Agro – Info Buletin


Gekko-gecko

Tiada bantuan kementerian, bidang kuasa jabatan lain

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak bercadang mengkomersialkan spesies cicak jenis ‘gekko-gecko’ yang kini menjadi buruan ramai bagi dijadikan ubat tradisional sebagai satu perusahaan, seperti burung walit atau belut, yang turut terkenal dengan khasiat tinggi untuk kesihatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Johari Baharom, berkata kementeriannya tidak bertanggungjawab ke atas haiwan spesies itu, melainkan unggas seperti burung walit dan belut yang diletakkan di bawah kendalian kementeriannya.

“Kalau ada yang berminat untuk jadikan cicak ini sebagai satu perusahaan, ia sama seperti perusahaan lintah dan kedua-duanya bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebaliknya mereka boleh rujuk pada jabatan lain yang berkaitan.

“Ia berbeza dengan perusahaan burung walit kerana ia spesies unggas dan kita boleh membantu mereka ini (pengusaha burung walit) kerana ia memang terletak di bawah bidang kuasa kita,” katanya selepas majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Peringkat Negeri Terengganu (MAHA) Mini di sini, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, malam kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Hashim Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Asha’ari Idris.

Cicak dikenali sebagai gekko-gecko itu dilaporkan menjadi buruan ramai berikutan harganya mencecah RM30,000 seekor dan haiwan itu dikatakan menerima permintaan tinggi di kalangan penggemar makanan eksotik berikutan khasiat kesihatannya yang tinggi.
Setakat ini beberapa individu di Sabah, Kedah, Perak serta Terengganu mula menjadikan aktiviti mencari cicak yang lebih dikenali sebagai Pokke di kalangan penduduk tempatan secara serius, malah ramai yang mahu menjadikan ia satu perniagaan sama seperti ternakan haiwan lain seperti lintah dan burung walit.

Mohd Johari berkata, kecenderungan pihak tertentu memburu reptilia berkenaan mungkin bersifat sementara dan bermusim kerana penggunaannya dikatakan hanyalah untuk perubatan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak yang mengetahui sama ada ia digunakan dalam industri perubatan atau dijadikan sumber makanan oleh golongan tertentu yang mungkin percaya ia mempunyai khasiat menyembuhkan penyakit sama seperti sarang atau air liur burung walet.

INFO: Cicak gekko-gecko

  • Di Indonesia dan Pulau Jawa ia dikenali sebagai Tokek.
  • Tergolong dalam keluarga cicak Gekkonidae.
  • Haiwan ini tersebar luas bermula dari India timur, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Semenanjung Malaysia dan pulau sekitarnya, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi, Lombok, Flores, Timor, Aru dan Kepulauan Filipina.
  • Dipercayai ada lebih 2,000 spesies cicak gecko-gecko di seluruh dunia yang belum lagi dijumpai.
  • Cicak berkenaan kerap ditemui di pokok dalam pekarangan rumah, terutama di kampung dan tepi hutan.
  • Spesies terbesar dikenali Kawekaweau dengan panjang badannya 60cm. Spesis terkecil ialah Jaragua Sphaero dengan panjangnya 16mm.
  • Dipercayai apabila mencecah berat 350 gram ke atas, ia boleh mengeluarkan enzim yang mampu mengubati penyakit HIV/AIDS, sakit kulit dan asma.

  • wAKIL UniSZA, Tengku Farizan Che Ku Jusoh menunjukkan muffin yang diperbuat daripada ubi gadung yang dihasilkan oleh UniSZA, ketika pameran di Karnival Inovasi di Pusat Dagangan Terengganu baru-baru ini.



    KUALA TERENGGANU 10 Ogos – Gadung? Mungkin hanya segelintir anak muda masa kini yang pernah mendengar perkataan itu dan mengetahui atau melihatnya.

    Ia sejenis ubi yang lebih dikenali oleh orang-orang tua ketika mereka melalui zaman sukar dan menjadi sebutan mereka apabila mengimbau waktu silam.

    Bahan beracun itu yang turut dijauhi binatang itu diolah dan diproses menjadi sajian makanan yang enak bagi menggantikan makanan ruji, namun ia bukanlah kerja yang mudah.

    Di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu beberapa dekad lalu, ubi yang telah diproses dan dijadikan makanan masih boleh dibeli di pasar-pasar tertentu tetapi kini sukar dicari.

    Ubi gadung adalah tumbuhan liar yang mudah kedapatan di hutan-hutan kecil dan ia menjalar dan memanjat pokok-pokok lain.

    Ia boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri manakala isinya membesar di dalam tanah.

    Langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini untuk dikomersialkan terutamanya sebagai bahan perubatan, kecantikan dan makanan ternyata menarik perhatian.

    UniSZA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam di wilayah ECER yang dipertanggungjawabkan dengan beberapa Pusat Kecemerlangan termasuklah pusat produk halal wilayah dan pusat herba serta bioteknologi.

    Bagi menjayakan penyelidikan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

    Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah dan UnisZA pula oleh Naib Canselornya, Datuk Prof Dr. Alias Daud dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

    Justeru tidak mustahil suatu hari kelak, orang ramai memilih tepung ubi gadung untuk membuat kuih muih, makanan ringan sebagai ganti tepung gandum atau pulut hasil daripada penyelidikan itu kelak.

    Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melahirkan keyakinannya bahawa ubi gadung berpotensi untuk dikomersialkan dan kerajaan bersedia memberi peruntukan RM2 juta kepada UnisZA secara berperingkat untuk meneruskan kajian terhadap tanaman tersebut selama dua tahun.

    ‘‘Saya difahamkan terdapat sejenis bahan di dalam kandungan ubi gadung yang dipercayai steroid di dalam bentuk gula di mana mampu menyahkan toksin di dalam badan selain menghalang pembekuan darah serta boleh dijadikan pil pencegah kehamilan. Ini sebahagian daripada potensinya.

    “Setakat ini tiada perancangan penanaman secara besar-besaran, namun melalui projek perintis, ia akan ditanam secara pertanian ladang dengan kerjasama Jabatan Pertanian,” ujarnya.

    Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti itu.

    Ia meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticle, teknologi in-vitro, sifat anti bakteria dan anti imflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkormesialan.

    Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali berkata, ia sebagai usaha UniSZA dalam membantu projek huluan dan hiliran yang bakal memberi faedah secara langsung kepada penanam (huluan) dan secara tidak langsung menyediakan maklumat sokongan kepada kerajaan ke arah perkembangan tanaman dan produk baru bagi negeri ini.

    Katanya, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.

    “Jika dulu masyarakat hanya dapat menemui ubi gadung jauh di dalam hutan dan ia dapat ditemui sekali setahun iaitu pada musim hujan namun kini UniSZA dalam usaha memproduktifkan tanaman ini dengan menghasilkan tanaman itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui tambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

    Mengulas lanjut, Abd. Manaf memberitahu, semenjak kajian itu dimulakan kira-kira dua minggu lalu, penyelidikan kandungan ubi gadung itu menunjukkan ciri-ciri ‘biopesticide’ yang baik iaitu menunjukkan ia mempunyai potensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

    “Mengikut kebiasaannya, ubi ini yang diricis perlu direndam selama tiga hari di dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai bagaimanapun ia mengambil masa terlalu lama bagi pengusaha produk makanan jika mahu memproses ubi ini untuk dijadikan produk makanan,” ujarnya.

    Justeru itu, UniSZA akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.

    “Dalam menjayakan usaha itu, kita telah mempunyai makmal sedia ada kira-kira empat tahun lalu iaitu yang terletak di UniSZA Kampus Kota dengan kos RM14 juta di mana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.

    “Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada wilayah ECER yang telah dipertanggungjawabkan dengan pembinaan Pusat Kecemerlangan termasuk peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Pusat Produk Halal Wilayah dan Pusat Herba dan Bioteknologi,” ujarnya.

    IBRAHIM Ahmad (kiri) menunjukkan ikan tilapia merah yang diternak di kolam ikan di Kampung Banggol Asam Jawa, Baling.



    BALING 29 Julai – Daerah Baling akan menjadi pengeluar terbesar ikan tilapia merah apabila 22 buah kolam ternakan ikan tersebut di Kampung Banggol Asam Jawa mengeluarkan hasilnya.

    Kolam yang diusahakan secara berkelompok oleh lapan penduduk kampung berkenaan kini menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah itu melalui program e-Kasih yang bertujuan membantu membasmi kemiskinan rakyat di negeri ini.

    Lebih menggembirakan, ikan jenis itu kini mendapat permintaan cukup tinggi, bukan sahaja di pasaran tempatan malah antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat dan Denmark.

    Pengusaha bersama projek berkenaan, Ibrahim Ahmad, 44, berkata, pihaknya yakin kolam berkenaan mampu mengeluarkan 10 tan metrik ikan tilapia merah setiap minggu dan jumlahnya akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun lagi.

    “Kita yakin jumlah pengeluaran boleh ditingkatkan kerana kesesuaian pembesaran ikan dan pemakanan secara sistematik,” katanya.

    Ibrahim ditemui semasa memberi taklimat mengenai projek tersebut kepada Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hadzir Md. Zin yang melawat kolam ternakan ikan tersebut di sini.

    Projek tersebut mendapat pembiayaan RM120,000 daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan, JPM Negeri Kedah.

    Penternak ikan berpengalaman yang berkelulusan ijazah pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mengambil peluang mengusahakan kolam berkenaan yang sebelum ini terbiar begitu sahaja.

    Kata Ibrahim, kawasan kolam seluas kira-kira 4.856 hektar itu menggunakan induk tempatan yang dibiak dan dibesarkan di dalam kolam dengan menyebabkan pengeluaran benih dapat ditingkatkan dalam tempoh masa singkat.

    Menurutnya, kejayaan menternak ikan tilapia merah bukan sahaja menjana pendapatan penduduk malah akan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan yang menimbulkan masalah sebelum ini.

    Katanya, sebanyak 600 kilogram pelet makanan ikan terpaksa digunakan sehari untuk memberi makan ikan di kolam tersebut.

    Tambahnya, ikan tersebut mengambil masa antara enam hingga lapan bulan sebelum dapat dikeluarkan dari kolam untuk dipasarkan.

    “Buat masa ini kami tumpukan kepada pasaran tempatan kerana jumlah pengeluaran sekarang masih belum mencukupi untuk dieksport walaupun mendapat permintaan tinggi,” katanya.

    Selain itu, kata Ibrahim, permintaan tinggi untuk ikan tilapia merah bukan sahaja untuk dijadikan makanan malah bagi mendapatkan sisik dan lendirnya.

    Menurutnya, sisik tilapia sesuai untuk menghasilkan kolagen manakala lendir untuk tujuan pembuatan kosmetik.

    Dalam pada itu, kata Hadzir, konsep ternakan ikan tilapia merah merupakan salah satu usaha yang disebut “projek juara” yang menyaksikan penternak berdaya maju dalam menambah pendapatan.

    “Projek ternakan ikan berkenaan adalah antara projek yang mampu menjana pendapatan bagi penduduk miskin.

    “Ia boleh dikembangkan ke tahap antarabangsa jika pengusahanya mampu mengeluarkan hasil dengan banyak,” katanya.

    Jaminan pasaran dan teknikal, katanya, akan menjadikan projek tersebut berjaya sekali gus mampu menjadikan daerah ini sebagai pengeluar terbesar ikan tilapia merah.

    Orang ramai mengunjungi khemah-khemah pameran dan jualan di MAHA 2010 di Dataran Shahbandar, semalam.



    KUALA TERENGGANU 6 Ogos – Penduduk Kuala Terengganu mula membanjiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 Terengganu di Dataran Shahbandar di sini yang bermula hari ini.

    Mereka juga mengunjungi pelbagai hasil pertanian, hortikultur dan agro pelancongan yang sinonim dengan Terengganu di pameran mini yang berlangsung sehingga 9 Ogos ini.

    Selain itu, kira-kira 100 gerai pameran yang disertai wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan serta pelbagai usahawan turut mengambil tempat pada MAHA 2010 Trengganu ini.

    Seorang pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi di sini, Wan Shahayah Wan Ahmad, 20, berkata, gerai pameran yang terdapat di sini amat menarik dan berlainan daripada pameran atau karnival lain.

    “Saya amat tertarik dengan pelbagai minuman buah-buahan yang dapat membantu kesihatan selain produk minuman daripada sarang burung,” katanya ketika ditemui.

    Seorang surirumah, Tengku Khatijah Tengku Long, 40, berkata, tiga anaknya berusia tujuh hingga sembilan tahun amat tertarik dengan pameran pertanian di situ.

    “Kami pada mulanya datang ke Dataran Shahbandar bawa anak- anak berjalan-jalan dan tidak sangka pameran ini diadakan.

    “Sebelum ini, mereka tidak pernah lihat lembu besar dan kambing jamnapari kerana biasanya mereka hanya lihat lembu dan kambing biasa di kampung,” katanya yang tinggal di Batu Burok di sini.

    Seorang lagi pelajar, Rubiah Omar, 20, berkata, dia masih belum melawat semua pameran tetapi mendapati banyak maklumat terbaru mengenai bidang pertanian.

    “Saya hendak mengikuti bidang pertanian nanti dan pameran ini memberikan saya maklumat berhubung bidang ini,” katanya.

    GERIK 22 Julai – Hutan Royal Belum (Royal Belum) yang merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia, mungkin akan lenyap jika tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh pihak berkuasa bagi melaksanakan pemuliharaannya.

    Keghairahan orang ramai menceroboh kawasan itu secara berleluasa semata-mata untuk mencuri khazanah di hutan tersebut kini semakin membimbangkan.

    Hakikatnya, hutan yang berusia ratusan juta tahun ini dahulunya bukan sahaja kaya dengan hidupan seperti gajah, harimau, rusa, kijang, seladang, pelanduk selain spesies ikan kelah, tengas, tengalan dan sebarau malah menjadi kawasan pokok-pokok gaharu untuk hidup meliar.

    Malangnya hari ini, amat jarang untuk pengunjung menyaksikan kelibat binatang-binatang liar tersebut selain ikan-ikan juga semakin berkurangan di kebanyakan sungai kawasan itu.

    Apa yang lebih membimbangkan ialah aktiviti penjualan gaharu dilakukan secara terbuka seolah-olah ia bukan menjadi satu kesalahan.

    Seorang penduduk Orang Asli dari Kuala Rengat dekat sini, Abot Ali, 40, mengakui, dia merupakan antara penjual gaharu yang aktif di kawasan tersebut sebelum ini tetapi kini tidak lagi.

    ‘‘Dulu memang senang mencari gaharu, tak payah pergi jauh-jauh. Jalan lebih kurang setengah jam dah jumpa.

    ‘‘Sekarang jalan sehari suntuk pun payah nak jumpa, dah habis kena tebang oleh orang Siam,” dakwanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

    Kata Abot yang mendakwa dirinya sebagai penghulu, banyak pokok gaharu dalam hutan telah ditebang orang luar termasuk warga asing.

    Mereka katanya, menggunakan mesin bagi memudahkan kerja-kerja yang dijalankan selain cekap menggelakkan kegiatan dikesan oleh orang lain.

    Seorang lagi Orang Asli yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah, 50, berkata, disebabkan pendapatan hasil menjual kayu gaharu semakin berkurangan, dia kini melakukan pekerjaan lain untuk menampung hidup.

    ‘‘Kalau nak harapkan duit jual gaharu sekarang ini, saya dan keluarga mati tak makan,” katanya.

    Pak Ngah mendakwa, usahanya meredah bukit untuk mencari gaharu selalunya sia-sia kerana pokok-pokok itu telah ditebang oleh orang lain.

    ‘‘Saya tak mahu lagi pergi naik bukit turun bukit nak cari pokok gaharu sedangkan pokok-pokok tersebut sudah tak ada lagi, orang sudah ambil semua yang tinggal hanya tunggul-tunggul sahaja,” katanya.

    Menurut Pak Ngah lagi, dia kini mula menanam pokok-pokok getah bagi menggantikan kerja mencari gaharu.

    Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kerunai di sini, Rasli Dolah Ahmad, 48, berkata, adalah tidak tepat jika ada pendapat yang mengatakan pokok-pokok gaharu akan pupus di Royal Belum akibat tindakan pencerobohan.

    Dakwanya, pencari gaharu tidak menebang pokok-pokok gaharu sesuka hati sebaliknya hanya memilih pokok yang mempunyai damar sahaja.

    ‘‘Pada kebiasaan pokok gaharu yang cacat atau tidak subur batang pokoknya itulah yang mempunyai damar,” katanya.

    Utusan Malaysia difahamkan, gaharu dijual kepada orang tengah atau pembeli berdasarkan gred dengan harganya mampu mencecah sehingga RM30,000 sekilogram bagi gred A.

    Tinjauan mendapati, aktiviti penjualan gaharu bebas dilakukan di sekitar kawasan ini tanpa wujud pemantauan oleh pihak-pihak berkuasa seolah-olah ia suatu aktiviti yang dibenarkan

    SIK 20 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menasihatkan pemilik tanah supaya tidak mudah terpedaya terhadap tawaran daripada syarikat-syarikat tertentu yang menawarkan khidmat pemasaran hasil pertanian.

    Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini kerana kebanyakan pemilik tanah begitu ghairah untuk mengusahakan tanaman tertentu apabila ada syarikat yang berjanji untuk membeli hasil tanaman mereka.

    “Apabila pemilik tanah terbabit mengusahakan tanah mereka dengan tanaman tertentu, akhirnya mereka gagal untuk memasarkan hasil tanaman selepas syarikat yang membuat tawaran dan janji kepada mereka menghilangkan diri.

    “Apabila syarikat terbabit menghilangkan diri, pengusaha terpaksa menanggung beban kerana hasil tanaman tidak dapat dipasarkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Dengan Petani-Petani Daerah Sik di Ladang Anggur Tasik Beris dekat sini semalam.

    Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Badaruddin Amirudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd. Tajuddin Abdullah.

    Kata Noh, pemilik tanah atau petani terbabit perlu mendapat nasihat dan berbincang dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian sebelum melaksanakan projek pertanian berskala besar bagi memudahkan urusan pemasaran.

    Tambahnya, kaedah pertanian secara kontrak yang dijalankan oleh FAMA adalah antara kaedah yang digalakkan oleh kementerian dalam memasarkan hasil pertanian.

    Noh berkata, kerajaan tidak mahu petani atau pemilik tanah tergesa-gesa mengusahakan tanaman selepas diberikan tawaran oleh syarikat tertentu yang hanya mahu mengambil kesempatan.

    “Kena berhati-hati dengan syarikat tertentu yang menawarkan khidmat pemasaran kerana mereka ada muslihat tertentu,” ujarnya.

    Dalam pada itu, kementerian terbabit meminta semua Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) mewujudkan laman blog masing-masing dalam memudahkan penyebaran maklumat dengan aktiviti pertanian.

    Noh menambah, dengan adanya blog ini, MPPP terbabit boleh juga memasarkan hasil pertanian khususnya menjadikan kawasan Parlimen terbabit dikenali sebagai pengeluar hasil pertanian.

    Malah katanya, secara tidak langsung ahli MPPP dan petani dapat memberikan idea dalam meningkatkan lagi hasil pertanian.

    ‘Kita minta semua MPPP di seluruh negara wujudkan laman blog ini untuk memasarkan hasil dan sumber pertanian di kawasan masing-masing,” katanya.

    Makanan hasil pertanian

    Popiah pisang.



    KALAU dah dinamakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan pastilah ada produk-produk yang berkaitan dengan pertanian, penternakan dan perikanan yang dipamerkan.

    Tentu sahaja kita punyai pelbagai pilihan produk makanan yang berkaitan apabila kita mengunjungi gerai dan khemah makanan di tapak pameran dan jualan. Boleh rambang mata juga dibuatnya.

    Salam satu Malaysia kepada pembaca Utusan Malaysia. Mungkin anda tertanya-tanya kenapalah saya menyentuh tentang Hari Peladang, Penternak dan Nelayan pula pada minggu ini. Apa pula kena-mengena dengan makanan?

    Bukan apa, saya sebenarnya telah memenuhi undangan sebagai chef jemputan untuk demonstrasi masakan dan hakim oleh Jabatan Pertanian Pulau Pinang sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Pulau Pinang dan Pesta Buah-buahan. Sebab itulah saya ingin menceritakan dengan lebih lanjut pengalaman saya sepanjang acara ini berlangsung.

    Acara yang dianjurkan setiap tahun ini telah berlangsung pada 8 hingga 11 Julai 2010 lalu di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang. Demonstrasi masakan saya perlu menggunakan buah-buahan tempatan sebagai salah satu platform untuk mempromosikan buah-buahan tempatan supaya dapat menggalakkan orang ramai menggemari buah-buahan tempatan.

    Agensi-agensi lain seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Veterinar dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (LKIM) telah bekerjasama memeriahkan lagi hari tersebut. Selain daripada demonstrasi memasak, Jabatan pertanian telah mengadakan jualan, promosi produk industi asas tani, menganjurkan pertandingan hasil-hasil pertanian berproses dan pertandingan memasak.

    Yang menariknya saya telah diberi tanggungjawab menjadi hakim untuk pertandingan mengubah bunga-bunga kering. Terasa macam pelik dan kelakar pula rasanya apabila tawaran itu diberikan kepada saya maklumlah bidang menghias bunga adalah di luar kebiasaan saya, tetapi saya masih diberi kepercayaan untuk menilai hasil seni kreatif peserta-peserta yang kesemuanya terdiri daripada kaum wanita.

    Walau bagaimanapun bagi saya, memasak dan menghias bunga-bungaan mempunyai persamaan iaitu kesenian. Kedua-duanya digubah menjadi sesuatu yang cantik dan sedap mata memandang. Makanan yang telah saya sediakan perlu disusun dan dihias sebelum dihidangkan.

    Jadi pengalaman inilah yang saya gunakan untuk menilai hasil kerja menghias bunga-bunga kering peserta-peserta pada hari itu. Sebenarnya teknik dan kemahiran menghias perlu ada pada setiap orang yang bergelar chef, penyedia makanan atau suri rumah kerana makanan perlu dihias agar ianya kelihatan menarik untuk dijamah.

    Jadi saya amat bersetuju bahawa seni kulinari adalah salah satu cabang seni. Saya telah menyediakan juadah pemanis mulut dan snek iaitu tart dan popiah pisang. Kedua-keduanya menggunakan buah tempatan iaitu pisang. Bagi saya pisang ini adalah buah yang sangat versatil kerana boleh dipelbagaikan penggunaannya.

    Sebagai mengakhiri, saya berharap agar acara-acara seperti ini dapat diperbanyakkan supaya dapat menyemai minat kepada orang ramai untuk menikmati buah-buahan dan hasil pertanian tempatan yang lain.

    satu botol Biomanis boleh digunakan untuk 400 gelas air.



    TIDAK ramai yang mengetahui apakah pokok stevia, apatah lagi maklum akan khasiatnya. Namun segelintir daripada kita yang sukakan kemanisan tetapi bencikan kemudaratan mungkin memilih pokok ini sebagai pemanis.

    Ini kerana stevia sudah mula dikenali sebagai alternatif kepada gula untuk pemanis dalam minuman.

    Ada yang melabelkan ‘gula sebagai racun’, ‘gula lebih bahaya daripada dadah’, ‘gula pembunuh senyap’ dan macam-macam lagi.

    Di sinilah stevia memainkan peranan kerana bahaya gula telah menampakkan impak dan kesan sangat positif kepada masyarakat.

    Pengambilan makanan manis yang mengandungi tinggi kalori tanpa khasiat dan serat dalam jangka panjang mampu menyingkirkan beberapa vitamin dan zat galian dari dalam badan.

    Melihatkan betapa seriusnya peningkatan pesakit diabetes ini, Perintis Dagangan Sdn. Bhd. (Perintis), sebuah syarikat yang telah lama terlibat dalam kajian dan pembangunan hasil pertanian ini telah mengeluarkan produk Biomanis iaitu sejenis pemanis semula jadi yang berasaskan 100 peratus ekstrak daun pokok stevia gred A+ dengan kadar kemanisan yang lebih tinggi berbanding gula tebu.

    Bagaimanapun Biomanis ini tidak mengandungi kalori, lemak, kolestrol, protein, toksik, glukos dan karbohidrat.

    Memandangkan Biomanis mempunyai kadar kemanisan yang tinggi berbanding gula, maka sebotol produk tersebut boleh digunakan untuk 400 gelas air. Sekotak Biomanis yang mengandungi lima botol ini boleh digunakan untuk tempoh setahun.

    Pembelian sekotak Biomanis dilihat lebih praktikal berbanding penggunaan sebotol sahaja memandangkan tindak balas gula stevia pada badan mengambil masa untuk menolak segala stok glukos dan kalori yang terdapat pada darah yang telah lama berada di dalam badan.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perintis, Norzana Rafie, selain daripada khasiat dan kelebihan semula jadi secara biologi yang terkandung di dalam Biomanis ini proses pembuatan produk ini disulam dengan beberapa khasiat dan kebaikan secara metafizik.

    ”Ini termasuk bacaan 30 juzuk al-Quran, ayat dan selawat syifa’, doa-doa mustajab dan terbaik dari al-Quran dan hadis, Asma al-Husna dan banyak lagi,” katanya.

    Menurut beliau, ia bertujuan menambahkan keberkatan dan keberkesanan penggunaan produk ini sesuai dengan peranan Biomanis sebagai pemanis semula jadi terbaik.

    Melalui beberapa ujian kadar gula dalam darah oleh beberapa doktor penasihat, Biomanis menunjukkan kesan yang amat menakjubkan kerana ujian ke atas kadar gula selepas dua jam menunjukkan kadar gula adalah sama seperti sebelum meminumnya.

    Ini jelas membuktikan dengan menggunakan Biomanis dalam air, ia tidak menambahkan kadar glukos dan kalori dalam darah.

    Semua orang yang mengamalkan Biomanis juga boleh membuat ujian darah sendiri sekiranya ingin mendapatkan pengesahan dan menambah keyakinan.

    Biomanis dikatakan pemanis semula jadi paling mesra dengan pesakit diabetes, darah tinggi dan obesiti. Menurut satu kajian mendapati jumlah karbohidrat, kalori dan glukos yang terkandung di dalam gula tebu antara penyumbang kepada kenaikkan paras gula dalam darah.

    Dengan menggantikan penggunaan gula tebu kepada Biomanis ini secara amalan yang konsisten dan berpanjangan, kita mampu menghentikan kemasukan kalori, karbohidrat dan glukos yang baru secara berlebihan dalam badan.

    Lama-kelamaan lemak dan kalori yang dah lama tersimpan dalam badan akan terbakar untuk bekalan tenaga.

    Memandangkan Biomanis tidak menghasilkan glukos maka ekstrak ini mempunyai potensi untuk menjadi agen antihiperglisemik untuk diabetes.

    Pengambilan gula stevia yang konsisten dan kerap dalam menggantikan gula tidak akan memudaratkan memandangkan sifat daun stevia yang sifar segalanya.

    Produk berkenaan dijual dalam botol dengan harga RM59.90 yang boleh digunakan untuk dua bulan setengah dan satu kotak besar yang mengandungi lima botol dijual pada harga RM200 sekotak boleh digunakan untuk tempoh setahun.

    Memandangkan satu botol Biomanis boleh digunakan untuk 400 gelas air maka pelanggan hanya perlu membelanjakan kira-kira 10 sen sahaja untuk segelas minuman sekali gus berpeluang menikmati hidup yang lebih sihat dan menjauhi kesan bahaya gula.

    Selain digunakan dalam minuman seperti teh, kopi atau minuman kegemaran lain, Biomanis juga disarankan penggunaannya ketika mengambil minuman berherba seperti teh misai kucing, mas cotek, tunjuk langit dan lain-lain bagi menambahkan keberkesanan herba tersebut pada badan.

    Selain itu, sifat ekstrak daun stevia yang tahan pada suhu yang tinggi, terikat dan tidak terampai ini boleh digunakan di dalam masakan berempah dengan menambah secubit Biomanis ke dalam masakan bagi menambahkan keenakan masakan dan mengelakkan masakan bersantan dari cepat basi.

    Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman (kanan) dan Dr. Chan Chee Wan (kiri) memberikan penerangan kepada Noh Omar (tengah) mengenai teknologi terkini MARDI.



    SETELAH lebih 40 tahun ditubuhkan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus mencatat kejayaan cemerlang.

    Kali ini kejayaan dicatat pada Pameran Reka Cipta, Inovasi, Teknologi dan Reka Bentuk Antarabangsa (ITEX) 2010 baru-baru ini.

    Pada majlis itu, MARDI memenangi kesemua 13 teknologi yang dipertandingkan dengan lapan emas dan lima perak.

    “Daripada jumlah berkenaan, 10 teknologi dianugerahkan Produk Malaysia Paling Inovatif,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semasa sidang media kejayaan MARDI pada ITEX 2010 di Serdang, Selangor baru-baru ini.

    ITEX 2010 merupakan pameran antarabangsa mengenai inovasi reka cipta dan teknologi.

    Pameran kali ke-21 itu tampil dengan tema Kreativiti: Laluan Ke Arah Ekonomi Inovatif telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 14 hingga 16 Mei lalu.

    Pameran yang disertai 60 agensi termasuk universiti, institusi penyelidikan dan pendidikan, korporat dan organisasi dalam dan luar negara dengan lebih 500 reka cipta atau inovasi dipamerkan.

    Noh menambah, apa yang lebih membanggakan, empat daripada lapan emas yang dimenangi adalah inovasi mekanisasi yang dapat membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meningkatkan pengeluaran makanan serta memudahkan pemprosesan makanan.

    “Ciptaan baru akan memberi daya tarikan kepada generasi muda kepada pertanian.

    “Jika dulu pertanian berkaitan tenaga empat kerat dengan selut dan lumpur tetapi dengan ciptaan baru memberikan perspektif berbeza,” katanya.

    Teknologi mekanisasi jelas Noh dapat mengurangkan kos tenaga buruh yang semakin tinggi.

    Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Pemindahan dan Pengkomersialan Teknologi) MARDI, Ariffin Tawang.

    Semua empat inovasi berkenaan dianugerah Produk Malaysia Paling Inovatif iaitu Mesin Pengeluaran Murtabak Berkualiti Secara Mekanikal, Sistem Penggredan Automatik untuk Buah-buahan Tropika, Mesin Mengasing Biji Rambutan dan Mesin Mengasing Biji Cili Tanpa Air.

    KUALA TERENGGANU 7 Jun – Mereka tidak boleh melihat, namun ia bukan alasan untuk tidak meneruskan kehidupan.

    Golongan cacat penglihatan juga mahu hidup seperti insan biasa dengan kemampuan untuk menyara kehidupan mereka sendiri dan keluarga.

    Berdasarkan semangat itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan kursus ternakan ikan air tawar untuk Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis) Terengganu.

    Kursus yang buat pertama kali diadakan bakal memberi manfaat serta menjadi peluang untuk menambah pendapatan warga orang kurang upaya (OKU) pada masa depan.

    Sektor pertanian dan perikanan dipilih kerana ia merupakan industri yang sedang berkembang dan antara penyumbang besar kepada pendapatan negara.

    Pengarah Institut Akuakultur Tropika, UMT, Prof. Dr. Faizah Shaharom berkata, kursus itu diadakan untuk memberi kemahiran melibatkan diri dalam ternakan ikan air tawar terutamanya ikan keli.

    ”Program ini akan menggalakkan mereka bekerja sendiri dan mencetuskan minat untuk menceburi sektor akuakultur sebagai satu pekerjaan menjana pendapatan kelak,” katanya.

    Beliau berkata, kursus itu memberi kemahiran ternakan ikan air tawar termasuk belajar menguruskan kesihatan ikan, makanan ikan dan pengurusan kualiti air ternakan tersebut.

    ”Kemudian mereka juga akan dibantu dengan pendedahan cara pemasaran efektif.

    ”Kita juga akan memantau mengenai bagaimana mereka menguruskan ternakan selepas kursus ini,” katanya.

    Beliau memberitahu, pihaknya akan memantau kira-kira 50 peratus proses penternakan ikan keli yang akan dilakukan oleh peserta nanti termasuk dari segi kesihatan ikan dan pengurusan ternakan.

    ”Kita akan membantu dalam mengatasi penyakit ikan jika berlaku jangkitan ke atas ternakan mereka,” jelasnya.

    Seramai 30 anggota Pertis dipilih termasuk 10 ahli keluarga terdekat mereka yang normal untuk menyertai kursus berkenaan.

    Antara yang dipelajari dalam kursus itu, katanya, adalah cara melurut ikan, menjaga air dan suhu air tangki ternakan selain pembenihan ikan.

    ”Dalam kursus ini, kita akan membuang sengat ikan keli dahulu kerana para peserta tidak dapat melihat.

    ”Kita juga akan mengajar mereka bagaimana dan bila hendak memberi makan ikan,” tambahnya.

    Dalam pada itu, Pengerusi Pertis, Mohamed Ismail, 56 berkata, pihaknya mengambil inisiatif dan bertemu dengan UMT dalam membantu golongan sepertinya menceburi bidang penternakan dalam menjana pendapatan.

    ”Golongan OKU sebelum ini amat terhad dalam mencari pekerjaan dan kami sememangnya memerlukan bantuan,” katanya.

    Beliau berkata, buat peringkat awal, beliau bersama peserta lain merancang untuk melakukan ternakan ikan keli itu di sekitar rumah mereka.

    ”Mula-mula kami ingin melakukan ternakan ikan di sekeliling rumah. Dengan ini, ahli keluarga lain juga akan dapat membantu dalam menjaga dan menguruskannya.

    ”Mungkin dalam perancangan masa panjang, satu pusat akan dibuka dalam melakukan ternakan secara berpusat,” tambahnya.

    Beliau menambah, kebanyakan peserta yang menghadiri kursus berkenaan tinggal di kawasan perumahan OKU, Taman Rahmat, Pulau Kerengga di Marang.

    ”Selain itu, ada juga yang tinggal di Seberang Takir dan Kampung Telaga Batin di Kuala Terengganu.

    ”Kesemuanya berumur 40 tahun ke atas dan mereka berminat untuk mengusahakan ternakan ini,” katanya.

    Laman Berikutnya »

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 160 other followers