Archive for January, 2011

JIKA mengikut laluan yang betul, memang tidak susah mencari ladang Cattle Farms D’Zas, milik pelakon Teater Muzikal Uda dan Dara, Razali Hussain yang beroperasi jauh dalam hutan sekitar Batu 22, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Ladang lembu seluas tiga ekar itu dimiliki Razali dan dua rakan kongsinya, Hanna Zaheeda yang juga pengarah Urusan Cattle Farms dan seorang lagi rakan kongsi mereka, Abang Samad.

Bagi memastikan wartawan dan jurugambar Rap tidak sesat, Razali setia menunggu di Batu 14, Hulu Langat untuk menunjukkan penulis arah ke ladang miliknya itu. Hujan renyai-renyai juga menyambut kedatangan kami ke ladang lembu itu kira-kira jam 4 petang.

Kata Razali yang bertopi pada petang itu, ladang lembu itu baru beroperasi kira-kira tiga bulan lalu.

“Maaf, ladang ini juga belum ada papan tanda kerana kami baru menempahnya. Sebelum ini, ladang ini mempunyai lebih 100 ekor lembu sebelum ia dibeli pelanggan.

“Kini, hanya tinggal kira-kira 30 ekor lembu saja lagi diternak di ladang ini. Lembu yang diternak di ladang ini membabitkan baka tempatan dan Brahman (Thailand),” katanya.

Akui Razali, lembunya juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, sempena Aidiladha.

“Banyak lembu di ladang ini sudah ditempah untuk majlis korban sempena Aidiladha. Harga seekor lembu yang dijual di ladang ini juga berpatutan iaitu dari RM2,500 dan ke atas. Harga lembu yang dijual juga bergantung kepada usia lembu yang sudah cukup matang untuk dikorbankan,” katanya.

Kata Razali, harga lembu di ladangnya lebih murah pada hari bukan perayaan.

“Selain untuk korban dan majlis akikah, orang ramai juga boleh membuat tempahan lembu untuk majlis kenduri dan majlis perkahwinan. Pada hari biasa, harga lembu di ladang kami dijual serendah RM1,700 dan ke atas.

“Insya-Allah, jika sambutan terus menggalakkan daripada pelanggan, kami merancang membesarkan lagi ladang ini pada masa depan,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk menceburi bisnes lembu itu, Razali berkata, ia bermula dengan tawaran Hanna atau lebih mesra disapa Kak Anne untuk menceburi bidang penternakan lembu itu, kira-kira dua tahun lalu.

“Saya mula mengenali Kak Anne apabila saya terbabit dalam satu persembahan sebelum ini. Kak Anne terus mengajak saya menjadi rakan kongsinya apabila dia dapat tahu minat saya yang cukup mendalam dalam bidang perniagaan.

“Saya terus terima tawarannya itu dan kami sepakat menamakan ladang ini dengan nama D’Zas yang juga gabungan nama kami bertiga iaitu Zali, Anne dan Samad,” katanya.

Apapun, Razali mengakui bisnes penternakan lembu juga ada cabarannya.

“Terus terang, kami bertiga memang tiada asas dalam penternakan lembu ini. Namun, hasil kajian mendalam daripada mereka yang pernah terbabit dalam bidang ini, kami yakin untuk menceburi bisnes ini.

“Pada peringkat awal, kami buka ladang ini memang su�sah untuk mengendalikannya. Kami juga memilih kawasan di Batu 22, Hulu Langat ini kerana ia memang sesuai untuk menternak lembu.

“Saya masih ingat, ada se�ekor lembu kami yang cedera apabila jatuh lori pada pering�kat awal kami buka ladang ini. Kami terus sembelih dan menjamu penduduk sekitar kawasan ini,” katanya.

Lebih bermakna, kata Razali, modal yang digunakan untuk buat bisnes itu juga duit hasil titik peluhnya dalam bidang seni, sejak lima tahun lalu. Menurutnya, kos untuk membuka ladang lembu juga tinggi iaitu kira-kira RM150,000.

“Saya sedar bidang seni ada pasang surutnya dan bisnes ini sebagai jaminan masa depan.

“Sebagai artis, saya juga hanya berada di ladang bila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran drama dan teater dan undangan persembahan nyanyian.

“Saya tidak bimbang untuk ke lokasi penggambaran kerana abang Samad dan tiga pekerja mampu mengendalikan ladang ini bila kami tidak ada,” katanya.

Bagi yang berminat untuk membuat tempahan lembu dari ladang D’Zas mereka boleh hubungi talian 019 2320625, 019 2110901 dan 017 6407003.

Dalam perkembangan lain, sambutan Aidiladha yang mula disambut hari ini diraikan Razali secara sederhana di Hulu Langat.

“Saya juga menghadiri majlis korban yang dibuat di surau Hulu Langat pada pagi Aidiladha,” katanya.

Berkongsi perkembangan karier seninya pula, Razali akan terbabit dengan peng�gambaran drama Alauddin untuk stesen TV Hijrah, bulan depan.

“Saya bawa watak utama antagonis dalam cerita untuk stesen TV baru ini,” katanya.

Update me when site is updated

JEMPOL 13 Jan. – “Tanpa minat segalanya tidak mungkin terjadi kerana minat itulah kunci kejayaan yang saya peroleh hari ini,” kata pengusaha kraf tangan pokok getah, Munah Jamil, 60.

Bakatnya dalam membuat bunga menggunakan daun getah itu kini bukan sahaja memberinya pendapatan baru tetapi produknya juga telah menembusi negara luar.

”Alhamdulillah saya menerima tempahan dari Indonesia, Singapura dan Australia. Ini merupakan peluang terbaik untuk mengembangkan perniagaan ini. Siapa sangka melalui lawatan ke tempat membuat bunga getah di Kuala Lumpur pada tahun 2000, akhirnya saya ‘jatuh cinta’ pada kraf tangan ini.

”Segalanya menjadi mudah apabila saya mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pihak RISDA,” katanya di sini baru-baru ini.

Ibu kepada lapan orang anak itu juga tidak menjangka minatnya akan bertukar menjadi perniagaan.

”Apabila sudah ada kemahiran lebih baik saya gunakan peluang itu untuk berniaga dan apabila kawan-kawan tengok bunga yang dibuat, mereka berminat dan menempahnya.

”Sampai hari ini saya masih mengikuti pelbagai kursus yang dianjurkan, walaupun sudah mahir dalam membuat bunga getah, saya perlu mengetahui permintaan masa kini,” ujarnya yang membuka bengkel di Kampung Lonek di sini.

Menetap di Kampung Lonek juga memberikan tuah kepadanya kerana kawasan itu sentiasa dikunjungi pelancong yang mahu menetap di Inap Desa Kampung Lonek.

”Saya berpeluang menganjurkan kursus membuat bunga kepada peserta inap desa dan biasanya peserta diajar membuat bunga yang mudah agar mereka cepat belajar,” tambahnya.

Antara hasil kraf yang dihasilkan oleh Munah menggunakan daun getah adalah koleksi dalam bentuk jambangan bunga, bunga telur, bunga rampai, bunga pengantin dan bunga kosage.

Malah daun getah yang telah dikeringkan juga dijadikan hiasan pada pasu, beg cenderamata, penanda buku, rantai kunci, jam dinding dan bingkai gambar.

Sementara itu, anak Munah, Nor Hafiza Ruslan, 43, turut tertarik dalam kreativiti menghasilkan bunga menggunakan daun getah.

”Sudah dua tahun saya melibatkan diri dalam kraf tangan ini dan rugi jika tidak belajar kemahiran ini,” ujarnya.

Katanya, halangan terbesar adalah bau busuk yang keluar sewaktu daun getah bertukar untuk menjadi rangka daun dan itu harus ditempuh bagi sesiapa yang berkeinginan membuat bunga daun getah ini.

”Bau kurang menyenangkan itu akan berlarutan selama sebulan dan ini merupakan sebahagian proses yang perlu dilalui kerana biarpun busuk, hasilnya cantik dan berseri,” katanya.

Nor Hafiza berkata, tempahan yang diterima amat menggalakkan sehingga mereka terpaksa bekerja keras untuk memenuhi permintaan pelanggan.

”Hanya saya dan ibu yang melakukan kerja ini, jadi kami terpaksa memberikan segala tumpuan untuk menyiapkan tempahan.

”Apa yang penting mutu tetap dijaga walaupun memperoleh banyak tempahan. Hasil kraf bunga daun getah ini dijual serendah RM2 hinggalah kepada RM200,” kata Nor Hafiza.

Update me when site is updated

Nor Hafiza Ruslan melihat hasil daun getah yang telah direndam dan mengeringkannya (gambar kanan) sebelum diproses menjadi jambangan bunga di Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan.



JEMPOL 13 Jan. – Dari daun pokok getah ia berubah wajah menjadi bunga yang sangat cantik.

Itulah gambaran yang dapat diberikan kepada sehelai daun getah biasa dan menjadi bunga yang bernilai setelah melalui beberapa proses kreativiti dan pengkomersialan.

Langkahnya mudah sahaja. Hanya petik daun getah tersebut, rendam di dalam air bersih selama satu bulan untuk menghilangkan kotoran, kemudian bilas dan rendam semula dengan ubat cecair peluntur sehingga daun menjadi putih.

Bilas dan basuh daun tersebut dengan sabun untuk mendapatkan bau wangi dan selepas itu anda hanya perlu mengeringkan daun tersebut menggunakan mesin basuh.

Saat yang ditunggu-tunggu sudah tiba kerana daun getah telah bersedia untuk melalui proses seterusnya iaitu berubah menjadi bunga mengikut bentuk yang dikehendaki.

Sehelai demi sehelai daun yang telah kering diambil dan kesemuanya kini bergantung kepada pengusahanya, Munah Jamil, 60, untuk mempamerkan bakatnya untuk membentuk bunga.

Tanpa menggunakan sebarang alatan daun itu berubah wajah menjadi sekuntum bunga.

Kepuasan dapat dilihat pada riak muka Munah ketika ditemui di Kampung Lonek di sini baru-baru ini apabila dalam beberapa saat bunga ros terbentuk dengan menggunakan sebanyak 11 helai daun.

Kuntuman bunga itu diikat Munah dengan rapi menggunakan benang agar ia tidak tertanggal. Kemudian, masa untuk mewarnakan pula bunga yang telah sedia dibentuk itu.

Munah memilih warna yang dikehendaki pelanggannya dan teknik semburan digunakan untuk mewarnakan bunga tersebut.

Lebih menarik perhatian warna tersebut tidak melekit dan basah, malahan lekas kering walaupun baru sahaja disembur.

Kini tiba masa untuk melekatkan bunga yang telah sedia diikat dengan dawai halus.

Bagi menyerikan lagi bunga tersebut, dawainya yang dijadikan tangkai dililit menggunakan pita pelekat hijau agar nampak lebih kemas.

Jika inginkan kelainan, pelbagai perhiasan seperti manik boleh ditambah bergantung pada permintaan pelanggan.

Kata Munah, jika ada kemahuan, di situ ada jalan dan permintaan bunga dari daun pokok getah ini sentiasa meningkat, malahan menjadi satu tarikan kepada pelancong yang memang menggemari hasil seni rakyat tempatan.

”Jangan anggap bunga getah tidak ada nilai. Cubalah buat, pasti menyeronokkan,” kata Munah yang dibantu oleh anaknya, Nor Hafiza Ruslan dalam menyediakan bunga tersebut .

Update me when site is updated

Kek keju



RAMAI menggemari keenakan kek keju. Namun tidak semua tahu cara terbaik menyediakannya. Terdapat dua jenis kek keju yang boleh disediakan iaitu kek keju dingin dan kek keju bakar.

Tiga minggu lepas saya ada berkongsi resipi kek keju bakar dengan para pembaca. Pada minggu ini saya kongsikan pula bagaimana untuk menyediakan resipi kek keju tanpa dibakar.

Kek keju dingin menggunakan keju krim (cream cheese) sebagai bahan utama. Ia merupakan sejenis kek yang tidak memerlukan ketuhar untuk membakarnya. Anda hanya memerlukan peti sejuk untuk mengeraskan kek ini.

Apabila membuat kek keju bakar risiko kek retak dan terlebih masak adalah masalah yang biasa dihadapi. Tetapi kek keju dingin tidak akan retak atau terlebih masak.

Inilah keistimewaan kek keju dingin. Walaupun tidak dibakar, anda dapat menikmati rasa kek keju yang enak, berlemak dan berkrim.

Kek keju dingin tidak menggunakan tepung dan telur dalam adunan untuk membentuk struktur kek kerana gelatin yang dicampurkan di dalamnya berfungsi untuk mengeraskannya.

Gelatin merupakan sejenis protein (kolagen) yang diekstrak daripada rebusan tulang, kulit dan tisu haiwan seperti lembu.

Terdapat dua jenis gelatin iaitu kepingan dan serbuk. Serbuk gelatin lebih senang didapati dan mudah digunakan – hanya perlu dicairkan dengan air panas.

Pasti ada antara pembaca yang mempersoalkan sama ada gelatin itu halal atau tidak? Jangan bimbang! Kini anda boleh membeli serbuk gelatin yang halal di pasar raya.

Tip mencairkan gelatin adalah sangat penting. Gelatin perlu dicairkan dengan air panas dan biarkan seketika sehingga gelatin betul-betul cair, licin dan tidak berpasir.

Kemudian apabila ingin mencampurkan dalam adunan kek pastikan dikacau dengan serta merta dan cepat supaya sekata. Jika tidak kek tidak dapat mengeras dengan sekata.

Kek keju dingin perlu disejukkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam dalam peti sejuk untuk ia mengeras. Pastikan suhu peti sejuk adalah sekitar 3-5 darjah Celcius dan pengaliran udaranya juga dalam keadaan baik supaya proses untuk kek mengeras tidak menjadi lambat.

Sekiranya anda ingin mempercepatkan proses kek ini menjadi keras apa yang saya cadangkan adalah dengan meletakkan kek ini di dalam peti sejuk beku (freezer) selama lebih kurang 30-40 minit dan kemudian alihkan kek ini ke dalam peti sejuk.

Ini dapat mempercepatkan masa kek menjadi set (keras). Seperti kek keju bakar, anda boleh menggunakan lapisan biskut atau lapisan kek span untuk membuat kek ini.

Biskut perlu dikisar halus dan digaulkan dengan mentega cair. Biskut yang biasa digunakan adalah biskut marie. Anda boleh menggunakan biskut perisa lain mengikut kesukaan anda.

Sebelum anda memadatkan biskut pada acuan, konsistensi biskut yang dicampurkan dengan mentega cair perlulah betul. Untuk menguji konsistensinya adalah dengan menggenggam biskut itu, jika anda boleh mengepalnya itu bermakna konsistensinya telah cukup.

Bekukan sebentar lapisan biskut dan selepas itu barulah dituangkan adunan kek keju di atasnya. Seterusnya keraskan ia dalam peti sejuk.

Update me when site is updated

Nephelium mutabile merupakan nama saintifik bagi pulasan dan tergolong dalam keluarga rambutan iaitu Sapindaceae. Buah pulasan mempunyai persamaan dengan buah rambutan akan tetapi terdapat perbezaan nyata yang boleh dilihat dari segi kulitnya yang lebih tebal, bulunya yang agak keras dan isinya ada yang kering atau berair bergantung kepada klon.

Untuk kaedah pembiakan pokok pulasan pula, kaedah cantuman mata tunas adalah sangat mudah dibiak dan mempunyai kadar peratusan hidup yang tinggi.

Manakala bagi kaedah cantuman baji pula, cantuman yang dibuat biasanya mempunyai kadar peratus hidup yang rendah dan agak sukar untuk dibiakbakakan.

Ini kerana, pokok pulasan mempunyai kulit yang nipis dan halus.

Seterusnya, anak pokok yang telah berjaya dicantum perlu diberikan penjagaan yang sempurna di tapak semaian untuk menjamin pertumbuhan tampang yang cepat, agresif, subur dan tidak berpenyakit.

Anak pokok yang mencapai ketinggian satu meter sangat sesuai ditanam di kebun atau ladang, adalah digalakkan menggunakan jarak tanaman 9 meter x 9 meter dengan sistem segi empat sama.

Kepadatan pokok bagi kawasan sehektar tanaman ialah 123 pokok.

Tapak tanaman perlu dipancang dan digali dengan ukuran lubang tanaman iaitu 60 sentimeter (sm) ( lebar ) x 60 sm ( panjang ) x 30 sm ( kedalaman lubang ).

Kerja yang seterusnya ialah lubang tanaman perlu ditabur dengan baja organik dan baja tumbesaran semasa penanaman.

Ia berfungsi untuk menyuburkan tanah, memperbaiki tekstur/struktur tanah dan membekalkan zat makanan kepada pokok.

Pokok pulasan yang telah ditanam perlu diberi penjagaan yang sempurna dari segi kerja penyiraman, pemangkasan, kawalan rumpai, pembajaan, kawalan penyakit dan perosak.

Ia dapat menjamin pertumbuhan yang cepat dan pengeluaran buah yang maksimum apabila mencapai umur matang.

Secara umumnya, pokok pulasan mula mengeluarkan buah pada umur empat tahun dan ke atas dan ia juga sangat bergantung kepada penjagaan pokok dan kesuburan tanah.

Update me when site is updated

SHAH ALAM 12 Jan. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) maju setapak lagi dalam dunia penyelidikan apabila berjaya mencipta teknik perangsang pertumbuhan pokok gaharu dan penghasilan damar yang bermutu tinggi.

Hasil penyelidikan selama setahun yang diketuai oleh Timbalan Dekan Fakulti Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM, Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid antara lainnya mampu menghasilkan lebih banyak pati minyak gaharu berkualiti tinggi.

Kejayaan itu mendapat pengiktirafan Southern Farm Valley Johore Sdn. Bhd. apabila firma itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan UiTM hari ini untuk mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut di dalam dan luar negara.

Ku Halim ketika ditemui selepas majlis itu yakin produk berkenaan mampu memberi pulangan hasil jualan lebih RM300,000 sebulan kepada syarikat terbabit.

“Walaupun hanya menggunakan laman web interaksi sosial seperti Facebook sebagai medium promosi, ia tetap menerima permintaan tinggi dari beberapa negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.

“Malah di Asia Barat yang terkenal dengan industri minyak gaharu turut menyatakan minat untuk mendapatkan produk tersebut,” katanya.

Menurut Ku Halim, pihaknya merancang mengeluarkan lebih banyak produk berasaskan damar pokok gaharu.

“Kami sedang melakukan penyelidikan untuk menghasilkan produk kosmetik menggunakan damar pokok gaharu menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.

Update me when site is updated


Hazilah Abd Rahman (empat dari kiri) bergambar bersama sebahagian pekerjanya di kilang mereka di Bukit Mertajam Pulau Pinang semalam.


SEJAK 1976, penduduk sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang sering dihidangkan dengan kopi keluaran syarikat Perniagaan Terang Bulan (Terang Bulan) yang diusahakan Allahyarham Abd. Rahman Hussain di Kampung Tasek Cempedak, Bukit Mertajam.

Malah, kopi yang dimasak secara tradisional menggunakan dapur arang di dalam kawah itu melonjakkan nama Terang Bulan sebagai jenama kopi terkenal di sekitar daerah itu.

Menyedari potensi kopi keluaran Terang Bulan sebagai pilihan utama, beberapa agensi kerajaan seperti SME Bank, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan banyak lagi mula membuka ruang kepada syarikat itu menambahkan pengeluaran mereka.

Pada 2003, mereka mula mendiami Kompleks Kilang SME Bank di Bukit Mertajam dan bermulalah pengeluaran satu produk baru yang melonjakkan nama mereka iaitu kopi campuran 5 dalam 1 Guarana Cappuccino.

Menurut Pengarah Urusan Terang Bulan Food Industries (M) Sdn. Bhd., Hazilah Abdul Rahman, 36, semangat ingin meneruskan legasi arwah bapanya dalam industri itu membuatkan beliau memperkenalkan minuman berasaskan guarana.

“Saya banyak mendapatkan maklumat daripada Internet mengenai guarana yang berasal dari Brazil dan memiliki banyak khasiat untuk kesihatan seperti boleh menambah tenaga seksual lelaki dan perempuan, mengembangkan saluran darah, melancarkan pembuangan air besar dan kecil.

“Kopi ini juga boleh mengurangkan rasa mengantuk terutama semasa memandu jauh, mengurangkan sakit kepala, meredakan demam, agen awet muda serta boleh menurunkan berat badan,” kata graduan diploma perakaunan dan pengurusan itu ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Selain itu kata Hazilah, ramuannya juga boleh membantu menguat dan menyempurnakan fungsi sistem saraf, menguatkan ketahanan badan, merangsang otak serta daya ingatan.

Lebih istimewa, kopi Guarana Cappuccino yang dihasilkan mereka mengandungi Instant Arabica, Guarana, krimer, koko dan Dextrose dan memperoleh sijil halal serta sijil kesihatan dari Kementerian Kesihatan.

“Saya mula lancarkan Guarana Cappucino pada Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa (Mihas) di Pusat Konvensyen Mines pada 2005 yang mendapat sambutan hangat pengunjung.

“Tapi pada masa itu pembungkusan pun masih guna cara lama dengan label fotokopi di plastik pembungkus kopi,” ujarnya.

Ditanya mengenai isu kopi 3 dalam 1 yang dikatakan memudaratkan kesihatan, Hazilah berkata, Guarana Cappuccino keluaran mereka tidak akan membawa kesan sampingan kerana melepasi ujian makmal serta disahkan selamat.

Malah, jelasnya, ia juga boleh diminum oleh pesakit kencing manis, darah tinggi, sendi serta buasir tanpa mempunyai kesan sampingan.

“Selain kopi campuran, Terang Bulan juga mengeluarkan produk minuman Guarana Collagen, biskut guarana dan guarana coklat selain masih mengekalkan teh dan kopi campuran di bawah label Terang Bulan.

“Biarpun terdapat lebih 30 jenama kopi campuran di pasaran namun saya yakin Guarana Cappuccino memiliki aroma tersendiri yang berbeza dengan produk-produk lain,” ujarnya.

Bagi mengukuhkan lagi jenama, pelakon popular Zed Zaidi telah dilantik sebagai duta produk dan mempunyai rangkaian pemasaran yang kukuh melalui stokis di 13 negeri.

Update me when site is updated

Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff bersama kakitangan Mardi membantu seorang pengunjung (kanan) yang tertarik dengan tanaman epal di TATM Cameron Highlands.



MEREKA yang berminat dalam sektor pertanian pastinya akan teruja dengan teknologi baru yang menjadikan sektor tersebut menarik dan berdaya maju.

Di negara ini, pertanian seakan bangkit semula daripada bidang yang dikebelakangkan, kepada satu industri yang mula menjana minat yang luar biasa di kalangan rakyat.

Syaratnya, bidang pertanian perlu ditransformasikan menggunakan suntikan teknologi moden supaya lebih berdaya maju dan menjana keuntungan.

Berbicara mengenai teknologi pertanian, mahu tidak mahu kita tidak dapat menafikan peranan agensi yang paling kehadapan dalam bidang tersebut iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

MARDI sejak ditubuhkan 40 tahun yang lalu memartabatkan industri pertanian tempatan menerusi usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan pelbagai inovasi.

Pada masa sama, MARDI turut menubuhkan taman-taman pertanian yang menghimpunkan teknologi-teknologi pertanian yang dibangunkan untuk tatapan orang ramai bagi mengetahui sendiri produk institusi terbabit.

Antara simbol kejayaan MARDI dalam R&D pertanian ialah memajukan kawasan pertanian yang terkenal di Cameron Highlands.

Cameron Highlands menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana sebahagian besar keindahan alam tanah tingginya masih terpelihara.

Ladang-ladang teh yang menghijau, kebun-kebun sayur yang belbagai, taman-taman bunga yang penuh warna, dan kebun buahan yang belbagai di samping taman rama-rama dan pemeliharaan lebah menggamit kedatangan pelancong hampir sejuta orang saban tahun.

Dengan ketinggian antara 1,000 meter dan 1,829 meter dari aras laut, dan suhu antara 12 dan 15 darjah Celsius pada waktu malam dan antara 22 dan 25 darjah Celsius pada waktu siang menjadikan peranginan ini tanah tinggi itu sentiasa menjadi tumpuan pelawat yang ingin merasai suasana nyaman suhu tanah tinggi berbanding dengan suhu di tanah rendah.

Salah satu kawasan yang cukup dikenali di Cameron Highlands ialah Tanah Rata yang mana MARDI telah membangunkan sebidang tanah di sini sebagai Taman Agro-Teknologi MARDI (TATM) yang dirasmikan pada 2003.

TATM menjadi tumpuan kerana kepelbagaian tanaman dan aktiviti pertanian yang pastinya menggamit pelancong.

TATM yang terletak di Tanah Rata ini bagaikan satu kawasan pertanian semula jadi meskipun ia adalah kawasan penyelidikan dan pembangunan pertanian yang dijalankan oleh MARDI.

TATM pada asalnya merupakan Stesen Penyelidikan Persekutuan yang mula dibina penjajah British pada 1925.

Bagaimanapun, selepas merdeka, ia diletakkan di bawah Jabatan Pertanian sebelum diserahkan kepada MARDI pada 1971.

Cuaca sejuk dan persekitaran menghijau di sini menjadikannya unik dan sentiasa menjadi tumpuan.

Di mana lagi anda melihat kehijauan melata dan ‘digabung jalin’ dengan warna warni bunga berkembang pagi dan kicauan burung.

Di kawasan seluas 43 hektar ini, ia dipenuhi pelbagai tanaman spesies temperate yang jarang ditemui di tempat lain di negara ini.

Komponen utama TATM ialah taman Inggeris, taman herba, taman ros, bunga keratan, ladang contoh strawberi, taman pelbagai bunga, taman dapur, petak-petak penyelidikan, pusat maklumat teknologi, ladang dan kilang teh dan makmal ‘test- bed’.

Di taman ini juga terdapat koleksi berbagai buahan temperat seperti anggur, epal, pir, oren, lokuat, laici, macademia, persimmon (pisang kak), jaboticaba (ceri), blackberi, markisa dan tamarillo (tomato).

Antara teknologi pertanian yang terdapat di TATM ialah pelbagai kaedah sistem fertigasi seperti teknik nutrien cetek (nutrient film technique) dan sistem ebb and flow.

Terdapat juga berbagai kaedah tanaman tanpa tanah seperti penggunaan cocopeat’ dan perlite sebagai media tanaman.

Pelbagai jenis struktur pelindung hujan, kaedah-kaedah pengawalan perosak dan penyakit tanaman, dan petak sains tanah.

Seperti yang dinyatakan oleh Pengurus Stesen MARDI Cameron Highlands Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff, banyak tarikan yang boleh membawa pelancong ke pusat peranginan tersebut, terutama mereka yang berminat dengan pertanian.

Stesen tersebut kata, beliau berfungsi sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi teknologi pertanian tanah tinggi yang mana aktiviti penyelidikan dan pembangunan pertanian dalam bidang sumber strategik, hortikultur, mekanisasi dan promosi teknologi dijalankan.

‘‘Pengunjung didedahkan dengan aktiviti penyelidikan dan kaedah pembangunan teknologi pertanian,’’ ujarnya dalam satu taklimat dengan MEGA di pejabatnya di pusat peranginan itu baru-baru ini.

Selain tanaman, TATM ini juga mempunyai pusat jualan yang menawarkan produk berasaskan pertanian, sayur-sayuran dan buah -buahan segar untuk dibeli.

Ini sejajar dengan pembangunan Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan pertanian terkenal di Malaysia.

Cameron Highlands merupakan daerah terkecil di Pahang, ia cuma meliputi dua peratus dari keluasan negeri Pahang.

Di samping teh, sayuran dan bunga-bungaan, industri strawberi juga telah begitu sinonim dengan daerah ini.

Industri strawberi di daerah ini telah disokong oleh kerajaan dengan konsep ‘satu daerah, satu industri’ (SDSI).

Menurut Dr Wan Abdullah, terdapat kira-kira 6,000 hektar daerah tersebut telah diusahakan dengan kawasan pertanian.

Sementara itu, menurut Dr Wan Abdullah, MARDI juga mempunyai 300 ekar (120 hektar) tanah di Lembah Bertam, Cameron Highlands. Namun disebabkan kebanyakan tanah di situ mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah, cuma sebahagian kecil sahaja kawasan diusahakan untuk aktiviti pertanian.

Update me when site is updated

Cendawan yang diusahakan tiga suri rumah dan dua ibu tunggal telah mengeluarkan hasil untuk dijual di sekitar daerah Jeli. – utusan/Yatimin Abdullah



JELI 6 Jan. – Cendawan ialah sejenis kulat yang tumbuh di atas tanah dan merupakan salah satu sumber nutrien. Terdapat pelbagai jenis cendawan, namun yang paling popular ialah cendawan butang atau nama saintifiknya, agaricus bisporus.

Cendawan turut diiktiraf sebagai herba yang berguna kepada manusia. Sesetengah cendawan tumbuh liar manakala ada yang ditanam sebagai makanan serta untuk kegunaan perubatan.

Cerita mengenai asal cendawan cukup unik. Mengikut maklumat di Internet, cendawan dikatakan ditemui penduduk desa Perancis sebagai sumber makanan dan perubatan ratusan tahun dahulu.

Mereka menanamnya di gua kerana tumbuhan itu memerlukan suhu yang lembap dan sejuk.

Malah, sejarah awal China menunjukkan cendawan digunakan untuk perubatan tradisional selain diabadikan pada lukisan klasik. Alat kebesaran maharaja China juga dikatakan turut mempunyai corak cendawan.

Dari sudut perubatan pula, kajian mendapati cendawan mampu memulihkan penyakit batuk, merawat gastrik dan mengawal tekanan darah kerana ia kaya dengan zat besi, mineral dan amino serta antioksida.

Ia juga dikatakan mampu membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan barah. Namun, terdapat juga cendawan yang beracun.

Kebiasaannya masyarakat kita terutama di kampung yang menikmati cendawan dengan dibuat sup atau digoreng sebagai sayur atau kudap-kudapan.

Selain itu, cendawan juga turut digunakan dalam kebanyakan masakan Barat seperti ditaburkan di atas piza atau dijadikan sos cendawan.

Berdasarkan maklumat, dianggarkan terdapat 15,000 jenis cendawan daripada 1.5 juta kulat yang wujud tetapi terdapat ratusan ribu lagi yang belum ditemui serta tidak mempunyai nama.

Permintaan yang semakin tinggi terhadap cendawan pada masa kini telah mendorong banyak pihak untuk mengusahakannya secara komersial termasuk di kampung.

Antara cendawan yang mudah diusahakan ialah cendawan tiram kerana ia senang ditanam biarpun di kawasan tanah rendah.

Namun, mengusahakan tanaman cendawan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlukan kepada kemahiran, jika tidak, pelaburan yang dibuat akan sia-sia.

Memandangkan tanaman cendawan memberi pulangan lumayan, mendorong tiga suri rumah dan dua ibu tunggal di daerah ini berusaha gigih mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu bagi menjana pendapatan keluarga.

Mereka mengusahakan tanaman itu dengan bantuan dan tunjuk ajar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Pertanian.

Salah seorang peserta, Zainun Abdullah, 50, yang memilih perusahaan tanaman cendawan tiram kelabu sebagai punca pendapatan keluarganya.

Menurut ibu tunggal tersebut, perusahaan cendawan tidak memerlukan penggunaan tenaga kerja ramai dan ia mampu mendatangkan pendapatan dalam masa agak singkat.

“Pemeliharaan cendawan dianggap mudah tetapi perlukan pengetahuan teknikal yang baik dan cendawan boleh dihasilkan secara komersial, selain menjanjikan pendapatan lumayan kepada pengusaha,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Katanya, perusahaan cendawan hanya memerlukan kawasan yang kecil dan perlu disesuaikan mengikut keadaan.

“Kami hanya memerlukan bangsal di atas tanah seluas suku ekar dan di pecahkan kepada lima lot bagi memudahkan kami berlima menjaga dan mengutip hasil cendawan,” katanya.

Seorang suri rumah, Aini Abdullah, 45, berkata, dia menyertai projek itu disebabkan minat mendalam dalam bidang pertanian selain untuk menambah pendapatan bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarganya.

“Sebelum memulakan projek tanaman ini, kami semua diberikan taklimat oleh Jabatan Pertanian selama sehari berkaitan dengan tanaman itu.

“Selain itu, kami didedahkan dengan cara penyediaan benih, pemeliharaan, penjagaan dalam rumah cendawan, pengawalan serangga perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai, pemasaran dan nilai ekonominya,” katanya.

Aini berkata, projek yang sedang diusahakan mereka adalah hasil usaha dan keprihatinan Ahli Parlimen Jeli yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam membantu rakyat di daerah ini terutama di kalangan ibu tunggal dan miskin.

“Kami memang berikan komitmen terhadap projek tanaman tersebut kerana ia dapat membantu kami menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi keluarga.

“Projek tersebut bermula Oktober lalu di mana kami menerima 6,000 beg biji benih. Hasilnya sudah dituai dan dijual dengan harga RM6 sekilogram,” katanya.

Katanya, peserta terbabit dalam projek itu akan memperolehi hasil penuh pada bulan depan.

“Walaupun masih dalam percubaan, saya dan rakan lain akan terus berusaha menjadi pengusaha cendawan yang berjaya di daerah ini.

Update me when site is updated

Mohd. Sidek Hassan (tengah) memberi makanan ikan ketika melawat projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Paya Pasir, Maran, baru-baru ini.



MARAN 9 Jan. – Projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Paya Pasir di sini menjadi model terbaik dalam meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, projek yang dijalankan di bawah konsep ‘Projek Juara’ itu merupakan strategi kerajaan meningkatkan pendapatan keluarga miskin tegar.

Katanya, ia selaras program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Pelaksanaan sesuatu projek ekonomi membabitkan keluarga miskin tegar ini dibimbing oleh mentor berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang.

“Misalnya, projek ternakan ikan patin sangkar dan tilapia di Kampung Paya Pasir yang membabitkan 12 peserta ini dipilih daripada senarai e-Kasih dengan dibimbing dua mentor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke projek ternakan ikan tersebut di Kampung Paya Pasir, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad Safian Ismail; dan Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan dividen berjumlah RM20,712 kepada peserta projek ternakan terbabit.

Sejak dilaksanakan November 2009, kata Mohd. Sidek, projek itu berjaya mengeluarkan hasil RM26,262.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa penjawat awam berperanan lebih cekap, berkesan, responsif dan berani membuat perubahan bagi melaksanakan penambahbaikan melalui pendekatan inovatif.

“Kalau kita tidak berubah mengikut perubahan profil dan kehendak pelanggan, organisasi kita tidak lagi relevan dan akan terus ketinggalan,” katanya

Menurut Mohd. Sidek, rakyat kini tidak boleh menerima jika agensi kerajaan mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk memproses sesuatu permohonan.

Tambah beliau, rakyat juga tidak boleh lagi menerima sekiranya urusan dengan kerajaan hanya dilakukan dalam waktu pejabat.

“Bagi perkhidmatan yang boleh dilaksanakan secara atas talian perlu dijalankan sedemikian supaya perkhidmatan kepada rakyat tidak tertakluk dalam waktu pejabat sahaja,” katanya.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0