TANAMAN LIMAU HANTU (CITRUS MEDICA)

Genus Citrus mengandungi banyak spesies yang boleh dimakan termasuklah oren, lemon, limau, limau bali dan limau mandarin. Di Malaysia, sebanyak 10 spesies yang biasa ditanam. Kebanyakan spesies sitrus adalah serasi silang dan boleh dibuat cantuman antara satu sama lain dengan mudah.

Kebiasaannya pokok sitrus adalah rendah dan rendang atau pokok renek yang tinggi dan boleh ditanam sama ada terus di tanah atau di dalam bekas. Pokok sitrus kelihatan sangat menarik dan boleh ditanam sebagai tanaman hiasan terutamanya semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Kebanyakan jenis sitrus boleh tumbuh dengan baik di kawasan yang beriklim lembap subtropika. Varieti yang lebih berasid seperti limau nipis (lime) adalah lebih sesuai dengan iklim tropika seperti Malaysia. Di samping itu, sitrus tidak menghasilkan warna kulit jingga di kawasan tropika. Oleh sebab itu, kebanyakan sitrus yang ditanam di Malaysia mempunyai kulit berwarna hijau apabila masak.

Aspek penting tentang sitrus ialah keharumannya yang terdapat di daun, bunga dan buah. Daun sitrus mengandungi minyak sitrus dan menghasilkan haruman limau apabila dihancurkan atau diperah.

Selain dimakan sebagai buah segar dan dibuat jus, sitrus mempunyai banyak kegunaan. Kulitnya boleh dijadikan halwa, digunakan di dalam produk minyak wangi atau sabun, atau sebagai minyak pati. Bunga, buah dan daun amat berpotensi dalam industri minyak pati di Malaysia.

Buah dan daunnya juga adalah bahan penting dalam hidangan masakan Asia Tenggara.

Berikut ialah spesies sitrus yang biasa ditanam di Malaysia:

* Citrus suhueinsis or C. reticulata (limau kupas atau limau mandarin)
* C. maxima (limau bali atau pomelo)
* C. hystrix (limau purut atau kaffir lime)
* C. madurensis (limau kesturi atau sweet lime)
* C. aurantifolia (limau or limau nipis)
* C. sinensis (limau manis atau sweet orange)

Berikut ialah spesies sitrus yang kadangkala ditanam tidak secara komersial:

* C. aurantium (limau masam atau sour orange)
* C. medica (limau hantu)
* C. paradisi (limau gedangsa atau grapefruit)
* C. limon (limau asam atau lemon)

Spesies dan ciri-ciri

Spesies Bentuk buah Saiz buah Warna buah Jumlah Pepejal Larut Tekstur buah Rasa
C. maxima Bulat, bentuk buah pear Besar, lebih besar daripada grapefruit boleh mencapai >2 kg Hijau hingga kuning 7-14% Berserabut hingga halus Masam hingga sangat manis
C. madurensis Bulat Kecil Hijau hingga kuning kehijauan TA Berserabut hingga halus Masam hingga manis, harum
C. sinensis Bulat Kecil hingga sederhana Hijau hingga jingga 10-15% Halus hingga berserabut Manis hingga sangat manis
C. medica Bulat hingga oblong Kecil hingga sederhana Hijau hingga kuning TA Kulit tebal, isi nipis Hambar hingga masam
C. limon Bulat hingga berbentuk lemon Kecil hingga sederhana Hijau hingga warna lemon TA Halus hingga berserabut Masam

Keterangan botani

Tabiat pertumbuhan: Pokoknya renek, tumbuh perlahan atau pokok kecil mencapai 2.4–4.5 m tinggi dengan dahan dan ranting yang keras dan duri pendek atau panjang di aksil daun.

Daun: Anak daun sentiasa hijau, berbau limau, berbentuk seperti bujur panjang dan berukuran 6.25–18 cm panjang. Daunnya bak kulit dengan petiol pendek tanpa sayap atau hampir tanpa sayap.

Bunga: Putik bunga besar dan putih atau keunguan. Bunga harum kira-kira 4 cm lebar dan dijumpai dalam kelompok pendek. Bunga mempunyai 4–5 petal kemerahan samar dan keunguan dengan 30–60 stamen.

Buah: Buahnya harum dan kebanyakannya oblong atau bujur. Kadangkala berbentuk seperti ‘pitcher’. Bagaimanapun, bentuknya terlalu pelbagai dan kadangkala pelbagai bentuk buah, licin dan kasar dijumpai pada dahan yang sama. Buah juga berbeza saiz, antara 9–30 cm panjang. Kulitnya kuning apabila cukup masak dan lazimnya kasar dan berbonggol-bonggol tetapi kadangkala licin. Kebanyakan kulit sangat tebal, berisi dan melekat kuat. Pulpanya kuning pucat atau kehijauan dan dibahagikan kepada 14–15 segmen. Buahnya pejal, tidak berjus sangat, berasid atau manis dan mengandungi banyak biji licin dan berwarna putih.

Pertumbuhan dan perkembangan

Ekologi

Limau nipis/citron tumbuh subur di kawasan yang suhunya tidak ekstrem. Daun dan buah boleh tercedera kerana panas yang terik. Pokok boleh hidup di pelbagai jenis tanah tetapi memerlukan pengudaraan yang baik.

Asal dan sejarah

Asal limau nipis/citron tidak diketahui walaupun pokok ini telah dijumpai seawal 4000 BC. Limau nipis/citron telah dicatatkan pada masa Kerajaan Rom dan dipercayai telah ditanam dan digunakan di seluruh Mediterranean. Terdapat limau nipis/citron liar di Chittagong, Bukit Sitakund, Khasi dan Bukit Garo di India Utara.

Limau nipis/citron mungkin merupakan pertambahan baru kepada pertanian di Malaysia dengan kebanyakan varietinya lebih ditanam sebagai pokok hiasan atau untuk tujuan upacara atau istiadat.

Penyebaran geografis

Dalam Semenanjung Malaysia, kawasan utama pengeluaran ialah di Bera, Dungun, Gua Musang, Hulu Perak, Hulu Terengganu, Jelebu, Jeli, Johor Bahru, Kemaman, Kluang, Kota Star, Kota Tinggi, Kuala Kangsar, Kuala Kerai, Kubang Pasu, Langkawi, Larut Matang, Macang, Mersing, Pandang Terap, Pasir Mas, Pendang, Perlis, Pokok Sena, Rompin, Segamat, Tampin dan Tanah Merah.

Keluasan mengikut jenis limau di Semenanjung Malaysia, 1999

Species Limau Bali Limau Kesturi Tangerin Oren Lime Jumlah
Kelantan 88 7 0 97 165 357
N. Sembilan 38 16 40 93 20 207
P. Pinang 14 27 15 0 13 69
Perlis 18 0 0 1 7 26
Terengganu 12 3 906 411 51 1383

Di Sarawak, pengeluaran sitrus meliputi kawasan seluas 1,500 ekar dan kebanyakannya di Daerah Binatang dan Sarikei di Bahagian ke-3 dan Daerah Bau, Serian dan Pedalaman Kuching di Bahagian Pertama. Kawasan penanaman kecil terdapat di Bahagian ke-2, ke-4 dan ke-5.

Di Sabah, hanya 514 hektar limau manis dihasilkan pada tahun 2001 di Tawau, Sandakan, Kudat, di pantai barat dan bahagian pedalaman.

Pembiakan

Kebanyakan dusun menggunakan anak benih cantuman sebagai bahan tanaman. Anak benih cantuman dicantum menggunakan kaedah T atau T songsang. Sebagai pilihan, cantuman tunas serpihan juga diamalkan. Kebiasaannya cantuman mata tunas dijalankan selepas pengumpulan kayu mata tunas. Pokok penanti dicantum lebih tinggi dari permukaan tanah untuk mengelakkan jangkitan penyakit bawaan tanah seperti Phytophthora.

Beberapa spesies sitrus dibiakkan dengan cara tut. Pokok sitrus dan limau nipis yang ditut menghasilkan buah dalam masa setahun ditanam. Walau bagaimanapun, lebih 30 jenis patogen sitrus yang boleh menular melalui pembiakan tampang dengan cara tut. Oleh itu untuk menyediakan dusun limau, perlulah membeli anak benih muda yang sihat daripada pembekal yang mutunya telah disahkan.

Di sesetengah kawasan sitrus juga ditanam daripada biji benih tetapi amalan ini jarang dilakukan untuk tujuan komersial. Walau bagaimanapun, kebanyakan pokok penanti yang digunakan untuk cantuman mata tunas ditanam daripada biji benih.

Pokok penanti

Pokok sitrus yang ditanam daripada biji benih selalunya mempunyai tempoh juvenil yang berlanjutan. Pokok ini juga rentan terhadap beberapa masalah berkaitan tanah dan kemungkinan tidak tulen bagi beberapa kultivar dengan kadar embrio nuselus yang rendah. Oleh itu, kebanyakan dusun sitrus komersial menanam pokok yang dicantum pada pokok penanti yang dipilih. Amalan ini menggabungkan sifat-sifat sion dan pokok penanti yang sesuai. Lebih daripada 20 ciri-ciri hortikultur yang dipengaruhi oleh pokok penanti. Penggunaan pokok penanti membolehkan varieti sitrus ditanam di pelbagai jenis iklim dan tanah. Sesetengahnya rintang terhadap penyakit, kemarau, air bertakung, air masin dan nematod. Tidak seperti kebanyakan pokok buah-buahan yang lain, pemilihan pokok penanti perlu diberi pertimbangan utama apabila hendak memulakan dusun sitrus. Amatlah penting pemilihan pokok penanti dibuat berdasarkan faktor pengehad pengeluaran yang paling utama.

Beberapa pokok penanti yang biasa digunakan dan ciri-ciri utamanya adalah seperti yang berikut:

Citrange (C. sinensis x Poncirus trifoliata)

Penggunaannya meluas. Troyer dan Carrizo ialah dua kultivar yang sering digunakan dan sesuai bagi kebanyakan sitrus kecuali lemon Eureka dan kumquat. Secara amnya, pokok penanti ini adalah yang terbaik dan menghasilkan buah dan hasil yang baik. Walau bagaimanapun pokok penanti ini rentan terhadap penyakit hawar, ‘exocortis’ dan tidak berapa rintang terhadap garam dan pH yang tinggi. Pokok penanti ini tumbuh sihat di tanah lom liat.

Trifoliata (Poncirus trifoliata)

Sesuai untuk iklim sejuk seperti di tanah tinggi. Pokok daripada penanti ini menghasilkan buah dengan mutu yang terbaik bagi pokok yang bersaiz kecil dan sederhana dengan kerintangan yang tinggi terhadap tanah yang sangat basah dan lembap, kulat akar dan nematod. Bagaimanapun, prestasinya tidak memuaskan di tanah yang tinggi kandungan kapur, alkali dan garam.

Cleopatra mandarin (C. reticulata var. reshni)

Merupakan pokok penanti utama untuk limau tangerine dan hibrid kerana mutu buah yang terbaik. Juga rintang terhadap tristeza, ‘exocortis’, hawar Phytophthora, garam dan pH yang tinggi. Dua sebab utama tidak digalakkan untuk digunakan pada grapefruit dan limau untuk proses:

1. Pokok lambat berbuah
2. Saiz buah kecil

Pokok tumbuh dengan tempoh produktif yang panjang dan menghasilkan buah yang agak kecil tetapi bermutu tinggi.

Swingle citrumelo (C. paradisi x P. trifoliata)

Pokok bersaiz besar dan mempunyai kerintangan yang rendah terhadap tanah yang bersaliran lambat, tinggi kandungan kapur dan alkali. Kerintangan termasuklah terhadap nematod sitrus, penyakit hawar dan virus tristeza.

Limau Rangpur (C. limonia)

Banyak persamaan ciri-ciri dengan lemon kasar, tetapi secara keseluruhannya menghasilkan buah yang lebih bermutu dan lebih rintang terhadap pH dan garam yang tinggi. Walau bagaimanapun, limau ini sangat rentan terhadap ‘exocortis’ tetapi rintang terhadap virus tristeza.

Lemon kasar (C. jambhiri)

Pokok penanti ini rintang terhadap kemarau, kesuburan dan hasil yang tinggi walaupun pokok itu sendiri rendah kesuburannya. Bagaimanapun, isi buah bermutu rendah. Saiz buah adalah lebih besar daripada penanti lain. Tidak rintang terhadap hawar Phytophthora dan nematod tetapi rintang terhadap virus tristeza dan ‘exocortis’. Pokok penanti ini digunakan untuk grapefruit, oren dan lemon yang hasil dan mutunya tidak berapa penting; penanti yang baik untuk oren jus.

Beberapa tindak balas pokok penanti terhadap penyakit dan nematod

Varieti pokok penanti Virus tristeza Viroid ‘exocortis’ Busuk pangkal (Phytophthora citrophthora) Hawar ( Phytophthora spp.) Nematod pengorek (Radopholus similis) Nematod citrus (Tylenchulus semipenetrans)
Cleopatra mandarin T 39.9 S S** S S
Rusk citrange T 49.4 S S S S
Limau Rangpur T 27.0 S S S S
Swingle T T T ? S T

T = Rintang S = Rentan HS = Sangat rentan
**Kurang rentan daripada yang lain

Pemilihan tapak

Walaupun sitrus boleh ditanam di pelbagai jenis tanah, pemilihan tapak yang mempunyai pengairan yang mencukupi adalah penting bagi kejayaan pengeluaran sitrus. Pertumbuhan limau terjejas jika ditanam di tanah yang kurang saliran atau jika terdapat lapisan liat kedap atau tanah keras di atas permukaan. Akar sitrus akan mati atau rosak disebabkan keadaan anaerob di ladang dan pokok tidak akan tumbuh sihat jika air bertakung untuk tempoh yang lama. Tambahan lagi, tanah yang bersaliran lambat akan menambahkan masalah reput pangkal dan akar Phytophthora dan penyakit bawaan tanah yang lain. Pertumbuhan akar dan pokok terbatas di tanah yang mengandungi lebih 50% liat.

Pokok sitrus tumbuh sihat di tanah yang mempunyai pH 5.5–7.0 kerana adanya nutrien yang penting untuk pertumbuhan. Kapur dan sanga (slag) biasanya ditabur pada tanah berasid untuk menurunkan pH tanah. Suhu pertumbuhan yang sesuai bagi kebanyakan sitrus ialah 20–32 o C.


Kepadatan tanaman

Pemilihan jarak tanaman dan seterusnya populasi pokok bagi satu unit kawasan adalah ditentukan oleh tapak dusun, spesies sitrus dan jenis pokok penanti dan amalan pengurusan yang diamalkan oleh penanam. Jarak tanaman bagi beberapa jenis limau yang biasa ditanam adalah seperti yang berikut:

 

Jenis sitrus Jarak tanaman (m)
Langkat atau limau madu 5.5 x 5.5
Limau manis 5.5 x 5.5
Lemon 6 x 6
Limau kesturi 5 x 5

Pertumbuhan dan pemantapan pokok

Anak benih yang terdedah akarnya perlulah ditanam secepat mungkin supaya akarnya tidak kering. Begitu juga dengan pokok di dalam bekas atau beg plastik tidak dibiarkan kering kerana sukar untuk membasahkannya apabila hendak ditanam di tanah. Pokok tidak ditanam terlalu dalam kerana keadaan ini mendedahkan sion yang rentan kepada reput pangkal dan seterusnya menurunkan nilai pokok penanti. Akar yang bengkok teruk perlulah dikerat sebelum diubah ke ladang. Daun dan pucuk yang merimbun perlulah dicantas. Pokok seeloknya diubah ke ladang pada awal musim lembap.

Lubang tanaman perlulah 60–90 cm diameter dan sekurang-kurangnya 30 cm dalam. Elakkan menanam terlalu dalam kerana pokok sitrus menyerap nutrien di permukaan. Jangan gunakan kayu pancang kerana pokok sitrus tumbuh lebih kuat dan sihat tanpa kayu pancang.

Litupi tanah di sekeliling anak benih (sehingga 1 m diameter) dengan rumput sehingga 10 cm tebal. Ini dapat mengelakkan pertumbuhan rumpai, mengawal suhu tanah dan membantu menyimpan air.

Amalan penanaman

Merumpai

Rumpai bersaing dengan pokok sitrus untuk lembapan, nutrien dan ruang akar, oleh itu rumpai perlulah diminimumkan. Rumpai juga menghalang operasi penuaian dan menyumbat parit saliran. Rumpai dari jenis pokok menjalar memberikan masalah utama kerana rumpai ini dapat melitupi keseluruhan kanopi pokok sitrus. Pengawalan rumpai merupakan perbelanjaan utama terutamanya di kawasan tropika yang mengalami suhu dan hujan yang tinggi kerana keadaan ini menggalakkan pertumbuhan rumpai. Oleh itu, perlulah diadakan dan diselenggarakan program kawalan rumpai bagi mengurus dusun buah-buahan. Program yang diatur dengan baik bergantung kepada gabungan kaedah dengan bahan, dan bukannya bergantung kepada satu strategi sahaja.

Kawasan tanaman yang bersih dan terang tidak disyorkan kerana akan merosakkan habitat serangga berfaedah yang dapat membantu mengawal perosak. Memotong rumput secara mekanikal biasa digunakan dan merupakan kaedah pengawalan rumpai yang berkesan terutamanya apabila ada masalah hakisan tanah. Memotong rumpai dari jenis tumbuhan saka akan membuang bahagian atas pokok dan mengurangkan bahan makanan simpanan dan seterunya melemahkan rumpai dan mengurangkan pertumbuhan selanjutnya. Rumpai dari jenis tumbuhan semusim perlulah dibuang sebelum tumbuhan tersebut mengeluarkan biji benih.

Sitrus mempunyai sistem akar yang cetek dan mudah binasa. Oleh itu tanah di bawah pokok sitrus tidak boleh digemburkan.

Pengawalan rumpai menggunakan racun rumpai mungkin akan merosakkan pokok sitrus. Oleh itu perlulah memilih racun rumpai yang betul dan sesuai dan berhati-hati ketika menggunakannya. Hampir semua racun rumpai boleh membahayakan pokok sitrus jika tidak digunakan dengan cara sepatutnya. Walau bagaimanapun, simptom kerosakan oleh racun rumpai tidak selalunya jelas dan mungkin dikelirukan dengan simptom gangguan nutrien, penyakit atau kerosakan mekanikal. Perlulah berhati-hati apabila menggunakan racun rumpai berdekatan pokok sitrus. Secara amnya, racun rumpai yang mengandungi glifosat adalah selamat asalkan racun rumpai ini digunakan pada kadar pengesyoran yang terendah dan tidak disemburkan pada daun atau batang. Penyemburan hanya dilakukan apabila tiada hujan diramalkan dan pengairan perlulah dielak selama 2–3 hari. Keadaan ini membolehkan pengambilan kimia yang terbanyak di dalam daun rumpai dan meminimumkan kemungkinan kerosakan akar pokok disebabkan oleh penyemburan. Sembur racun rumpai semasa rumpai masih kecil kerana ketika ini rumpai mudah dibinasakan dan kurang racun rumpai yang digunakan.

Mencantas

Pokok sitrus yang dewasa boleh tumbuh sehingga melebihi 10 m tinggi dan hampir 10 m lebar, jika cantasan, latihan dan pembentukan pokok tidak dilakukan mengikut jadual. Apabila pokok tumbuh serentak, dahan di bahagian bawah akan ternaung. Bahagian dalaman pokok menjadi beranting, dahan bawah mungkin mengalami mati rosot, di samping saiz buah dan hasil akan berkurangan. Pokok yang dibiarkan tumbuh tanpa pengawasan adalah sukar untuk dituai dan disembur bahan kimia.

Proses cantasan

1) membetulkan bentuk pokok dan nisbah rangka pokok dengan bahagian kanopi yang mengeluarkan buah,

2) Mengubahsuai nisbah bahagian atas:akar,

3) menukar status karbohidrat (simpanan makanan) pokok. Pengawalan pertumbuhan tampang perlu dikawal dengan betul untuk menyelenggarakan dusun limau yang sihat dan produktif. Oleh itu perlulah pokok limau dicantas sebelum bermasalah.

Biasanya, pencantasan dan pembentukan pokok dimulakan apabila pokok berumur 1–3 tahun. Sebanyak 3–4 dahan utama, 50–70 cm dari aras tanah dikekalkan. Ini diikuti oleh cantasan pilihan dengan tangan yang dilakukan selang berjadual untuk mengawal saiz dan bentuk pokok. Cantasan ini melibatkan pengklipan dahan kecil di bahagian bawah yang dilakukan dengan tangan dan membuang kayu mati atau kering dari bahagian dalaman pokok. Kanopi pokok dinaikkan dari aras tanah untuk meminimumkan kerosakan buah akibat penyakit bawaan tanah.

Cantasan pemulihan hanya digunakan apabila pokok telah tumbuh menjadi dusun berkanopi daun yang rimbun dan hasil menjadi tersangat terhad.

Dinasihatkan supaya mengekalkan tinggi pokok tidak melebihi dua kali ganda jarak antara lebar kanopi untuk memaksimumkan pintasan cahaya dan membaiki permukaan pokok yang menghasilkan buah.

Pengairan

Tujuan pengairan adalah untuk meminimumkan kesan daripada tegangan air terhadap pertumbuhan, hasil dan mutu buah sitrus. Secara amnya, pokok sitrus memerlukan 1,000 hingga 1,600 mm air setahun untuk menggantikan air yang hilang melalui proses penyejatpeluhan. Di samping itu larian air juga mengakibatkan banyak kehilangan air. Pengairan membaiki hasil dengan meningkatkan saiz buah dan mengurangkan kejadian buah jatuh. Dalam keadaan yang terlalu kering, pengairan membaiki pembungaan dan pembentukan buah. Walau bagaimanapun pengairan yang berlebihan akan mengurangkan mutu buah.

Kaedah lazim yang digunakan untuk menjadualkan pengairan sitrus adalah berdasarkan aras lembapan tanah dengan menggunakan tensiometer tanah untuk mengukur kandungan lembapan tanah.

Kaedah pengairan yang biasa digunakan termasuklah pengairan alur atau pengairan banjir. Air dipamkan atau dialirkan ke dusun melalui graviti dan kemudiannya dipamkan keluar selepas 48–72 jam untuk meminimumkan kerosakan akar pokok akibat air bertakung. Dusun sitrus juga diairi menggunakan sprinkler kekal jenis atas atau bawah pokok. Pengairan mikro yang menggunakan kurang air daripada sistem pengairan alur atau sprinkler juga diamalkan.

Di Malaysia, pengairan hanya diperlukan semasa tempoh pertumbuhan awal dan pada tahun awal pembungaan. Apabila pokok telah berumur lebih lapan tahun, pengairan tidak diperlukan lagi.

pembajaan

Pokok sitrus ialah penyerap kuat dan memerlukan semua nutrien dalam jumlah dan kadar yang mencukupi untuk tumbuh sihat dan mengeluarkan hasil yang tinggi. Pemberian baja lebih-lebih lagi di kawasan yang sangat berpasir amatlah perlu terutamanya kawasan yang selalu mengalami hujan lebat.

Ujian tanah dan analisis daun ialah cara yang baik untuk memantau status nutrien di dusun sitrus dan mengubahsuai pengurusan baja. Apabila penanam mengetahui status nutrien tanah dan pokok di dusunnya, maka bolehlah dia membuat jadual pengurusan yang dapat mengoptimumkan pemberian baja dan seterusnya meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos.

Baja boleh diberi mengikut cara-cara yang berikut:

* Penyaluran bulatan:

Alur dibuat, 20 cm lebar dan 30 cm dalam, mengelilingi pokok dalam bentuk bulatan di bawah luar kanopi.

* Cara jalur:

Cara ini sesuai untuk dusun tua yang pokoknya lebih daripada 10 tahun. Alur yang selari dibina, 20 cm lebar dan 30 cm dalam, di antara baris pokok.

* Cara lubang:

Empat hingga lima lubang digali di bawah luar kanopi setiap pokok. Lubang perlulah 15–20 cm diameter, dan sekurang-kurangnya 30 cm dalam

Gangguan Nutrien

Berlebihan atau kekurangan nitrogen

Banyak dusun limau yang mempunyai daun yang tinggi kandungan nitrogennya kerana pemberian baja nitrogen yang banyak. Simptom utamanya ialah pertumbuhan pucuk muda yang berlebihan dengan daun berwarna hijau tua.

Nitrogen yang berlebihan akan merendahkan mutu buah dengan kulit limau yang tebal, kandungan pepejal larut yang rendah (fakta ini yang menyumbang kepada perasa manis), melewatkan pecah warna dan tempoh simpan yang pendek.

Kekurangan nitrogen yang teruk jarang dijumpai. Simptom utamanya ialah kekurangan hasil, daun hijau pucat atau kuning. Daun gugur lebih awal dari sepatutnya.


Berlebihan atau kekurangan kalium

Simptom utama kekurangan kalium ialah buah yang kecil dan aras gula serta keasidan yang rendah. Penanam patut memberi baja yang mengandungi kalium untuk meningkatkan saiz buah. Walau bagaimanapun, berlebihan kalium akan mewujudkan kekurangan magnesium. Keadaan ini berlaku kerana aras kalium yang tinggi akan mengurangkan pengambilan biasa magnesium. Status kalium yang tinggi juga memberi kesan negatif kepada buah yang membuatkan kulit buah kasar dan kandungan asidnya tinggi.

Kekurangan kalsium

Kekurangan kalsium selalunya dikaitkan dengan tanah yang sangat berasid dan cuaca yang selalu berawan dan selalu hujan.

Buah dari dusun limau yang mempunyai kandungan kalsium dan nitrogen yang rendah di dalam daun cenderung mempunyai tinggi peratus buah busuk selepas tiga bulan disimpan. Kapur patut ditabur pada pokok. Ini akan membaiki tempoh simpan buah tersebut.


Mikronutrien

Sukar untuk memastikan yang pokok mengalami kekurangan mikronutrien dengan hanya berdasarkan simptom sahaja. Banyak simptom yang seakan-akan sama seperti yang dihasilkan oleh virus dan penyakit pokok. Kadang-kadang simptomnya hanyalah kejatuhan hasil.

Cara yang terbaik untuk menilai sama ada pokok limau perlu tambahan nutrien sekunder dan mikronutrien adalah dengan menjalankan ujian tanah. Jika ujian ini boleh digabungkan dengan analisis daun, keputusannya nanti adalah lebih tepat. Jika tiada gangguan nutrien yang ditentukan atau dipastikan menerusi analisis tersebut, maka penanam tidak perlu memberi baja mikronutrien.

Secara amnya penanam boleh menjangka kekurangan mikronutrien dalam keadaan yang berikut:

Magnesium

Kekurangan magnesium mempunyai simptom yang amat ketara iaitu daun bertukar warna menjadi kuning pucat pada hujungnya dan selalunya terdapat bentuk segi tiga hijau di pangkal daun matang. Buah dari pokok yang kekurangan magnesium selalunya bersaiz kecil dan kandungan gula dengan asid yang rendah. Pokok yang tumbuh di tanah berasid lebih cenderung mengalami kekurangan magnesium.

Jika aras magnesium di dalam daun kurang daripada 0.25%, ini dianggap rendah dan pokok tersebut perlu diberi dolomite.

Walaupun penggunaan dolomite adalah cara jangka panjang yang terbaik, tetapi kekurangan yang teruk boleh dibaiki dengan memberi magnesium sulfat atau garam Epson, pada kadar 1 kg sepokok. Cara lain yang juga berkesan adalah dengan memberi magnesium oksida, pada kadar 150–200 g sepokok.

Baja daun 2–3% magnesium sulfat atau magnesium nitrat, 5 kali setahun juga disyorkan.

Kadangkala kekurangan magnesium dapat dilihat pada pokok yang tumbuh di tanah neutral atau alkali. Dalam hal ini, penanam patut menyembur baja daun magnesium sulfat dan bukannya dolomite, ke tanah.

Boron

Kekurangan boron lebih berkemungkinan terjadi pada waktu kering terutamanya di tanah berkapur. Simptom kekurangan boron termasuklah kurang terbentuknya tiub debunga bunga, dan seterusnya kegagalan pendebungaan dan kurangnya pembentukan buah. Kekurangan boron juga sering menyebabkan bentuk buah menjadi tidak normal dan buah keras seperti batu. Buah-buah ini juga kurang berjus.

Bagi dusun buah di tanah lom liat dan pokoknya lebih 10 tahun, kadar boron yang disyorkan ialah 50 g asid borik sepokok dan diberi dengan cara menabur.

Boron tambahan diperlukan jika aras boron di dalam daun kurang daripada 20 mg/kg. Alternatif yang lain ialah menyembur baja daun 0.3% asid borik atau boraks dua kali setahun.

Penanam perlu mengelak penggunaan boron yang berlebihan. Simptom ketoksikan selalunya muncul pada daun tua yang menunjukkan kesan hangus atau kekuningan di tepi atau hujung daun.

Bintik-bintik perang kecil mungkin kelihatan di lai daun. Pokok yang mengalami ketoksikan boron yang teruk akan mengalami keguguran daun atau daun akan layu dan seterusnya mati.


Zink

Kekurangan zink menunjukkan simptom rintik pada daun muda yang mengakibatkan kawasan di antara urat daun menjadi kuning pucat. Dalam keadaan yang lebih teruk, daun bertukar menjadi kuning dan akhirnya mati rosot meninggalkan ranting mati. Usaha untuk mengeluarkan pucuk baru akan hanya menghasilkan roset daun yang kecil dan tidak subur. Analisis daun akan menunjukkan yang daun tersebut mempunyai kurang daripada 25 mg/kg zink.

Kekurangan ini dapat diperbaik dengan 3 atau 4 kali semburan daun zink sulfat pada kadar 0.3–0.5%. Pepejal kalsium oksida (CaO) pada kadar yang sama perlu dicampurkan pada larutan semburan sebagai agen pengemulsi. Semburan daun perlulah dilakukan pada setiap 7–10 hari.

Dalam sesetengah keadaan, kekurangan zink di dalam sitrus adalah disebabkan virus tristeza sitrus atau penyakit kulat seperti reput akar atau reput pangkal. Penanam boleh mengatasi kekurangan zink dengan pengawalan penyakit atau pengurusan nutrien, bergantung kepada sebab kekurangan.

Mangan

Simptom kekurangan mangan sangat menyamai simptom kekurangan zink. Walau bagaimanapun, urat hijau daun tidak mudah dikenal pasti dan kebiasaannya daun sentiasa hijau. Simptom mangan kelihatan sedikit seperti simptom zink pada peringkat awal tetapi tidak menyebabkan pertumbuhan daun kecil seperti yang terdapat dalam kekurangan zink.

Simptom kekurangan mangan hanya kelihatan pada daun muda dan tidak pada daun tua. Simptom ini berkemungkinan muncul jika pH tanah melebihi 7.5.

Pokok akan mengalami kekurangan mangan jika daun mengandungi kurang daripada 25 mg/kg mangan. Kekurangan ini diperbaik dengan 3–4 kali semburan daun mangan sulfat pada kadar 0.3–0.5%. Sebanyak itu juga kalsium oksida (CaO) pepejal perlu dicampur pada semburan sebagai agen pengemulsi. Semburan daun ini perlu dilakukan pada setiap 7–10 hari.

Semburan daun mangan perlu dilakukan apabila pucuk daun tumbuh ½–3/4 daripada silara pokok. Walau bagaimanapun semburan daun perlu dielakkan pada waktu berbuah kerana bahan sebatian ini meninggalkan sisa berwarna gelap pada daun dan buah.

PEMBERIAN BAJA

Umur pokok
(tahun)
Jenis baja Kadar (kg/pokok/tahun) Waktu Pemberian
1 NPK 15:15:15 0.13 Setiap 3 bulan
3 NPK 12:12:17:2 +TE 0.63 Setiap 3 bulan
5 NPK 12:12:17:2 +TE 1.67 Setiap 4 bulan

* Sebagai tambahan, baja organik pada kadar 10–30 kg/pokok/tahun dan dolomite pada kadar 0.2–0.3 kg/pokok/tahun disyorkan

Pembungaan dan pembuahan

Pembungaan biasanya berlaku secara berterusan sepanjang tahun dengan aras puncak berlaku pada waktu hujan yang diikuti dengan cuaca kering. Keamatan pembungaan dikawal terutamanya oleh kedapatan air. Oleh itu, beberapa peringkat pembentukan bunga dan buah mungkin terdapat pada pokok yang sama. Keadaan ini menyukarkan pengusaha untuk menentukan kematangan buah dan waktu penuaian.

Dalam banyak keadaan, pokok sitrus mengeluarkan lebih banyak bunga daripada bilangan akhir buah yang dituai. Seperti juga dalam spesies lain yang mengeluarkan banyak bunga, pembentukan buah dan bukannya bilangan bunga yang dijadikan parameter untuk menentukan hasil sitrus.

Bunga sitrus muncul di sima dengan tunas bunga terminal dahulu diikuti dengan tunas bunga paling bawah di pucuk. Kebiasaannya, pucuk yang mempunyai nisbah daun:bunga yang tinggi akan mengeluarkan peratus buah hingga matang yang tertinggi. Peratus pengeluaran daun yang tinggi meningkatkan pembentukan buah dan juga hasil.

Saiz buah selalunya kecil bagi pokok yang berbuah lebat. Di samping itu, penanaman berlebihan juga akan mengurangkan kesuburan pokok dan kadangkala boleh mengakibatkan pokok tumbang. Oleh itu, amalan yang biasa dilakukan ialah membenarkan hanya 1 hingga 2 buah setiap dahan. Buah dijarangkan ketika saiznya lebih kecil daripada saiz guli.

Pendebungaan banyak dibantu oleh serangga terutamanya lebah madu. Debunga sitrus adalah berat dan melekit serta tidak ditiup angin. Kebanyakan spesies sitrus komersial tidak memerlukan pendebungaan silang untuk pembentukan dan penghasilan buah. Pengecualian ialah beberapa jenis limau bali dan beberapa limau mandarin dan hibrid. Untuk kultivar ini, pembentukan buah adalah bergantung kepada pendebungaan dengan kultivar lain yang serasi. Penanaman bercampur kultivar yang sesuai adalah disyorkan, dan kehadiran lebah madu yang mencukupi perlulah dipastikan.

2 thoughts on “TANAMAN LIMAU HANTU (CITRUS MEDICA)

  1. Salam Sejahtera,

    Saya telah mula menanam limon kira-kira 3 tahun yang lalu. Sekarang tanaman limon saya telah mengeluarkan buah. Bagaimanapun, saya rasa buah nya kurang bermutu. Maksud saya, siaz buah seperti saiz limon yang terdapat dalam supermarket tetapi kulit nya tebal. Soalan saya ialah, apa sebabnya kulit lemon yang saya tanam lebih tebal daripada yg terdapat dipasaran. Soalan kedua, apakan racun serangga yg patut saya gunakan supaya buah-buah limon tidak boleh disuntik oleh serangga dan bolehkah Tuan tolong memberi saya tip penjagaan tanaman limon yg betul?

    Sekian, Terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s