ISTILAH betul atau salah tidak pernah ada dalam dunia solekan kerana ia amat subjektif dan terpulang kepada interpretasi setiap individu.
Bak kata Jurusolek Acara Khas bagi Mac Cosmetics Malaysia, Shahrum Mohd Nor, kesesuaian rona yang dipilih dengan ton kulit wajah menjadi salah satu elemen utama untuk mendapatkan hasil solekan menarik.
Selain itu, gandingan solekan sesuai dengan busana sepadan dan menepati acara yang dihadiri – sama ada siang atau malam – juga perlu diambil kira sebelum merias wajah dengan warna pilihan.
Berikut Shahrum titipkan beberapa tip untuk riasan siang yang manis dan tidak keterlaluan jika ingin digayakan ke pejabat.
Setiap solekan perlu dimulakan dengan perkara asas iaitu persediaan wajah, bedak asas dan bedak padat yang hampir sama dengan warna kulit.
Sediakan wajah misalnya dengan pelembap dan krim mata sebelum meratakan bedak asas. Memandangkan ia lebih kepada solekan siang, tidak perlu menutup wajah dengan bedak asas yang tebal kerana ia akan disusuli bedak padat atau bedak debu.
Kenal pasti jenis kulit terlebih dulu sebelum memilih bedak asas agar ia tidak kelihatan bertompok apabila disapukan pada wajah.
2 – Mata
Warna tanah biasanya menjadi pilihan kerana ia disifatkan warna selamat dan tampak tidak keterlaluan. Bagaimanapun, rona pastel turut menarik apabila dilorek pada kelopak mata kerana ia mampu mencetuskan solekan yang ceria dan segar.
Selain sesuai ke pejabat, warna pastel juga boleh digayakan untuk aktiviti santai kerana hasilnya yang lembut dan wajah tampak lebih manis.
Pilih rona seperti hijau pastel dan biru pastel lalu dilengkapi dengan sapuan maskara nipis untuk hasil yang lebih menarik.
3 – Pipi
Pemilihan pemerah pipi yang sesuai dengan warna kulit amat penting bagi memastikan wajah tidak kelihatan seperti terbakar dan kemerah-merahan.
Bagi yang berkulit cerah, layangkan pemerah pipi rona lembut seperti merah jambu lembut untuk efek muda dan segar sementara perang lembut untuk kulit sederhana.
Rona pic pula sebaiknya disapu pada kulit sawo matang kerana ia mampu menghasilkan ilusi sihat dan tampak lebih manis.
4 – Bibir
Sapuan pengilat bibir rona lembut atau gincu yang mempunyai kadar lembapan tinggi sudah memadai andai tidak berani menggunakan warna terang ke pejabat.
Bagi yang gemarkan warna terang, lapis dengan pengilat bibir lutsinar bagi menghasilkan kesan kilatan sederhana.
Andai tidak suka bergincu mahupun menggunakan pengilat bibir, boleh menggunakan pelembap bibir berwarna yang bukan saja berfungsi melindungi bibir tetapi meninggalkan kesan warna yang minimum.


































































