Pendapatan RM80,000 sebulan hasil ternak ikan air tawar

19-02-2007 12:26:19 PM
Zabidi Ishar

KOTA BAHARU: Dengan pendapatan sebanyak RM80,000 sebulan, Raja Zakaria Raja Abdullah yang muncul sebagai antara penternak dan pembekal ikan air tawar yang berjaya di Pantai Timur, kini mampu tersenyum megah.

Pada usia hanya 34 tahun, beliau menjadi contoh anak Melayu yang berjaya menjadikan ternakan ikan air tawar sebagai punca pendapatan lumayan, memecahkan dominasi bukan bumiputera dalam bidang itu.

Kejayaannya itu bagaimanapun penuh liku, terutama mengenangkan kisah silamnya apabila pernah menjadi bahan ketawa rakan-rakan dan penduduk kampung kerana sanggup meninggalkan kerjaya terjamin di sebuah bank tempatan kira-kira 10 tahun lepas semata-mata ingin bekerja sendiri menjaga kolam ikan.

“Banyak sindiran dan kata-kata pedas saya telan sahaja, kini siapa yang ketawakan siapa,” katanya ketika ditemui Bernama di kawasan ternakan kolam ikannya yang terletak di Kampung Bilok Banggu, di sini, yang juga tanah kelahirannya.

“Rakan sebaya lain semua minat makan gaji, tapi saya degil nak berniaga juga. Bukan salah mereka ketawakan saya sebab makan gaji lebih terjamin, berniaga pula ikut untung nasib,” katanya yang mengadu masih berasa letih dan mengantuk setelah semalaman menuai hasil ternakan ikan air tawar bagi keperluan pembekal dari Pahang.

“Waktu mula-mula, ramai yang tanya bolehkah saya tanggung keluarga dengan bela ikan kerana mereka tahu bukan senang nak buat kerja itu terutama dengan persaingan bukan Bumiputera dari luar Kelantan, tapi saya tekad untuk buktikan saya boleh,” katanya.

Hasilnya setelah bertahun, kini bau hanyir ikan yang melekat di tubuh badannya menjadi lambang kejayaan sebagai anak Melayu yang berjaya dengan hasil pendapatan yang lumayan.

“Saya mula dengan hanya RM3,000 bagi bina dua buah kolam ikan. Sekarang saya ada hampir 30 buah kolam simen dan 13 kolam ikan (bertanah) termasuk beberapa sangkar ikan di tali air,” katanya tersunyum megah dengan hasil kudratnya.

Kesemua kolam itu mengandungi pelbagai spesies ikan air tawar yang mempunyai pasaran tinggi seperti tilapia, patin, keli dan jelawat, yang mampu mengeluarkan 60 metrik tan hasil sebulan.

Menurutnya dahulu beliau bertindak sendiri memasarkan ikannya hingga ke luar Kelantan tetapi tugasnya kini lebih mudah apabila pemborong dari Terengganu dan Pahang pula yang muncul di kolamnya.

Dengan bantuan tujuh pekerja bagi menyelenggara kesemua kolam dan sangkar ikan, kejayaan Raja Zakaria turut menarik minat pelbagai agensi lain apabila menjadikan kawasan ternakan usahawan muda itu sebagai lokasi pembelajaran peserta kursus dalam bidang itu termasuk orang ramai.

Walaupun dikagumi ramai dengan sikap “pantang menyerah kalah”, Raja Zakaria dengan rendah diri berkata kejayaan yang dikecapinya itu adalah hasil kerjasama Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang banyak membantu.

“Saya ucap terima kasih sangat kepada agensi ini terutama KADA yang membenarkan kami menggunakan tali airnya sebagai tempat menternak ikan,” katanya.

Menurut Raja Zakaria di kampung itu sahaja lebih 50 petani telah memanfaatkan tali air sepanjang lebih lima kilometer milik KADA di situ.

“Alhamdulillah tali air ini sangat baik untuk kami menternak ikan kerana airnya yang bersih dan mengalir baik,” katanya.

Raja Zakaria kini bertekad untuk mempertingkatkan pemasaran ikan ternakannya terutama bagi menembusi beberapa pasaran di negeri-negeri di Pantai Barat sambil berharap ada pihak tertentu akan membantunya.

Kepada siswazah yang menganggur, beliau turut menasihati mereka untuk tidak malumalu menceburi bidang itu yang menjanjikan pulangan lumayan sekiranya mereka cekal dan berdedikasi.

“Potensi ikan ini terutama patin dan keli sangat baik kerana ramai rakyat Malaysia mulai suka makan ikan ini. Daripada menganggur lebih baik ceburi bidang ini,” katanya yang mengakui kini banyak agensi pertanian boleh memberikan khidmat nasihat berbanding semasa beliau mula menceburi bidang itu.

Sementara itu, Pengurus Besar KADA Sayutti Hussin berkata lembaga itu sememangnya mengharapkan lebih ramai petani memanfaatkan tali air agensi itu yang mengalir di beratus-ratus buah kampung di Kelantan.

“Sambil menternak ikan air tawar, air yang sama juga dapat mengairi bendang mereka dan ini boleh beri pendapatan lumayan,” katanya.

Sayutti berkata beliau sedia memberi kebenaran untuk petani menggunakan tali air sepanjang 1,000km dalam kawasan KADA bagi memperoleh pendapatan sampingan, asalkan ia dijaga dengan baik dan mengikut peraturan. BERNAMA

Bahana bergantung pada syarikat bukan Islam

Masyarakat pengguna Islam dinasihati supaya berhati – hati apabila menikmati hidangan ayam Tandoori di restoran khususnya restoran mamak palsu berikutan kejayaan JAIS membongkar kes ayam bangkai di Puchong. Syarikat terbabit dikesan menyembelih ayam tidak berlandaskan hukum syarak, malahan ada penyembelih bukan Islam yang melakukan penyembelihan.

Syarikat bukan milik Islam ini mengeluarkan 3000 ekor ayam sehari yang dipasarkan ke restoran ‘mamak palsu’ di sekitar Lembah Klang dan Selangor. Inilah bahana apabila kita terlampau bergantung kepada bangsa asing untuk hidangan kita. Ayam bangkai ini telah menjadi makanan entah berapa banyak umat Islam sepanjang Ramadahan dan Syawal ini…

ayam_1.1.jpg

ayam_2.1.jpg

ayam_3.1.jpg

Notakaki: Diharap peristiwa tersebut menjadi teladan pada orang islam. Moga dari kejadian tersebut, akan lebih ramai golongan usahawan islam menceburi bidang pertanian ini. Jangan terlalu bergantung harap pada orang bukan islam.