TUARAN: Sektor akuakultur air tawar yang diusahakan secara meluas oleh penternak di Sabah mempunyai fungsi penting dalam pembangunan ekonomi negeri, selain menyumbang peluang pekerjaan dan ekonomi penduduk luar bandar.
Mengikut perangkaan, 36 peratus daripada 18,119 kolam ikan air tawar di seluruh negara digembleng 6,166 pengusaha sambilan dan sepenuh masa di Sabah, menjadikan negeri itu sebagai penternak ikan tawar paling ramai.
Bagaimanapun, pembangunan sektor itu dikatakan berdepan pelbagai masalah seperti amalan sistem teknologi ternakan tidak berdaya maju dan pasaran terhad.
Akuakultur termasuk subsektor bidang itu dikenal pasti antara perusahaan paling cepat berkembang dan mempunyai potensi baik untuk menyumbang kepada pengeluaran ikan negara.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Air Tawar Sabah, Timothy Biusing, berkata hampir semua pengusaha yang mengusahakan kolam ikan tawar di negeri itu berjaya dan memperoleh pendapatan lumayan.
“Saya sendiri mengusahakan sepenuh masa lima kolam ikan air tawar di kawasan seluas dua hektar di Kampung Kituau, sejak 2004.
“Hasilnya, saya mewujudkan ladang `Moing’s Farm’ yang menyediakan bekalan ikan air tawar spesies tilapia mencukupi kepada pengguna di sekitar Penampang,” katanya.
Mengikut rekod 2004, pengeluaran akuakultur air tawar menurun 3.5 peratus kepada 5,596 tan bernilai RM56 juta, berbanding 5,800 tan (RM41 juta) 1993.
Antara faktor penurunan keluaran itu ialah banyak kolam ikan berhenti beroperasi walaupun pengusaha sedar bidang itu adalah sektor paling cepat berkembang dan mempunyai potensi baik menyumbang kepada pengeluaran ikan negara.
Timothy yakin pengusaha ikan air tawar di Sabah mampu bergerak lebih jauh jika tekun belajar dan tahan menghadapi cabaran.
“Keyakinan itu berdasarkan permintaan tinggi dan kecenderungan pengguna termasuk menerusi restoran, jamuan dan majlis rasmi kerajaan yang lazimnya gemar menu ikan air tawar,” katanya.