Layu Veskular ancam pisang

1,000 hektar kawasan tanaman di daerah Batu Pahat diserang penyakit ganjil sejak tujuh bulan lalu

BATU PAHAT: Kejadian ratusan hektar tanaman pisang di sekitar daerah ini diserang penyakit ganjil, memberi banyak kesan negatif terhadap bekalan buah itu di pasaran tempatan.

Selain perusahaan makanan ringan, penyakit dikenali sebagai layu veskular mula dikesan menyerang tanaman terbabit sejak Oktober tahun lalu itu, bakal menyebabkan ramai penggemar pisang goreng mengeluh panjang.

Ini berikutan penyakit berpunca daripada sejenis bakteria, ralstonia solana cearun, menyebabkan banyak pokok pisang matang dan sedang berbuah di kawasan terbabit mati.

Serangan bakteria baru ditemui itu, menyebabkan pokok pisang menjadi layu sebelum mati. Malah, ia turut merosakkan buah matang yang sedia untuk dituai.

Setakat ini, dianggarkan 1,000 hektar kawasan tanaman pisang di sekitar daerah ini, terutama di Rengit diserang penyakit ganjil berkenaan, sejak tujuh bulan lalu.

Penyakit yang hingga kini belum ditemui penawarnya itu, menyebabkan petani di kawasan terbabit kerugian hampir RM2 juta, sekali gus hilang punca pendapatan.

Antara kawasan paling teruk mengalami masalah berkenaan ialah beberapa kampung di Mukim Sungai Punggor, Mukim Kampung Bahru, Mukim Sungai Kluang serta Mukim Minyak Beku.

Serangan penyakit itu, kini dikatakan menjadi punca utama berlaku kekurangan bekalan pisang di pasaran tempatan, sekali gus menjejaskan operasi pengusaha makanan ringan serta penjual pisang goreng.

Bagi penjual pisang goreng, kekurangan bekalan pisang nipah atau kepok yang menjadi bahan utama perniagaan mereka, menyebabkan harganya kini meningkat lebih 15 peratus.

Peniaga, Halaji Majid, 63, berkata harga pisang berkenaan yang diperoleh daripada pemborong kini dijual sekitar RM0.80 sen sekilogram (kg), berbanding RM0.60 sen setiap kg beberapa bulan lalu.

“Saya terbabit dalam perniagaan pisang goreng di bandar ini, sejak lebih 20 tahun lalu dan pada masa itu, satu kilogram pisang berkenaan dijual kira-kira RM0.35 sen saja.

“Selain harganya berpatutan, kalangan peniaga pisang goreng di bandar ini tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan. Bagaimanapun, kini harga bahan itu meningkat kepada RM0.80 sen,” katanya.

Halaji berkata, walaupun harga borong bahan berkenaan sejak beberapa bulan lalu meningkat lebih 30 peratus, namun harga jualan pisang goreng di warungnya masih kekal RM0.10 sen sebiji.

Katanya, secara purata sebanyak 60 kg pisang nipah mentah digunakan menjadi pisang goreng di warungnya dalam sehari, sekali gus membolehkannya menyerap kos berkaitan.

“Walaupun jualan pisang goreng hanya mampu mengembalikan modal, saya tetap memperoleh sedikit keuntungan hasil jualan minuman serta makanan lain seperti pelbagai jenis kuih dan mi rebus,” katanya.

Peraih, Sidek Hussein, 31, berkata beliau mendapat bekalan pelbagai jenis pisang daripada petani di sekitar Kampung Sungai Ayam serta Sungai Suluh, di Batu Pahat.

Katanya, dulu harga satu kg pisang nipah yang diperoleh daripada petani di kawasan sekitar kira-kira RM0.40 sen, tetapi kekurangan bekalan menyebabkan ia meningkat kepada RM.060 sen.

Pisang yang diperoleh daripada pembekal terbabit, terutama pisang nipah kemudian dijual kepada beberapa pengusaha warung pisang goreng di sekitar bandar berkenaan.

“Bagaimanapun, saya terpaksa mendapatkan bekalan daripada petani dari beberapa kawasan lain seperti Sungai Pulai di Muar, untuk menampung permintaan,” katanya.

Petani, Sadali Mahat, 50, berkata banyak tanaman pisang yang diusahakan di kebunnya di Kampung Baru, Parit Yaani, mati selepas diserang penyakit berkenaan kira-kira lima bulan lalu.

“Sebelum diserang penyakit, kebun seluas kira-kira satu hektar itu, mampu menghasilkan kira-kira 600 kg pisang setahun. Kini, hasilnya kurang daripada 100 kg sekali tuai.

“Selain menyerang tanaman pisang yang diusahakan di kawasan tanah pamah, beberapa rakan saya yang menanam pokok pisang di kawasan bukit, juga terkena serangan penyakit itu,” katanya.

Pekebun, Abdul Rahim Mohd Tahir, 61, berkata penyakit yang menyerang pokok pisang di kawasan berkenaan, termasuk di kebunnya di Kampung Sungai Punggor itu, belum pernah dialami sebelum ini.

“Saya sudah mengusahakan tanaman pisang sejak lebih 40 tahun lalu dan yakin masalah ini kali pertama dialami pekebun kecil di kawasan terbabit.

“Jika gagal diatasi segera, saya bimbang masalah ini akan menjadi lebih serius, termasuk menjejaskan pendapatan pekebun kecil di kawasan terbabit.

“Jadi, saya berharap pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pertanian segera menjalankan kajian terperinci, bagi mengenal pasti punca serta kaedah berkesan mengatasi penyakit berkenaan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, buah pisang yang diserang penyakit berkenaan, menjadi hitam dan tidak boleh dijadikan pisang goreng atau digunakan untuk membuat kerepek.

Beliau berkata, kalangan petani sudah menggunakan pelbagai cara seperti meracun rumpun pokok pisang yang terkena serangan penyakit itu, tetapi tidak berkesan.

Katanya, masalah berkenaan menyebabkan pendapatan mereka merosot mendadak dan sekali gus menjadi punca utama penyumbang kekurangan bekalan pisang di pasaran tempatan.

“Berikutan itu, ramai pekebun mengeluh dan terpaksa mengawal perbelanjaan harian mereka, berikutan kemerosotan pendapatan yang mendadak. Ada di antara kami hanya mampu memperoleh RM150 sebulan,” katanya.

One thought on “Layu Veskular ancam pisang

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s