Biak baka kambing kaedah bioteknologi

NAEC berfungsi membangunkan baka-baka haiwan ternakan terutamanya kambing Boer dan lembu Brakmas bagi tujuan eksport – Gambar hiasan.

Bermula dengan lawatan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, tercetuslah idea untuk membina Pusat Embrio Haiwan Nasional (NAEC) pada awal tahun ini.

Pusat berkenaan bertanggungjawab mengumpul segala embrio, telur atau sperma semua jenis haiwan sama ada ruminan atau unggas bagi tujuan pembiakan in-vivo atau in-vitro.

Tujuan NAEC adalah untuk membangunkan baka-baka haiwan ternakan terutamanya kambing Boer dan lembu Brakmas bagi tujuan eksport.

Di sini, baka-baka bermutu akan dikumpulkan seperti ladang baka atau stud Boer di Afrika Selatan dan Brakmas dari Australia bagi dibiakkan di negara ini.

Pusat yang dikendalikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada peringkat permulaan hanya mengimport embrio dari luar negara seperti Afrika Selatan.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Dr. Mohmad Mustafa berkata, pihaknya telah membawa lebih kurang 600 embrio beberapa spesies kambing seperti Boer, Kalahari Red (merah) dan Savana (putih) dari Afrika Selatan.

“Boer merupakan baka kambing ternakan terbaik dunia manakala Kalahari Red dan Savana merupakan cabang baka berkenaan,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Dr. Mohmad berkata, NAEC ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti baka memandangkan harga seekor kambing Boer terbaik boleh melangkau lebih RM100,000.

Justeru, harga yang mahal menyebabkan kebanyakan penternak dan negara hanya membeli embrio dan semen untuk di simpan di dalam bank gen serta menggunakan ibu tumpang bagi tujuan pembiakan.

NAEC juga memberikan perkhidmatan bioteknologi pembiakbakaan lanjutan seperti permanian beradas dan pemindahan embrio bagi sektor kerajaan dan swasta.

Pusat berkenaan amat mementingkan kualiti mendapat pengiktirafan ISO1800.

NAEC bukan saja menyimpan embrio haiwan ruminan tetapi juga haiwan bukan ruminan termasuk unggas yang pertama didirikan di negara ini.

Tugas MARDI yang lebih menjurus kepada haiwan ternakan terutama Boer.

Dr. Mohmad berkata, Boer yang berasal dari Afrika Selatan telah dimula dikaji sejak lebih 100 tahun lalu tanpa kacukan dengan spesies lain.

Pembangunan dan pemilihan baka yang dijalankan mendapatkan baka terbaik yang lebih ekonomik sehingga berat badan boleh bertambah 300 gram sehari.

Persatuan Penternak Boer Afrika Selatan telah dijemput untuk melakukan akreditasi di ladang MARDI bagi baka Boer.

Ini memandangkan kambing mempunyai sifat semula jadi gemar memakan daun pokok berbanding biri-biri yang meragut rumput.

“Kambing Boer perlu dilepaskan di padang ragut setiap hari kerana di habitat asalnya haiwan ini dibiarkan lepas bebas,” katanya.

Dr. Mohmad berkata, tujuan NAEC dengan Advanced Reproductive Biotechnology (ARB) bagi menghasilkan baka berkualiti.

Pihak MARDI mempunyai 100 ekar kawasan ladang ragut dengan enam ladang besar bersama-sama 700 ekor kambing baka tulen (stud) Afrika Selatan dan 60 ekor jantan.

Baka tulen Boer Afrika Selatan telah dibangunkan sejak 15 hingga 20 tahun lalu di Australia dengan kambing gunung Ferrall dan Cashmere.

Kini NAEC dan ARB akan membantu ladang-ladang satelit seperti Sayfull dan Boden bagi menghasilkan baka yang terbaik.

Malaysia boleh menjadi hub bagi haiwan ternakan bukan saja haiwan ruminan seperti lembu dan kambing tetapi juga unggas.

Dr. Mohmad berkata, Boer dipilih kerana mempunyai karkas sehingga 55 peratus.

MARDI yang membeli embrio dan baka dari Afrika Selatan akan memberikan lebih banyak pendidikan kepada petani.

“Biasanya kambing Boer yang dipelihara secara intensif akan dikurung di dalam kandang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti tidak sihat dan tidak cukup makan.

“Sebaiknya kambing dilepaskan di padang ragut yang mempunyai pokok-pokok renek dan kekacang bagi membekalkan protein,” kata Dr. Mohamad.

Beliau menambah, kambing Boer juga lebih suka menghabiskan masa dengan makan di tengah malam dan ini dapat meningkatkan berat badan.

Justeru ini boleh menjadikannya lebih hampir kepada habitat asal dan ini dapat mengurangkan pemberian makanan tambahan seperti palet.

Biasanya kambing Boer menghasilkan dua ekor anak setiap kali bunting dan biasanya 20 ekor ibu akan mempunyai 30 ekor anak.

Selepas enam minggu beranak, ibu tadi sudah boleh mengawan dan bunting selama lima bulan.

Kambing Boer yang boleh membiak tiga kali setahun jika dipelihara dengan baik boleh menghasilkan banyak kambing.

Malaysia sepatutnya mempunyai Persatuan Kambing Boer bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa.

Manakala ladang satelit merupakan penghubung antara NAEC dengan penternak kecil-kecilan memandangkan mereka mempunyai makmal kecil bagi menjalankan aktiviti bioteknologi.

Tanaman landskap boleh dikomersialkan

BIDANG pertanian berasaskan tanaman bunga-bungaan dan pokok teduhan serta rumput untuk tujuan landskap, kini semakin popular.

Ini berikutan permintaan dan minat masyarakat yang tinggi untuk mengindahkan suasana serta mengharmonikan alam sekitar supaya sentiasa kelihatan menghijau dan penuh berwarna-warni.

Potensi di dalam bidang itu semakin menyerlah di negara ini apabila kegunaan tanaman itu dipelbagaikan bagi tujuan mencantikkan pemandangan di kawasan halaman kawasan perumahan, jalan raya dan taman, selain dijadikan landskap.

Malah, ia turut digunakan untuk menghiasi sesuatu persekitaran seperti pentas untuk sesuatu acara. Justeru, melihat kepada potensi yang ada itu, membuka idea kepada anak kelahiran Kuala Kurau, Perak, Fairos Abdul Razak, 39, untuk menceburi bidang ini secara besar-besaran kerana yakin tanaman landskap luas skopnya.

Beliau berkata, semua pengalamannya yang ada dalam bidang pertanian itu diadaptasikan dalam tanaman landskapnya.

“Selain menanam pelbagai jenis bunga-bungaan dan pokok untuk landskap, saya turut menyediakan khidmat nasihat serta mengubah suai kawasan tanaman atau perumahan, selain membekalkan tanah, baja dan peralatan serta aksesori untuk landskap.

“Saya bermula dengan menanam 50 spesies pokok merangkumi pelbagai bunga hiasan, herba dan rumput yang ditanam di tapak semaian di Bandar Baru Bangi. Di sini, proses menyemai dan membaja pokok dilakukan untuk tempoh jangka masa tertentu. Apabila semua pokok semaian itu sudah membesar, saya akan bawa ke Pusat Semaian Pasar Borong Selangor yang dijadikan sebagai pusat jualan,” katanya.

Dengan keluasan lebih satu hektar di Bandar Baru Bangi, Fairos yang memperoleh benih tanaman terutama dari sekitar Selangor dan Johor, memanfaatkan sepenuhnya kawasan itu. Malah, beberapa benih pokok seperti Bourgainvilea diimport dari Thailand manakala Bonsai dari China untuk ditanam di situ.

Beliau berkata, benih pokok import itu lebih berkualiti, cantik, terkini, ganjil dan mempunyai nilai seni yang lebih hebat berbanding di negara ini.

Malah, masyarakat di negara ini juga mempunyai cita rasa yang tinggi serta gemar memilih bunga-bunga untuk menghiasi taman daripada jenis import ini.

“Contohnya, Bourgainvilea adalah bunga yang paling ramai pembeli kerana ia bukan saja mudah ditanam tanpa penjagaan yang teliti kerana sesuai dengan pelbagai jenis cuaca, malah mempunyai pelbagai warna yang cantik. Biasanya orang ramai suka kepada tanaman yang ada warna-warni untuk menghiasi halaman mereka.

“Begitu juga dengan bonsai, tanaman itu mempunyai seni yang tersendiri dan biasanya lebih terkini bentuknya jika dibandingkan di negara ini.

“Tanaman bunga-bungaan untuk landskap itu juga boleh dijadikan hiasan di dalam rumah dan juga di tanaman di luar kawasan yang terdedah,” katanya.

Sehingga kini, Fairos sudah menanam lebih 100 spesies tanaman bunga dan pokok untuk landskap termasuk pelbagai jenis orkid dan pokok palm.

Selain itu, pihaknya turut menanam dan membekalkan rumput Filipina, mutiara dan padang yang biasanya digunakan untuk landskap.

Fairos berkata, semua hasil tanaman bunga-bungaan dan pokok landskap itu bukan saja dibeli oleh penduduk di kawasan Lembah Klang, malah turut membekalkannya ke beberapa kementerian dan jabatan untuk tujuan tertentu.

“Kementerian Luar, Jabatan Perangkaan, Jabatan Koperasi dan Perbadanan Putrajaya kerap mendapatkan khidmat kami. Mereka membeli bunga hiasan dan pokok menghijau untuk menghiasi kawasan persekitaran, selain menyewa ketika ada majlis tertentu. Terbaru, Perbadanan Putrajaya menyewa pokok dan bunga ketika kejohanan Formula 1, di Sepang, baru-baru ini.

“Di premis kita juga menyediakan replika air terjun yang direka bentuk oleh syarikat kami. Kita juga bersedia untuk mendapatkan tempahan orang ramai mengikut cita rasa masing-masing. Sejak dua bulan lalu kita juga memperkenalkan produk terbaru iaitu set meja kayu dan batu untuk kegunaan luar atau taman,” katanya yang melabur kira-kira RM35,000 untuk memulakan industri berkenaan.

Beliau berkata, biasanya bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat membuat landskap, pihaknya menyediakan pakej lengkap termasuk menyediakan bunga, pokok, rumput dan kemudian menanamnya.

“Kos bagi setiap pakej bergantung kepada luas kawasan. Kita juga akan membantu menjaga kesuburan dan mengekalkan tanaman itu untuk tempoh tiga bulan dan pada masa sama kita akan memberi nasihat serta tips kepada pelanggan bagi memastikan tanaman itu sentiasa terjaga dengan sempurna,” katanya selain turut mengusahakan tanaman pelbagai jenis sayur di Kuala Kurau di kawasan seluas lapan hektar.

Belacan tambah pendapatan

Isteri nelayan di Kampung Bako usaha produk daripada udang kecil bantu suami tingkat sumber ekonomi keluarga

KUCHING: Kampung Bako, sebuah perkampungan Melayu yang terletak kira-kira 35 kilometer dari sini begitu sinonim dengan pengeluaran belacannya sejak 1930-an lagi.

Bagaimanapun, pada awalnya belacan cuma dikeluarkan secara kecil-kecilan di kampung itu, lebih kepada untuk kegunaan sendiri, sebelum ia dikomersialkan sejak tahun 1970-an.

Kira-kira 35 peratus penduduk Bako yang majoritinya isteri kepada nelayan menjadikan perusahaan belacan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Udang kecil atau lebih dikenali sebagai bubuk dikalangan penduduk tempatan dijadikan bahan mentah utama untuk menghasilkan belacan bersama garam yang diperap semalaman.

Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Bahagian Kebajikan dan Pembangunan Ekonomi, Abdullah Ibrahim, 42, berkata perusahaan belacan memang menjadi warisan turun-temurun penduduk di Kampung Bako. Beliau berkata, kebanyakan yang mengusahakan belacan adalah suri rumah bagi membantu suami meningkatkan pendapatan keluarga.

“Hampir 40 peratus penduduk kampung Bako bekerja sebagai nelayan, yang kebanyakannya akan menangkap sendiri bubuk di laut dan memprosesnya untuk dijadikan belacan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, bagi menggalakkan penduduk menjadikan perusahaan belacan sebagai sumber pendapatan sampingan keluarga, ada penduduk dari kawasan Kampung Bako yang dihantar menghadiri kursus kebersihan, amalan, pemasaran dan perlabelan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.

“Dengan adanya kursus sedemikian untuk penduduk kampung, akan membantu mereka meningkatkan kualiti produk belacan supaya mampu berdaya saing,” katanya.

Abdullah berkata, belacan yang dihasilkan penduduk kampung itu turut dijual di Pasar Nelayan berdekatan terminal baru Bako yang dibuka tahun lalu dan di sekitar Bandaraya Kuching, Serian, Sri Aman dan Telaga Air.

“Bukan setakat belacan saja yang dijual tetapi membabitkan hasil tangkapan laut lain seperti ikan, udang dan ketam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang menjadikan belacan sebagai salah satu tarikan utama pelancong ke Kampung Bako, selain keindahan pemandangan kampung itu sendiri yang masih menampilkan ciri-ciri tradisional dan sebahagiannya perkampungan di atas air.

“Memang ada perancangan ke arah itu apabila kita melaksanakan Program Homestay nanti. Kita mahu membawa peserta melihat sendiri aktiviti memproses belacan. Dengan cara ini pelawat khususnya pelancong asing dapat belajar cara menghasilkan belacan,” katanya.

Penduduk kampung yang mengusahakan belacan lebih 20 tahun lalu, Zakiah Zain, 52, berkata, beliau mula membuat belacan dengan menggunakan lesung kayu, namun sekarang sudah menggunakan mesin yang lebih moden yang dibelinya pada 1996 dengan harga RM7,000.

Katanya, beliau mempelajari cara membuat belacan daripada ibu mentuanya sejak mendiami Kampung Bako sejak 30 tahun yang lalu.

“Dulu saya terpaksa menggunakan lesung kayu, kena tumbuk bubuk itu halus untuk pastikan adunannya serasi, sebelum dibentuk menjadi belacan,” katanya.

Beliau berkata, proses membuat belacan dilakukan dengan menggaul bubuk bersama garam, sebelum dijemur sehingga separuh kering.

“Selepas kering, bubuk tadi akan dimasukkan dalam mesin, kemudian dijemur semula sebelum dimasukkan semula ke dalam mesin untuk kali ketiga,” katanya.

Zakiah berkata, sebelum menjadi belacan yang mampat, ia akan dicetak dengan menggunakan acuan khas yang berbentuk segi empat tepat.

Beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan bekalan bubuk bagi membuat belacan kerana suaminya sendiri akan ke laut bagi menangkap udang kecil, untuk memastikan bekalan belacan tidak berkurangan.

“Hasil tangkapan bubuk yang diperoleh tidak menentu kerana turut bergantung dengan keadaan cuaca. Ada kalanya kita boleh dapat hasil tangkapan sehingga mencecah 90 kilogram, tetapi ini hanya berlaku dua kali dalam setahun,” katanya.

Kebiasaannya nelayan akan mendapat tangkapan bubuk yang banyak menjelang April, musim yang sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh golongan nelayan Kampung Bako yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

Namun berbeza dengan dulu, hasil tangkapan bubuk tidak sebanyak 10 tahun lalu yang mencatat hasil dua kali ganda daripada tangkapan sekarang.

Ini dikatakan berpunca daripada aktiviti menggali pasir dan tambak di kawasan berhampiran yang mengakibatkan arus air laut menjadi tidak deras di kawasan kampung berkenaan.

Zakiah berkata, kebiasaannya belacan yang dihasilkan akan disimpan kerana ia tahan lama sehingga setahun dan dalam 90 kilogram bubuk boleh menghasilkan kira-kira 400 keping belacan yang dicetak dengan pendapatan purata RM300 sebulan. Katanya, selain daripada hasil bubuk yang tidak menentu, kadang-kadang mereka turut berdepan dengan masalah kerosakan mesin membuat belacan dan kos memperbaikinya agak mahal.

“Apa pun menggunakan mesin lebih menguntungkan berbanding menggunakan lesung kayu besar kerana prosesnya lebih cepat dan belacan yang dihasilkan juga lebih halus dan bermutu,” katanya sambil menambah belacan yang siap dibungkus seberat 150 gram dijual dengan harga RM1.

Sementara itu, Saadah Dillah, 60, masih mengekalkan cara tradisi menggunakan lesung kayu besar dengan bubuk yang dikeringkan ditumbuk sehingga halus.

Berbeza pendapat, beliau berkata terdapat perbezaan rasa antara belacan yang dihasilkan menggunakan mesin dengan yang ditumbuk menggunakan lesung kayu.

“Bagi saya cara tradisional dengan menumbuk belacan menggunakan lesung kayu akan menghasilkan belacan yang lebih sedap,” katanya.

Bagi memastikan belacan separuh siap dijemur sempurna, pengusaha belacan perlu menyediakan anjung seluas 6 meter x 9.15 meter persegi yang terdedah dengan cahaya matahari bagi menjemur bubuk danbelacan.

Namun kebimbangan ketara yang menghantui pengusaha belacan di Kampung Bako yang rata-ratanya golongan tua ialah mengenai kurangnya minat generasi muda terhadap perusahaan berkenaan.

Saadah mengakui golongan muda kurang menunjukan minat untuk mewarisi perusahaan membuat belacan.

“Saya bimbang perusahaan belacan tidak diwarisi kerana sekarang ini anak-anak lebih berminat bekerja makan gaji,” katanya.

FAKTA NOMBOR: Perusahaan Membuat Belacan Kampung Bako

# 2,300 – Penduduk Kampung Bako

# 35 peratus – Wanita Bako menghasilkan belacan

# RM300 – Pendapatan sampingan menjual belacan sebulan

# RM7,000 – Harga mesin membuat belacan.

Mengkudu banyak khasiat

Mengkudu Morinda citrifolia L.
Famili: Rubiaceae
Nama lain Noni

POKOK Mengkudu dikenali masyarakat Melayu sebagai ubat. Pucuk mudanya dikatakan dapat mengawal batuk, muntah, demam dan dijadikan tonik.

Masyarakat desa sering makan pucuk muda sebagai sayuran selepas dijadikan kerabu atau campuran nasi ulam. Buahnya juga dimakan segar yang dikatakan dapat melawaskan haid, diuretik dan laksatif.

Mengkudu kini dipasarkan sebagai ubat yang dapat merangsang sistem imun dan antioksidan.

Pucuk atau daun muda mengkudu mengandungi khasiat makanan tinggi. Dalam tiap-tiap bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 89.1 gram (g), protein 3.9 g, lemak 0.6 g, karbohidrat 2.2 g, serat 3.o g, kalsium 114 miligram (mg), fosforus 14 mg, ferum 2.8 mg, natrium 18 mg, kalium 234mg, karotena 3619 ug, vitamin A 603 ug, vitamin B1 1.5 mg, B2 0.32 mg niasin 1.0 mg vitamin C 115 mg. Di Malaysia Ada dua spesies mengkudu, iaitu mengkudu besar dan mengkudu kecil (Morinda elliptica )

Mengkudu besar, pokoknya kecil mencapai ketinggian 3 � 8 meter. Batang bengkang-bengkok, berwarna kelabu asap, berdahan banyak membentuk silara agak rimbun terbuka.

Daunnya berukuran 15 � 25 sentimeter (sm) panjang, 6 � 10 sm lebar dan berwarna hijau muda. Bunganya kecil, bentuk cerombong, berwarna putih, tumbuh di kepala bunga. Buahnya bujur, 5 � 10 sm panjang , 2 � 4 sm lebar berwarna putih kekuningan. Isinya lembik dan berjus apabila masak, mengandungi biji yang banyak.

Mengkudu kecil mempunyai daun yang runcing, berukuran 12 � 17 sm panjang dan 3 � 4 sm lebar. Buahnya kecil, berukuran 2 � 2.5 sm panjang dan 1 � 1.5 sm lebar, berwarna kehitaman apabila masak.

Pokok Mengkudu mudah ditemui di dusun, kampung dan sekitar pinggir hutan atau belukar. Kebanyakan pokok ini ditanam secara tak formal hasil daripada sebaran biji benih oleh burung.

Penemuan khasiat ubat, pokok mengkudu kini mula ditanam secara perladangan untuk tujuan komersial. Pokok mengkudu mudah dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Potensi luas spesies buah-buahan nadir, liar

RAMBUTAN, pulasan dan mata kucing daripada famili Sapindaceae memang buah-buahan yang dikenali ramai. Bagaimanapun, banyak lagi spesies liar dalam famili Sapindaceae yang buahnya boleh dimakan, tetapi tidak begitu diketahui ramai.

Beberapa spesies menghasilkan buah yang enak dan digemari kanak-kanak, burung dan tupai. Pokok sebilangan spesies ini amat menarik dan boleh dijadikan unsur seni taman atau pohon teduhan.

Spesies yang wujud di Semenanjung Malaysia ialah redan, rambutan pacat, kelat layu, ceri Terengganu, gegelek, kasai, matua, lotong dan tengkuk biawak hidup liar di hutan. Pokok kasai kebanyakannya hidup liar, tetapi kini dimanfaatkan sebagai tanaman lebuh dan pohon teduhan bagi menghiasi dan menambah seri bandar raya Kuala Lumpur.

Beberapa spesies buah dalam famili ini wujud di Sabah dan Sarawak. Antara buah yang menarik di sana ialah tiga jenis mata kucing iaitu sau, isau dan kakus yang unik dan berbeza daripada yang ada di Semenanjung.

Bagi pokok redan, misalnya yang muda mempunyai kanopi berbentuk bulat diserikan dengan gugusan buah merah. Pokoknya sederhana tinggi dan berbanir kecil. Buah redan masam manis dan enak rasanya. Namun, potensinya belum diketahui. Daunnya jenis majmuk dan mempunyai satu hingga dua pasang anak daun. Tepi permukaan atas anak daun melengkung sedikit. Permukaan bawah daun berdebu halus. Buah redan kecil dan berbentuk bujur panjang.

Kulitnya merah cerah, menarik dan berkedut, tetapi tidak berbulu. Isinya putih dan lutsinar. Di Sabah dan Sarawak, wujud buah seakan-akan redan dan disebut serait, dijual di pasar tamu apabila tiba musimnya.

Pokok redan jarang ditanam dan kini jarang ditemui. Biasanya pokok ini hidup liar di pinggir hutan atau dalam hutan. Usaha perlu dilakukan bagi menanam pokok ini sebagai pokok teduhan, sekali gus menghalang kepupusannya.

Buah rambutan pacat pula seakan-akan buah redan, tetapi warnanya kuning. Kulit luarnya berbonggol-bonggol kecil. Walaupun nipis, isinya berwarna perang muda itu manis dan berjus. Pokoknya sederhana besar dan hidup liar di hutan.

Di Melaka dan Johor, pokok ini disebut kelat layu mungkin kerana rasa buahnya yang kelat manis dan daunnya melentur seakan-akan layu. Namun, di Utara Semenanjung dan Pantai Timur ia dinamakan mertajam.

Daya tarikan pokok ini terletak pada buah dan kanopinya. Buahnya didapati bergugus-gugus di hujung ranting. Jambak buah padat dengan buah yang kecil dan berwarna-warni apabila hampir matang. Warna ini terjadi apabila buah muda berwarna hijau bertukar menjadi jingga kemudian merah.

Buahnya berwarna ungu atau hitam apabila matang sepenuhnya. Setiap jambak mempunyai buah pada peringkat kematangan berbeza. Isi buah nipis, agak kering dan kelat-kelat manis rasanya.

Pokok kelat layu cukup menarik kerana kanopinya yang bulat, padat dan rendang. Pokok ini sering kali dimanfaatkan sebagai pokok teduhan, terutama di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Pokok ini juga sesuai dijadikan unsur seni tanam atau ditanam berbaris-baris di tepi jalan sebagai tanaman lebuh.

Ciri yang menarik pada pokok ceri terengganu ialah pokok dan buahnya. Kanopinya kecil, rendang dan bulat. Daunnya jenis majmuk pinat dengan beberapa pasang anak daun yang lancip dan bersayap. Kecantikan pokok ini diserikan lagi pucuknya yang lembut melentur dan berwarna ungu muda.

Buah ceri terengganu bergugus-gugus seperti buah anggur. Kulitnya amat menarik seperti buah ceri, merah cerah, licin dan berkilat. Buah ini bergantungan pada dahan dan ranting kecil. Walaupun rasa buahnya manis, isinya nipis dan bijinya besar.

Pokok ceri ini banyak ditanam di Terengganu dan Johor. Di Johor, buah ini disebut kelelek atau gegelek. Kedua-dua spesies ini sangat sesuai ditanam sebagai unsur seni taman dan pokok teduhan di taman, sekitar rumah, sekolah atau surau dan tempat awam yang lain.

Dua batang pokok ini wujud di pekarangan masjid Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi.

Bentuk pokok kasai pula cantik dan menarik, dihiasi pucuk berwarna merah cerah. Kini pokok ini banyak ditanam sebagai tanaman lebuh bagi menghiasi landskap sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan taman rekreasi.

Kanopinya sederhana besar, daunnya jenis majmuk pinat yang terdiri daripada tiga hingga lapan pasang anak daun. Buah kasai kecil dan berbentuk bujur panjang. Kulitnya rapuh dan berwarna hitam berdebu. Isinya nipis, lutsinar dan manis. Pokok kasai hidup liar di tepi sungai dan hutan. Ia mudah dikenali daripada jarak jauh kerana pucuknya merah.

Pokok yang seakan-akan kasai disebut matua. Pokok berasal dari Irian Barat (Indonesia) ini baru saja diperkenalkan di Malaysia. Buahnya seperti mata kucing atau longan. Isinya tebal dan rasanya manis. Di tempat asalnya, wujud beberapa jenis matua yang berbeza-beza, walaupun pokok ini masih hidup dalam keadaan liar.

Kebanyakan pokok lotong hidup liar di hutan. Pokoknya kira-kira 25 meter tinggi dengan kanopi yang sederhana besar. Anak daunnya besar dan melentur. Buahnya kira-kira lima sentimeter panjang. Kulitnya berwarna merah tua, diselaputi bulu tebal lembut yang melentur di hujung.

Isinya putih, lutsinar dan tidak lekang. Rasanya sangat manis dan berjus. Di Borneo, ada buah dalam spesies sama, dikenali rambutan gergasi.

Selain ditanam di Semenanjung Malaysia, pokok mata kucing juga wujud di Sarawak dan Sabah. Di Sarawak, pokok ini dikenali guring. Selain guring, ada tiga jenis mata kucing lagi yang agak berbeza daripada mata kucing yang wujud di Semenanjung.

Perbezaan utama ialah kulit buah yang mempunyai titik timbul yang lembut dan tumpul. Di kalangan penduduk tempatan, jenis buah ini disebut isau, sau dan kakus. Di Sarawak, semua jenis mata kucing ini wujud di sepanjang Sungai Rejang di Bahagian Sibu dan Kapit, iaitu dari Kanowit, Song, Kapit hingga ke Belaga.

Semua jenis mata kucing ini tergolong dalam spesies sama. Perbezaan utama ialah ciri buah. Isau – buah berbentuk bulat dan kulitnya berwarna hijau hingga buah masak. Sau – buah berbentuk bujur sedikit dan berwarna hijau hingga masak, manakala kakus, buah berbentuk bulat dan berwarna hijau, tetapi bertukar menjadi perang selepas masak.

Buah isau dan mata kucing umumnya lebih kecil daripada sau, manakala kakus mempunyai saiz yang pertengahan, iaitu antara isau dan sau. Isi buah isau lebih tebal dan manis daripada sau, kakus dan mata kucing.

Pokok tengkuk biawak hidup liar di hutan negeri Pahang, Perak dan Pulau Pinang. Buahnya lebih besar daripada rambutan pacat. Kulitnya berwarna ungu dan berbonggol-bonggol kecil. Isinya putih, lutsinar dan berjus. Rasanya masam manis dan harum baunya.

Kini usaha sedang dibuat untuk mengumpul semua spesies unik ini, iaitu khazanah yang tidak ternilai bagi negara ini. Usaha juga sedang dibuat untuk memperkenalkan spesies ini kepada orang ramai menerusi maklumat yang ditulis dan disebar.

‘Tak kenal maka tak cinta’, begitulah kata pepatah Melayu. Semua maklumat begini menambah kesedaran orang ramai mengenai kewujudan spesies buah-buahan nadir dan liar ini.

Penyakit-penyakit Ayam

PENYAKIT AYAM

Penyakit Utama

* Coccidiosis
* Helminthiasis
* Marek’s Disease
* Infectious Bursal Disease
* Newcastle Disease
* Infectious Bronchitis
* Infectious Coryza
* Influenza
* Pullorum Disease
* Egg Drop Syndrome

COCCIDIOSIS

* Penyebab adalah protozoa – Eimeria sp.
* Proses infeksi 4 – 7 hari
* Menyebabkan kerosakan tisu usus
* Protozoa membiak pantas dalam sel perumah.

ETIOLOGI

* Coccidia sentiasa hadir di reban
* Penyakit terjadi bila makan terlalu banyak sporulated oocysts
* Oocysts membiak dalam najis
* Mencemari makanan, debu, air, litter, lantai dan tanah
* Jangkitan melalui peralatan, pakaian, serangga dan haiwan lain

PATOGENESIS

* Perebakan penyakit bergantung pada ketahanan badan, tahap pemakanan dan kehadiran penyakit lain
* Spesis yang bahaya: Eimeria necatrix, Eimeria tenella
* Ayam dewasa lebih resistan akibat pendedahan terdahulu

PENEMUAN KLINIKAL

* Berbeza ikut kumpulan ayam

Antaranya:

* Kenaikan berat badan menurun
* Morbidity dan mortality tinggi
* Cirit-birit teruk
* Hilang selera makan
* Pengeluaran telur berkurangan
* Darah berkumpul/beku dalam ceca
* Najis berdarah
* Lesi pada anterior-pertengahan usus
* Dinding usus menebal lumen membesar dan mengandungi darah
* Kehilangan air – dehydrasi
* Crop dipenuhi air

DIAGNOSIS

* Disahkan dengan penemuan oocysts dalam najis atau kikisan dinding usus
* Keadaan kumpulan ayam yang berubah dari biasa
* Bedah siasat ( 5 ekor hidup dan 5 ekor mati)

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Lantai jaring – sangkar
* Rawatan dengan Coccidiostat melalui minuman
* Singkiran atau jualan segera
* Disinfeksi reban

HELMINTHIASIS

* Pada penelur dan ayam baka
* Ayam daging jarang berlaku sebab waktu pemeliharaan yang singkat
* Penyebab: cacing gelang dan cacing pita
* Cacing pita perlu perumah perantara
* Peternakan moden bebas cacing kecuali sistem berlantai atau sereban

ETIOLOGI

* Termakan telur atau larva cacing
* Memakan serangga, kumbang, siput dan lintah
* Ayam dalam sangkar – makan lalat

PATOGENESIS/ KLINIKAL

* Hilang selera makan
* Terbantut
* Lemah
* Kematian bila cacing sekat saluran usus
* Tempat penemuan lesi bergantung jenis cacing yang terlibat

Antaranya:

* Penebalan, inflamasi dan nodular pada dinding ceca
* Crop dan esofagus
* Dinding usus kecil menebal

DIAGNOSIS

* Jumpa cacing atau telurnya dengan banyak
* Penemuan nekropsi

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Amalan sanitasi
* Memusnahkan perumah perantara
* Asing ayam menurut spesis dan umur
* Guna ubat yang diluluskan supaya produk dapat dipasarkan

MAREK’S DISEASE

* Penyakit neoplasm
* Herpes virus
* Berlaku merata tempat kecuali kawalan yang tegas.

ETIOLOGI

* Herpes virus (serotype 1 dan 2)
* Berjangkit
* Virus matang di folikel rerambut dan dilepaskan di udara
* Boleh hidup bertahun dalam reban dan udara
* Jangkitan melalui pernafasan

PENEMUAN KLINIKAL

* Paralysis (lumpuh)
* Kebanyakannya monyok dan mati
* Pada lesi ditemui pembesaran saraf, limfoid tumor samada berbentuk diffuse atau nodular pada hati, limpa, jantung, buah pinggang dan otot.
* Folikel rerambut membesar pada ayam daging – dimusnahkan

DIAGNOSIS

* Histologikal
* Saraf membesar
* Tumor pada kebanyakan organ pada ayam berumur lebih 3 minggu

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Vaksinasi ditempat penetasan
* Amalan sanitasi yang baik terutama pada awal penetasan
* Kekuatan imuniti terbentuk 7 – 14 hari
* Membentuk ketahanan genetik

INFECTIOUS BURSAL DISEASE

Gumboro disease

* Akut
* Berjangkit
* Ciri yang ditunjukkan ialah edema pada cloacal bursa, “vent picking” dan kematian pada ayam berumur 3 – 6 minggu)

ETIOLOGI

* Virus IBD
* Membiak dalam najis
* Merebak melalui peralatan seperti sangkar dan kenderaan

PENEMUAN KLINIKAL

* Sekiranya ada jangkitan, vaksin untuk ND, IB dan MD tidak akan berkesan
* (3 – 4 hari) menunjukkan tanda-tanda:
* Prostration
* Incoordination
* Cirit-birit
* Vent picking
* Inflamasi pada cloaca
* Lesi yang ditemui:
* Cloacal bursa bengkak, edema dan kekuningan
* Bahagian pektoral, peha dan otot kaki alami pendarahan
* Ayam yang pulih terbantut

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Tiada rawatan
* Disinfeksi ladang
* Vaksinasi (Live IBDV) melalui mata, minuman atau bawah kulit peringkat grower dan sebelum waktu bertelur pada ayam pembiak supaya ayam daging/penelur bebas penyakit

NEWCASTLE DISEASE

* Akut
* Melibatkan sistem pernafasan
* Disebabkan oleh virus
* Menunjukkan tanda gangguan saraf atau cirit-birit dan pembengkakan bahagian kepala

ETIOLOGI

* Virus Paramyxo
* Menyebabkan sindrom pernafasan/saraf atau sindrom viscerotropik
* Virus dalam cecair hidung, najis, telur dan udara hembusan dari paru-paru
* Jangkitan melalui udara, air dan makanan tercemar

PENEMUAN KLINIKAL

Gangguan sistem pernafasan:

* Sesak nafas dan batuk

Gangguan saraf:

* Drooping wing, kaki menggeletar, Kepala teleng, berpusing, berundur semasa minum, monyok, lumpuh
* Telur berubah warna dan bentuk
* Keluaran telur menurun
* Albumin cair

Gangguan viscerotropic

* Cirit-birit (cair dan kehijauan)
* Bengkak tisu mata dan leher
* Kematian hampir 100 % bagi dewasa
* Lesi pelbagai merujuk tanda penyakit yang ditunjukkan

DIAGNOSIS

* Pengasingan virus di makmal dengan menggunakan ND antiserum sebagai inhibitor

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Pemberian vaksin melalui air minuman (anak ayam berumur sehari)
* Titisan pada mata atau hidung

PULLORUM DISEASE

* Kematian tinggi pada anak dan dewasa
* Kebanyakan tempat telah dibasmi dan membentuk ladang bebas penyakit
* Disebabkan oleh bakteria

ETIOLOGI

* Bakteria Salmonella pullorum
* Jangkitan melalui telur menyebabkan kematian tinggi peringkat umur sehari – 3 minggu
* Anak ayam berkumpul pada punca haba, tidak makan, mengantuk dan najis berwarna putih keliling anus
* Ayam pulih, kuman bersarang dalam ovari
* Bila telur menetas, lahir generasi berpenyakit

PENEMUAN KLINIKAL

Lesi peringkat anak:

* Yolk sacs tidak diserap
* Hati/limpa alami focal necrosis
* Nodular pada paru-paru, jantung dan gizzard
* Material seperti keju dalam ceca
* Bengkak sendi

Lesi peringkat dewasa:

* Pericarditis
* Peritonitis

DIAGNOSIS

* Pengasingan Salmonella pullorum

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Furazolidone 0.022 % dalam makanan
* Pemeriksaan berjadual kumpulan pembiak

EGG DROP SYNDROME (EDS)

* Telur yang dikeluarkan bercengkerang lembut atau tidak terbentuk dengan sempurna walaupun ayam kelihatan sehat

ETIOLOGI

* Adenovirus
* Jangkitan melalui telur
* Tinggal dalam badan sehingga ayam sampai peringkat matang
* Virus keluar melalui najis
* Jangkitan melalui pencemaran
* Jangkitan berlaku perlahan
* Berlaku pada baka pembiak ayam daging atau penelur yang mengeluarkan telur bewarna perang
* Jangkitan boleh berlaku melalui peralatan seperti sangkar, lori serta serangga
* Telur bervirus menetas, ayam sehat hingga peringkat bertelur

PENEMUAN KLINIKAL

* Kehilangan warna pada telur
* Cengkerang nipis dan mudah pecah
* Telur tanpa cengkerang
* Pengeluaran telur berkurang sehingga 40 %

DIAGNOSIS

* Pengeluaran telur kurang mendadak pada puncak pengeluaran
* Kejadian berlaku kepada beberapa kumpulan ayam yang berlainan
* Berbeza dengan Newcastle disease dan Influenza kerana ayam nampak sehat
PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Tiada rawatan
* Ternak ayam yang bebas penyakit
* Beri vaksin oil adjuvant pada usia 14 – 18 minggu

INFECTIOUS BRONCHITIS

* Akut
* Cepat berjangkit
* Disebabkan jangkitan virus

ETIOLOGI

* Corona virus
* Ayam yang pulih akan imun pada jangkitan
* Melalui pencemaran cecair dari hidung

PENEMUAN KLINIKAL

* Batuk setelah 18 –48 jam terdedah pada virus
* Cecair hidung pada anak ayam sahaja
* Ada kes bengkak bahagian muka
* Air mata meleleh
* Morbidity 100 %
* Gangguan pernafasan berkurang 2 – 3 minggu
* Mortality 60 % pada anak ayam
* Kurang mortality pada ayam pada ayam berumur lebih 5 minggu
* Pengambilan makanan menurun
* Pengeluaran telur menurun hingga 50 % dengan kualiti telur yang rendah

DIAGNOSIS

* Pengasingan virus di makmal
* Kejadian penyakit yang akut di mana 100 % morbidity

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Tiada rawatan
* Tambah selera makan
* Baiki pengudaraan akan kurangkan kematian anak ayam
* Ayam berumur lebih 5 minggu, prognosisnya baik
* Ayam penelur perlu masa untuk kembali normal

INFECTIOUS CORYZA

* Penyakit pernafasan
* Keluar cecair dari hidung, bersin dan bengkak muka di bahagian bawah mata

ETIOLOGI

* Bakteria Haemophilus gallinarum
* Ayam yang kronik dan yang telah pulih menjadi pembawa penyakit
* Menjangkiti ayam berumur lebih 4 minggu
* Tanda penyakit kelihatan dalam 1 – 3 hari
* Berpanjangan selama 2 minggu
* Jangkitan secara langsung dan pencemaran minuman

PENEMUAN KLINIKAL

* Monyok
* Serous nasal discharge
* Bengkak di muka hingga tertutup mata
* Pengeluaran telur menurun

DIAGNOSIS

* Pengasingan di makmal
* Gangguan pernafasan yang akut
* Beri kesan dalam 2 – 3 hari
* Peratus morbidity tinggi

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* All in all out system
* Antibiotik bakterin digunakan

* Disebabkan oleh virus
* Tanpa tanda jelas kepada mortality tinggi

ETIOLOGI

* Influenza type A virus
* Bawaan burung laut yang pulih dari jangkitan, burung air yang berpindah-randah dan burung kesayangan yang diimpot

PENEMUAN KLINIKAL

* Tanda-tanda gangguan pernafasan
* Pengeluaran telur merosot
* Tidak subur dalam pembiakan
* Kes teruk – cirit-birit hijau, edema pada kepala dan balung serta berhingus

DIAGNOSIS

* Pengasingan virus di makmal

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Pemberian vaksin
* Singkiran
* Sanitasi dan pengudaraan

KESIMPULAN

ETIOLOGI

* Pelbagai

PENEMUAN KLINIKAL

* Penyakit dibezakan melalui:
* Tanda penyakit
* Umur ayam yang terlibat
* Morbidity dan mortality
* Tumbesaran terencat
* Pengambilan makan menurun
* Pengeluaran berkurangan

DIAGNOSIS

* Pengasingan antigen di makmal
* Tanda penyakit
* Mortality dan morbidity
* Umur ayam yang terlibat

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Pilih stok bebas penyakit
* Terasing dan terhindar dari pencerobohan
* All in all out system
* Amalan sanitasi yang baik
* Pemeriksaan berkala
* Singkiran
* Pemusnahan ternakan
* Penggunaan vaksin dan ubatan

Makanan tambahan ternakan daripada sisa sawit


DR. Abd. Razak Alimon bersama dua pelajar menjalankan penyelidikan mengenai keberkesanan ZeoPKC ke atas cengkerang telur di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Penggunaan sisa buangan untuk menghasilkan bahan yang berguna sudah menjadi satu fenomena pada masa ini memandangkan banyak penyelidikan mengenainya telah dijalankan.Penyelidikan seumpama itu sebenarnya satu daripada cabang bioteknologi, meskipun tidak banyak menyentuh sehingga ke peringkat sel dan DNA.

Penyelidikan yang dikenali dengan konsep waste to wealth (W2W) itu memanfaatkan bahan buangan atau sisa pertanian atau biomas dari industri pertanian dan dengan menggunakan teknologi pemerosesan dapat menghasilkan produk berguna.

Penyelidik tempatan, industri dan orang perseorangan juga sudah lama mengorak langkah menceburi penyelidikan seumpama itu sejak sekian lama, sebelum pun istilah W2W menjadi popular.

Penggunaan pelepah kelapa sawit, batang jagung dan pisang, jerami padi dan hampas nanas untuk makanan ternakan, bahan buangan industri sawit seperti enap cemar kilang, sisa pertanian dan pelbagai bahan buangan lain termasuk besi buruk, kertas, kini menjadi bahan popular untuk kajian.

Hasilnya adalah pelbagai termasuk baja, bahan bakar, alat solek, makanan dan pelbagai produk lain yang sudah pun dijual di pasaran.

Langkah tersebut amat bertepatan dengan saranan kerajaan supaya penyelidikan berkaitan pemerosesan bahan buangan diperhebatkan memandangkan banyak sisa pertanian boleh diproses semula.

Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya Institut Pertanian Tropika, telah berjaya menghasilkan makanan tambahan haiwan menggunakan hampas isirung kelapa sawit atau palm kernel cake (PKC).

Seorang penyelidiknya, Prof. Dr. Abd. Razak Alimon yang merupakan pakar pemakanan haiwan telah menghasilkan produk tersebut yang beliau namakan sebagai ZeoPKC.

Penyelidikan beliau berjaya menghasilkan rumusan atau formula berguna untuk ternakan ruminan dan bukan ruminan yang bertujuan mengurangkan kesan keracunan makanan disebabkan kulat ke atas haiwan.

“Pada mulanya ia hanya bertujuan memanfaatkan PKC yang banyak terdapat di negara ini untuk dijadikan sumber protein dan tenaga dalam bahan campuran makanan haiwan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, selain menjadi sumber makanan, bahan tersebut juga dapat mengurangkan kelembapan dalam najis ayam, sekali gus mengurangkan pencemaran ammonia dan lalat dari ladang ayam yang menggunakan bahan ini.

Masalah pengeluaran ammonia di kawasan ternakan menjejaskan persekitaran dan merupakan satu masalah yang berlarutan, manakala penggunaan bahan kimia berlebihan untuk menangani masalah tersebut mendatangkan ancaman kesihatan.

Beliau memberitahu, Malaysia mengeluarkan lebih daripada dua juta tan metrik PKC setiap tahun dan sebahagian besarnya di eksport.

PKC itu digunakan dalam dalam rumusan makanan untuk lembu pedaging dan tenusu. Namun penggunaan PKC dalam makanan ayam amat berkurangan disebabkan kandungan serabut yang agak tinggi.

Justeru, beliau berkata, penggunaan PKC dalam makanan haiwan penting bagi mengurangkan kos pengimportan bahan makanan seperti jagung, hampas kacang soya dan lain lain.

Walaupun terdapat kandungan kuprum dalam PKC yang agak tinggi untuk kambing dan boleh menyebabkan keracunan kuprum, langkah mengatasi masalah tersebut telah diambil.

Dr. Abd. Razak menambah, bahan kimia iaitu ammonium molibdat dan sodium sulfat yang dapat menyerap bahan kimia berkenaan akan digunakan bagi mengelakkan keracunan.

Kajian yang dijalankan sejak 1990-an itu juga mencampurkan zeolite dalam ramuan tersebut, satu daripada penemuan penting penyelidikan berkenaan.

Dengan ditambah zeolite dalam PKC (ZeoPKC) dapat mengurangkan pembebasan ammonia dari najis dan juga mengurangkan tempat lalat membiak.

“Bagaimanapun penambahan ZeoPKC dalam makanan perlu sesuai bergantung kepada jenis ternakan tetapi biasanya antara dua hingga 2.5 peratus,” ujar Abd. Razak.

Namun dengan hanya menambah 2.5 peratus Zeo PKC, ia mampu mengurangkan kelembapan dan pelepasan ammonia dalam najis ayam memandangkan PKC dan zeolite mempunyai keupayaan ‘mengikat’ air.

Beliau yang telah mencuba menggunakan produk ZeoPKC itu pada ternakan ayam mendapati bahawa ia mampu mengurangkan kesan pencemaran oleh lalat kerana kehadiran zeolite menyebabkan najis ayam lebih kering.

Jika digunakan pada ayam penelur, Zeo PKC pula membuktikan cengkerang telur lebih keras kesan daripada kandungan kalsium dan fosforusnya yang tinggi.

Formula tersebut juga mengandungi Vitamin E dan antioksidan selain mengandungi sedikit fiber daripada PKC.

Mengenai penggunaannya, Dr. Abd. Razak memberitahu, produk tersebut hanya perlu dicampurkan dalam makanan ayam setiap kali pemberian dilakukan.

Namun katanya, produk tersebut masih belum dapat dikomersialkan meskipun ia telah memenangi pingat pada pameran antarabangsa baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyelidikan menggunakan PKC sebagai makanan ayam tidak terhenti setakat ini sahaja kerana beliau bercadang untuk menjalankan penyelidikan untuk merawat atau memeramkan dengan kulat Aspergilus, Trichoderma dan Rhizopus untuk meningkatkan kualiti PKC.

Kulat berkenaan akan menghancurkan PKC menerusi proses fermentasi selama antara tiga dan empat hari dan meningkatkan kandungan protein dan mengurangkan serabutnya.

Dengan memanfaatkan PKC sebagai bahan makanan, ia bukan sahaja membantu industri haiwan ternakan berkembang tanpa terus bergantung kepada makanan import seperti jagung dan kacang soya tetapi sisa tersebut masih dapat dimanfaatkan.

Beliau berkata, penyelidikan tersebut boleh mengurangkan kos makanan sekali gus menjimatkan dalam peraliran wang keluar negara.

Dengan kos makanan yang rendah lebih ramai lagi usahawan yang akan menceburi bidang penternakan haiwan.

Beliau juga sedang memanfaatkan herba untuk digunakan dalam penyelidikan makanan haiwan memandangkan ramai pengusaha kini tertarik kepada penyelidikan berkaitan khasiat herba.