PERTANIAN bukan lagi bidang yang hanya dianggap sebagai pekerjaan `sekadar cari makan’ semata-mata tetapi sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh dan menggunakan inovasi tertentu ia akan memberi pulangan lumayan.
Buktinya, petani profesional Harrani Dayat, 32, kini mampu tersenyum melihat hasil titik peluhnya setiap kali mengutip hasil.
Bermula sebagai pekerja pertanian di Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Harrani mengorak langkah sebagai usahawan tani yang boleh dibanggakan.
Pengorbanannya berhenti kerja atas prinsip ingin berbakti kepada tanah dan kerja `makan gaji’ tidak memberi kepuasan nyata berbaloi kerana gelaran usahawan berjaya sudah dalam genggaman.
Harrani mencuba teknologi tanaman sayur menggunakan kaedah fertigasi, gabungan antara `fertilization dan irrigation’ (pembajaan dan pengairan) atau kaedah titisan baja serta Struktur Perlindungan Hujan (SPH).
Melalui kaedah ini, medium tanaman ditukar daripada kaedah biasa menggunakan tanah kepada campuran sekam padi dan abu sabut kelapa.
Air dan nutrien dicampur dan disalurkan kepada pokok melalui medium tanaman.
Katanya, melalui cara ini kawalan air dan nutrien dibuat lebih mudah berdasarkan kepada fasa pertumbuhan pokok.
Manakala Struktur Perlindungan Hujan dapat mengelakkan tanaman terdedah pada cahaya matahari dan mengurangkan serangan penyakit serta hujan berlebihan.
Menurut Harrani, kaedah ini diperkenalkan oleh juru perunding dari Belanda yang digunakan oleh PPNJ pada 1994.
Beliau mempelajari kaedah itu ketika masih bertugas mengendalikan projek berkenaan bersama PPNJ di Projek Sayur Fertigasi Sungai Lebak, Kota Tinggi.
Harrani kemudian mengambil keputusan mengusahakan sendiri projek tersebut di Kampung Nawi Jawa, Batu Pahat berbekalkan modal permulaan sebanyak RM100,000.
Projek itu berkeluasan 0.4 hektar dengan setiap 0.2 hektar ditanam dengan tomato dan terung.
Projek dimulakan pada Jun tahun lalu dengan fasa pertama membabitkan tanaman tomato berkeluasan 0.2 hektar dengan kos RM70,000.
Kos ini meliputi kerja-kerja pembersihan, pembinaan SPH daripada plastik sebanyak empat unit dengan keluasan 1,538 meter persegi dan satu unit lagi berkeluasan 186 meter persegi.
Kerja-kerja lain termasuk pembinaan sistem pengairan titis dan lain-lain keperluan untuk projek tanaman satu pusingan tomato sebanyak 4,000 pokok yang ditanam dalam beg poli.
Hasil tanaman buah tomato sehingga akhir 2000 ialah sebanyak 25,000 kilogram dengan harga pada masa itu RM1.50 sekilogram.
Dengan perkataan lain, hasil jualan sebanyak RM37,000 berjaya diperoleh bagi fasa berkenaan.
Bagi fasa kedua tanaman terung diusahakan di kawasan seluas 0.2 hektar dengan kos sebanyak RM30,000 meliputi kerja-kerja pembersihan, penyediaan kawasan dan penyediaan pokok terung sebanyak 1,000 pokok.
Menurut Harrani, sepokok tomato mampu mengeluarkan buah sehingga enam kilogram bagi satu pusingan selama enam bulan atau 120 tan sehektar setahun.
Bagi terung, ia mampu mengeluarkan hasil 10 kilogram sepokok bagi satu pusingan antara tiga dan empat bulan.
Katanya, secara keseluruhan bagi satu pusingan kedua-dua tanaman mampu mengeluarkan hasil antara 16 dan 20 tan bagi kawasan seluas 0.2 hektar.
Beliau bercadang mengusahakan tanaman sayuran lain termasuk cili, timun Jepun, kacang buncis dengan menggunakan kaedah fertigasi.
Mengenai pasaran, Harrani yang berkelulusan dari Institut Pertanian Malaysia, Air Itam berkata, pada masa ini beliau memasarkan hasil tanaman melalui jualan borong kepada pemborong tempatan.
Beliau kini dibantu oleh dua pekerja bagi mengusahakan projek tersebut.
Selain projek di Kampung Nawi Jawa, Batu Pahat, beliau juga mengusahakan kawasan tanaman seluas lima hektar di Kota Tinggi dengan bantuan sembilan pekerja.
Harrani berkata beliau menyewa tanah untuk mengusahakan projek itu daripada PPNJ.
Sementara itu, berdasarkan analisis kewangan Jabatan Pertanian, projek berkenaan sangat berdaya maju.
Menurut analisis itu, dengan kadar diskaun 10 peratus bagi tempoh selama 10 tahun hasil bersih 0.4 hektar tomato ialah sebanyak RM529,842.
Walaupun enggan menyatakan angka sebenar pendapatannya, difahamkan melalui projek tanaman itu, anak watan Batu Pahat ini mampu memperolehi pendapatan dalam lingkungan RM4,000 sebulan.
Kejayaan Harrani itulah yang mahu diperbanyakkan oleh Kementerian Pertanian dalam usaha negara mencapai matlamat mengangkat sektor pertanian sebagai penjana ekonomi negara melalui Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).
Harapan DPN3 tentulah mahu lebih ramai lagi `Harrani’ dapat dihasilkan melalui projek mengkomersialkan sektor pertanian pada masa akan datang.