Fri 4 Feb 2011
Minuman ekstrak belut
Posted by admin under Agro - biz
[2] Comments
![]() |
|
A. Razak Kamis menunjukkan pek minuman dan pek uncang minuman botani yang dihasilkan daripada ekstrak belut di kilangnya baru-baru ini.
|
Sebut sahaja ‘belut’, ramai akan memberi pelbagai reaksi. Yang pasti spesies ikan ini terkenal sebagai juadah yang enak di negeri pantai timur dan utara tanah air.
Dikenali juga sebagai ‘ikan linang’, belut mengisi pelbagai hidangan nasi.
Umpamanya di Kelantan, menu nasi sup belut, nasi paprik belut, nasi kerabu belut dan nasi tom yam belut sememangnya tidak asing dan mudah didapati seperti di kedai makan di sekitar pekan Tumpat.
Sesetengah masyarakat sebelah negeri utara pula menjadikan daging belut yang manis itu sebagai kuah laksa.
Belut atau nama saintifiknya Monopterus albus termasuk dalam kategori ikan dan berbentuk panjang dengan kepalanya yang bulat dan berinsang.
Sungguhpun ramai yang tidak ‘sudi’ makan belut, tetapi diakui, hidupan air tawar ini kaya dengan pelbagai khasiat.
Sekiranya diamalkan memakan belut, ia dikatakan boleh menguatkan daya tahan tubuh, membantu menstabilkan tekanan darah, membantu menghaluskan kulit, mencegah penyakit mata, menguatkan daya ingatan dan membantu mencegah hepatitis.
Belut juga kaya dengan lemak, kalsium, vitamin B, Vitamin D dan zat besi.
Ramai yang percaya belut boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan.
Rancak Niaga, sebuah syarikat bumiputera di Melaka tampil memperkenal produk minuman botani dengan ekstrak belut dan losyen ekstrak belut menggunakan jenama Hibaat.
Pengenalan dua produk ini adalah inisiatif syarikat itu untuk mereka yang tidak ‘sudi’ makan belut kerana ‘geli’ sedangkan khasiatnya perlu dimanfaatkan oleh semua peringkat umur.
Pengarah Pemasaran Rancak Niaga, A.Razak Kamis berkata, dua produk itu yang sudah tiga bulan berada di pasaran, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin menikmati khasiat belut.
Beliau berkata, minuman botani dengan ekstrak belut dirumus khas sebagai minuman tambahan untuk kaum lelaki. Antaranya bagi meningkatkan stamina dan daya tahan tubuh, penstabilan tekanan darah, membantu mengatasi sakit sendi dan tulang serta memberi kekuatan dan tenaga dalaman lelaki.
Katanya, antara kandungan utama minuman ini ialah ekstrak belut, tumbuhan herba seperti Tribulus terrasteris, ginkgo biloba, guarana dan rempah ratus.
Syarikat itu memasarkan produk minuman berkenaan dalam dua bentuk iaitu botol 390 ml dan kotak yang mengandungi lima uncang yang setiap satu 30 ml.

















