-kira 200,000 ekor lembu bermula suku kedua tahun ini.
“Bagi memudahkan urusan mengimport ternakan lembu, HCISB melabur kira-kira RM100 juta untuk membeli kapal khas yang berupaya membawa 2,500 ekor lembu bagi setiap perjalanan,” katanya.
Rashid berkata, sejajar pengembangan perniagaan, HCISB menerusi syarikat induknya, Hadhari Agro Holdings Sdn Bhd akan membuka Hadhari Hypermart yang berkonsep pasar basah dan kering menjelang akhir tahun ini.
Hadhari Hypermart itu akan dibuka di Ayer Keroh, Melaka yang berfungsi menawarkan produk IKS tempatan yang berstatus halal.
Selain mengusahakan penternakan dan pengeluaran daging serta produk lembu halal, HCISB yang kini beroperasi di Kedah juga menjalankan operasi rumah sembelihan, penanaman rumput ragut dan pusat pembiakan baka lembu.
HCISB kini membekalkan kira-kira 22 peratus keperluan daging dan produk lembu negara dan menjangka meningkatkannya kepada 48 peratus tahun ini dan 80 peratus menjelang 2009.
owh, bagus nih… bela lembu~~~
tuan,
background hitam susah nak tulis la. apa kata tukar.
saya dah daftar sebagai ejen pemasaran. tunggu berita bila nak mula bagi kawasan lembah klang
tuan, saya amat berminat menceburi bidang penternakan ini. Kini saya telah menternak 12 ekor lembu yang diusahakn difelda jenderak utara (kawasan ladang sawit)Bagaimana saya ingin mengembangkan lagi hasil penternakan saya ini.