Alam Flora


Bersama Abdul Rahim Rashid (Pakar Hortikultur)

mainpix

Tumbuhan konsep laman tropika perlukan tanah berorganik, pengairan baik

HELICONIA adalah salah satu spesis tumbuhan landskap yang menjadi pilihan serta mempunyai ramai peminatnya. Tahukah anda pokok heliconia ini berasal dari Amerika Selatan dan mempunyai banyak jenis antaranya ialah heliconia rostrata , heliconia psittacorum dan banyak lagi.

Dengan bentuk daun menghijau yang lebar serta mengeluarkan bunga yang mempunyai warna yang sangat menarik, menjadikannya pilihan penggemar landskap dan kadangkala amat sesuai untuk diadaptasikan dalam konsep reka bentuk landskap terutama sekali laman konsep tropika.

Heliconia dikategorikan tumbuhan senang hidup kerana hanya memerlukan tanah yang mengandungi bahan organik tinggi serta mempunyai pengairan baik. Selepas berbunga, tangkai yang mengeluarkan bunga matang serta daun akan menjadi kuning seterusnya kering. Akar akan mengeluarkan anak baru untuk membesar dan seterusnya mengeluarkan tangkai bunga baru. Penjagaan serta pengurusan tanaman heliconia perlu untuk memastikan kekemasan serta pembesaran pokok kerana ia memberikan visual impak yang agak besar.

mainpix2
Bunga merah kuning mencantikkan lagi keindahan laman.


Sering kali berlaku masalah penggemar landskap suka menanam pokok ini di dalam pasu atau kotak penanaman. Pada satu peringkat, pembesaran pokok akan terhad kerana akar akan padat dan terhad (memenuhi ruang media). Antara penyelesaiannya adalah dengan membuat pemangkasan. Dan, bagi mereka yang berminat untuk menanam di dalam pasu bolehlah mengikut langkah langkah berikut: Langkah Mudah penyediaannya.

mainpix3
Gambar dari kiri, cabut pokok dengan akar dan tanahnya sekali sebelum ditanam dalam pasu. Gambar atas kanan, gunakan pasu pecah untuk menjadikan lapisan saliran air. Masukkan tanah dalam pasu selepas lapisan saliran air. Potong batang heliconia bagi menggalakkan pertumbuhan pokok.


A. Penyediaan peralatan dan kelengkapan 1. Pokok Heliconia yang ingin dipindahkan a. Di tanam di dalam pasu. b. Di atas batas tanaman baru. (Topik kali ini membincangkan pemindahan pokok untuk ditanam dalam pasu). 2. Pasu (bersaiz 1) 3. Media : Campuran tanah terutama bahan organik (Peatgro) 4. Peralatan pertanian : sudip tanah, pisau, gunting pokok, penyodok. 5. Serpihan pasu, sabut kelapa B. Memindahkan/mencabut pokok Pastikan ketika mengalihkan pokok, akar masih ada dan tidak terlalu mencederakan akarnya. C. Memulakan proses menanam. Langkah 1

  • Sediakan pasu besar bagi pokok heliconia.
  • Sediakan lapisan saliran (drainage layer).
  • Bahan yang digunakan : serpihan pasu@batu, sabut kelapa (cocoa fiber).
  • Susun serpihan pasu sebanyak empat hingga lima lapisan atau sabut kelapa setebal tiga hingga empat inci bagi tujuan pengudaraan dan saliran. Langkah 2
  • Masukkan campuran tanah 3 : 2 : 1. (rujuk artikel Berita Minggu:topik campuran tanah pada 7 Jun 2009).
  • Masukkan 1/3 paras pasu dengan tanah.
  • Padat dan ratakan tanah berkenaan
  • Kemudian, masukkan lagi 1/3 bahagian tanah. Padat dan ratakan.

  • mainpix1

    Seni kraf laman bentuk batang, dahan dan akar pokok

    PERNAHKAH anda mendengar arca pokok atau ‘arborsculpture’? Ia adalah teknik yang sudah lama wujud, namun masih baru dalam seni hias laman di negara ini.

    Arca pokok ialah teknik menanam pokok dan membentuk pokok menjadi bentuk dikehendaki sebagai tarikan kepada laman atau taman. Ia adalah satu teknik seni atau kraf untuk membesarkan sambil membentuk batang, dahan, dan akar pokok.
    Kaedah yang digunakan termasuklah cantuman (graf­­ting), bengkokan dan pe­­mangkasan batang, dahan dan cabang seakan-akan kaedah topiari, espalier, bonsai dan pleaching.

    Perkataan arborsculpture terhasil daripada perkataan arbor (pokok dalam bahasa Latin) dan sculpture (arca). Perkataan ini mula diketahui hasil penulisan Reames dan Delbol dalam buku How to Grow a Chair- The Art of Tree Trunk Topiary 1995.

    Reames menggunakan perkataan berkenaan sebagai percubaannya menyeragam­­kan cara pembentukan batang yang banyak dilakukan pencinta seni kraf berke­­naan. Sejak itu, perkataan itu sering digunakan dalam media walaupun wu­­jud kontroversi mengenainya.

    mainpix2
    Arca pokok unik untuk laman kediaman.

    Istilah ‘arborsculpture’ kian diterima dan mendapat liputan meluas. Anehnya, perkataan berkenaan masih belum dijumpai dalam mana-mana kamus Inggeris.

    Apakah kaedah yang digunakan untuk membentuk arca pokok? Kaedah yang digunakan bergantung kepada keupayaan pokok itu dibentuk atau disatukan melalui cara cantuman serta kemampuan mengekalkan bentuk yang baru ketika pembentukan lapisan kayu baru bagi membendung bentuk yang diinginkan.

    Bagaimana cantuman di­­ha­­silkan. Ia dilakukan dengan memotong dua atau lebih bahagian pokok dengan membuang kulit kayu mele­­pasi lapisan kambium (lapisan tisu yang juga dipanggil ‘me­­ristem’ yang menjadi sumber sekunder untuk pertumbuhan sel), kemudian mengikat bahagian yang luka bersama agar melekat dengan baik sehingga bahagian pokok yang dicantum membesar bersama. Ia seakan kaedah dilakukan untuk proses ‘tut’ pokok.

    Selain percantuman pokok, kaedah pemangkasan dilakukan bagi membuang dahan yang tidak dikehendaki bagi membentuk arca yang diinginkan.

    mainpix3
    Bonsai menjadikan pokok bersaiz mini.

    Pemangkasan juga dilakukan bagi tujuan pertumbuhan batang dan dahan baru, manakala pemotongan di atas tangkai daun boleh mengawal arah pertumbuhan pokok. Jika daun menghala ke kanan, potongan di atas tangkai daun itu akan menghasilkan pertumbuhan baru menghala ke kanan, begitu juga sebaliknya.

    Dengan kata lain, membentuk arca pokok ini dapat dilakukan dengan memani­­pulasi tisu pokok untuk mengi­­kut bentuk yang dikehendaki sama ada bentuk kerusi, meja atau orang.

    Peralatan yang digunakan membuat arca pokok ini yang biasa digunakan untuk berkebun dan penyelenggaraan tanaman hias dan pokok teduhan seperti alat pemangkasan tangan (handpruners/secatuer) dan gergaji pemangkas (pruning saw).

    Selain itu, gunting kebun (shears atau pruning shears) dan perapi pagar renek (hedge trimmer) juga boleh digunakan seperti dalam kaedah membentuk topiari dan pagar renek.

    Bagi menghasilkan arca pokok yang cantik, apa saja barang untuk membentuk pokok seperti papan kayu, paip, tali, dawai, pita boleh digunakan. Malah, objek seperti bangku logam boleh dijadikan acuan.

    Masa yang diambil bagi membentuk arca pokok bukannya singkat, bergantung kepada pertumbuhan pokok dan arca yang ingin dibentuk. Bagi bentuk yang mudah dan pokok yang cepat membesar, tempohnya mungkin lebih singkat berbanding arca pokok yang lain.

    Dengan kata lain, jangka waktu untuk pertumbuhan dan pembinaan projek arca pokok berbeza bergantung kepada saiz pokok, kadar pertumbuhan pokok, kadar pemupukan, ketinggian reka bentuk dan kaedah yang digunakan.

    Apa pun, bagi yang sukakan kelainan dan seni perkebunan, arca pokok perlu dicuba kerana satu yang baru dan menarik untuk laman anda.

    Perbezaan arca pokok dengan topiari

    Topiari bukan hanya memanipulasi batang pokok, tetapi ia adalah seni dan kemahiran menghasilkan bentuk de­­ngan menggunakan dedaun pokok. Secara kontras, pada arca pokok, keutamaannya ialah dengan memanipulasikan batang pokok dan menggabungkan pokok dengan kaedah cantuman. Arca pokok boleh mencakupi sebahagian daripada seni topiari, tetapi topiari bukanlah ciri dan pertimbangan utama secara keseluruhannya.

    Cantuman boleh jadi digu­­nakan untuk topiari, tetapi penggunaannya sangat terhad dan jarang sekali digunakan. Arca pokok lebih kepada membentuk pokok menjadi seperti perabot dan barangan yang dibina secara eksklusif mengguna­­kan tumbesaran pokok dan cantuman tisu tumbuhan. Bentuk berkenaan dipisahkan dari akarnya atau dialih dari tanah; bukan lagi menjadi organisme yang hidup manakala topiari hampir-hampir terbatas kepada organisme hidup (tumbuhan) yang berdaun. Topiari hampir keseluruhannya membabitkan pemotongan dan pembentukan dedaun, sedangkan projek arca pokok boleh dibuat dengan mudah tanpa pemotongan dedaun.

    Perbezaan dengan espalier

    Espalier ialah satu teknik hortikultur melatih pokok melalui teknik pemangkasan dan cantuman bagi membentuk dahan pokok menjadi pola ‘dua-dimensi’ rasmi atau satu permukaan. Namun, projek arca pokok tidak terbatas kepada satu permukaan yang leper (dinding tembok) atau berpola. Kedua-dua teknik boleh menggunakan pokok yang berbuah, tetapi pokok dilatih secara espalier tidak pernah diketahui dibentuk menjadi bangku, bingkai cermin, meja atau orang.

    Teknik espalier popular pada Zaman Pertengahan di Eropah bagi menghasilkan buah yang mana pokok ditanam pada sebelah dalam dinding laman istana tanpa mengganggu kawasan terbuka, selain menghias dinding. Bukti menunjukkan kaedah ini sudah lama digunakan mungkin seawal zaman purba Mesir

    Espalier lebih bertujuan menghias laman serta se­­suai digunakan untuk taman ruangnya terhad. Ia juga boleh ditanam bersebelahan dinding yang akan memantulkan lebih sinar matahari dan membendung haba pada malamnya. Buah pada pokok sebegini matang dengan lebih cepat. Jenis pokok yang sesuai untuk teknik ini adalah zaitun, buah tin (fig), epal dan pear. Peach, plum, aprikot dan ceri juga boleh ditanam meleper pada dinding.

    Perbezaan dengan teknik menjalin dahan pokok (pleaching)

    Pleaching ialah seni melatih pokok menjadi pagar renek (hedge) yang ditinggikan atau untuk membentuk quincunx (corak susunan lima unit yang terdapat pada lima titik pada buah dadu, daun terup, atau domino). Biasanya pokok-pokok berdaun luruh ditanam berbaris, kemudian dibuat untuk membentuk permukaan yang leper di atas aras tanah. Dahan-dahan pokok dijalinkan, kulit kayu ditoreh pada tempat bertembung dan diikat bersama. Ia akan membesar bersama, proses yang sama dengan cantuman.

    Perbezaan dengan bonsai

    Bonsai ialah seni menanam pokok di dalam pasu dan bekas, menggunakan teknik pemangkasan untuk menge­­kalkan pokok dalam saiz mini menggunakan kawat tembaga bagi membentuk membentuk dahan dan cabang. Kaedah bonsai biasanya dengan membengkok dahan menyamai bentuk ter­­tentu. Projek bonsai dirancang untuk tampil seolah-olah ia tidak dibentuk manusia, ia sepatutnya me­­lambangkan pokok yang kecil berbentuk asli, yang boleh dijumpai tumbuh meliar.

    Arca pokok adalah konsep yang bertentangan kerana ia dalam bentuk yang sebenarnya.


    mainpix1
    Sweet berry sesuai ditanam di laman kediaman.

    Rasa manis buah ajaib melekat pada lidah untuk tempoh sehingga tiga jam

    SEJAK kebelakangan ini, ramai yang beralih mengambil makanan tambahan daripada herba kerana dijamin selamat dan tidak memberikan kesan sampingan. Pelbagai herba baru muncul di pasaran walaupun tumbuhan berkenaan sebenarnya sudah lama wujud dan dijadikan ramuan sebagai makanan kesihatan.

    Sweet berry yang digelar buah ajaib atau “miracles berry” yang berasal dari Afrika Selatan adalah antara herba yang semakin mendapat tempat.

    Mendapat nama daripada keunikan rasa buahnya yang manis serta bertahan selama dua hingga tiga jam selepas memakannya. Sebarang makanan atau minuman yang masam, jika dimakan dalam tempoh dua hingga tiga jam akan berasa manis kerana rasa manis “sweet berry” ini melekat pada lidah.

    Pokok yang dikategorikan sebagai tumbuhan liar ini mempunyai daun yang lebar, lonjong dan berwarna hijau tua. Buahnya bersaiz kecil seperti biji kopi, namun sedikit lonjong, dan biasanya bertukar warna merah apabila matang.

    Tinggi pokok boleh mencecah sehingga 6.1 meter dan ia ditemui hidup meliar di kawasan hutan di benua Afrika iaitu di Ghana dan Nigeria.

    mainpix2
    Buah Sweet berry kecil seperti biji kopi.

    Pokok ini mula didokumenkan pengkaji Chevalier des Marchais yang melakukan kajian mengenai tumbuhan di barat benua Afrika. Dalam kajiannya itu, Marchais mendapati masyarakat setempat selalu mengunyah buah ajaib sebelum makan hidangan mereka.

    Selepas diselidiki, beliau mendapati buah berkenaan meninggalkan rasa manis dan ia kekal sehingga tiga empat jam walaupun selepas memakan makanan masam.

    Buah ajaib mempunyai rasa yang manis namun kandungan gulanya tidak memudaratkan kesihatan. Gulanya mengandungi protein miraculin yang merangsang deria rasa manis pada lidah, ia dapat mengubah rasa masam walaupun rasa cuka sekalipun.

    Pokok ini mudah untuk ditanam dan sesuai dengan cuaca di negara ini. Buah ajaib memerlukan air dan matahari yang banyak sepanjang tahun.

    Kadar pH tanah yang sesuai bagi penanaman pokok ini ialah 4.5 hingga 5.8, dan pokok sukakan tanah yang sedikit lembap dan biasanya akan berbuah selepas setahun ditanam.

    Pokok ‘sweet berry’ mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan. Contohnya daunnya digunakan untuk mengubati sakit gigi, manakala untuk penghidap kencing manis, mereka perlu memakan tiga helai daunnya setiap hari dan dipercayai boleh mengurangkan kadar gula yang tinggi dalam darah.

    Selain itu, dikatakan daun buah ajaib sesuai dimakan apabila tidak sedap badan seperti hendak demam. Rasa daunnya agak pahit dan sedikit pedas.

    Selain mujarab dan mempunyai banyak khasiat, pokok ini sesuai dijadikan bonsai dan pokok pagaran bagi menghias kediaman.

    Oleh kerana ia mempunyai khasiat yang banyak, harga pokok sweet berry yang sedang berbuah lebat mencecah RM500, manakala anak pokok biasanya dijual pada harga RM20 hingga RM80 bergantung kepada saiz.

    Fakta:

  • Nama: Miracle Berry, Miracle Fruit, Sweet Berry
  • Nama Saintifik: Synsepalum dulcificum
  • Buah ini menjadi isu hangat dalam industri makanan di Amerika Syarikat pada 1970 apabila ada usaha mahu menjadikannya bahan gula gantian, malah sehingga kini Pihak Berkuasa Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat hanya melabelkan sweet berry sebagai makanan tambahan bukannya gula.
  • Di Jepun buah ini popular di kalangan pesakit diabetis dan mereka yang mengikut program penurunan berat badan.
  • Selain dimakan, buah ini boleh didapati dalam bentuk yang dikeringkan dan diproses menjadi pil yang lebih mudah disimpan. Buah ajaib kering sangat popular untuk jualan melalui internet. //

  • mainpix1
    Spider lily memerlukan cahaya matahari untuk tumbuh subur.

    Bakung atau spider lily sering hiasi taman air, selain dijadikan herba merawat luka

    BUNGANYA cantik berwarna putih dengan lima kelopak, tidak ubah seperti labah-labah putih hinggap di celah dahan pepohon. Tidak hairanlah, kehadirannya pasti menarik tumpuan mata tetamu yang berkunjung di laman kediaman.

    Inilah tarikan bunga Bakung atau lebih dikenali sebagai ‘spider lily’ atau nama saintifiknya Hymenocallis littoralis daripada keluarga Amaryllidaceae.
    Pokok ini banyak dijumpai di kawasan tropika dan sub tropika, termasuk di Malaysia dan ada kira-kira 50 spesies pokok ini di dunia.

    Pokok bebawang yang menjadi herba sejak berkurun lamanya ini mempunyai bunga unik kerana ada lingkaran di tengah-tengah (corona) yang jarang ditemui pada spesies sama.

    Hymenocallis bermaksud ‘membran cantik’ dalam bahasa Greek, merujuk kepada lingkaran di tengah bunga berkenaan yang bersambung dengan tangkai bunga yang mengeluarkan debunga yang dikategorikan sebagai tanaman menakjubkan.

    mainpix2

    Spider lily atau bakung lebih sesuai untuk menghiasi taman air atau tumbuhan hiasan dalam pasu. Walaupun dikenali sebagai lily labah-labah, amun bunga ini lebih kepada tumbuhan dafodil berbanding tumbuhan lili.

    Pokok ini mudah di tanah tetapi memerlukan cuaca yang panas dan tanah sedikit lembap tetapi bukannya terendam di dalam air. Daunnya kekal berwarna hijau walaupun selepas bunganya gugur.

    Menariknya, tumbuhan mudah hidup ini sukakan suhu bilik, lembap dan panas dan memerlukan masa tiga bulan untuk tidak berbunga yang dikenali sebagai tempoh berehat.

    Oleh kerana tumbuhan ini sukakan keadaan yang lembap, ia memerlukan air yang banyak jika anda menyiramnya. Juga, jangan biarkan tanah di sekelilingnya kering kerana ini boleh menyebabkannya mati.

    Bunga ini lazimnya mudah dikesan jika ia tidak subur kerana daunnya akan menjadi kering seakan terbakar. Bagaimanapun, ia lebih dikenali sebagai tumbuhan tahan lasak kerana bakung tidak mengalami masalah jangkitan penyakit atau serangan serangga.

    Namun, siput, ulat bulu dan hama putih sering hinggap di pepohon ini tetapi tidak merosakkan tanaman. Satu lagi ciri menarik pada pokok ini kerana tidak perlu dipangkas seperti pepohon lain untuk menggalakkan pertumbuhan daun. Ringkasnya, bunga bakung ini tidak perlukan penyelenggaraan seperti tumbuhan laman lain yang perlu selalu dibersihkan.

    Hymenocallis boleh membesar sehingga tiga kaki (0.91 meter) dan biasanya perlu dibaja sebulan sekali dengan baja seimbang dan biasanya tumbuhan ini dipilih sebagai tanaman pemisah sempadan atau ditanam berbaris di kiri kanan jalan masuk ke laman.

    Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini dikatakan menjadi herba merawat luka tetapi ia tidak boleh dimakan kerana dikatakan beracun.


    mainpix1
    Spider lily memerlukan cahaya matahari untuk tumbuh subur.

    Bakung atau spider lily sering hiasi taman air, selain dijadikan herba merawat luka

    BUNGANYA cantik berwarna putih dengan lima kelopak, tidak ubah seperti labah-labah putih hinggap di celah dahan pepohon. Tidak hairanlah, kehadirannya pasti menarik tumpuan mata tetamu yang berkunjung di laman kediaman.

    Inilah tarikan bunga Bakung atau lebih dikenali sebagai ‘spider lily’ atau nama saintifiknya Hymenocallis littoralis daripada keluarga Amaryllidaceae.
    Pokok ini banyak dijumpai di kawasan tropika dan sub tropika, termasuk di Malaysia dan ada kira-kira 50 spesies pokok ini di dunia.

    Pokok bebawang yang menjadi herba sejak berkurun lamanya ini mempunyai bunga unik kerana ada lingkaran di tengah-tengah (corona) yang jarang ditemui pada spesies sama.

    Hymenocallis bermaksud ‘membran cantik’ dalam bahasa Greek, merujuk kepada lingkaran di tengah bunga berkenaan yang bersambung dengan tangkai bunga yang mengeluarkan debunga yang dikategorikan sebagai tanaman menakjubkan.

    mainpix2

    Spider lily atau bakung lebih sesuai untuk menghiasi taman air atau tumbuhan hiasan dalam pasu. Walaupun dikenali sebagai lily labah-labah, amun bunga ini lebih kepada tumbuhan dafodil berbanding tumbuhan lili.

    Pokok ini mudah di tanah tetapi memerlukan cuaca yang panas dan tanah sedikit lembap tetapi bukannya terendam di dalam air. Daunnya kekal berwarna hijau walaupun selepas bunganya gugur.

    Menariknya, tumbuhan mudah hidup ini sukakan suhu bilik, lembap dan panas dan memerlukan masa tiga bulan untuk tidak berbunga yang dikenali sebagai tempoh berehat.

    Oleh kerana tumbuhan ini sukakan keadaan yang lembap, ia memerlukan air yang banyak jika anda menyiramnya. Juga, jangan biarkan tanah di sekelilingnya kering kerana ini boleh menyebabkannya mati.

    Bunga ini lazimnya mudah dikesan jika ia tidak subur kerana daunnya akan menjadi kering seakan terbakar. Bagaimanapun, ia lebih dikenali sebagai tumbuhan tahan lasak kerana bakung tidak mengalami masalah jangkitan penyakit atau serangan serangga.

    Namun, siput, ulat bulu dan hama putih sering hinggap di pepohon ini tetapi tidak merosakkan tanaman. Satu lagi ciri menarik pada pokok ini kerana tidak perlu dipangkas seperti pepohon lain untuk menggalakkan pertumbuhan daun. Ringkasnya, bunga bakung ini tidak perlukan penyelenggaraan seperti tumbuhan laman lain yang perlu selalu dibersihkan.

    Hymenocallis boleh membesar sehingga tiga kaki (0.91 meter) dan biasanya perlu dibaja sebulan sekali dengan baja seimbang dan biasanya tumbuhan ini dipilih sebagai tanaman pemisah sempadan atau ditanam berbaris di kiri kanan jalan masuk ke laman.

    Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini dikatakan menjadi herba merawat luka tetapi ia tidak boleh dimakan kerana dikatakan beracun.


    mainpix
    Bunga Tiga Bulan tumbuhan sederhana dan begitu diminati oleh pencinta hias laman.

    Bunga Siti Zubaidah biarpun cantik, wangi tetapi beracun

    POKOK Bunga Tiga Bulan ialah spesies Hydrangea dipercayai berasal dari Jepun, namun ia ditanam secara meluas pada kebanyakan negara di dunia termasuk yang mempunyai empat musim.

    Ada pelbagai nama bagi pokok ini seperti Bigleaf Hydrangea, French Hydrangea, Lacecap Hydrangea, Mophead Hydrangea, Penny Mac dan Hortensia. Di Malaysia, pokok ini juga dikenali sebagai Pokok Bunga Siti Zubaidah.
    Dikenali sebagai pokok hiasan taman kerana ada lebih 600 jenis pokok yang mempunyai bunga berbeza warna, pokok Bunga Tiga Bulan mempunyai batang yang lembut dan tumbuh tegak serta mencapai ketinggian satu hingga tiga meter. Namun, ia masih dikategorikan sebagai tanaman renek pada musim daun luruh.

    Pokok ini berbunga dalam bentuk jambangan, manakala daunnya tebal, licin, berwarna hijau dan berbentuk bujur dengan ukuran panjang 8 hingga 12 sentimeter (sm). Bunganya berkumpul di hujung batang dan berwarna di antara putih, biru, ungu dan merah muda bergantung kepada pH tanah.

    Dalam tanah yang lebih berasid bunganya akan berwarna biru, manakala tanah beralkali akan menghasilkan bunga merah muda. Jika bunganya putih ia tidak bertukar warna.

    mainpix2
    Bunga Tiga Bulan berasal dari Jepun.

    Bagi peminat bunga ini mereka sering mengawal warna bunga dengan menambah kapur atau aluminium sulfat bagi mengubah tahap keasidan di sekitar tumbuhan.

    Bunga ini juga boleh memiliki warna pelangi sekiranya bahan kimia seperti Na2CO3 ditambah dengan berhati-hati di tanahnya.

    Oleh kerana sifat bunganya mudah kering udara dan boleh bertahan lama, Bunga Tiga Bulan sering menjadi pilihan untuk jambangan bunga.

    Tumbuhan ini mempunyai lebih 70 hingga 75 spesies dan asalnya dikenali sebagai tumbuhan di kawasan pedalaman Timur dan Selatan Asia seperti China, Korea, Jepun, kawasan sekitar Himalaya dan Indonesia. Ia juga banyak ditemui di benua Amerika Selatan dan Utara.

    mainpix3
    Hydrangea ‘bavaria’ bunga hidrib warna pelangi.

    Menariknya, pokok ini mendapat namanya kerana sifat bunganya yang mampu hidup selama tiga bulan sebelum gugur. Bagi negara empat musim, bunga ini akan berkembang pada awal musim bunga sehingga lewat musim luruh.

    Bagi menggalakkan pertumbuhan pucuk dan bunga, selepas saja bunganya gugur ia perlu dipangkas. Jika tidak dipangkas dikhuatiri jambangan bunga yang dihasilkan pada musim ia berbunga akan menjadi lebih kecil.

    Bunga ini mengandungi racun dalam kadar sederhana tetapi jika dimakan pada kadar yang banyak boleh membawa maut. Dipercayai masyarakat orang Asli menggunakan akar pokok ini sebagai salah satu ubat perancang keluarga.

    Di Korea, Hydrangea serrata digunakan membuat teh herba dikenali sebagai sugukcha atau ilsulcha, manakala Hydrangea paniculata digunakan sebagai bahan yang memabukkan dan ada yang menggunakan pohon ini sebagai racun yang boleh menyebabkan kematian.

    Tumbuhan ini boleh menyebabkan rasa loya, sakit perut, muntah-muntah, cirit birit, lemah otot, sawan dan koma. Tumbuhan ini juga boleh menyebabkan keradangan pada kulit.

    Di Jepun, kelopak bunga dijadikan campuran untuk teh Hydrangea, yang dikenali dengan ama-cha. Minuman ini bagaimanapun tidak memabukkan.

    Jika berminat menanam pokok ini, pastikan tanahnya gembur, sedikit lembap dan mempunyai sistem pengairan yang baik. Pokok ini memerlukan cahaya matahari yang sederhana dan kadar air untuk penyiraman juga sederhana.

    Pokok ini dikategorikan sebagai tahan lasak, manakala cara pembiakan secara keratan. Kebiasaannya, pokok ini jarang dijangkiti penyakit atau kena serangan serangga.

    Bagi Bigleaf hydrangea serangga seperti kulapuk putih sering menyerang, manakala Oakleaf Hydrangeas pula sering mengalami masalah serangan penyakit pada akarnya jadi pokok ini perlu bebas kelembapan melampau.

    INFO: Memangkas Pokok Bunga Tiga Bulan

  • Memangkas pokok secara berkala akan menggalakkan lagi pertumbuhan daun dan bunga pokok.
  • Buang satu atau tiga batang besar pokok akan menyegar dan menyihatkan pokok. Bagi negara empat musim, pemangkasan seeloknya di lakukan pada musim sejuk kerana kebanyakan daunnya gugur.
  • Pemangkasan bukan hanya mengawal ketinggian pokok tetapi termasuk kerja membuang daun layu dan kesan jambangan bunga yang gugur.
  • Pemangkasan bergantung kepada spesies pokok. Dapatkan maklumat daripada pakar atau nurseri mengenainya.Antara Hydrangea yang popular ditanam termasuk:
  • ‘Beaute Vendomoise’ (gergasi lacecap)
  • ‘Big Smile’ – hibrid macrophylla x serrata (lacecap)
  • ‘Blue Bonnet’
  • ‘Blue Wave’
  • ‘Bluebird’
  • ‘Endless Summer’
  • ‘Forever Pink’
  • ‘Lilicana’
  • ‘Nikko Blue’ (l)
  • ‘Pia’ (kerdil)
  • ‘Red Star’ (biru atau merah gelap bergantung pada pH)
  • ‘Sister Theresa’
  • ‘Taube’ ( hasil kacukan Swiss yang bernilai tinggi)
  • ‘Veitchii’
  • mainpix11
    Tangkai bunga berbentuk nanas dan bunga putih nampak eksotik.

    Setawar Putih dianggap hiasan wajib laman konsep nusantara

    SEKALI pandang, rupa pokok ini sama seperti spesies Zingirber yang kini menjadi pilihan ramai dalam seni hiasan laman.

    Namun, Costus Speciosus atau lebih dikenali sebagai Setawar Putih adalah dalam sub famili costoideae dan sejak kebelakangan ini mendapat perhatian dan diburu ramai sebagai pokok hias laman kerana mempunyai bunga yang cantik.

    Uniknya, jika tidak berbunga pun, pokok ini nampak seperti berbunga kerana tangkai bunganya (bract ) berwarna merah dan cantik. Ada yang menggelarkan tangkai bunganya seperti bentuk buah nanas. Selepas bunganya layu, tangkai bunga itu akan kekal di tempatnya untuk beberapa minggu. Bunga Setawar Putih berwarna putih dan biasanya pokoknya boleh mencapai ketinggian antara satu hingga tiga meter. Pokok ini biasa dijumpai di dalam hutan kerana ia dikategori sebagai tumbuhan liar.

    Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, banyak nurseri menjualnya kerana permintaan daripada orang ramai. Dipercayai bunganya yang cantik memikat pencinta alam memilihnya menghiasi laman kediaman masing-masing.

    Satu yang menarik mengenai Setawar Putih ia mempunyai rizom yang menyerupai rizom halia. Cara pembiakannya juga sama dengan tumbuhan lain dalam famili halia iaitu biji benih dan pecahan rizom.

    mainpix22

    Apa yang menarik mengenai tumbuhan ini ialah daunnya yang tersusun dalam bentuk spiral manakala bunganya berwarna putih dan kelihatan seolah-olah kertas crepe yang biasa digunakan untuk dijadikan bunga. Maka, ramai yang menggelarkan tumbuhan ini sebagai crepe ginger.

    Batang Costus lembut dan ada ruas seperti buluh dan biasanya batang itu boleh membentuk lingkaran bertingkat-tingkat. Pokok ini sesuai ditanam di sebelah tiang pegola atau pancang kayu kerana ia nampak lebih cantik apabila ia mula melingkari.

    Terkini, pokok ini seakan menjadi hiasan wajib bagi laman berkonsepkan nusantara dan tropika. Malah, dalam laman berkonsep Bali, tumbuhan ini juga menjadi pelengkap landskap lembut.

    Pokok ini sangat mudah tumbuh, namun memerlukan cahaya matahari yang sederhana sesuai dengan tempat asalnya kawasan tropika. Bererti tanah yang sedikit lembap memudahkan tumbesarannya.

    mainpix31
    Daun hijau muda costus sesuai untuk landskap lembut.

    Selain seni hias landskap, Costus sangat berguna dalam perubatan yang mana rizom setawar putih dijadikan penawar untuk penyakit seperti kusta, kecacingan, penyakit kulit, demam, asma, bronkitis, anaemia dan sembelit.

    Ia juga dijadikan ubat untuk merawat luka terbakar, malah dijadikan ubat menghilangkan rasa loya, pening dan muntah. Malah, masyarakat Sunda di Indonesia percaya Setawar putih dapat meningkatkan tenaga batin lelaki.

    FAKTA: Setawar Putih

  • Dipercayai dijumpai di Pulau Sunda, Indonesia,
  • Costus juga dijumpai di pulau-pulau di Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Tonga, Kepulauan Islands dan Hawaii.
  • Salah satu spesies Costus dikenali sebagai Costus spectabilis menjadi bunga rasmi Nigeria
  • Nama lain bagi Costus adalah isebsab (Palauan), keukand (Hindi), pakarmula (Gujarati), pushkarmula (Marathi and Sanskrit), and kostam (Tamil).
  • Nama Tempatan: Setawar Putih
  • Nama Saintifik: Costus speciosus
  • Nama Lain: White costus, lemba batu,spiral ginger,white spiral ginger,kok hing, crepe gingerFamili: zingerberaceae.
  • Lokasi dijumpai: Liar dan ditanam sebagai tumbuhan hiasan di taman.

  • Buah mempaung masak enak dibuat sambal.

    SELAIN pokok Setambun Betina (Baccaurea racemosa) dan Setambun merah (Baccaurea parviflora), satu lagi jenis pokok dalam famili yang sama dikenali sebagai Setambun Jantan atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya (Baccaurea lanceolata).

    Setambun Jantan tergolong dalam jenis yang sama iaitu Baccaurea atau dalam famili Euphorbiaceae. Spesies ini juga diberi beberapa nama, iaitu Mempaung, Asam Pahong dan Limpaung.

    Pokok Mempaung berasal dari Indo-China dan banyak terdapat di Negara Thai, Malaysia, Indonesia hingga ke Filipina.

    Di Semenanjung Malaysia, pada satu ketika dulu, pokok Mempaung mudah ditemui di dusun dan hutan, terutama di Pahang.

    Bagaimanapun, pokok Mempaung (atau Asam Pahong panggilan orang Pahang) sukar ditemui lagi, kemungkinan pupus ditebang untuk mengambil kayunya untuk dijadikan kraf tangan.

    Di Sabah dan Sarawak, pokoknya masih boleh ditemui di hutan atau ditanam di kampung-kampung, malah buahnya kadangkala didapati dijual di pasar tamu apabila sampai musimnya.

    Pokok Mempaung bersaiz kecil, setinggi antara 10 hingga 15 meter dan rupanya seakan-akan pokok Rambai.

    Batangnya berwarna kelabu asap dan berbuku-buku. Daunnya berbentuk ‘ovat-elips,’ yang panjangnya antara 6 hingga 30 sentimeter (sm) manakala lebar antara 3 hingga 14 sm, berwarna hijau muda.

    Bunganya halus dan banyak, bersesak-sesak pada tangkai yang berjuntai-juntai sepanjang antara 20 hingga 30 sm, tumbuh dari buku-buku pada pangkal dan pertengahan batang.

    Buahnya berbentuk seperti kapsul, ‘ovoid’, kira-kira 4 sm diameter, berwarna hijau kebiruan ketika muda dan bertukar kuning langsat apabila masak.

    Buahnya jarang dimakan segar kerana rasanya tersangat masam. Buahnya yang cukup masak biasanya dibuat sambal atau menjadi penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional.

    Sebagai pokok buah yang popular dan digemari masyarakat desa zaman dulu, pokok Mempaung sepatutnya ditanam dan dipopularkan sebagai elemen seni taman supaya generasi muda sekarang dapat mengenali warisan negara yang ada kaitan dengan bahan makanan.

    Apatah lagi pokok ini mempunyai buah yang unik pada tangkai yang panjang tumbuh dari batang dan bertambun di pangkal pokok.

    Buah ini juga belum lagi melalui uji kaji mengenai khasiatnya, dan melihat kepada warna buah kemungkinan mengandungi khasiat makanan yang tinggi.

    Pokok Mempaung mudah dibiak dengan cara menyemai biji benih. Pokok ini mudah hidup dalam sebarang jenis tanah. Permulaan hidupnya memerlukan teduhan daripada cahaya matahari. Di kampung-kampung, pokok ini ditanam bercampur-campur dengan pokok buah-buahan lain dan penanamannya secara tak formal hasil daripada buangan biji benih.

    INFO: Mempaung Baccaurea lanceolata
    Famili: Euphorbiaceae
    Nama Lain: Asam Pahong, Limpaung, Setambun Jantan


    Setambun Merah penyedap rasa masakan tradisi Melayu.

    Setambun

    Baccaurea Parviflora

    Famili: Euphorbiaceae

    Nama Lain: Setambun Merah

    DALAM tulisan yang lalu, saya memperkenalkan pokok Kepundung atau pokok Setambun Betina. Kini ada pula pokok Setambun Merah atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya Baccaurea parviflora tergolong dalam jenis yang sama iaitu Baccaurea dan tergolong dalam famili sama iaitu Euphorbiaceae.

    Pokok Setambun ini berasal dari Thailand, Myanmar, Malaysia, Borneo hingga ke Sumatera. Di Malaysia pokok ini masih tumbuh liar di hutan dan kadang-kadang ditanam di dusun tua.

    Pokok ini sukar ditemui kerana banyak yang sudah ditebang kerana kayunya amat menarik untuk dijadikan kraftangan seperti tongkat dan antan (anak lesung).

    Tinggi pokoknya antara 6 hingga 7 meter dan daunnya berbentuk ‘elips’ 7 hingga 20 sentimeter panjang, 3.5 hingga 9 sm lebar dan hujungnya tajam.

    Ketika muda, daunnya berwarna kemerahan dan bertukar hijau kehitaman apabila matang. Infloresen jantan sepanjang 10 hingga 20 sm dan infloresen betina sepanjang 15 hingga 30 sm panjang, di bawah infloresen jantan di pangkal batang.

    Bunganya banyak dan halus bersesak pada tangkai berwarna kemerahan. Keunikan pokok ini mempunyai buahnya yang banyak sehingga ratusan pada tangkai yang panjang dan bertambun di pangkal pokok.

    Buahnya bujur runcing, berukuran 2 hingga 3 sm panjang, berwarna merah bertukar keunguan apabila masak, berpangsa tiga dan mengandungi 1 hingga 3 biji yang diselaputi pulpa dan rasanya masam-masam manis.

    Buah ini dimakan segar tetapi lebih enak dijadikan penyedap rasa dalam masakan tradisional Melayu.

    Sebagai pokok buah yang popular dan digemari masyarakat desa zaman dulu sepatutnya pokok ini ditanam dan dipopularkan sebagai elemen seni taman supaya generasi muda sekarang dapat mengenali warisan negara yang ada kaitan dengan bahan makanan.

    Lebih-lebih lagi pokok ini mempunyai buah yang unik pada tangkai yang panjang dan bertambun-tambun di pangkal pokok.

    Pokok ini jarang ditanam secara formal. Burung dan haiwan kecil menjadi penyebar utama pokok ini. Pokok yang terdapat di dusun tua biasanya hasil daripada buangan biji benih. Pokok ini mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih.


    Bunga tongking menjadi ramuan pewangi bagi masyarakat desa dulu kala.

    Bunga zaman dulu yang digunakan sebagai ramuan mandi, potpouri, pewangi bedak

    Bunga tongking
    Nama Botani: Telosma cordata
    Famili: Asclepiadaceae
    Nama Lain: Bunga siam

    KALAU disebut namanya, tiada siapa yang kenal. Bunga tongking berasal dari selatan India dan China diperkenalkan ke alam Melayu sejak 1692.

    Masyarakat desa dulu sering menjadikan bunga tongking sebagai ramuan pewangi dalam upacara pertunangan, perkahwinan atau hiasan rambut wanita. Bunganya yang cukup kembang dan wangi dijadikan ramuan mandi bunga, potpouri dan pewangi bedak asli.

    Masyarakat India menggunakannya dalam upacara keagamaan, hiasan rambut wanita dan potpouri. Masyarakat Cina pula menjadikan bunga yang belum kembang dan pucuknya sebagai sayuran.

    Pokoknya adalah syrab memanjat berkayu lembut yang mencapai ketinggian antara tiga hingga enam meter. Daunnya tersusun berhadapan, bentuk ovat yang lebar dan berbentuk jantung, berukuran lima hingga 11 sentimeter (sm) panjang, tiga hingga lapan 8 lebar. Tepi daun licin atau berombak sedikit serta berwarna hijau muda.

    Petiolnya kira-kira dua hingga lima sm panjang. Bunganya dalam rasem terminal atau aksil daun dan setiap sekuntum berdiameter 1.3 sm. Berwarna kuning kehijauan, kembang di waktu malam dan berbau wangi. Bunga ini jarang menghasilkan buah dalam iklim Malaysia.

    Pokok bunga tongking mudah dibiakkan menerusi keratan batang yang hampir tua. Keratan ini disemai ke dalam pasir, selepas berakar dan berpucuk dipindahkan ke dalam karung plastik berisi tanah campuran lima bahagian tanah bakar, tiga bahagian najis haiwan yang cukup reput dan dua bahagian pasir sungai.

    Penanaman Bunga tongkingg memerlukan tanah yang subur dan bersaliran baik. Para-para yang kukuh disediakan untuk pokok ini memanjat. Selain para, ia boleh juga dibiarkan memanjat pagar.

    Bunga tongkingg memerlukan penjagaan rapi, terutama awal pertumbuhannya yang memerlukan sedikit pelindung cahaya matahari. Cantasan juga perlu dilakukan bagi menggalakkannya bercabang banyak juga bagi mendapatkan bunga lebat.

    Baja yang disyorkan ialah baja organik seperti najis haiwan yang cukup reput atau kompos. Baja kimia seperti sebatian kompleks 12:12:17:2 + T.E. boleh juga digunakan.

    Sebaiknya baja ini dilarutkan terlebih dulu di dalam air. Sungkupan dengan daun reput amat digalakkan bagi mengekal kelembapan dan kesuburan tanah.

    Laman Berikutnya »

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 160 other followers