Archive for July, 2011

Siti Aida Ahmad (kiri) dan Akma Laili Hamdan menunjukkan kek lobak yang dihasilkan di Felda Lepar Utara Satu, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 22 Ogos – Bidang masakan kini menjadi perhatian berikutan potensinya yang berkembang pesat sebagai satu industri di negara ini.

Terdapat beberapa institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan menawarkan bidang tersebut bagi memenuhi permintaan pasaran kerja yang semakin berkembang sejak akhir-akhir ini.

Bidang berkenaan turut diminati oleh golongan suri rumah apabila terdapat kelas masakan yang menawarkan kursus jangka pendek kepada mereka.

Namun, ada juga yang mencuba sendiri masakan dengan mempelajarinya menerusi majalah.

Hasilnya, golongan tersebut mampu menghasilkan pelbagai jenis masakan dan kek sama ada untuk hidangan sendiri atau dijual kepada pelanggan.

Ini dibuktikan apabila empat sahabat di Felda Lepar Utara Satu di sini yang sekadar mencuba resipi kek akhirnya berjaya membuka kedai kek di tanah rancangan itu tahun lalu.

Empat sahabat itu, Siti Aida Ahmad, 32; Tasrifah Sarijan, 38; Akma Laili Hamdan, 29, dan Zarina Zakaria, 38, yang kebetulan berkahwin dengan jejaka pilihan masing-masing di Felda tersebut mula bersahabat sejak 2008.

Menurut Siti Aida, minat yang sama terhadap pembuatan kek menyebabkan mereka mempelajarinya daripada majalah dan buku resipi masakan.

“Selama setahun, kami akan memasak dan membuat pelbagai jenis kek mengikut giliran dan jika ada sesuatu yang kurang enak, kami akan membuat penilaian berdasarkan komen rakan-rakan yang lain.

“Bukan senang untuk membuat kek yang enak, gebu dan cantik dan kami memerlukan tempoh yang lama untuk menguasai teknik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mereka akhirnya membuat keputusan membuka kedai kek yang diberi nama Lepar Saujana Enterprise dengan modal permulaan sebanyak RM150 seorang.

Siti Aida berkata, modal yang dikumpul itu kemudian membeli ketuhar kecil dan mesin pengadun tepung untuk membuat kek.

Tambahnya, pelbagai jenis kek dijual di kedai itu seperti kek lobak, tiramisu, buah-buahan, pisang, span dan kek lapis masam manis.

“Kedai ini sebenarnya di bawah Felda dan kami menyewa melaluinya dan beruntung kerana agensi itu sentiasa memberi sokongan kepada warganya,” katanya.

Jelasnya, mereka juga turut menyediakan perkhidmatan membuat kek hari lahir dan pengantin mengikut tempahan yang dibuat.

Katanya, kemahiran yang ada pada mereka hanya berpandukan kepada majalah dan hanya mengikuti kursus pentadbiran dan pengurusan kewangan anjuran Jabatan Pertanian di sini.

“Kami juga bantuan seperti peti sejuk untuk kek, meja kerja, mesin pengadun tepung dan ketuhar bernilai RM10,000 daripada jabatan tersebut,” katanya.

Update me when site is updated

 


 

KETIKA pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) sibuk membuat kuih dan kerepek bagi memenuhi permintaan menjelang perayaan, lain pula dengan Siti Noraini Markom, 50.

Dia yang dikunjungi rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di premisnya di Kampung Kundang, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, bersama-sama suaminya, Mohd. Noor Sukimi sibuk memunggah produk IKS keluaran syarikat mereka untuk dihantar ke Australia.

Mengapa sampai ke Australia? Kenapa tidak di pasaran tempatan?

“Sekarang banyak sangat usahawan IKS yang membuat kerepek dan pasaran di sini tidak terlalu besar.

“Jadi apa salahnya saya mencuba rezeki di Australia. Saya merancang untuk memasarkan produk saya ke Filipina selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Bekas kerani pejabat swasta di pekan Banting itu memulakan usahanya dengan menjual biskut bangkit kelapa resipi arwah ibunya.

“Sememangnya kuih bangkit buatan ibu memang sedap sehingga saya mengambil keputusan membuat dan menjualnya semasa musim perayaan,” katanya.

Ketika itu, dia membeli ketuhar bagi menghasilkan biskut bangkit kelapa sebelum membeli dapur gas yang kecil.

Bagaimanapun Siti Noraini terfikir sampai bila dia akan berniaga secara bermusim.

Justeru, dia mula menjual kuih bangkit kelapa dan menjualnya dengan berbasikal sekitar kampung, kantin sekolah dan kedai runcit.

Perniagaan itu terus berkembang dan kesibukan menguruskan perniagaan berseorangan memaksanya menggaji dua orang pembantu dan membuat jadual penghantaran apabila 300 buah kedai runcit mula menerima kuih bangkit kelapa buatannya.

Walaupun masih bekerja sebagai kerani di syarikat swasta di Banting, Siti Noraini tidak melepaskan peluang menghadiri kursus keusahawanan anjuran pelbagai jabatan kerajaan.

Beliau mahu mendalami aspek perniagaan dan keusahawan termasuk pemasaran dan perhubungan dengan pelanggan sebelum pergi lebih jauh.

Setelah enam tahun bekerja dan perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, Siti Noraini mengambil keputusan nekad meletakkan jawatan.

“Ketika itu saya mengembangkan perniagaan dengan membuat pelbagai jenis biskut dan kerepek serta menjual produk usahawan lain,” katanya.

Berkat kegigihan dan kesungguhan membangunkan perniagaannya, dia sudah mula melihat bibit kejayaan.

Sejak penglibatannya dalam IKS, Siti Noraini menerima pelbagai anugerah seperti Peladang Jaya, Tokoh Usahawan Wanita Selangor dan Belia Jaya.

Malah, usahanya menarik minat pelbagai agensi kerajaan yang tampil memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk selain khidmat nasihat.

Sentiasa mengingati arwah ibunya dalam kejayaan yang dikecapi, Siti Noraini yakin segala kejayaan berkat doa ibunya.

Dalam pada itu Siti Noraini sentiasa menanamkan pelbagai impian seperti kerepek di dalam kanister ketika usianya 35 tahun.

“Alhamdulillah saya mencapai sasaran yang saya tetapkan sendiri,” katanya.

Permintaan kerepek ubi, pisang tanduk dan keledek yang semakin menggalakkan menyebabkan Siti Noraini memerlukan bekalan bahan mentah yang banyak.

Malah pada masa yang sama, seorang usahawan dari Australia berminat untuk memasarkan kerepeknya ke Australia dan New Zealand.

Selain negara berkenaan Siti Noraini juga telah berjaya menghantar produknya ke Hong Kong, Jakarta dan Singapura.

Selepas musim perayaan, Siti Noraini akan menerbangkan kerepeknya ke Filipina yang mempunyai pasaran yang lebih besar.

“Masalahnya bagi pasaran luar negara, kami perlu memastikan kualiti dan kapasiti produk yang konsisten setiap kali penghantaran.

“Misalnya bagi ke Australia saja saya perlu menghantar kerepek ubi bagi memenuhi hampir satu kontena sepanjang 20 kaki,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah terutama dari luar negara, Siti Noraini perlu berubah daripada peralatan menggoreng manual ke separa automatik.

“Ini bagi mempercepatkan lagi proses penghasilan produk tetapi saya tidak boleh berkompromi dengan kualiti produk yang saya hasilkan,” katanya.

Selain menerima tempahan, Siti Noraini juga membawa produknya ke ekspo-ekspo seluruh negara dan antarabangsa anjuran agensi kerajaan.

Buat masa ini produk IKS Siti Noraini dengan jenama Ani Biskut boleh didapati di K-Shoppe Bukit Kapar dan Jalan Istana Lama, Kampung Jawa, Kelang.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai produk IKS Siti Noraini boleh menghubungi beliau di 019-373 4735 atau 03-3148 1088 atau emel: ani_biskut@yahoo.com

Update me when site is updated

 

Tanduk rusa dibekukan sebelum dihantar ke sebuah syarikat bio teknologi yang terletak di Taman Perindustrian Malaysia (TPM) di Raub, Pahang.

 

APABILA bercakap tentang rusa, ramai yang terbayang akan dagingnya yang enak untuk di makan. Sebab itu juga haiwan itu mula diternak secara komersial bagi memenuhi permintaan terhadap dagingnya.

Tetapi khasiat yang ditawarkan oleh rusa bukan sekadar daging. Tanduknya juga sebenarnya mempunyai nilai yang lebih tinggi kerana mempunyai khasiat perubatan tertentu.

Laporan oleh beberapa jurnal perubatan menunjukkan tanduk rusa mempunyai khasiat untuk mengubati beberapa jenis penyakit terutama penyakit dalaman.

“Terdapat laporan daripada pakar perubatan dan jurnal dari universiti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand yang telah membuat kajian tentang tanduk rusa.

“Oleh itu, saya yakin potensi khasiat tanduk rusa boleh dikembangkan dan mengambil inisiatif sendiri membuat kapsul untuk merasai kesannya,” kata Muhammad Akhbar Chiraghdin yang mengusahakan ternakan rusa untuk tujuan itu.

Daripada laporan yang disiarkan dalam jurnal-jurnal yang dibacanya itu, Muhammad Akhbar mengambil risiko untuk menternak rusa bagi mendapatkan tanduknya.

Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam pelbagai bidang ternakan termasuk lembu dan kambing.

Daripada pengalaman tersebut beliau mendapati menternak rusa lebih mudah kerana ia lebih tahan penyakit.

Lagi pula ternakan rusa untuk tanduk tidak memerlukan haiwan itu disembelih.

Beliau yang kini mempunyai 2,000 ekor rusa berkata, tanduk-tanduknya akan dipotong setahun sekali.

Kerja-kerja pemotongan itu katanya, dilakukan dengan teliti supaya haiwan tersebut tidak cedera dan boleh kekal hidup hingga 15 tahun.

Setiap kali ‘dituai’ kata beliau, tanduk yang diperolehi ialah sekitar 50 kilogram.

“Kami akan potong semasa tanduk berusia 40 hari dan dipotong setahun sekali. Tanduk akan dibekukan sebelum dihantar ke sebuah syarikat bio teknologi yang terletak di Taman Perindustrian Malaysia (TPM) di Raub, Pahang,” katanya.

Jelasnya, kilang berkenaan yang beroperasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membuat kapsul dengan mengeringkan, memotong dan menghancurkan tanduk tersebut untuk dijadikan kapsul.

Mengenai kaedah pembuatan, beliau berkata, hanya syarikat itu yang tahu caranya tanpa meminggirkan khasiatnya.

Beliau juga ada membuat kapsul secara kecil-kecilan untuk dijual pada kenalan rapat dan juga ahli keluarga lain.

Katanya, sebelum dipasarkan ke pasaran domestik, beliau melakukan ujian keberkesanan khasiat pil tanduk rusa ke atas dirinya.

“Saya pernah terjatuh dan patah tulang. Doktor yang merawat saya suruh saya berehat tetapi saya mahu ke ladang. Dengan mengambil beberapa biji kapsul tanduk rusa, alhamdulillah saya beransur pulih dan kembali bekerja seperti biasa,” jelasnya.

Apabila diberikan kepada rakan lain yang mempunyai penyakit tertentu mereka juga memberi maklum balas positif bahawa kapsul tanduk rusa mempunyai khasiat.

“Oleh itu, saya tidak menoleh kebelakang dengan menghantar sampel tersebut kepada Biro Farmasi Negara dan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan status kelulusan untuk dijual di pasaran tempatan,” jelasnya yang dijangka mendapat keputusan pada Mac ini.

Berdasarkan pengetahuannya, tiada pihak yang menjalankan perusahaan itu dan beliau mengambil langkah berani untuk melakukannya.

Namun, atas permintaan tinggi beliau tidak dapat memenuhi kehendak pengguna kerana jumlah pengeluaran tanduk rusa kurang menampung pasaran.

Update me when site is updated

USAHAWAN berjaya, Natipah Isnin, memegang ikan ternakan seberat lima kilogram yang diternak di kolamnya di Kampung Ulu Sungai Buloh, Alor Gajah, baru-baru ini.

 

ALOR GAJAH 12 Jan. – Kira-kira 28 tahun lalu, Natipah Isnin, 49, terpaksa melupakan hasrat untuk bergelar pramugari demi memenuhi harapan ibu bapanya yang mahu anak perempuan sulung mereka itu meneruskan perusahaan menternak ikan air tawar milik keluarga mereka.

Namun siapa tahu, pengorbanan wanita itu berbaloi kerana hari ini dia mampu tersenyum lebar hasil pendapatan kasar antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan melalui ternakan ikan air tawar di Kampung Ulu Sungai Buloh di sini.

Usaha Natipah dengan dibantu suami, Kamarudin Hashim, 50, dan dua anak perempuan mereka telah membuktikan bahawa bidang pertanian mampu memberi pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Bermula dengan tiga kolam ikan peninggalan ibu bapanya, Natipah kini mempunyai 20 kolam ikan seluas 0.2 hektar setiap satu, membolehkan wanita itu menguasai bekalan ikan air tawar ke Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Antara ikan air tawar diternak oleh Natipah ialah ikan patin, tilapia merah, keli Afrika, bawal merah, lampam jawa dan jelawat.

Ikan ternakannya itu turut mendapat tempahan daripada pengusaha restoran, jualan pasar tani dan pengusaha kolam pancing.

Pencapaian wanita itu mendapat pengiktirafan apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganugerahkan gelaran Peladang Jaya Wanita pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang lalu dan juga Peladang Jaya Wanita Melaka 2010.

“Tidak sia-sia saya mengikut nasihat ibu bapa agar menyambung usaha mereka menternak ikan air tawar kerana dengan mengikut kemahuan mereka juga, saya mampu meraih pendapatan lumayan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan 38 kakitangan pejabat daerah Balik Pulau, Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Lawatan sehari program tersebut dianjurkan bersama Pejabat Daerah Masjid Tanah dan Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (Japerun) Taboh Naning yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Latipah Omar.

Menceritakan lebih lanjut tentang perusahaan ternakan ikan tawar yang diceburinya itu, kata Natipah, dia sudah terdedah dengan bidang tersebut sejak usia belasan tahun kerana ketika itu, kedua ibu bapanya giat mengusahakan ternakan ikan secara kecil-kecilan.

Ujarnya, selain menjadikan ibu bapa sebagai contoh terbaik untuk berjaya dalam bidang tersebut, dia juga sering mengikuti kursus dan latihan penternakan ikan air tawar demi membaiki kualiti perniagaan yang diceburi.

“Saya mahu perusahaan keluarga saya ini diperbesarkan dan tidak setakat hanya dipanggil perniagaan kampung sebab itu saya akan cuba apa sahaja kursus dan pameran pertanian bagi meningkatkan kualiti perniagaan ini,” katanya.

Hasilnya, kata Natipah, dia mendapat idea mengurangkan kos penternakan iaitu melalui cara membiakkan sendiri benih ikan keli di kawasan ternakan yang sedang diusahakannya.

Ujarnya, benih ikan yang dimuatkan ke dalam kolam juga berbeza mengikut jenis misalnya bagi 30,000 benih ikan patin sesuai untuk sebuah kolam berukuran 0.2 hektar manakala ikan keli pula boleh mencecah 50,000 ekor dalam sesebuah kolam.

Tidak cukup setakat itu sahaja, Natipah turut mempelbagaikan ternakan ikan air tawar dengan menghasilkan produk seperti ikan pekasam, ikan masin, ikan salai dan bebola ikan yang dipasarkan ke pasar raya utama dan kedai runcit seluruh negara.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0