Asap rokok pengaruhi wanita lahirkan anak hiperaktif

Wanita yang terdedah kepada asap rokok semasa mengandung berisiko dapat anak mengalami masalah kesihatan terutamanya masalah hiperaktif.

Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata masalah hiperaktif atau dalam istilah perubatan dipanggil ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD) dikesan dialami oleh lapan sehingga 10 peratus kanak-kanak sekolah di negara ini.

“Kanak-kanak ADHD gemar bertindak sebelum berfikir, terlalu aktif dan sukar menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Bulan Bebas Tembakau peringkat Kampus Kesihatan USM di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibu-ibu mengandung yang terdedah kepada situasi itu juga berisiko melahirkan anak yang kurang berat badan, cacat, lemah otak dan lahir tidak cukup bulan.

Kementerian Kesihatan melaporkan pada akhir 2006, jumlah perokok di Malaysia adalah seramai 3.8 juta.

Daripada jumlah itu Orang Melayu merupakan kategori perokok paling ramai iaitu 50 peratus berbanding Cina (21 peratus) dan India (9 peratus).

Dr Mafauzy berkata, setiap tahun kira-kira lima juta penduduk dunia mati akibat merokok dan di Malaysia, bilangan kematian akibat penyakit yang berkaitan dengan rokok adalah kira-kira 10,000 orang setahun.

“Sebanyak 30 peratus kematian adalah disebabkan kanser, 25 peratus sakit jantung dan 25 peratus strok.

“Dua pertiga daripada semua jenis penyakit kanser boleh dielakkan, dan caranya sangat mudah iaitu dengan berhenti merokok,” katanya

Layu Veskular ancam pisang

1,000 hektar kawasan tanaman di daerah Batu Pahat diserang penyakit ganjil sejak tujuh bulan lalu

BATU PAHAT: Kejadian ratusan hektar tanaman pisang di sekitar daerah ini diserang penyakit ganjil, memberi banyak kesan negatif terhadap bekalan buah itu di pasaran tempatan.

Selain perusahaan makanan ringan, penyakit dikenali sebagai layu veskular mula dikesan menyerang tanaman terbabit sejak Oktober tahun lalu itu, bakal menyebabkan ramai penggemar pisang goreng mengeluh panjang.

Ini berikutan penyakit berpunca daripada sejenis bakteria, ralstonia solana cearun, menyebabkan banyak pokok pisang matang dan sedang berbuah di kawasan terbabit mati.

Serangan bakteria baru ditemui itu, menyebabkan pokok pisang menjadi layu sebelum mati. Malah, ia turut merosakkan buah matang yang sedia untuk dituai.

Setakat ini, dianggarkan 1,000 hektar kawasan tanaman pisang di sekitar daerah ini, terutama di Rengit diserang penyakit ganjil berkenaan, sejak tujuh bulan lalu.

Penyakit yang hingga kini belum ditemui penawarnya itu, menyebabkan petani di kawasan terbabit kerugian hampir RM2 juta, sekali gus hilang punca pendapatan.

Antara kawasan paling teruk mengalami masalah berkenaan ialah beberapa kampung di Mukim Sungai Punggor, Mukim Kampung Bahru, Mukim Sungai Kluang serta Mukim Minyak Beku.

Serangan penyakit itu, kini dikatakan menjadi punca utama berlaku kekurangan bekalan pisang di pasaran tempatan, sekali gus menjejaskan operasi pengusaha makanan ringan serta penjual pisang goreng.

Bagi penjual pisang goreng, kekurangan bekalan pisang nipah atau kepok yang menjadi bahan utama perniagaan mereka, menyebabkan harganya kini meningkat lebih 15 peratus.

Peniaga, Halaji Majid, 63, berkata harga pisang berkenaan yang diperoleh daripada pemborong kini dijual sekitar RM0.80 sen sekilogram (kg), berbanding RM0.60 sen setiap kg beberapa bulan lalu.

“Saya terbabit dalam perniagaan pisang goreng di bandar ini, sejak lebih 20 tahun lalu dan pada masa itu, satu kilogram pisang berkenaan dijual kira-kira RM0.35 sen saja.

“Selain harganya berpatutan, kalangan peniaga pisang goreng di bandar ini tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan. Bagaimanapun, kini harga bahan itu meningkat kepada RM0.80 sen,” katanya.

Halaji berkata, walaupun harga borong bahan berkenaan sejak beberapa bulan lalu meningkat lebih 30 peratus, namun harga jualan pisang goreng di warungnya masih kekal RM0.10 sen sebiji.

Katanya, secara purata sebanyak 60 kg pisang nipah mentah digunakan menjadi pisang goreng di warungnya dalam sehari, sekali gus membolehkannya menyerap kos berkaitan.

“Walaupun jualan pisang goreng hanya mampu mengembalikan modal, saya tetap memperoleh sedikit keuntungan hasil jualan minuman serta makanan lain seperti pelbagai jenis kuih dan mi rebus,” katanya.

Peraih, Sidek Hussein, 31, berkata beliau mendapat bekalan pelbagai jenis pisang daripada petani di sekitar Kampung Sungai Ayam serta Sungai Suluh, di Batu Pahat.

Katanya, dulu harga satu kg pisang nipah yang diperoleh daripada petani di kawasan sekitar kira-kira RM0.40 sen, tetapi kekurangan bekalan menyebabkan ia meningkat kepada RM.060 sen.

Pisang yang diperoleh daripada pembekal terbabit, terutama pisang nipah kemudian dijual kepada beberapa pengusaha warung pisang goreng di sekitar bandar berkenaan.

“Bagaimanapun, saya terpaksa mendapatkan bekalan daripada petani dari beberapa kawasan lain seperti Sungai Pulai di Muar, untuk menampung permintaan,” katanya.

Petani, Sadali Mahat, 50, berkata banyak tanaman pisang yang diusahakan di kebunnya di Kampung Baru, Parit Yaani, mati selepas diserang penyakit berkenaan kira-kira lima bulan lalu.

“Sebelum diserang penyakit, kebun seluas kira-kira satu hektar itu, mampu menghasilkan kira-kira 600 kg pisang setahun. Kini, hasilnya kurang daripada 100 kg sekali tuai.

“Selain menyerang tanaman pisang yang diusahakan di kawasan tanah pamah, beberapa rakan saya yang menanam pokok pisang di kawasan bukit, juga terkena serangan penyakit itu,” katanya.

Pekebun, Abdul Rahim Mohd Tahir, 61, berkata penyakit yang menyerang pokok pisang di kawasan berkenaan, termasuk di kebunnya di Kampung Sungai Punggor itu, belum pernah dialami sebelum ini.

“Saya sudah mengusahakan tanaman pisang sejak lebih 40 tahun lalu dan yakin masalah ini kali pertama dialami pekebun kecil di kawasan terbabit.

“Jika gagal diatasi segera, saya bimbang masalah ini akan menjadi lebih serius, termasuk menjejaskan pendapatan pekebun kecil di kawasan terbabit.

“Jadi, saya berharap pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pertanian segera menjalankan kajian terperinci, bagi mengenal pasti punca serta kaedah berkesan mengatasi penyakit berkenaan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, buah pisang yang diserang penyakit berkenaan, menjadi hitam dan tidak boleh dijadikan pisang goreng atau digunakan untuk membuat kerepek.

Beliau berkata, kalangan petani sudah menggunakan pelbagai cara seperti meracun rumpun pokok pisang yang terkena serangan penyakit itu, tetapi tidak berkesan.

Katanya, masalah berkenaan menyebabkan pendapatan mereka merosot mendadak dan sekali gus menjadi punca utama penyumbang kekurangan bekalan pisang di pasaran tempatan.

“Berikutan itu, ramai pekebun mengeluh dan terpaksa mengawal perbelanjaan harian mereka, berikutan kemerosotan pendapatan yang mendadak. Ada di antara kami hanya mampu memperoleh RM150 sebulan,” katanya.

Matlumat Tambahan mengenai Pisang

MARDI telah berjaya mengeluarkan dua jenis pisang kacukan (MB1 dan MB2) hasil dari penyelidikan selama 8 tahun (Laporan The Sun bertarikh 19 Oktober 1999).

Ciri-ciri pisang tersebut :

* Pokok rendah
* Cepat berbuah dalam masa 6 hingga 8 bulan
* Rintangan kepada penyakit kulat seperti Fusarium
* Hasil yang tinggi iaitu keluaran sebanyak 35kg satu tandan

Pisang kacukan (hibrid) baru ini adalah khusus untuk pemprosesan seperti kerepek dan kurang sesuai untuk dimakan kerana rasa yang kemasaman. Mungkin ramai yang meminati keluaran pisang terbaru ini memandangkan ciri-cirinya yang baik.

Cara yang mudah untuk mendapat anak benih baru ini dengan cepat dan berganda besar jumlahnya adalah melalui kaedah “kultur tisu”.

Apa dia kaedah kultur tisu?

Kultur tisu adalah satu kaedah di mana bahagian-bahagian tumbuhan seperti daun, batang atau tangkai bunga dan sebagainya digunakan dan disemai dalam tabung uji yang mengandungi bahan-bahan nutrien seperti vitamin dan garam-garam inorganik ataupun bukan organik serta hormon.Kaedah ini dilakukan dalam keadaan steril (basmi kuman).

  Kebaikan kaedah kultur tisu

Cara tradisional menanam pisang adalah mengguna sulur yang diperolehi daripada pokok yang matang. Tetapi kualiti tandan pisang yang diperolehi tidak seragam dan juga jumlah sulur terhad. Malah penyakit pisang dibawa daripada satu generasi ke generasi yang baru. Melalui kaedah kultur tisu, beribu-ribu anak pisang yang kecil dapat dikeluarkan dengan serentak.

Pisang sering diserang oleh sejenis kulat Fusarium. Walau bagaimanapun MARDI telah menjalankan kajian dan mengeluarkan 3 jenis klon pisang yang mempunyai ciri rintangan penyakit yang disebabkan oleh Fusarium. Jenis-jenis pisang tersebut adalah seperti berikut :

a) Abu Baru
b) Embun Baru (jenis Cavendish)
c) Gold finger

Selepas padi, gandum dan jagung; pisang adalah jenis tanaman yang keempat penting dalam aktiviti tanaman kontan. Penanaman pisang berguna unuk memberi teduhan kepada tanaman yang lain seperti; koko kopi dan lada hitam. Pisang mempunyai banyak khasiat seperti zat fosforus, kalium dan vitamin seperti B6. Kandungan lemak pun rendah. Serabut daripada daun dan batang boleh digunakan untuk membuat tekstil.

TropBio Research Sdn Bhd. telah berjaya mengkomersialkan beberapa jenis pisang yang tersebut di atas dengan bermacam rasa dan rupa seperti “Gold finger” yang manis dan enak rasanya seperti pisang rastali, tetapi saiz buah besar dan lebih padat. Ini membolehkan “Gold finger” digoreng atau dimasak cara lain.

Jenis pisang lain yang juga dikeluarkan oleh TropBio adalah Berangan Juara, Sri Latina dan Sri Manila (jenis Cavendish)

 

Adakah penanaman pisang hasil daripada kultur tisu menguntungkan?

Varieti Ketinggian pokok
(cm)
Tempoh masa pucuk keluar (hari) Tempoh masa daripada keluar pucuk hingga menebang tandan (hari) Berat tandan
(kg)
Gold finger 200 – 240 180 – 220 90 – 100 25 – 35
Embun Baru 230 – 280 200 – 240 90 – 100 30 – 35
Abu Baru 290 – 330 200 – 260 80 – 90 25 – 35

Mengapa tidak!

Data-data di atas menunjukkan penanaman pisang daripada kultur tisu menguntungkan.