JIKA anda salah seorang penghidap asma, ini ada satu pesanan khas daripada pemain tengah Manchester United, Paul Scholes. ‘‘Saya berjaya mengawal asma dengan baik dan ia tidak mengganggu prestasi di padang bola.
Mungkin ramai yang tidak tahu, saya selalu mengambil ubat sebelum perlawanan bermula dan jika perlu, saya akan menyedut inhaler sekali lagi pada waktu rehat separuh masa.
‘‘Saya akan memastikan untuk membawa ubat ke mana-mana sahaja sebagai persediaan jika apa-apa berlaku. Saya juga tidak lupa untuk memanaskan diri dengan regangan sebelum beraksi,’’ katanya.
Kisah asma si Raja Halia (Ginger Prince), nama timangannya mengambil sempena warna rambutnya yang perang kemerah-merahan bermula pada awal pembabitannya dengan skuad Red Devil kira-
kira sedekad lalu.
Scholes mula mengalami masalah nafas yang tercungap-cungap, sakit dada yang teruk dan sering selesema pada musim sejuk. Pemeriksaan lanjut mengesahkan beliau menghidap asma.
Namun disebabkan oleh iltizamnya yang kuat, Scholes yang disifatkan sebagai amat pemalu orangnya oleh para peminat, berjaya mengawal asma dengan begitu baik sekali.
Masih berpengaruh walaupun kini mencecah usia 32 tahun, Scholes kini aktif dalam program meningkatkan kesedaran mengenai penyakit asma di tempat kelahirannya, United Kingdom, England.
‘‘Saya kini tidak lagi terganggu dengan gejala asma baik siang atau malam terutamanya dapat mengelakkan serangan asma. Anda juga boleh menguruskannya dengan baik, seterusnya menjalani gaya hidup aktif termasuklah bersukan seperti orang normal lain,’’ kata Scholesy.
Bagi bukan pesakit, bayangkan bagaimana sukarnya untuk menaiki beberapa anak tangga atau mengangkat seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak cukup nafas. Begitulah lebih kurangnya derita penghidap asma.
Pengerusi Majlis Asma Malaysia, Dr. Norzila Zainudin mengakui, pada keseluruhannya, penyakit asma dapat dikawal dengan mudah dan baik.
‘‘Dengan mengambil rawatan ubat-ubatan pada dos tertentu mengikut nasihat doktor selain pengajaran mengenai pengendalian asma, penyakit ini dapat dikawal dengan baik. Pesakit dan doktor menjadi rakan kongsi dalam merawat asma.
‘‘Di samping itu, kawalan persekitaran adalah penting seperti tidak merokok dan keadaan sekeliling yang tidak berhabuk,’’ katanya, merangkap Ahli Jawatankuasa Penganjur Hari Asma Sedunia.
Hari Asma Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap Selasa pertama bulan Mei dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan penjagaan asma di seluruh dunia.
Tahun ini, Asma: Anda Boleh Mengawalnya telah dipilih sebagai tema oleh Global Initiative for Asthma, organisasi sama yang bertanggungjawab meraikannya buat julung kali pada tahun 1998.
Menurut Dr. Norzila, mengambil bahagian di dalam sebarang bentuk sukan tidak akan memburukkan tahap asma. Yang penting, memastikan asma berada dalam tahap kawalan yang baik.
Bagaimanapun, jika penghidap mengalami asma yang dirangsang oleh senaman di mana muncul tanda-tanda seperti batuk semasa bersukan, langkah-langkah ini perlu diambil.
Melakukan senaman regangan sebelum menjalankan aktiviti sukan, bernafas melalui hidung dan tidak mulut, mengambil ubat pelega sedutan sebelum bermain 5-10 minit sebelum bersukan sebanyak 2-4 hembusan dan, pesakit boleh mengambil 2-4 hembusan sekiranya terdapat tanda-tanda asma seperti batuk selepas aktiviti.
‘‘Sekiranya aktiviti sukan yang dijalankan boleh mencetuskan serangan asma, ini bermakna, tahap pengawalan asma tidak pada tahap yang baik.
‘‘Oleh itu, penghidap berkenaan perlulah berjumpa doktor supaya dos ubat dapat diubahsuaikan untuk mencapai tahap kawalan yang lebih baik,’’ saran Dr. Norzila.
Apa itu asma, punca
Asma merupakan sejenis penyakit kronik melibatkan saluran pernafasan yang boleh dihidapi oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Semasa serangan asma berlaku, saluran udara mengalami beberapa perubahan, termasuklah bronkospasma (otot licin dari dinding bronkus mengalami kekejangan/spasma), pnghasilan mukus berlebihan dan; keradangan atau inflamasi. Proses ini memburukkan lagi penyempitan saluran udara.
Penghidap asma akan berasa seperti tercekik. Mereka termengah-mengah untuk menyedut udara, tetapi apabila udara telah masuki ke paru-paru, udara ini akan terperangkap di sebalik mukus/lendir dan amat sukar untuk dihembus keluar.
Serangan asma boleh berlanjutan dari beberapa minit hingga ke beberapa jam bergantung kepada keterukan penyakit yang dihidapi
Lapan peratus daripada kanak-kanak di negara ini yang berusia di antara 6-7 tahun menghidapi asma manakala di kalangan kanak-kanak 13-14 tahun, 10 peratus. Di kalangan dewasa pula, kekerapannya adalah sebanyak empat peratus.
‘‘Penyebab sebenar asma masih menjadi misteri. Di dalam kajian membabitkan kembar, faktor genetik menyumbang sebanyak 75 peratus perkembangan asma peringkat kanak-kanak.
‘‘Satu kajian di Jerman yang mengikuti kanak-kanak selama tujuh tahun menunjukkan, hama rumah dan alahan kucing di atas permaidani menyebabkan pembentukan asma selain alergen dari lipas,’’ kata Dr. Norzila
Lain-lain faktor pencetus serangan asma termasuklah asap rokok, perubahan cuaca yang sejuk, jangkitan kuman, ubat seperti aspirin, bahan perasa atau pewarna makanan.
Kanak-kanak yang menghidap asma yang mana ayah atau ibunya merokok mengalami lebih tanda-tanda asma dan lebih kerap mengalami serangan asma akut.
Gejala-gejala
Kata Dr. Norzila, gejala-gejala biasa asma adalah batuk yang berulang-ulang terutamanya pada waktu pagi atau malam yang selalunya terjadi walaupun penghidap tidak menghadapi apa-apa jangkitan saluran pernafasan.
Tanda lain adalah bunyi pernafasan yang berdehit/bernada rendah disebabkan oleh penyempitan saluran pernafasan yang menyebabkan udara tidak dapat keluar sepenuhnya.
‘‘Apabila keadaan ini berterusan dan tidak dirawat, penghidap akan sesak nafas. Pada tahap serius, penghidap boleh mengalami ketiga-tiga tanda ini pada satu masa.
‘‘Pada peringkat awal, tanda-tanda yang biasanya terjadi adalah batuk berterusan, yang menjadi lebih teruk jika melakukan aktiviti-aktiviti lebih kuat seperti berlari naik tangga,’’ jelasnya..
Ditanya tanda-tanda yang boleh membezakan asma biasa dengan serangan asma, terang Dr. Norzila, apabila seseorang mendapat serangan asma, mereka akan mengalami sesak nafas atau berdehit. Tahap serangan asma dibahagikan kepada ringan/tidak serius, pertengahan, serius.
‘‘Serangan asma ringan menyebabkan batuk berlebihan, berdehit, sesak nafas sedikit tetapi tidak menyebabkan tidak dapat bercakap sehingga tersekat-sekat kerana sesak nafas.
‘‘Pada tahap serius, penghidap tidak dapat bercakap dengan baik atau tercungap-cungap kerana sesak nafas pada tahap serius, mungkin juga tidak dapat berjalan,’’ kata beliau.
Dr. Norzila mengingatkan, pada peringkat apa sekalipun, serangan asma mesti dirawat dengan cepat dan tidak dibiarkan berterusan sehingga menjadi sangat serius sehingga memerlukan bantuan pernafasan.
Diagnosis
Doktor akan bertanyakan tanda-tanda asma dan sejarah latar belakang pesakit. Selain pemeriksaan paru-paru, doktor juga mungkin memeriksa kulit, hidung dan juga mata.
Kanak-kanak yang menghidap asma teruk yang tidak dirawat, didapati bentuk dadanya seperti dada burung kerana udara terperangkap dan tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya.
Kira-kira 40 peratus kanak-kanak yang menghidap asma boleh mengalami beberapa alahan lain seperti ekzema/ruam kulit, resdung dan gatal mata.
Untuk kanak-kanak l6 tahun ke atas dan dewasa, pengukuran tahap paru-paru menggunakan meter aliran puncak boleh dilakukan.
Ia adalah satu alat yang mana penghidap asma diminta untuk meniup sehabis daya/
maksimum. Terdapat bacaan pada meter ini. Penghidap yang mengalami penyempitan saluran pernafasan tidak akan dapat meniup sebaiknya.
Rawatan
Asma tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dirawat dan dikawal. Ini boleh dicapai menggunakan ubat-ubatan asma yang terbahagian kepada dua jenis:
1. Ubat-ubatan pelega yang digunakan ketika mendapat tanda-tanda serangan asma akut. Ubat ini akan merehatkan otot-otot di saluran pernafasan dan melapangkan saluran pernafasan.
Ubat pelega tidak perlu diambil sewaktu penghidap tidak mengalami tanda-tanda serangan asma. Sekiranya penghidap perlu mengambil ubat ini setiap hari kerana batuk atau sesak nafas, ini bermakna tahap pengawalan asma adalah tidak pada tahap yang baik.
2. Ubat pencegah merawat proses radang, menjadikan saluran pernafasan seperti sedia- kala. Ia perlu diambil setiap hari untuk memastikan saluran pernafasan dalam keadaan normal.
Ini bermakna walaupun, penghidap sihat dan tiada tanda-tanda asma, ubat ini perlu diambil berterusan. Kebanyakan ubat asma adalah di dalam bentuk sedutan yang bertindak secara langsung di saluran pernafasan.