Dragon Fruit atau buah naga kini semakin mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan. Buah ini turut dikenali dengan nama pitaya iaitu panggilan yang berasal dari bahasa Sepanyol, manakala dragon fruit adalah nama yang diberikan oleh orang Vietnam kerana kulitnya yang seakan kulit naga. Berasal dari keluarga kaktus, pitaya dapat tumbuh dengan baik di negara yang beriklim kering. Berbanding dengan negara lain, Malaysia mempunyai potensi yang baik untuk maju dalam penanaman buah pitaya ini.
Keistimewaan yang terdapat pada buah pitaya telah menarik minat seorang pengusaha tempatan yang berhasrat untuk mengkomersilkan buah ini di pasaran tempatan. Bertekadkan azam dan keyakinan, Kerk Loong Sing, 62 tahun sanggup melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Eksekutif sebelum ini dalam sebuah syarikat swasta untuk menceburi bidang penanaman buah pitaya secara sepenuhnya. Berasal dari keluarga petani telah memberi kelebihan kepada beliau untuk menguruskan tanaman secara sistematik dan teratur.
Untuk menjayakan tanaman buah pitaya ini, Kerk telah memohon pinjaman sebanyak RM600,000 dari cawangan Bank Pertanian Malaysia (BPM) di Melaka yang bertindak sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan kredit kepada pengusaha baru atau sedia ada. Dengan pinjaman yang diterima, Kerk memajukan tanah miliknya seluas 13 ekar di Durian Tunggal, Melaka. Terletak 15 kilometer dari bandar Melaka, kawasan perladangan Kerk mempunyai persekitaraan yang lapang supaya pokok pitaya dapat tumbuh dengan subur. Menurutnya lagi, penanaman buah pitaya mempunyai potensi berdaya saing memandangkan permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.
Bagi anda yang tidak mengenali buah pitaya, tentu ingin tahu bagaimana rupa dan rasanya buah ini bukan? Buah pitaya yang belum matang berbentuk bulat dan terdapat dalam tiga warna yang berlainan. Kulitnya seakan buah nenas, tetapi lebih lembut dan dilitupi dengan bunga-bunga yang berwarna merah. Biasanya, sebiji buah pitaya boleh mencecah purata berat dari 150 hingga 500 gram. Buah pitaya berwarna hijau ketika belum matang dan bertukar kemerahan menandakan buahnya telah matang dan sedia dipetik.
Pemilihan buah pitaya untuk dikomersialkan bergantung kepada rasa, saiz, tempoh pembesarannya dan kualiti buah iaitu tidak mudah pecah di hujungnya. Buah pitaya ini bukan sahaja sedap dimakan tetapi khasiat yang terkandung di dalamnya juga banyak dan ianya berguna dari isi sehinggalah ke batang pokoknya. Keunikan buah ini ialah setiap satunya mengandungi khasiat yang berlainan untuk kesihatan. Menurut beliau, buah yang berisi putih kaya dengan serat, vitamin C dan B serta beta karotin yang tinggi. Manakala, buah pitaya yang isinya merah jambu dikatakan berkesan untuk awet muda kerana antioksidan (anthocyanim) yang terkandung didalamnya tinggi dan dapat mengurangkan kerosakan kulit akibat radikal bebas. Buah pitaya berisi merah dapat membantu dalam mengawal tekanan darah tinggi manakala kelebihan buah pitaya yang isinya kuning pula terletak pada rasanya.
Selain buah, bunga-bunga pada pokok ini juga boleh dimakan. Bunga yang masih segar boleh dihidangkan sebagai salad, sup ataupun digoreng, manakala daun yang kering pada hujung buah yang hampir masak boleh dikeringkan dan kemudian dikisar halus dan dibuat minuman seakan teh. “Selain dimakan secara mentah, ianya boleh dijadikan jus, jem, pai, jeli, wain dan cuka kesihatan,” kata Kerk. Tambahnya lagi, buah pitaya merupakan buah yang tahan lama dan boleh tahan segar selama 2 minggu. Jika disimpan dalam peti sejuk buahnya boleh tahan sehingga 2-3 bulan tanpa menjejaskan rupa luaran buah ini.
Pitaya atau nama jolokannya ‘buah masa depan’ dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap satunya mempunyai nama saintifik yang tersendiri;
Pitaya berkulit merah isinya putih
– Hylocereus undatus Britt & rose
Pitaya berkulit merah isinya merah jambu
– Hylocereus costa – ricensis (weber)
o Britt & rose
– Hylocereus poly – rhizus (weber)
o Britt & rose
Pitaya berkulit kuning isinya berwarna putih
– Selenicereus mega – lanthus
o (schum) Britt & rose
Kerk menjelaskan, biasanya sebatang pokok pitaya mengeluarkan hasilnya yang pertama dari 6 bulan hingga 1 tahun selepas ditanam. Pada dasarnya, pokok pitaya mampu menghasilkan buah dalam jangka masa 30 hingga 60 tahun. Apabila ditanya kenapa menceburkan diri dalam bidang penanaman ini, beliau menjelaskan minatnya untuk melibatkan diri dalam bidang ini sebenarnya tercetus daripada idea rakannya yang mengusahakan tanaman yang sama di Taiwan.
Selain kagum dengan khasiat buah ini, beliau menyatakan tanaman ini mudah ditanam lagipun, hasilnya boleh diperolehi pada awal tanaman. Tambah beliau lagi, sebatang pokok pitaya boleh menghasilkan kira-kira 20 biji buah dalam masa sebulan. Beliau menjelaskan tanah seluas 1 hektar dapat mengeluarkan hasil dari 10 hingga 30 tan buah dalam masa setahun. Walau bagaimanapun, hasil pengeluaran buah pitaya yang ada cuma cukup untuk pasaran tempatan dan masih belum dapat memenuhi permintaan yang semakin tinggi.
Dalam usaha untuk menepati arah tuju pertanian masa kini yang berorientasikan mesra alam, penanaman buah pitaya menggunakan sistem pembajaan secara organik. Beliau tidak menggunakan baja kimia sebaliknya menggunakan baja organik sebagai alternatif bagi mengekalkan kesegaran dan rasa semulajadi. Sebagai langkah memudahkan buah pitaya ini dipungut, tiang sokongan simen setinggi 4 atau 5 kaki didirikan supaya pokok menjalar ke atas dan bukannya di atas tanah, cara ini dapat memastikan proses pembesaran pokok tidak terganggu.
Menurut Kerk, satu lagi kelebihan pokok ini ialah ianya tidak mudah terdedah kepada serangan lalat buah atau penyakit tanaman yang lain. Ladang tanamannya dimulakan dengan 24,000 biji benih pokok pitaya yang diperolehi dari Kluang, Johor. Kerk berpendapat pokok pitaya senang dikendalikan jika diberi teknik penjagaan yang betul iaitu air dan cahaya matahari yang cukup, mampu memberi hasil yang memberangsangkan.
Dalam usaha untuk memajukan industri tanaman selari dengan era masa kini, beliau memperkenalkan mekanisma baru dalam perusahaannya iaitu ‘contract farming’ di mana semua kerja-kerja bagi mendapatkan pinjaman bank, penanaman sehinggalah pengeluaran hasil serta pasaran diuruskan oleh beliau sendiri tanpa bantuan orang tengah. Beliau yang sentiasa peka kepada peredaran zaman, menanam hasrat untuk menjadi pembekal dan pengekspot buah pitaya ke seluruh negara. Pada masa hadapan, pengusaha baru bolehlah mendapatkan benih pokok pitaya daripadanya untuk memulakan perusahaan tanaman buah pitaya. Berbekalkan pengalamannya selama 3 tahun, beliau bersedia untuk membantu sesiapa yang berminat dalam memulakan ladang pitaya mereka sendiri.
Kerk mampu tersenyum gembira melihat usahanya kini membuahkan hasil yang membanggakan. Beliau berasa lebih yakin dengan kemampuan dirinya dan berhasrat untuk mempelbagaikan perusahaannya dengan mendirikan kilang membuat jus buah pitaya di atas tanah yang seluas 80 ekar di Melaka. Inilah keistimewaan dragon fruit, walaupun bukan buah tempatan, ia tetap dapat menawan hati penggemarnya. Hendak berjaya seperti Kerk? Jika mempunyai masalah pembiayaan, hubungilah mana-mana cawangan Bank Pertanian Malaysia yang berdekatan untuk keterangan lanjut.
Sumber : Buletin Patriot, Bank Pertanian Malaysia
ingin ringkasan mengenai kelebihan dan khasiat pitaya
ingin lebih lanjut kelebihan yang ada pada buah naga..
bolehkah buah pitaya dibuat air minuman atau jus?
bolehkah buah pitaya dibuat jem?