Archive for May, 2011

Mohd. Ali Dahili turut membantu kerja-kerja pemprosesan.


 

Semuanya bermula kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan dan hobinya yang suka memasak.Pada masa yang sama, kegemarannya makan ikan pekasam sejak dari kecil telah menarik minat wanita ini untuk menghasilkan produk ikan pekasam secara komersial.

Lebih-lebih lagi kampungnya, Kampung Baharu, Jerantut yang terkenal sebagai kawasan ternakan ikan air tawar telah mendorong Habibah Mi @ Mat Amin, 60, untuk memajukan produk ikan pekasam daripada ikan air tawar.

Minatnya bagi menghasilkan produk ikan pekasam semakin menebal selepas mengikuti kursus pemprosesan makanan dengan Jabatan Perikanan Pahang.

Berbekalkan kursus yang dianjurkan jabatan terbabit, beliau telah mencuba pelbagai ramuan dan herba bagi menghasilkan ramuannya sendiri

bagi memberi rasa yang berlainan, lebih sedap dan berkhasiat.

“Setakat ini, belum ada pihak yang menghasilkan ikan pekasam daripada ikan air tawar secara komersial di negeri ini (Pahang). Negeri lain, tak tahu lah,” katanya memulakan perbualan.

“Kalau tidak silap saya, yang ada cuma satu pengusaha di Pahang yang mengeluarkan ikan pekasam daripada ikan laut,” tambah beliau.

Pesara Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini juga tidak berseorangan kerana beliau mendapat sokongan padu daripada suaminya, Mohd. Ali Dahili, 64.

Menurut Habibah, apa yang istimewa tentang produk ikan pekasam keluarannya ialah ia dihasilkan daripada resipi yang dicubanya sendiri hasil penyelidikan selama tiga bulan.

“Saya dan suami telah membuat penyelidikan dengan mencuba pelbagai ramuan dan herba bagi menghasilkan produk makanan yang berlainan, bukan sahaja ia sedap dimakan tetapi juga berkhasiat dan mengandungi herba-herba yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Bagi menjayakan usahanya itu, Habibah telah menubuhkan syarikat Wadah Warisan Enterprise dengan beliau sendiri bertindak sebagai pengurus dibantu oleh suaminya.

Suaminya pula melengkapkan projek berkenaan dengan mengusahakan kolam ternakan ikan air tawar tidak jauh dari rumah mereka di Kampung Baharu, Jerantut.

Habibah berkata, beliau mula secara serius menghasilkan produk ikan pekasam secara komersial sejak Ogos dua tahun lalu.

“Saya telah mengeluarkan sampel ikan pekasam menggunakan resipi yang saya hasilkan dan memberikannya kepada rakan-rakan, saudara mara dan penduduk kampung,” katanya.

“Mereka memberi komen yang positif dengan menyatakan bahawa ikan pekasam yang saya keluarkan berlainan rasanya selain sedap serta berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.

Komen-komen yang ikhlas daripada rakan-rakan dan keluarga serta masyarakat setempat telah membantu memberi semangat kepada saya untuk mengusahakan produk ini secara lebih serius, tambah beliau.

Ketika ditanya cita-citanya, Habibah berkata, beliau merancang untuk memasuki pasaran eksport terutama ke rantau ASEAN.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan usahasama dengan beliau.

“Sebelum itu saya mahu memperluaskan pasaran tempatan terlebih dahulu,” katanya,

Beliau berkata, ikan pekasam keluarannya dijual pada harga antara RM4.50 hingga RM5 bagi setiap paket seberat 200gm.

Bagi produk yang dibungkus seberat sekilo, ia dijual pada harga antara RM23 hingga RM25 bagi ikan patin dan ikan tilapia.

Selain ikan pekasam, Habibah juga mengeluarkan produk serunding daripada ikan air tawar termasuk ikan keli yang dijual pada harga RM4 bagi setiap paket 200gm.

Syarikatnya turut mengeluarkan produk perencah untuk menggoreng ikan, ayam dan daging.

Setakat ini, katanya, beliau mengedarkan produknya yang menggunakan jenama AB-Selera secara terus ke beberapa kedai dan pasar mini di Lembah Klang dan pekan-pekan kecil sekitar daerah Jerantut, Rompin dan Kuantan.

Beliau mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk memasarkan produknya.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi beliau melalui talian bimbit 012-9066649 atau telefon bimbit suaminya 013-9115989 atau pejabat 09-2662608.

Update me when site is updated

 

Ishak Musa (kiri) bersama seorang lagi pengusaha menunjukkan buah vanila di kebunnya dekat Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang, baru-baru ini. – Utusan/Musazlila Mustapar


 

TEMERLOH 9 Jan. – Secara umumnya apabila berbicara mengenai vanila, ramai yang membayangkan kesedapan dan aroma perasa itu apabila dicampurkan ke dalam kek, ais krim, roti atau minuman karbonat.

Namun, tidak ramai yang tahu bagaimana vanila dihasilkan.

Malah, ramai juga yang tidak mengenali dari segi rupanya, bagaimana untuk mendapatkannya dan dari negara mana ia berasal.

Dari sudut sejarah, vanila ialah sejenis tumbuhan liar yang ditemui di Amerika Selatan.

Ia telah digunakan oleh kaum asli Mexico sebagai penyedap tembakau sejak berkurun yang lalu.

Pada 1721, vanila dibawa ke Eropah oleh orang Sepanyol sebelum dibawa oleh penjajah Belanda ke Bogor, Indonesia pada 1819.

Sejak 1850, vanila mula ditanam secara komersial di Indonesia apabila ia telah berjaya didebungakan.

Sejak itu, ia semakin digemari kerana keaslian aroma dan perisa aslinya.

Meskipun terdapat vanila sintetik yang dikenali sebagai vanilin, namun bahan sebatian itu dari segi kualitinya dikatakan kurang setanding dengan vanila asli.

Kini, tanaman vanila diperkenalkan di Malaysia selepas mendapati cuaca dan persekitaran negara ini sangat berpotensi untuk tanaman pokok vanila.

Potensi tanaman vanila sangat baik memandangkan sehingga kini dunia hanya menggunakan tiga peratus sahaja vanila asli manakala selebihnya masih menggunakan vanila sintetik.

Perkembangan sihat berhubung tanaman vanila turut mendapat sambutan di kalangan petani di Pahang.

Di negeri ini, terdapat beberapa petani yang mula menunjukkan minat untuk menanam vanila secara komersial.

Di daerah ini misalnya, dua rakan karib dari persatuan belia berlainan bergabung tenaga dalam mengusahakan tanaman vanila di Kampung Bangau Parit di sini.

Menurut pengusahanya, Mohd. Feisal Norawi, 29, tanaman vanila sangat mudah diusahakan kerana ia tidak terlalu cerewet.

Memandangkan harga di pasaran masa kini di sekitar RM300 sekilogram jika dijual kering dan RM40 sekilogram jika dijual basah, tanaman itu dijangka berpotensi menjadi komoditi ketiga selepas kelapa sawit dan getah.

Dia yang mengusahakan secara sambilan membantu rakan kongsinya menganggap vanila mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha walaupun hasilnya dituai sekali dalam setahun.

Mohd. Feisal yang mula menanam vanila pada awal tahun lalu memberitahu, vanila akan mula berbuah selepas tiga tahun ditanam.

”Ia memerlukan tujuh bulan untuk buah itu masak sebelum boleh dituai.

”Tanaman vanila memerlukan naungan dan ia sejenis tumbuhan memanjat. Sebelum ditanam, seelok-eloknya pokok lain turut ditanam yang bertindak sebagai pokok induk untuk dipanjat,” katanya.

Mohd. Feisal mengeluarkan modal sekitar RM25,000 bagi menjayakan tanaman vanila yang diharap dapat membuka minda golongan muda supaya terlibat dengan tanaman baru dan tidak hanya tertumpu kepada getah dan kelapa sawit semata-mata.

Apa yang menarik minatnya menanam vanila jelasnya, ialah kerana ia tidak memerlukan kawasan luas, cukup kira-kira 0.2 hektar bagi 2,000 pokok.

Menurutnya, sebatang pokok vanila mampu mengeluarkan kira-kira 1.6 kilogram buah vanila basah.

Sehingga kini, dia telah menanam 800 pokok vanila yang dijangka mengeluarkan hasil pada tahun depan.

Sementara itu, rakan kongsinya, Ikmal Ab. Rahman, 31, pula berkata, setakat ini, masih ramai penduduk tempatan tidak mengetahui mengenai projek tanaman vanila yang diusahakannya.

Menurutnya, kebanyakan yang datang melawat ialah pengunjung luar yang berhasrat untuk mempelajari teknik menyemai benih dan menanam di ladang.

”Buah vanila basah yang dihasilkan nanti akan dikeringkan dengan kaedah tersendiri sebelum dijual secara kering,” jelasnya.

Selain dua sahabat karib itu, tanaman vanila turut diusahakan oleh seorang bekas guru, Ishak Musa, 84, di Kampung Pamah Kulat, Raub yang dimulakan sejak 2004.

Sehingga kini, dia mempunyai kira-kira 1,000 pokok vanila dan sebahagiannya telah mengeluarkan hasil.

Ishak antara individu awal menceburkan diri dalam tanaman vanila di Pahang dan kini menjadi rujukan banyak pihak di negeri ini dalam menghasilkan tanaman vanila.

Kini, ketiga-tiga pengusaha vanila terbabit bergabung tenaga dalam mencipta kejayaan menghasilkan tanaman komoditi baru untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Apa yang lebih meyakinkan, mereka telah bertemu dan bekerjasama dengan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Ekstrak Tulen Sdn. Bhd., Dr. Anuar Omar yang memiliki mesin untuk menghasilkan vanila ekstrak untuk dijual di pasaran global.

Menurut Ishak, dengan bantuan Anuar yang bersetuju membeli hasilnya dengan harga semasa, dia yakin potensi tanaman vanila untuk dipasarkan secara ekstrak akan lebih luas dan lebih ramai yang akan berminat untuk menceburkan diri.

Anuar ketika ditemui di pejabatnya di Bentong baru-baru ini memberitahu, teknologi terkini menghasilkan ekstrak vanila ialah dengan menggunakan kaedah Supercritical Fluid Extractor (SFE).

Menurutnya, SFE digunakan untuk pengekstrakan bahan-bahan vanila daripada buah vanila yang telah dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk.

”Teknologi SFE membabitkan penggunaan tekanan udara yang tinggi dan suhu yang rendah untuk mencapai satu tahap lampau genting, apabila pada tahap ini, pepejal dan cecair bertukar bentuk tanpa dapat dikenali bentuk asalnya.

”Cara pengekstrakan ini boleh menghasilkan ekstrak vanila yang tulen serta bebas daripada kandungan pelarut sebagaimana kaedah pengekstrakan biasa yang umumnya menggunakan bahan pelarut seperti etanol atau pelarut hidrokarbon yang lain,” jelasnya.

Menurut Anuar, kaedah SFE juga dapat mengekalkan keaslian bahan yang diekstrak.

Beliau turut mengalukan-alukan petani melibatkan diri dalam projek tanaman vanila yang diyakini paling berjaya sedikit masa lagi.

”Teknologi dan kelengkapan terkini sudah ada dan hanya menunggu hasil yang banyak daripada pengusaha,” katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam tanaman vanila boleh berhubung dengan Ishak di talian 09- 2971172 atau 019-6135072.

Update me when site is updated

JERANTUT 3 Jan. – Spesies ikan kelah menjadi kegemaran pemancing kerana saiznya yang besar dan mempunyai keenakan sendiri dalam masakan tertentu.

Pengarah Urusan Syarikat Golden Mahseer Sdn. Bhd., Roslan Abu Kassim, 46, berkata, ikan tersebut yang dikenali ‘Golden Mahseer’ mengambil masa selama tiga tahun untuk besar dan mencapai tahap seberat tiga kilogram.

”Ikan itu boleh mencapai berat sehingga lapan kilogram dan hidup selama 40 tahun bergantung kepada kesesuaian habitat, persekitaran dan makanan.

”Sememangnya, Lubok Tenor dan Melantai Dua merupakan habitat kelah sebelum Taman Negara Kuala Tahan dibuka kerana persekitaran habitat yang sesuai dan banyak makanan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Penduduk Kampung Pagi, Shahradin A. Karim, 44, berkata, ikan tersebut serta spesies air tawar lain ditangkap untuk tujuan komersial memandangkan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran luar.

”Kelazatannya setelah dimasak, menjadi punca ikan kelah antara sajian termahal. Kebanyakan restoran di bandar Jerantut, seketul ikan kelah yang sudah dimasak dijual pada harga mencecah RM40,” katanya.

Shahradin berkata, kegiatan menangkap ikan air tawar di Sungai Tembeling kini terkawal bagi mengelak kepupusan dan mereka yang memiliki permit Jabatan Perikanan Pahang sahaja dibenarkan menangkap ikan.

Rakannya, Zainuddin Nong, 43, berkata, spesies ikan itu menjadi buruan penangkap ikan dan kaki pancing di Sungai Tembeling berbanding di tempat lain.

”Konsep tangkap dan lepas di kalangan pelancong memang patut dipuji walaupun tujuan berseronok dan bersantai tetapi pada masa sama dapat memulihara anak-anak ikan air tawar berkenaan daripada pupus,” katanya.

Beliau berkata, pemuliharaan spesies berkenaan di Lubok Tenor, Melantai Dua dan santuari di Sungai Tembeling antara matlamat kerajaan memberi kesedaran mengenai penjagaan habitat akuatik yang menjadi aset pembangunan pelancong di Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling.

Update me when site is updated

 

Ayuni Diyana Mahadi menunjukkan pelbagai jenis sos di Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Perikanan (Jofish), Kompleks Jabatan Perikanan, Jalan Skudai, Johor Bahru, semalam.


 

JOHOR BAHRU 2 Jan. – Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini sememangnya banyak menghasilkan produk makanan laut tetapi ia masih belum dikomersialkan sepenuhnya.

Antara produk tersebut adalah keropok lekor, bebola ikan, otak-otak, kupang rebus, ikan kering, ikan pekasam, belacan, keropok kering dan ikan salai.

Produk makanan laut yang dihasilkan IKS juga masih sukar ditemui di pasar raya kerana tidak dapat bersaing dengan produk yang diusahakan syarikat besar.

Bagaimanapun, dengan pembukaan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Perikanan (Jofish) di Kompleks Jabatan Perikanan Johor di Batu 4 1/2, Jalan Skudai Kiri di sini baru-baru ini, masalah itu dijangka dapat ditangani.

Terdapat hampir keseluruhan hasil makanan laut sama ada kering atau basah serta buah-buahan termasuk produk makanan lain yang diusahakan IKS dijual di Jofish.

Jofish dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari dan merupakan pusat untuk membantu IKS mengembangkan perniagaan yang sebelum ini dijual secara kecil-kecilan.

Menurut Penyelia Jofish, Ayuni Diyana Mahadi, terdapat lebih 20 produk makanan laut yang merupakan makanan tradisional rakyat Johor iaitu dalam kategori makanan ringan dipasarkan di situ.

Antaranya, otak-otak, satar, ikan kering, keropok lekor, ikan salai, ikan pekasam, udang kering dan keropok ikan yang semuanya dijual dengan harga berpatutan.

“Terdapat banyak produk otak-otak seperti otak-otak nipah, otak-otak kek, otak-otak naget dan otak-otak ikan. Produk IKS selain makanan laut turut kita jual untuk membantu mereka.

“Contohnya getuk ubi, roti perata, karipap kentang dan buah-buahan seperti tembikai, mangga, nanas dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, produk sampingan itu adalah bagi mengisi ruang kosong di Jofish kerana ketika ini tidak semua ahli IKS yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan menghantar produk mereka ke situ.

Meskipun begitu, fokus utama Jofish adalah mengumpul dan memasarkan produk perikanan yang dihasilkan pengusaha IKS dari seluruh negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Abd. Hashim Yassin berkata, setakat ini hanya 12 pengusaha IKS dari beberapa daerah yang menghantar produk mereka ke Jofish.

Menurutnya, semua pengusaha IKS itu pernah mendapat latihan serta bimbingan di bawah jabatan tersebut dan disifatkan sebagai ‘anak angkat’ pihaknya.

Beliau berkata, selain pusat pengumpulan dan pemasaran produk perikanan, Jofish juga akan menjadi pusat pemindahan teknologi dan latihan pemerosesan untuk pengusaha IKS.

“Jofish juga memberi pendedahan dan maklumat terkini mengenai sebarang aktiviti dan peluang kepada pengusaha IKS. Mereka juga boleh mengutarakan masalah yang dihadapi.

“Pusat ini adalah pertama kali dibuka di Johor dan merupakan usaha jabatan ini untuk membantu IKS memasuki pasaran lebih luas,” katanya yang menyasarkan pengusaha IKS berpendapatan di bawah RM3,000 untuk menghantar produk mereka ke situ.

Abd. Hashim berkata, usaha Jofish bukan setakat membantu memasarkan produk pengusaha IKS di negeri ini, malah seluruh negara termasuk ke peringkat antarabangsa.

Justeru, beliau mengingatkan pengusaha IKS meningkatkan kualiti pembungkusan dan pelabelan supaya dapat bersaing dengan produk yang dihasilkan syarikat besar.

Beliau berkata, usaha mengkomersialkan produk itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan semua 116 pengusaha IKS yang berdaftar di bawah jabatan itu digalakkan menghantarkan produk masing-masing.

Update me when site is updated

Biasanya pokok limau madu mula mengeluarkan hasil pada umur dua hingga tiga tahun selepas ditanam.


 

NAMA saintifik bagi limau madu ialah Citrus suhuiensis dan tergolong dalam keluarga Rutaceae. Pokok limau madu merupakan tanaman yang berpotensi tinggi untuk dimajukan dan mendapat permintaan yang menggalakkan di kalangan peminat buah-buahan tempatan.

Ini kerana buah limau madu mempunyai rasa yang manis, kandungan jus yang tinggi, saiz buah yang baik dan kurang mempunyai serat serta hampas.

Tanaman limau tidak mempunyai musim yang utama tetapi pengeluaran buah limau adalah berdasarkan kepada keadaan iklim semasa, bentuk muka bumi dan kesesuaian tanah.

Bagi penanaman pokok limau madu pula, perkara yang perlu dititikberatkan ialah penentuan jarak dan sistem tanaman.

Jarak tanaman yang disyorkan untuk tanaman limau ialah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Kepadatan pokok bagi keluasan sehektar ialah 277 pokok.

Pokok limau madu boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan tut (pengakaran).

Pembiakan tut ini biasanya mengambil masa lebih kurang 30 – 45 hari untuk mengeluarkan akar dan seterusnya dialihkan ke dalam polibeg kecil.

Secara umumnya, pokok limau madu mula mengeluarkan hasil pada umur dua hingga tiga tahun selepas di tanam dan pengeluaran buah amat bergantung kepada penjagaan yang sempurna dari awal penanaman sehingga mula berbuah.

Varieti limau yang ada ditanam di kawasan ladang UPM ialah limau madu dan limau langkat

Update me when site is updated

Mohd. Yaman Mohammad (kanan) melihat perkembangan penternakan diusahakan Mohamad Nasrul (tengah) di Kampung Rasal, Pasir Mas, semalam.


 

PASIR MAS 18 Mac – Menyedari potensi dalam bidang pertanian dan penternakan yang semakin berkembang pesat, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong di sini mengajak golongan belia menceburi bidang tersebut secara serius.

Pengerusinya, Mohd. Yaman Mohammad berkata, bidang penternakan bukan sahaja memberi pulangan tinggi tetapi dalam masa sama membantu meningkatkan pendapatan keluarga penternak sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Setakat ini, kita sudah mempunyai hampir 10 penternak di sini yang menceburi bidang ini manakala untuk seluruh negeri seramai 500 penternak mengusahakan projek yang sama.

”Kebanyakan peserta sebelum ini menghadapi masalah kewangan kerana pendapatan melalui kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini tidak seimbang dengan imbuhan, namun selepas menyertai projek penternakan masalah itu hampir selesai,” katanya ketika ditemui di Kampung Rasal di sini semalam.

Mohd. Yaman menambah, berdasarkan maklumat, penternak lebih berminat membela kambing daripada jenis Boer dan Jamnapari bagi menghasilkan baka induk dan kambing kacukan.

Bagaimanapun, pada masa akan datang pihaknya akan mempelbagaikan jenis kambing dengan mengimport kambing jenis Saanen dari Cyprus untuk diperkenalkan kepada penternak sebagai baka baru yang boleh menghasilkan pendapatan lebih kepada mereka.

“Kambing Saanen dipilih kerana ia mampu memberi dua kelebihan iaitu daging dan tenusu. Melalui kaedah tersebut penternak dapat mempelbagaikan lagi hasil tani yang diperoleh selama ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penternak yang ditemui Mohammad Nurul Asmawi Mahmood, 29, berkata, dia memulakan projek berkenaan sejak tahun 2008.

Katanya, ketika memulakan projek dia hanya bermodalkan RM20,000 yang dijadikan sebagai modal pusingan.

“Syukurlah, hasil yang saya perolehi hari ini cukup lumayan sejak projek ternakan kambing saya mulakan empat tahun lalu. Sebagai persediaan, saya mengikuti kursus mengenai penternakan daripada Jabatan Veterinar Jajahan Pasir Mas,” jelasnya.

Update me when site is updated

Cili antara tanaman sensitif yang banyak menghadapi serangan penyakit. – Gambar hiasan.


 

CILI merupakan bahan utama dalam masakan seharian. Hampir semua lauk-pauk yang dihidangkan setiap hari mempunyai cili dalam ramuannya. Sama ada kari, masak lemak, sambal tumis semuanya mempunyai ramuan cili di dalamnya.

Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui masalah yang dihadapi oleh petani yang menghadapi pelbagai masalah terutama makhluk perosak dan penyakit.

Timbalan Pengarah yang juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Program Pengurusan Perosak dan Penyakit, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor berkata, tanaman cili di negara ini terdedah dengan serangan serangga perosak dan penyakit tanaman.

“Terdapat tiga jenis cili yang biasa ditanam di negara ini seperti cili merah dan cili hijau, cili sayur (cili benggala atau capsicum) dan cili padi,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun hanya cili merah dan cili sayur yang ditanam secara komersial manakala cili padi pula secara kecil-kecilan.

Setiap tahun keluasan kawasan penanaman cili adalah lebih kurang 4,000 hektar.

Dr. Mohamad Roff berkata, tanaman cili terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti kulat, bakteria dan virus serta pelbagai jenis serangga perosak.

“Virus merupakan perosak yang penting dalam tanaman cili. Penyakit virus cili mula dikesan pada 1947 oleh saintis British bernama Burnett tetapi malangnya tiada teknik pengawalan yang canggih ketika itu,” katanya.

Penyakit yang menyerang pokok cili biasanya boleh dikawal di peringkat:

*Semaian Bermula di rumah semaian yang diletakkan dalam jaring serangga bersaiz 24 mesh, biasanya anak benih diletakkan dalam rumah semaian selama 30 hingga 35 hari atau mempunyai enam atau tujuh helai daun.

*Ladang Biasanya cili ditanam di atas batas dengan satu lapisan plastik bersinar yang bertindak mengawal rumpai yang mengawal rumpai yang menjadi perumah virus dan vektor, mengekalkan kelembapan tanah untuk akar, menghalang baja dilarikan air, menghalang vektor singgah di pokok, meningkatkan kadar fotosintesis pokok dan mengurangkan kos. “Kawalan penting pada bulan pertama sehingga ke bulan ke tiga semasa pokok cili mula berbunga dan kemudian berbuah dan selepas bulan kedua petani disaran menyembur racun untuk mengawal vektor.

“Biasanya terdapat dua jenis racun yang digunakan adalah organoklorin (tidak digunakan lagi), organofosfat, carbamate, pyrethroid (racun yang disintesis daripada pokok) dan nicotionid (racun Kelas IV),” katanya. Sebelum mula menanam, petani perlu memastikan varieti cili yang rintang kerana pokok cili terdapat tiga ciri utama iaitu bentuk terbuka atau V, kompak dan sujud. Biasanya kutu daun sukakan pokok cili berbentuk kompak dan sujud dan sebenarnya tiada pokok cili yang rintang kepada penyakit.

Bagi mengawal penyakit dan perosak, petani akan melakukan semburan terus kepada pokok yang biasanya akan membunuh semua serangga termasuk musuh semulajadi. Kini dengan racun nicotionid, petani hanya menyiram racun di pangkal pokok dan kajian oleh Jabatan Pertanian di Melaka mendapati kaedah berkenaan berkesan mengawal virus. Selain itu selingan tanaman cili dan tanaman lain seperti jagung dapat menghalang aphid sebagai vektor. Masalahnya kitaran hidup aphid di negara ini tidak sama dengan negara empat musim kerana di tropika aphid beranak manakala di kawasan temperate, ia bertelur. Kini kajian bioteknologi sedang dijalankan bagi mendapatkan varieti cili yang rintang terhadap penyakit dan perosak terutama CMV.

Update me when site is updated

 

Ternakan udang antara bidang akuakultur yang mendatangkan pulangan lumayan.


 

PENINGKATAN harga makanan dunia serta kekurangan bekalan makanan telah menimbulkan cabaran dalam menjamin stok dalam negara agar sentiasa mencukupi.

Sebagai sebuah agensi yang bertanggung jawab dalam memastikan sumber hasil laut negara sentiasa berada pada tahap yang baik, Jabatan Perikanan pastinya telah terlebih dahulu memikirkan jalan terbaik untuk tujuan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood turut menyedari cabaran-cabaran baru yang bakal diharungi.

Sebagai peneraju, beliau memikul tanggungjawab penting dalam menyelesai serta mengharungi cabaran mendatang.

Menurut Ahamad Sabki, pelbagai cabaran baru telah dikenal pasti dalam sektor perikanan Malaysia dalam memastikan sumber perikanan sentiasa mencukupi.

“Kekurangan bekalan makan di peringkat antarabangsa, perubahan iklim, bencana alam dan peningkatan harga minyak akibat pergolakan yang berlaku di beberapa negara pengeluar minyak turut dilihat sebagai cabaran.

“Namun, bagi negara kita keadaan bekalan makanan termasuk bekalan import masih mampu menampung permintaan rakyat,” ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Biarpun begitu, sebagai sebuah agensi yang bertanggung jawab, setiap cabaran baru perlu dikenal pasti agar dapat diatasi dengan segera.

Namun, secara keseluruhannya, bekalan makanan dalam negara terutama yang berkaitan ikan berada pada tahap yang mana masih mampu menampung permintaan rakyat.

Pada tahun lepas, pengeluaran ikan tempatan mencatatkan sebanyak 1.67 juta tan metrik iaitu 1.29 juta tan metrik daripada perikanan tangkapan, selebihnya, 381,000 tan metrik adalah hasil daripada industri akuakultur.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menetapkan sasaran supaya mencapai lebihan (surplus) dalam imbangan perdagangan makanan pada tahun 2010 melalui Pelan Tindakan BOT (balance of trade).

Namun begitu, trend import telah meningkat sehingga mencecah RM37.41 billion pada tahun yang sama dan keadaan tersebut telah menyebabkan defisit BOT terus berlaku.

Bagaimanapun bagi produk perikanan, nilai eksport adalah melebihi nilai import.

Bagi menghadapai cabaran pada masa akan datang, Jabatan Perikanan turut melaksanakan program transformasi bagi tahun ini sehingga tahun 2020.

Antaranya, visi utama jabatan untuk menjadi peneraju transformasi perikanan mampan dan berdaya saing.

Negara juga memberi penumpuan terhadap Dasar Keselamatan Makanan Nasional agar sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran pada masa akan datang.

Antaranya, adalah sektor perikanan seperti produk ikan segar yang mempunyai wajaran paling tinggi dalam kumpulan makanan yang digunakan oleh rakyat negara ini.

Oleh yang demikian, ikan ditetapkan sebagai satu komoditi sekuriti yang mana ia ditampung melalui penangkapan ikan laut dan industri akuakultur.

Namun cabaran terbesar dalam jabatan ini adalah bagi menguruskan sumber tenaga buruh dalam sektor perikanan negara.

Sehingga kini, Malaysia hanya memiliki 125,632 nelayan (termasuk nelayan asing) dan hanya 23,483 orang penternak dalam bidang akuakultur.

Manakala vesel penangkapan ikan berlesen adalah sebanyak 48,745 buah yang terdiri daripada 40,103 vesel tradisional, 7,897 vesel komersial dan 745 vesel angkut dan MPI (Menunggu Peranti Pengumpul Ikan).

Justeru pada jumlah tenaga yang ada kini ia dilihat sebagai satu cabaran buat Jabatan Perikanan untuk merealisasikan sasaran pengeluaran ikan negara kepada 2.56 juta tan metrik menjelang tahun 2020.

Malah cabaran tersebut turut disertai dengan isu kekurangan nelayan tempatan untuk bekerja sebagai krew vesel penangkapan.

Jelas Ahamad Sabki, ekoran kekurangan tenaga buruh yang amat mendesak dalam sektor tersebut, penggunaan pekerja asing tidak dapat dielakkan.

“Jabatan Perikanan dan Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) menerima banyak memorandum dan surat rayuan bagi mendapatkan kebenaran menggunakan nelayan asing di atas vesel komersial Zon B.

“Kita lihat, pada tahun 2009 sahaja seramai 32,000 nelayan asing telah bekerja di dalam sektor ini,” ujarnya.

Jabatan Perikanan juga turut mengambil langkah berhati-hati agar industri perikanan tidak mempunyai terlalu ramai pekerja asing bagi mengelakkan masalah terhadap keselamatan negara.

Pada masa yang sama, jabatan berkenana turut mengakui masalah kekurangan tenaga buruh ini berpunca apabila sebahagian besar nelayan tempatan yang semakin berumur dan beransur meninggalkan pekerjaan tersebut.

Di tambah pula, minat bagi golongan muda untuk menyambung tugas sebagai nelayan turut semakin berkurang.

“Ia berikutan pekerjaan tersebut dilihat tidak dapat menjamin masa depan mereka kerana pelbagai kelebihan tidak diperolehi mereka berbanding jika mereka menceburkan diri dalam pekerjaan lain.

“Hal ini telah lama kita fikirkan dan pelbagai jalan penyelesaian sedang di usahakan,” jelasnya.

Antara usaha Jabatan Perikanan adalah seperti menubuhkan syarikat bagi memantau serta menjaga kebajikan nelayan sama seperti yang dilakukan oleh syarikat swasta di dalam sektor lain.

Malah, nelayan yang bernaung di bawah mana-mana syarikat tersebut akan menerima gaji dan faedah yang tetap di samping kebajikan mereka turut terjamin.

Menurut Ahamad Sabki, inisiatif penubuhan syarikat tersebut adalah bagi menarik minat golongan muda untuk menjadi nelayan tetapi dalam skop kerjaya yang lebih tersusun dan terjamin.

“Kita faham, rezeki nelayan ini bergantung harap kepada keadaan laut, jika laut bergelora maka kuranglah hasil tangkapan, begitu juga sebaliknya.

“Bagi golongan muda, situasi demikian bukanlah pilihan mereka sedangkan di luar menawarkan pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Jelas beliau lagi, jika dilihat negara-negara maju seperti Jepun, golongan nelayan mereka telah maju, memiliki syarikat yang besar malah ia merupakan suatu pekerjaan yang amat menguntungkan.

“Saya mahu lihat nelayan kita menjadi setanding mereka, memiliki pengurusan yang cekap, siap beruniform malah pada hari-hari yang tidak mendatangkan hasil mereka masih lagi memiliki pendapatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kini terdapat 16 ladang akuakultur dan 24 vesel penangkapan ikan yang menerima Persijilan Kualiti yang dikeluarkan oleh jabatan. Ia bagi membolehkan ikan yang ditangkap atau diternak boleh dieksport ke negara-negara Eropah.

Cabaran seterusnya adalah bagi mewujudkan lebih ramai pengusaha akuakultur dan vesel penangkapan ikan untuk mencapai piawaian tersebut.

Selain itu, mereka juga berperanan menjaga keselamatan nelayan di laut, sistem komunikasi nelayan, pemeriksaan vesel (EU Catch Certificate), memantau penggunaan alat Sistem Penguursan Vesel (VMS) dan borang LOV, biosekuriti, kualiti dan keselamatan makanan dan pelbagai lagi.

Update me when site is updated

 

AHMAD Saifudin Zainal Abidin di dalam rumah cendawan miliknya di Kampung Pak Mahat, Kuantan, baru-baru ini.


 

KUANTAN 30 Mac – Cendawan merupakan antara tanaman makanan yang cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat kerana keenakannya dan ia boleh dinikmati dengan pelbagai cara sama ada secara segar, digoreng tepung atau dibuat sup.

Oleh itu, seperti peribahasa Melayu iaitu ‘ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan,’ begitu juga dengan kemunculan penanam tanaman tersebut ketika ini.

Selepas kerajaan menyatakan komitmen untuk menaikkan martabat industri pertanian, ramai penanam cendawan muncul mengusahakan tanaman tersebut sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan.

Salah seorang pengusaha, Ahmad Saifudin Zainal Abidin, 45, dari Lorong Permatang Gaharu, Kampung Pak Mahat di sini telah mengusahakan cendawan tiram kelabu sejak tiga tahun lalu.

Dia memberitahu, minatnya menceburi bidang itu timbul bagi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat menyertai sektor pertanian bagi menampung keperluan makanan negara selain tidak memerlukan kawasan luas seperti ternakan kambing dan lembu.

Dengan dorongan isteri, akhirnya Saifudin nekad menyertai kursus selama dua hari di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dengan bayaran RM200 dan berkongsi pengalaman dengan pihak yang menyertai bidang penanaman cendawan, mempelajari teknik dan proses tanaman, membekalkan anak benih, membina rumah cendawan serta khidmat kewangan.

‘‘Seingat saya, ketika berkursus di UPM tiga tahun lalu, hanya saya dan isteri, Tuan Rozita Tuan Kecil, 44, yang berbangsa Melayu selebihnya adalah peserta bukan Melayu,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dengan berbekalkan modal permulaan sebanyak RM30,000 hasil simpanan sendiri, Saifudin memulakan perusahaan itu dengan membina sebuah rumah cendawan di tepi kediamannya yang dibina daripada rangka besi dan kanvas.

Rumah cendawan itu mampu memuatkan 15,000 polibeg yang disusun di atas rak bertingkat dan dia mampu mengeluarkan hasil antara 30 hingga 40 kilogram sehari.

Meskipun baru tiga tahun memulakan bidang itu, Saifudin kini mampu memperoleh pulangan lumayan lebih RM300 sehari hasil tuaian cendawan tiram kelabu yang diusahakannya.

“Berbaloi saya menceburi bidang ini, sekurang-kurangnya saya dapat merasai bagaimana usaha gigih yang perlu dilakukan sebelum bergelar usahawan dan tidak lagi sekadar makan gaji.

“Selain cendawan, saya turut menjual biji benih dengan harga hanya RM4 bagi satu beg kepada pengusaha lain di sini,” katanya.

Saifudin yang mempunyai pelanggan tetap menjual secara borong dengan harga RM10 sekilogram untuk pasaran pasar basah dan pasar tani berhampiran.

Selain itu katanya, dia menyasarkan untuk mengeluarkan hasil sebanyak 100 kilogram sehari pada masa akan datang dan berharap dapat membuat pinjaman bagi membiayai mesin untuk memproses cendawan.

Update me when site is updated

Nurul Azna Ain Mohamed menunjukkan produk Murtabak Raja pelbagai perisa yang dijualnya di Kota Bharu, semalam.


 

KOTA BHARU 4 April – Biarpun menghadapi persaingan yang hebat di negeri ini, Nurul Kasih Maju Enterprise (Nurul Kasih Maju) berjaya mengedarkan lebih 1,000 pek Murtabak Raja keluaran Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd. sebulan.

Pengurus Nurul Kasih Maju, Nurul Azna Ain Mohamed berkata, sambutan tersebut di luar jangkaan kerana Murtabak Raja yang suatu masa dahulu hanya dihidangkan di istana, turut dikeluarkan oleh pelbagai pihak lain.

Bagaimanapun katanya, Murtabak Raja keluaran Muslim Best mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri dengan pelbagai pilihan iaitu perasa daging tempatan berperisa lada hitam, sardin bersos salsa nanas dan kari ayam rempah ratus tradisional.

“Sebelum ini Murtabak Raja hanya mempunyai satu perisa, bagaimanapun dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), ia telah dikembangkan dan menyerlahkan keenakan sebenar rasanya.

“Ia didatangkan dengan saiz lebih besar, tebal dan padat, berintikan 100 peratus daging lembu dan ayam tempatan serta sardin berkualiti bersalut telur gred tinggi dan bawang segar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nurul Azna berkata, selain Murtabak Raja, pihaknya turut mengedarkan beberapa produk lain antaranya karipap, popia cendawan berkeju dan samosa coklat pisang yang juga keluaran syarikat Muslim Best.

“Kita sememangnya berhasrat memperluaskan lagi pengedaran makanan sejuk beku ini dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di talian 012-9088700 atau datang ke kedai saya di No. 73N, Jalan Pasir Puteh, Pasir Tumbuh, Kota Bharu.

“Ia sejajar dengan hasrat Muslim Best untuk mewujudkan 1Stokis 1Taman 1Usahawan dan 1Malaysia. Tumpuan kita ialah untuk membantu ibu tunggal, suri rumah, siswazah menganggur dan orang perseorangan,” katanya.

Tambahnya, ejen jualan produk tersebut akan mendapat margin keuntungan sehingga 25 peratus.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0