Syeikh Sya’rawi berkata: Selepas Allah menceritakan berkenaan jenis-jenis manusia yang menerima dakwah sama ada kufur, nifak dan benar-benar beriman, lantas di sini Allah berfirman berkenaan orang-orang yang beriman: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah: 208 & 209)
Firman Allah s.w.t: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.
Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan sebab turun ayat ini:
* Kepada siapa yang beragama Islam di kalangan Ahli Kitab. Di mana mereka selepas Islam amat berhati-hati dengan hari Sabtu dan daging unta dan apa-apa yang dijauhi oleh Ahli Kitab. Inilah yang diriwayatkan oleh Abu Solih daripada Ibn Abbas.
* Diturunkan kepada Ahli Kitab yang tidak beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w lantas diperintahkan supaya mereka memeluk Islam seperti riwayat Ibn Abbas. Ini adalah pendapat al-Dahhak.
* Diturunkan kepada orang Islam supaya masuk dalam syariat Islam semuanya seperti kata Mujahid dan Qatadah.
Seterusnya maksud silmi di sini dengan dua pendapat. Pertama, ia bermaksud Islam seperti kata Ibn Abbas, Ikrimah, Qatadah, al-Dahhak, al-Suddi, Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.
Kedua, adalah ketaatan seperti riwayat Ibn Abbas juga, pendapat Abi al-‘Aliah dan al-Rabi’.
Seterusnya perkataan kaffah iaitu keselamatannya membawa maksud dengan tiga perkara:
* Perintah kepada orang yang beriman dengan lidah-lidah mereka supaya beriman juga dengan hati-hati mereka.
* Perintah kepada orang yang beriman supaya mereka beriman kepada seluruh syariatnya.
* Perintah supaya thabit atas agama Islam.
Sayid Qutub berkata: Itulah seruan kepada orang-orang mukmin dengan nama keimanan iaitu seruan dengan sifat yang disukai mereka dan membezakan mereka, sifat yang menghubungkan mereka dengan Allah yang menyeru mereka agar seluruh mereka ke dalam kedamaian.
Maksud pertama dari seruan ini ialah supaya orang-orang mukmin menyerah jiwa raga mereka kepada Allah dan menyerah segala urusan mereka sama ada kecil atau besar kepada Allah.
Mereka hendaklah memberi ketaatan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri kepada kudrat Allah yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk. Seterusnya membawa kepada kesudahan yang baik dunia dan akhirat.
Matlamat dakwah yang seperti ini kepada orang-orang yang beriman itu membayangkan bahawa di sana ada orang-orang yang masih teragak-agak untuk taat dan patuh yang mutlak kepada Allah sama ada di dalam sulit atau di dalam terang.
Wujudnya orang-orang yang seumpama ini di dalam masyarakat Islam di samping golongan orang-orang yang penuh yakin dan reda itu memanglah satu perkara biasa. Dakwah ini adalah ditunjukkan setiap masa kepada orang-orang yang beriman.
Ia supaya mereka sentiasa ikhlas kepada Allah dan aliran fikiran serta perasaan mereka selaras dengan kehendak Allah terhadap mereka. Juga selaras dengan matlamat yang dipimpin oleh Nabi dan agama mereka tanpa digugat oleh sebarang keraguan.
Apabila seseorang Islam menyambut dakwah itu dengan sambutan sedemikian, bererti dia memasuki sebuah alam yang seluruhnya diselubungi kedamaian dan keamanan. Sebuah alam yang seluruhnya dipenuhi kepercayaan dan keyakinan, kerelaan dan kemantapan di mana tidak terdapat lagi sebarang kerunsingan dan kegelisahan.
Kedamaian dengan seluruh alam buana dan seluruh yang maujud, kedamaian dan keimanan yang menerangi liku-liku hati, kedamaian dan keamanan yang memayungi kehidupan dan masyarakat, kedamaian dan keamanan di bumi dan di langit.
Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Berkenaan dengan syaitan, wajib memerangi dan mengalahkannya disebabkan dua perkara:
Syaitan adalah musuh yang nyata menyesatkan kita. Tidak boleh mengharapkan kebaikan dan perdamaian, sebab mereka akan puas jika mampu membinasakan kita. Oleh sebab itu, tidak ada alasan untuk kita merasa tenteram dengan syaitan dan kita harus mengingatinya.
Firman Allah s.w.t dalam Surah Yasin, ayat 60 yang bermaksud: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
Ini merupakan peringatan yang sangat penting kepada kita.
Sudah menjadi tabiat syaitan untuk selalu memusuhi anak cucu Adam. Mereka akan selalu memerangi kita siang dan malam. Sedangkan kita sering lalai akan hal ini.
Perlu diperhatikan, bahawa kita beribadat kepada Allah dan mengajak orang lain kepada keredaan Allah dengan lisan dan perbuatan. Semua itu bertentangan dengan perbuatan, cita-cita, kemahuan dan usaha syaitan.
Hal itu bererti kita telah bersiap untuk memerangi, melawan dan berusaha mengalahkannya. Pada pihak yang lain, syaitan telah bersiap sedia dan berusaha memerangi, menipu dan membinasakan kita. Bahkan, syaitan inginkan kehancuran kita kerana syaitan merasa tidak aman dengan kita.
Sesungguhnya orang kafir adalah teman-teman syaitan. Orang kafir tidak pernah memerangi dan membencinya. Padahal syaitan akan membinasakan mereka. Walau sebenarnya, syaitan akan tetap memusuhi orang-orang yang mengikutinya. Kepada orang-orang yang memusuhinya, syaitan menganggapnya sebagai masalah khusus dan penting.
Syaitan juga banyak pembantu untuk menghancurkan kita, yang paling ganas ialah hawa nafsu.
Selain itu, masih banyak lagi celah baginya untuk masuk ke dalam diri seseorang dan manusia tidak akan menyedarinya.
Yahya bin Mu’az al-Razi berkata, syaitan itu suka menganggu, ia mempunyai banyak waktu untuk menjalankan rencananya. Sedangkan manusia selalu sibuk dan syaitan mengetahuinya. Tetapi, kita tidak melihatnya, kita lupa terhadapnya namun syaitan selalu mengingatkan kita. Syaitan akan cuba mengalahkan kita dan syaitan mempunyai ramai pembantu.
Oleh sebab itu kita harus bertekad untuk mengalahkan dan memeranginya. Jika tidak, kita tidak akan aman dari kebinasaan dan kehancuran. Dengan cara apa kita harus mengalahkannya? Di sini dinyatakan dua cara untuk mengalahkannya:
Menurut pendapat sebahagian ulama, cara menghalau syaitan dan berlindung darinya adalah dengan memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. Ini kerana syaitan ibarat anjing yang diberi kekuatan untuk menggoda kita.
Jika kita terus menerus menghalau dan memeranginya, nescaya kita akan kehabisan waktu, sehingga ia dapat menggigit dan melukai kita. Dengan demikian, sebaik-baik jalan adalah langsung bermohon kepada Allah yang menguasai anjing itu agar menjauhi kita.
Menurut ahli yang menyingkirkan syaitan, kita harus berjuang sekuat tenaga menolak, mengusir, melawan dan menentang syaitan. Pertamanya, mohon perlindungan dari segala tipu daya syaitan. Sebagaimana yang diperintahkan dalam al-Quran. Sesungguhnya mudah bagi Allah menyelamatkan manusia dari kejahatannya.
Kemudian, jika merasa masih boleh dikalahkan oleh syaitan, sesungguhnya itu adalah ujian Allah agar tampak kebenaran perjuangan dan kekuatan kita dalam menjalankan perintah Allah, dan untuk membuktikan kesabaran kita. Sebagaimana Allah memberikan kekuatan kepada kaum kafir untuk mengalahkan kita, sedangkan Allah sangat berkuasa menumpaskan kejahatan orang-orang kafir itu.
Iktibar dan pengajaran ayat:
* Mengikut ajaran Islam dengan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan dengan berpaksikan kepada ilmu pengetahuan.
* Jangan mengikut tipu daya dan ajakan syaitan laknatullah.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana