asmaini@nstp.com.my
KEBANYAKAN remaja takut untuk mencuba mengenakan pembayang mata rona terang seperti biru atau hijau kerana bimbang wajah kelihatan lebih dewasa daripada usia sebenar.
Menurut jurusolek berpengalaman, Cindy Hoi, remaja perlu berani mencuba solekan mata menggunakan warna terang kerana selain tampak lebih segar, ia juga menyerlahkan gaya ranggi.
Kelopak mata yang dihias dengan rona terang seperti biru atau hijau mampu membantu menyerlahkan gaya yang lebih segar dan bertenaga.
Katanya, ramai remaja mempunyai keinginan untuk mencuba solekan berkenaan tetapi mereka tidak mengetahui teknik merias yang betul. Kebanyakan remaja hanya menyapu sejenis pembayang mata saja tanpa menggabungkan dengan rona lain.
“Gabungan dua atau lebih rona pembayang mata sebenarnya dapat memberikan hasil solekan yang lebih menarik. “Antara pembayang mata berwarna terang yang boleh menyerlahkan keanggunan remaja ialah biru, hijau, ungu dan merah jambu. “Jika takut solekan tampak tebal, anda boleh merias wajah dengan solekan yang lembut,” katanya.
Jelas Cindy, sebelum menyapu pembayang mata, pastikan anda melakukan solekan asas seperti menyapu pelembap, krim asas, bedak tabur dan bedak asas.
Menerusi solekan asas, solekan di bahagian mata akan nampak sempurna dan kemas.
“Selepas selesai solekan asas, barulah ke peringkat mewarnakan kelopak mata.
“Sekiranya warna biru menjadi pilihan, sapukan pembayang mata di sekitar kelopak mata dan jika anda ingin kelihatan lebih menarik, gunakan pembayang mata biru yang berkilat,” katanya.
Kepada remaja, jangan beranggapan warna pembayang mata sentiasa perlu sedondon dengan warna busana.
Katanya, busana rona putih boleh disesuaikan dengan pelbagai warna tetapi jika memakai pakaian merah, jangan sesekali mengenakan pembayang mata senada kerana ia pasti kelihatan pelik dan menakutkan.
“Bukan itu saja, sekiranya remaja inginkan solekan yang lebih urban, anda boleh menggabungkan dua warna pembayang mata yang sesuai.
“Contohnya, merah jambu bersama ungu atau hijau muda bersama hijau tua.
“Pembayang mata berwarna hijau juga mampu menyerlahkan solekan. Ia juga sesuai digayakan oleh wanita yang berkulit gelap dan cerah,” katanya.
Pesan Cindy, bagi remaja yang ingin kelihatan manis dan menawan, pastikan anda membeli alat solek yang bermutu dan berkualiti seperti Maybelline. Ini kerana alat solek yang tidak berjenama tidak mampu bertahan dan kekal pada wajah. Bukan itu saja, ia juga dipercayai mendatangkan kesan buruk terhadap kulit wajah.
Ikuti langkah demi langkah solekan untuk remaja daripada Cindy dan model, Nor Adila Amil menggunakan produk Maybelline.
1) SEBELUM…wajah sebelum solekan.
2) ASAS SOLEKAN…bedak asas jenis cecair paling sesuai dan ia hendaklah disapu sedikit demi sedikit.
3) SEMPURNA…penyamar cela mampu menghilangkan kawasan hitam di bawah mata.
4,5) LEBIH MENARIK…gabungan dua atau lebih rona pembayang mata sebenarnya dapat memberikan hasil solekan yang lebih menarik.
6) GALAK…bentuk garisan di atas mata untuk menyerlahkan lagi solekan.
7) KEMAS…bentuk kening mengikut kesesuaian wajah supaya tampak lebih kemas dan menarik.
8) LEBAT…maskara turut memainkan peranan penting untuk mendapatkan solekan mata yang menawan.
9) LEBIH BESAR…penggaris mata untuk membentuk mata supaya tampak lebih besar dan galak.
10) PENAIK SERI…sapukan pemerah pipi daripada rona lembut yang tidak keterlaluan.
11) OLESKAN…gincu bibir dengan rona yang sesuai dan tidak terlalu kontra daripada solekan dan pakaian yang akan digayakan.