Langkah bijak jika ceburi ternakan ikan secara organik

ADA sesuatu yang menarik dalam trend pemakanan masa kini. Rata-rata di seluruh dunia, kalangan yang celik diet sihat memilih makanan yang disediakan secara organik.

Sayur, susu soya, daging dan susu lembu serta lain-lain disediakan secara semula jadi. Bak kata Charlotte Vallaeys, Penganalisis Polisi Ladang dan Makanan dari Institut Cornucopia di United Kingdom, bahawa ramai pengguna menyedari makanan organik mengurangkan pendedahan mereka kepada racun perosak, hormon dan antibiotik. Tetapi kajian menunjukkan makanan organik turut menawarkan mutu pemakanan yang hebat.

Kalangan warga di negara maju semakin taksub kepada makanan organik. Di Malaysia, makanan organik kebanyakan diambil kalangan pengguna kelas atas dan pertengahan. Sayur organik yang segar hanya dijual di pasar raya.

Kita bercakap mengenai makanan organik kerana melihat betapa sebagai sebuah negara yang turut meletakkan harapan dan bekalan kepada akuakultur maka pengusaha harus meneroka ternakan ikan secara organik.

Kita tahu makanan ikan sesetengahnya ikan mentah. Sesetengah lain sekadar dedak seperti yang dimakan ayam ternak. Lazimnya dalam makanan segera ada peratusan tertentu bahan antibiotik dan hormon pembesaran.

Tujuannya supaya hasil ternakan lebih sihat dan cepat membesar di luar tempoh normal. Jelas, pengambilan makanan berasaskan hasil ternakan turut mengundang pelbagai kesan.

Tetapi jika penternak akuakultur menukar skop perusahaan mereka dengan memperkenalkan makanan ternakan yang organik pasti nilai ternakan boleh ditingkatkan. Ini pasti lebih menguntungkan. Pengguna juga akan lebih sihat dan mendapat kesan baik daripada nutrisinya.

Contoh kehebatan makanan organik ialah susu organik mengandungi sekurang-kurangnya lebih 64 peratus Omega 3 berbanding susu konvensional. Susu organik juga mengandungi paras lebih tinggi asid CLA yang akan mempertingkatkan sistem ketahanan badan.

Tomato organik mengandungi lebih vitamin C, kerotin beta dan flavonoid yang ternyata berkesan untuk menghadapi ancaman barah dan penyakit jantung selain mengandungi lycopene – bagus mengatasi penuaan kulit, kencing manis serta osteoporosis.

Kini ada kecenderungan mencampurkan asid Omega daripada ikan ke dalam susu organik untuk menghasilkan susu lebih berzat serta bermutu tinggi.

Saya tidak tahu bagaimana makanan organik boleh diberi kepada pelbagai ternakan akuakultur.

Kalangan penyelidik dan saintis pemakanan tahu bagaimana menyediakan sumber dan formula makanan itu.

Namun yang lebih penting ialah ada kecenderungan yang mendalam di kalangan pengguna masa kini untuk membeli makanan organik yang disahkan lebih baik untuk kesihatan dan tumbesaran.

Adalah langkah bijak jika pengusaha tempatan boleh membekalkan ikan yang diternak secara organik.

Pengusaha siakap dan kerapu di Terengganu yang dilaporkan cergas menghasilkan ternakan mungkin boleh meneroka ternakan ikan organik sekiranya mereka mahu meneroka ruang pasaran yang maha luas di Eropah serta negara maju lain di rantau Asia Pasifik.

Contohnya, pasaran makanan organik di United di Kingdom berkembang 30 peratus tahun lalu tetapi masalah yang dihadapi ialah soal bekalan tidak mencukupi!

Ini bukan cadangan tin kosong (lebih bunyi daripada isi). Saya dalam meneliti beberapa laman web mengenai trend makanan organik di seluruh dunia mendapat bekalannya sangat terhad dan sering kehabisan bekalan.

Justeru bidang pertanian negara harus menjurus kepada penghasilan yang organik bagi membolehkan petani dan penternak menikmati hasil lebih lumayan manakala pengguna memperoleh bekalan makanan yang bersih, sihat dan lebih berzat.

PERNIAGAAN IKAN BERPOTENSI LAHIRKAN RAMAI USAHAWAN

IKAN bukan calang-calang perniagaan. Ia produk yang sangat tinggi mutu komersilnya. Bayangkan, dalam berita ada menyebutkan Terengganu ada 10 jutawan yang senyap-senyap membina kekayaan hasil ternakan ikan siakap. Itu baru kes yang membabitkan segelintir pengusaha Melayu atau Bumiputera.

Sebenarnya, ada ratusan jutawan lahir daripada industri membabitkan ikan. Di Johor ada syarikat menternak ikan arowana atau kelisa yang dieksport ke seluruh dunia. Ada berpuluh lagi pengusaha yang menternak ikan hiasan juga untuk dieksport. Mereka sudah lama menjadi jutawan.

Di Selangor dan Perak juga ramai jutawan ikan. Mereka menternak keli, patin, haruan, ikan hantu (ketutu), flower horn, discus dan pelbagai spesies lagi.

Ikan kelah juga kini sudah dikomersilkan. Pengusahanya juga berpotensi menjadi jutawan jika dikira harga sekilogram kelah di pasaran sekarang.

Ternakan udang dan belut juga sudah lama melahirkan jutawan. Malangnya, majoriti ternakan itu tidak membabitkan pengusaha Melayu.

Industri ternakan kerapu, bawal pinang, merah pucat, kakap merah, jenahak tanda dan senangin Taiwan juga sekian lama sudah melahirkan puluhan jutawan tetapi juga bukan kalangan Melayu.

Ternakan ikan dalam sangkar di laut dalam juga belum berani diceburi pengusaha Melayu. Justeru, di mana peluang Melayu dan Bumiputera untuk berkongsi kek dalam industri akuakultur?

Apakah cukup sekadar menternak tilapia dan keli Afrika secara kecil-kecilan? Apakah pengusaha Melayu harus mencatu makanan atau dedak ikan (sehingga ikan lambat membesar) dek kerana tidak mampu membeli stok makanan? Kenapa jarang Melayu membina kolam menternak udang?

“Saya beranggapan sudah tiba masanya, usahawan Melayu turut menguasai sebahagian ruang dalam industri akuakultur. Sediakan dana dan lakukan program penggalakan. Sediakan program latihan intensif dan komersil. Ajar selok-belok berniaga dan pengurusan. Semuanya khusus untuk akuakultur.”

Justeru, cerita akuakultur pun sama halnya dengan sikap pandang sepi membiarkan industri sukan memancing yang sebenarnya berpotensi maju dan melahirkan tekong berada.

Daripada terus-terusan menyuruh mereka menjadi nelayan, adalah lebih baik jika mereka diajar menjadi tekong mahir membawa bot pancing.

Ada berpuluh ribu pemancing yang ‘gila’ ke laut dan sanggup ‘melabur’ untuk memuaskan hobi mereka. Kenapa hobi mereka tidak dikomersilkan oleh nelayan?

Tetapi siapa yang akan menggerakkan semua ini?

Usahawan Peladang Jaya Encik Che Azmi Bin Che Mahmood


Encik Che Azmi Bin Che Mahmood, berusia 49 tahun adalah seorang anggota polis berpangkat Inspektor berasal dari Negeri Kelantan dan kini beliau dan keluarganya menetap di Sri Manjong, Perak. Minatnya didalam projek tanaman mangga ini bermula sejak 18 tahun yang lalu dengan permulaan tanaman seluas 20 ekar di Lekir, Sitiawan, Perak sehinggalah membawa kepada persaraan awal beliau sebagai anggota polis.

Walaubagaimanapun 10 tahun kemudian beliau telah memindahkan projek tersebut ke Kampung Permatang, Sri Manjung diatas tanah milik sendiri seluas 4 ekar dan tanah wakaf milik Jabatan Agama Islam NegeriPerak (JAIP) seluas 16 ekar. Pihak JAIP telah memberikan hak menyewa tanah tersebut selama 30 tahun dengan kadar sewa sebanyak 10% daripada keuntungan bersih projek. Sewa dibayar kepada Masjid Nurul Hidayah, Sri Manjong dan sehingga kini beliau telah mengusahakan tanah tersebut selama 14 tahun. Hasil usaha beliau ternyata berjaya memberikan pulangan yang lumayan iaitu 240 tan metrik buah mangga yang bernilai RM360,000 dengan keuntungan bersih RM300,000 setahun. Beliau seorang yang berpandangan jauh dan yakin dengan kejayaan yang bakal diperolehi dengan usaha yang dijalankan dalam bidang pertanian. Lokasi tanaman mangga di Lekir telah digantikan dengan projek ternakan udang galah. Kesungguhan beliau mengusahakan projek ternakan udang galah tersebut terbukti kejayaannya sehingga dinobatkan sebagai Usahawan Ikan Jaya Kebangsaan Tahun 2001. Beliau mengusahakan sebanyak 18 buah kolam dengan purata hasil sebanyak 18 metrik tan bernilai RM540,000 dan pendapatan bersih RM270,000 setahun. Sebahagian perbelanjaan projek ternakan udang galah ini dibiayai dibawah Program Pembangunan Usahawan Peladang, Lembaga Pertubuhan Peladang sebanyak RM50,000.

Setelah mempunyai pasaran yang kukuh, beliau telah membesarkan lagi projek tanaman mangga tersebut di 2 buah lokasi, iaitu di Changkat Tin seluas 650 ekar dan Tronoh Mine seluas 146 ekar. Tanah tersebut disewa secara pajakan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dengan kadar sewaan sejumlah RM5,000/ekar selama 60 tahun. Disamping mengusahakan projek sendiri, beliau turut membantu melahirkan usahawan-usahawan peladang yang berminat mengusahakan projek tanaman mangga menerusi program mentor mentee. Di Changkat Tin, beliau telah mengadakan usahasama dengan SADC menganjurkan program mentor mentee dimana tanah seluas 150 ekar telah ditanam dengan tanaman mangga yang melibatkan seramai 302 orang mentee. Disamping itu, tanah milik beliau sendiri seluas 50 ekar juga telah ditanam dengan mangga. Sementara itu tanah seluas 60 ekar di Tronoh Mine juga telah dibangunkan dibawah program mentor mentee dengan PPK Manjung Selatan. Ia diusahakan dengan tanaman mangga sejak 2 tahun lalu melibatkan 10 orang mentee. Dengan dibantu oleh seramai 5 orang pekerja tetap, beliau mampu menguruskan ladang mangganya dengan baik sehingga berjaya mendapatkan pensijilan Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM).

Setiap tahun mangga beliau mengeluarkan hasil bermula bulan Mei hingga November. Secara purata, bagi setiap musim beliau mampu meraih hasil hingga 30 m/tan bagi setiap ekar. Kebanyakan hasil dipasarkan secara kontrak pemasaran dengan FAMA pada harga antara RM1.80/kg hingga RM2.60/kg bagi gred A dan B. Manakala bagi gred C adalah untuk dijual kepada pemborong di Kuala Lumpur dan sekitar Negeri Perak pada harga antara RM1 – RM1.50/kg. Disamping tanaman mangga, beliau turut manfaatkan sepenuhnya kegunaan tanah tersebut dengan mengusahakan ternakan ikan air tawar seperti tongsan, kap rumput, tilapia hitam dan lampam di tasik yang sedia ada dikawasan tersebut secara usahasama dengan pihak swasta. Bagi setiap pusingan beliau akan menternak 60,000 ekor tongsan, 10,000 ekor kap rumput, 20,000 ekor lampam dan tilapia hitam membiak secara semulajadi. Dengan kadar kematian sebanyak 20% beliau berupaya memperolehi hasil bersih sebanyak RM240,000 bagi ikan tongsan, RM96,000 bagi ikan kap rumput dan RM16,000 bagi ikan lampam, manakala ikan tilapia hitam dijual dengan harga RM1.10/kg.

Lihat berita penuh di file ini: cheazmimahmood.pdf

Muhyiddin Mahukan Penyertaan Lebih Luas Syarikat Dlm Ternakan Tilapia

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan penyertaan lebih luas syarikat-syarikat dalam ternakan tilapia memandangkan permintaan yang besar bagi ikan berkenaan.

Beliau berkata tilapia popular di seantero dunia oleh kerana ia boleh menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza-beza.

Menteri itu berkata, ikan tersebut yang berasal dari Afrika dan Timur Tengah, adalah ikan ternakan kedua paling popular selepas karp.

“Ia kini berkembang menjadi satu daripada spesies paling penting selepas salmon dan udang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Tilapia Antarabangsa 2007 di sini.

Seminar tiga hari itu akan menyaksikan tokoh-tokoh industri, penggubal dasar dan akuakulturis dari Eropah, Amerika dan Asia membincangkan, antara lain, potensi pasaran bagi ikan tersebut.

“Pada 2005, pengeluaran global tilapia adalah kira-kira 2.3 juta tan metrik dan perdagangan tertumpu kepada beberapa negara, dengan Amerika Utara (Amerika Syarikat dan Kanada) sebagai pengimport terbesar,” kata Muhyiddin.

China pengeluar terbesar tilapia dengan pengeluarannya mencecah hampir satu juta tan metrik pada 2005, dan juga pengeksport terbesar, tambahnya.

Muhyiddin berkata industri akuakultur Malaysia akan mengikuti jejak langkah itu, memandangkan jumlah hasil akan meningkat dalam masa terdekat.

Tahun lepas, industri tempatan mencatatkan pengeluaran kira-kira 203,000 tan metrik bernilai RM1.3 bilion.

“Potensi keseluruhan bagi pembangunan akuakultur dianggarkan kira-kira 330,200ha tanah, darinya 35,000ha dijangka dimajukan menjelang 2010,” kata beliau.

 

Sebuah bank saudagar, katanya, telah dilantik menghasilkan prospektus, yang termasuk maklumat mengenai kawasan berpotensi, bagi syarikat-syarikat yang berminat dalam projek itu.

“Saya telah mengarahkan Bank Pertanian bekerjasama dengan institusi kewangan lain bagi menawarkan pakej kepada pelabur, termasuk bantuan pinjaman untuk membiayai projek itu,” kata Muhyiddin.

Di Malaysia, kata menteri itu “Tilapia Merah” popular di kalangan penduduk kampung untuk waktu makan.

— BERNAMA

JORIAH PENTERNAK UDANG YANG BERJAYA

Oleh: AMELIA HASHIM

SIKAP berani mencuba dan tidak gentar mengalami kerugian akhirnya membuahkan hasil yang lumayan. Begitupun, sekiranya tidak ada modal yang mencukupi juga bukan alasan untuk tidak mahu melakukan apa-apa kegiatan.

Bidang ternakan udang galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii, memang kebanyakan diusahakan oleh kaum lelaki. Begitupun Puan Joriah Ahmad 42, dari Kampung Bukit Hangus, Daerah Sik menjadi ahli Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Sik seperti mendapat laluan untuk menambah pendapatan sampingan.

Menerusi Projek Pembangunan Manusia Berasaskan Kampung (PPMBK) telah menjalankan projek ternakan udang galah sejak tahun 1996. Kini sebanyak 25 buah kolam dibina atas tanah seluas 6.8 hektar. Puan Joriah antara 25 peserta telah menyewa salah sebuah kolam untuk diusahakan bersama keluarganya.

Katanya, kali ini masuk kali ke tiga ternakan udang galah yang diusahakan mengeluarkan hasil. Sekali pengeluaran mengambil masa enam bulan dari tarikh memasukkan benih ke dalam kolam.

Menjalankan projek ini tidak memerlukan penjagaan rapi kerana jadual memberi makan hanya dua kali sehari, kata Puan Joriah yang dibantu oleh anak-anak seramai empat orang.

“Sebelum ini mengusahakan tanaman cili tetapi mengalami kerugian disebabkan keadaan tanah yang tidak sesuai dan juga serangan serangga,” katanya.

Sejak beralih kepada ternakan udang galah pendapatan keluarga bertambah kerana sudah dua kali tuai mendapat keuntungan yang lumayan iaitu sekitar 400 kilogram sekali pengeluaran dan harga dipasaran dianggarkan lebih RM25 sekilogram.

Beliau berasal dari Jeneri dan cuma berkelulusan sekolah rendah sahaja sebelum menjadi surirumah sepenuh masa, katanya. Projek ini terletak di Unit Peladang Kampung Banggol, Mukim Jeneri yang asalnya tanah terbiar. Kawasan yang berbukit-bukit itu sesuai untuk projek ini yang airnya dialiri turun daru Sungai Jeneri

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memperuntukkan lebih RM350,000 bagi menjayakan projek ini yang sebahagiannya telah diberi secara gran dan selebihnya pinjaman perlu dibayar balik oleh peserta. Bayaran ini digunakan semula sebagai modal untuk pusingan seterusnya.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sik sebagai badan pengurusan secara langsung termasuklah pembinaan kolam, bekalan benih, makanan dan pasaran. Manakala khidmat nasihat teknikal oleh Jabatan Perikanan.

Untuk masa ini udang galah mempunyai permintaan yang baik dan pasaran yang agak tinggi. Sekiranya pengurusan dijalankan dengan betul pengusaha jarang mengalami kerugian dan akan mendapat hasil dalam masa yang singkat.

KURSUS AKUAKULTUR 2007

OBJEKTIF KURSUS

1. Meningkatkan kemahiran penternak/pengusaha dengan kaedah dan amalan baik akuakultur yang moden dan mampan.

2. Meningkatkan produktiviti hasil ladang.

3. Memindahkan teknologi akuakultur kepada penternak/pengusaha.

4. Menerapkan ciri-ciri keusahawanan kepada penternak/pengusaha akuakultur.

KELAYAKAN PEMOHON

1. Warganegara Malaysia
2. Berumur di antara 18 hingga 60 tahun.
3. Mempunyai kesihatan yang baik.
4. Boleh membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu.
5. Belia digalakkan memohon.

KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN

1. Penginapan

2. Makanan dan minuman bagi kursus yang kurang daripada 15 hari.

3. Tambang perjalanan bas/keretapi kelas 3 pergi dan balik.

4. Elaun gantian pendapatan bagi penternak/pengusaha dan nelayan sepenuh masa mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Syarat Kelayakan Elaun Gantian Pendapatan

· Hanya untuk kursus yang kurang daripada 15 hari.

· Pemohon mestilah terdiri daripada peladang, penternak, nelayan dan yang berkaitan dengan aktiviti pertanian.

· Berpendapatan harian atau tidak tetap.

· Jumlah pendapatan sebulan tidak melebihi RM1,000.00.

· Pemohon tidak terlibat dengan mana-mana penajaan/penganjur.

PERMOHONAN

1. Permohonan hendaklah dibuat malalui Pejabat Perikanan Daerah atau negeri yang berhampiran dengan projek akuakultur

2. Menggunakan Borang KA1/04(pin3/2006) yang boleh diperolehi dari Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri.

3. Borang hendaklah diisi dengan lengkap serta dimajukan semula ke pejabat tersebut tidak lewat dari enam minggu sebelum kursus dijalankan.

4. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses.

5. Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan melalui surat tawaran oleh Pusat-Pusat Latihan.

Organisasi yang berminat untuk menghantar penyertaan secara berkumpulan bolehlah mengemukakan permohonan bertulis kepada Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya dan kursus akan dijalankan mengikut kemampuan pusat latihan.

Permohonan hanya sah untuk tahun semasa. Permohonan semula perlu dibuat untuk tahun berikutnya.

Wisma Tani, Aras 1 – 7
Blok Menara, Lot 4G2, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62628 Putrajaya
Tel : 03—88704000 ext 4652
Fax : 03—88891052
E-mel : hqhelp@dof.gov.my

Untuk Pertanyaan sila hubungi :

1. Cik Siti Fatimah Bt Arsa : 03 – 8870 4650

2. Pn. Wan Norlaila Bt Wan Ibrahim : 03 – 8870 4651

3. En. Mohd Nor Affendi B. Abdul Aziz : 03 – 8870 4641

PUSAT-PUSAT LATIHAN

Sebarang pertanyaan mengenai kursus yang dijalankan bolehlah dikemukakan kepada pusat-pusat latihan yang berkenaan.

· Kursus Akuakultur Air Tawar

1. Pusat Ikan Hiasan, Km 42 Jln Ipoh-K. Kangsar,
33600 Enggor, Perak
Tel : 05-7576300
Faks : 05-7578335
E-mel : pupae57@tm.net.my
(Peta Pusat)

2. Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok,
27030 Jerantut, Pahang
Tel : 09-2601113
Faks : 09-2601110
E-mel : ppaperlok@dof.moa.my
(Peta Pusat)

3. Pusat Pengembangan Akuakultur
06000 Jitra Kedah
Tel : 04 – 9171468
Faks : 04 – 9171468
E-mel

· Kursus Akuakultur Air Payau
1. Institut Akuakultur Marin Pulau Sayak, Kg. Pulau Sayak
08500 Kota Kuala Muda, Kedah
Tel : 04-4374021
Faks : 04-4374470
E-mel : pppbuk@po.jaring.my
(Peta Pusat)

2. Pusat Pengeluaran Dan Penyelidikan Ikan Laut, Tanjung Demong,
22200 Besut, Terengganu
Tel : 09-6956778
Faks : 09-6958626
E-mel : pppil@hotmail.com
(Peta Pusat)

3. Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau Gelang Patah
81550 Gelang Patah, Johor
Tel : 07-5101202
Faks : 07-5103015
E-mel pptap@tm.net.my

Cara-cara memohon

Menggunakan Borang KA1/04(pin 3/2006) yang boleh diperolehi dari Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri. Borang hendaklah diisi dengan lengkap serta dimajukan tidak lewat dari enam minggu sebelum kursus dijalankan.

[ Download Borang ] – Format PDF Fail

[ Download Borang ] – Format Excel

Senarai Kursus Yang ditawarkan

Kursus Akuakultur Air Payau

Kursus ini memberi pendedahan kepada pelatih tentang aspek penyedian, pengendalian serta teri dan amali mengenai teknik-teknik pembenihan dan pengurusan ikan marin, udang harimau, udang galah dan moluska. Terdapat juga ternakan ikan marin dalam system sangkar rakit dan kepungan serta ternakan dan pnegurusan udang marin dalam kolam

[ Sinopsis Kursus ] :: [ Jadual Kursus ]

Kursus Akuakultur Air Tawar

Kursus ini memberi pendedahan mengenai pelbagai pengetahuan dan kemahiran secara teori serta amali mengenai cara-cara, kaedah, prosedur dan pelaksanaan pengeluaran benih ikan air tawar.

[ Sinopsis Kursus ] :: [ Jadual Kursus ]

PROGRAM LATIHAN SANGKUT

Program Latihan Sangkut merupakan program lanjutan bagi penternak, kumpulan sasaran dan pihak industri menimba pengetahuan secara khusus melalui pengalaman bekerja sebenar di Pusat Pengembangan Akuakultur dalam menghasilkan sesuatu jenis ternakan akuakultur.

Objektif

Memberi peluang pengalaman kerja secara praktikal kepada penternak/pengusaha bagi meningkatkan kemahiran.

Syarat Kelayakan

  • Telah mengikuti kursus asas yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia di pusat-pusat latihan Jabatan.

  • Sedang mengusahakan projek ternakan akuakultur.

  • Sedang mengusahakan pusat pembenihan.


  • Bilangan Peserta

    Bilangan peserta adalah tertakluk kepada kemampuan operasi Pusat Pengembangan Akuakultur yang berkenaan.


    Pembiayaan

  • Semua kos adalah ditanggung oleh peserta.

  • Penginapan dan makan/minum tidak disediakan. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada keupayaan di Pusat Pengembangan Akuakultur.

  • Permohonan

  • Permohonan bertulis hendaklah dialamatkan ke Ibu Pejabat Perikanan dengan menyertakan bersama salinan sijil kursus yang telah dihadiri dan maklumat projek yang diusahakan.

  • Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan melalui surat tawaran oleh Pusat Pengembangan Akuakultur yang berkenaan.

  • Pertanyaan

    Sebarang pertanyaan mengenai kursus bolehlah diajukan ke Pusat Pengembangan Akuakultur yang berkaitan.

    Jabatan Perikanan Malaysia berhak meminda sebarang kursus yang dijadualkan tanpa sebarang notis.

    PUSAT DAN MODUL LATIHAN SANGKUT

    Bil

    Nama Pusat

    Modul Latihan Sangkut

    1

    Pusat Pengembangan Akuakultur Jitra, Kedah

    Tel : 04-917 1468

    Fax : 04-917 1468

    Pembiakan Tilapia

    Pembiakan Keli

    Pembiakan Patin

    Pembiakan Sepat

    2

    Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Pahang

    Tel : 09-233 0258

    Fax : 09-233 0784

    Pembiakan Tilapia

    Pembiakan Keli

    3

    Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, Pahang

    Tel : 09-260 1111

    Fax: 09-2601110

    Pembiakan Patin

    Pembiakan Baung

    4

    Pusat Pengembangan Akuakultur Machang, Kelantan

    Tel : 09-975 2644

    Fax : 09-975 2644

    Pembiakan Keli

    5

    Pusat Pengembangan Akuakultur Tapah, Perak

    Tel : 05-401 3545

    Fax : 05-401 3545

    Pembiakan Tilapia

    6

    Pusat Penetasan Udang Galah Kg Acheh, Sitiawan, Perak

    Tel : 05-691 2026

    Fax : 05-691 026

    Pembenihan Udang Galah

    Kambing Boer daging bermutu

    OLEH: NORNI AZURA NAYAN

    DALAM mengubah dan membentuk serta membimbing masyarakat untuk membina jati diri yang prograsif khususnya membantu masyarakat pekebun kecil ke arah peningkatan ekonomi keluarga mereka, pelbagai program tela diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

    Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) telah mengadakan perancangan terperinci membantu masyarakat pekebun kecil meningkatkan taraf hidup. Kambing Boer merupakan projek pembangunan ekonomi yang berbentuk komersial dirancang dan dilaksanakan oleh pihak Risda di Espek Tanjung Genting Changloon, Kedah.
    Pembiakaan kambing kacukan Boer pada 23 Jun tahun lalu dan sehingga kini telah mempunyai sebelaskandang. Kandang jenis GIFT 3 unit dan 11 kandang Conventional dengan setiap kandang mempunyai muatan antara 120 hingga 150 ekor kambing .

    Keluasan tanah projek meliputi kawasan berbukit dan juga pembangunan infrastuktur seluas 16.1874 hektar serta kawasan pastura seluas 24.2812 hektar. Apa yang menarik, proses kacukan dilakukan di Australia dan anak kambing tersebut di peranakkan di sini. Setakat ini kambing Boer baru memasukki generasi pertama dan kacukan tersebut akan tercapai menjadi Kambing Boer yang sebenar apabila sampai kepada generasi ke tujuh bermula dari sekarang mengambil masa tiga tahun.

    Ternakan kambing Boer menjadi lebih menarik apabila rumput yang dijadikan bahan makanan ditanam sendiri oleh pengusaha jenis napier yang ditanam di atas kawasan seluas 24.2812 hektar.

    Di dalam kandang secara cut dan cavry menu utama kambing adalah rumput segar ditambah pula dengan goet peelet yang diberi pada waktu pagi, tengahari dan juga petang. Semua diuruskan oleh pekerja khas dengan seorang pekerja mengawal antara 240 hingga 300 ekor kambing. Sehingga kini terdapat dua jenis anak benih kambing yang telah diterima iaitu sebanyak 391 ekor jenis pure cashmere dan 297 ekor jenis cashmere cross betina. Manakala kambing jantan boer pula sebanyak sepuluh ekor antara Jun hingga Oktober tahun lalu. Ratio yang meliputi seekor jantan bagi 80 ekor betina. Kaedah penternakan ini bermula dengan kandang seluas 4,000 kaki persegi di atas kawasan rekreasi seluas 0.2 hektar hingga 0.3 dilingkungi oleh pagar elekterik .

    Oleh yang demikian menjadi harapan RSPSB agar pusat pembiak baka kambing kacukan Boer ini dapat menjadi sebuah pusat pengeluar baka kambing yang bermutu dan menjadi sebuah institusi rujukan bagi indutri ternakan kambing yang ulung di Malaysia. Matlamat khusus penubuhan pusat pembiak bakaan kambing ini adalah untuk mengeluarkan dan membekalkan baka kambing pada harga yang rendah berbanding diimport kepada bakal peserta program pergemukan. Dalam jangka masa panjang penubuhan pusat ini akan menyumbangkan kepada perkembangan industri ternakan negara melalui peningkatan pengeluaran makanan.

    Pada tahun 2000 permintaan terhadap daging kambing adalah sebanyak 14,000 tan, berbanding pengeluaran hanya 983 tan. Berdasarkan penggunaan perkapita sebanyak 0.65 kilogram setahun manakala permintaan dijangka meningkat kepada 16,800 tan sedangkan pengeluaran yang di jangka hanyalah 1,200 tan. Malah ia juga dapat mengurangkan pengimportan daging negera dan menjimatkan pertukaran wang asing, selain itu dapat membantu menabah pendapatan dan meningkat taraf hidup pekebun kecil.

    19a.jpg
    Ketekunan pekerja ladang memberi rumput Napier kepada Kambing Boer.

    19b.jpg
    Kambing kacukan Boer yang baru memenuhi generasi pertama.

    19c.jpg
    Hasil ternakan Kambing Boer yang telah berjaya dilaksanakan oleh RISDA.

    19d.jpg
    Antara kakitangan RISDA yang terlibat dalam Projek Ternakan Kambing Boer En Zul bin Hassan.

    Ternak udang galah Risda manfaat tanah terbiar

    OLEH: NORNI AZURA NAYAN

    SEBANYAK 388, 640 ekor anak benih udang galah dilepas ke dalam sepuluh buah kolam di Pusat Ternakan Udang Galah milik penuh Koperasi Pertubuhan Kecil Daerah Baling yang dikawal selia oleh pihakRisda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Negeri Kedah. Ternakan udang galah menjadi perhatian masyarakat setempat sejak akhir ini kerana industri ini mendatangkan keuntungan yang memberangsangkan. Setakat ini belum ada lagi agensi lain yang berjaya ketengahkan industri ini secara besar-besaran. Udang galah mempunyai nilai tinggi di pasaran dan kurang saingan.

    Pengarahnya, Tuan Haji Abu Bakar Baharom berasa amat berbangga dengan pencapaian yang diterokai oleh pihaknya merupakan sumbangan kakitangan dengan kerjasama pekebun kecil. Ini kerana peranan Risda adalah untuk meningkat taraf pendapatan penduduk disamping berusaha mencapai objektif Risda yang dilancarkan awal tahun ini.

    Sehubungan itu, kejayaan projek ini telah membuka minda pekebun kecil agar merebut peluang supaya tidak ketinggalan dalam menopoli kepesatan ekonomi negeri ini. Malah ianya membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat khususnya kepada penduduk Kampung Banggol Asam Jawa. Projek ini hanya fokus kepada pekebun kecil termiskin dalam skim Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bertujuan untuk membantu para pekebun kecil dalam peningkatan serta perubahan taraf hidup mereka.

    Sejumlah 65 peserta PPRT dari daerah itu, dengan peruntukan sebanyak RM 646,000, telah memulakan projek ini ke arah membasmi kemiskinan. Lokasi yang strategik iaitu Kampung Banggol Asam Jawa Mukim Pulai, Baling menjadi pilihan pihak RISDA agar ternakan yang dilaksanakan lebih selamat dan sempurna. Kawasan ini merupakan tanah terbiar yang disewa dalam jangka masa sepuluh tahun yang diambil daripada penduduk setempat.

    Kemudahan air untuk kolam datangnya dari mata air Lata Bayu. Kawasan ini hanya 300 meter dari jalan raya utama yang menghubungkan pekan Baling dengan pusat ternakan tersebut. Ini memudahkan proses pemasaran hasil ternakan udang galah nanti. Kawasan tanah sawah terbiar seluas 9.7424 hektar yang dibangunkan pihak Risda menyumbang kepada pembangunan tanah berkenaan. Kawasan seluas ini telah berjaya dibangunkan sebanyak 22 buah kolam. Dan sepuluhdaripadanya telah beroperasi pada akhir tahun 2002. Operasi penetasan udang bermula sejak akhir tahun 2001 lagi. Sehingga kini anak-anak udang berkenaan telah berusia 80 hari dijangka dituai dan dipasarkan pada awal Febuari 2002. Pasaran udang galah ini difokuskan untuk Tahun Baru Cina memandangkan daya tarikan untuk perayaan amat mengalakkan. Kajian yang rapi telah dilakukan oleh pihak Risda dan diuruskan sepenuhnya oleh Koperasi Pertubuhan Kecil Daerah Baling. Sumbangan yang bernas oleh pihak Risda sewajar menyambut seruan kerajaan negeri dalam mencapai impian Kedah Maju 2010 yang diwar-warkan oleh Menteri Besar Kedah. Selaras dengan itu sumbangan pihak Risda terhadap kerajaan negeri.

    20a.jpg
    Antara kolam udang galah milik RISDA.

    20b.jpg
    Udang galah berjaya ditangkap dari kolam udang yang telah dilepaskan hujung tahun lalu. Usia masih muda lagi…

    20c.jpg
    Kakitangan penyeliaan Projek Udang Galah, tekun memrhati seorang kakitangan yang cuba menjala udang galah.

    Ternakan Tiram Crassostrea Iredalei

    Projek Ternakan Tiram

    LATAR BELAKANG

    Industri ini telah lama diusahakan di seluruh dunia. Asia merupakan pengusaha terbesar di dunia.Di Semenanjung Malaysia percubaan menternak tiram telah dibuat oleh Okada (1963). Pada tahun 1975 percubaan telah dibuat di Sabah dengan menggunakan spesies C. belcheri. Percubaan dengan menggunakan spesies Ostrea folium dijalankan pada tahun 1979 dan 1980 di Langkawi Kedah. Negeri-negeri yang terdapat ternakan tiram ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Kelantan dan Sabah. Usaha menternak ini dijalankan dengan menggunakan benih-benih daripada sumber semulajadi.

    Terdapat 4 jenis tiram di Malaysia :

    – Crassostrea (C.belcheri dan C. iredalei)

    – Saccostrea (S. echinata dan saccostrea spp)

    – Ostrea (O.folium)

    – Hyotissa (Hyotissa hyotis)

    Semua spesies tiram ini terdapat di perairan Malaysia dan boleh dijadikan sumber makanan. Spesies Crassostrea Iredalei merupakan spesies utama yang diternak secara komersial. Spesies ini mendapat permintaan yang amat menggalakkan daripada hotel-hotel dan restoran-restoran tempatan. Spesies ini banyak terdapat di Terengganu dan Kelantan. Ia juga banyak diternak di Thailand dan Filipina.


    PENGENALAN SPESIES TIRAM

    Sifat Luaran

    Spesies C. iredalei mempunyai kulit luarnya tidak beralur dan kedua-dua cengkerangnya sama panjang, membesar melebihi 15cm panjang.

    Tiram genus Ostrea berbentuk leper/nipis. Tiram genus Crassostrea dan Saccostrea berbentuk seperti cawan. Spesies Saccostrea spp berpermukaan yang beralur-alur seperti kerang, kedua-dua cengkerangnya tidak sama panjang. Ukurannya tidak melebihi 8cm panjang.


    Sifat dalaman.

    Tiram jenis Crossostrea iredalei mempunyai tanda hitam yang amat jelas pada kedua-dua bahagian dalaman cengkerang. Tanda ini merupakan otot-otot lekat dan ia hanya terdapat pada spesies Crossostrea sahaja.

    Pada bahagian hujung sebelah dalam cengkerang tiram Saccostrea spp terdapat tonjolan (umbo) kecil, dan bentuk seperti ini tidak terdapat pada spesies iredalei.


    Habitat

    Tiram hidup dengan cara melekat pada substrat seperti cangkerang tiram, siput-siput, akar bakau, batu-batu dan benda-benda keras yang tenggelam.

    Tiram biasanya didapati dalam air yang salinitinya antara 15 -32 ppt. Tiram dewasa boleh hidup beberapa hari di dalam air yang salinitinya menurun sehingga kekadar sifar. Benih-benih tiram akan mati bila mengalami perubahan saliniti mendadak seperti di musim tengkujuh.

    Suhu biasa air bagi habitat tiram ini 28-30.5◦C, kecuali pada musim tengkujuh di mana suhunya lebih rendah. Perbezaan air semasa pasang surut lebih kurang 1.5 meter.

     

    Pemakanan

    Tiram makan dengan cara menapis makanan melalui insang. Makanannya adalah jenis plankton.

    Pembiakan

    Tiram mempunyai jantina yang berlainan. Jantina tiram dewasa hanya dikenali melalui pemeriksaan kandungan gonad. Persenyawaan berlaku di luar badan selepas tiram jantan betina melepaskan sperma dan telur. Ia membiak sepanjang tahun, tetapi terdapat dua musim kemuncak. April-Jun dan Oktober- Disember. Kajian menunjukkan tiram akan akan bertelur apabila hujan lebat selama beberapa hari selepas kemarau panjang. Faktor perangsang tiram bertelur ialah pertukaran saliniti dan suhu air.

    AKTIVITI TERNAKAN

    Aktiviti ternakan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu:-

    -Pemungutan benih dan

    -Pemeliharaan untuk pasaran

    Pemungutan Benih

    Di Malaysia benih-benih diambil dari sumber semulajadi. Benih semulajadi masih menjadi sumber utama. Ia mudah didapati manakala pembiakan tiram (penetasan) telah dijalankan di hatchery LKIM di Kg Setiu, Terengganu saiz benih yang biasa diambil antara 2-5 cm.

    Kaedah Memungut Benih

    Selain dari benih di pusat penetasan, kaedah memungut benih biasanya bergantung kepada kos perbelanjaan, ketahanan dan mudah dikendalikan. Di antara jenis pemungut yang digunakan :

    -Tayar

    -Netlon

    -Kulit tiram dan tempurung kelapa

    -Pancang kayu atau buluh

    -Kepingan asbestos

    April-Jun dan Oktober – Disember musim terdapat banyak benih-benih tiram. Ini amat penting kerana pemasangan pemungut di musim pembiakan akan menghasilkan pungutan yang baik, benih juga boleh didapati semulajadi yang melekat pada pokok bakau dan umpun.


    Pemeliharaan Untuk Pasaran

    Pemilihan tapak yang sesuai untuk ternakan tiram ialah yang mempunyai faktor-faktor seperti berikut :-

    -Kawasan terlindung dari angin yang kuat

    -Perubahan air pasang surut antara 1.0-1.5 m

    -Dasar tidak mempunyai lumpur yang tebal

    -Saliniti air antara 15-30 ppt

    -pH air antara 6.5-8.5

    -Faktor tambahan yang perlu, terdapatnya induk-induk tiram asli di kawasan tersebut. Selain daripada itu faktor-faktor keselamatan, peralatan dan kemudahan infrastruktur seperti perhubungan adalah perlu.

    Kaedah Ternakan

    Kaedah ternakan ialah dengan menggunakan rakit, pelantar, bubu rawai atau ternakan di dasar. Perbezaan sistem ini bergantung kepada beberapa faktor seperti kos perbelanjaan, ketahanan bahan, serta keadaan ombak dan rebut di sesuatu tempat. Kaedah ternakan yang biasa diusahakan secara komersial adalah dengna menggunakan rakit.

    Rakit

    Rakit ternakan tiram yang biasanya digunakan berbentuk 4 segi, saiznya mengikut keperluan. Kayu melintang digunakan untuk menggantung tali pemungut benih atau bakul untuk menternak tiram. Pelampung ‘Styrofoam’ dan plastik biasa digunakan untuk membina rakit. Rakit juga boleh dibina dengan menggunakan bahan HDPE atau sangkar terapung HDPE. Sangkar/ rakit jenis ini lebih tahan, tetapi kosnya 2 kali ganda lebih tinggi daripada pelampung biasa.

    Bekas Ternakan

    Untuk memudahkan pengendalian pelbagai jenis dan bentuk bekas ternakan telah dicipta. Bekas-bekas ternakan yang biasa ditemui di Malaysia adalah seperti berikut:-

    -Raga

    -Tayar

    -Bingkai Netlon

    Tayar, bingkai netlon dan raga sebagai bekas ternakan

    PENGURUSAN TERNAKAN

    Tiram-tiram yang diternak perlu diurus dan diawasi agar ia sentiasa sihat dan dapat membesar dengan baik. Proses yang biasa dilakukan ialah mencuci tiram dari mendapan lumpur atau rumpai terapung yang melekat pada ternakan tersebut. Proses ini dilakukan dengan menggunakan pam air berenjin.

    Pembersihan perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali. Di musim tengkujuh pembersihan perlu dilakukan dengan lebih kerap.

    Selain daripada kerja-kerja pembersihan, benih-benih yang diternak secara beraingan dalam bekas plastik/netlon, perlu diubah serak ke bekas-bekas lain mengikut saiz apabila benih membesar untuk mengelakkan peningkatan berat yang tinggi, Kerja-kerja lain yang biasanya dilakukan adalah membuang dan membunuh musuh tiram seperti ketam, siput-siput, tapak sulaiman dan cacing lecur.

    PENGUTIPAN HASIL DAN PASARAN

    Tiram memerlukan masa 12-18 bulan untuk membesar mencapai saiz pasaran. Saiz yang dipasarkan 9-11 cm. Pengutipan (harvest) dilakukan semasa tiram cukup matang, kerana ketika ini rasanya lebih enak dan isinya lebih tebal.

    Kutipan mudah dilakukan untuk ternakan diatas rakit atau para kerana ia lebih stabil. Kutipan hasil boleh dilakukan oleh seorang pekerja sahaja. Untuk tiram yang diternak pada rawai terapung, kutipan dilakukan oleh dua orang, seorang pemungut dan seorang pengendali sampan.

    Tiram-tiram yang dikutip, dibersihkan dari lumpur, askidian dan bunga karang. Seterusnya tiram-tiram ini dibasmi kuman dengan menggunakan alat depurasi untuk jangkamasa tidak kurang dari 36 jam untuk membunuh bakteria serta dinaflagelat yang terdapat pada tiram-tiram tersebut.

    Jualan tiram hidup lebih menguntungkan, harganya tinggi dan kerja-kerja mengopek kulit tidak perlu dilakukan. Tiram jenis C.iredalei dijual hidup dengan harga 40-60 sen sebiji kepada pemborong. Tiram jenis Saccostrea spp pula dijual dengan harga 10-20 sen sebiji dan kalau dijual isi sahaja harganya RM6-RM9 sekilo.

    MUSUH TIRAM

    Musuh-musuh tiram di kawasan ternakan tidaklah begitu serius. Tetapi tindakan untuk mengatasinya perlu dibuat agar serangan dari musuh-musuh tiram tidak berterusan.

    Ketam

    Ketam merupakan musuh utama benih-benih tiram, Ketam dapat dicegah daripada memasuki bekas ternakan dengan menutup netlon halus dipermukaanya.

    Tapak Sulaiman (starfish)

    Tapak Sulaiman menyerang tiram semua peringkat, dari benih hingga ke tiram dewasa. Serangan Tapak Sulaiman banyak berlaku terutamanya di kawasan dasar. Kaedah beracun dan membuangnya merupakan cara pengawalannya. Kapur tohor ditabur ke dasar laut dengan nisbah 560kg/ha. Ia juga boleh dikawal dengan membina tempat ternakan yang tidak menyentuh kawasan dasar.

    Siput halia

    Siput ini hidup kawasan dasar dan ia tidak boleh berenang. Cara mencegahnya boleh dilakukan dengan membina tempat ternakan yang tidak menyentuh kawasan dasar.

    Cacing Lecur

    Kesan serangan akan menyebabkan tumbesaran tiram terencat dan lecur-lecur hitam di bahagian dalam kulit tiram. Jika kadar serangan tinggi, ia boleh menyebabkan kematian akibat infeksi sekunder. Cara membunuh cacing ini, dedahkan tiram-tiram ke udara selama 24-48 jam, atau rendamkan tiram-tiram tersebut ke dalam larutan garam yang tinggi kemasinannya.

    Bunga Karang (Sponge)

    Tumbesaran tiram-tiram juga mungkin terencat atau boleh mengakibatkan kematian sekiranya kulit tiram diselaputi dengan banyak oleh bunga karang. Biasanya bunga karang menyerang tiram dewasa dan akan menyebabkan kulit tiram menjadi rapuh dan mudah pecah. Cara mengatasinya, berus lapisan bunga karang yang masih tipis.

    Askidian

    Askidian tumbuh pada permukaan kulit tiram dan boleh menyebabkan tumbesaran tiram terencat ataupun mati. Askidian boleh dicegah dengan menggunakan berus.

    Siput sudu pada tiram

    Siput Kampis pada tiram

    Tertip pada tiram

    Lain-lain Musuh Tiram

    Lain-lain musuh tiram ialah pesaingnya :-

    -Siput sudu

    -Teritip

    -Siput kampis

    Siput rantai

    Masalah pesaing ini berlaku terutamanya pada musim kemarau. Masalah ini juga didapati di kawasan ternakan yang berhampiran dengan laut.

    Pesaing-pesaing perlu dibuang atau dibunuh kerana ia menyebabkan tumbesaran tiram terencat, tiram-tiram terpaksa berkongsi ruang serta makanan.

    Untuk menjalankan ternakan secara komersial, diperlukan sekurang-kurangnya 8 unit rakit/sangkar dan bekas ternakan yang paling efisen untuk ternakan ini ialah raga. Setiap rakit/sangkar dianggarkan boleh digantung raga sebanyak 1050 buah. Setiap raga boleh diisi dengan benih tiram sebanyak 50 biji. Kadar hidup ternakan ini agak tinggi iaitu dianggarkan diantara 80%-90%.

    PROJEK TERNAKAN KERANG

    Ternakan Kerang Anadara Granosa

    PENGENALAN

    Ternakan kerang bermula dalam tahun 1984 oleh seorang ketua kampung di Bagan Pancor, Perak. Percubaan ini telah berjaya dan sejak itu ternakan kerang berkembang luas di sepanjang kawasan paya bakau di Pantai Barat Semenanjuga dan dianggarkan keluasan kawasan berpotensi ialah 28,540 hektar. Spesis kerang yang biasa diternak di Malaysia ialah jenis Anadora Granosa. Ia mepunyai pasaran yang baik di negara jiran khususnya Thailand dan Singapura.

    Ternakan ini mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan ternakan yang lain di antaranya :-

    – Kaedah ternakan yang mudah

    – Pengurusan dan penjagaan yang minima

    – Memberi pulangan/keuntungan yang memuaskan.

    – Mempunyai potensi pasaran dengan harga yang menggalakkan.

    Sehingga kini ternakan kerang dilakukan secara kultur separa iaitu bergantung bekalan benih semulajadi. Benih kerang boleh dihasilkan secara asuhan tetapi perbelanjaannya adalah tinggi dan kadar hidupnya terlalu rendah.


    PERSEDIAAN UNTUK TAPAK TERNAKAN

    Pemilihan kawasan yang sesuai adalah berdasarkan kepada tanah dan air iaitu:-

    1. Kawasan yang terlindung dari arus dan ombak laut.
    2. Keadaan dasar laut yang berlumpur halus dan lembut dengan ketebalan 46-76 cm. Sebaliknya tekstur tanah mengandungi 50-80% liat dan selebihnya kelodak.
    3. Kemasinan air sekitar 18(ppt)
    4. Kecerunan dasar tapak ternakan yang sederhana.
    5. Kawasan bebas dari pencemaran dan musuh.

    Kawasan yang dikenalpasti sesuai terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan dari kerajaan negeri untuk memperolehi lesen hak milik sementara (TOL). Keluasan yang ekonomi bagi individu untuk menjalankan ternakan ini adalah 10 hektar (+25 ekar).

    Jenis kerang yang diternak adalah dari sepsis (Anadara Granosa)

    Kawasan yang sesuai untuk menjalankan ternakan kerang

    PENGUTIPAN BENIH

    Benih-benih kerang biasa terdapat di kawasan daratan berlumpur seperti di pergigian hutan bakau atau muara-muara sungai. Pengutipan benih dibuat setelah ia mencapai saiz antara 4-10 mm. Pengutipan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai, dulang kayu dan sekeping papan. Alat ini ditarik melalui permukaan lumpur beberapa kali kemudian dibersihkan untuk mengasingkan benih kerang dengan lumpur. Pengutipan benih biasanya menggunakan sampan di kawasan semulajadi semasa air surut.

    Harga benih kerang bergantung pada saiz benih, untuk saiz 1,000-3,000 biji/kg harganya dianggarkan RM60.00/guni.

    Saiz benih kerang yang ditabur ialah 6.4cm.

    MENABUR BENIH KERANG DI TAPAK TERNAKAN

    Kerja-kerja penaburan benih dibuat dengan menggunakan bot. Sebelum taburan benih dibuat, cengkerang-cengkerang dan musuh-musuh kerang (siput pengorek) perlu dibuang. Penaburan benih perlu dibuat pada cuaca yang baik dan keadaan air mula pasang.

    Benih perlu ditabur sebaik sahaja ianya sampai ke tapak projek untuk mengelakkan kematian benih akibat tekanan (stress). Penaburan benih perlulah sekata supaya kerang membesar dengan baik. Kadar penaburan benih adalah bergantung kepada saiz benih dan kesesuaian kawasan.

    MENGUBAH SELERAK KERANG DAN MEMBUANG PEMANGSA

    Dalam tempoh 3-4 bulan setelah benih ditabur, kepadatan kerang perlu diperiksa. Sekiranya didapati tidak sekata maka ia perlu diubah selerak untuk menghasilkan tumbesaran kerang yang cepat.

    Semasa aktiviti ubah selerak dibuat musuh-musuh kerang mesti dikutip/ditangkap dan dibuang/bunuh. Di antara musuh-musuh kerang ialah siput duri, siput belitung kecil, siput umum, siput halia, siput bintang dan ikan pari.

    Saiz kerang kerang dewasa yang mencapai saiz pasaran ialah 3.8cm.


    PEMELIHARAAN HINGGA KE SAIZ PASARAN

    Untuk mencapai saiz pasaran iaitu 80-100 biji/kg (70 biji/kati) biasanya ternakan ini mengambil masa 12-18 bulan bermula dari tarikh benih ditabur. Tumbesaran kerang dipengaruhi oleh kesuburan tapak, mutu air, saiz benih yang ditabur dan kepadatan.

    PENGENDALIAN PUNGUTAN KERANG BESAR

    Sebelum hasil ternakan dipungut untuk dipasarkan, penganggaran stok perlu dibuat bagi mengetahui kuantiti stok kerang tersebut untuk dijual secara runcit atau tender. Pungutan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai, secara asasnya alat ini sama dengan alat pengutipan benih cuma jarak dawai (mesh size) adalah lebih besar.

     

    Aktiviti Pengendalian Pungutan Kerang ini ialah :-

    1. Menggoncang alat mengutip kerang tersebut.
    2. Simpan sementara di dalam bot hingga didaratkan ke pangkalan
    3. Mengasingkan kerang daripada sampah, cengkerang-cengkerang kosong dan siput-siput lain.
    4. Mengisi kerang ke dalam guni dengan anggaran 70 kg/guni.
    5. Mengangkut kerang untuk dijual kepada pemborong atau peruncit.

    HASIL PENDAPATAN

    Pengiraan hasil pendapatan berdasarkan perkara berikut:

    Saiz bersih kerang – 2,000 biji/kg

    Taburan benih – 50 guni/ha

    Tempoh ternak -18 bulan

    Luas kawasan ternak – 10 ha

    Kadar Hidup – 50%

    Saiz Pasaran – 100 biji/kg

    Harga Kerang Besar – RM 25.00/guni

    1 Guni – 70 Kg

    Jualan

    1,000 guni/ha x Rm45/guni x 10ha x 50% RM225,000

    Kos Operasi

    Benih Kerang

    50 guni/ha x 10 ha x RM150/guni RM75,000

    Upah Tabur RM 10,000

    Upah Selerak dan Cuci Kawasan RM15,000

    Jumlah RM100,000

    Penyelenggaraan

    Penyelenggaraan Bot RM5,000

    Minyak Bot RM10,000

    Penyelenggaraan Enjin/pancang kawasan RM5,000

    Penyelenggaraan Pondok RM3,000

    Lain-lain RM2,000

    Jumlah RM25,000

    Kos Pengurusan

    Bayaran Tol (250×20) x 18 bulan RM10,000

    Gaji 2 orang jaga (2×650) RM23,400

    Luar Jangka RM10,000

    Jumlah RM43,400

    Jumlah Besar/Perbelanjaan RM168,400

    Pendapatan

    Pendapatan Kasar / pusingan RM56,600

    (Jualan- Perbelanjaan)

    Pendapatan Bulanan

    (dalam masa 18 bulan) RM3,144.00

    MASALAH

    Masalah yang mungkin dihadapi dalam ternakan kerang pada masa ini ialah:

  • Bekalan Benih tidak tetap
  • Kecurian
  • -Musuh-musuh kerang (pemangsa)
    -Pencemaran air (Buangan Perindustrian)

    Siput Halia ialah salah satu musuh utama kerang

    BANTUAN

    Pihak LKIM menyediakan khidmat nasihat teknikal seperti menjalankan kajian kesesuaian kawasan dan juga pemasaran hasil ternakan.

    Peluang pelaburan dalam projek ternakan adalah terbuka kepada semua terutamanya Persatuan Nelayan, kumpulan nelayan dan juga perseorangan.

    Seksyen Pembangunan Akuakultur
    Bahagian Pembangunan Industri Nelayan
    Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
    Tingkat 11, Wisma PKNS
    Jalan Raja Laut,
    50350 Kuala Lumpur
    Tel: 03-26177000