Archive for August, 2011

 

Ismail Mohamed (tengah) dan Zambry Abdullah (kiri) bersama pengusaha tanaman jagung Taiwan 18 yang berkualiti tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka di Kampung Temin, Sungai Siput, semalam.

 

SUNGAI SIPUT 1 Ogos – Sungai Siput berpotensi untuk tanaman jagung kerana selain mempunyai kesuburan tanah yang sesuai untuk komoditi berkenaan, kawasan ini juga terdapat banyak aliran sungai untuk tujuan perairan.

Kawasan ini juga didapati sesuai untuk jenis Taiwan 18, yang kini mendapat permintaan tinggi dan boleh mendatangkan pulangan yang baik.

Seorang pesara kerajaan, Ismail Mohamed, 59 berkata, melalui penanaman jagung jenis Taiwan 18 ia mampu menghasilkan pendapatan sehingga RM15,000 hanya dalam tempoh 45 hari.

Beliau berkata, dengan mengusahakan kira-kira empat hektar tanaman jagung Taiwan 18 ia mampu memberikan pendapatan terbaik dengan syarat ia perlu dilakukan dengan menggunakan teknologi pertanian moden.

Katanya, dengan keluasan itu ia mampu menghasilkan kira-kira empat lori tongkol jagung bagi satu-satu musim dan sehingga kini beliau mengusahakan sebanyak enam musim jagung Taiwan 18 dengan modal sendiri.

‘‘Setiap pokok akan mengeluarkan sebanyak dua tongkol jagung yang baik dan ia kini mendapat permintaan dari luar khususnya dari pemborong.

‘‘Kini setiap tongkol jagung boleh dijual dari ladang mengikut gred tertinggi dengan harga antara 60 sen hingga 80 sen setongkol dan ia semakin mendapat permintaan khususnya di Cameron Highlands.

‘‘Selain itu pokok jagung yang sudah dituai itu juga boleh dijual untuk makanan ternakan,” katanya.

Selain jualan segar, jagung akan menjadi bahan mentah untuk projek industri hiliran seperti makanan dan minuman. Pada masa yang sama, batang jagung pula boleh dikitar atau diproses bagi menghasilkan silage untuk makanan ternakan.

Silage adalah makanan ternakan terutama lembu yang dihasilkan menerusi proses kitar semula pokok jagung lepas tuai, di mana proses itu mengambil masa 21 hari, sementara silage boleh disimpan sehingga 12 bulan.

Berasaskan teknologi moden, setiap 0.4 hektar boleh memuatkan 15,000 pokok jagung semusim dan ia boleh dipetik dalam tempoh 45 hingga 50 hari.

Ismail berkata, beliau menggunakan hampir 20 kilogram benih jagung untuk tanaman seluas empat hektar itu.

Katanya, benih-benih tersebut boleh didapati di pasaran dengan harga yang begitu berpatutan.

‘‘Saya dapati margin keuntungan bagi tanaman jagung ini ialah sebanyak 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Ketika ditanya tentang jumlah dimodal yang diperlukan bagi tanaman jagung seluas empat hektar, beliau berkata, beliau membelanjakan hampir RM30,000 untuk membeli peralatan tanaman seperti jentera dan rumah penyedut air, paip dan input-input pertanian.

‘‘Saya bernasib baik kerana berhampiran dengan ladang jagung ini terdapat aliran sungai yang cantik untuk memudahkan menjalankan pengairan terutama pada musim panas.

‘‘Di samping itu, saya banyak menggunakan baja asli berasaskan tahi kambing yang sesuai untuk tanaman ini di samping kosnya yang agak murah,” katanya.

Ismail bagaimanapun berkata, apa yang menjadi masalah kepadanya sekarang ialah

kenaikan harga yang tinggi input lain seperti baja pertanian dan racun yang amat diperlukan untuk pembesaran dan ketahanan pokok.

‘‘Oleh itu, saya merayu kepada kerajaan khususnya Jabatan Pertanian untuk memberikan subsidi baja kepada pengusaha jagung sepertinya kerana ia dapat mengurangkan kos penanaman,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Zambry Abdullah merayu kepada kerajaan supaya memberikan baja subsidi kepada pengusaha tanaman jagung.

‘‘Ini membolehkan mereka menikmati kos pertanian yang berpatutan,” katanya.

Update me when site is updated


 

 

MASIH ingat pengalaman menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah ketika kecil dulu? Dengan tanah sekangkang kera, kita membuat batas-batas kecil untuk disemai benih cili, timun, sawi dan pelbagai lagi.

Pelbagai petua biasa menjadi amalan untuk menyuburkan tanaman seperti menjirus dengan air basuhan ikan, air basuhan beras dan sebagainya. Racun juga tidak digunakan untuk membunuh serangga perosak. Hasilnya, walaupun sayuran tidak seberapa, tapi kita tetap berpuas hati kerana penat lelah telah berbayar.

Pasti rasa dan saiznya tidak sama seperti sayur yang kita beli di pasar. Masyarakat sering tertipu dengan berpendapat sayur yang cantik itu baik dan penuh khasiat. Hakikatnya, sayur sebegini sebenarnya ‘kaya’ dengan baja penyubur sintetik. Penanamnya juga menggunakan racun yang bukan saja memberi kesan tidak baik kepada tubuh dalam jangka waktu yang panjang, malah menjejaskan alam sekitar.

Pengamal makanan organik, Wong Kai Yuen, berkata, sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanam sendiri sebenarnya mengandungi nutrien yang lebih baik dan bermanfaat berbanding yang dibeli di pasar.

Menurutnya, sayuran perladangan konvensional tidak mempunyai mikronutrien yang lengkap kerana prosesnya yang dipercepatkan berbanding ditanam secara semula jadi.

“Ramai yang mengetahui manfaat makanan organik namun menganggap ia mahal untuk dibeli di pasaran. Mengapa kita tidak menanam sendiri sahaja kerana hasilnya juga boleh dikelaskan sebagai organik,” kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, makanan organik adalah makanan yang mana penghasilannya tidak melibatkan penggunaan sintetik moden seperti racun perosak sintetik dan baja kimia. Selain itu makanan organik juga tidak diproses menggunakan pendekatan sintetik seperti pelarut industri, penyinaran (irradiation) dan juga bahan tambahan kimia.

Beliau yang mengusahakan kedai dan kafe organik Ecogreen berkata, sebenarnya bidang pertanian suatu ketika dulu boleh dikatakan organik sehinggalah revolusi hijau berlaku awal abad ke-20.

“Disebabkan permintaan makanan yang tinggi, baja kimia sintetik diperkenalkan bagi meningkat hasil pertanian dalam usaha menampung industri pertanian yang mencanak ketika itu,” kata bekas Jurutera Kimia itu lagi.

Penggunaan bahan-bahan itu, katanya, bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka panjang, malah ia turut menjejaskan alam sekitar.

Begitu juga dengan penternakan cara organik. Haiwan ternakan yang dibela secara organik diberi makan juga dari sumber organik, diternak bebas dalam ladang yang luas dan tidak disuntik hormon tumbesaran. Oleh itu, daging haiwan ternakan organik sudah tentu jauh lebih baik daripada penternakan konvensional yang sangat memberi kesan terhadap kesihatan tubuh badan.

Prinsip organik

Menurut Kai Yuen, prinsip penanaman dan penternakan organik berasaskan kepada empat perkara iaitu kesihatan, ekologi, keseimbangan dan keadilan

Dari segi kesihatan, perladangan organik tidak menjejaskan tanah, tumbuhan, haiwan, manusia dan bumi secara keseluruhan.

Beliau menjelaskan bahawa kesihatan individu dan komuniti tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan ekosistem.

“Mudah sahaja, kita percaya bahawa tanah yang sihat akan menghasilkan tumbuhan yang sihat dan seterusnya menentukan kesihatan kita yang menikmatinya,” kata beliau.

Penanaman organik, katanya, menyasarkan untuk menghasilkan makanan yang lebih berkualiti, mengekalkan nutrisi yang menyumbang kepada penjagaan kesihatan menyeluruh dan mengelakkan penyakit.

Menurut beliau, pengunaan baja kimia menyebabkan nutrien yang terkandung di dalam sesuatu tanaman menjadi tidak lengkap.

“Daripada kajian yang pernah dijalankan, tumbuhan menggunakan baja kimia dikesan mengandungi banyak boron yang sebenarnya boleh mengundang kanser untuk tempoh yang panjang,” kata beliau.

Menurutnya lagi, makanan organik memerlukan pertanian cara semula jadi yang bebas bahan sintetik dan berkonsep holistik menggunakan pendekatan keseimbangan ekologi.

“Penanaman organik tidak menggunakan racun perosak sintetik yang boleh merosakkan tanah sekali gus mencemarkan air dan kawasan setempat,” katanya.

Racun itu jelasnya, akan mengalir ke sungai berdekatan seterusnya menyebabkan oksigen dalam sungai berkurangan dan menjejaskan kehidupan akuatik.

“Kerana itu kita melihat banyak tumbuhan dalam air seperti alga dan kiambang yang menyebabkan hidupan lain terancam,” katanya.

Selain itu, ladang organik juga kurang menggunakan tenaga elektrik dan kurang sisa buangan sebagai contoh penggunaan bahan pembungkusan dan kimia.

Walaupun harganya lebih mahal daripada biasa, menikmati makanan organik jauh lebih selamat daripada makanan yang ditanam secara konvensional.

Bukan setakat untuk kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar, penanaman organik memberi keadilan kepada semua pihak, peladang, pekerja, pemproses, pengedar, pedagang dan pengguna.

Penanaman jenis ini memberi peluang kepada semua menjalani hidup yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada penerusan penghasilan makan dan mengurangkan kemiskinan.

“Jika semua orang mula mengamalkan organik dengan cara menanam sendiri sayur dan buah, ia mengurangkan kebergantungan kepada perladangan konvensional. Melalui cara itu kita mampu berjimat secara tidak langsung dan juga mengawal harga barangan,” katanya.

Aishah pilih organik dan mesra alam

BERGELAR ibu menjadikan pengacara jelita Aishah Jennifer Mohamed Sinclair begitu teliti dengan pengambilan makanan seharian. Dia ingin memastikan hanya yang terbaik untuk bayinya yang bakal mencecah usia setahun, Soraya Ann.

Justeru sebolehnya dia cuba mendapatkan makanan dari sumber organik dan semula jadi.

“Walaupun Aishah belum sepenuhnya menggunakan produk organik, namun kini agak memilih menyentuh soal pemakanan kerana ingin memberi yang terbaik buat si kecil,” kata personaliti kacukan British dan Melayu ini.

Aishah yakin dengan manfaat makanan organik yang berupaya menjadi permulaan terbaik buat si kecil. Menurutnya, walaupun kesan tidak dirasai serta-merta, namun dia tetap yakin kerana telah membuat keputusan yang betul.

Seandainya tiada pilihan organik, Aishah akan memilih sumber semula jadi atau free range kerana tidak gemar kepada produk yang mengandungi bahan kimia sintetik.

“Pastinya sesiapa sahaja akan memilih bahan yang mempunyai kesan negatif paling sedikit walaupun ia untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Bagi Aishah yang kini masih menyusukan Soraya, dia memilih memakan daging ayam kampung, tauhu dan meminum air kacang soya berasaskan organik untuk mendapatkan sumber protein.

Dia masih menikmati beras putih seperti biasa, namun pengambilannya diselang seli dengan pasta organik dan juga roti gandum penuh organik. Selain yakin dengan kandungan nutrien yang terdapat di dalamnya, sebagai seorang pencinta alam sekitar, Aishah merasakan menikmati makanan sumber konvensional hanya menyumbangkan kepada pencemaran.

“Dengan mengamalkan organik, saya membantu menyokong peladang tempatan dan sekali gus tidak mencemarkan alam sekitar,” kata beliau yang turut dilantik sebagai Earth Keeper bagi jenama pakaian lasak, Timberland ini.

Sejajar dengan minatnya dalam memelihara alam sekitar, Aishah percaya makanan berasaskan organik membantu persekitaran yang lebih sihat.

Bercerita mengenai penglibatannya sebagai Earth Keeper, wanita berusia 30 tahun ini menjayakan pelbagai program dalam usaha menghijaukan bumi.

Paling mengujakan, dia akan berlepas ke China tidak lama lagi bagi kempen penanaman pokok di kawasan Horqin, Inner Mongolia.

Mengenali Aishah, sememangnya dia seorang yang mengambil berat mengenai alam sekitar. Empat tong sampah di rumah membuktikan usahanya ke arah itu

“Kita patut asingkan sampah mengikut kelasnya. Memang ia agak rumit kerana selain mengasing, kita juga perlu menghantar ke pusat kitar semula yang pastinya jauh dari kediaman sendiri. Namun begitu, fikirkan kesannya untuk anak cucu kita yang mewarisi bumi ini nanti,” kata Aishah.

Dalam pada itu, dia juga berhasrat untuk memiliki kebun organik sendiri dan tidak sabar untuk mendedahkan si kecilnya dengan alam semula jadi.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF
Terima kasih Ecogreen Organic Shop & Restaurant, 125, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail, KL. Tel: 03-77258388

Update me when site is updated

 

Kini Rizal boleh berbangga dengan kejayaan kedua-dua ibu bapanya dalam membangunkan RJ Sepang.

 

BERMULA hanya dengan modal RM20, pada tahun 1989 Mokinah Sirat, 63, membeli barangan keperluan untuk menjual kerepek ubi dan pisang.

“Semuanya kerana kepayahan hidup dan sebagai suri rumah, saya terpanggil untuk meringankan beban suami menyara keluarga,” katanya .

Dia ditemui pada semasa lawatan rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke kilang RJ Sepang Sdn. Bhd. di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Pada peringkat permulaan, Mokinah hanya menjual kerepek di gerai bawah pokok manakala suaminya Jamaludin Singah, 63, membawa kerepek ke pejabat, kedai runcit dan sekolah sekitar Sepang.

Keenakan kerepek buatan Mokinah memikat ramai pelanggan sehingga ke pengetahuan pihak FAMA.

“Dua kali pegawai FAMA datang berkunjung ke rumah tetapi saya sembunyi di rumah jiran kerana bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya menyingkap kembali kenangan bagaimana Mokinah mula mengkomersialkan kerepek ubinya dengan bantuan FAMA.

Akhirnya dia terpaksa juga bertemu pegawai FAMA tersebut yang datang ke rumahnya secara mengejut buat kali ketiga.

Setelah mendapat pengesahan bahawa FAMA berminat membantunya mendapatkan tapak pasar tani berhampiran, dia menarik nafas lega. Pertemuan itu sebenarnya telah membuka lembaran baru dalam usahanya menjual kerepek.

Pengalaman berniaga di pasar tani menjadikan Mokinah semakin matang dalam bidang pemasaran dan bagaimana untuk berhadapan dengan pelanggan.

“Di pasar tani, saya bukan saja berniaga tetapi juga belajar menangani kerenah pelanggan dan menguruskan akaun.

“Malah menjelang musim perayaan dan cuti sekolah saya mendapat tempahan yang banyak berbanding hari biasa,” katanya.

Dengan bantuan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain FAMA yang menyediakan tapak pasar tani, Mokinah menerima pelbagai bentuk bantuan.

Jabatan Pertanian dan FAMA memberikan geran bagi peralatan seperti kawah untuk menggoreng kerepek bagi menggantikan kuali yang digunakan sebelum ini.

Ditanya bagaimana dia berjaya memikat hati pelanggan dengan pelbagai jenis kerepek keluarannya, Mokinah berkata, kualiti menjadi keutamaannya.

“Kami hanya menggunakan ubi kayu yang bermutu. Lagi satu kami juga memastikan minyak masak yang digunakan untuk menggoreng berkualiti.

“Saya akan memastikan kerepek ubi yang dihasilkan menepati cita rasa pengguna,” katanya.

Mengenai penglibatan anak-anaknya dalam dunia perniagaan, Mokinah berkata, daripada lima orang anaknya, empat orang mengikut jejaknya dalam perniagaan.

“Sekarang RJ Sepang diuruskan oleh anak bongsu saya Rizal Jamaludin. Kini saya hanya memantau mengenai kualiti kerepek ,” katanya.

Dengan kejayaan yang dicapai setakat ini, dia boleh berbangga kerana semuanya bermula dengan kepayahan.

Malah dengan kurniaan rezeki yang semakin melimpah-ruah semua 13 orang pekerjanya disediakan tempat tinggal dan makanan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.

Update me when site is updated

Terdapat banyak cara penanaman sawi termasuk menggunakan teknologi pertanian terkini menggunakan pasu.

 

Sawi atau nama saintifiknya Brassica sp. berasal dari keluarga Brassicaceae. Terdapat beberapa jenis sawi yang mudah ditanam di Malaysia. Antaranya sawi hijau atau choy sum (B.parachinensis), sawi putih atau pak choy (B.chinensis var. pekinensis Cruciferae), sawi mini atau bok choy (B.rapa chinensis), sawi bunga (B. rapa Cruciferae) dan sawi ropol.

Sawi diketahui mengandungi banyak vitamin A,B,C,E,K, karbohidrat, protein, kalsium, kalium, zat besi dan magnesium.

Ia juga sangat kaya dengan serat yang boleh membantu proses pencernaan.

Banyak juga penyakit yang boleh dihindarkan dengan mengamalkan makan sawi antaranya anemia, mengurangkan risiko penyakit barah, mengurangkan kadar kolestrol dalam darah dan mempercepatkan pembekuan darah semasa luka.

Penanaman

* Sawi sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah dengan kelembapan yang sederhana.

* Suhu yang paling sesuai antara 25 dan 35ºC.

* Keadaan yang terlalu lembap atau kekerapan hujan yang tinggi boleh menjejaskan kualiti daun sawi.

* Batas yang disyorkan berukuran satu meter lebar dan panjang bergantung pada luas kawasan.

* Batas digembur dan ditambah dengan kompos dan baja organik. Rapikan tanah sebelum menanam.

* Tanam sawi dengan biji benih sama ada ditanam terus atau disemai terlebih dahulu.

* Jika ditanam terus, tabur biji benih di atas batas selepas dicampur dengan pasir. Buat penjarangan selepas 10 hingga 14 hari ditanam.

* Bagi kaedah semaian, biji benih disemai dan disimpan di dalam rumah semaian selama lapan hingga 10 hari. Kemudian anak pokok boleh dipindahkan di atas batas.

* Selepas memindahkan anak benih, letak sungkupan (plastik silver shine, daun kering, jerami padi) di bahagian batas yang terdedah bertujuan mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pengairan

* Air adalah sumber yang terpenting untuk tanaman selain cahaya matahari, karbon dioksida dan baja.

* Sawi perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan menggunakan air bebas klorin. Kekurangan air boleh membantutkan pertumbuhan tanaman.

* Pengairan boleh dilakukan sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis bergantung pada kemampuan pengusaha.

Pembajaan

* Baja organik telah disediakan di peringkat awal semasa penyediaan tanah. Itu memadai bagi pertumbuhan awal anak pokok.

* Selepas dua minggu, baja organik diberikan sekali lagi dengan anggaran antara 40 dan 50g per pokok.

* Sebelum membaja, tanah di sekeliling pokok digembur untuk meningkatkan pengudaraan akar tanaman.

* Baja ditabur di keliling pokok tetapi jauh dari batang pokok. Tutup baja dengan sungkupan.

Kawalan rumpai

* Batas tanaman perlu sentiasa dibersihkan daripada rumpai sekurang-kurangnya seminggu sekali.

* Rumpai yang tumbuh di atas batas dibuang secara manual, manakala rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dipotong dengan mesin pemotong rumput atau sabit.

* Ada juga sesetengah petani menggunakan alat membakar rumpai. Kaedah ini bukan sahaja berkesan mematikan rumpai dan biji benihnya, ia juga boleh membunuh telur serangga perosak yang bersembunyi di dalam tanah/batas.

Perosak dan penyakit

* Antara penyakit yang biasa menyerang sawi ialah reput daun, bintik daun dan reput lembut.

* Ulat ratus, ulat pangkas dan kumbang lenting adalah antara perosak yang mudah ditemui pada pokok sawi.

n Racun organik campuran cili padi, bawang putih, pudina, serai wangi, daun kesum dan beberapa repellent yang lain boleh membantu mengurangkan serangan perosak dan penyakit sawi.

* Tanaman bergilir juga disyorkan sebagai kawalan.

Penuaian

* Sawi boleh mula dituai selepas 27 hingga 30 hari ditanam.

* Cara menuai sawi adalah dengan memotong bahagian pangkal paling hampir dengan tanah. Akar dibiarkan reput di batas.

* Cuci kotoran tanah yang melekat pada sawi dengan air bersih.

* Rendam sawi di dalam air sejuk bersuhu 5ºC untuk proses prapenyejukan selama antara lima dan 10 minit. Ia untuk mengekalkan kualiti sawi dalam tempoh yang lebih lama.

* Bungkus menggunakan plastik lutsinar yang berlubang untuk pengudaraan sawi.

* Jika disimpan dalam suhu 10ºC, ia boleh tahan selama seminggu.

Update me when site is updated

SHABUDIN yahya (kanan) bersiap-sedia melepaskan benih udang galah di Kampung Labuh Banting Sungai Kulim, Tasek Gelugor, baru-baru ini.

 

TASEK GELUGOR 7 Ogos – Kira-kira 40 nelayan di Kampung Labuh Banting di sini menerima bantuan 20,000 benih udang galah daripada Jabatan Pertanian Negeri.

Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Mohd. Rafi Hasan berkata, bantuan tersebut diberikan untuk membantu para nelayan terbabit yang terlalu bergantung kepada hasil tangkapan sungai sebagai mata pencarian.

Menurutnya, sumber yang semakin berkurangan akibat pencemaran sungai menyebabkan kehidupan nelayan semakin terhimpit.

“Nelayan ini perlu dibantu kerana kehidupan mereka banyak bergantung kepada hasil tangkapan ikan dan udang sahaja sebagai mata pencarian harian.

“Kita harap selepas ini, semua nelayan sungai di sini mendapat manfaat daripada usaha sebegini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelepasan benih udang galah di Sungai Kulim di sini yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahya baru-baru ini.

Program berkenaan merupakan yang pertama kali dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Negeri.

Mohd. Rafi memberitahu, nelayan terbabit akan menerima hasil selepas empat bulan nanti apabila kesemua udang galah tersebut membesar dan boleh dijual.

Jelasnya, penternakan udang galah mampu memberikan pulangan lumayan berikutan harga pasaran yang tinggi iaitu RM45 sekilogram.

Update me when site is updated

Salleh Mahmud memeriksa cendawan yang diusahakannya di Kampung Sungai Bagan Laut Rengit, Batu Pahat, baru-baru ini.

 

BATU PAHAT 11 Ogos – Mahu keluar daripada belenggu kemiskinan menjadikan dia seorang yang tabah dan rajin berusaha untuk memajukan diri dan memperbaiki taraf hidup keluarga.

Salleh Mahmud, 54, dari Kampung Sungai Bagan Laut Rengit, mula berusaha menanam cendawan kerana minat, tambahan pula ia tidak memerlukan modal besar selain mendapat permintaan tinggi.

Bermula dengan modal RM500, dia mula menanam cendawan di hadapan rumahnya tiga tahun lalu dengan mendirikan sebuah bangsal kecil, tetapi usaha itu gagal menghasilkan cendawan yang baik kerana tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan mengenai kaedah penanamannya.

Namun, kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya, malah kerugian dialami dijadikan pendorong untuk terus berusaha menjadi pengusaha cendawan yang berjaya.

“Saya terlalu minat dengan penanaman cendawan. Jadi, saya tak pernah rasa kecewa dan putus asa dan terus berusaha supaya tidak gagal lagi,” katanya dengan penuh semangat.

Dia kemudiannya disyorkan oleh seorang kenalan untuk mengikuti kursus penanaman cendawan di bawah seliaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Bermula dari situ, dia mula mendapat cara yang betul untuk menanam cendawan dan susun atur tanaman itu kemudiannya diusahakan dengan penuh dedikasi.

Kini Salleh mampu tersenyum dan berasa bangga dengan hasil usahanya selama ini membuahkan hasil serta mendapat pulangan baik apabila cendawan keluarannya mendapat permintaan memberangsangkan.

Dibantu dua anaknya, Nur Muhammad, 27, dan Mohd. Nasiruddin, 23, kini dia berjaya menghasilkan cendawan tiram berkualiti dan mendapat pasaran yang baik di negeri ini.

Perusahaan tersebut turut mendapat bantuan daripada MARDI yang sentiasa memantau projek tanaman cendawannya di bawah program Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kini antara pembekal cendawan terbesar di negeri ini.

Salleh memberitahu, kursus seliaan MARDI menjadikannya seorang penanam cendawan yang berjaya dan menerima pelbagai bantuan.

Berkat usaha gigihnya, dia kini mempunyai sebuah bangsal cendawan yang memuatkan 12,000 beg cendawan berukuran 20 x 40 kaki, makmal benih, bilik suntik dan ruang operasi untuk membuat bongkah cendawan dan ruang pengeluaran.

“Saya berhasrat menambah tiga lagi rumah cendawan bagi menambah pengeluaran kerana pada masa ini hasil yang ada tidak dapat memenuhi permintaan,” katanya.

Setelah setahun serius mengusahakan tanaman cendawan, dia mampu mengeluarkan antara 10 hingga 15 kilogram cendawan sehari untuk dipasarkan di seluruh negeri dan kebanyakan cendawannya telah ditempah lebih awal oleh peraih.

Update me when site is updated

Ideris Zainudin menunjukkan dodol yang diusahakannya secara komersial di Melaka baru-baru ini.

 

ASALNYA Ideris Zainudin menjaja ais kacang di sekitar Padang Pahlawan di Bandar Hilir, Melaka.

Memang sikapnya suka bertanya terutama tentang perniagaan menyebabkan dia mempunyai maklumat secukupnya untuk memulakan satu perniagaan yang lebih besar dan menjamin masa depan.

Dalam pada itu, Ideris gigih meneruskan usahanya menjaja ais kacang bagi mengumpul modal membuka perniagaannya sendiri.

Ketika itu tahun 1979 dan dia memikirkan apakah perniagaan yang boleh diwariskan kepada anak-anak.

“Selepas berkeluarga saya mula memikirkan apakah yang boleh dijadikan warisan untuk keluarga. Saya tidak mahu anak-anak berniaga di tepi jalan seperti saya.

“Saya jadi makin nekad berniaga apabila melihat ramai golongan bukan bumiputera mengusahakan produk tradisi orang Melayu. Dalam pada itu saya buat kajian mengapa kaum Cina boleh berjaya.

“Kemudian saya fikir mengkomersialkan dodol sebagai satu kewajipan. Ia umpama satu tuntutan fardu kifayah demi menyelamatkan orang Melayu daripada membeli dodol yang dibuat bukan Islam,” ujar Ideris mengimbas tentang penglibatannya dalam perusahaan dodol di premisnya baru-baru ini.

Lalu pada tahun 1999, satu kawah dibeli dan dengan bermodalkan RM40,000, belakang rumah dijadikan bengkel sementara. Lalu produksi pertama dodol dihasilkan.

“Masa itu memang saya tidak terlalu fikirkan tentang keuntungan tetapi lebih kepada kewajipan.

“Memang tidak menyangka niat baik saya diizinkan Allah untuk mendapat rezeki lebih. Ketika itu pula ada satu kumpulan persatuan umat Islam Singapura menempah dodol saya untuk dieksport.

“Tempahan demi tempahan diterima dan saya mula melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” ujarnya yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama isterinya.

Bermula dari satu kawah, Ideris menambah hingga menjadi tiga dalam masa enam bulan.

Malah berkat kerajinannya dia layak menerima bantuan dari Jabatan Pertanian. Bengkel yang kecil diperbesarkan dan modal turut ditambah.

“Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri saya banyak mendapat projek kerajaan.

“Ketika itu juga saya mendapat anugerah Usahawan Terbaik peringkat kebangsaan dan pelbagai lagi anugerah dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pertanian. Pada tahun 2010 saya juga mendapat anugerah 1Best Malaysia di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” ujarnya yang kini mempunyai enam pekerja.

Ketika ditanya apakah rahsia kejayaan perusahaan dodol Ideris berkata, sejujurnya dia mengakui sedikit sebanyak ia berpunca daripada sifatnya yang suka merantau.

“Bila kita berjalan kita dapat membuka minda melihat apa yang baik di tempat orang yang boleh mendatangkan keuntungan.

“Saya paling terkesan apabila pernah menghadiri majlis kahwin yang memberikan buah tangan jeli jenama tempatan kepada tetamu, kemudian saya terfikir kenapa tidak digantikan jeli itu dengan dodol yang lebih mudah dimakan.

“Kemudian saya pernah ke Thailand dan melihat dodol di sana dibuat dalam pelbagai warna. Jadi saya pun terus melakukan R&D sendiri dan menghasilkan dodol dalam pelbagai perisa seperti durian, capuccino, strawberi, pandan dan mangga,” jelasnya yang menghasilkan kira-kira 60 kilogram dodol sehari.

Ideris menyatakan bahawa dodol Melaka memang tidak boleh ditandingi mana-mana dodol sekalipun.

“Itu hakikatnya dan jika ditanya mengapa, mungkin kerana bahan utamanya iaitu gula Melaka itu sendiri,” ujarnya sambil tersenyum.

Update me when site is updated

BOSAN dengan rasa ‘kosong’ baulu tradisional asli? Apa kata ubah selera anda dengan menjamah baulu moden dengan pelbagai perisa bersempena Aidilfitri ini.

Tidak kira kanak-kanak mahupun golongan dewasa, baulu berperisa pandan bertih coklat serta baulu berperisa capucino keluaran syarikat I.A.D.Z Enterprise ternyata pilihan tepat dalam ‘menceriakan’ warna-warni sambutan hari raya.

Melangkah masuk ke bengkel membuat kuih yang terletak di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor itu, hidung ditusuk lembut dengan haruman aroma kuih baulu yang turut dikenali sebagai baulu Langat sambil mata melihat ketekunan pekerja menyiapkan semua pesanan.

Menurut pemiliknya, Jurifah Kadis, 44, kebanyakan baulu yang sedang dibuat itu semuanya telah ditempah terlebih dahulu.

Jika tidak bernasib baik, pembelian seseorang mungkin gagal mahupun tidak mencukupi seperti dihajatkan. Namun, itulah fenomena biasa yang berlaku di bengkel milik bekas pegawai bank ini.

“Sambutan yang tidak putus-putus dan di luar jangkaan, kadang kala menyebabkan ada di kalangan pelanggan terpaksa pulang dengan tangan kosong akibat kehabisan baulu.

“Sampai ke satu tahap, saya terpaksa mengehadkan pembelian bagi setiap pelanggan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang lain,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Bercerita mengenai penglibatan awalnya, anak kelahiran Hulu Langat itu berkata, perniagaan yang diusahakan sejak tahun 2001 bermula gara-gara kesukaran untuk mendapatkan baulu gulung bagi dijamu pada hari raya.

“Saya benar-benar kecewa kerana saya dan keluarga sememangnya gemar makan baulu. Sejak dari itu, saya berazam untuk belajar membuat baulu gulung supaya tidak perlu menempah lagi.

“Bermula dengan lawatan ke sebuah kilang pembuatan baulu di Klang, saya mengolah resipi baulu gulung yang sedia ada dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” kata ibu kepada lima orang anak berusia dari lapan hingga 21 tahun ini.

Wanita gigih itu berkata, permintaan terhadap kuih warisan itu tidak pernah lekang dari bibir para penggemarnya, lebih-lebih lagi sewaktu musim perayaan Aidilfitri. Keadaan itu mendorongnya untuk mengekalkan tradisi pembuatan kuih tersebut sehingga hari ini.

Berbekalkan modal permulaan RM15,000 daripada Jabatan Pertanian Hulu Langat dan Kementerian Pertanian, Jurifah berjaya mengkomersialkan perusahaannya di bawah nama Bahulu Classiq.

Tambah menarik, apabila Jurifah berjaya mengolah resipi baulu asli kepada yang lebih kontemporari dan moden sehingga berjaya dinobatkan sebagai pengusaha pertama baulu pelbagai perisa di Malaysia.

“Saya mahu wujudkan kelainan kepada baulu yang dicipta dan tidak sangka, percubaan saya akhirnya berjaya. Dari situ, baulu pandan dan capucino semakin laris di pasaran.

“Saya tahu, ramai yang mahir membuat kuih baulu. Walaupun tidak menghasilkannya secara tradisional, namun setidak-tidaknya saya dapat memartabatkan keaslian kuih, sekali gus mengekalkan kualiti mutu dan rasanya,” katanya.

Selain baulu berperisa, syarikat I.A.D.Z Enterprise turut mengeluarkan baulu berperisa asli, baulu Kemboja, baulu gulung dan biskut raya.

Bercerita tentang sejarah pembuatannya, kata Jurifah kalau dulu, telur, gula dan tepung diadun dalam sebuah tembikar secara manual sebelum dimasukkan ke dalam acuan dan dibakar. Kini, senarionya telah mengalami evolusi tersendiri di mana kesemua bahan diadun menggunakan mesin pengisar.

“Kaedah yang digunakan pada zaman dahulu lebih lama berbanding sekarang yang mengambil masa kurang dari satu jam untuk disiapkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persediaannya menghadapi musim perayaan, Jurifah berkata, dengan jumlah pekerja seramai 30 orang, pengeluaran baulunya akan ditingkatkan daripada 30,000 biji baulu sehari kepada 50,000 biji.

“Dengan jumlah pengeluaran seperti itu, dalam masa satu hari kami menggunakan sebanyak 3,000 biji telur, lapan guni tepung dan empat guni gula,” ujarnya.

Update me when site is updated

Bayam antara sayur yang popular ditanam kerana ia mempunyai banyak khasiat pemakanan.

 

TERDAPAT beberapa jenis bayam di negara kita. Antaranya ialah bayam hijau (Amaranthus spp.), bayam merah (Amaranthus gangeticus) dan bayam tricolor (Amaranthus tricolor). Semua bayam ini tergolong dalam keluarga Amaranthaceae dan berasal dari Amerika.

Bayam spinach (Spinacia oleraceae) pula mengandungi gen,fizikal dan rasa yang berbeza walaupun berasal dari keluarga yang sama.

Bayam spinach tidak sesuai ditanam di negara beriklim tropika seperti Malaysia kerana ia cepat berbunga dan tidak banyak daun.

Bayam kaya dengan vitamin A, C dan E, fosforus, zat besi, kalium, magnesium, beta karoten dan zink.

Selain itu, bayam juga merupakan sumber baik asid berlemak omega 3, niasin dan selenium.

Bayam juga dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan pesakit yang mengidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan mereka yang menghadapi masalah ginjal.

Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.

Penanaman

*Bayam sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai pH di antara 5.5 dan 6.5 adalah yang paling sesuai.

*Sediakan batas berukuran satu meter (lebar) dan panjang bergantung pada kawasan.

Tanah digembur bersama kompos dan bahan organik. Sebanyak empat alur boleh dibuat dengan jarak tanaman 20 sentimeter (sm) antara alur.

*Bayam ditanam terus menggunakan biji benih. Disebabkan biji benih terlalu kecil, gaulkan biji benih dengan pasir untuk menjarakkan biji benih semasa menabur benih di dalam alur batas.

*Tutup batas yang terdedah dengan jerami padi atau daun kering sebagai sungkupan untuk kekalkan kelembapan tanah dan mengawal rumpai.

*Selepas tiga atau empat hari, benih akan bercambah dan anak pokok akan mula kelihatan.

Penjarangan

*Penjarangan perlu dibuat selepas seminggu biji benih bercambah. Anak benih yang tumbuh terlalu rapat perlu dibuang atau dipindahkan ke alur yang tiada anak benih.

nAktiviti perlu dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecederaan akar anak benih yang terlalu lembut.

*Penjarangan penting bagi mengurangkan persaingan mendapatkan cahaya matahari dan nutrien antara pokok. Jika anak pokok terlalu banyak, pokok yang tumbuh akan bersaiz kecil dan kurang daun.

Pengairan

*Bayam perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan dengan air bersih tanpa klorin.

*Pengairan boleh dilakukan dengan dua cara iaitu siram manual atau dengan sistem pengairan renjis bergantung kepada kemampuan petani.

Pembajaan

*Pembajaan menggunakan baja organik (yang dibeli atau buatan sendiri). Baja organik berproses diberi mengikut kadar yang disyorkan, biasanya antara 30g dan 50g sepokok dan ditabur pada minggu kedua selepas menanam.

Jika baja organik buatan sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali.

*Sebelum membaja rumpai yang tumbuh dibuang terlebih dahulu dan tanah digembur.

*Baja organik boleh ditabur di antara alur tanaman.

Kawalan rumpai

*Rumpai adalah musuh utama tanaman. Ia akan bersaing untuk mendapatkan ruang, cahaya matahari dan juga makanan. Selain itu, rumpai boleh menjadi perumah kepada serangga perosak.

*Rumpai perlu dikawal setiap seminggu sekali. Jangan biarkan rumpai hingga ia berbunga.

*Ia boleh dilakukan sama ada merumpai secara manual atau menggunakan mesin pemotong rumput.

Kawalan perosak dan penyakit

*Ulat ratus sering memakan daun muda bayam. Amalkan menyembur racun organik daripada campuran cili padi, bawang putih, daun naem, daun kesum, serai wangi, kemangi, air dan sabun. Sembur setiap hari bagi serangan kritikal, dan dua atau tiga hari sekali bagi serangan biasa.

*Penyakit hawar melecuh pula sering ditemui pada bayam jenis berdaun bulat, tetapi bayam berdaun bujur lebih toleran dengan penyakit ini. Amalkan tanaman bergilir sebagai kawalan.

Update me when site is updated

Nur Qamarina Salman (kanan) menunjukkan peralatan asas berkebun kepada pelawat yang berkunjung ke ladang UPM baru-baru ini.

 

HARI ini, pertanian menjadi satu kerjaya yang semakin mendapat perhatian ramai. Ini berdasarkan kepada minat yang ditunjukkan melalui pelbagai program-program pertanian dan ramai yang minat untuk menceburinya sama ada secara serius atau sekadar untuk mengisi masa lapang.

Didorong oleh semangat melihat kejayaan orang lain atau sekadar gemarkan kedamaian dan keindahan alam semula jadi serta minat kepada pemeliharaan haiwan, bidang pertanian seakan satu tarikan baru kepada rakyat di negara ini.

Berkebun, bercucuk tanam dan menternak haiwan peliharaan mungkin agak merumitkan bagi sesetengah orang, tetapi sebahagian besar pula melihatnya sebagai aktiviti masa senggang yang menyeronokkan.

Apa jua faktor dan alasannya, pertanian sebenarnya menjanjikan pulangan lumayan setelah mengharungi satu tempoh kepayahan dan bidang ini juga menjanjikan suatu kepuasan.

Disebabkan itu sejak kebelakangan ini, banyak teknologi baru dan inovasi yang dihasilkan bagi memberi suntikan baru dalam sektor pertanian ini untuk terus maju seiring dengan negara-negara maju yang lain.

Perkembangan sektor pertanian kini boleh dilihat sebagai satu sinar baru kepada pekerjaan tradisi manusia sejak permulaan tamadun mereka lagi.

Perkembangan-perkembangan itu mencetuskan idea dan inisiatif kepada pereka cipta untuk menghasilkan inovasi daripada yang paling rumit kepada yang paling mudah dan canggih.

Sebatang cangkul direka dan dihasilkan kerana manusia perlu membajak tanah dan kini kerja-kerja tersebut disempurnakan oleh jentera yang lengkap dan menjimatkan masa.

Demikian peralatan pertanian lain dicipta dan dihasilkan bagi memenuhi permintaan aktiviti pertanian.

Berbeza pula dengan inisiatif oleh sekumpulan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah mewujudkan satu inovasi baru dengan mengumpulkan lapan peralatan pertanian asas dalam satu beg untuk dipakejkan sebagai satu gajet pertanian.

Inovasi tersebut merupakan ilham daripada sekumpulan petugas di Taman Pertanian Universiti (TPU) yang diminta untuk memikirkan satu idea menyelesaikan masalah membawa peralatan pertanian ke ladang.

Kumpulan tersebut yang dinamakan kumpulan Malaxis dibentuk pada tahun 2009 hasil didikan daripada kumpulan inovasi dan kreatif yang telah mengadakan sesi lampas minda bagaimana menghasilkan sesuatu yang inovatif dan kreatif.

Kumpulan tersebut terdiri daripada lapan ahli yang mempunyai pelbagai kepakaran terdiri daripada Kamarul Zaidi Abd. Ghani yang juga ketua unit buah-buahan di TPU, Hasnul Hadi Hussain (penyelaras agroteknologi) dan Nur Qamarina Salman (Penyelia Landskap dan Orkid).

Ahli kumpulan lain termasuk Nor Haimanshah Ismail (Penyelia Semaian Buah-buahan), Ahmad Rodhi Kamaludin (Penyelia Fertigasi), Muhd. Rizal Che Jid (penyelia biji-benih), Mohamad Faiz Mohd. Shapie (penyelia tanaman pelbagai) dan Mohd. Harlizan Mohd. Darus (Penyelaras Tanaman Industri).

Hasnul Hadi yang juga ketua kumpulan berkenaan berkata, cadangan mewujudkan satu kumpulan gajet pertanian asas memberi peluang kepada mereka yang gemarkan bidang pertanian untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

“Jika dilihat, set gajet ini mudah dibawa, sama seperti membawa laptop yang dibimbit dalam beg khas dan sesuai bagi mereka yang sukakan gaya kerja yang ringkas,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan dan pelancaran tidak rasmi set Agrokits di Serdang baru-baru ini.

Beliau berkata, idea itu tercetus selepas kumpulannya bercadang untuk menghasilkan inovasi baru bagi membantu mereka yang sukakan pertanian sebagai aktiviti harian.

“Pada sesi tersebut, kami mengenalpasti antara masalah utama dalam penyimpanan dan pengendalian peralatan pertanian ialah kesukaran membawa peralatan yang banyak dan besar dengan menggunakan kereta atau motosikal.

“Ia memerlukan ruang penyimpanan yang luas, terdedah kepada risiko bahaya kecederaan jika berlaku kecuaian sama ada sebelum dan selepas pengendalian peralatan tersebut,” ujar beliau.

Kumpulan tersebut, kata beliau kemudiannya menetapkan tujuh peralatan asas yang biasanya digunakan semasa aktiviti amalan ladang terutamanya kepada para pelajar jurusan pertanian dan ia boleh juga digunakan kepada mereka yang gemarkan aktiviti berkebun.

Peralatan tersebut ialah cangkul, pisau cantuman, serampang tangan, hand trowel, pencakar, gunting pangkasan dan L&key.

Sebuah beg bersaiz sebesar beg laptop direka khas untuk menyimpan peralatan tersebut supaya gajet pertanian itu mudah disimpan dan dibawa untuk berkebun.

Uniknya batang cangkul yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai keistimewaan tersendiri di mana ia tahan karat, ringan dan mudah untuk dibersihkan selepas aktiviti berkebun.

Batang cangkul ini juga boleh diselaraskan mengikut keselesaan pengguna ia bersama mata cangkul boleh ditanggalkan.

Nur Qamarina yang merupakan Setiausaha Kumpulan berkata, pihak mereka juga sedang menyiapkan satu manual penggunaan alat berkenaan yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada pengguna.

“Kami berharap idea seringkas ini dapat membantu pengguna menggunakannya serta mudah untuk dibawa berkebun di mana saja,” ujarnya.

Beliau juga berharap pencinta – pencinta pertanian dapat memanfaatkannya dengan adanya peralatan seperti ini dan ia akan memudahkan aktiviti berkebun di samping memudahkan lagi proses pembelajaran dalam jurusan pertanian untuk melakukan aktiviti amalan ladang.

Set Agrokits telah dipatenkan pada tahun 2009 dan masih dalam proses mencari pengusaha yang mahu mengeluarkan produk itu secara komersial.

Cetusan idea Agrokits membawa lembaran baru kepada TPU yang aktif dalam pengeluaran anak pokok buah-buahan dan aktiviti amalan ladang kepada pelajar-pelajar UPM terutamanya bagi pelajar jurusan pertanian.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0