15 nasihat untuk wanita

1. Terlalu lama berdiri – merosakkan tulang. Urat-urat sekitar kaki menjadi kembang. Liang vagina sentiasa basah.

2. Terlalu lama duduk – Merosakkan lipatan daging. Akan mudah dihinggapi penyakit tua. Tubuh badan menjadi kendur

3. Terlalu lama berjalan – Merosakkan urat. Dalam pada itu haid akan menjadi tidak teratur dan tidak menetu masanya

4. Terlalu lama melihat – Merosakkan darah. Darah haid menjadi lebih kotor dari kebiasaan

5. Terlalu banyak tidur – Merosakkan tenaga. Menjadi pemalas. Jauh jodoh. Selalu berangan-angan. Urat-urat disekitar rahim menjadi tidak kuat. Mudah dijangkiti kemandulan.

6. Terlalu riang/gembira – Merosakkan usus. Mudah dijangkiti keputihan pada liang vagina.

7. Terlalu kerap marah – Merosakkan hati. Cepat kelihatan tua.

8. Terlalu banayk berfikir – Merosakkan limpa. Kulit muka cepat berkedut. haid tidak menentu dan dalam waktu tidur kerap mengalami sentakan kaki atau tangan. Kesihatan rahim sekitarnya mudah terjejas.

9. Terlalu banyak bersedih – Merosakkan jantung.

10. Terlalu merana – Merosakkan paru-paru.

11. Terlalu takut – Merosakkan ginjal. Apabila fungsi ginjal terjejas, boleh mengakibatkan gejala kencing manis dan lemah jantung.

12. Terlalu kerap terkejut – Merosakkan pundi hempedu. Gejala pening kepala kerapdialami. Haid menjadi tidak menentu dan pendarahan yang terkadang terlebih.

13. Terlalu banyak makan – Merosakkan pencernaan. Mudah mengalami keletihan, malas dan selalu mengantuk. Liang vagina kurang bersih(semakin banyak ‘ragam’ lauk/makanan yang dimakan, semakin terjejas kesihatan dan kebersihan liang vagina).

14. Terlalu minum minuman berais – Merosakkan otot dan lambung. Badan dan payudara menjadi lembik. Berat badan meningkat. Mudah diserang penyakit dan kelihatan awet muda.

15. Terlalu banyak masa lapang – Merosakkan fikiran.Kelapangan masa yang terlalu banyak menimbulkan berbagai khayalan dan menimbulkan berbagai penyakit jiwa, kecuali masa lapang diisi dengan aktiviti hidup yang positif.

Potensi Ternakan Belangkas

KOTA BAHARU, 5 Julai (Bernama) — Nilai tinggi dalam bidang perubatan dijangka mengubah nasib `belangkas’, haiwan yang sebelum ini hanya dijadikan umpan menangkap ketam oleh nelayan atau dibiarkan mati kekeringan jika tersangkut di jaring nelayan.

Mungkin kini ramai yang akan membuka mata dengan potensi belangkas apabila diberitahu darah biru haiwan itu mampu mencecah sehingga RM17,500 (USD5,000) seliter di Amerika Syarikat.

Dr Zaleha Kasim, ketua Program Sarjana Sains (Akuakultur) Struktur C, Institut Akuakultur Tropika (IAT) Universiti Malaysia Terengganu iaitu institusi yang bertanggungjawab mengkaji potensi belangkas untuk dikomersilkan, berpendapat tidak mustahil haiwan itu menjadi buruan di masa hadapan.

Lazimnya terdapat dua jenis belangkas di Malaysia. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda.

Haiwan ini merupakan arthropod laut yang bentuk badannya mirip kepada `steel helmet’ tentera dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem imun yang menakjubkan.

BERPOTENSI DALAM BIDANG PERUBATAN DAN KOSMETIK

“Kajian masih di peringkat awal namun potensi haiwan itu dalam sektor perubatan dan kosmetik adalah tinggi,” katanya kepada Bernama.

Dr Zaleha berkata tidak ramai yang tahu belangkas sebenarnya haiwan yang boleh dimakan dan keenakan daging dan telurnya menjadi rahsia segelintir penduduk di beberapa kawasan sahaja.

“Di Kota Tinggi, Johor, belangkas menjadi hidangan istimewa sehingga ada restoran yang menyediakan masakan asam pedas dan sambal tumis belangkas.

“Tapi penduduk di sana beritahu, jangan heboh-heboh, takut nanti teruk Kota Tinggi `diserang’ mereka yang ingin menikmati keenakan belangkas,” katanya.

Daripada segi perubatan, katanya, darah belangkas mengandungi bahan yang boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin.

KIT ANTI TOKSIN

Jelasnya, kit anti-toksin umpamanya sudah dikembangkan dan digunakan di peringkat antarabangsa terutama di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Asia Barat sejak 1988.

Di Jepun, katanya, tabiat memakan ikan mentah rakyat negara itu menjadikan kit berkenaan amat penting.

“Biasanya, ikan yang baru didaratkan akan diuji dengan kit berkenaan bagi memastikan ia tidak mengandungi bakteria atau toksin dan selamat dimakan mentah-mentah.

“Kita juga sudah mampu mengeluarkan produk serupa untuk dipasarkan termasuk di peringkat antarabangsa, cuma bimbang bekalan belangkas tidak mencukupi jika ia dibuat secara besar-besaran. Daripada segi pasaran, ia memang luas ,” katanya.

Untuk mendapat satu liter darah belangkas memerlukan sekurang-kurangnya 115 ekor belangkas bersaiz kecil yang banyak diperolehi di perairan di Semenanjung dan 45 ekor bagi belangkas bersaiz besar yang biasanya terdapat di perairan Sabah.

DARAH DIAMBIL TANPA MEMBUNUH BELANGKAS

“Daripada seekor belangkas, kita hanya ambil sedikit sahaja darahnya tanpa membunuh haiwan itu. Proses itu hanya diulang tiga bulan sekali bagi mengelak kesan negatif pada haiwan berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, IAT kini menjalankan penyelidikan menyeluruh untuk mengenali dengan lebih dekat selain meneruskan kelangsungan spesis haiwan yang juga digelar fosil hidup berikutan rupanya yang seolah-oleh haiwan daripada zaman pra-sejarah.

Beliau berkata penyelidikan sejak 2004 di IAT memberi tumpuan untuk menghasilkan baka belangkas yang cepat membesar menggunakan kaedah bioteknologi.

Selain itu, IAT juga mengadakan kerjasama dengan saintis daripada India untuk mencipta ubat diabetis dan mencari penawar kanser daripada belangkas.

“Ia haiwan unik dan agak sensitif, sukar untuk hidup di lokasi lain selain habitat asalnya. Bagaimanapun, kita cuba cari kaedah yang sesuai untuk menternak belangkas dalam sangkar,” katanya.

PROGRAM PERINTIS TERNAK BELANGKAS DI PASIR PUTEH

Katanya buat permulaan, seramai 500 nelayan di Semerak, Pasir Puteh, akan dipilih untuk memelihara belangkas dalam sangkar dengan setiap peserta dibekalkan 500 ekor belangkas.

Proses memelihara belangkas oleh nelayan itu akan dibantu kira-kira 10 penyelidik terdiri daripada penuntut sarjana dan doktor falsafah UMT.

Penternak terlibat dalam industri ini dijangka menerima pendapatan sekurang-kurangnya RM1,200 setiap musim penuaian, katanya.

“Ia sudah tentu memberi pendapatan sampingan yang lumayan kepada nelayan selain membantu pemuliharaan belangkas,” katanya.

Berikutan itu, katanya, potensi besar belangkas perlu dieksploitasi sepenuhnya untuk kepentingan bidang perubatan dan juga memberi manfaat kepada penduduk tempatan sendiri.

Insititusi itu juga telah memohon geran sebanyak RM3 juta untuk tujuan penyelidikan dan merancang untuk membina sebuah makmal bernilai RM10 juta untuk menghasilkan kit anti-toksin untuk dipasarkan.

— BERNAMA

Penyanyi jadi gembala kambing

Berita Harian, 23 Jun 2007

Nassier Wahab kembali hidup kepada cara kampung, berbudi kepada tanah

DALAM diam penyanyi yang popular di era 80-an, Nassier Wahab rupa-rupanya semakin selesa menjalani kehidupan sebagai gembala kambing. Bermula dengan lima ekor saja tetapi kini artis yang sentiasa awet muda ini boleh berbangga kerana sudah mempunyai 40 ekor kambing di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor.

“Bermula dari sekolah rendah lagi saya sudah didedahkan dengan persekitaran kampung yang cukup tenang dan dikelilingi binatang ternakan serta tumbuhan kampung yang diusahakan oleh arwah ayah dan ibu.

“Sejak kecil saya amat rapat dengan binatang ternakan terutama kambing yang memang boleh dikatakan sebagai kawan saya waktu itu. Arwah ayah memang terlalu manjakan kambingnya sehinggakan kambing peliharaannya berani masuk ke rumah setiap pagi ketika kami bersarapan.

“Walaupun namanya kambing tapi dia tetap mempunyai perasaan seperti manusia. Sekiranya sering dibelai dengan cepat dia akan mengenali tuannya. Kadang-kadang saya juga suka bercakap dengan kambing yang seakan memahami apa yang saya cakapkan.

“Biasanya kami akan melepaskan kambing ini daripada kandangnya satu kali seminggu bagi membetulkan semula struktur tubuh kambing ini yang agak lama berada di dalam kandang. Apa yang menariknya kambing ini tidak akan keluar daripada pagar dan apabila tiba waktu petang mereka akan memasuki semula kandang tanpa disuruh oleh penjaga yang menjaga mereka.

“Bermula dengan lima ekor kambing saya ternak, alhamdulillah buat masa ini saya sudah peroleh hasilnya iaitu lebih 40 ekor yang terdiri daripada beberapa baka seperti Jamna Pari, Boer dan Biri-biri (Marino, Freshno dan Ferrier ). Ternakan ikan air tawar pula seperti keli, haruan, talapia, puyu yang semuanya ada tiga kolam.

“Selain itu ada juga tanaman seperti jagung, ubi kayu dan yang terbaru saya usahakan tanaman herba yang terdiri daripada Misai Kucing, Hempedu Bumi, Nilam, Pecah Kaca, Semambu (neem) dan Kacip Fatimah,” katanya ketika berkunjung ke kebunnya baru-baru ini.

Nassier yang popular menerusi lagu Memori Cinta Luka mengakui kehidupannya sunyi apabila mula berhijrah ke Kuala Lumpur kerana memilih bidang nyanyian sebagai karier untuk mengubah nasibnya sebagai budak kampung.

“Kehidupan saya mula berubah apabila mula berhijrah ke Kuala Lumpur. Pada mulanya saya rasa seronok apabila berada di sini, namun lama-kelamaan saya mula merasa sunyi. Perasaan rindu dengan kehidupan lampau mengajak saya untuk menjalankan aktiviti pertanian ini sebagai mengisi masa lapang sekiranya mempunyai masa terluang. Sedikit sebanyak dapat juga menambah pendapatan selain melepaskan rindu pada kampung halaman.

“Pertanian ini sudah saya jalankan dua tahun lalu dengan bantuan empat lagi rakan kongsi iaitu Noraini (kakak), Mohd Sufian Mahat, Syukri Ali dan Zakuan Nawi yang begitu bersungguh dalam bidang ini.

“Tanah di Kampung Sungai Pening, Semenyih yang berkeluasan 1.7 hektar saya sewa dengan harga RM400 sebulan dan menjadikan kawasan itu sebagai kampung saya sendiri. Di sini saya bebas mengerjakan kawasan itu seperti kampung halaman saya sendiri iaitu di kampung Teluk Air Tawar Butterworth, Pulau Pinang.

“Terus terang saya katakan, memang saya tenang apabila berada di sini yang jauh daripada kesibukan bandar Kuala Lumpur. Bila berada di sini, ada saja kerja yang hendak dibuat sehingga tak menang tanganlah katakan.

“Apa yang seronoknya apabila penat berkebun, saya akan berendam di tali air yang terdapat di sebelah rumah yang didiami oleh pekerja ladang saya. Insya-Allah

Sekiranya ada rezeki lebih saya akan membesarkan lagi bidang pertanian ini bagi menyahut seruan kerajaan menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya tetap,” katanya yang masih menunggu kelulusan pinjaman daripada Jabatan Pertanian.

Ternak lintah memang menguntungkan

Berita Harian, 5 Dis 2007

Komponen penting dalam hasilkan produk kecantikan, kesihatan dan perubatan

SEBELUM ini, lintah sering diberi pandangan negatif ekoran tabiatnya yang menghisap darah sehingga wujud peribahasa ‘lintah darat’ bagi menggambarkan orang yang tidak berhati perut dan sering menindas orang lain.

Kini, persepsi terhadap lintah semakin berubah yang mana haiwan itu tidak lagi `digeruni’ malah dicari di merata tempat dan diternak kerana mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Ia berikutan kajian menunjukkan haiwan itu boleh menjadi komponen penting dalam menghasilkan produk kecantikan, penjagaan kesihatan dan perubatan sekali gus memastikan lintah mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Menyedari faktor itu, Roziana Abu Hassan, 34, bersama suami, Mohd Jantan Abu Hassan, 36, dan ibunya, Rahidah Wahid, 50, sanggup mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM30,000 untuk mengusahakan ternakan lintah.

Mereka memulakan usaha itu kira-kira lima bulan lalu dengan membina enam kolam dengan setiap satunya berukuran 18 meter x 6 meter di Kampung Telok Mas, Selama, Perak.

Roziana berkata, beliau mengetahui mengenai potensi lintah untuk menjana pendapatan selepas terbaca di dalam akhbar mengenai kursus ternakan haiwan itu yang dianjurkan Art Soulist Sdn Bhd iaitu syarikat pengeluar dan pengedar produk berasaskan kecantikan dan kesihatan.

“Ketika mengikuti kursus itu, saya diberitahu bahawa setiap satu kolam yang boleh menghasilkan kira-kira 100 kilogram lintah, mampu memberi pulangan sekurang-kurangnya RM6,000 bagi setiap tempoh pusingan pembiakannya selama empat bulan.

“Ia berdasarkan harga pembelian RM60 sekilogram yang ditawarkan syarikat berkenaan. Bagaimanapun, baru-baru ini ada pembeli dari Singapura yang berminat untuk membeli pada harga RM150 sekilogram sekali gus menunjukkan permintaannya yang tinggi di pasaran sekarang,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, lintah yang diternaknya itu dijangka sudah boleh dijual mulai bulan depan iaitu selepas enam bulan ia dibiakkan dalam enam kolamnya itu. Katanya, walaupun lintah sudah boleh dijual selepas empat bulan ia diternak, untuk peringkat permulaan ia memerlukan tempoh lebih panjang bagi membolehkan ‘induk’ atau ‘ibu’ lintah membiakkan lebih banyak benihnya untuk memastikan kitaran hidup haiwan itu dalam sesuatu kolam berterusan.

Beliau berkata, haiwan itu perlu dijual segera apabila sudah dewasa kerana jangka hayatnya adalah pendek iaitu antara tujuh hingga lapan bulan saja sebelum dia mati.

“Bagi memastikan penyelenggaraan yang baik dan kos operasi kolam berkenaan, saya juga membuat pinjaman bank sebanyak RM10,000,” katanya yang turut memiliki perniagaan pembungkusan sarung tangan menerusi syarikat miliknya bersama suami, Terap Jaya Enterprise.

Mereka yang berminat mendalami bidang penternakan lintah boleh menghubungi Roziana di talian 05-8394157 atau 05-8394928.

Projek Tenusu Desa tumpuan pelancong

Berita Harian, 19 Nov 2007

Ladang lembu di Mesilau jadi penyumbang bekalan susu segar terbesar di Sabah

KUNDASANG: Sektor penternakan lembu tenusu di Sabah bukan baru, sebaliknya wujud hampir tiga dekad lalu menerusi pembukaan ladang tenusu di dataran Mesilau berhampiran kaki Gunung Kinabalu pada 1980.

Dikenali sebagai Projek Tenusu Desa, ladang sejauh kira-kira lapan kilometer (km) dari pekan Kundasang itu memiliki 680 lembu tenusu diusahakan Desa Cattle (S) Sdn Bhd, termasuk baka Fresian yang diimport dari New Zealand dan Australia.

Kunjungan Berita Harian ke ladang itu baru-baru ini mendapati, ladang berkenaan mempunyai keluasan 199 hektar dan daripada jumlah itu, 133 hektar sudah ditanam rumput padang seperti Kikuyu, Narok Setaria dan kekacang (white clover).

Tidak keterlaluan jika ladang lembu tenusu itu dirumus sebagai ladang yang mempunyai produk `dua dalam satu’ iaitu pengeluar susu segar di Sabah yang berupaya membantu meningkatkan ekonomi, selain menjadi destinasi lawatan pelajar dan pelancong.

Pegawai Pengeluaran Desa Cattle (S) Sdn Bhd, Pairin Gatanis, berkata ketika ini cuma 220 lembu tenusu daripada 680 ekor di ladang itu yang menghasilkan susu.

“Lembu tenusu yang berupaya menghasilkan susu berusia antara dua setengah tahun hingga tiga tahun. Kita menggalakkan lembu tenusu beranak dan setiap tahun, kira-kira 180 ekor lembu di ladang ini melahirkan anak.

“Lazimnya, selepas melahirkan, lembu betina akan dipisahkan dengan anaknya dan anak lembu itu diletakkan di kandang khas sehingga berusia tiga bulan.

“Selepas berusia tiga bulan, anak lembu itu akan dipindahkan ke kandang lain sehingga berusia satu tahun,” katanya sambil menjelaskan jika anak lembu itu jantan, ia akan dijual sebaik mencecah usia tiga bulan.

Pairin berkata, seekor lembu tenusu mampu menghasilkan 12 liter susu sehari atau keseluruhannya kira-kira 60,000 liter sebulan, manakala operasi memerah susu dilakukan dua kali sehari iaitu setiap jam 3 pagi dan 3 petang.

Beliau berkata demikian pada taklimat kepada rombongan Pelajar Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) ke ladang itu, baru-baru ini.


HIJAU: Ladang Projek Tenusu Desa, Mesilau, Kundasang.


HASIL: Proses memerah susu lembu tenusu di ladang Projek Tenusu Desa, Mesilau, Kundasang dilakukan dua kali sehari.

Seramai 20 pelajar PLUMS menyertai lawatan dua hari ke Taman Kinabalu Mesilau, Kundasang bagi program perancangan taman dan rekreasi luar.

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik perhatian adalah gelagat lembu tenusu di ladang berkenaan.Pengamatan mendapati lembu tenusu itu beratur dalam tiga atau empat barisan menuju ke kandang setiap kali tiba waktu makan dan pemerahan susu.

Pairin berkata, ladang berkenaan berupaya menghasilkan kira-kira 800,000 liter susu dalam tempoh setahun dan hasilnya adalah untuk bekalan di seluruh negeri, selain beberapa daerah di Sarawak seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

“Pemerahan susu dilakukan sehari secara mekanikal menggunakan unit pemerah susu hydropulse. Projek Tenusu Desa ini dilengkapi peralatan pemprosesan yang canggih yang dibekalkan dari Sweden,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Pairin berkata, pihaknya berminat mengeksport susu segar dari ladang itu ke Semenanjung Malaysia dan Brunei.

“Justeru, kita berusaha meningkatkan ketahanan susu segar kerana ketika ini ia hanya bertahan selama 10 hari jika disimpan dalam peti ais.

“Kita ingin membuatkannya mampu bertahan hingga 25 hari supaya mudah dieksport.

“Susu segar dari ladang ini tidak mempunyai bahan pengawet dan mampu menampung keperluan tempatan,” katanya sambil menjelaskan setiap bulan pihaknya menghantar sampel susu segar ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak untuk menguji tahap kualiti.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Azwal Aziz, berkata lawatan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar luar kampus mengenai kawasan rekreasi di Sabah.

“Ia kerana selain sebagai ladang ternakan lembu tenusu, ladang itu juga adalah kawasan rekreasi yang sesuai dilawat bagi mendapatkan lebih banyak maklumat dan pengetahuan,” katanya.

Pelajar PLUMS, Dayangku Rozlina Pengiran AK Aliudin, berkata ladang lawatan ke ladang tenusu itu memberi peluang kepada pelajar melihat secara dekat pengurusan ladang berkenaan.

“Kita dapat melihat sendiri operasi pemerahan susu lembu dilakukan di kandang itu, selain peralatan moden yang digunakan di ladang berkenaan,” katanya.

2 sahabat ternak lembu, buka kedai daging segar

Berita Harian, 5 Dis 2007

Pengusaha lulusan universiti bersama rakan sanggup ketepi gaji lumayan untuk jadi usahawan berjaya.

SEREMBAN: Kerajaan menetapkan sasaran untuk melahirkan kira-kira 150,000 usahawan Bumiputera cemerlang menjelang tahun 2010 menerusi program melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Sehubungan itu, pelbagai program dilaksanakan bagi memberi galakan dan sokongan kepada usahawan Bumiputera membabitkan diri secara serius dalam dunia perniagaan selain sokongan dalam bentuk pinjaman pembiayaan mudah.

Langkah itu diambil kerana menyedari modal sering menjadi masalah utama untuk usahawan Bumiputera bersaing dan mengembangkan perniagaan mereka walaupun tidak semua yang terpaksa bergantung kepada skim pembiayaan berkenaan.

Selain bidang pembinaan dan hartanah, tumpuan kini diberikan kepada sektor pertanian dan industri asas tani yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Menyedari potensi dalam bidang berkenaan yang semakin berkembang pesat ketika ini, dua sahabat memberanikan diri mengambil risiko meninggalkan kerjaya yang bergaji lumayan untuk menceburi penternakan lembu dan menjual daging segar.

Melalui syarikat Farm Fresh Industries (Farm Fresh) yang dimiliki Bumiputera sepenuhnya, dua sahabat berkenaan menggunakan modal sendiri untuk membeli lembu dan mula mengusahakan pusat penternakan di Seri Menanti, Kuala Pilah, awal tahun ini.

Bagi mengembangkan perniagaan, syarikat itu menyewa sebuah premis di Taman Komersial Senawang, dekat sini, sejak Jun lalu dengan produk jualan utama ialah daging lembu segar berkonsep moden di kedai yang dinamakan Daging Segar yang berhawa dingin, bersih dan selesa.

Konsep penjualan daging sedemikian yang pertama seumpama di negeri ini semakin hari semakin mendapat sambutan pelanggan, terutama penduduk sekitar Senawang, malah ada juga pelanggan dari Seremban atau Kuala Lumpur yang singgah.

Pengarah Operasi syarikat berkenaan, Abdul Halim Abdul Rahman, 36, berkata kedai yang diusahakan bersama seorang rakan itu menggunakan konsep sedemikian untuk memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Hanya daging lembu segar dijual di kedai ini yang juga sentiasa dipastikan bersih dan selesa untuk pelanggan. Orang ramai yang mahu membeli daging tidak perlu lagi berdepan bau busuk atau gangguan lalat.

“Konsep seperti ini hanya ada di pasar raya besar, tetapi daging yang dijual di kedai kami adalah pada harga semasa seperti di pasar basah atau pasar tani,” kata lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang nekad meninggalkan gaji lumayan untuk menceburi bidang pertanian.

Peringkat awal mengusahakan projek penternakan dan kedai berkenaan, beliau berkata, mereka mengeluarkan modal hampir RM300,000, termasuk untuk menyediakan kemudahan di ladang ternakan di kawasan seluas kira-kira 40 hektar yang disewa daripada penduduk kampung.

“Kami mengamalkan amalan penternakan sihat dengan memastikan aspek kebersihan di kandang, termasuk makanan ternakan dan proses penjagaan sehingga ternakan disembelih dan dijual demi memastikan pelanggan mendapat produk terbaik,” katanya.


TERBUKA: Kedai daging segar milik Abdul Halim.


TUGAS: Abdul Halim(kiri) melayan pelanggan di kedai daging segar miliknya di Taman Komersial Senawang.

Katanya, sebahagian modal itu digunakan untuk membuka pusat jualan runcit di Senawang yang diusahakan dengan khidmat nasihat dan bimbingan daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Negeri Sembilan.

Abdul Halim mengakui orang ramai teragak-agak untuk mengunjungi kedai berkenaan ketika peringkat awal operasinya mungkin kerana tidak biasa melihat premis menjual daging berkonsep sedemikian, namun kini sambutan yang diterima semakin menggalakkan.

Beliau berkata, selain menjual secara runcit, syarikatnya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan, terutama di kawasan berhampiran dengan tempahan boleh dibuat secara terus di kedai atau menghubungi talian 06-6784959 atau 019-2071804.

“Kami juga menyediakan ternakan untuk majlis keraian, aqiqah dan korban,” katanya, menambah perancangan selepas ini ialah menjalin kerjasama dengan Koperasi Cemerlang Temiang Jaya Negeri Sembilan Berhad (Koteja) untuk memasarkan produk daging salai sejuk beku keluaran syarikatnya.

Mengenai perancangan masa depan, bapa kepada empat anak berusia antara sembilan bulan hingga 11 tahun ini, berkata syarikatnya merancang mengembangkan aktiviti perniagaan, termasuk membuka cawangan serta pusat jualan di kawasan lebih luas.

“Dengan adanya bangunan sendiri, kami berharap akan dapat mempelbagaikan lagi aktiviti perniagaan dan menjual lebih banyak hasil pertanian segar serta industri asas tani seperti sayur-sayuran, hasil laut dan produk desa,” katanya.

Beliau berkata, syarikat berkenaan yang kini mempunyai tujuh pekerja sepenuh masa, termasuk yang mengendalikan aktiviti di pusat penternakan turut merancang mengeluarkan produk berasaskan daging seperti bebola, sosej, burger dan daging salai.

“Misi kami adalah untuk menyahut seruan kerajaan bagi memastikan Bumiputera tidak terus ketinggalan dengan kaum lain dalam bidang keusahawanan kerana kerajaan sudah menyediakan peluang yang seluas-luasnya untuk memajukan diri,” katanya.

FAKTA: Farm Fresh Industries

  • Mengusahakan kedai Daging Segar berkonsep moden yang pertama di Negeri Sembilan
  • Kedai mula beroperasi Jun 2007 di Taman Komersial Senawang
  • Produk jualan daging lembu tempatan segar, daging salai dan produk sejuk beku berasaskan daging
  • Modal hampir RM300,000, termasuk mengusahakan ladang ternakan di Kuala Pilah.

Lintah lubuk duit

Harian Metro, 28 Okt 2007


Daripada penghisap darah kepada lubuk duit. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan “transformasi” atau perubahan persepsi masyarakat negara ini kepada lintah.

Jika dulu lintah sering dijauhi kerana menghisap darah, kini ia bukan saja dicari malah diternak

Jika dulu lintah sering dijauhi dan ramai wanita geli geleman apabila melihatnya, kini spesies haiwan yang hidup melata di sawah serta paya itu bukan saja dicari, malah diternak untuk memudahkan lagi ia diperoleh.

Penternak lintah dari Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang, Norazlan Abdul Rahman, 37, berkata lintah kini menjadi ternakan komersial berikutan permintaan tinggi untuk ramuan kosmetik dan perubatan.

“Kebanyakan lintah yang diternak di negara ini dieksport ke luar negara yang dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi haiwan ini.

“Ada dua jenis lintah ternak, iaitu lintah perut hijau dan perut perang yang mendapat permintaan tinggi di pasaran apabila kedua-duanya mampu mencecah harga antara RM40 hingga RM60 satu kilogram (kg) mengikut saiz,” katanya.

Norazlan berkata, lintah semakin mendapat tempat dalam amalan perubatan moden kerana cecair yang dikeluarkan daripada kelenjar liurnya ketika haiwan itu menghisap darah didapati mampu menghalang darah daripada membeku, manakala histamin pada lintah mampu membesarkan pembuluh darah, sekali gus melancarkan peredaran darah dan oksigen.

Norazlan berkata, dia tertarik menceburi bidang ternakan lintah selepas mengetahui kelebihan dan nilai komersial haiwan itu melalui iklan kursus usahawan ternakan lintah yang disiarkan dalam akhbar.

“Bertitik-tolak dari situ, saya mengikuti kursus dua hari menjadi usahawan lintah di Kuala Lumpur yang dikendalikan syarikat berkenaan pada Februari lalu.

“Dalam kursus ini, peserta diberi pendedahan awal untuk mengusahakan ladang ternakan lintah, selain mengenal pasti masalah serta teknik penjagaan lintah,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Selesai kursus, Norazlan tanpa berfikir panjang melaburkan wang simpanannya kira-kira RM15,000 untuk membina empat kolam menternak lintah, membeli benih lintah dan menyediakan kelengkapan lain berkaitan bidang yang baru diceburinya.

Namun, Norazlan tidak bersendirian mengusahakan ternakan haiwan penghisap darah itu apabila dia mendapat bantuan rakannya, Mohd Zakaria Mahmud, 50, yang menyediakan tanah untuk kolam ternakan.

Ternakan lintah tidak memerlukan kolam luas seperti ikan, sebaliknya memadai dengan kolam bersaiz 20 kaki lebar dan panjang 60 kaki.

Dasar kolam pula perlu dihampar dengan plastik dan dimasukkan pasir halus untuk haiwan itu bersembunyi.

“Plastik dan pasir diletakkan dalam kolam supaya lintah tidak hilang ketika waktu menuainya yang mencapai tempoh matang ketika berusia empat bulan dan boleh mula bertelur.

“Haiwan ini bertelur dalam air dan seekor lintah boleh mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina. Lintah induk membawa anak dari telur di dalam kantung yang terbentuk melalui lipatan permukaan bawah badannya. Kadangkala anaknya melekat di bawah badan induk,” katanya.

Menurut Norazlan, telur yang terhasil akan terlekat pada objek di dalam air seperti tunggul kayu dan tumbuhan akuatik. Oleh itu, dalam kolam ternakan, batu-bata disusun empat segi membentuk petak sebagai tempat mengumpul telur.

Bagi bekalan makanan haiwan ini yang menjadikan darah sebagai bahan makanan utama, Norazlan menyediakan kira-kira 30 hingga 40 kg belut untuk 100 kg lintah dan selepas makan darah dengan secukupnya, ia boleh hidup untuk beberapa bulan tanpa mendapatkan darah lagi.

“Lintah boleh membesar enam hingga 10 kali ganda saiz asalnya selepas menghisap darah dan induknya boleh menghasilkan 300 hingga 500 benih lintah sekali bertelur.

“Namun, bekalan benih sukar diperoleh berikutan permintaan tinggi, selain negara masih kekurangan pengusaha lintah. Tidak hairan harga benih lintah boleh mencecah sehingga RM300 satu kg,” katanya yang juga lulusan ijazah dalam Sains Kimia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selepas lebih lima bulan mengusahakan ternakan lintah, kini Norazlan boleh berpuas hati dengan hasilnya yang menunggu masa untuk dituai.

“Pada awal perancangan ternakan lintah, saya ingin mengeksportnya saja menerusi bantuan syarikat yang menganjurkan kursus berkenaan. Namun, kini saya mula meneroka peluang lebih luas apabila ingin menghasilkan sendiri minyak lintah.

“Penghasilan minyak ini dijalankan dengan kerjasama jabatan farmasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Saya menunggu waktu sesuai untuk mendaftar produk ini yang bermanfaat untuk sapuan pada tubuh bagi melancarkan peredaran darah,” katanya.

Norazlan berkata, mereka yang mengalami bengkak, salah urat atau sakit sendi disyor menggunakan minyak sapu itu kerana ia membantu memulihkan penyakit berkenaan.

Selesai kursus, Norazlan tanpa berfikir panjang melaburkan wang simpanannya kira-kira RM15,000 untuk membina empat kolam menternak lintah, membeli benih lintah dan menyediakan kelengkapan lain berkaitan bidang yang baru diceburinya.

Namun, Norazlan tidak bersendirian mengusahakan ternakan haiwan penghisap darah itu apabila dia mendapat bantuan rakannya, Mohd Zakaria Mahmud, 50, yang menyediakan tanah untuk kolam ternakan.

Ternakan lintah tidak memerlukan kolam luas seperti ikan, sebaliknya memadai dengan kolam bersaiz 20 kaki lebar dan panjang 60 kaki.

Dasar kolam pula perlu dihampar dengan plastik dan dimasukkan pasir halus untuk haiwan itu bersembunyi.

“Plastik dan pasir diletakkan dalam kolam supaya lintah tidak hilang ketika waktu menuainya yang mencapai tempoh matang ketika berusia empat bulan dan boleh mula bertelur.

“Haiwan ini bertelur dalam air dan seekor lintah boleh mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina. Lintah induk membawa anak dari telur di dalam kantung yang terbentuk melalui lipatan permukaan bawah badannya. Kadangkala anaknya melekat di bawah badan induk,” katanya.

Menurut Norazlan, telur yang terhasil akan terlekat pada objek di dalam air seperti tunggul kayu dan tumbuhan akuatik. Oleh itu, dalam kolam ternakan, batu-bata disusun empat segi membentuk petak sebagai tempat mengumpul telur.

Bagi bekalan makanan haiwan ini yang menjadikan darah sebagai bahan makanan utama, Norazlan menyediakan kira-kira 30 hingga 40 kg belut untuk 100 kg lintah dan selepas makan darah dengan secukupnya, ia boleh hidup untuk beberapa bulan tanpa mendapatkan darah lagi.

“Lintah boleh membesar enam hingga 10 kali ganda saiz asalnya selepas menghisap darah dan induknya boleh menghasilkan 300 hingga 500 benih lintah sekali bertelur.

“Namun, bekalan benih sukar diperoleh berikutan permintaan tinggi, selain negara masih kekurangan pengusaha lintah. Tidak hairan harga benih lintah boleh mencecah sehingga RM300 satu kg,” katanya yang juga lulusan ijazah dalam Sains Kimia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selepas lebih lima bulan mengusahakan ternakan lintah, kini Norazlan boleh berpuas hati dengan hasilnya yang menunggu masa untuk dituai.

“Pada awal perancangan ternakan lintah, saya ingin mengeksportnya saja menerusi bantuan syarikat yang menganjurkan kursus berkenaan. Namun, kini saya mula meneroka peluang lebih luas apabila ingin menghasilkan sendiri minyak lintah.

“Penghasilan minyak ini dijalankan dengan kerjasama jabatan farmasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Saya menunggu waktu sesuai untuk mendaftar produk ini yang bermanfaat untuk sapuan pada tubuh bagi melancarkan peredaran darah,” katanya.

Norazlan berkata, mereka yang mengalami bengkak, salah urat atau sakit sendi disyor menggunakan minyak sapu itu kerana ia membantu memulihkan penyakit berkenaan.