Archive for April, 2011

MAFPA berperanan membantu proses pembungkusan produk-produk yang akan dieksport ke China.

 

CHINA merupakan negara ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Jepun dengan catatan perdagangan antarabangsa pada tahun 2010 berjumlah RM9.3 trilion.

Daripada segi peluang pasarannya pula, ia dibahagikan kepada segmen-segmen bandar besar dan juga kecil mengikut faktor geografi, kebudayaan, keturunan dan bahasa.

Bukan setakat itu, China yang mempunyai jumlah penduduk mencecah 1.3 bilion orang turut menyumbang kepada kuasa membeli yang semakin meningkat.

Melihat kelebihan tersebut, ia merupakan peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan-usahawan Malaysia untuk memasarkan produk keluaran mereka.

Justeru, Bahagian Pembangunan Keusahawanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini menganjurkan seminar Kesediaan Usahawan Malaysia untuk Menembusi Pasaran di China.

Dianjurkan bersama Persatuan Usahawan Pemprosesan dan Pembungkusan Makanan Malaysia (MAFPA), seminar itu menggariskan matlamat membantu usahawan Malaysia menyediakan perniagaan, produk dan perkhidmatan untuk dieksport ke pasaran China.

Objektif lainnya adalah untuk memberi maklumat mengenai undang-undang pihak berkuasa negara China dalam urusan pengeksportan serta mewujudkan jaringan kerjasama secara berkumpulan.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, usaha meneroka pasaran luar negara memerlukan usahawan menyediakan pelan perancangan strategik yang praktikal, fleksibel dan berpandangan jauh.

”Seminar ini merupakan satu contoh inisiatif yang sangat baik dalam usaha menjayakan agenda pembangunan keusahawanan di negara ini.

”Jadi, sebagai memulakan langkah memasarkan produk dan perkhidmatan ke China, para usahawan perlu bersedia dengan rangkaian perniagaan, memahami peraturan, membuat kajian cita rasa pengguna serta memahami piawaian pembungkusan dan pelabelan.

”Menerusi cara ini, ia akan memberi cabaran kepada para usahawan untuk mengeluarkan produk yang berkualiti,” katanya ketika merasmikan seminar berkenaan di Putrajaya baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAFPA, Kamalbahrin Khamsan pula memberitahu, menerusi seminar itu pihaknya mahu mengenalpasti usahawan yang mampu menyediakan produk bersesuaian dengan keperluan dan permintaan di China.

Ia adalah sebagai persediaan mencari usahawan berpotensi menyertai program Misi Dagang ke China pada bulan Oktober akan datang serta Pameran Perdagangan China dan Pusat Pengedaran pada Januari 2012 anjuran MAFPA.

”Bermula tahun 2008, MAFPA telah mengadakan perjanjian bersama dengan empat pusat pengedaran di Ningxia, Guang Zhou, Shanghai dan Chengdu di China dengan penyertaan lebih 130 usahawan dari Malaysia.

”Dalam masa lima tahun, kita menjangkakan sebanyak 15 buah lagi Pusat Pengedaran akan dibuka dengan tumpuan lokasi di bahagian barat negara China,” jelasnya.

Seminar sehari itu mendedahkan para peserta dengan produk-produk yang berpotensi dieksport selain pembentangan khidmat nasihat, pelan pemasaran dan persiapan eksport.

Pada seminar itu, turut diadakan prapelancaran Pameran Produk Malaysia (PROMAS) 2011 yang bakal diadakan pada 16-19 Disember depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai objektif program PROMAS, Kamalbahrin memberitahu, ia merupakan platform mengumpul dan memilih produk serta perkhidmatan yang bersesuaian untuk dibawa menyertai misi perdagangan dan pameran antarabangsa.

PROMAS juga bakal menjadi medium kerjasama agensi-agensi terlibat dalam urusan eksport seperti MATRADE, Jabatan Kastam, Kementerian Kesihatan, SME Bank, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Update me when site is updated
Penternak ikan, Abdul Halim Ismail menternak ikan patin di dalam sangkar di Kampung Pangsenam, Temerloh, Pahang. – utusan/RUSHDI SALLEH

 

TEMERLOH 10 Jan. – Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius Lanaurdi Bocourt adalah spesies ikan air tawar jenis meserba yang mendiami sungai dan lombong.

Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri dan kanan serta satu di belakang bahagian badan, tidak bersisik dan lembut.

Saiznya boleh mencecah satu meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20 kilogram.

Makanan utama spesies tersebut adalah anak-anak ikan, buah-buahan sungai dan udang.

Di Pahang, kawasan yang paling sinonim dengan ikan patin adalah daerah Temerloh.

Populariti ikan eksotik itu menyebabkan ia menjadi hidangan wajib di kebanyakan kedai makan, restoran dan hotel di daerah ini.

Industri ikan patin sangkar di Temerloh boleh dilihat di sepanjang Sungai Pahang.

Dianggarkan terdapat lebih 100 sangkar ikan patin yang memberi peluang ekonomi kepada penduduk menceburi bidang akuakultur.

Ikan patin Temerloh sama seperti yang terdapat di negara Asia Tenggara.

Ia merupakan sejenis ikan air tawar tanpa sisik yang hampir menyerupai ikan keli.

Kulit ikan itu pula kebiasaannya berwarna perak, putih kebiru-biruan. Di Thailand, patin dikenali sebagai basa.

Patin lazimnya hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan.

Berikutan popularitinya dan keenakannya, menternak ikan patin sangkar adalah perniagaan yang menguntungkan di Temerloh.

Bekalan ikan patin sentiasa dicari sama ada di pasar atau pekan sehari, pasar raya atau di gerai-gerai ikan air tawar di sepanjang Sungai Pahang.

Menurut seorang penternak, Abdul Halim Ismail, 45, permintaan terhadap ikan patin adalah luar biasa jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Pahang.

Katanya, sambutan luar biasa tersebut menyebabkan para penternak patin kadangkala tidak ‘menang tangan’ untuk memenuhi permintaan.

“Saya sendiri menternak 1,200 ekor patin pada satu-satu masa dalam tempoh lapan bulan dan membekalkan sekitar 600 kilogram ikan patin setiap bulan untuk memenuhi permintaan suri rumah dan pengusaha restoran,” katanya ketika ditemui di Kampung Pangsenam di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Halim, ikan patin liar mempunyai harga yang agak mahal kerana ia mempunyai pasarannya yang tersendiri.

Seorang lagi penjual ikan patin, Mohd. Izahari Zakaria, 40, berkata, ikan patin sangkar mempunyai banyak keistimewaannya.

“Ia berbeza dengan ikan patin yang diternak di dalam kolam. Lazimnya, ikan patin yang diternak dalam kolam mempunyai rasa lumpur dan hanyir,” jelasnya.

Sebaliknya, jelas beliau, ikan yang dipelihara di dalam sangkar yang membesar dalam Sungai Pahang rasanya jauh lebih enak berbanding spesies sama yang hidup meliar di sungai-sungai negara ini.

Tambahnya, ikan patin sangkar dijual pada harga RM14 sekilogram manakala ikan patin liar dijual antara RM80 dan RM200 sekilogram mengikut jenis.

Sementara itu, seorang pengusaha gerai ikan patin, Muhamad Alimi Adnan, 40, berkata, rasa ikan patin lebih manis apabila dicampurkan dengan sedikit tempoyak.

“Sama ada masakan itu berkuah atau dipanggang, patin lebih sedap jika ditambah sedikit tempoyak dalam masakan,” katanya.

Menurutnya, rasa ikan patin memang berbeza dengan ikan air tawar yang lain.

“Kebanyakan penggemar pula sangat suka makan bahagian perut ikan patin yang hanya mengandungi lemak tanpa isi.

“Menurut kata orang-orang lama, lemak di bahagian perut ikan itu membantu melembapkan kulit wajah dan melambatkan kedutan serta mengatasi masalah jerawat,” katanya.

Update me when site is updated
IBRAHIM Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan tilapia merah yang dibungkus untuk sejuk beku kepada Azmi Che Hussain di kolam Kampung Banggol Asam Jawa, Pulai, Baling, Kedah.

 

Sama ada dibakar, dicicah atau digoreng, tilapia merah atau si manis merah ini mempunyai kelainan tersendiri terhadap cita rasa penggemar ikan air tawar.

Tilapia merah ini salah satu spesies ikan air tawar organik yang mula mendapat perhatian penggemar ikan tempatan dan luar negara kerana khasiat tersendiri.

Di Amerika Syarikat (AS) penduduknya dikatakan lebih gemar memilih ikan ini yang dikatakan sesuai untuk kesihatan diri berbanding menikmati ayam.

Di kenali sebagai aquatik chicken oleh penduduk negara berkenaan, sudah sampai masanya ikan ini dijana pengeluarannya secara besar-besaran kerana potensi luasnya yang semakin diminati.

Kesesuaian air dapat membantu pengusaha tempatan menceburi ternakan tilapia merah ini secara serius.

Biasanya penggemar tempatan dalam negara kita akan merasai sedikit dahulu isi ikan ini kerana ada ketikanya ikan ini berbau tanah atau hanyir tentunya memberi kesan kepada peminatnya.

Lebih-lebih lagi ikan ini yang kebanyakan diternak di dalam kolam bekas lombong atau tanah sawah akan mempengaruhi fizikal semulajadinya.

Di Kampung Banggol Asam Jawa, Pulai, Baling Kedah, lapan penduduk di bawah program e-Kasih yang mengumpulkan penduduk miskin mengusahakan ternakan ikan air tawar dengan menjadikan spesies tilapia merah.

Projek tersebut dilihat sebagai pilihan tepat menerusi program sosioekonomi untuk menambah pendapatan.

Sehingga ini, sebanyak 26 buah kolam telah dibangunkan dengan bantuan seorang pengusaha berpengalaman bagi menjadikan industri akuakultur ini satu kejayaan selain memperkenalkan daerah berkenaan sebagai pengeluar tilapia merah.

Dengan keluasan lebih enam hektar dan usaha memperoleh lebih sekurang-kurangnya 100 hektar melalui tanah sawah terbiar sedang dilakukan termasuk menilai tahap air pada tahap pH yang sesuai.

Jika dibandingkan dengan jumlah tanah sawah terbiar di daerah ini projek ternakan tilapia merah itu boleh menjadi projek perintis kepada usaha memajukan tanah terbiar dengan ternakan tilapia secara komersial.

Bukan itu sahaja, sekurang-kurangnya lebih 300 kolam lagi akan diwujudkan dalam menjana semula ekonomi penduduk miskin.

Projek di Kampung Banggol Asam Jawa ini yang diketuai oleh pengusaha berpengalaman selama 23 tahun, Ibrahim Ahmad, 44,telah mula menampakkan tanda positif apabila lebih 10 tan tilapia dapat dikeluarkan dalam seminggu.

“Kita yakin dapat mengeluarkan sebanyak 10 tan tilapia merah seminggu dan akan bertambah pada pengeluaran peringkat kedua,” katanya kepada MEGA ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun diusahakan secara berkelompok peserta projek akan bekerja di projek tersebut dan akan mendapat hasil setelah ditolak kesemua perbelanjaan.

Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya hanya mampu membekalkan tilapia merah ke pasaran tempatan termasuk Lembah Kelang.

Namun begitu pemegang ijazah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sudah semakin teruja apabila ada penawaran dari syarikat antarabangsa yang mahukan produk keluaran tempatan ini dipasarkan secara lebih luas.

Ibrahim mengakui, beliau telah mendapat tempahan apabila Denmark dan AS namun jumlah yang diminta cukup besar.

“Antara 15 hingga 20 kontena sebulan diperlukan oleh negara terbabit memberikan keyakinan kepada kami untuk berusaha,” katanya.

Lebih menarik, Ibrahim dengan pasukannya telah membuat banyak kajian termasuk dalam menghasilkan baka menarik tilapia merah.

Beliau menambah, tilapia merah yang dibungkus akan disejuk beku sebelum dihantar kepada pasaran tempatan.

“Kita yakin jumlah pengeluaran boleh ditingkatkan kerana kesesuaian pembesaran ikan dan pemakanan secara sistematik,” ujarnya.

Katanya, tilapia menggunakan induk tempatan yang dibiak dan dibesarkan didalam kolam menyebabkan pengeluaran benih dapat ditingkatkan dalam tempoh masa yang singkat.

Menurut Ibrahim, kejayaan mengeluarkan hasil tilapia merah ini bukan sahaja menjana pendapatan penduduk malah akan mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan yang dialami mereka sebelum ini.

Katanya, sebanyak 600 kilogram pelet makanan ikan terpaksa digunakan sehari bagi makanan ikan tersebut.

Tambahnya, ikan tersebut mengambil masa antara enam hingga lapan bulan sebelum hasilnya dapat diambil.

Projek tilapia merah ini turut menjana kepada industri baru berasaskan tilapia apabila sisik ikan ini boleh dibuat kolagen manakala lendirnya boleh dibuat kosmetik untuk dikomersialkan.

Terbaru pihaknya menghasilkan kopi kalogen dari sisik tersebut.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan negeri Kawasan Bayu, Azmi Che Hussin yang berbangga dengan kejayaan peserta, berharap lebih ramai lagi peserta program e-kasih boleh terlibat berikutan banyak kawasan tanah sawah yang tidak diusahakan.

“Kita berharap projek ini menjadi projek perintis dalam membawa pendapatan terus kepada penduduk miskin,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk ternakan itu melalui program e-kasih ini.

Katanya, jaminan pasaran dan teknikal akan menjadikan projek ini berjaya sekali gus mampu menjadikan daerah ini pengeluar terbesar ikan tilapia merah.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0