Skop: Harrani buktikan pertanian beri hasil lumayan

Berita Harian, 30 Julai 2001

Belia kerap menganggap sektor pertanian tidak mampu memberi pulangan dan jaminan masa depan.Mereka lebih suka berhijrah ke bandar bagi mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan tetap.Keadaan itu menimbulkan masalah besar kepada sektor pembangunan pertanian negara pada masa depan. Jika belia tidak mahu mengerjakan tanah, siapa lagi akan berbuat demikian selepas generasi tua tidak mampu mengusahakannya.Menyedari hakikat itu, Kementerian Pertanian melancarkan pelbagai program untuk menarik minat belia berbakti kepada tanah. Wartawan Berita Harian, KARIM SULAIMAN dan MOHD HAMIZAR HAMID, mengupas persoalan itu dan mendedahkan kejayaan belia yang bergiat dalam bidang pertanian.

PETANI muda, Harrani Dayat, 32, yang mengusahakan kebun tomato membuktikan bahawa bidang pertanian mampu memberi pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh melalui teknologi moden.

Beliau yang mengusahakan tanaman tomato dengan kaedah penanaman fertigasi kini mampu tersenyum apabila usahanya itu sungguh menguntungkan.

Selain keuntungan berlipat ganda, penjagaan sayur-sayuran menggunakan kaedah itu juga lebih mudah dan tidak perlu berhadapan dengan risiko tinggi jika sayur-sayuran diserang penyakit.

Kepakaran dan pengalaman yang ditimba dari Institut Pertanian Semenanjung Malaysia di Air Hitam, Johor banyak membantunya dalam mengusahakan projek itu.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor turut menggunakan pengalaman bekerja dalam bidang pertanian bagi memajukan projek tanamannya.

Kejayaan petani muda seperti Harrani dalam bidang pertanian adalah hasil kesungguhan Kementerian Pertanian untuk melahirkan petani muda moden bagi menjadikan kegiatan pertanian sektor produktif dan menguntungkan.

Harrani membuktikan bahawa bidang pertanian mampu memberi keuntungan lumayan melalui corak pertanian moden dengan menggunakan teknologi terkini.

Teknologi fertigasi yang diamalkan oleh Harrani adalah teknologi terbaru dalam pengeluaran sayur-sayuran bernilai tinggi seperti tomato, terung dan cili.

Secara ringkasnya, teknologi fertigasi ialah satu sistem iaitu nutrien (NPK dan nutrien mikro) bagi pertumbuhan tanaman dilarutkan di dalam air dan dibekalkan kepada tanaman melalui sistem pengairan titis.

Dengan teknologi fertigasi, petani boleh mengawal dan membekalkan air dan nutrigen yang cukup dan seimbang mengikut fasa pertumbuhan pokok.

Kaedah itu juga membolehkan tanaman membesar dengan sihat dan subur serta berupaya mengeluarkan hasil yang maksimum dan bermutu tinggi.

Harrani berkata, dengan kaedah struktur pelindung hujan dan fertigasi, hasil satu pokok tomato yang diperolehi ialah empat hingga lapan kilogram.

Jumlah itu, katanya, sama dengan lapan hingga 16 kilogram tomato bagi setiap polibeg. Kos keseluruhan (termasuk benih, media, pembajaan dan buruh) ialah sebanyak RM5.50 bagi setiap polibeg.

Katanya, setiap hari ladang moden itu menghasilkan kira-kira 400 kilogram tomato dan beliau boleh memetik hasil setiap hari selepas mencapai peringkat berbuah.

Beliau tidak bermasalah pemasaran kerana ada dua saluran pasaran tetap iaitu kepada pembeli di Singapura dan pemborong di Pasar Batu Pahat.

Selain kaedah fertigasi, Harrani turut menggunakan rumah perlindungan dalam projek tanaman tomato itu.

Dengan kaedah perlindungan, tanamannya terlindung daripada sinaran ultraungu (UV) yang boleh mencederakan pokok, tidak terkena hujan dan dapat mengurangkan serangan penyakit.

Penggunaan rumah perlindungan, walaupun meningkatkan suhu dalaman dan seterusnya meningkatkan transpirasi tanaman, kehilangan air pada tomato boleh dikurangkan menerusi tindakan meningkatkan kekerapan pengairan.

Hasilnya, Harrani mendapati tomato tumbuh lebih sihat dan subur dengan kaedah pemugaran dan fertigasi.

Dengan fertigasi, beliau juga boleh membandingkan pembekalan nutrien pada pokok berdasarkan tanda pada setiap pokok.

Oleh itu, buah yang dihasilkan dapat dikawal mutunya dan kerosakan pada buah akan dapat dikurangkan.

Sistem itu juga membolehkan beliau meramal anggaran hasil dengan lebih tepat bagi tujuan pemasaran serta pokok lebih senang diurus.

Harrani berkata, dengan adanya pasaran tetap, beliau mendapati harga yang munasabah berdasarkan gred buah yang dibekalkan walaupun keadaan pasaran lembap.

Beliau memulakan projek berkenaan sejak Jun tahun lalu dengan pengeluaran modal permulaan sebanyak RM70,000 bagi keluasan 0.2 hektar.

“Kos modal yang meliputi kerja-kerja pembersihan, struktur perlindungan hujan, sistem pengairan titis serta keperluan lain untuk satu pusingan tanaman tomato sebanyak 4,000 pokok (dua pokok bagi setiap satu polibeg).

“Tuaian hasil yang diperolehi hingga akhir tahun lalu ialah sebanyak 25,000 kilogram tomato pada harga RM1.50 sekilogram,” katanya.

Beliau yang menjalankan fasa kedua tanaman terung yang dilaksanakan di kawasan seluas 0.2 hektar di kawasan terbuka turut menelan belanja sebanyak RM30,000.

Perbelanjaan yang diperlukan adalah bagi kerja pembersihan, penyediaan kawasan dan keperluan menanam 1,000 pokok terung.

Antara masalah yang dihadapi beliau ialah sistem terbuka mengundang banyak masalah serangan musuh dan kestabilan larutan nutrien akibat terkena hujan, banyak tanaman yang terpaksa dihapuskan.

Pusingan kedua tanaman tomato yang ditanam di bawah struktur perlindungan hujan iaitu sebanyak 1,500 pokok dan seterusnya tanaman tomato pada peringkat keempat.

Purata sepokok tomato hingga tamat enam bulan mampu menghasilkan purata sebanyak enam kilogram tomato sepokok iaitu 60 tan bagi setiap 0.4 hektar bagi satu pusingan atau 120 tan setahun.

Katanya, analisis yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa projek yang dijalankan sangat berdaya maju dengan tempoh pulangan modal selama dua tahun.

Justeru, beliau menjalankan penanaman dengan mewujudkan struktur perlindungan hujan besi bagi kawasan seluas 0.2 hektar dengan kos lebih kurang RM70,000 bagi 0.4 hektar.

Hingga kini, beliau menanam 5,000 pokok tanaman tomato tanpa tanah yang berisikan campuran sekam padi dan sabut kelapa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s