Penyanyi jadi gembala kambing

Berita Harian, 23 Jun 2007

Nassier Wahab kembali hidup kepada cara kampung, berbudi kepada tanah

DALAM diam penyanyi yang popular di era 80-an, Nassier Wahab rupa-rupanya semakin selesa menjalani kehidupan sebagai gembala kambing. Bermula dengan lima ekor saja tetapi kini artis yang sentiasa awet muda ini boleh berbangga kerana sudah mempunyai 40 ekor kambing di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor.

“Bermula dari sekolah rendah lagi saya sudah didedahkan dengan persekitaran kampung yang cukup tenang dan dikelilingi binatang ternakan serta tumbuhan kampung yang diusahakan oleh arwah ayah dan ibu.

“Sejak kecil saya amat rapat dengan binatang ternakan terutama kambing yang memang boleh dikatakan sebagai kawan saya waktu itu. Arwah ayah memang terlalu manjakan kambingnya sehinggakan kambing peliharaannya berani masuk ke rumah setiap pagi ketika kami bersarapan.

“Walaupun namanya kambing tapi dia tetap mempunyai perasaan seperti manusia. Sekiranya sering dibelai dengan cepat dia akan mengenali tuannya. Kadang-kadang saya juga suka bercakap dengan kambing yang seakan memahami apa yang saya cakapkan.

“Biasanya kami akan melepaskan kambing ini daripada kandangnya satu kali seminggu bagi membetulkan semula struktur tubuh kambing ini yang agak lama berada di dalam kandang. Apa yang menariknya kambing ini tidak akan keluar daripada pagar dan apabila tiba waktu petang mereka akan memasuki semula kandang tanpa disuruh oleh penjaga yang menjaga mereka.

“Bermula dengan lima ekor kambing saya ternak, alhamdulillah buat masa ini saya sudah peroleh hasilnya iaitu lebih 40 ekor yang terdiri daripada beberapa baka seperti Jamna Pari, Boer dan Biri-biri (Marino, Freshno dan Ferrier ). Ternakan ikan air tawar pula seperti keli, haruan, talapia, puyu yang semuanya ada tiga kolam.

“Selain itu ada juga tanaman seperti jagung, ubi kayu dan yang terbaru saya usahakan tanaman herba yang terdiri daripada Misai Kucing, Hempedu Bumi, Nilam, Pecah Kaca, Semambu (neem) dan Kacip Fatimah,” katanya ketika berkunjung ke kebunnya baru-baru ini.

Nassier yang popular menerusi lagu Memori Cinta Luka mengakui kehidupannya sunyi apabila mula berhijrah ke Kuala Lumpur kerana memilih bidang nyanyian sebagai karier untuk mengubah nasibnya sebagai budak kampung.

“Kehidupan saya mula berubah apabila mula berhijrah ke Kuala Lumpur. Pada mulanya saya rasa seronok apabila berada di sini, namun lama-kelamaan saya mula merasa sunyi. Perasaan rindu dengan kehidupan lampau mengajak saya untuk menjalankan aktiviti pertanian ini sebagai mengisi masa lapang sekiranya mempunyai masa terluang. Sedikit sebanyak dapat juga menambah pendapatan selain melepaskan rindu pada kampung halaman.

“Pertanian ini sudah saya jalankan dua tahun lalu dengan bantuan empat lagi rakan kongsi iaitu Noraini (kakak), Mohd Sufian Mahat, Syukri Ali dan Zakuan Nawi yang begitu bersungguh dalam bidang ini.

“Tanah di Kampung Sungai Pening, Semenyih yang berkeluasan 1.7 hektar saya sewa dengan harga RM400 sebulan dan menjadikan kawasan itu sebagai kampung saya sendiri. Di sini saya bebas mengerjakan kawasan itu seperti kampung halaman saya sendiri iaitu di kampung Teluk Air Tawar Butterworth, Pulau Pinang.

“Terus terang saya katakan, memang saya tenang apabila berada di sini yang jauh daripada kesibukan bandar Kuala Lumpur. Bila berada di sini, ada saja kerja yang hendak dibuat sehingga tak menang tanganlah katakan.

“Apa yang seronoknya apabila penat berkebun, saya akan berendam di tali air yang terdapat di sebelah rumah yang didiami oleh pekerja ladang saya. Insya-Allah

Sekiranya ada rezeki lebih saya akan membesarkan lagi bidang pertanian ini bagi menyahut seruan kerajaan menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya tetap,” katanya yang masih menunggu kelulusan pinjaman daripada Jabatan Pertanian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s