2 sahabat ternak lembu, buka kedai daging segar

Berita Harian, 5 Dis 2007

Pengusaha lulusan universiti bersama rakan sanggup ketepi gaji lumayan untuk jadi usahawan berjaya.

SEREMBAN: Kerajaan menetapkan sasaran untuk melahirkan kira-kira 150,000 usahawan Bumiputera cemerlang menjelang tahun 2010 menerusi program melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Sehubungan itu, pelbagai program dilaksanakan bagi memberi galakan dan sokongan kepada usahawan Bumiputera membabitkan diri secara serius dalam dunia perniagaan selain sokongan dalam bentuk pinjaman pembiayaan mudah.

Langkah itu diambil kerana menyedari modal sering menjadi masalah utama untuk usahawan Bumiputera bersaing dan mengembangkan perniagaan mereka walaupun tidak semua yang terpaksa bergantung kepada skim pembiayaan berkenaan.

Selain bidang pembinaan dan hartanah, tumpuan kini diberikan kepada sektor pertanian dan industri asas tani yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Menyedari potensi dalam bidang berkenaan yang semakin berkembang pesat ketika ini, dua sahabat memberanikan diri mengambil risiko meninggalkan kerjaya yang bergaji lumayan untuk menceburi penternakan lembu dan menjual daging segar.

Melalui syarikat Farm Fresh Industries (Farm Fresh) yang dimiliki Bumiputera sepenuhnya, dua sahabat berkenaan menggunakan modal sendiri untuk membeli lembu dan mula mengusahakan pusat penternakan di Seri Menanti, Kuala Pilah, awal tahun ini.

Bagi mengembangkan perniagaan, syarikat itu menyewa sebuah premis di Taman Komersial Senawang, dekat sini, sejak Jun lalu dengan produk jualan utama ialah daging lembu segar berkonsep moden di kedai yang dinamakan Daging Segar yang berhawa dingin, bersih dan selesa.

Konsep penjualan daging sedemikian yang pertama seumpama di negeri ini semakin hari semakin mendapat sambutan pelanggan, terutama penduduk sekitar Senawang, malah ada juga pelanggan dari Seremban atau Kuala Lumpur yang singgah.

Pengarah Operasi syarikat berkenaan, Abdul Halim Abdul Rahman, 36, berkata kedai yang diusahakan bersama seorang rakan itu menggunakan konsep sedemikian untuk memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Hanya daging lembu segar dijual di kedai ini yang juga sentiasa dipastikan bersih dan selesa untuk pelanggan. Orang ramai yang mahu membeli daging tidak perlu lagi berdepan bau busuk atau gangguan lalat.

“Konsep seperti ini hanya ada di pasar raya besar, tetapi daging yang dijual di kedai kami adalah pada harga semasa seperti di pasar basah atau pasar tani,” kata lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang nekad meninggalkan gaji lumayan untuk menceburi bidang pertanian.

Peringkat awal mengusahakan projek penternakan dan kedai berkenaan, beliau berkata, mereka mengeluarkan modal hampir RM300,000, termasuk untuk menyediakan kemudahan di ladang ternakan di kawasan seluas kira-kira 40 hektar yang disewa daripada penduduk kampung.

“Kami mengamalkan amalan penternakan sihat dengan memastikan aspek kebersihan di kandang, termasuk makanan ternakan dan proses penjagaan sehingga ternakan disembelih dan dijual demi memastikan pelanggan mendapat produk terbaik,” katanya.


TERBUKA: Kedai daging segar milik Abdul Halim.


TUGAS: Abdul Halim(kiri) melayan pelanggan di kedai daging segar miliknya di Taman Komersial Senawang.

Katanya, sebahagian modal itu digunakan untuk membuka pusat jualan runcit di Senawang yang diusahakan dengan khidmat nasihat dan bimbingan daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Negeri Sembilan.

Abdul Halim mengakui orang ramai teragak-agak untuk mengunjungi kedai berkenaan ketika peringkat awal operasinya mungkin kerana tidak biasa melihat premis menjual daging berkonsep sedemikian, namun kini sambutan yang diterima semakin menggalakkan.

Beliau berkata, selain menjual secara runcit, syarikatnya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan, terutama di kawasan berhampiran dengan tempahan boleh dibuat secara terus di kedai atau menghubungi talian 06-6784959 atau 019-2071804.

“Kami juga menyediakan ternakan untuk majlis keraian, aqiqah dan korban,” katanya, menambah perancangan selepas ini ialah menjalin kerjasama dengan Koperasi Cemerlang Temiang Jaya Negeri Sembilan Berhad (Koteja) untuk memasarkan produk daging salai sejuk beku keluaran syarikatnya.

Mengenai perancangan masa depan, bapa kepada empat anak berusia antara sembilan bulan hingga 11 tahun ini, berkata syarikatnya merancang mengembangkan aktiviti perniagaan, termasuk membuka cawangan serta pusat jualan di kawasan lebih luas.

“Dengan adanya bangunan sendiri, kami berharap akan dapat mempelbagaikan lagi aktiviti perniagaan dan menjual lebih banyak hasil pertanian segar serta industri asas tani seperti sayur-sayuran, hasil laut dan produk desa,” katanya.

Beliau berkata, syarikat berkenaan yang kini mempunyai tujuh pekerja sepenuh masa, termasuk yang mengendalikan aktiviti di pusat penternakan turut merancang mengeluarkan produk berasaskan daging seperti bebola, sosej, burger dan daging salai.

“Misi kami adalah untuk menyahut seruan kerajaan bagi memastikan Bumiputera tidak terus ketinggalan dengan kaum lain dalam bidang keusahawanan kerana kerajaan sudah menyediakan peluang yang seluas-luasnya untuk memajukan diri,” katanya.

FAKTA: Farm Fresh Industries

  • Mengusahakan kedai Daging Segar berkonsep moden yang pertama di Negeri Sembilan
  • Kedai mula beroperasi Jun 2007 di Taman Komersial Senawang
  • Produk jualan daging lembu tempatan segar, daging salai dan produk sejuk beku berasaskan daging
  • Modal hampir RM300,000, termasuk mengusahakan ladang ternakan di Kuala Pilah.

6 thoughts on “2 sahabat ternak lembu, buka kedai daging segar

  1. Assalammualaikum
    Saya dan suami amat berminat untuk memulakan perniagaan ini.Boleh tuan beritahu sedikit sebanyak maklumat dari segi modal dan sebagainya untuk rujukan kami.Kami bercadang untuk membukanya pada tahun depan dan kami masih belum lagi dapat mencari lokasi yang sesuai..
    Sekian terima kasih atas kerjasama tuan.
    Wassalam.

  2. asalamualaikum,

    berkenaan soalan puan azrina,syarikat kami menyediakan perkhidmatan kaunselling dan, membekalkan baka lembu bagi memulakan perniagaan. disamping itu , kami juga menyediakan pakej yang berpatutan dan mampu milik bagi mereka yang mahu memulakan perniagaan ternakan seperti lembu,kambing,rusa,kerbau.

    untuk pertanyaan pakej dan harga lebih lanjut.
    hubungi:
    1.shahril bin sabri 017-7647678.

  3. salam,saya berminat bidang ini dr lepas spm lagi.apa yg saya impi kan sama ngan encik buat..oleh kerana saya masih belaja di utm skudai.dan pelajar tahun akhir.saya mula mencari dan membuat kajian sedikit tentang usahawan ini..bg pendapat encik apa harus saya buatmulakan selepas abs blaja or keja dulu dan baru usaha kan impian saya ini.saya pun tak de pengalaman ini.sekarang yang confius kan dalam hati…market daging,daging apa yg patut..patut kerja or terus usahakan.kalau encik tak keberatan saya mohon pendapat dan sedikit tunjuk ajar..saya impikan konsep encik wat ini dr 2003. amir 0133745299

  4. Salam,saudara saya berminat menjalankan perniagaan membuka Kedai moden menjual daging Segar Dan makanan yg berunsurkan daging,berapa modal yg perlu Dan apakah alatan yg diperlukan?
    Adakan pihak saudara ada membuat krusus bagi menguruskan Dan cara memotong daging yg betul.

  5. Salam, saudara saya baru terbuka hati nak buka perniagaan daging segar tetapi saya tak tahu cara tentang perniagaan daging ni..adakah saudara menyediakan latihan dan kaunseling? Saya berminat nak ceburu bidang perniagaan daging..

Tinggalkan Jawapan kepada shukor Batal balasan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s