Epal ikon baru pelancongan Sarawak


MAC dan Jun adalah masa memetik epal di Ladang Buduk Nur, Ba Kelalan.

Pesta Epal setiap Mac dan Jun di Ladang Kampung Buduk Nur, Ba Kelalan tarikan istimewa pengunjung

SUHU siang hari 25°C hingga 32°C manakala malam 15°C menjadikan Kampung Buduk Nur di Ba Kelalan, Lawas Sarawak memiliki keistimewaan. Kampung paling hujung di utara Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan Indonesia itu adalah lokasi 10 hektar ladang epal berjenama ‘Ba Kelalan’.

Mungkin anda tidak pernah terfikir, epal boleh ditanam secara komersial di Malaysia. Bagaimanapun di Buduk Nur, epal bukan saja menjadi ikon baru pelancongannya tetapi juga lambang kerjasama sekampung.

Sewaktu kumpulan media bertandang ke Buduk Nur, kami bukan saja disambut pemilik kebun epal, Tagal Paran, 74, dan ahli keluarganya malah penduduk kampung dan wakil rakyatnya Nelson Balang Rining yang menyambut dengan tarian selamat datang.

Buduk Nur adalah satu daripada sembilan kampung di Ba Kelalan. Majoriti penduduknya suku kaum Lun Bawang (atau bermaksud Orang Gunung). Kedudukannya yang 2,900 kaki dari aras laut ditambah bentuk muka bumi bergunung ganang dan tanah tinggi berbalam, menjadikan cuaca Ba Kelalan sejuk dan sesuai untuk tanaman seperti epal, oren, avocado dan markisa.

Walaupun jauh dari Kuching, Ba Kelalan dihubungi dengan penerbangan terus dari Miri ke Ba Kelalan menggunakan pesawat kecil ‘twin otter’ yang mengambil masa kurang 50 minit. Manakala dari Lawas, memandu ke Ba Kelalan sebaiknya menggunakan pacuan empat roda dan mengambil masa sekitar lima jam (bagi penduduk tempatan).
EPAL Ba Kelalan dijual RM10 sekilogram di ladang.

Bagaimanapun semua kepenatan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Miri dan Miri ke Ba Kelalan lenyap sebaik menjejakkan kaki ke Buduk Nur.

Ladang epal milik Pak Tagal terletak di hujung landasan kapal terbang. Justeru awal-awal lagi kami sudah diingatkan perlu memanjat tangga untuk sampai ke sana.

Ba Kelalan memang terkenal dengan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan cabaran. Justeru, memanjat tangga bukanlah terlalu sukar. Apatah lagi wartawan yang mengikuti rombongan anjuran Tourism Malaysia dan Borneo Jungle Safari itu ketika itu sudah bermandi peluh dan hujan dalam aktiviti merentas hutan sebelum ke ladang epal.


EPAL Ba Kelalan dijual RM10 sekilogram di ladang.

Selain kedudukan ladang epal yang sedikit tinggi dari kawasan lain di Buduk Nur, ia juga turut bersempadan dengan sawah padi, antara punca rezeki utama penduduk di sini.

Dari jauh kelihatan pokok epal ditanam berbaris dan tumbuh dengan ketinggian di paras bahu lelaki dewasa. Bagaimanapun, mungkin waktu kami tiba di Ba Kelalan bukanlah masa yang baik. Selain buah epal yang sudah hampir habis dipetik dari ladang atas faktor kualiti dan tujuan komersial, hujan juga turun renyai. Mujur juga hujan tidak lebat membolehkan kami ‘berpesta epal’.

Ada kira-kira 2,000 pokok ditanam di situ. Manakala ada empat jenis epal dikeluarkan, epal merah yang dikenali sebagai ‘Rome Beauty’ epal kuning kehijauan ‘Mana Lagi’, epal hijau ‘Granny Smith’ dan sejenis lagi epal merah dikenali sebagai ‘Anna’.

Antara empat jenis itu, Rome Beauty boleh dikatakan agak lasak. Walaupun digolongkan sebagai epal merah, ia tidak merah sepenuhnya tetapi bercampur hijau. Apatah lagi saiznya lebih besar berbanding yang lain, ia lebih menjadi pilihan di kalangan pelancong yang membelinya sebagai buah tangan.

Walaupun sedikit masam, tetapi Rome Beauty rangup berbanding Anna sejenis lagi epal merah yang bersaiz kecil dan sangat lembut seperti sutera. Anna bagaimanapun dipasarkan di bandar terdekat saja kerana ia mudah lebam jika dibiarkan terlalu lama selepas dipetik.

Manakala epal jenis Granny Smith adalah kacukan benih dari Australia yang dibawa balik bakanya oleh seorang daripada lima anak Pak Tagal, Mendiang Dr Judson Sakai Tagal, bekas Menteri Muda Pembangunan, Infrastuktur dan Komunikasi Sarawak yang terbunuh dalam nahas helikopter pada Julai 2004.

Antara empat jenis yang ditanam, epal Mana Lagi cukup menarik perhatian. Kata Pak Tagal, benih asal Mana Lagi dibawa dari Batu Malang di Indonesia sebelum dikacukkan dengan benih epal lain. Warnanya kuning kehijauan dan baunya harum jika sudah cukup tua.

Kata Pak Tagal, ada cerita tersendiri di balik nama Mana Lagi. Kononnya, di Batu Malang seorang pelancong menyukai keenakan dan kerapuhan epal Mana Lagi dan bertanya mana lagi? mana lagi? dan akhirnya nama itu melekat.

Satu ketika dulu, ladang itu ditanam dengan lapan jenis epal. Bagaimanapun, atas faktor kualiti, ia dihadkan kepada empat jenis saja.

“Epal yang ditanam sekarang yang terbaik dari lapan jenis. Dulu kami berhadapan dengan masalah buah epal yang cepat buruk dan lebam dan sukar dipasarkan,” katanya.

Epal Ba Kelalan kata Pak Tagal, akan dipetik dua kali setahun iaitu Mac dan Jun. Memetik epal bukan hanya kerja keluarga dan pekerja saja, tetapi bagaikan pesta untuk seluruh penduduk Kampung Buduk Nur. Malah sesekali acara itu disertai pelancong tempatan dan turut menjadi tumpuan segelintir pelancong Eropah.

Biasanya sepohon pokok epal mengeluarkan hampir 300 biji. Setiap kali musim memetik epal tiba, ladang itu boleh menghasilkan hampir satu tan biji epal. Bagaimanapun jumlah itu tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan. Selain dijual di sekitar kampung, epal Ba Kelalan turut dijual di Lawas, Limbang dan Kota Kinabalu.

Kata Pak Tagal, jumlah itu belum ditolak epal yang kurang kualitinya dari segi saiz dan bentuk Epal begitu tidak akan dipasarkan sebaliknya dijadikan jus dan jem.

Menyedari Buduk Nur semakin dikenali sebagai lokasi tanaman epal di Malaysia, ia menerima makin ramai pelancong setiap tahun. Justeru bagi memastikan epal sentiasa ada di Ba Kelalan dan pelancong boleh datang dan memetiknya di luar musim, Pak Tagal dan Mutang sedang berusaha untuk menambahkan keluasan ladang.

Begitupun usaha itu kata Mutang, mungkin sukar kerana masalah kekurangan pekerja. Kebanyakan anak muda di Buduk Nur lebih berminat bekerja sendiri atau berhijrah ke bandar berhampiran seperti Lawas selain bekerja di Brunei dan Kuala Lumpur.

Selain itu, kebanyakan warga Ba Kelalan lebih tertumpu pada penanaman padi. Beras di Ba Kelalan adalah beras berkualiti yang cukup terkenal dengan nama Beras Bario.

Ketika ini Pak Tagal mengusahakan ladang epal dengan bantuan Mutang dan beberapa pekerja mahir yang dibawa dari Indonesia.

“Untuk mendapatkan hasil yang baik, masa penanaman epal itu penting. Penghasilan epal juga bergantung pada cuaca. Walaupun epal mungkin hanya boleh ditanam di kawasan suhu tertentu tetapi ia masih memerlukan matahari. Jika kerap hujan, sukar untuk pokok menghasilkan banyak buah. Tetapi kalau hujan sedikit, pokok dapat dipangkas dan buah lebih banyak,” katanya.

Kata Pak Tagal, kos penyelenggaraan ladang mencecah antara RM10,000 ke RM15,000 setahun termasuk membeli ubat dan baja.

Info

Jika anda berminat menyertai Pesta Epal Ba Kelalan Jun ini, Penerbangan Malaysia menyediakan perkhidmatan twin otter terus dari Miri ke Ba Kelalan setiap hari Rabu manakala pakej percutian Pesta Epal Ba Kelalan ada disediakan oleh Borneo Jungle Safari di talian 03-22604981 (Kuala Lumpur) atau 08-5435736/08-419737 (Miri).

Benih Mana Lagi dibawa dari Indonesia

SEJARAH tanaman epal di Ba kelalan bermula ketika Andrew Balang Paran, 71, menyertai majlis keagamaan di Batu Malang, Indonesia pada 1974.

Kata Andrew, dia teruja melihat kebanyakan penduduk di Batu Malang ketika itu menanam pokok epal di tepi rumah mereka seperti menanam pokok betik.

“Ia kelihatan sangat mudah dan pokok epal itu sangat subur,” katanya. Terlintas di hati Andrew untuk membawa balik benih epal berkenaan dan menanamnya di kampung halamannya, Buduk Nur, Ba Kelalan, Lawas kerana cuacanya yang hampir sama.

Andrew tidak perlu membeli benih epal Mana Lagi yang dibawanya dari Batu Malang. Sebaliknya ia diberi percuma oleh rakan-rakannya di Batu Malang. Selepas mendapat kelulusan Jabatan Pertanian Indonesia, Andrew membawa balik 20 anak benih epal menerusi Singapura sebelum tiba di Kuching dan akhirnya sampai di Buduk Nur.

“Perjalanannya sangat jauh tetapi dalam hati saya sentiasa ingin mencuba menanam epal dan melihat hasilnya,” katanya yang ditemui ketika Pesta Epal Ba Kelalan, baru-baru ini.

Andrew berkata, ketika di lapangan terbang, seorang pegawai kastam dengan sinis bertanya: Bolehkah pokok epal di tanam di sini? Beliau ketika itu hanya menjawab akan mencubanya.

Setahun selepas ditanam, walaupun pokok epal itu tumbuh subur dan membesar, ia tidak berbuah.

“Saya hampir putus asa dan meminta pertolongan daripada Jabatan Pertanian,” katanya.

Ketika itu Jabatan Pertanian banyak memberi bantuan seperti baja dan mengacukkannya dengan epal jenis lain. Bagaimanapun, tiga tahun menanti pokok epalnya masih tidak berbuah.

Andrew akhirnya putus asa dan tidak mahu menjaganya. Deretan pokok epal yang hidup subur tetapi tidak berbuah itu diserahkan pada abangnya Tagal Paran pada 1977.

“Waktu itu saya sudah tidak mahu jaga lagi dan serahkan pada abang. Saya katakan padanya buatlah apa saja dengan pokok itu. Kalau pokok epal itu berbuah di bawah jagaannya, itu rezeki dialah,” katanya.

Di tangan abangnya Tagal Paran, kebun epal yang asalnya hanya ditanam dengan 20 batang pokok itu diluaskan. Banyak baka epal dari luar negara selain Indonesia dibawa masuk. Malah, Andrew dan mendiang anak saudaranya, Datuk Dr Judson Sakai Tagal turut ke Australia dan Indonesia untuk membeli benih pokok epal.

Setahun selepas diserahkan kepada abangnya, pokok epal itu mula berputik dan berbuah. Andrew menyifatkan dirinya masih bertuah walaupun pokok epal itu bukan lagi di bawah jagaannya tetapi dia masih berpeluang melihat ladang itu berkembang dan hari ini menjadi ikon pelancongan di Ba Kelalan.

Info

Epal Ba Kelalan

# Ladang epal Ba Kelalan terletak di Kampung Buduk Nur, Lawas, Sarawak

# Ladang berkeluasan 10 hektar itu dimiliki oleh Tagal Paran.

# Suhu di Buduk Nur adalah, 25°C hingga 32°C (pada siang hari) manakala malam 15°C.

# Terdapat kira-kira 2,000 pokok ditanam di situ.

# Ada empat jenis epal yang ditanam, ‘Rome Beauty’, ‘Mana Lagi’, ‘Granny Smith’ dan ‘Anna’.

# Setiap kali musim memetik epal tiba, ladang itu boleh menghasilkan hampir satu tan biji epal

# Kos penyelenggaraan ladang mencecah antara RM10,000 ke RM15,000 setahun termasuk membeli ubat dan baja.

Keledek ladang kontrak beri pulangan lumayan

SEKTOR pertanian masa kini semakin berkembang selepas pelbagai program dilaksanakan. Pengeluaran hasil pertanian melalui sistem ladang kontrak sudah lama dipraktikkan bagi membolehkan pengusaha menumpukan sepenuhnya terhadap peningkatan pengeluaran hasil.

Ladang kontrak adalah pakatan strategik antara pengeluar dan pemasar bagi menangani lambakan hasil disebabkan masalah pasaran yang berhubungkait dengan kualiti dan mutu hasil keluaran.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Johor Bahru Timur mempraktikkan ladang kontrak melalui jalinan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi mengusahakan tanaman keledek gendut dan merah di Zon Pengeluaran Makanan Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Konsep ladang kontrak sudah banyak diusahakan di Johor dengan pelbagai jenis tanaman makanan. Antara jenis tanaman makanan dan tempat yang sudah dan akan diusahakan secara ladang kontrak ialah tanaman jambu batu di PPK Muar Tengah, tanaman nanas di PPK Pontian Tengah, tanaman nangka madu mastura di Sedili, tanaman sayuran kacang panjang dan sayuran campuran di PPK Pontian Timur.

Projek tanaman keledek ini pada awalnya dilaksanakan oleh usahawan tetapi kurang berjaya kerana aspek pengeluaran tidak diberi penekanan. Melalui konsep ladang kontrak antara PPK dan Fama, penekanan terhadap pengeluaran hasil bermula peringkat penyediaan tapak hingga ke peringkat pemasaran yang dipantau secara berjadual.

Pemantauan pelaksanaan projek akan dibuat oleh Jabatan Agensi MOA Inc manakala pihak Fama pula akan menentukan kualiti an kuantiti yang diperlukan mengikut gred.

Mengikut konsep berkenaan, PPK atau usahawan yang terbabit perlu mengikuti spesifikasi ditetapkan oleh Fama berhubung varieti keledek, jadual penanaman dan jangkamasa pengeluaran serta kuantiti hasil.

Penilaian sebenar kos/hektar akan dibuat oleh pihak Jawatankuasa MOA Inc dan jadual operasi akan dimaklumkan setelah menerima laporan daripada pihak terbabit. Dalam hal ini PPK akan memberi tumpuan terhadap aspek pengeluaran manakala Fama tertumpu kepada segi pemasaran.

Setiap kos yang terbabit berkaitan pengeluaran akan disahkan oleh Jawatankuasa Ladang Kontrak Daerah. Pihak Fama tidak terikat dengan penentuan harga sebaliknya ia akan ditetapkan mengikut keadaan semasa.

Fama memberi jaminan bahawa harga yang ditawarkan kepada PPK dan usahawan melebihi harga kos pengeluaran.

Penentuan jadual pengeluaran adalah berasaskan kepada keupayaan pengeluar dan kebiasaannya tiga hingga lima tan metrik/0.4 hektar mampu dikeluarkan setiap minggu. Di samping itu, jadual pengeluaran hendaklah disesuaikan untuk tempoh setahun bermula Julai hingga September setiap tahun.

Pada masa itu, jumlah pengeluaran yang diperlukan mencecah 10 tan seminggu. Jadual pengeluaran hasil juga perlu dibuat pada musim panas kerana harga pada musim itu agak tinggi.

Penentuan harga di ladang ditetapkan mengikut harga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Harga akan ditentukan 50 peratus pada peringkat ladang dan selebihnya ditentukan mengikut permintaan pasaran.

Kaedah penentuan harga setiap kilogram keledek daripada peringkat ladang hingga kepada pengguna, contohnya ialah harga di ladang 50 sen, harga borong 85 sen dan harga pengguna ialah RM1.50

Penentuan harga turut dipengaruhi oleh gred keledek yang dijual. Bagi mendapatkan harga tinggi di pasaran, keledek perlu digred terlebih dulu. Secara keseluruhan keledek hanya mempunyai dua gred iaitu gred A yang bersaiz besar dan berasaskan varieti dengan purata berat 500 gm/biji dan gred B yang bersaiz sederhana dengan anggaran berat tiga biji setiap kilogram.

Keledek yang dihasilkan pula perlu dibungkus mengikut standard pasaran iaitu 10 kg/unit dengan tempoh dua minggu jaminan kualiti selepas dikutip. Bagi menambah pendapatan untuk menampung kos operasi tanaman keledek boleh diselang-selikan dengan tanaman labu Taiwan kerana ia mampu mengeluarkan hasil selepas enam bulan ditanam selain mudah dipasarkan.

PPK dan usahawan yang terbabit dalam projek tanaman keledek ini perlu memberi fokus kepada aspek pengeluaran dengan berpandukan Amalan Pertanian Baik (GAP). Usahawan juga akan diberi pendedahan melalui lawatan ke projek yang berjaya, manakala PPK akan menyelaras dalam aspek pengeluaran termasuk perkhidmatan kepada usahawan bagi memastikan projek berjaya.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang juga Alumni UPM Kelas 1972. (Ruangan ini dikelolakan Persatuan Alumni UPM dengan kerjasama Berita Harian)

ASAS lahirkan jutawan lintah

BEGINILAH kolam tanah yang diperkenalkan ASAS yang berkonsep Natural Farming.

DAN jadikanlah sebahagian kekayaan dan kurnia yang Allah berikan kepadamu di jalan Allah dan amalan untuk kehidupan akhirat. (al-Qashah: 77).

Bertitik-tolak daripada ayat di atas telah mencetuskan ilham kepada Art Soulist Holdings Sdn. Bhd. menerusi anak syarikatnya, Art Soulist Agrotech Sdn. Bhd. menawarkan peluang perniagaan ternakan lintah kepada golongan bumiputera yang berminat menerusi apa yang mereka panggil sebagai perkongsian rezeki.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto, HAYAT SUEET berkesempatan menemu bual Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech, Asmadi Awang

di pejabat yang terletak di Taman Alam Jaya, Cheras, Selangor bertanya lanjut mengenai peluang mudah menjana pendapatan, sekali gus membangunkan

industri pertanian negara serta memartabatkan

bangsa dan agama khasnya dalam arena perniagaan.

MEGA: Terlebih dahulu boleh saudara cerita serba ringkas tentang latar belakang syarikat ini?

ASMADI: Art Soulist Holdings Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 1999. Syarikat ini merupakan pengasas bagi produk-produk yang berasaskan lintah seperti Minyak Lintah Tapa Plus. Terbaru, kami menghasilkan produk yang berasaskan herba, rempah ratus dan sumber semula jadi, diyakini mampu mengekalkan dan meningkatkan kesihatan luaran dan dalaman kaum lelaki. Malah produk kami juga membantu mengekalkan keremajaan dan ketampanan mereka.

Sebenarnya, selain saya terdapat seorang lagi rakan kongsi iaitu Zamri Ibrahim selaku pengarah urusannya.

Syarikat kami menjalankan operasi Contract Manufacturing dan pengeluar produk-produk kesihatan telah berkembang dengan sebuah lagi anak syarikat iaitu Art Soulist Agrotech Sdn. Bhd. (ASAS). Syarikat ini menjalankan aktiviti sebagai pembekal utama bahan mentah dan ekstrak pertanian dan penternakan seperti lintah, belut dan cacing tanah.

Alhamdulillah, produk ekstrak dalam bentuk cecair telah pun memasuki pasaran antarabangsa seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Singapura, Vietnam, Dubai, Korea dan China.

Mengapa ASAS mengambil keputusan untuk memperkenalkan projek dalam penternakan lintah, cacing tanah dan belut secara komersial?

ASMADI: Kalau kita sebut lintah, yang selalu terbayang ialah tekstur badannya yang lembik, berlendir serta takut dengan sifat semula jadinya yang sukakan darah. Kini, tidak lagi kerana sudah timbul semacam kesedaran bahawa haiwan ini boleh dijadikan satu bisnes yang menguntungkan dan menjana pendapatan lumayan.

Hal ini telah dibuktikan oleh kami sendiri kerana ASAS bukan sahaja pengasas pertama penternakan lintah di Malaysia, malah yang pertama di dunia pada masa kini. Lantaran itu, adalah lebih baik perkara yang baik diperluaskan untuk dinikmati oleh semua.

Menerusi pengamalan konsep pengkhususan pembahagian rezeki kepada sesama kaum, kami yakin peluang perniagaan ternakan lintah ini bakal membuka cabang bisnes baru. Yang menariknya ia hanya terbuka kepada kaum bumiputera tanpa mengira status ekonomi mereka. Apatah lagi, industri ini masih baru diterokai.

Kontrak lima tahun yang ditawarkan akan memberi peluang kepada pengusaha mendapatkan jaminan pasaran tetap. Malah sekiranya ada kerjasama daripada semua pengusaha, tidak mustahil kita mampu bersaing di peringkat dunia.

Bagaimanakah ia dilaksanakan dan apakah harapan saudara menerusi projek ini?

ASMADI: Kami mengutamakan kualiti produk sama ada dari aspek penternakan mahupun pemakanan. Oleh itu, ASAS akan membuat pemantauan projek vendor bagi memastikan prosedur kolam yang betul.

Manakala bagi memastikan pengusaha lintah mudah melakukan urusan dengan pihak syarikat, maka para pengusaha akan dibahagikan mengikut zon; Pantai Timur, Selatan, Barat, Utara dan Malaysia Timur. Setiap zon mempunyai satu pusat pengumpulan hasil yang dilantik dan dijadikan sebagai tempat rujukan.

Sistem Ternakan Lintah Secara Terbuka (Kolam Tanah) yang diperkenalkan ini merupakan satu lagi bidang bioteknologi baru berkonsep Natural Farming. Ia bukan sahaja mengekalkan habitat asal lintah malah tidak mengganggu ekosistem alam semula jadi.

Secara keseluruhannya ASAS lebih mementingkan spec dan Standard of Procedur (SOP) yang betul dan sempurna dalam pembinaan kolam.

Untuk memulakan projek ternakan ini, kos infrastruktur dan operasi hanya sekitar RM50,000 bagi membina 10 kolam tanah. Manakala harga sekilogram lintah adalah RM60. Menariknya ia menghasilkan pulangan sebanyak RM60,000 dalam masa enam bulan.

Malah pembiayaan dana sebanyak RM50,000 kepada peserta yang layak di bawah Program Skim Rakan Niaga Tekun Nasional dengan ASAS turut menjadi faktor tarikan dan wajar diambil peluang keemasan ini.

Peserta tidak perlu bimbang kerana, mereka ada dimantapkan dengan penyediaan kursus dan latihan, praktikal setiap bulan agar industri ini lebih sistematik dan mempunyai status ternakan antarabangsa (GAP).

Di samping itu, sasaran kami untuk tahun 2008 iaitu mencapai sasaran pembekal seramai 1,000 orang dengan 10,000 kolam lintah di Malaysia menjelang 2009.

Harapan saya, agar orang ramai tidak melepaskan peluang keemasan ini. Mereka yang berminat, bolehlah menyertai kursus ternalan lintah yang akan diadakan pada 5 dan 6 April ini.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi 03-9080 1678 (pejabat), Nasrudin di talian 012- 640 4084 atau 019-301 0881 (Razimi). Orang ramai juga boleh melayari lawam web syarikat di www.artsoulistagrotech.com.my

Rahsia pembentukan buah yang kompleks

BUAH-buahan sebenarnya merupakan satu anugerah alam yang menyimpan banyak rahsia dan sedia untuk diungkap serta diurai oleh sesiapa saja.

Seperti yang kita ketahui, buah berasal dari ovari iaitu satu komponen daripada bahagian betina bunga, yang telah matang selepas mengharungi tumbesaran dalam waktu tertentu.

Apabila masak, buah akan mengalami beberapa transformasi serentak membabitkan perubahan warna, rasa, bau dan juga teksturnya seperti ketegaran atau pelembutan.

Menurut Pensyarah Jabatan Biosains, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Hamid Lazan, proses buah membesar sehingga masak bukan sahaja kompleks kerana dikawal atur oleh pelbagai gen dan enzim, tetapi juga melalui proses perkembangan yang teratur dan tersusun.

“Bagi kebanyakan buah, transformasi buah masak paling mudah adalah perubahan warna selain daripada aroma (bau).

“Perubahan warna ketika buah masak biasanya melibatkan perubahan warna buah daripada hijau ke suatu warna dominan tertentu akibat pemecahan dan seterusnya penyusutan aras klorofil serta diiringi oleh pembentukan pigmen warna lain seperti likopen (warna merah), karoten (warna kuning ke oren) dan antosianin (warna biru ke jingga)” katanya.

Perisa atau rasa pula, menurut Prof. Hamid merupakan gabungan deria yang kompleks merangkumi pelbagai komponen rasa seperti masam, manis, masin, kelat dan pahit dan juga komponen aroma.

“Imbangan komponen aroma dan cita rasa ini akan memberikan perisa yang membezakan antara buah, misalnya antara bacang dan kuinin” tambahnya lagi.

Buah-buahan tropika Malaysia yang berpotensi sebagai komoditi eksport adalah tembikai, belimbing besi, pisang, durian dan betik.

Betik misalnya adalah sejenis buah yang cepat masak berasal daripada kawasan tropika Amerika dan dipercayai dibawa ke daerah Nusantara melalui kepulauan Filipina oleh orang Sepanyol sekitar kurun ke-16.

Dari segi morfologi, betik dikelaskan sebagai buah `beri’ – buah berair dan berisi seperti mangga, pisang dan tomato.

“Buah tropika ini tergolong sebagai buah cepat masak dan hanya boleh disimpan sekitar lima hingga tujuh hari saja.

“Buah seperti belimbing dan jambu batu jenis Kampuchea pula mempunyai kadar masak yang sederhana panjang iaitu sekitar 21 hari,” kata Prof. Hamid.

Buah yang masak pantas atau cepat masak lebih lembut dan cepat busuk. Dianggarkan buah tersebut akan mengalami kehilangan ketegaran lebih 90 peratus dalam masa seminggu saja.

Tambah Prof. Hamid lagi, tahap masak betik lazimnya ditakrifkan mengikut warna kulitnya.

“Buah betik lazimnya dituai pada peringkat warna kulit lima peratus kuning dan dibiarkan menjalani proses masak pada suhu 28 darjah Celsius sehingga mencapai 25, 50, 75 dan 100 peratus kuning pada hari ke-2, 4, 6 dan 8 hari selepas dituai.

Pada tahap masak ini, berlaku perubahan dramatik pada struktur dan komposisi kimia dinding sel.

Semua sel tumbuhan memiliki dinding sel, kawasan yang berada di luar dari membran (atau selaput) plasma. Dinding sel adalah perbatasan luar suatu sel tumbuhan yang dinamik.

“Terdapat perkaitan rapat antara perubahan struktur dinding sel dan pelembutan buah,” katanya.

Bagi memastikan sesuatu enzim terlibat dalam pelembutan, enzim berkenaan perlu dipencil dan ditulenkan dan seterusnya kemampuan enzim berkenaan mengungkai dinding sel ditentukan.

Bagi betik, antara enzim yang telah ditulenkan ialah alfa- dan beta-galaktanase. Persediaan enzim tulen ini, apabila dieram dengan persediaan dinding sel buah tak masak, masing-masing memperlihatkan pola merungkai dinding sel yang berbeza.

Apabila enzim berkenaan hadir secara gabungan, enzim-enzim tersebut akan berinteraksi dalam merubah dinding sel ke arah perubahan yang serasi dengan perubahan yang berlaku semasa masak.

Betik tergolong ke dalam kelompok buah klimakterik, iaitu buah yang mempamerkan peningkatan respirasi dan penghasilan etilena yang signifikan semasa masak.

Bagi betik, peningkatan penghasilan etilena dan juga aras etilena di atmosfera dalaman buah ketika masak adalah disebabkan oleh peningkatan biosintesis.

Peningkatan penghasilan etilena ini berkait rapat dengan aktiviti enzim ACC sintase (ACS) dan ACC oksidase (ACO), enzim-enzim yang terlibat dalam biosintesis etilena.

Etilena adalah sejenis hormon tumbuhan yang berperanan dalam mengawal atur kadar buah masak, terutamanya buah klimakterik.

Analog etilena, asetelina, gas yang terhasil daripada karbaid dan sering digunakan bagi mengaruh kadar masak pisang, juga boleh berfungsi sebagai etilena, walaupun tidak setanding etilena.

“Bukti menunjukkan untuk menjayakan betik masak, peningkatan aras etilena dan peningkatan persepsi melalui kehadiran reseptor etilena tertentu adalah perlu,” tambah Prof. Hamid lagi.

Apabila masak buah direncat, penghasilan etilena, aktiviti enzim dan gen yang terlibat dalam biosentesis dan persepsi etilena turut terencat. Bagaimanapun, tidak semua perubahan yang mencirikan aspek masak buah seperti pelembutan berada di bawah kawalan etilena.

Banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian buah, bermula dengan inisiasi dan pembentukan bunga dan berakhir dengan proses buah masak dan kesenesenan (kematian).

Dua proses biologi yang terakhir itu, walaupun suatu proses terminal berlaku dengan penuh tertib dan dikawal atur oleh aktiviti yang berpusat di nukleus.

Menurut erti kemanusiaan, manfaat yang boleh dijana melalui pembangunan ilmu seperti kajian mengungkai-erti-buah-masak ini, sewajarnya bersifat kebendaan.

Buah yang cepat masak, lembut dan busuk seperti betik mempunyai hayat simpanan yang singkat, justeru kerugian pasca tuai juga tinggi sekitar 30 hingga 40 peratus.

Justeru adalah wajar jika proses masak direncat atau ditangguh bagi memelihara kualiti dan memanjangkan hayat simpanan buah.

Gen dan enzim yang berpotensi terlibat dalam proses masak dan pelembutan betik telah dikenal pasti dan boleh dimanfaatkan melalui pendekatan bioteknologi untuk mengubah proses buah masak dan mengurangkan kerugian pasca tuai betik.

Hikmah paling utama di sebalik kejadian buah adalah menyangkut hubungan khaliq dan makhluk.

Walaupun selepas dicantas, buah masih boleh hidup, meneruskan saki-baki hidupnya menjalani proses masak buah bagi mendapatkan warna yang gah dan menarik. Perisanya yang unik dan berbeza dengan tekstur yang lembut adalah langkah-langkah asas ke arah penyebaran benih dan meneruskan zuriat.

Perubahan warna, perisa dan tekstur yang mencirikan proses buah masak itu, adalah proses kompleks yang berlaku secara bebas dari segi masa dan tempat, dikawal atur oleh hormon tertentu dan dikawal melalui tindakan gen-gen khusus.

Kesemua perubahan ini berlaku secara terkawal dan ia adalah sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah.

Reban hawa dingin tingkatkan hasil

PENGGUNAAN teknologi moden bukan perkara baru dalam industri pertanian kerana ia telah sekian lama menjadi pemangkin kepada para penternak dan peladang bagi meningkatkan hasil dan mutu pengeluaran makanan.

Suatu masa dahulu iaitu pada kurun ke-18, penggunaan teknologi telah meledakkan revolusi pertanian di Eropah. Revolusi tersebut telah mengubah aktiviti pengeluaran makanan yang secara kecil-kecilan bertukar kepada berskala besar dengan penemuan ciptaan teknologi terbaru.

Misalnya, tokoh-tokoh seperti Robert Bakewell (1725-95) telah memperkenalkan kaedah moden pengurusan ternakan manakala Jethro Tull (1674-1741) telah memperkenalkan alat membajak benih di ladang.

Pada masa ini, negara-negara pengeluar makanan sememangnya memahami bahawa aktiviti itu tidak boleh tidak, mesti berorientasikan komersial dengan hasil pengeluaran secara besar-besaran dan dibantu oleh penggunaan teknologi moden.

Apatah lagi dengan kehadiran cabaran globalisasi dan liberalisasi yang menuntut golongan petani, penternak dan peladang sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran persaingan. Golongan berkenaan yang berada di negara ini juga tidak terkecuali dengan persaingan tersebut.

Justeru, Kementerian Pertanian telah menggariskan beberapa panduan kepada golongan itu yang antara lain mahukan sektor pertanian berwajah baru yang menitikberatkan pemindahan teknologi.

Ia merupakan transformasi pertanian iaitu perubahan menyeluruh bagi meningkatkan mutu dan saiz pengeluaran. Dengan itu, kerja-kerja pertanian secara tradisional patut ditinggalkan kerana golongan petani, penternak dan peladang harus menerima hakikat bahawa sektor itu hanya boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan sekiranya diusahakan secara komersial dengan bantuan teknologi.

Antara agensi yang diberi tanggungjawab oleh kementerian untuk merealisasikan hasrat tersebut ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Pengerusi LPP, Prof. Datuk Dr. Alang Perang Abdul Rahman Zainuddin berkata, penggunaan teknologi membolehkan hasil ternakan dan sayur-sayuran dari negara ini dieksport dengan mudah ke negara lain. Ini kerana, katanya, hasil pengeluaran menggunakan teknologi terkini adalah lebih bersih dan menepati piawaian antarabangsa.

Menurut beliau, sektor ternakan yang sedang giat menerima arus perubahan teknologi termasuklah aktiviti ternakan ayam yang mula menggunakan sistem reban tertutup berhawa dingin. Hasil ternakan menggunakan sistem tersebut mempunyai pasaran yang lebih luas berbanding ternakan ayam secara tradisional iaitu menggunakan sistem reban terbuka.

“Misalnya, Singapura akan mengamalkan dasar tutup pintu terhadap bekalan ayam daging dari negara ini yang masih menggunakan sistem terbuka mulai tahun depan,” katanya kepada para wartawan pada sidang media selepas melawat Ladang LPP Kawasan Johor Baharu Selatan, baru-baru ini.

Alang Perang berkata, pihaknya menyeru para penternak ayam agar menggunakan sistem terbaru itu yang lebih efisien selain mampu membekalkan jumlah pengeluaran yang konsisten. Bagaimanapun, katanya, kebanyakan penternak masih ragu-ragu dan masih belum bersedia untuk beralih kepada sistem itu kerana kos permulaan yang agak tinggi.

Selain itu, katanya, masalah utama golongan berkenaan untuk menceburi sektor pertanian yang berasaskan teknologi ialah perubahan sikap.

Seorang penternak ayam di Muar, Johor, Muhammad Yahya, 34, berkata, sistem itu memberi pulangan pendapatan berlipat kali ganda berbanding sistem tradisional.

“Sistem tertutup mampu menempatkan sebanyak 17,000 hingga 19,000 ayam dalam setiap reban, sedangkan reban sistem terbuka hanya boleh menempatkan kira-kira 4,000 ayam,” jelasnya yang mengusahakan tiga reban ayam seumpama itu.

Penjagaan makanan dan kebersihan sistem tersebut yang mudah menyebabkan kadar kematian ayam berkurangan. Katanya, purata keuntungan bagi seekor ayam tersebut ialah 98 sen.

Muhammad yang juga bekas jurutera telah mengubah suai reban-reban miliknya dari semasa ke semasa termasuk menggantikan sistem pendingin berasaskan jaring kepada yang berasaskan kertas bagi meningkatkan mutu sistem penghawa dingin berkenaan.

Beliau telah membelanjakan hampir RM165,000 bagi sebuah reban berkenaan manakala kira-kira RM39,000 pula dibelanjakan untuk membeli janakuasa sebagai persediaan menghadapi sebarang masalah bekalan elektrik.

“Walaupun modal asal untuk menggunakan sistem ini agak tinggi sedikit tetapi pulangan modal akan diperoleh dalam jangka masa yang singkat iaitu selewat-lewatnya tiga tahun,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Johor Bahru Selatan, Mohd. Yusof Hassan berkata, penanaman beberapa sayur-sayuran termasuk buah tomato dan cili di Taman Usahawan Peladang Mukim Sungai Lebak, Johor, juga mengamalkan sistem terbaru yang dikenali sebagai Fertigasi.

“Sistem itu membolehkan hasil pengeluaran diperoleh empat kali ganda daripada biasa,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem yang tidak menggunakan tanah itu hanya menggunakan sabut kelapa yang diproses berserta air dan baja. Selain hasil menjamin hasil pendapatan yang lumayan, ia juga menjimatkan kos pengeluaran kerana tidak banyak tenaga kerja diperlukan untuk menjaga tanaman itu.

“Hasil tanaman juga berkualiti tinggi kerana kadar baja, air dan penyakit boleh dikawal dengan mudah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang usahawan muda, Sarmin Arshat, 31, berkata, sistem pengairan terkini telah membolehkan beliau mengusahakan enam jenis tanaman rumpai tropika akuatik di 27 kolam.

Rumpai-rumpai itu dikenali dengan nama, Green Cabomba, Wistria, Trapanatan, Ralala Indica, Round Bacopa dan Rosefolia.

Menurut beliau, tanaman yang digunakan untuk hiasan dalaman akuarium ikan itu diimport ke Taiwan, Hong Kong dan Singapura dan menerima permintaan yang amat mengalakan.

“Terdapat kira-kira 15,000 pokok pada setiap kolam itu yang berkeluasan 30.48 meter kali 7.62 meter,” katanya.

Dengan harga dua sen bagi setiap pokok, beliau memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM1,500 setiap bulan.

Herba negara berpotensi jadi komoditi baru

TANPA kita sedari, tumbuhan herba yang tumbuh melata di hutan Khatulistiwa negara ini sebenarnya mampu memberikan pulangan lumayan sehingga berbilion ringgit setahun jika usaha dan kaedah tanaman secara komersial dilakukan dengan betul dan tepat.

Berdasarkan data Kementerian Perusahaan Utama yang dikeluarkan baru-baru ini, industri herba dan aromatik dapat membantu merangsang ekonomi negara apabila nilai pasarannya mencatatkan sebanyak RM4.5 bilion setahun.

Malah, menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, industri herba dan aromatik berpotensi menjadi komoditi baru negara selain kelapa sawit, bijih timah, koko, getah dan minyak mentah.

Malangnya, apa yang menyedihkan hanya lima peratus daripada nilai pasaran itu menggunakan produk-produk tempatan. Kelemahan ini adalah akibat kegagalan kita mengusahakan tanaman herba secara komersial.

Dengan kata lain, masyarakat negara ini hanya mengusahakan tanaman herba untuk kegunaan sendiri semata-mata, bukan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Sebagai contoh, Tongkat ali atau Eurico longifolia, kacip fatimah (Labisia pumila) dan pegaga (Centella asiatica) adalah antara ribuan tumbuhan herba atau ubatan mujarab dalam merawat pelbagai penyakit.

Herba-herba itu juga digunakan dengan meluas untuk penjagaan kesihatan sejak turun temurun sehingga ke hari ini.

Ketiga-tiga tumbuhan ini telah tumbuh melata di negara kita bersesuaian dengan keadaan iklim khatulistiwa hutan-hutan di Malaysia.

Masyarakat Melayu khususnya, telah sedar tentang khasiat-khasiat ketiga-tiga spesies sejak zaman dulu lagi.

Tongkat ali dari spesies keluarga Simaroubaceae dikenali juga sebagai penawar pahit, bedara, tongkat baginda, pasak bumi atau setunjang bumi mengikut negeri-negeri tertentu di negara ini.

Antara khasiat tongkat ali ialah pati kulit akarnya yang pahit apabila direbus boleh digunakan sebagai tonik untuk ibu-ibu yang baru bersalin.

Selain itu, ekstrak akarnya pula berkesan ke atas aktiviti-aktiviti antimalaria iaitu kepada protozoa penyebab penyakit malaria.

Banyak lagi khasiat tongkat ali dan yang paling popular ialah meningkatkan `kekuatan’ tenaga batin bagi kaum lelaki.

Kacip fatimah atau nama saintifiknya Labisia pumila pula adalah dari spesies keluarga Myrsinaceae. Herba ini juga dikenali sebagai selusoh fatimah, rumput siti fatimah, akar fatimah, pokok pinggang, tadah matahari atau bunga belangkas hutan.

Selain boleh ditemui di hutan-hutan Malaysia, kacip fatimah boleh juga ditemui di wilayah Indochina.

Dalam perubatan tradisional, Labisia pumila ini biasanya direbus untuk diberi minum kepada ibu-ibu mengandung bagi memudahkan dan mempercepatkan proses kelahiran anak, ia juga berkesan sebagai penawar untuk membuang angin dalam perut (flatulence), disentri, masalah ketika haid dan penyakit kelamin.

Pegaga pula adalah dari keluarga Umbelliferae yang merupakan tumbuhan herba menjalar. Ia juga dikenali sebagai penggaga, pegaga tekukur, pegagan, daun kaki kuda (panggilan masyarakat Jawa), gagan-gagan (panggilan masyarakat Sunda) dan antahan (panggilan masyarakat Siam).

Pokok ini tersebar luas di kawasan tropika dan sebahagian kawasan subtropika terutamanya di Asia Tenggara selain boleh ditemui di kawasan selatan Afrika serta mudah didapati di Malaysia.

Pegaga atau Centella asiatica ini mengandungi sebatian triterpenoid seperti asiaticoside, madecasocide, asid asiatik dan asid madecassis dengan pelbagai kegunaan dalam amalan tradisional kaum Melayu terutamanya penawar terhadap penyakit yang membabitkan kulit, sistem saraf dan darah.

Paling menarik ialah penggunaannya terhadap pengubatan penyakit kusta dan banyak lagi khasiat yang boleh didapati daripada spesies tumbuhan herba ini.

Perkembangan maklumat mengenai kepelbagaian khasiat-khasiat tumbuhan herba ini telah menarik minat saintis Barat untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan tumbuhan itu seterusnya mengusahakannya secara komersial.

Maka tidak hairanlah, 95 peratus daripada pasaran produk tumbuhan herba dan aromatik yang bernilai RM4.5 bilion setahun itu datangnya dari luar kerana pengusaha-pengusaha asing mempunyai bahan-bahan mentah yang lebih berkualiti.

Ahli sains Barat menyedari, penggunaan tumbuhan herba sebagai ubat-ubatan kurang memberi kesan sampingan berbanding penggunaan ubat moden atau dadah.

Lanjutan itu, usaha sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menanam tumbuhan-tumbuhan herba termasuk tongkat ali, kacip fatimah dan pegaga.

Tujuan utama FRIM menjalankan R&D itu adalah untuk membantu industri tumbuhan herba dan aromatik supaya terus berkembang seterusnya membantu unjuran ekonomi negara agar lebih menggalakkan.

Sehubungan itu, pada tahun ini sahaja, Bahagian Tumbuhan Ubatan FRIM di bawah Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang-bidang Keutamaan (IRPA) telah mempunyai empat projek utama bernilai RM500,000 yang akan memberi manfaat kepada industri kelak.

FRIM turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak luar termasuk Golden Hope Plantations Bhd. iaitu sebuah syarikat perladangan bersepadu yang berasaskan industri pertanian, perkayuan, pembangunan hartanah dan pengeluaran.

Perkongsian bijak itu akan difokuskan dalam bidang perladangan dan bioteknologi. Selain itu, sebuah Taman Herba di Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir juga sedang diusahakan oleh FRIM.

Menurut Ketua Pengarah FRIM Datuk Abdul Razak Mohd. Ali baru-baru ini, FRIM juga bekerjasama dengan Massachusetts Institute of Teknology (MIT), Amerika Syarikat dalam penyelidikan berkaitan tongkat ali dan kacip fatimah.

Katanya, kerjasama itu dijalinkan memandangkan negara maju itu mempunyai prasarana yang lengkap bagi tujuan penyelidikan dan ia juga untuk melatih para saintis tempatan.

FRIM juga telah mewujudkan Pusat Pembangunan Produk Herba (HPDC) bagi menumpukan bidang pemprosesan herba dan penghasilan produk sebagai model bagi pengusaha dalam industri tersebut mendirikan kilang seumpama dengannya.

Sebuah Pusat Penyelidikan Luar yang terletak di Maran, Pahang pula ditubuhkan bertujuan untuk penyelidikan penanaman semula secara semi-komersial untuk tumbuhan herba yang berpotensi.

Oleh itu, para pengusaha tempatan perlu mengambil peluang ini bagi memajukan industri herba dan aromatik kerana Malaysia merupakan negara yang kaya dengan tumbuhan-tumbuhan tersebut.

Adalah satu kerugian bagi ekonomi negara jika kita gagal untuk memanfaatkan segala keuntungan yang sebenarnya telah berada dalam genggaman.

Keistimewaan lintah dalam dunia perubatan

SEPANJANG kerjayanya sebagai pakar bedah plastik dan rekonstruktif, di Columbia, Dr. Matthew Concannon tidak akan lupa salah satu sejarah yang tercipta enam tahun lalu.

Beliau telah berusaha untuk menyambung sebahagian telinga seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terputus akibat digigit oleh seekor anjing pelatih.

Ini merupakan kes ketiga yang dilaporkan di mana telinga seorang kanak-kanak disambungkan melalui pembedahan mikro.

Menurut Concannon, prosedur yang mengambil masa selama empat jam itu terlalu rumit. Selain saiz pembuluh darah yang terlalu halus, koyakan yang berlaku pada telinga menyebabkan kerja-kerja mencantum semula telinga tersebut semakin mencabar.

Sejurus selepas pembedahan selesai dilakukan, Concannon menggunakan lintah bagi membolehkan aliran darah terbentuk semula.

Dalam tempoh seminggu, lebih 50 ekor lintah telah digunakan. Hasil yang diperoleh begitu menakjubkan.

“Lintah yang digunakan berjaya menyedut sejumlah darah beku bagi membolehkan darah mengalir selepas pembedahan yang rumit.

“Jika darah-darah ini tidak disedut keluar, ia akan masuk semula dan keadaan ini lebih serius seolah-olah seperti tiada darah baru yang mengalir,” jelasnya.

Sukar dipercayai. Tetapi itulah sebahagian sumbangan dan jasa yang cukup besar lintah dalam dunia perubatan.

Spesies yang sinonim dengan `drakula’ ini telah banyak menyelamatkan anggota tubuh yang dipotong melalui pembedahan. Justeru, menyedari kepentingannya ini, Concannon `menternak’ lintah sebagai persediaan pada bila-bila masa ia diperlukan.

Pengarah Hospital Universiti dan Klinik dan pakar tangan dan pembedahan mikro itu menjelaskan, `lintah perubatan’ itu terlalu bernilai.

Menurut beliau, lintah dianggap aset paling penting kepada pakar-pakar bedah plastik dan rekonstruktif di negaranya.

“Lintah dapat membantu mengekalkan aliran darah kepada tisu-tisu yang dipindahkan dan bahagian-bahagian tubuh yang dilekatkan semula,” katanya.

Peranan lintah dalam dunia perubatan sebenarnya telah diamalkan sejak ratusan tahun yang lalu. Biasanya, ia digunakan untuk menghilangkan rasa sakit dengan mekanisme menghisap darah.

Bagaimanapun, perkembangan ubat-ubatan moden menenggelamkan `kehebatan’ dan sumbangan lintah dalam dunia perubatan.

Pada abad ke-19, lintah digunakan secara meluas oleh pakar-pakar perubatan dan tukang gunting rambut untuk proses pembekaman. Amalan berbekam ini, dipercayai sebagai penyembuh banyak jenis penyakit dari hujung rambut hingga ke hujung tapak kaki. Ini termasuklah sakit kepala hinggalah gout.

Namun, lama-kelamaan, amalan ini semakin dilupakan. Bagaimanapun, trend menggunakan lintah perubatan semakin mendapat tempat dalam tempoh empat dekad lalu.

Terbaru, saintis Jerman melaporkan, penggunaan lintah amat berkesan untuk mengurangkan rasa sakit dan kekejangan di kalangan pesakit yang menghadapi masalah radang sendi pada lutut (artritis).

Dalam perubatan moden, penggunaan lintah hanya terhad bagi merawat masalah darah beku selepas pembedahan.

Penemuan terbaru yang dilaporkan di Annals of Internal Medicine mendedahkan air liur lintah mengandungi sejenis bahan antiradang dan lain-lain bahan kimia.

Menurut Dr. Gustav J. Dobos dari Klinik Essen-Mitte, Jerman, bahan-bahan ini dipercayai dapat mengurangkan gejala-gejala artritis. Lintah-lintah tersebut diletakkan pada bahagian lutut yang sakit, dibiarkan selama 70 minit hinggalah lintah tersebut tertanggal daripada kulit.

Selepas tujuh hari pesakit menerima rawatan, kesannya cukup menakjubkan. Pesakit yang mendapat terapi lintah lebih baik berbanding rawatan konvensional terutama dari aspek kurang rasa sakit.

Dalam makmalnya, Concannon menyimpan antara dua hingga tiga dozen lintah sebagai persediaan.

“Apabila saya memerlukan seekor, saya memerlukannya pada masa itu juga dan tidak boleh menunggunya berjam-jam,” katanya.

Lintah-lintah ini dibiarkan berada dalam akuarium yang diisi dengan air suling. Mereka juga diberi makanan yang dibuat khas untuk mereka yang ditambah dalam tangki tersebut.

Lintah-lintah ini tidak dibenarkan menghisap darah manusia atau apa juga produk-produk darah sebelum digunakan bagi mengelakkan pencemaran kepada pesakit.

Menurut Concannon, tujuan utama penggunaan lintah ialah melancarkan aliran darah. Kelebihan teraputik yang diperoleh daripada lintah ini terbahagi kepada dua.

Pertama, jumlah darah yang dikeluarkan semasa proses menghisap dan setiap gigitan darah akan meleleh hingga satu jam selepas lintah-lintah tersebut jatuh dengan sendirinya.

Keadaan ini, secara tidak langsung membolehkan anggota tubuh yang digigit itu terus hidup.

Bagaimanapun, sebelum prosedur ini dilakukan, Concannon akan melakukan beberapa ujian kepada pesakit bagi memastikan mereka benar-benar mengalami kesesakan vena.

“Saya hanya menggunakan lintah sebagai alternatif terakhir apabila kesemua kaedah teknikal telah dilakukan tetapi pesakit masih mempunyai masalah,” ujarnya.

Apabila terapi ini dimulakan, ia akan diteruskan sehingga pembuluh darah baru terbentuk secukupnya di sekeliling tisu-tisu terbabit.

Begitu juga dengan jumlah lintah yang digunakan. Ia banyak bergantung kepada keadaan penyumbatan dan tempoh impaknya pada penyumbatan tersebut.

Prosedur ini sebetulnya tidak sedikit pun menyakitkan pesakit kerana fungsi sebahagian saraf pada anggota terbabit semakin menurun.

“Kedua, air liur lintah-lintah tersebut mengandungi sejenis kimia anestetik yang menyebabkan kita tidak rasa sakit dan agen antidarah beku.

“Ia dikenali sebagai hirudin – yang membantu darah mengalir dengan bebas,” jelas Concannon.

Dalam kebanyakan kes, katanya pesakit pada mulanya agak ragu-ragu tetapi masih boleh menerima apabila beliau mencadangkan untuk meletakkan parasit kurus ini pada luka mereka.

Daripada 24 kes sejak beliau mula menggunakan terapi lintah pada 1992, hanya seorang pesakit saja yang enggan.

“Setelah kami kehabisan pilihan pembedahan, saya akan tanya kepada pesakit sama ada mereka ingin mencuba kaedah ini.

“Kebanyakannya hairan bagaimana lintah ini bertindak untuk menyelamatkan sebahagian anggota tubuh mereka,” jelasnya.

Tergolong dalam spesies cacing, lintah `digeruni’ kerana keupayaannya menghisap darah dan fizikalnya yang lembik.

Lintah, tergolong dalam spesies cacing yang terdapat banyak di hutan hujan tropika. Spesies ini gemarkan tempat-tempat yang lembap seperti di sungai, danau dan laut.

Selain itu, ia juga mudah ditemui di tempat-tempat perkhemahan berhampiran air terjun atau sungai dan trek tempat mendaki yang lembap.

Secara anatominya, lintah mempunyai alat penyedut pada setiap penghujung badannya. Satu digunakan untuk makan, manakala satu lagi digunakan untuk bergantung ketika menghisap darah.

Menurut Concannon, apabila dia meletakkan lintah ini pada `hosnya’, mereka tidak akan membuang masa. Mereka menggunakan tiga rahang yang mengandungi 100 batang gigi setiap satu ke bahagian terbabit.

Hanya dalam tempoh setengah jam, mereka boleh menyedut darah dengan rakus sebanyak lima kali ganda daripada berat badan mereka.

Setelah puas menghisap darah, lintah akan terjatuh dengan sendiri dan meninggalkan tanda gigitannya yang cukup ketara pada kulit.

Hanya dengan sekali sedutan, lintah-lintah ini mampu bertahan selama 18 bulan tanpa makanan lain.

Apabila lintah-lintah telah digunakan, Concannon akan memberi mereka sedatif dalam alkohol untuk dimusnahkan dalam insinerator.

“Mereka perlu dibuang segera dan berhati-hati kerana badan mereka dipenuhi dengan bahan-bahan buangan perubatan,” katanya.

Bercerita tentang lintah, ada yang memegang kepada kepercayaan jika seseorang bermimpi bertemu lintah, bermakna dia akan digoda oleh perempuan atau sebaliknya. Jika dia bermimpi digigit lintah bersirat akan digoda oleh perempuan yang jahat.

Di kalangan masyarakat Melayu, telah diketahui minyak lintah khusus bagi kaum lelaki untuk menambahkan saiz zakar dan mereka yang bermasalah dalam hubungan seks. Khabarnya, minyak ini ditapa selama 40 hari 40 malam di dalam kelapa muda hijau mengikut resipi herba purba, kitab-kitab lama seperti kitab Arab (Rawd at-Tirr) dan khazanah seks Melayu dahulu kala.

Namun, sejauh mana keberkesanannya tidak diketahui melainkan bagi mereka yang telah mencubanya.