Agro – Usahawan Contoh


BATU PAHAT 22 Julai – Berbekalkan keyakinan dan semangat kental untuk menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan serta sumber pendapatan tetap, Harrani Dayad , 38, gigih mengusahakan tanaman tomato menggunakan teknik fertigasi yang memberi pulangan menguntungkan.

Harrani mengusahakan tanaman tersebut di belakang rumahnya di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Nawi Jaya dekat sini dengan modal permulaan RM70,000 di tapak seluas 0.2 hektar sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, teknik tersebut dipilih kerana selain lebih maju dan berteknologi moden ia juga mampu mengeluarkan hasil tanaman berkualiti tinggi dengan jumlah yang memuaskan.

“Jika dahulu hanya tanah seluas 0.2 hektar digunakan tetapi kini tapak itu diluaskan lagi sehingga dua hektar dan saya juga telah menambah beberapa jenis tanaman ekoran hasil pengeluaran fertigasi yang menggalakkan.

“Tanaman tambahan itu ialah tomato ceri, terong dan tembikai rock,” kata kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harrani yang dahulunya bekerja makan gaji nekad berhenti kerja untuk menceburi bidang itu yang dianggap lebih memberi kepuasan diri.

Menurutnya, secara umumnya fertigasi menggunakan teknik pembajaan secara titisan di beg-beg plastik yang dipanggil pot-pot pokok yang mengandungi baja iaitu campuran sabut, sekam padi bakar bagi menggantikan tanah.

Beliau kini mempunyai 15,000 pokok tomato ceri dengan kawasan tanaman seluas 0.6 hektar, 6,000 pokok tembikai rock dengan keluasan tanaman 0.4 hektar dan 7,000 pokok terong dengan keluasan satu hektar.

Setakat ini, katanya, hasil pertaniannya berjaya dipasarkan ke pasar-pasar borong sekitar daerah ini hingga ke Kuala Lumpur membabitkan pasar raya terkenal seperti Jaya Jusco, ISETAN dan Carrefour.

Tambahnya, tomato ceri dijual dengan harga RM3, terong RM3.80, tembikai rock RM4 sekilogram kepada pemborong.

Mengenai teknik fertigasi, Harrani berkata, beliau mendapat pendedahan berkaitannya dan pasaran serta bahan mentah ketika bekerja di Pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) selama sembilan tahun sebelum berhenti mengerjakan pertanian itu.

Lebih membanggakan, beliau sendiri mengubah suai teknik itu dengan mencipta kaedah penyaluran titisan baja bercampur air ke pokok-pokok dengan bekalan air diperoleh dari dalam tanah. Kini modal keseluruhan tanamannya mencecah RM500,000.

Menurut Harrani, kaedah itu mengurangkan kos operasi kerana tidak memerlukan ramai pekerja disebabkan kerja-kerja pembajaan dan penyiraman dilakukan serentak menerusi saluran paip di setiap pot pokok.

“Selain campuran baja dan air, saya hanya perlu menekan butang tertentu dan ia cuma mengambil masa 10 minit untuk pembajaan dan setiap hari sebanyak lapan kali semburan dapat dilakukan ,” jelasnya.

Beliau berkata, masalah rumput liar dan serangan bakteria atau virus dari tanah tidak berlaku kerana ia pokok-pokok ditanam dalam beg plastik itu.

Azhar Hasan memasukkan popia ke dalam plastik di kilangnya di Batu 10, Kampung Bukit Batu, Senggarang, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 21 Julai – Minat yang mendalam dalam perniagaan mendorong Azhar Hasan, 36, membuat keputusan nekad berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan menjual makanan sejuk beku tiga tahun lalu.

Azhar dari Senggarang kini boleh berbangga kerana usahanya dengan dibantu oleh isterinya, Saezah Sedek, 32, membuahkan hasil dan memberi pendapatan bulanan yang menggalakkan.

Walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun ia tidak menghalangnya untuk berusaha gigih dengan berbekalkan modal permulaan RM500 untuk membeli bahan mentah bagi mengeluarkan makanan karipap segera berperisa daging, ayam dan sardin.

Bagi memantapkan lagi perniagaannya, Azhar mengikuti pelbagai kursus makanan dan keusahawanan anjuran Pejabat Pertanian Daerah.

Menurutnya, produknya kini didaftarkan atas nama Balqis Food yang menyediakan makanan sejuk beku antaranya karipap, pau, donat, popia, otak-otak, kuih kasturi, getuk ubi, roti canai dan puteri ayu.

Tambahnya lagi, antara produknya yang popular ialah karipap dengan pengeluaran 4,000 biji sehari, donat (2,000 biji), samosa (1,800 biji), pau dan puteri ayu (2,000 biji) dibungkus antara 10 hingga 12 biji sebungkus mengikut kategori dengan harga RM3.50 sebungkus.

Katanya lagi setakat ini produknya dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Bahru juga pasaran tempatan atas nama syarikat Azhar Frozen Food.

Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai seorang kerani di Johor Bahru kini berasa puas kerana produk keluarannya mula mendapat tempat di hati masyarakat.

Isterinya yang memang minat membuat kuih memudahkan lagi perusahaan mereka kerana tanpa minat baginya sesuatu usaha itu tidak akan berjaya.

Beliau yang juga mendapat pemantauan daripada Pejabat Pertanian dan menerima bantuan bangunan kilang sebanyak RM20,000 dan RM10,000 berupa mesin meleper tepung, menguli, pemotong, sebuah meja khas untuk membuat kuih dan sebuah peti pendingin beku.

Tambah Azhar, pendapatan bersihnya ialah RM2,000 ke RM2,500 sebulan bergantung kepada jualan dan permintaan daripada pelanggan dan mengikut musim.


BERKHASIAT: Noor Ahikim menunjukkan minuman antioksida Jus Magno menggabungkan ekstrak buah-buahan dan herba.

KOMBINASI ekstrak enam jenis buah-buahan dan tumbuhan herba berkhasiat tinggi, menjadikan Jus Magno, minuman kesihatan yang mengandungi kandungan antioksida yang tinggi.

Antioksida adalah molekul penting untuk menghalang proses oksidasi (reaksi kimia) dalam tubuh yang merosakkan sel badan seterusnya mendedahkan manusia kepada risiko pelbagai penyakit.

Bagi mengekalkan tubuh yang sihat dan daya tahan penyakit, setiap individu perlu meningkatkan pengambilan makanan mengandungi antioksida khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan.

Berikutan gaya hidup dan cara pemakanan masyarakat hari ini yang kurang seimbang, Jus Magno boleh dijadikan amalan harian sebagai memenuhi keperluan antioksida dalam tubuh.

Jus Magno mengandungi ekstrak manggis, aloe vera, buah goji, teh hijau, biji anggur dan buah noni yang tinggi kandungan antioksida.

Ekstrak dari daun aloe vera mengandungi lebih 200 komponen biologi yang aktif dan tinggi kandungan antioksida di samping karbohidrat, asid amino serta asid organik.

Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Jusmagno.Com, Noor Ashikim Che Mat, berkata produk Jus Magno diproses melalui piawaian kesihatan dan farmaseutikal yang tinggi dengan pengiktirafan Sijil ISO 9001:2000 dan ISO 14001:2004.

“Memandangkan produk ini adalah keluaran Bumiputera, kami berhasrat mewujudkan satu skim usahawan bagi memasarkan produk ini kepada Bumiputera di setiap daerah termasuk di penempatan luar bandar,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapat maklumat lanjut berhubung khasiat Jus Magno, boleh melayari laman web http://www.jusmagno.com atau menghubungi talian 03-80763645. Khidmat rundingan dan bimbingan keusahawanan secara percuma diberikan kepada individu yang berminat untuk memasarkan Jus Magno.


RAMLI Salleh (kiri) bersama anaknya, Basri menunjukkan hasil tanaman limau madu di kebun milik mereka di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang, Baling, Kedah.
– Gambar AZMAN MD. NOOR


Ketika kebanyakan pekebun memilih tanaman komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit untuk mendapat keuntungan, namun lain pula bagi dua beranak yang lebih suka mengusahakan tanaman limau madu.

Malah, usaha berani Ramli Salleh, 70, dan anak sulungnya, Basri, 35, mula meraih hasil lumayan dan dijadikan contoh oleh para pekebun lain.

Mereka membuktikan kesungguhan mengusahakan tanaman limau madu sehingga mengeluarkan hasil sebanyak 12 tan metrik semusim.

Kebun milik mereka seluas lapan hektar di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang, di sini yang diusahakan sejak tahun 2001 dijalankan secara sepenuh masa, kini mampu menguasai pasaran limau madu tempatan.

Menurut Basri, kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka dijaga sepenuhnya bagi menjamin mutu buah yang lebih baik dalam meneroka pasaran buah limau madu.

Katanya, bermodalkan kira-kira RM100,000 hasil pinjaman daripada Agro Bank dan wang simpanan sendiri, dia bersama bapanya telah berusaha untuk memastikan tanaman limau madu mengeluarkan hasil berganda dengan penjagaan rapi.

”Semua usaha menanam dan menjaga dilakukan sendiri bagi memastikan tanaman ini mengeluarkan hasil mengikut jadual,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Basri mengakui walaupun sedikit sebanyak masalah berlaku terutama dari segi serangan penyakit, namun mereka mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian.

Katanya, jabatan itu turut membantu memastikan tanaman limau madu secara komersial itu dapat berbuah lebat dan tidak diserang penyakit secara serius.

Keperluan limau madu untuk pasaran tempatan cukup melegakan dua beranak ini.

Ini kerana setelah limau itu cukup tua, ia boleh dikutip sendiri oleh peraih dan pembeli yang datang ke kebun.

Malah, jelas Basri, selain peraih tempatan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut membeli hasil tanamannya untuk diedarkan kepada penjual buah di luar daerah ini.

Basri berkata, kebiasaannya peraih dan pembeli akan datang memetik sendiri buah limau di pokok dan membelinya pada harga di ladang kira-kira RM1 sekilogram.

Tambah beliau, walaupun harganya agak rendah berbanding dengan harga di pasaran, tetapi kerja memetik buah dilakukan oleh mereka sendiri.

Kata Basri, kebiasaannya setiap hari antara 200 hingga 300 kilogram buah dapat dikutip oleh peraih dan pembeli.

Bagi Ramli pula, mengusahakan tanaman limau madu amat berpotensi tinggi kerana permintaan di pasaran cukup menggalakkan berbanding buah-buahan lain.

Usaha bekas guru itu tidak sia-sia dan berbaloi sehingga boleh dibanggakan terutamanya dapat memberi dorongan kepada anaknya untuk terlibat dalam bidang pertanian itu.

Selain itu, usaha tersebut dianggap sebagai menyahut seruan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.

”Usaha ini untuk memberi dorongan kepada anak saya supaya terlibat dalam bidang pertanian selain memperoleh pendapatan yang lumayan,” katanya.

Baginya, walaupun baru pertama kali terlibat dengan tanaman itu, sekurang-kurangnya, beliau dapat belajar selok-belok tanaman limau madu.

Ladang limau madu dua beranak itu juga menjadi contoh betapa usaha pertanian secara komersial boleh menandingi dan mendatangkan hasil berlipat ganda setanding dengan tanaman komoditi lain.

Limau madu itu yang rasanya agak manis merupakan satu daya tarikan kepada peminat buah-buahan tersebut.

Kejayaan Ramli dan anaknya mengusahakan tanaman komersial itu telah membuka mata kebanyakan petani di sekitar kampungnya yang sebelum ini hanya membiarkan tanah sawah terbiar dan ditumbuhi lalang.

Pengusaha tanaman limau lain juga menunjukkan minat mempelajari teknik yang dilaksanakan oleh Ramli dan anaknya dan mereka seringkali berkunjung ke ladang limau madu tersebut.

(Projek ternakan burung puyuh mampu menjana pendapatan orang kurang upaya (OKU) di Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Terengganu. – Gambar hiasan

MARANG 26 Mei – Seramai 10 peserta orang kurang upayaOKU) dan cacat penglihatan di Taman Rahmat, Pulau Kerangga, dekat sini bakal menyertai projek ternakan burung puyuh bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Taman Rahmat, Tahir Musa berkata, pihaknya difahamkan peruntukan sebanyak RM27,000 bagi melaksanakan projek itu telah diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu.

“Projek ini dilaksanakan melalui geran sebanyak RM2,700 untuk setiap peserta yang ingin melaksanakan pelbagai projek pembangunan ekonomi.

“Kita akan melaksanakan segera projek ini dan berharap ia dapat membantu menambah pendapatan penduduk di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perjumpaan bersama penduduk Taman Rahmat di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang, Razali Idris.

Taman Rahmat yang dibuka pada 1981 kini diduduki 236 penghuni daripada 55 keluarga OKU dan cacat penglihatan.

Menurut Tahir, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai peruntukan kepada golongan berkenaan di Taman Rahmat justeru mereka harus lebih berdikari dan merebut peluang yang ada agar mampu bersaing dengan orang lain.

Katanya, walaupun dilahirkan tidak sempurna ia tidak tidak seharusnya menjadi halangan untuk golongan OKU mencapai kejayaan seperti orang lain.

Jelasnya, mereka tidak seharusnya melihat kecacatan yang dialami sebagai satu kekurangan atau halangan untuk berusaha dengan lebih gigih.


INDUK lintah bertelur di celah-celah dahan pokok keladi.

BAGAN SERAI 25 Jun – Lintah yang dikenali sebagai haiwan penghisap darah kini mampu memberikan pendapatan lumayan dan mula dikomersialkan sebagai salah satu ternakan setelah terbukti mampu dijadikan sebagai salah satu rawatan alternatif.

Menyedari ternakan lintah itu mampu dimajukan, seorang ibu tunggal, Norhayati Harun, 48, dari Batu 10, Kampung Jaya, Jalan Taiping, dekat sini telah memulakan projek ternakan lintah sejak awal tahun ini.

Beliau memajukan ternakan tersebut dengan pelaburan awal sebanyak RM3,000 untuk membeli enam tong plastik dan anak lintah.

”Saya telah melakukan pelbagai kerja sebelum ini dan berminat belajar menternak lintah setelah mengikuti beberapa kursus mengenai pemeliharaan lintah daripada mereka yang berjaya di Ipoh dan Kedah.

”Saya dapati ternakan lintah ini adalah satu kerja mudah dan ia boleh dimajukan kerana masa untuk menjaga ternakan ini tidak terlalu ketat jadualnya.

”Kita boleh melakukan kerja-kerja rumah yang lain dan tidak terlalu tertumpu kepada ternakan yang memerlukan perhatian yang serius dan menjimatkan kos,” katanya kepada Utusan Melaysia di sini semalam.

Menurut Norhayati, induk lintah akan membiak dan bertelur dalam tempoh tiga bulan bergantung kepada makanan yang diberikan.

Beliau turut berasa sangat beruntung kerana dibantu oleh seorang anaknya, Nohidayah Sharuddin, 21, pelajar di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang banyak mencari pelbagai maklumat berguna mengenai ternakan lintah.

”Anak saya banyak membantu bagi mendapatkan beberapa maklumat mengenai ternakan lintah melalui Internet,” ujarnya.

Tambah Norhayati, beliau kini membesarkan lagi ternakan itu dengan membina tiga kolam simen bersaiz sederhana sedalam satu meter di belakang rumahnya.

”Saya memindahkan lintah dari tong plastik ke dalam kolam simen bagi memudahkan lintah bertelur di celah-celah dahan pokok keladi.

”Lintah mudah membiak di bawah pokok keladi kerana ia merupakan habitat semula jadinya,” kata beliau.

Menurut Norhayati, beliau menggunakan pokok keladi kerana ia sejuk dan menjadi tempat lintah membiak kerana pokok itu juga menjadi sebahagian bahan makanan lintah.

”Seekor spesies lintah boleh menghasilkan di antara 100 hingga 150 telur bergantung kepada saiz spesiesnya,” katanya.

Kata Norhayati, selain itu, beliau juga menjual produk makanan lintah yang diproses menggunakan bahan mentah tempatan.

Katanya, makanan tersebut dijual dengan harga RM75 bagi peket seberat lima kilogram.

”Saya menjual bahan makanan lintah ini kerana harganya lebih murah berbanding dengan membeli makanan belut yang harganya tinggi di pasaran.

”Produk makanan ini juga didapati berkesan kerana lintah lebih banyak membiak selepas memakan makanan yang dihasilkan itu,” katanya.

Norhayati menjelaskan, beliau kini memperoleh pendapatan lebih RM5,000 sebulan dengan menjual induk lintah sejak memajukan ternakan tersebut.

Setakat ini, beliau mempunyai 30,000 induk yang boleh dipasarkan.

Beliau juga bercadang untuk membesarkan lagi ternakan itu dari semasa ke semasa bagi memenuhi permintaan tempatan.

Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang berminat untuk membeli induk lintah boleh menghubungi beliau di 019-5788529 dan 017-3039107.

Ladang kambing milik syarikat Cosmopal Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Serating, Marang, Terengganu.
– Gambar ZUHAYATI YAZID



MARANG 8 Julai – Siapa sangka kawasan seluas 60 hektar yang dahulunya terbiar kini bertukar menjadi sebuah ladang kambing. Ternakan baka-baka tempatan yang 90 peratus untuk pasaran negara itu sekali gus akan menjadikan pengusahanya bakal jutawan.

Sebelum dibangunkan, kawasan yang terletak 60 kilometer daripada bandar Kuala Terengganu ini dipenuhi semak-samun yang tidak memberi faedah kepada masyarakat setempat.

Namun, hasil usaha Zainudin Zakaria, 50-an, yang menganggap ternakan kambing baka adalah perusahaan yang menguntungkan serta mampu memberi pulangan hasil yang cepat, kawasan itu bertukar menjadi ladang kambing dalam tempoh lapan tahun sahaja.

Melalui syarikatnya, Cosmopal Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada November 2000, Zainudin kini merupakan satu-satu pengimport, pengedar dan juga penternak kambing baka terbesar di kawasan Pantai Timur.

Berbekalkan prinsip jangan kalah sebelum berjuang, beliau sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat antarabangsa demi mencurahkan bakti kepada bidang ternakan kambing baka.

”Sebelum saya berhenti kerja, saya membuat kajian tentang kebaikan dan kelebihan penternakan kambing.

Malah saya juga membuat lawatan ke luar negara untuk melihat sendiri kelebihan bidang ternakan ini,” kata Zainudin ketika ditemui di ladang kambingnya yang terletak di Serating di sini, baru-baru ini.

Selepas dua tahun membuat kajian, beliau nekad membuka ladang kambing berbekalkan modal RM100,000 untuk membeli keperluan dan alatan.

Malah, beliau yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur sanggup pulang ke kampung hanya semata-mata untuk menternak kambing.

”Saya lihat prospek ternakan ini sangat luas dan ia mampu memberi pendapatan lumayan, hanya usaha dan kerajinan sahaja yang perlu ada,” katanya.

Ditanya apakah pengalaman semasa mula-mula menceburi bidang ini, bapa kepada lima cahayamata ini memberitahu, pada awalnya perasaan takut timbul.

Malah kata-kata kurang enak daripada rakan-rakan juga menyebabkannya rasa serba-salah. Namun beliau nekad untuk meneruskan perjuangan.

”Biarlah apa orang hendak kata, yang pasti kita tahu siapa diri kita dan tahap kemampuan diri kita,” ujarnya.

Katanya, dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang sering memberi dorongan dan semangat kepada dirinya.

Bermula dengan beberapa ekor kambing jenis Jamnapari yang dibeli dari Indonesia serta sebuah reban, kini Zainudin mempunyai enam buah reban untuk menempatkan semua kambingnya.

Beliau menyasarkan untuk membiak 10,000 ekor kambing dalam jangka masa yang terdekat ini.

”Pada tahun 2007, saya hanya mempunyai 3,000 ekor kambing tetapi setiap tahun haiwan ini semakin berkembang biak,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman menternak kambing baka, beliau memberitahu, ia bukan perkara yang sukar.

Malah kambing merupakan binatang yang manja, katanya.

Jelasnya, kambing juga seperti manusia yang perlu dilayan dengan baik dan biasanya haiwan ini dilepaskan selepas dua minggu dikurung di dalam reban dan apabila sampai tempohnya ia akan pulang sendiri ke reban.

Beliau mengupah lebih 10 pekerja untuk membantu memberi makanan kepada ternakan kambingnya.

”Kambing-kambing juga turut dimandikan dan syampu supaya kelihatan bersih dan segar,” katanya.

Beliau bersyukur kerana ladangnya itu mendapat tunjuk ajar dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

”Setiap bulan, seorang pegawai dari jabatan ini akan membuat lawatan ke ladang saya untuk melihat tahap perkembangan dan kesihatan haiwan ternakan ini,” katanya yang turut membuat lawatan ke luar negara untuk mendapat nasihat dan panduan.

Zainudin memberitahu, selain menjalankan penternakan kambing, beliau juga menjalankan pelbagai aktiviti sampingan bagi memaksimumkan pendapatan di samping membantu masyarakat setempat yang berpendapatan rendah.

”Selain menjalankan penternakan kambing, ladang ini juga menghasilkan baja organik daripada najis atau tinja kambing yang dicampurkan ramuan lain untuk dijadikan baja organik.

”Kerja-kerja membungkus baja saya serahkan kepada golongan orang kurang upaya yang menginap berhampiran ladang ini,” jelasnya yang mengitar semula bulu kambing untuk dijadikan aksesori.

Beliau juga merancang membuka kilang memproses barangan daripada kulit kambing antaranya jaket, beg tangan dan pelbagai aksesori lain.

Ladang kambing milik syarikat Cosmopal Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Serating, Marang, Terengganu.
– Gambar ZUHAYATI YAZID



MARANG 8 Julai – Siapa sangka kawasan seluas 60 hektar yang dahulunya terbiar kini bertukar menjadi sebuah ladang kambing. Ternakan baka-baka tempatan yang 90 peratus untuk pasaran negara itu sekali gus akan menjadikan pengusahanya bakal jutawan.

Sebelum dibangunkan, kawasan yang terletak 60 kilometer daripada bandar Kuala Terengganu ini dipenuhi semak-samun yang tidak memberi faedah kepada masyarakat setempat.

Namun, hasil usaha Zainudin Zakaria, 50-an, yang menganggap ternakan kambing baka adalah perusahaan yang menguntungkan serta mampu memberi pulangan hasil yang cepat, kawasan itu bertukar menjadi ladang kambing dalam tempoh lapan tahun sahaja.

Melalui syarikatnya, Cosmopal Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada November 2000, Zainudin kini merupakan satu-satu pengimport, pengedar dan juga penternak kambing baka terbesar di kawasan Pantai Timur.

Berbekalkan prinsip jangan kalah sebelum berjuang, beliau sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat antarabangsa demi mencurahkan bakti kepada bidang ternakan kambing baka.

”Sebelum saya berhenti kerja, saya membuat kajian tentang kebaikan dan kelebihan penternakan kambing.

Malah saya juga membuat lawatan ke luar negara untuk melihat sendiri kelebihan bidang ternakan ini,” kata Zainudin ketika ditemui di ladang kambingnya yang terletak di Serating di sini, baru-baru ini.

Selepas dua tahun membuat kajian, beliau nekad membuka ladang kambing berbekalkan modal RM100,000 untuk membeli keperluan dan alatan.

Malah, beliau yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur sanggup pulang ke kampung hanya semata-mata untuk menternak kambing.

”Saya lihat prospek ternakan ini sangat luas dan ia mampu memberi pendapatan lumayan, hanya usaha dan kerajinan sahaja yang perlu ada,” katanya.

Ditanya apakah pengalaman semasa mula-mula menceburi bidang ini, bapa kepada lima cahayamata ini memberitahu, pada awalnya perasaan takut timbul.

Malah kata-kata kurang enak daripada rakan-rakan juga menyebabkannya rasa serba-salah. Namun beliau nekad untuk meneruskan perjuangan.

”Biarlah apa orang hendak kata, yang pasti kita tahu siapa diri kita dan tahap kemampuan diri kita,” ujarnya.

Katanya, dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang sering memberi dorongan dan semangat kepada dirinya.

Bermula dengan beberapa ekor kambing jenis Jamnapari yang dibeli dari Indonesia serta sebuah reban, kini Zainudin mempunyai enam buah reban untuk menempatkan semua kambingnya.

Beliau menyasarkan untuk membiak 10,000 ekor kambing dalam jangka masa yang terdekat ini.

”Pada tahun 2007, saya hanya mempunyai 3,000 ekor kambing tetapi setiap tahun haiwan ini semakin berkembang biak,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman menternak kambing baka, beliau memberitahu, ia bukan perkara yang sukar.

Malah kambing merupakan binatang yang manja, katanya.

Jelasnya, kambing juga seperti manusia yang perlu dilayan dengan baik dan biasanya haiwan ini dilepaskan selepas dua minggu dikurung di dalam reban dan apabila sampai tempohnya ia akan pulang sendiri ke reban.

Beliau mengupah lebih 10 pekerja untuk membantu memberi makanan kepada ternakan kambingnya.

”Kambing-kambing juga turut dimandikan dan syampu supaya kelihatan bersih dan segar,” katanya.

Beliau bersyukur kerana ladangnya itu mendapat tunjuk ajar dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

”Setiap bulan, seorang pegawai dari jabatan ini akan membuat lawatan ke ladang saya untuk melihat tahap perkembangan dan kesihatan haiwan ternakan ini,” katanya yang turut membuat lawatan ke luar negara untuk mendapat nasihat dan panduan.

Zainudin memberitahu, selain menjalankan penternakan kambing, beliau juga menjalankan pelbagai aktiviti sampingan bagi memaksimumkan pendapatan di samping membantu masyarakat setempat yang berpendapatan rendah.

”Selain menjalankan penternakan kambing, ladang ini juga menghasilkan baja organik daripada najis atau tinja kambing yang dicampurkan ramuan lain untuk dijadikan baja organik.

”Kerja-kerja membungkus baja saya serahkan kepada golongan orang kurang upaya yang menginap berhampiran ladang ini,” jelasnya yang mengitar semula bulu kambing untuk dijadikan aksesori.

Beliau juga merancang membuka kilang memproses barangan daripada kulit kambing antaranya jaket, beg tangan dan pelbagai aksesori lain.


RASHID Elias menunjukkan sebahagian daripada cendawan yang mula menunjukkan hasilnya dalam bongkah beg di projek tanaman beliau di Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar, baru-baru ini.

MUAR 7 Julai – Pada asalnya beliau seorang kontraktor membina beberapa buah rumah atau bangsal tanaman cendawan di sekitar daerah ini.

Namun, setelah melihat sendiri bagaimana rumah cendawan itu beroperasi, Rashid Elias, 38, tertarik dan bertekad menceburi tanaman cendawan tiram kelabu yang kini diusahakannya di sebuah kawasan di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini sejak awal tahun ini.

Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya ‘Pleurotus sajor-cabu’ yang diusahakan oleh Rashid itu merupakan salah satu daripada tiga jenis cendawan tiram yang ditanam di negara ini selain cendawan tiram putih dan cendawan tiram abalone.

Berbekalkan modal sebanyak RM100,000, beliau membina sebuah rumah cendawan seluas 9.6 meter x 43.2 meter yang mampu memuatkan 50,000 bongkah beg tanaman cendawan yang disusun dalam rak-rak kayu.

“Meskipun baru dalam bidang ini, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai tanaman cendawan setiap hari dan apa yang saya nampak ialah tanaman cendawan ini agak rumit tetapi menyeronokkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat tanaman cendawan beliau, di sini baru-baru ini.

Menerusi syarikat Wirajaya Marketing yang dikendalikannya, Rashid yang menubuhkan syarikat itu sejak tahun 2002 kini mula mengusahakan tanaman cendawan dengan mengupah 15 pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung terbabit.

Proses tanaman cendawan tiram kelabu, katanya, memerlukan penggunaan habuk kayu getah serta beberapa campuran lain termasuk dedak padi serta kapur pertanian bagi mengelak daripada ianya menjadi masam.

Menurut Rashid, untuk memulakan tanaman cendawan ini, kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas yang berukuran 15.8 x 36.2 sentimeter (sm).

“Selepas itu, beg plastik tersebut akan dikukus dalam alat khas selama enam jam sebelum disejukkan selama 12 jam dan kemudiannya disuntik dengan benih cendawan.

“Beg-beg itu kemudian akan disusun dalam rumah cendawan untuk proses pengeraman selama 55 hingga 60 hari dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang,” jelasnya.

Katanya, bongkah-bongkah cendawan yang dikawal suhunya itu akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang.

Setiap beg bongkah itu pula, katanya, akan mengeluarkan cendawan antara 200 hingga 300 gram bergantung kepada kesuburan benih dan ianya kemudian akan dipetik dan dibungkuskan sebelum dijual di pasaran.

Menurut Rashid, kesemua hasil tanaman itu akan dipasarkan ke pasar-pasar tani dan kedai runcit dan sepanjang pengalamannya mengusahakan tanaman itu, setiap 10,000 bongkah beg mampu menghasilkan 1.6 tan cendawan.

Rashid menambah, dia kini berhasrat menganjurkan seminar dan kursus tanaman cendawan dan sesiapa yang berminat beoleh menghubunginya di talian 06-9556300 atau 019-6592829 atau menerusi emel wjm_tt@yahoo.com.


BANGGA: Habil (kiri) bersama Hazirah (kanan) memerhatikan sijil yang diterima sebagai peserta projek tranformasi ternakan kambing dan itik di Kampung Kobong, baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Setiap kali hujan, Habil Utuh Laung akan memastikan kambing peliharaannya tidak merayau – bukan kerana haiwan itu takutkan air, tetapi bimbangkan cacing merayap dan boleh menyebabkan penyakit.

Bermula sebagai nelayan dengan pendapatan RM400 bagi menyara isteri dan lima anak, penduduk jati anak kelahiran Kampung Kobong, Pulau Banggi, berusia 39 tahun itu beralih menjadi penternak kambing baka tempatan sejak 11 tahun lalu.

Asalnya beliau mendengar cerita rakan dan orang politik yang mengatakan usaha membela kambing boleh membawa pulangan lumayan, manakala penatnya tidak seteruk turun ke laut berhari-hari, tetapi hasilnya sedikit.

Bermula dengan 10 kambing kampung, Habil beransur-ansur melupakan gelora laut dan memberi tumpuan kepada haiwan peliharaannya hinggalah lebih sedekad kemudian apabila jagaannya kini merangkumi 30 kambing Boer – rentetan 10 ekor baka terkemuka itu yang diperoleh pada 2005.

Malah, anak sulungnya, Hazirah, 18, turut memelihara itik berhampiran kandang kambing itu, dengan mendapat tunjuk ajar Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT).

Pulau Banggi mungkin dilabel antara daerah paling mundur di Sabah, namun Habil membuktikan istilah kemiskinan adalah relatif kerana keluarganya tidak merempat atau mengemis, jauh sekali mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

Sesekali turun juga menangkap ikan, beliau adalah antara insan paling sibuk menjelang hari raya atau ketika penduduk mahu mengadakan kenduri kerana kambingnya menjadi rebutan untuk dijual pada harga RM450 seekor.

Habil berupaya menjual purata 10 kambing Boer setiap tahun dan pulangannya memadai untuk bapa cekal itu mempunyai simpanan demi masa depan keluarga.

Sabah bertuah kerana bumi luasnya subur, baik di darat mahu pun laut dan Habil adalah antara individu yang memanfaatkan peluang untuk menghakis jenama kemiskinan secara beransur-ansur daripada kehidupannya.

Persekitaran global mungkin berdepan ancaman krisis makanan dan tekanan kenaikan harga minyak, namun dunia insan gigih seperti Habil nyata selesa tanpa terlalu banyak tekanan, seperti kata-katanya dalam pertemuan kami: “Rezeki tetap ada kalau kita pandai mencari.”

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 184 other followers