Pemeliharaan itik penelur mula diusahakan pada tahun 2006 secara kecil – kecilan dengan permulaan sebanyak 100 ekor. Tidak ramai yang menceburkan diri dalam penternakan ini khususnya penternakan secara komersial. Melalui projek ini, KWG memberi bantuan modal dan sokongan serta dorongan kepada individu OKU ini.
Anak itik dipelihara sehingga berumur 3-4 bulan sebelum dilepaskan ke sawah dan tanah lapang yang dilingkungi pagar. Kebiasaannya pelepasan itik ke sawah adalah pada peringkat selepas menuai padi, permulaan putaran tanah atau sebelum menabur benih padi.
Program ternakan itik penelur secara komersial akan diperluaskan pada tahun 2008. Ternakan ini akan diperluaskan sehingga mencapai diantara 1,000 – 5,000 ekor mengikut keluasan kawasan ternakan.
Selain dari mengusahakan pengeluaran telur itik, itik ini juga disembelih dan dagingnya akan dijual di pasar dan ada juga yang datang ke ladang untuk membeli itik hidup.
Tujuan Perlaksanaan Projek
Perlaksanaan projek ternakan itik untuk mewujudkan lebih ramai usahawantani dari golongan OKU, mempelbagaikan sumber pendapatan melalui ternakan itik penelur secara komersial dan meningkatkan pengeluaran telur itik serta mempergiatkan industri hiliran berasaskan telur itik.
Lokasi projek
Bagi program Kawalan Pengurusan Perosak Secara Bersepadu, tumpuan adalah di kawasan sawah padi yang terdapat serangan Siput Gondang Emas atau terdapat padi angin.
Projek Komersial
Program ternakan secara komersial pula akan diberi tumpuan kepada peladang-peladang yang memiliki keluasan kawasan yang sesuai dan berdekatan sumber air. Pemilihan adalah berdasarkan ciri-ciri ialah mampu menyediakan kemudahan asas seperti reban dan kawasan kandang ternakan yang mencukupi, persekitaran yang sesuai(berdekatan kawasan sawah dan persisiran pantai yang mempunyai sumber air yang baik), melibatkan peladang-peladang dan diberi latihan secukupnya dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan.
Status Semasa Projek
Kedudukan kemajuan perlaksanaan projek ternakan itik penelur mulai Januari 2006 hingga 31 Disember 2006, melalui 100 ekor itik telah berhasil menjual sebanyak 20,000 biji bersamaan RM 12,000.00 setahun.
Strategi Pelaksanaan Projek
KWG mempelawa individu yang ingin melabur secara ihsan dengan minima RM5,000.00 bagi menjana modal tambahan untuk memperkemaskan lagi struktur ladang ternakan dan membeli peralatan keperluan tanpa meminjam dengan institusi kewangan yang melibatkan bayaran yang tinggi. KWG akan menguruskan pelaburan yang diterima dan akan mengagihkan keuntungan projek selepas setahun kewangan projek. Agihan adalah bergantung kepada untung / rugi perniagaan ini.
Selain dari itu, KWG akan mewujudkan kerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Haiwan, industri hiliran berasakan telur itik, rangkaian pemasaran dengan kerjasama pihak FAMA / swasta, menyertai latihan dan membangunkan sumber manusia di peringkat penternak.
Pengurusan Projek
Aktiviti penternakan ini adalah di bawah bimbingan pegawai bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Bagi memastikan penternak mendapat manfaat daripada projek ini, Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang sedia ada akan meneruskan pemantauan dan penilaian kemajuan ternakan di samping memberi cadangan-cadangan serta panduan ternakan yang sesuai.
Analisa Keperluan Tenaga Kerja
Berdasarkan kepada amalan biasa keperluan tenaga kerja bagi menjayakan projek ini ialah untuk ternakan komersial kurang 1,000 ekor memerlukan 2 orang tenaga kerja, ternakan 1,000-2,000 ekor memerlukan 3 orang pekerja sementara 2,000-3,000 ekor perlukan tenaga kerja seramai 4 orang.
Pemasaran
Buat masa sekarang, pemasaran hasil ternakan telah dibuat disekitar kawasan ini sehingga ke jajahan terdekat. Kedudukan harga jualan telur itik dan saluran pemasaran masa kini ialah secara borong 0.50 sebiji. Sekiranya ada di kalangan peniaga di luar Kelantan yang inginkan kuantiti telur yang banyak, mereka boleh hubungi Pengurus KWG, En. Mazlan Bin Ab. Rahman di talian 014-8146661 atau email : kitabwaima@kitabwaima.com atau Faks : 09-744 0003