Berita pasal barang-barang basah tak naik tapi barang kering naik…samalah jugak. Dah gaji gomen naik, abis semua naiklah…Ni yang aku tak sabar nak berenti kerja nih…buat fulltime kerja dalam bidang pertanian.
Sabar sebahagian dari iman..
PUTRAJAYA 23 Mei – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan produk berasaskan pertanian dan makanan mencukupi dan tidak dinaikkan harga.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiga agensi utamanya iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) akan membantu Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP memantau bekalan ikan, sayur, buah-buahan dan daging di seluruh negara.
‘‘Kabinet mengarahkan kita supaya memastikan di sebalik kenaikan gaji baru kakitangan awam, tidak berlaku tekanan kepada bekalan barangan dan harganya dinaikkan oleh peniaga.
‘‘Bagi memastikan bekalan cukup, tinjauan daripada situasi ladang dan pengeluar yang dilakukan setakat hari ini tidak menjadi masalah baik daripada segi pengeluaran sayur, buah-buahan, ikan dan daging,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pada musim-musim perayaan yang menyebabkan permintaan ke atas barangan tinggi, pengeksport diminta memastikan bekalan dalam negara diberi keutamaan.
Muhyiddin menjelaskan, pengimport juga diminta membuat perancangan lebih awal supaya tidak berlaku masalah kekurangan bekalan sehingga menyusahkan pengguna.
‘‘Walaupun bidang kuasa ini terletak di bawah KPDNHEP, kita juga pantau harga dan buat perbandingan dengan bahagian penguat kuasa bagi memastikan harga barangan adalah terkawal,” katanya.
Beliau menambah, laporan FAMA ke atas indeks harga pasaran yang dikumpul menunjukkan 33 komoditi utama pertanian di peringkat peruncit seluruh negara mengalami penurunan dan konsisten dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa paraquat akan diharamkan penggunaannya berkuat kuasa November ini.
Keputusan tersebut, katanya, dibuat selepas kementerian mendapat laporan terperinci daripada Lembaga Racun Negara terhadap aspek keselamatan dan kesan jangka panjang penggunaan racun tersebut.