Tat nanas hidangan raya

ws_01.1

AZIZAH Abu Zarim menunjukkan bungkusan tat nanas jenama D’Kaz yang digemari ramai.



SEREMBAN 17 Sept. – Tidak syak lagi, tat nanas merupakan salah satu biskut yang menjadi hidangan tetap menjamu tetamu pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Apatah lagi, apabila tat yang dihidangkan enak dengan kulit kuih yang lembut, gebu serta cair di mulut dan intinya yang terasa kemanisan buah nanas yang asli.

Bercakap tentang tat nanas, jenama D’Kaz yang diusahakan oleh Azizah Abu Zarim boleh diandaikan paling popular di bandar ini dan sering meniti di bibir penggemar biskut itu.

Pelanggannya terdiri daripada pengedar dan pengusaha biskut raya serta rakan dan jiran yang merupakan pelanggan tetap tat nanas itu.

Tidak ketinggalan Azizah turut memasarkan produknya itu di pusat membeli- belah seperti Jusco di Seremban 2 di sini dan kios di stesen pam minyak sekitar bandar ini.

Menurut Azizah, 47, permintaan terhadap biskut tersebut menjadi berganda-ganda apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tidak lama lagi.

Malah katanya, tempahan sudah ‘menyerbu’ ke kedai kuih miliknya di Bandar Selatan Seremban di sini sebulan sebelum umat Islam berpuasa.

Demi memenuhi setiap tempahan itu, Azizah dan lapan pekerjanya harus menyiapkan sekurang-kurangnya 5,000 hingga 10,000 biji tat nanas sehari.

Tambahnya, untuk menyediakan adunan tersebut sebanyak 75 biji nanas diperlukan setiap hari.

Tentang resipi istimewa biskutnya, kata Azizah, hanya nanas segar dan berkualiti dari jenis morris menjadi bahan bagi inti tart itu.

”Nanas ini saya peroleh daripada salah seorang pengedar dari Johor dan nanas ini jadi pilihan kerana kemanisannya,” kata Azizah yang tidak merahsiakan resipi istimewa biskutnya itu.

Usahawan ini juga memberitahu, kebanyakan pelanggannya memberitahu, salah satu perkara yang menjadikan tat nanas keluarannya enak adalah kulit yang sedikit kegaringan dan inti yang secukup manis.

”Kebanyakan pelanggan suka kerana tat ini mempunyai kulit yang garing sedikit tetapi isi dalamnya gebu. Sementara intinya tidak terlalu manis yang menaikkan kemanisan buah nenas yang asli,” tambahnya lagi.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam perniagaan tersebut, kata Azizah, ia bermula empat tahun dulu di ruang dapur rumahnya sendiri.

Wanita yang berasal dari Kuala Pilah ini berkata, pada mulanya dia hanya menjual biskut itu kepada rakan sepejabat dan jiran-jirannya.

”Apabila banyak yang memberi pujian dan sokongan dari situ timbul idea untuk membesarkan perniagaan ini,” katanya yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat swasta.

Beliau menjelaskan, usahanya kini berbaloi apabila syarikatnya, Permata Murni mula meraih perhatian daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, FAMA, MARDI dan SIRIM.

”Malah Jabatan Pertanian turut membekalkan beberapa peralatan seperti pengadun elektrik dan oven,” katanya.

Azizah juga memberitahu bahawa dia akan bekerjasama dengan MARDI untuk membuat kajian dan penyelidikan tentang tat nanas itu bagi membolehkan ia dipasarkan di luar negara.

Selain tat nanas, D’ Kaz turut memasarkan almond cookies, choco chip, biskut kelapa serta kudapan tradisional seperti kerepek pisang, tempeyek, maruku dan kuih siput.

Tidak ketinggalan makanan sejuk beku seperti kuih bijan, koci, kasturi, karipap dan donat yang boleh diperoleh di pasar raya tertentu.

Kata Azizah, kepada mereka yang ingin membuat tempahan atau ingin menjadi ejen boleh menghubungi talian 06 6796382 atau 017 2881341 atau berkunjung ke bakerinya di alamat 1944 Jalan BSS 2/1A Bandar Seremban Selatan.

Produk Hidayah Cookies tambat hati pelanggan

ag_01.1

Sarimah Jantan bersama produk makanan yang dihasilkan oleh Hidayah Cookies.



SELAIN kuih raya moden, sambutan Aidilfitri pastinya kurang meriah tanpa kehadiran kuih tradisional yang masih mendapat sambutan baik pelbagai golongan masyarakat.

Kuih tradisional seperti semperit, dodol, kuih bangkit dan baulu pasti akan menjadi hidangan wajib bagi menjamu tetamu yang datang bertandang ke rumah.

Penerimaan berterusan kuih tradisional tersebut adalah mungkin disebabkan oleh rasanya yang sedap dan ia boleh disimpan untuk jangka masa lama.

Mengambil contoh dodol, kuih itu kini tidak hanya dimakan ketika musim perayaan sebaliknya permintaan terhadap produk makanan itu terus meningkat walaupun pada hari-hari biasa.

Malah, hari ini kita dapat melihat dodol semakin mudah untuk diperolehi dari kedai-kedai dan juga pasar raya-pasar raya utama.

Sambutan baik itu terhadap kuih tradisional telah mendorong Sarimah Jantan, 45, untuk menjalankan perniagaan produk tersebut secara komersial.

Mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai guru tadika pada tahun 1990, beliau kemudiannya menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Setelah berhenti, saya cuba melibatkan di dalam bidang jahitan dan alhamdulillah saya menerima pendapatan sekitar RM300 hingga RM1,000 sebulan.

“Disebabkan menjahit memerlukan komitmen dan tenaga yang tinggi, saya akhirnya memilih untuk menjual produk makanan bermula tahun 2000,’’ katanya ketika ditemui di kedainya di Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam, baru baru ini.

Ketika itu, beliau menjalankan perusahaan membuat kerepek, roti, kek dan dodol di rumahnya yang terletak di Seksyen 24, Shah Alam.

Sambutan baik yang diterima mendorong beliau membina kilang memproses di Seksyen 36 dan operasi di sana telah dimulakan pada tahun 2003.

Dengan kos sebanyak RM30,000, beliau telah membina bangunan kilang, membeli peralatan dan ketuhar serta menubuhkan syarikat di bawah penjenamaan Hidayah Cookies.

Bermula tahun 2004, operasi perniagaannya terus berkembang melalu penerimaan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.

Dana itu digunakan untuk membeli beberapa buah lagi ketuhar, peralatan lain seperti meja dan juga peti dingin beku.

“Bagi memperkembangkan produk makanan ini, saya cuba pula menghasilkan piza dan juga biskut coklat cip,’’ jelasnya.

Beliau memberitahu, biskut tersebut serta dodol merupakan antara produk yang mendapat permintaan tinggi sepanjang tahun.

Malah, dodol yang dihasilkan syarikatnya juga pernah beberapa kali menerima penganugerahan pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) tahun 2008 dan 2009 serta program Hari Selangor Ria.

Penganugerahan tersebut diterima berdasarkan kualiti terbaik kuih dodolnya yang tidak keras, tidak begitu manis, tidak melekat dan tahan lama.

Apa yang menarik, dari segi pembungkusan, syarikatnya telah mendapat bantuan Sirim Berhad untuk mereka bentuk kotak dan label yang menarik.

Untuk mengekalkan kualiti dodolnya, beliau mempunyai petua dan cara tersendiri ketika menyediakan makanan tersebut. Antaranya adalah seperti menggunakan air bertapis serta memasak mengikut langkah yang teratur dan sempurna.

Selain itu, faktor kebersihan dan penggunaan teknologi moden juga memainkan peranan penting ketika proses pembuatan.

Bagi produk biskut coklat cip, ramai pelanggan menggemarinya kerana rasanya yang sedap dan rangup.

Untuk musim perayaan tahun ini sahaja, syarikatnya telah mengeluarkan lebih 40 guni biskut coklat cip dengan setiap satu daripadanya mempunyai berat 25 kilogram (kg).

Beliau turut bercadang untuk menghasilkan beberapa lagi jenis biskut seperti oat, nestum dan badam pada masa hadapan.

Bagi menarik perhatian pelanggan, pihaknya juga ada menyediakan hamper dan menerima tempahan untuk majlis perkahwinan.

Dari segi pemasaran , beliau banyak menyertai kempen promosi pengusaha industri kecil dan sederhana yang dijalankan oleh pelbagai jabatan kerajaan.

Antaranya adalah seperti pasar tani di sekitar Shah Alam, Serdang, Bandar Kinrara dan Putrajaya serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Beliau turut mengambil pendekatan dengan menjual produk-produknya ke sekolah-sekolah di sekitar Selangor, memasuki pasar raya besar terkenal serta menerima tempahan daripada pemborong dari seluruh semenanjung.

Selain Jabatan Pertanian, beliau turut mendapat bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi semasa kewujudannya.

Dalam memastikan perniagaan beliau berjaya dan berjalan lancar, pelbagai cabaran telah beliau ditempuhi seperti pernah ditipu dan bekerja tidak tentu masa.

“Walaupun saya mempunyai 12 orang pekerja untuk membantu menguruskan perniagaan, namun saya tetap perlu turun padang memantau keadaan tempat pemprosesan pada masa-masa tertentu,’’ katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan tersebut, ibu kepada empat orang anak itu mendapat dorongan serta bantuan daripada suami dan juga adik beradiknya.

Untuk perancangan pada masa hadapan, beliau bercadang memperluaskan pasaran produknya ke Sarawak, Sabah, Brunei dan Singapura.

Maklumat mengenai kesemua produk syarikat Hidayah Cookies boleh diperolehi daripada laman blog hidayahcookies.blogspot.com atau hubungi talian 03-33632720.

Kupas kelapa lebih pantas guna mesin

ag_02.1

MESIN kupas kelapa yang bakal memberi banyak kemudahan kepada penanam.



MUSIM perayaan menjadikan suri rumah sibuk memasak juadah, termasuk yang menggunakan kelapa sebagai ramuan. Justeru, penggunaan mesin adalah penting, apatah lagi dalam industri pemprosesan kelapa dalam jumlah yang besar.

Kaedah tradisional mengupas kelapa secara ringkas yang diamalkan oleh petani dengan mengunakan parang, cangkul dan besi pengupas kelapa telah menyekat produktiviti.

Petani dibayar RM50 untuk setiap 1,000 kelapa yang telah dikupas dan RM35 untuk penuaian buah kelapa di ladang.

Jika petani memperoleh buah kelapa dari ladangnya, ia dibayar sebanyak RM240 untuk setiap 1,000 buah kelapa yang belum dikupas.

Oleh sebab masalah yang dihadapi oleh petani dan juga kekurangan buruh untuk mengupas kelapa, maka sebuah mesin baru telah direka bentuk oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengupas kelapa.

Penerangan teknologi / reka cipta

Mesin ini menggunakan enjin berkuasa lima kuasa kuda yang menjana pam hidraulik. Pam tersebut seterusnya akan memindahkan tenaga kepada dua aci bergigi yang mempunyai 33 gigi pada setiap aci.

Kedua-dua aci diletakkan dalam keadaan selari pada kedudukan 45 darjah dari tapak mesin. Kedua-duanya akan berputar dalam keadaan arah yang berlawanan untuk menanggalkan sabut serta mengasingkannya daripada tempurung kelapa.

Kedudukan kerangka telah dibentuk untuk memudahkan kelapa dan sabut diasingkan secara graviti iaitu sabut akan jatuh pada sebelah dalam dan kelapa yang telah ditanggalkan sabutnya akan jatuh pada sebelah luar secara automatik.

Mesin ini boleh dikendalikan oleh seorang operator yang tugasnya adalah untuk memasukkan kelapa ke dalam mesin. Mesin ini dapat mengupas kelapa pada kadar tujuh hingga lapan saat sebiji iaitu bersamaan dengan anggaran 350 biji untuk sejam.

Tahap efektif pengendalian mesin ini ialah 92.5 peratus untuk kelapa tua dan 90 peratus untuk kelapa yang sudah matang (kulit kelapa hijau).

Ciri-ciri unik reka cipta

Mesin ini mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kelebihannya tersendiri, berlainan dengan mesin yang yang telah digunakan di ladang-ladang masa kini.

lSenang dibawa dan dipindahkan ke mana-mana kerana mesin ini tidak menggunakan kuasa elektrik

lKos penyelenggaraan yang rendah dan boleh didapati dari bengkel tempatan

lBoleh dikendalikan secara berterusan

lDilengkapi dengan lengan pemegang keselamatan untuk menghentikan mesin pada masa kecemasan

lDilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk melindungi operator daripada kemalangan.

Kebaikan penggunaan mesin

Mesin ini amat berguna kepada petani, peladang dan kilang memproses kelapa. Ia dapat beroperasi dengan kadar yang lebih cepat dan dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh.

Kesan pada ekonomi

Penggunaan mesin ini dijangka dapat menambahkan pendapatan petani melalui penjualan kelapa kerana petani tidak perlu lagi menanggung kos bagi mengupas kelapa yang sebelum ini dilakukan oleh pihak lain.

Proses pengupasan kelapa boleh dipusatkan di suatu tempat pengumpulan yang dapat menguruskan pengupasan kelapa. Di samping itu, sabut kelapa juga dapat diuruskan dengan lebih cekap dengan cara memprosesnya kepada produk yang berguna.

Potensi komersial

Mesin ini mempunyai potensi bagi kilang memproses kelapa dan pusat pengumpulan bahan kelapa. Mesin ini juga dapat meningkatkan pendapatan petani menerusi penjualan kelapa yang telah dikupas kepada pusat pembelian kelapa. Petani juga tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja untuk mengupas kelapa.

Kek Lapis Zaharah digemari

wb_01.1

Para pekerja menyediakan adunan kek lapis Sarawak. Gambar kanan Zaharah Wasli membuat pelbagai jenis kek lapis sepanjang bulan Ramadan bagi memenuhi permintaan pelanggan di Kampung Gersik, Kuching, Sarawak.



KUCHING 25 Sept. – Oleh kerana minatnya dalam bidang pembuatan kuih, Zaharah Wasli, 56, akhirnya nekad untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya iaitu membuat kek lapis Sarawak bermula sembilan tahun lalu.

Menyedari akan perniagaannya sebelum ini iaitu menjual kuih tradisional Sarawak seperti kuih bongkol, celorot, pulut panggang dan sebagainya bersama suaminya, Mohd. Salleh Yusop, 65, tidak mendatangkan keuntungan seberapa, Zaharah mula memikirkan sesuatu.

Ditambah pula dengan tanggungjawabnya untuk membesarkan 11 orang anaknya ketika itu, Zaharah akhirnya nekad untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya iaitu membuat kek lapis Sarawak.

Secara kebetulan, Jabatan Pertanian Sarawak pada ketika itu ada menganjurkan kursus kepada wanita dari daerah Kuching untuk belajar mengenai cara membuat kek lapis Sarawak di sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini.

Menyedari peluang keemasan itu tidak datang selalu, Zaharah tanpa berfikir panjang terus menghadiri kursus membuat kek lapis itu yang telah mengajarnya cara untuk membuat kek lapis dengan cara yang betul.

Setelah itu, bermulalah kisahnya untuk membuat kek lapis Sarawak secara kecil-kecilan di rumahnya di 149, Lorong 11, Kampung Gersik di sini.

Zaharah berkata, dengan modal sendiri, dia membuat kek lapis secara gotong-royong bersama 11 anaknya di rumah dengan menggunakan jenama Kek Lapis Zaharah.

Katanya, kek lapis buatannya pada mulanya hanya mendapat perhatian dari penduduk Kuching dan Samarahan sebelum hotel terkenal di bandar ini mula tertarik dengan keenakan rasa kek lapis buatannya.

Katanya lagi, pihak hotel berkenaan secara tidak langsung telah mempromosikan keknya kepada para pelancong dan membuatkan perniagaannya semakin baik.

‘‘Alhamdulillah, semakin hari, perniagaan saya semakin maju hingga saya terpaksa mengupah tiga pekerja tetap untuk membuat kek lapis di rumahnya untuk dihantar kepada pelanggan yang kebanyakan dari Semenanjung, Brunei, Singapura dan Wilayah Persekutuan Labuan.

‘‘Malah, dua tahun lepas, oleh kerana sambutan yang menggalakkan, saya mula memberanikan diri membuka kedai kecil di hadapan rumah bagi menerima tempahan dan urusan membuat kek lapis.

‘‘Hinggakan kini, perniagaan kek lapis ini telah menjadi pendapatan utama bagi kami sekeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

wb_01.2


Zaharah memberitahu, buat masa ini, dia membuat 44 jenis kek lapis yang dijual bagi setiap acuan pada harga RM40 dan RM50.

Zaharah menjelaskan, dua minggu sebelum menjelang hari raya baru-baru ini, dia terpaksa menghentikan tempahan dari pelanggannya kerana terpaksa memenuhi sebanyak 1,000 tempahan dari pelanggan tetapnya.

Katanya, dia juga terpaksa mengupah tiga orang pekerja sementara bagi membantunya menyiapkan tempahan tersebut.

Dalam pada itu, Zaharah memberitahu, keistimewaan kek lapis bagi sesetengah peniaga itu dibezakan kepada penggunaan salah satu bahan utama kek lapis iaitu mentega.

Katanya, dia menggunakan mentega dengan jenama Golden Churn bagi mengenakkan adunan kek lapis yang turut diadun dengan telur, gula, kaya, pewarna, susu pekat, coklat cadburry dan milo atau horlick.

Keenakan kek lapisnya itu jelasnya kini telah menarik perhatian pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan guru yang kebanyakannya berasal dari Semenanjung.

‘‘Apa yang membanggakan kami, rumah kami telah mendapat kunjungan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semasa berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Bangunan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

‘‘Namun saya sekeluarga agak sedih kerana tidak berkesempatan untuk bergambar kenang-kenangan dengan Baginda,” katanya.

Sementara itu, Zaharah berkata, sebagai perancangan masa depannya, dia bercadang untuk memindahkan operasi pembuatan kek lapisnya ke sebuah lokasi yang lebih selesa.

Jelasnya, dengan pemindahan itu, ia dapat membantunya menjadikan perniagaannya lebih maju.

Agropolitan ubah Pulau Banggi

wb_01.1

SHAFEI Apdal (kiri) menangkap ikan ketika melawat projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Timbang Dayang, Pulau Banggi, Kudat, Sabah, baru-baru ini.



KUDAT 29 Sept. – Satu masa dahulu tiada apa yang boleh diperkatakan dan dibanggakan apabila ke Pulau Banggi di sini selain melihat kemunduran dan kemiskinan di kawasan pulau di Teluk Marudu itu.

Meskipun berpotensi dan mempunyai pelbagai sumber semula jadi yang tidak ternilai, kehidupan penduduk di pulau itu masih diselubungi kemiskinan malah jauh sekali untuk mengecapi nikmat kemodenan dan kemajuan negara.

Namun projek agropolitan iaitu idea terbaru kerajaan yang diperkenalkan pada 2007 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengubah keseluruhan landskap pulau itu serta kehidupan penduduk di situ.

Tujuan projek itu adalah bagi membandarkan sektor luar bandar menjadi sebuah kota pertanian yang lengkap dengan aktiviti perladangan berskala besar, kompleks perumahan serba moden dan kemudahan infrastruktur yang serba lengkap.

Selepas hampir tiga tahun dirasmikan semua komponen pembangunan utama projek tersebut berjaya dilaksanakan dengan rancak dan terus memberikan kesan awal langsung kepada penduduk di situ.

Projek di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah itu dilihat telah memberi perubahan besar, khususnya dalam aspek peningkatan kegiatan ekonomi, peningkatan pendapatan dan peningkatan kualiti hidup penduduk di pulau itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di pulau berkenaan baru-baru ini mendapati pulau itu kini sedang membangun dengan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah bekalan air dan sebagainya.

Penduduk di pulau terbesar di negara ini itu juga kini boleh menarik nafas lega dengan wujudnya banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mijul Unaini berkata, pelaksanaan program di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) itu amat bererti kerana telah membawa banyak perubahan di pulau tersebut khususnya kepada penduduk pulau.

“Konsep agropolitan ialah membangunkan kawasan terpinggir, mundur dan terpencil secara bersepadu sebagai kota pertanian yang berkembang melalui perkembangan kegiatan pertanian, pemprosesan dan perniagaan yang berasaskan pertanian.

“Jadi sejak program itu dilaksanakan, ia telah memberi satu lembaran baru dan perubahan kepada penduduk pulau. Ia telah dapat membawa banyak nikmat kemajuan ke pulau ini selain memberi banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang dapat meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program yang melibatkan lima komponen utama itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan membantu masyarakat luar bandar kerana melibatkan peruntukan yang besar iaitu kira-kira RM167.36 juta.

“Melalui program itu sebanyak RM78.6 juta dikhaskan kepada komponen prasarana utiliti dan medan infodesa, modal insan (RM1.5 juta), ternakan ikan sangkar (RM11 juta), ladang (RM65.9 juta) dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (RM10.36 juta).

Jelasnya, sejak dilancarkan tiga tahun dulu ia telah berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

Katanya, antara kemajuan pelaksanaan projek itu ialah pembinaan jalan antara Kampung Limbuak ke Kampung Padang sejauh 1.4 kilometer serta dari Kampung Padang ke Kampung Damaran sejauh 1.6 kilometer yang telah siap sepenuhnya.

Selain itu katanya, program jalan luar bandar dari Karakit ke Limbuak sejauh 15 kilometer juga kini telah siap 80 peratus.

Katanya, dalam usaha meningkatkan projek bekalan air di pulau itu pula, sebanyak 36 kilometer paip agihan yang melalui lapan buah kampung termasuk pekan Karakit telah siap dan diserahkan kepada Jabatan Bekalan Air.

Beliau berkata, projek bernilai RM30 juta itu mampu menyediakan air bersih kepada sebahagian besar penduduk di pulau itu.

“Projek bekalan elektrik luar bandar pula telah siap 98 peratus. Projek bernilai RM21 juta yang menggunakan tenaga solar itu akan dapat membekalkan elektrik 24 jam kepada penduduk di pekan Karakit, Kampung Perpaduan, Batu Putih, Singgahmata, Lok Tojo, Batu Layar dan PPMS Batu Layar.

Dalam pada itu katanya, dalam usaha menyediakan kediaman selesa kepada penduduk miskin tegar, sebanyak 100 buah rumah di bawah program PPMS telah siap dan diserahkan kepada peserta.

Bagi Pembangunan estet getah pula katanya, pada masa ini sebanyak 2,700 hektar tanah telah ditanam getah daripada keseluruhan 4,500 hektar tanah bagi penanaman getah di bawah projek itu.

Rohayu usahawan roselle

ke_01.1

Rohayu Ayub (kiri) menjamu tetamu dengan juadah berasaskan roselle.



SAMBUTAN Aidilfitri kali ini bukan sahaja dirayakan dengan penuh kegembiraan kerana menyambut kemenangan mengharungi Ramadan, malah bagi Rohayu Ayub, beliau mahu mengambil kesempatan memajukan lagi perniagaannya.

Rohayu, 38, Pengarah Sabdariffa Enterprise, memberitahu, syarikatnya antara syarikat tempatan berasaskan roselle yang jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

Namun usahanya menceburi bidang tersebut sejak 2005 semakin menampakkan kejayaan.

Beliau pada mulanya merupakan seorang tukang jahit. Kerana minatnya itu, dia hampir terlupa untuk meneroka bidang-bidang lain sehinggalah diperkenalkan dengan tanaman tersebut oleh seorang rakan.

“Saya terpikat dengan khasiat roselle,” katanya mengukir senyum apabila ditemui di kilangnya di Desa Melor, Serendah, Selangor, baru-baru ini.

Beliau ketika itu sedang sibuk melayani tetamu yang bertandang dan menghidangkan makanan serta minuman berasaskan roselle.

Menghimbau semula liku-liku penglibatannya dalam industri tersebut, Rohayu menceritakan, beliau membuat pinjaman Mara sebanyak RM10,000 untuk memulakan perusahaannya serta mengikuti kursus asas keusahawanan.

Beliau memulakannya dengan menghasilkan produk pada Ogos 2005 selepas menjalankan kajian sendiri selama tiga bulan.

Rohayu bertuah kerana nasib sentiasa menyebelahinya meskipun cabaran datang menguji kesabaran.

Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) banyak membantu beliau.

Beliau bekerjasama dengan FAMA untuk program perladangan kontrak yang mana penanam roselle akan menjual hasil tanaman kepada agensi tersebut yang kemudian dibeli oleh beliau.

Syarikatnya memerlukan antara satu dan 1.3 tan bahan mentah sebulan untuk menghasilkan pelbagai produk.

Bersama MARDI, Rohayu menggunakan teknologi makanan yang dibangunkan agensi tersebut terutama hal berkaitan penghasilan makanan yang menggunakan bahan pengawet.

Beliau pada mulanya hanya menghasilkan produk roselle dengan membuat halwa yang dipelajari daripada ibu mertuanya sebelum menghasilkan banyak produk lain antaranya kategori minuman seperti pati roselle, jus sedia diminum.

Bagi kategori makanan, Rohayu berjaya menghasilkan halwa yang digunakan sebagai bahan tambahan dalam ramuan membuat kek, muffin dan biskut manis (cookies).

Selain itu, beliau juga menghasilkan roselle kering untuk dijadikan serbuk.

Beliau juga merancang mengeluarkan produk baru iaitu kordial dalam bentuk paket. Dengan tiga kakitangan, Rohayu boleh berbangga dengan pencapaiannya ketika ini tetapi beliau mengucapkan penghargaan kepada agensi kerajaan yang membantunya.

“Satu ketika apabila krisis bekalan gula melanda, saya tidak dapat mengeluarkan produk dan terpaksa menghentikan operasi,” katanya berkongsi pengalaman pahit satu ketika dulu.

Ketika masalah sama berulang baru-baru ini, beliau mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang membantunya supaya bekalan gula tidak terputus.

“Saya meminta mana-mana usahawan supaya tidak selalu mempercayai dakwaan kononnya agensi atau jabatan kerajaan sukar menghulurkan bantuan,” ujarnya.

Sebagai contoh, selain agensi-agensi terbabit, Rohayu mendapat bimbingan daripada FAMA, SMI Corp (dulu Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana -SMIDEC), Majlis Pembangunan Ekonomi Belia dan menerima pinjaman peralatan kilang berjumlah RM20,000.

Beliau pada masa sama mendapat bantuan hasil usaha seorang pelangannya Shuhaila Saidon yang memperkenalkan konsep hamper barangan berasaskan roselle untuk ditempah.

Hamper tersebut mengandungi halwa, teh, cookies, kordial dan pelbagai biskut mengunakan roselle seperti suji, almond london, biskut kelapa dan biskut irfan dan tart .

Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 019-6964038 atau 012-2661812 pada harga antara RM18 dan RM150 bergantung kepada kuantiti dan jenis barangan.

Mengenai harapannya pada masa akan datang, Rohayu memberitahu beliau bercita-cita untuk mengeksport produk yang dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang tetapi buat masa ini masih banyak perlu dilakukan ke arah itu.

Ketika ini beliau sedang mempromosi Planet Roselle sebagai jenama produk keluaran syarikatnya.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 019-622 4566 atau 012-3157930 atau e-mel : sabdariffa2005@yahoo.com.my

Penanam roselle intai kejayaan

ag_02.1

Abdul Kadir Abdul Halim menunjukkan cara-cara memetik buah roselle (kiri) dan anak pokok sebelum dipindahkan ke tapak penanaman (kanan) di ladangnya di Kundang, Selangor.



MUNGKIN terlalu awal untuk menjangka keputusannya untuk menceburkan diri dalam pertanian, khususnya penanaman roselle menjanjikan kejayaan.

Namun bagi anak muda berasal dari Kuala Perlis ini, sejumlah 2, 000 pokok roselle yang ditanam di kawasan seluas 0.8 hektar bagaikan menjanjikan harapan baru kepadanya.

Abdul Kadir Abdul Halim, 38, menerusi syarikatnya Impian Serasi mahu membuktikan bahawa tapak penanaman roselle di Kundang, Serendah, Selangor itu bakal sebagai titik tolak kepada usahanya mencebur bidang pertanian.

Menurut Abdul Kadir, Jabatan Pertanian pada mulanya memberikan dia pilihan sama ada mahu menanam roselle, bunga kantan, limau nipis atau ulam tetapi roselle dipilih.

Berbekalkan modal sebanyak RM30,000 dan tanah yang disewa itu, menuntut beliau memerah keringat dan memaksa tulang empat keratnya dikerah bagi membuktikan minatnya boleh membawa keuntungan berbaloi.

Abdul Kadir memilih kawasan tersebut kerana ia sesuai dengan tanaman roselle yang memerlukan tanah berpasir.

”Saya menjangka lapan tan buah roselle dapat dihasilkan daripada 2,000 pokok yang ditanam ini,” katanya semasa ditemui di ladangnya yang baru berusia setahun jagung itu.

Beliau menganggarkan satu pokok mampu menghasilkan empat kilogram (kg) buah roselle yang boleh dipetik selepas tiga bulan ditanam.

Empat pekerja membantunya melakukan kerja-kerja termasuk menyiram dan memetik hasil.

”Bagi roselle, air amat penting,” ujarnya sambil menambah kawasan di tepi tasik itu banyak membantunya.

Pokok roselle, katanya, mampu mengeluarkan hasil tanpa putus selama enam bulan selepas ditanam dan rosak selepas dua tahun.

Ketika ini, beliau mampu mengeluarkan 100 kilogram buah roselle yang dijual kepada Sabdariffa Enterprise, salah sebuah syarikat yang mengeluarkan banyak produk roselle.

Syarikat terbabit membeli antara 50 dan 100 kg buah telah diproses atau dibuang biji pada harga RM3.50.

Dengan sokongan kerajaan, Abdul Kadir bernasib baik kerana tanaman roselle disenaraikan dalam Kumpulan Produk baru dan Industri Masa Hadapan dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).