 |
|
Keratan daripada portal berita Sin Chew Daily menunjukkan pari manta seberat 1,300 kilogram dengan lebar 18 kaki dinaikkan nelayan nelayan Pulau Ketam selepas ditangkap pada awal tahun baru. – Gambar ihsan Sin Chew Daily
|
SELAMAT Tahun Baru 2011 kepada semua pembaca ruangan ini. Diharap semua pembaca dan peminat ruangan ini berada dalam keadaan sihat sehendaknya.
Sempena tahun baru ini Bidai ingin menceritakan satu senario yang berkaitan dengan hobi Bidai, menyelam skuba.
Hobi yang dikategorikan agak mahal ini menjadi minat Bidai sejak sekolah lagi namun ia hanya dapat diperoleh selepas Bidai berkerja selama 10 tahun.
Bukan bermakna yurannya amat mahal dan memerlukan 10 tahun untuk Bidai mengumpul duit tetapi ia lebih kepada pemahaman dan keperluan yang perlu Bidai amalkan sebelum menyertai hobi yang pada sesetengah orang dianggap merbahaya ini.
Dan akhirnya, selepas mendapat lesen menyelam skuba, Bidai menjadikan lokasi selam skuba di seluruh negara sebagai destinasi utama untuk mengerjakan hobi ini.
Antara sebab Bidai menjadikan lokasi selam skuba tempatan sebagai tumpuan dan bukan di kebanyakan lokasi selam skuba luar Malaysia ialah disebabkan lokasi selam skuba di negara kita tidak akan habis diterokai walaupun dijadikan tumpuan sepanjang hayat.
Malah, ia juga bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung jika menyelam ke luar negara berbanding menyelam di dalam Malaysia.
Tak dinafikan, ada sesetengah lokasi selam skuba terutama di Sabah dilihat lebih mahal jika kita menyelam skuba di Indonesia atau Thailand. Namun bagi Bidai, lokasi selam skuba di Sabah berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Bukan hanya Bidai yang sanggup ke sana saban tahun, penyelam skuba dari Amerika yang terpaksa melalui penerbangan melebihi 23 jam juga sanggup menyelam di Sabah terutama Pulau Sipadan.
Apa pun, membaca pengalaman rakan-rakan menyelam skuba di negara lain menyebabkan Bidai memasang tekad untuk merasainya sendiri dan ini mula dirasai selepas 10 tahun berkecimpung dalam hobi ini.
Maka persiapan dilakukan dan yang paling utama, ‘dana’ untuk merasai kehebatan menyelam skuba itu mula dikumpulkan sedikit demi sedikit.
Bidai bukanlah dikategorikan mereka yang bergaji besar dan mampu memetik jari sahaja untuk mendapatkan ‘ongkos’ yang dikehendaki. Jadi setiap bulan sedikit daripada gaji akan diketepikan untuk merealisasikan hasrat yang sedang membara.
Lokasi yang dipilih ialah ke Similan dan Surin di Phuket, Thailand. Lokasi ini Bidai pilih disebabkan kepelbagaian spesies yang ada di situ.
Dan ia juga bagi membolehkan Bidai mendokumentasikan satu spesies marin menarik yang jarang ada di negara kita iaitu pari manta di Koh Bon.
Pari manta yang boleh mencecah melebihi 1,000 kilogram dengan lebar sehingga enam meter ini menjadi spesies tumpuan di Similan kerana ia datang secara berkumpulan dengan lemah gemalai bermain-main bersama-sama penyelam skuba.
Sampai pada harinya, Bidai terbanglah ke Phuket dan menaiki bot untuk ke Similan. Menyelam skuba dan tinggal di atas bot selama lima hari memanglah menyeronokkan namun ketiadaan pari manta sewaktu menyelam mungkin sedikit mengecewakan.
Lebih menarik, kami ulang menyelam di Koh Bon selama empat kali. Namun bukan nak kata satu, bayang pari manta pun kami tidak dapat lihat.
Bayangkan, selepas terpaksa menghabiskan ribuan ringgit dan membawa keperluan yang mempunyai berat sehingga 50 kilogram, spesies utama yang dicari tak kunjung tiba.
Bukan hanya wang tidak dikembalikan, masa yang dihabiskan juga dirasakan amat tidak berbaloi. Namun itulah hakikat yang perlu ditempuhi oleh penyelam skuba, tiada jaminan yang diberikan walaupun sebelum itu promosi penganjur menyebabkan air liur Bidai meleleh.
Jadi itulah serba sedikit pengembaraan Bidai dan rintangan yang perlu Bidai lalui hanya disebabkan satu spesies, pari manta.
Namun menjelang hari pertama tahun baru 2011 ini, hati Bidai remuk yang turut disulami dengan perasaan marah selepas portal berita akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memaparkan satu berita yang pada Bidai sepatutnya tidak terjadi.
Berita bergambar yang menunjukkan nelayan di Pulau Ketam di Selangor menaikkan pari manta seberat 1,000 kilogram menjelang tahun baru.
Menurut portal berita Sin Chew Daily, nelayan berjaya menaikkan ‘binatang yang besar dan menakutkan’ itu selepas berhempas pulas selama beberapa jam.
Manakala portal berita China Press pula melaporkan, seorang penduduk pulau, Kang Mingshun berkata, nelayan berkenaan menangkap pari manta itu pada pukul 7 petang, 30 Disember 2010 dan mendakwa pari itu secara tidak sengaja terbelit tali pada sangkar ikan nelayan terbabit.
Menurut portal berita itu tadi, nelayan itu cuba membuka tali yang terbelit untuk membolehkan pari itu melepaskan diri tetapi disebabkan keadaan terlalu gelap, usaha dihentikan dan akan dilakukan pada waktu pagi.
Namun, cubaan melepaskan spesies mega itu pada waktu pagi gagal dan keadaan terbelit yang lama menyebabkan pari manta itu mati dan atas alasan itu, ia dibawa ke Pulau Ketam.
Di sini Bidai sekali lagi tidak menyalahkan nelayan itu kerana pada pengamatan Bidai, mereka merasakan ikan itu boleh dinaikkan dan tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.
Jika Jabatan Perikanan memberi pengetahuan yang cukup, Bidai dapat merasakan perkara ini tidak terjadi.
Tapi adakah Jabatan Perikanan merasakan pari manta itu satu perkara yang penting dan perlu dilindungi?
Pada Bidai mungkin tidak kerana sehingga kini tidak ada akta yang mengatakan ikan itu tidak boleh dibawa naik. Malah hanya spesies yu paus sahaja setakat ini dilindungi, tidak pari manta.
Alasannya mudah, pari manta tidak banyak ada di Malaysia.
Bidai agak sedih dengan kejadian ini. Bayangkan Bidai dan lain-lain penyelam skuba terpaksa menyimpan duit dan berhempas pulas untuk menyelam di negara orang dalam menyaksikan spesies ini namun ketika ia ada di Malaysia, ia tidak dilindungi.
Pada Bidai, pengetahuan dan pemahaman spesies terancam perlu diperhebatkan oleh Jabatan Perikanan dan biarlah ia dapat diuar-uarkan secara berkala kepada nelayan dan orang ramai.
Bayangkan jika pari manta itu semakin banyak memasuki perairan negara kita tapi tiada usaha untuk menghalang daripada ia dinaikkan nelayan, apa akan terjadi?
Bayangkan lagi jika nelayan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai spesies terancam dan membantu untuk memulihara spesies-spesies itu, pastinya Bidai percaya satu janaan ekonomi baru selam skuba akan terhasil daripada promosi mengenai kewujudan ikan itu di Malaysia.
Jadi adakah Jabatan Perikanan akan mendiamkan diri mengenai perkara ini? Bidai tuntut satu penjelasan konkrit.
Fikirkanlah…