Ternak udang galah Risda manfaat tanah terbiar

OLEH: NORNI AZURA NAYAN

SEBANYAK 388, 640 ekor anak benih udang galah dilepas ke dalam sepuluh buah kolam di Pusat Ternakan Udang Galah milik penuh Koperasi Pertubuhan Kecil Daerah Baling yang dikawal selia oleh pihakRisda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Negeri Kedah. Ternakan udang galah menjadi perhatian masyarakat setempat sejak akhir ini kerana industri ini mendatangkan keuntungan yang memberangsangkan. Setakat ini belum ada lagi agensi lain yang berjaya ketengahkan industri ini secara besar-besaran. Udang galah mempunyai nilai tinggi di pasaran dan kurang saingan.

Pengarahnya, Tuan Haji Abu Bakar Baharom berasa amat berbangga dengan pencapaian yang diterokai oleh pihaknya merupakan sumbangan kakitangan dengan kerjasama pekebun kecil. Ini kerana peranan Risda adalah untuk meningkat taraf pendapatan penduduk disamping berusaha mencapai objektif Risda yang dilancarkan awal tahun ini.

Sehubungan itu, kejayaan projek ini telah membuka minda pekebun kecil agar merebut peluang supaya tidak ketinggalan dalam menopoli kepesatan ekonomi negeri ini. Malah ianya membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat khususnya kepada penduduk Kampung Banggol Asam Jawa. Projek ini hanya fokus kepada pekebun kecil termiskin dalam skim Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bertujuan untuk membantu para pekebun kecil dalam peningkatan serta perubahan taraf hidup mereka.

Sejumlah 65 peserta PPRT dari daerah itu, dengan peruntukan sebanyak RM 646,000, telah memulakan projek ini ke arah membasmi kemiskinan. Lokasi yang strategik iaitu Kampung Banggol Asam Jawa Mukim Pulai, Baling menjadi pilihan pihak RISDA agar ternakan yang dilaksanakan lebih selamat dan sempurna. Kawasan ini merupakan tanah terbiar yang disewa dalam jangka masa sepuluh tahun yang diambil daripada penduduk setempat.

Kemudahan air untuk kolam datangnya dari mata air Lata Bayu. Kawasan ini hanya 300 meter dari jalan raya utama yang menghubungkan pekan Baling dengan pusat ternakan tersebut. Ini memudahkan proses pemasaran hasil ternakan udang galah nanti. Kawasan tanah sawah terbiar seluas 9.7424 hektar yang dibangunkan pihak Risda menyumbang kepada pembangunan tanah berkenaan. Kawasan seluas ini telah berjaya dibangunkan sebanyak 22 buah kolam. Dan sepuluhdaripadanya telah beroperasi pada akhir tahun 2002. Operasi penetasan udang bermula sejak akhir tahun 2001 lagi. Sehingga kini anak-anak udang berkenaan telah berusia 80 hari dijangka dituai dan dipasarkan pada awal Febuari 2002. Pasaran udang galah ini difokuskan untuk Tahun Baru Cina memandangkan daya tarikan untuk perayaan amat mengalakkan. Kajian yang rapi telah dilakukan oleh pihak Risda dan diuruskan sepenuhnya oleh Koperasi Pertubuhan Kecil Daerah Baling. Sumbangan yang bernas oleh pihak Risda sewajar menyambut seruan kerajaan negeri dalam mencapai impian Kedah Maju 2010 yang diwar-warkan oleh Menteri Besar Kedah. Selaras dengan itu sumbangan pihak Risda terhadap kerajaan negeri.

20a.jpg
Antara kolam udang galah milik RISDA.

20b.jpg
Udang galah berjaya ditangkap dari kolam udang yang telah dilepaskan hujung tahun lalu. Usia masih muda lagi…

20c.jpg
Kakitangan penyeliaan Projek Udang Galah, tekun memrhati seorang kakitangan yang cuba menjala udang galah.

Ternakan Tiram Crassostrea Iredalei

Projek Ternakan Tiram

LATAR BELAKANG

Industri ini telah lama diusahakan di seluruh dunia. Asia merupakan pengusaha terbesar di dunia.Di Semenanjung Malaysia percubaan menternak tiram telah dibuat oleh Okada (1963). Pada tahun 1975 percubaan telah dibuat di Sabah dengan menggunakan spesies C. belcheri. Percubaan dengan menggunakan spesies Ostrea folium dijalankan pada tahun 1979 dan 1980 di Langkawi Kedah. Negeri-negeri yang terdapat ternakan tiram ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Kelantan dan Sabah. Usaha menternak ini dijalankan dengan menggunakan benih-benih daripada sumber semulajadi.

Terdapat 4 jenis tiram di Malaysia :

– Crassostrea (C.belcheri dan C. iredalei)

– Saccostrea (S. echinata dan saccostrea spp)

– Ostrea (O.folium)

– Hyotissa (Hyotissa hyotis)

Semua spesies tiram ini terdapat di perairan Malaysia dan boleh dijadikan sumber makanan. Spesies Crassostrea Iredalei merupakan spesies utama yang diternak secara komersial. Spesies ini mendapat permintaan yang amat menggalakkan daripada hotel-hotel dan restoran-restoran tempatan. Spesies ini banyak terdapat di Terengganu dan Kelantan. Ia juga banyak diternak di Thailand dan Filipina.


PENGENALAN SPESIES TIRAM

Sifat Luaran

Spesies C. iredalei mempunyai kulit luarnya tidak beralur dan kedua-dua cengkerangnya sama panjang, membesar melebihi 15cm panjang.

Tiram genus Ostrea berbentuk leper/nipis. Tiram genus Crassostrea dan Saccostrea berbentuk seperti cawan. Spesies Saccostrea spp berpermukaan yang beralur-alur seperti kerang, kedua-dua cengkerangnya tidak sama panjang. Ukurannya tidak melebihi 8cm panjang.


Sifat dalaman.

Tiram jenis Crossostrea iredalei mempunyai tanda hitam yang amat jelas pada kedua-dua bahagian dalaman cengkerang. Tanda ini merupakan otot-otot lekat dan ia hanya terdapat pada spesies Crossostrea sahaja.

Pada bahagian hujung sebelah dalam cengkerang tiram Saccostrea spp terdapat tonjolan (umbo) kecil, dan bentuk seperti ini tidak terdapat pada spesies iredalei.


Habitat

Tiram hidup dengan cara melekat pada substrat seperti cangkerang tiram, siput-siput, akar bakau, batu-batu dan benda-benda keras yang tenggelam.

Tiram biasanya didapati dalam air yang salinitinya antara 15 -32 ppt. Tiram dewasa boleh hidup beberapa hari di dalam air yang salinitinya menurun sehingga kekadar sifar. Benih-benih tiram akan mati bila mengalami perubahan saliniti mendadak seperti di musim tengkujuh.

Suhu biasa air bagi habitat tiram ini 28-30.5◦C, kecuali pada musim tengkujuh di mana suhunya lebih rendah. Perbezaan air semasa pasang surut lebih kurang 1.5 meter.

 

Pemakanan

Tiram makan dengan cara menapis makanan melalui insang. Makanannya adalah jenis plankton.

Pembiakan

Tiram mempunyai jantina yang berlainan. Jantina tiram dewasa hanya dikenali melalui pemeriksaan kandungan gonad. Persenyawaan berlaku di luar badan selepas tiram jantan betina melepaskan sperma dan telur. Ia membiak sepanjang tahun, tetapi terdapat dua musim kemuncak. April-Jun dan Oktober- Disember. Kajian menunjukkan tiram akan akan bertelur apabila hujan lebat selama beberapa hari selepas kemarau panjang. Faktor perangsang tiram bertelur ialah pertukaran saliniti dan suhu air.

AKTIVITI TERNAKAN

Aktiviti ternakan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu:-

-Pemungutan benih dan

-Pemeliharaan untuk pasaran

Pemungutan Benih

Di Malaysia benih-benih diambil dari sumber semulajadi. Benih semulajadi masih menjadi sumber utama. Ia mudah didapati manakala pembiakan tiram (penetasan) telah dijalankan di hatchery LKIM di Kg Setiu, Terengganu saiz benih yang biasa diambil antara 2-5 cm.

Kaedah Memungut Benih

Selain dari benih di pusat penetasan, kaedah memungut benih biasanya bergantung kepada kos perbelanjaan, ketahanan dan mudah dikendalikan. Di antara jenis pemungut yang digunakan :

-Tayar

-Netlon

-Kulit tiram dan tempurung kelapa

-Pancang kayu atau buluh

-Kepingan asbestos

April-Jun dan Oktober – Disember musim terdapat banyak benih-benih tiram. Ini amat penting kerana pemasangan pemungut di musim pembiakan akan menghasilkan pungutan yang baik, benih juga boleh didapati semulajadi yang melekat pada pokok bakau dan umpun.


Pemeliharaan Untuk Pasaran

Pemilihan tapak yang sesuai untuk ternakan tiram ialah yang mempunyai faktor-faktor seperti berikut :-

-Kawasan terlindung dari angin yang kuat

-Perubahan air pasang surut antara 1.0-1.5 m

-Dasar tidak mempunyai lumpur yang tebal

-Saliniti air antara 15-30 ppt

-pH air antara 6.5-8.5

-Faktor tambahan yang perlu, terdapatnya induk-induk tiram asli di kawasan tersebut. Selain daripada itu faktor-faktor keselamatan, peralatan dan kemudahan infrastruktur seperti perhubungan adalah perlu.

Kaedah Ternakan

Kaedah ternakan ialah dengan menggunakan rakit, pelantar, bubu rawai atau ternakan di dasar. Perbezaan sistem ini bergantung kepada beberapa faktor seperti kos perbelanjaan, ketahanan bahan, serta keadaan ombak dan rebut di sesuatu tempat. Kaedah ternakan yang biasa diusahakan secara komersial adalah dengna menggunakan rakit.

Rakit

Rakit ternakan tiram yang biasanya digunakan berbentuk 4 segi, saiznya mengikut keperluan. Kayu melintang digunakan untuk menggantung tali pemungut benih atau bakul untuk menternak tiram. Pelampung ‘Styrofoam’ dan plastik biasa digunakan untuk membina rakit. Rakit juga boleh dibina dengan menggunakan bahan HDPE atau sangkar terapung HDPE. Sangkar/ rakit jenis ini lebih tahan, tetapi kosnya 2 kali ganda lebih tinggi daripada pelampung biasa.

Bekas Ternakan

Untuk memudahkan pengendalian pelbagai jenis dan bentuk bekas ternakan telah dicipta. Bekas-bekas ternakan yang biasa ditemui di Malaysia adalah seperti berikut:-

-Raga

-Tayar

-Bingkai Netlon

Tayar, bingkai netlon dan raga sebagai bekas ternakan

PENGURUSAN TERNAKAN

Tiram-tiram yang diternak perlu diurus dan diawasi agar ia sentiasa sihat dan dapat membesar dengan baik. Proses yang biasa dilakukan ialah mencuci tiram dari mendapan lumpur atau rumpai terapung yang melekat pada ternakan tersebut. Proses ini dilakukan dengan menggunakan pam air berenjin.

Pembersihan perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali. Di musim tengkujuh pembersihan perlu dilakukan dengan lebih kerap.

Selain daripada kerja-kerja pembersihan, benih-benih yang diternak secara beraingan dalam bekas plastik/netlon, perlu diubah serak ke bekas-bekas lain mengikut saiz apabila benih membesar untuk mengelakkan peningkatan berat yang tinggi, Kerja-kerja lain yang biasanya dilakukan adalah membuang dan membunuh musuh tiram seperti ketam, siput-siput, tapak sulaiman dan cacing lecur.

PENGUTIPAN HASIL DAN PASARAN

Tiram memerlukan masa 12-18 bulan untuk membesar mencapai saiz pasaran. Saiz yang dipasarkan 9-11 cm. Pengutipan (harvest) dilakukan semasa tiram cukup matang, kerana ketika ini rasanya lebih enak dan isinya lebih tebal.

Kutipan mudah dilakukan untuk ternakan diatas rakit atau para kerana ia lebih stabil. Kutipan hasil boleh dilakukan oleh seorang pekerja sahaja. Untuk tiram yang diternak pada rawai terapung, kutipan dilakukan oleh dua orang, seorang pemungut dan seorang pengendali sampan.

Tiram-tiram yang dikutip, dibersihkan dari lumpur, askidian dan bunga karang. Seterusnya tiram-tiram ini dibasmi kuman dengan menggunakan alat depurasi untuk jangkamasa tidak kurang dari 36 jam untuk membunuh bakteria serta dinaflagelat yang terdapat pada tiram-tiram tersebut.

Jualan tiram hidup lebih menguntungkan, harganya tinggi dan kerja-kerja mengopek kulit tidak perlu dilakukan. Tiram jenis C.iredalei dijual hidup dengan harga 40-60 sen sebiji kepada pemborong. Tiram jenis Saccostrea spp pula dijual dengan harga 10-20 sen sebiji dan kalau dijual isi sahaja harganya RM6-RM9 sekilo.

MUSUH TIRAM

Musuh-musuh tiram di kawasan ternakan tidaklah begitu serius. Tetapi tindakan untuk mengatasinya perlu dibuat agar serangan dari musuh-musuh tiram tidak berterusan.

Ketam

Ketam merupakan musuh utama benih-benih tiram, Ketam dapat dicegah daripada memasuki bekas ternakan dengan menutup netlon halus dipermukaanya.

Tapak Sulaiman (starfish)

Tapak Sulaiman menyerang tiram semua peringkat, dari benih hingga ke tiram dewasa. Serangan Tapak Sulaiman banyak berlaku terutamanya di kawasan dasar. Kaedah beracun dan membuangnya merupakan cara pengawalannya. Kapur tohor ditabur ke dasar laut dengan nisbah 560kg/ha. Ia juga boleh dikawal dengan membina tempat ternakan yang tidak menyentuh kawasan dasar.

Siput halia

Siput ini hidup kawasan dasar dan ia tidak boleh berenang. Cara mencegahnya boleh dilakukan dengan membina tempat ternakan yang tidak menyentuh kawasan dasar.

Cacing Lecur

Kesan serangan akan menyebabkan tumbesaran tiram terencat dan lecur-lecur hitam di bahagian dalam kulit tiram. Jika kadar serangan tinggi, ia boleh menyebabkan kematian akibat infeksi sekunder. Cara membunuh cacing ini, dedahkan tiram-tiram ke udara selama 24-48 jam, atau rendamkan tiram-tiram tersebut ke dalam larutan garam yang tinggi kemasinannya.

Bunga Karang (Sponge)

Tumbesaran tiram-tiram juga mungkin terencat atau boleh mengakibatkan kematian sekiranya kulit tiram diselaputi dengan banyak oleh bunga karang. Biasanya bunga karang menyerang tiram dewasa dan akan menyebabkan kulit tiram menjadi rapuh dan mudah pecah. Cara mengatasinya, berus lapisan bunga karang yang masih tipis.

Askidian

Askidian tumbuh pada permukaan kulit tiram dan boleh menyebabkan tumbesaran tiram terencat ataupun mati. Askidian boleh dicegah dengan menggunakan berus.

Siput sudu pada tiram

Siput Kampis pada tiram

Tertip pada tiram

Lain-lain Musuh Tiram

Lain-lain musuh tiram ialah pesaingnya :-

-Siput sudu

-Teritip

-Siput kampis

Siput rantai

Masalah pesaing ini berlaku terutamanya pada musim kemarau. Masalah ini juga didapati di kawasan ternakan yang berhampiran dengan laut.

Pesaing-pesaing perlu dibuang atau dibunuh kerana ia menyebabkan tumbesaran tiram terencat, tiram-tiram terpaksa berkongsi ruang serta makanan.

Untuk menjalankan ternakan secara komersial, diperlukan sekurang-kurangnya 8 unit rakit/sangkar dan bekas ternakan yang paling efisen untuk ternakan ini ialah raga. Setiap rakit/sangkar dianggarkan boleh digantung raga sebanyak 1050 buah. Setiap raga boleh diisi dengan benih tiram sebanyak 50 biji. Kadar hidup ternakan ini agak tinggi iaitu dianggarkan diantara 80%-90%.

PROJEK TERNAKAN KERANG

Ternakan Kerang Anadara Granosa

PENGENALAN

Ternakan kerang bermula dalam tahun 1984 oleh seorang ketua kampung di Bagan Pancor, Perak. Percubaan ini telah berjaya dan sejak itu ternakan kerang berkembang luas di sepanjang kawasan paya bakau di Pantai Barat Semenanjuga dan dianggarkan keluasan kawasan berpotensi ialah 28,540 hektar. Spesis kerang yang biasa diternak di Malaysia ialah jenis Anadora Granosa. Ia mepunyai pasaran yang baik di negara jiran khususnya Thailand dan Singapura.

Ternakan ini mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan ternakan yang lain di antaranya :-

– Kaedah ternakan yang mudah

– Pengurusan dan penjagaan yang minima

– Memberi pulangan/keuntungan yang memuaskan.

– Mempunyai potensi pasaran dengan harga yang menggalakkan.

Sehingga kini ternakan kerang dilakukan secara kultur separa iaitu bergantung bekalan benih semulajadi. Benih kerang boleh dihasilkan secara asuhan tetapi perbelanjaannya adalah tinggi dan kadar hidupnya terlalu rendah.


PERSEDIAAN UNTUK TAPAK TERNAKAN

Pemilihan kawasan yang sesuai adalah berdasarkan kepada tanah dan air iaitu:-

1. Kawasan yang terlindung dari arus dan ombak laut.
2. Keadaan dasar laut yang berlumpur halus dan lembut dengan ketebalan 46-76 cm. Sebaliknya tekstur tanah mengandungi 50-80% liat dan selebihnya kelodak.
3. Kemasinan air sekitar 18(ppt)
4. Kecerunan dasar tapak ternakan yang sederhana.
5. Kawasan bebas dari pencemaran dan musuh.

Kawasan yang dikenalpasti sesuai terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan dari kerajaan negeri untuk memperolehi lesen hak milik sementara (TOL). Keluasan yang ekonomi bagi individu untuk menjalankan ternakan ini adalah 10 hektar (+25 ekar).

Jenis kerang yang diternak adalah dari sepsis (Anadara Granosa)

Kawasan yang sesuai untuk menjalankan ternakan kerang

PENGUTIPAN BENIH

Benih-benih kerang biasa terdapat di kawasan daratan berlumpur seperti di pergigian hutan bakau atau muara-muara sungai. Pengutipan benih dibuat setelah ia mencapai saiz antara 4-10 mm. Pengutipan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai, dulang kayu dan sekeping papan. Alat ini ditarik melalui permukaan lumpur beberapa kali kemudian dibersihkan untuk mengasingkan benih kerang dengan lumpur. Pengutipan benih biasanya menggunakan sampan di kawasan semulajadi semasa air surut.

Harga benih kerang bergantung pada saiz benih, untuk saiz 1,000-3,000 biji/kg harganya dianggarkan RM60.00/guni.

Saiz benih kerang yang ditabur ialah 6.4cm.

MENABUR BENIH KERANG DI TAPAK TERNAKAN

Kerja-kerja penaburan benih dibuat dengan menggunakan bot. Sebelum taburan benih dibuat, cengkerang-cengkerang dan musuh-musuh kerang (siput pengorek) perlu dibuang. Penaburan benih perlu dibuat pada cuaca yang baik dan keadaan air mula pasang.

Benih perlu ditabur sebaik sahaja ianya sampai ke tapak projek untuk mengelakkan kematian benih akibat tekanan (stress). Penaburan benih perlulah sekata supaya kerang membesar dengan baik. Kadar penaburan benih adalah bergantung kepada saiz benih dan kesesuaian kawasan.

MENGUBAH SELERAK KERANG DAN MEMBUANG PEMANGSA

Dalam tempoh 3-4 bulan setelah benih ditabur, kepadatan kerang perlu diperiksa. Sekiranya didapati tidak sekata maka ia perlu diubah selerak untuk menghasilkan tumbesaran kerang yang cepat.

Semasa aktiviti ubah selerak dibuat musuh-musuh kerang mesti dikutip/ditangkap dan dibuang/bunuh. Di antara musuh-musuh kerang ialah siput duri, siput belitung kecil, siput umum, siput halia, siput bintang dan ikan pari.

Saiz kerang kerang dewasa yang mencapai saiz pasaran ialah 3.8cm.


PEMELIHARAAN HINGGA KE SAIZ PASARAN

Untuk mencapai saiz pasaran iaitu 80-100 biji/kg (70 biji/kati) biasanya ternakan ini mengambil masa 12-18 bulan bermula dari tarikh benih ditabur. Tumbesaran kerang dipengaruhi oleh kesuburan tapak, mutu air, saiz benih yang ditabur dan kepadatan.

PENGENDALIAN PUNGUTAN KERANG BESAR

Sebelum hasil ternakan dipungut untuk dipasarkan, penganggaran stok perlu dibuat bagi mengetahui kuantiti stok kerang tersebut untuk dijual secara runcit atau tender. Pungutan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai, secara asasnya alat ini sama dengan alat pengutipan benih cuma jarak dawai (mesh size) adalah lebih besar.

 

Aktiviti Pengendalian Pungutan Kerang ini ialah :-

1. Menggoncang alat mengutip kerang tersebut.
2. Simpan sementara di dalam bot hingga didaratkan ke pangkalan
3. Mengasingkan kerang daripada sampah, cengkerang-cengkerang kosong dan siput-siput lain.
4. Mengisi kerang ke dalam guni dengan anggaran 70 kg/guni.
5. Mengangkut kerang untuk dijual kepada pemborong atau peruncit.

HASIL PENDAPATAN

Pengiraan hasil pendapatan berdasarkan perkara berikut:

Saiz bersih kerang – 2,000 biji/kg

Taburan benih – 50 guni/ha

Tempoh ternak -18 bulan

Luas kawasan ternak – 10 ha

Kadar Hidup – 50%

Saiz Pasaran – 100 biji/kg

Harga Kerang Besar – RM 25.00/guni

1 Guni – 70 Kg

Jualan

1,000 guni/ha x Rm45/guni x 10ha x 50% RM225,000

Kos Operasi

Benih Kerang

50 guni/ha x 10 ha x RM150/guni RM75,000

Upah Tabur RM 10,000

Upah Selerak dan Cuci Kawasan RM15,000

Jumlah RM100,000

Penyelenggaraan

Penyelenggaraan Bot RM5,000

Minyak Bot RM10,000

Penyelenggaraan Enjin/pancang kawasan RM5,000

Penyelenggaraan Pondok RM3,000

Lain-lain RM2,000

Jumlah RM25,000

Kos Pengurusan

Bayaran Tol (250×20) x 18 bulan RM10,000

Gaji 2 orang jaga (2×650) RM23,400

Luar Jangka RM10,000

Jumlah RM43,400

Jumlah Besar/Perbelanjaan RM168,400

Pendapatan

Pendapatan Kasar / pusingan RM56,600

(Jualan- Perbelanjaan)

Pendapatan Bulanan

(dalam masa 18 bulan) RM3,144.00

MASALAH

Masalah yang mungkin dihadapi dalam ternakan kerang pada masa ini ialah:

  • Bekalan Benih tidak tetap
  • Kecurian
  • -Musuh-musuh kerang (pemangsa)
    -Pencemaran air (Buangan Perindustrian)

    Siput Halia ialah salah satu musuh utama kerang

    BANTUAN

    Pihak LKIM menyediakan khidmat nasihat teknikal seperti menjalankan kajian kesesuaian kawasan dan juga pemasaran hasil ternakan.

    Peluang pelaburan dalam projek ternakan adalah terbuka kepada semua terutamanya Persatuan Nelayan, kumpulan nelayan dan juga perseorangan.

    Seksyen Pembangunan Akuakultur
    Bahagian Pembangunan Industri Nelayan
    Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
    Tingkat 11, Wisma PKNS
    Jalan Raja Laut,
    50350 Kuala Lumpur
    Tel: 03-26177000

    TERNAKAN UDANG HARIMAU SECARA INTENSIF

    Udang Harimau Penaeus Monodon

    > PENGENALAN
    Udang Harimau (Penaeus Monodon) adalah alah satu jenis udang air payau / laut yang sesuai diternak di kolam kerana ianya mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan kadar tumbesaran yang cepat.
    Di Malaysia akhir-akhir ini, usaha menternak udang harimau sedang berkembang pesat dengan semakin bertambahnya penglibatan dari pihak swasta, agensi kerajaan dan juga orang perseorangan.
    Antara faktor yang menggalakkan penternakan udang harimau adalah

  • Terdapatnya banyak kawasan yang berpotensi.
  • Permintaan yang tinggi
  • Jaminan harga pasaran yang baik di dalam negeri mahupun di luar negara. Contoh:
  • Pada masa ini harga pasaran bagi udang yang bersaiz dalam lingkungan 25-35 ekor/kg ialah di antara RM 20 –RM 30/kg.

    Penglibatan pihak kerajaan dan swasta dalam membangunkan ternakan udang harimau seperti LKIM

  • Penggunaan teknologi tinggi dalam ternakan.
  • KRITERIA YANG SESUAI UNTUK PEMILIHAN TAPAK

    Kriteria-kriteria asas yang perlu diambilkira sebelum kolam dibina adalah seperti berikut:-

  • Berhampiran dengan punca air payau/laut yang mempunyai kadar kemasinan 15-30ppt. Dan ianya mestilah juga bebas dari pencemaran (seperti bahan buangan industri dan pertanian).
  • Mempunyai kemudahan infrastrukturseperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan sebagainya.
  • Berhampiran dengan pusat penetasan.
  • Keadaan tanah yang berupaya menakung air seperti liat berpasir ataupun liat dimana kemasaman pH 6.5-8.5 (basah)
  • Mempunyai modal yang mencukupi mengikut keperluan sistem ternakan yang akan dijalankan.
  • Mempunyai strategi pemasaran yang baik.
  • PEMBINAAN KOLAM

    1. Kolam boleh dibina antara saiz 0.3 – 1.0 hektar luas permukaannya dan kedalaman antara 1.5m – 2.0 m.Pembinaan kolam hendaklah berhampiran dengan punca air.

    2. Saluran air masuk dan keluar perlu dibina untuk kemudahan pertukaran air semasa pemeliharaan udang dan ia juga perlu untuk pengeringan air selepas hasil dikutip. Penggunaan pam untuk memasuk dan mengeluarkan air boleh digunakan tetapi melibatkan tambahan kos.

    3.Untuk ternakan secara intensif susun atur,reka bentuk dan pembinaan kolam mestilah dibuat dengan bijak dan berhati-hati, terutamanya aspek asas yang penting iaitu ban, pintu air masuk dan keluar. Jika pembinaannya betul dan mematuhi kehendak, kejayaan berterusan operasi akan dapat dicapai bagi kaedah ternakan secara intensif.

    4. Sistem air kolam intensif.
    a. Punca air
    b. Sistem pam
    c. Kolam takungan
    d. Pintu air masuk/keluar

    5. Reka Bentuk Kolam Intensif
    a. Kedalaman 1.3m-1.5m
    b. Lerengan ikut jenis tanah 1:2, 1:1, 2:1
    c. Kecerunan dasar 1: 200
    d. Saiz kolam 0.5 – Iha.
    e. Pintu air masuk dan keluar.

    PENYEDIAAN KOLAM

    Sebelum ternakan dijalankan, kerja-kerja penyediaan kolam perlu dilakukan. Tempoh penyediaan kolam berbeza mengikut cuaca, keadaam kolam dan masalah setempat.
    1. Pembuangan Lumpur:
    -Lumpur hitam perlu dirawat atau dibuang setiap kali selepas sesuatu pusingan ternakan dijalankan samada secara mekanikal, biologikal atau menggunakan bahan kimia.
    -Cara mekanikal boleh dibuat dengan menggunakan jentera, pam atau mengalirkan melalui pintu
    -Cara biologikal iaitu menggunakan bakteria yang boleh mengeluarkan enzim untuk menghalang pembentukan lumpur hitam.
    -Cara kimia pula adalah dengan menggunakan bahan seperti Calcium peroxide, Potassium permanganate, Zeolite, Iron oxide dan Ozone.

  • Penjemuran :
  • Penjemuran dibuat sehingga dasarnya retak, biasanya 1 hingga 2 minggu bergantung pada cuaca. Tujuannya untuk mengoksidakan bahan organan atau lumpur hitam.

  • Membaiki Sturuktur Kolam
  • Pemeriksaan rapi perlu dibuat agar sebarang kerosakan boleh diatasi/baiki segera sebelum ternakan diteruskan termasuk memasang jaring pada pintu air.

  • Mengapur
  • Kapur adalah untuk meneutralkan kandungan asid tanah dan mengurai bahan organan serta mengurangkan pengumpulan bahan kimia yang toksik pada udang.

    5. Kawalan Perosak/Pemangsa :
    Pengeringan sepenuhnya serta menggunakan penapis yang sesuai boleh mengawal ikan-ikan pemangsa. Bagi kolam yang tak boleh dikeringkan sepenuhnya maka penggunaan racun perlu digunakan.
    6. Pemberian Makanan :
    Makanan biasanya diberi 3- 4 kali sehari.Jenis makanan pellet yang diberi mengikut saiz udang.

    PENGGUNAAN PERALATAN MEKANIKAL

  • ‘Automatik Feeder’
  • –Tidak memerlukan tenaga buruh
    -Jimat kos.
    – Mengelak pembaziran
    – Waktu pemberian makanan lebih tepat.

  • Sludge Pump.
  • -Kaedah mekanikal untuk mencuci dasar kolam.

    Kolam HDPE
    -Dasar kolam lebih bersih.
    -Ruang untuk udang makan lebih luas.
    -Mengelak kebocoran kolam.

    PARAMETER YANG SESUAI UNTUK TERNAKAN UDANG HARIMAU SECARA INTENSIF
    -Oksigen Terlarut – 5 ppm
    -pH – 7.5-8.5
    -Hardness – 70 ppm (masalah warna air jika kurang 50 ppm)
    -Suhu – 27-32
    -Karbon Dioksida – <2 PPM
    -Copper – <0.1 ppm
    -Hydrogen Sulfid – <0.1 ppm
    -Saliniti – 15-25 ppt
    – Ketelusan – 30-60 cm
    -Kedalaman air – 1.3 -1.5 m

    CIRI-CIRI RINGKAS UNTUK MEMILIH BENIH UDANG YANG BERKUALITI

  • Bentuk dan Sifat:
  • Keadaan benih yang aktif, saiz sekata, warna dari coklat muda ke coklat, badan yang tidak melengkung, uropod (sirip ekor) sentiasa kembang.
  • Analisis Mikroskopik:
  • Benih bebas dari organisma seperti Zootharnnium, Epistylis dan Detritus Antenanya (sesungut) panjang lurus dan rapat.
  • Badan mesti bersih dari kotoran, licin dan jernih.
  • Rostrall spines 6-7
  • Otot dalam segmen abdominal ke 6 cukup lengkap penuh dengan kulit.
  • KUALITI AIR

  • Oksigen Terlarut (D.O):
  • 1. Air dapat menampung oksigen yang rendah pada suhu yang tinggi. D.O. akan lebih tinggi pada suhu yang rendah. Perkara yang sama berlaku pada siliniti. D.O. rendah pada siliniti tinggi dan D.O. tinggi pada siliniti rendah.
    2. Bagaimana D.O. Memasuki Air:
    a. Air yang mempunyai D.O yang rendah perlu diganti dengan air baru yang mempunyai D.O yang tinggi.
    b. Bloom (plankton) dan alga di dasar kolam menambah D.O. semasa siang (Fotosintisis).
    c. Udara diserapkan kedalam air melalui ombak, hujan, pam dan kincir angin.

  • Apabila D.O<3.0 ppm ketegangan mula berlaku. Udang akan berenang ke permukaan air dan ke tepi kolam. Apabila D.O < 1.5ppm udang akan mulai mati.
  • SALINITI

  • Udang membesar dengan baik pada saliniti air yang rendah. (10-20 ppt). Saliniti dalam tahap biasa adalah diantara 12-15ppt. Apabila saliniti melebihi 15ppt, air dalam badan udang akan meresap keluar. Untuk mengganti kehilangan air, udang mestilah mengepam air dari luar badan ke dalam badan. Tenaga pam ini menggunakan makanan yang sepatutnya digunakan untuk tumbesaran udang. FCR akan bertambah kerana lebih makanan akan digunakan untuk menjalankan pam tersebut.
  • SUHU

  • Pada suhu tinggi( >35 C ) banyak kejadian berlaku dengan cepat. Udang mengalami tekanan, mudah dijangkiti penyakit serta D.O. dan pH berubah dengan cepat.
  • Suhu yang tinggi menyebabkan :
  • Air kolam akan menampung D.O yang sedikit.
  • Udang membesar dengan cepat dan memerlukan lebih makanan.
  • Bloom dan komuniti dasar cepat membesar.
  • Pengurusan kolam menjadi lebih sukar apabila suhu meningkat.
  • PUNGUTAN HASIL

    Selepas 3-5 bulan udang sudah sampai ke saiz pasaran. Udang boleh dipungut dengan cara:

    i.. Tangkapan sebahagian, iaitu menggunakan pukat, tangkul, pukat perangkap, jala dan pukat permindahan terbuka.
    ii. Tangkapan semua, iaitu menggunakan pukat keroncong dan pukat tarik.

    ANALISA PENDAPATAN & PERBELANJAAN UNTUK 1 PUSINGAN
    -Pendapatan: Jualan (RM 17.00/kg ) RM 76,500
    -Kos Operasi : Penyediaan Kolam – 1,000

    Benih 5,400
    Makanan 31,500
    Letrik 12,000
    Buruh 2,000
    Pelbagai 2,000
    Jumlah = 53900
    Lain-lain kos: Pengurusan 1,500
    Penyelenggaraan 2,000
    Jumlah 3,500
    JUMLAH BESAR 57,400
    UNTUNG BERSIH 19,100

    NOTA
    Saiz kolam – 1 hektar
    Kepadatan – 30 ekor/m2
    Tempoh Ternakan – 120 hari
    Kadar Hidup – 60%
    Saiz pasaran – 40 ekor/kg
    FCR – 2.0
    Tuaian – 4.5 mt
    Kaedah ternakan secara intensif adalah satu perniagaan yang memberi pulangan yang lumayan tetapi ianya berisiko tinggi, dimana ia memerlukan kawalan dan pengurusan yang berpengalaman luas. Banyak pengurusan kolam gagal kerana tiada dan kurang berpengalaman awal dalam industri ini. Masalah ini biasanya berkaitan dengan perngurusan air yang tidak baik berpunca dari kelemahan pengurusan, reka bentuk kolam, aspek teknikal, hatchery dan sistem kolam pembesaran tersebut.