1. LATAR BELAKANG
Menurut sejarah, rantau ini merupakan pusat penting untuk perdagangan dan pembekalan herba dan rempah-ratus. Pihak kolonial Eropah telah mengembara ke timur mencari rempah dan herba untuk berdagang dan memasarkan barangan mereka. Pemerintah British membawa bersama-sama mereka pentadbir, penyelidik dan saintis bagi mendapatkan manfaat sepenuhnya kehadiran mereka dengan menggali dan mengkaji berbagai-bagai khazanah dari bumi ini, seperti yang terbukti dalam ratusan dokumen yang ditulis berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh kaum peribumi yang masih utuh hingga kini, sebahagiannya masih menjadi rujukan penting bagi masyarakat saintis hingga sekarang (Burkill 1966, Gimlette 1981).
Pada masa kini dunia sedang mengalami suatu renaisans herba yang memeprlihatkan pola peningkatan pengunaan dan penjualan herba di seluruh dunia. Banyak persidangan dan pertemuan professional telah diadakan yang mengesahkan fenomena ini dan setiap peringkat masyarakat amat prihatin serta ingin memastikan bahaw apotensi herba dimanfaatkan sepenuhnya dan pengunaannya dioptimumkan.
Sains dan teknologi herba yang terdapat di negara ini amat memerlukan bantuan daripada berbagai-bagai aspek, mulai daripada sumber bahan mentah, aktiviti penyelidikan dan pembangunan pelbagai disiplin sehinggalah pembuatan, perundangan dan penguatkuasaan, pendidikan, hak harta intelek (IPR) dan sebagainya. Teknologi pembuatan herba yang merupakan tulang belakang kepada usaha ke arah kebangkitan industri herba moden harus seiring dengan teknologi pengekstrakan yang semakin canggh yang dpaat menjamin produk herba piawai berkualiti tinggi. Arus kesedaran ini semkain meningkat, namun persiapan dari segi pembangunan sumber manusia terlatih serta pendidikan pada semua peringkat belum menunjukkan kemajuan. Ahli profesional dan saintis dalam bidang kesihatan perlu lebih peka dan bersedia menghadapi kemasukan produk herba dalam arus perdana perubatan. Senario ini merupakan satu trend dalam komuniti Eropah dan negara maju yang lain. Justeru itu, dlam usaha kita mengawal serta memantau perubatan herba, tidak ramai yang memahami serta menghargai masalah dan kesukaran yang terdapat dalam bidang ini.
2. INDUSTRI HERBA MALAYSA: STATUS DAN PELAN TINDAKAN
Satu rangka tindakan (blueprint) tentang Industri Produk Herba telah disediakan oleh kumpulan MIGHT Interest Group in Herbal Products di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mewakili sektor awam dan swasta (National Herbal Products Blueprint 2002). Dokumen ini memberikan pandangan menyeluruh industri herba di malaysia dan pada peringkat global di samping menggariskan strategi cadangan, syor-syor dan pelan tindakan yang dirangka untuk membangunkan dan meningkatkan kemampuan industri herba tempatan dan berperanan lebih besar pada peringkat global.
Kerajaan Malaysia berhasrat untuk menukarkan Malaysia sebagai sebuah pusat dunia dalam pemuliharaan (konservasi), penyelidikan dan pengunaan kepelbagaian biologi tropika menjelang tahun 2020 dan untuk mencapai hasrat ini kerajaan telah mengenal pasti produk-produk baru dan industri-industri yang boleh dibangunkan daripada sumber biologi negara. Antaranya adalah produk-produk farmaseutikal, ubat-ubatan herba, penjagaan diri, kosmetik, dan biokimia (Azizol dan Zhari 1997).
*
Status
Di bawah Dasar Pertanian Kebangsaan Ketiga (1998-2010) produk herba telah dikategorikan di bawah produk khusus (specialty product) yang telah dikenal pasti sebagai salah satu industri berpotensi yang akan dibangunkan untuk Malaysia pada abad ke-21. Produk herba lazimnya ditakrifkan sebagai mengandungi bahan semulajadi herba, rempah, tumbuh-tumbuhan beraroma dan berubat, di samping hasilan laut dan haiwan. Bahan mentah, ekstrak dan minyak daripada tumbuhan herba digunakan dengan meluas dalam makanan dan minuman, bahan farmaseutikal, ubat tradisional, bahan penjagaan kesihatan, makanan kesihatan (nutriceutical), kosmetik dan produk penjagaan diri (toiletries). Saiz pasaran produk herba global pada tahun 1996 sekitar US$14 bilion dan diramalkan pada tahun 2008 mencapai US$200 bilion dan pada tahun 2050, US$5 trilion (Joerg 1998; Jean-Francois 1999). Sementara di Malaysia saiz pasaran pada tahun 2000 sekitar RM2 bilion dan kandungan bahan tempatan ialah 5% iaitu sekitar RM100 juta, sementara yang lainnya diimport. Disarankan jika Malaysia ingin bersaing secara global, maka kandungan bahan tempatan perlu ditingkatkan menjadi 15% pada tahun 2005 dan 48% pada tahun 2010.
Berbagai-bagai kegiatan berkaitan dengan industri herba dapat diceburi. Bidang usaha berkaitan dengan penanaman dan pemuliharaan mampu mengurangkan import bahan mentah dan menyokong industri tempatan dan luar negara. Bidang pemprosesan herba tempatan untuk menjadikan bahan terproses separa atau produk terproses sepenuhnya bagi tujuan tempatan atau eksport merupakan suatu usaha yang berpotensi besar. Bidang-bidang lain yang mempunyai peluang cerah ialah pengimportan bahan mentah atau bahan terproses separa untuk dijadikan produk yang dibungkus dan didaftar di Malaysia. Melalui kegiatan sebegini kebanyakan produk herba luar yang terdaftar telah memasuki pasaran tempatan. Aktiviti yang berkaitan dengan bidang penyelidikan dan pembangunan herba serta khidmat analisis herba merupakan usaha yang keperluannya adalah sangat mendesak yang berupaya untuk menambah nilai serta meningkatkan kualiti dan membekalkan herba piawai yang bermutu tinggi. Ada beberapa alasan yang dapat diberikan untuk membangunkan industri herba di negara ini, iaitu:
* Sektor ini telah terbukti pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan,
* Memantapkan keselamatan negara dalam bidang ubat-ubatan,
* Mengoptimumkan penggunaan hasilan sumber biologi,
* Menukar ganti bahan import bagi mengimbangkan pembayaran negara,
* Menjana peluang pekerjaan,
* Berupaya meningkatkan kemampuan diri sendiri dalam bidang teknologi, dan
* Memupuk asas R&D yang kukuh dan mantap.
Analisis strategik yang dilakukan terhadap industri herba di Malaysia menunjukkan ada beberapa kekuatan. Antaranya adalah
* Terdapat sumber kepelbagaian biologi yang kaya,
* Terdapat koleksi germplasma yang banyak,
* Cuaca yang baik bagi pertumbuhan herba secara optimum,
* Adanya sumber R&D dalam kalangan saintis dan penyelidik tempatan,
* Penerimaan dan peningkatan permintaan untuk produk khusus semulajadi terutamanya dalam penjagaan kesihatan primer dan kosmetik,
* Adanya pengetahuan asli peribumi dan keupayaan dalam formulasi herba tempatan, dan
* Adanya komitmen kerajaan yang mengiktiraf potensi industri ini dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga.
Namun demikian, terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diatasi, antaranya:
* Kekurangan bekalan bahan mentah bagi keprluan industri yang berkembang pesat.
* Tiada/kurang teknologi asas untuk memproses herba.
* Kurangnya aktiviti penanaman besar-besaran herba ubatan dan beraroma yang berpotensi ekonomi.
* Kurangnya amalan penggredan, akreditasi, dan skim piawaian tempatan.
* Kurangnya sumber manuasia berpengetahuan mahir.
* Aktiviti terbatas pada SME (Small Medium Enterprise) dengan pengetahuan teknikan dan pengurusan yang rendah.
* Kurang penglibatan syarikat besar.
* Tiada pempiawaian dan kawalan mutu dalam kalangan SME yang menyebabkan penghasilan produk bermutu rendah.
* Kurannya program R&D yang melayani keperluan jangka pendek dan panjang industri herba.
* Ketiadaan/kekurangan bukti saintifik untuk dakwaan berkaitan dengan kesihatan.
Peluang yang terbentang bagi pengusaha herba adalah luas dan banyak. Antaranya adalah:
* Pembangunan produk baru dan lebih baik berasaskan sumber kekayaan yang terdapat di negara ini.
* Pembangunan proses baru yang lebih baik dalam pemprosesan teknologi pembungkusan untuk menghasilkan produk akhir yang lebih baik.
* Pengunaan bioteknologi dan teknologi kultur sel untuk membaiki bahan genetik.
* Meningkatkan input daripada teknologi pengkomputeran dan maklumat untuk meningkatkan sistem pemprosesan, R&D, industri servis dan sokongan di samping pemasaran dan pengurusan.
Beberapa cabaran dan ancaman telah dipastikan yang akan menentukan nasib projek herba. Antara perkara yang penting adalah:
* Terdapatnya kebanjiran produk herba dari negara-negara seperti indonesia, China, India dan Thailand yang lebih murah;
* Kemasukan produk palsu dan yang tidak bermutu; dan
* Adanya peningkatan dan kemajuan pesat dalam industri herba di China, India dan Indonesia (Azizol dan Zhari 1997).
3. PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN (R&D) HERBA
Sebuah pusat R&D herba yang bermakna dan berkesan akan terdiri daripada ahli sains dan profesional daripada berbagai-bagai disiplin yang merancang, menyediakan program, meyelaras dan mentadbir kegiatan R&D secara integratif. Pusat ini melibatkan ahli farmakognosis (pakar ubat mentah daripada alam semula jadi), ahli-ahli botani, agronomi, fitokimia, farmasi, farmakologi, toksilogi, mikrobiologi, bioteknologi, pakar klinikal, teknologi maklumat, dan pengamal perubatan tradisional dan moden.
Pada asalnya, kurikulum farmasi menyediakan kebanyakan kursus ilmu sains dan teknologi berkaitan herba. Pada tahun 1980 dan 1990, berlaku pengurangan yang nyata kursus berkaitan sains herba. Akibatnya minat dalam bidang ini mulai menurun dan mengalih kepada bidang fitokimia sebagai gantinya. Sejak kebelakangan ini minat terhadap bidang herba mulai meningkat dan nampaknya terus berkembang tetapi dengan wajah yang baru sebagai hasil sumbangan yang diberikan oleh bidang-bidang lain sains yang berkaitan. Komponen Sains Herba termasuklah Farmakognosi, Botani/Agronomi, Fitokimia dan Analisis, Etnofarmakologi/Farmakologi serta Farmakognosi Klinikal (Zahri 1997).
1. Farmakognosi
Bidang Farmakognosi (farmakon=bahan ubat, gnosis=pengetahuan) lazimnya dikaitkan dengan ilmu interdisiplin tentang ubat-ubatan semula jadi. Takrifan ini kian diperluas sesuai dengan tuntutan era yang kini juga sedang mengalami peubahan paradigma yang menekankan aspek akauntabiliti berkaitan kualiti, keselamatan dan dakwaan tentang kegunaan memenuhi tuntutan era perubatan yang berlandaskan bukti (evidence based medicine).
Skop farmakognosi termasuk kajian sifat-sifat ubat semula jadi dari aspek fizikal, kimia, biokimia, dan biologi. Pencarian ubat baru daripada sumber semula jadi juga termasuk dalam kajian ini. Penyelidikannya merangkumi bidang-bidang fitokimia, kimia mikrobial, biosentesis, biotransformasi, kemotaksonomi, dan bidang-bidang sains biologi dan kimia yang lain.
Renaisans perubatan herba menyebabkan permintaan yang tinggi bagi kursus sains farmakognosi. Dari sudut amali, ia mencakupi kawalan mutu (identiti, ketulenan, konsisten), kemujaraban, (indikasi terapeutik, kajian klinikal, kajian farmakologi) dan keselamatan (kesan advers, interaksi dadah, kontraindikasi, pengawasan).
Secara takrifan, farmakognosi ialah ilmu tentang ubat-ubatan yang berasal daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan, haiwan dan mineral dari laut atau daratan. Di beberapa institusi pendidikan farmasi, disiplin ini masih merupakan disiplin utama dalam pendidikan farmasi. Ilmu bidang ini juga merangkumi aspek perdagangan dan kualiti bahan mentah ubat-ubatan. Parameter ujian farmakognosi masih kekal dan beerguna di dalam prosedur pempiawaian kini tetapi malangnya pakar dalam bidang ini sukar dicari.
2. Botani/Agronomi
Botani, iaitgu ilmu tentang tumbuhan ialah bidang multidisiplin yang mencakupi pengenalpastian (taksonomi), genetik, penanaman dan sebagainya. Penggunaan tumbuhan sebagai bahan ubat memerlukan aspek-aspek seperti ketulenan, kualiti, dan pengawetan.
Pengenalpastian materia medika (bahan ubat) berdasarkan kriteria taksonomi merupakan bahagian integral dalam mengesahkan suatu sampel. Memandangkan kegiatan pengumpulan bahan mentah daripada sumber liar atau hutan akan berkurangan dan terbatas, sumber herba kini dan yang akan datang akan banyak bergantung pada sains dan teknologi agronomi dan pertanian yang akan menentukan kualiti dan kuantiti kandungan juzuk dalam herba. Aktiviti R&D bidang ini termasuklah pengumpulan, penyediaan dan penyebaran bahan rujukan herbaria dan kajian mendalam botani herba. Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Amalan Pengumpulan Baik (GCP) merupakan syarat asas bagi menjamin sumber bahan mentah herba yang berkualiti (Zhari 2002; EMEA/HMPWP/31/99 Rev.1.2001).
3. Fitokimia/Analisis
Pencirian kimai bahan tumbuhan adalah penting kerana ia mengaitkannya dengan kesan terapeutik. Jelas bahawa spesis tumbuhan yang berbeza akan memiliki profit kimia yang berlainan. Perbezaan ini juga kelihatan pada varieti yang berbeza, atau varieti yang sama ditanam pada lokasi yang lain atau dituai pada musim yang lain. Bahagian tumbuhan seperti akar, daun, bunga dan biji juga berkemungkinan mempunyai profil yang amat berbeza.
Analisis kualitatif, fizikal dan kimia merupakan sebahagian analisis herba. Pelbagai kaedah dan peralatan dapat digunakan untuk mwengukur dan menganalisis berbagai-bagai parameter dan ini termasuk UV, IR, AAS, TLC, HPTLC, GC, HPLC, LC-MS, NMR, alat sensor, dan sebagainya. Data yang terkumpul memberikan maklumat penting tentang kandungan, ketulenan, dan kualiti spesimen herba. Penyediaan bahan ujian dalam beberapa bentuk ekstrak, kajian kuantitatif, profil cap jari, pemisahan, pemencilan dan pengenalpastian komponen kimia aktif dan sebatian penunjuk yang berpotensi adalah antara aktiviti penyelidikan yang dijalankan.
4. Etnofarmokologi/Farmakologi dan Toksikologi
Kebanyakan bahan kimia yang terkandung dalam tumbuhan memiliki kesan biologi pada haiwan termasuk manusia. Aktiviti biologi keseluruhan tumbuhan, ekstraknya dan atau juzuk isolatnya dapat diukur melalui berbagai-bagai cara. Secara terus, melihat kesannya kepada manusia melalui pemerhatian klinikal. Tindakan pada haiwan, tisu, sel kultur dan/atau enzim digunakan untuk meramalkan kesan kepada manusia atau mengkaji mod tindakan.
Aktiviti R&D dalam disiplin ini melibatkan pengesahan penggunaan tradisional dan kajian profil sesuatu herba. Penentuan ketoksikan akut dan kronik serta ketoksikan khusus lainnya dilakukan dalam bidang ini. Kajian berkaitan kandungan dan aktiviti herba juga dilakukan untuk mencari alasan kegunaan terapeutik apabila kandungan kimianya sudah dapat dipastikan.
5. Farmakologi Klinikal
Farmakologi klinikal merupakan bidang baru yang sedang diperkenalkan walaupun di beberapa negara formulasi herba telah pun digunakan secara klinikal dengan meluas. Pada asasnya bahan herba perlu dipiawai terlebih dahulu dan potensi dosnya dijamin. Pakar klinikal perlu berkeyakinan penuh akan ubat ini berdasarkan maklumat asas yang lengkap yang telah diperoleh. Penyediaan protokol kajian dan kajian double-blind yang terkawal adalah antara tatacara yang terlibat yang akan membawa penghasilan formula terapeutik yang baru.
6. Teknologi Herba
Bidang ini membezakan herba tradisional dan moden. Teknologi kini harus mematuhi kriteria dan piawai dalam memenuhi keperluan Agensi Pengawalan. Keperluan asas berkaitan kualiti, keselamatan dan kemujaraban herba moden boleh dicapai jika ia memanfaatkan teknologi yang bersesuaian. Teknologi herba merupakan bidang yang berkembang dengan cepat dan pesat di beberapa negara maju. Malaysia perlu meningkatkan daya usaha R&D dalam bidang ini untuk maju bagi mencapai taraf global. Bidang-bidang yang berkaitan ialah bioteknologi herba, farmaseutik herba, teknologi pembuatan herba, jaminan dan kawalan mutu herba dan teknologi maklumat herba.
7. Bioteknologi
Pembekalan dan sumber bahan mentah herba akan terus merupakan faktor penentuan dalam industri herba. Kaedah pembiakan baru akan sentiasa dicari dan melalui bioteknologi isu ini dapat memberikan harapan. Pembiakan spesimen melalui kultur sel ialah aktiviti utama dalam usaha mencari klon unggul yang menjadi harapan penyelidik. Pembiakan benih unggul melalui kaedah ini dapat menjanjikan bahan-bahan yang piawai dan seragam yang diperlukan industri.
8. Farmaseutik
Herba moden lazimnya didispen dalam bentuk dosej moden seperti tablet dan kapsul, walaupun bentuk uncang masih popular. Perkembangan pempiawaian persediaan fitoterapi memerlukan maklumat daripada kajian dalam bidang teknologi farmaseutik. Kajian teknikal dan pempiawaian ubat herba melibatkan penentuan spesifikasi piawaian dan kajian formulasi, kestabilan dan biofarmaseutik yang mengkaji aspek berkaitan penyerapan, taburan, metabolisme dan perkumuhan bahan herba.
9. Amalan Pengilangan Baik (GMP)
Pematuhan kepada Amalan Pengilangan Baik (GMP) sebagai suatu cara pempiawaian dalam pengeluaran herba merupakan salah satu syarat penilaian bagi permohonan lesen pengeluaran untuk produk herba. Pengguna berhak kepada produk bermutu tinggi yang bergantung pada kualiti bahan mentah, proses pengeluaran, infrastruktur, peralatan dan mesin, dan tenaga kerja. Falsafah asas “kualiti harus terbina, bukan diuji” menggambarkan betapa pentingnya GMP dalam memelihara kualiti herba.
Input amalan pengeluaran moden ke dalam pengeluaran herba telah memberikan beberapa kesan. Walaupun ia berjaya dilaksanakan namun kritikan tentang keberkesanannya untuk meningkatkan mutu herba tempatan perlu ditangani dengan bijak. GMP untuk herba harus sesuai dengan keperluan dan ciri khusus yang terdapat pada herba. Pendidikan dan penerangan tentang GMP herba perlu ditingkatkan agar pengeluar dan pengusaha herba dapat memahami dan mematuhi budaya GMP dengan baik.
10. Jaminan Kualiti
Jaminan kualiti termasuk kawalan kualiti ialah gabungan urusan tersusun yang dibuat untuk memastikan produk herba memenuhi kualiti yang ditetapkan yang melibatkan GMP dan spesifikasi-spesifikasi lain seperti penetapan masa hayat produk dan pembungkusan produk.
11. Teknologi Maklumat
Era teknologi maklumat merupakan ciri terpenting era globalisasi. Ia suatu peluang yang harus diambil kesempatan sepenuhnya. Penggunaan pangkalan data dan laman web perlu ditingkatkan dan dihubungkan dengan laman-laman brkepentingan untuk menambahkan kandungan tempatan untuk tatapan global. Potensi dan peluang terbuka luas bagi pengusaha yang gigih. Pelaksanaan e-ekonomi dan k-ekonomi bergantung sepenuhnya pada teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Penyelidik dan pengusaha herba akan hanya mendapat manfaat daripada ICT jika berkemahiran dalam penggunaan teknologi canggih ini dan berbagai-bagai urusan dapat dilakukan, seperti mencari maklumat, berdagang, pemasaran, berkomunikasi dan sebagainya. Namun demikian, maklumat dan data yang diberikan atau diterima memerlukan penapisan kerana ini mendedahkan kewibawaan dan keyakinan pihak-pihak yang berurusan. Untuk memudahkan penerimaan daripada golongan profesional atau saintifik, pembuktian dakwaan produk yang dipaparkan harus disertakan bersama atau mudah dicari melalui pautan yang disarankan.
4. PENYELIDIKAN FARMAKOGNOSI
Penyelidkikan farmakognosi bertujuan memastikan aspek kualiti, keselamatan dan kemujaraban herba akan sentiasa terpelihara sepanjang hayat perjalanan pemprosesan herba tersebut; bermula dari penanaman, penuaian/pengumpulan, penyimpanan, pengekstrakkan, formulasi dan pengilangan menjadi produk herba. Konstantin (1996) menerangkan pengalaman penilaian produk herba di beberapa negara Eropah. Beberapa jenis ujian kawalan dan jaminan mutu herba telah pun di atur untuk melaksanakan tugas tersebut yang melibatkan suatu siri ujian farmakognostik, fizikal, kimia, biologi dan mikrobiologi. De Smet (1999) memberikan gambaran meluas tentang kesan dan implikasi kawalan mutu herba, dan Werner (2000) melaporkan signifikannya aspek kualiti terhadap kemujaraban dan keselamatan produk ubatan herba. Zhari et al. (2000) telah melaporkan kepentingan kawalan mutu bahan mentah dalam kes Tongkat Ali dan Pegaga bagi menjaga ketulenan dan kualiti produk.
Kawalan dan Jaminan Mutu Herba
Rudolf (1998) menegaskan untuk pengurusan kualiti yang serius, amat perlu ditakrifkan kriteria dan spesifikasi setiap bahan dalam bentuk monograf yang komprehensif. Pemeriksaan bahan herba mencakupi suatu siri ujian farmakognostik, fizikal, kimia, biologi dan mikrobiologi. Antaranya ialah:
* Pemeriksaan makro dan mikro untuk pengenalpastian.
* Kromatografi lapisan nipis (TLC) untuk pengenalpastian.
* Pemeriksaan bahn cemar asing tak organik dan organik.
* Penentuan kandungan air dan susut pengeringan.
* Penentuan abu.
* Penentuan serat mentah
* Penentuan komponen terekstrak.
* Penentuan bahan aktif (jika diketahui).
* Penentuan kontaminasi mikrobial dan ketiadaan.
* Penentuan sisa pestisid, aflatoksin, dan herbasid.
Kinghorn dan Eun-Kyoung (1998) telah memperkenalkan kaedah gabungan kromatografi/kromatografi spektroskopi bagi analisis herba, sementara Edward et al. (1998) menggunakan kromatografi cecair/spektroskopi jisim bagi mengenal pasti bahan kimia dalam herba.
5. PROJEK MONOGRAF HERBA MALAYSIA
Projek ini ialah usaha untuk menyediakan dokumen herba tempatan yang memenuhi kriteria global. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merangka dokumen Guidelines for the Assesment of Herbal Medicines yang bertujuan mentakrifkan kriteria asas bagi penilaian kualiti, keselamatan dan kemujaraban ubat herba. Dokumen ini memudahkan kerja dan tugas agensi pengawalan, badan saintifik dan industri dan menyediakan suatu dokumen teknikal Model Monographs of Wideley Used Medicinal Plants yang memasukkan aspek-aspek botani, kimia dan farmakologi. Negara Jerman merupakan negara termaju dalam perubatan herba telah mengeluarkan monograf Commission E yang dihasilkan di bawah naungan suatu badan khusus yang dikenali sebagai Commission E danmemuatkan maklumat berhubung dengan indikasi, kontraindikasi, kesan sampingan, interaksi, dos, cara kegunaan dan kesan. Sehingga julai 1988, sebanyak 200 monograf disediakan dan Kesatuan Eropah telah menerima pendekatan ini.
Monograf ESCOP (European Scientific Cooperative on Phytotherapy) (Barbara 1999) yang dikeluarkan oleh Negara Kesatuan Eropah merupakan dokumen yang mengandungi maklumaqt berharga dan overview terkini daripada pustaka saintifik. Monograf ini menghindar kerja duplikasi dan mengharmonikan cara penilaian produk herba. Kepentingan dan keprluan monograf semakin mendesak apabila agensi pengawalan mensyaratkan setiap pendaftaran produk herba harus disertakan dokumen tentang maklumat kimia, farmasi, dan biologi seperti yang terdapat dalam monograf herba. Jika tiada dokumen yang sedemikian, maka spesifikasi yang komprehensif harus disediakan bagi herba berkenaan.
Penyediaan Malaysian Herbal Monograph Jilid 1 dan 2 (Monograph Committee 1999) telah mengambil kira segala aspek yang dinyatakan di atas dan kini usaha untuk menerbitkan jilid kedua sedang dijalankan. Banyak masa dan keperluan telah dicurahkan yang seharusnya ditangani oleh tenaga profesional yang terlatih dalam bidang-bidang kawalan mutu dan dokumentasi. Makmal lengkap yang memenuhi persyaratan tuntutan amalan makmal baik (GLP) amat diperlukan agar kerja-kerja berkaitan penyediaan monograf dilaksanakan dengan sempurna. Usaha untuk memperluas kepakaran dalam pembahagian kerja sedang dilaksanakan di pelbagai Institusi Kerajaan seperti Universiti, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Biro Pengawalan Farmasi Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang betindak sebagai sekretariat tetap dan penerbit monograf. Namun demikian, masalah yang dihadapi ialah kekurangan tenaga pakar, peruntukan dan kurang minat yang ditunjukkan oleh pihak yang berkepentingan terutama pihak industri herba tempatan (Zhari et al. 1995)