Kerja, amal jamin kehidupan terbaik

DARIPADA Imran katanya, saya bertanya: “Ya Rasulullah, apa dasar kerja orang yang bekerja? Baginda SAW menjawab: “Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Manusia adalah makhluk yang bekerja. Bahkan, manusia tidak akan mendapatkan suatu apa pun kecuali apa yang diusahakannya. Oleh itu tidaklah menghairankan jika kita juga sering mendengar bahawa masuk syurga atau neraka itu sangat ditentukan oleh amal atau perbuatan seseorang, pekerjaannya atau usahanya ketika di dunia.

Aspek kerja dalam Islam sesungguhnya terkandung dalam bentuk yang sangat luas mencakupi seluruh kehidupan itu sendiri, ia bersifat fizikal, intelektual dan juga spiritual. Apa yang ditekankan Islam ialah supaya kita bekerja atau berusaha untuk kebaikan dan dengan cara yang baik kerana orang yang beriman dan bekerja dengan baik, Allah akan memberinya kehidupan yang baik.

Sesungguhnya kerja dengan amal mempunyai terjemahan sama dalam Islam meskipun masyarakat mengenalinya dari sudut berbeza. Amal sering kali diberi makna kerja kebajikan.

Sedangkan, kerja dikategorikan pada tindakan manusia yang menghasilkan upah atau gaji dalam bentuk wang mahupun material yang bersifat ekonomi untuk menjaga kelangsungan hidup bagi diri sendiri atau orang di bawah tanggungjawabnya.